Saturday, July 6, 2013
PENGALAMAN MENAIKI BAS EKSPRES DUA TINGKAT (CCTV IN THE PUBLIC TRANSPORT)
Mungkin kerana lebih banyak memandu kenderaan sendiri menyebabkan hanya baru-baru ini penulis blog (PB) berkesempatan menaiki bas ekspres dua tingkat dan duduk di tingkat atas pula. Kalau kapal terbang dua tingkat sudah ada pengalaman semasa menjadi penumpang Air Bus, Pakistan Air Lines. Banyak juga yang hendak diceritakan, tetapi biar fokus kepada satu peristiwa yang mengejutkan jugalah.
Kisahnya ketika bas ekspres dari Ipoh hampir tiba di Plaza Tol Jalan Duta, tiba-tiba pemandu menggunakan sistem pembesar suara dalam bas menyuruh seorang penumpang wanita Cina memeriksa beg, kemudian turun ke tingkat bawah. PB beranggapan mungkin wanita berkenaan sudah terlebih awal memberitahu pemandu bas bahawa dia hendak turun di situ. Namun, tiada pula bunyi pintu bas dibuka dan tiada sesiapa pun yang turun.
Sebaliknya, bas diletak di tepi jalan dan kali ini wanita tadi naik semula ke atas bersama pemandu. Tiba-tiba pemandu bas terus menyoal seorang lelaki India dalam lingkungan usia 40 tahun lebih. lelaki itu terus diminta penjelasan sama ada dia ada mengambil apa-apa daripada beg wanita berkenaan. Lelaki berkenaan yang tersentak terus membuat penafian sambil mengeluarkan semua barang yang ada dalam poketnya.
Pemandu bas bertegas bahawa perbuatan yang didakwanya berlaku itu dirakamkan oleh kamera litar tertutup di bahagian belakang bas. Lelaki yang berasa tercabar dengan dakwaan itu mula meninggikan suara sambil memberitau bahawa dirinya pegawai di sebuah badan tabung pencen yang terbesar di Malaysia. Dia cuba menunjukkan 'kad kuasa' sebagai bukti.
Wanita itu pula tidak pasti perkara yang sebenarnya berlaku kerana dia tertidur di baris belakang sekali. Tambahan pula, beg itu milik kawannya. Dia tidak tahu apa-apa tentang barang yang terdapat di dalamnya.
Pemandu bas yang berusia pertengahan 50-an itu akhirnya beredar setelah mengingatkan lelaki tadi bahawa jika ada aduan susulan, bukti video telah pun jelas. Wanita itu juga turun ke aras bawah bas walaupun dia kemudian hanya turun di stesen KL Sentral. Lelaki itu meneruskan perjalanan hingga ke Pudu Raya (kini Pudu Sentral).
Pengajarannya ialah semua penumpang bas ekspres harus berhati-hati dengan tingkah laku masing-masing, justeru mungkin menjadi bahan bukti atau bahan tontonan pihak lain. Sebarang kelakuan yang kurang sopan atau kurang senonoh boleh tersebar dan menjadi buah mulut ramai. Malah, keadaan akan menjadi lebih buruk jika rakaman kamera litar tertutup dalam bas ekspres dimuat naik sebagai fail perkongsian video di laman Facebook atau You Tube.
Dari sudut yang lain, keselamatan penumpang, terutama kaum wanita kini lebih terjamin. Penumpang bas ekspres, tidak kira lelaki atau wanita, mesti lebih bersopan dan berkelakuan lebih kurang. Ada mata yang memerhati dan merakamkan segala perbuatan...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment