SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, January 12, 2011

KEMELUT KEPIMPINAN SUKAN NEGARA (FORMER CHAMPION SHOULD LEAD)

Bekas jaguh-jaguh sukan yang berjaya tidak semestinya akan menjadi jurulatih atau pengurus sukan yang berjaya. Mereka juga tidak semestinya berjaya memimpin organisasi sukan dalam acara yang pernah diungguli sebagai atlet. Contoh yang jelas ialah Maradonna (Argentina) dan Pele (Brazil), dua orang legenda bola sepak yang berlainan zaman langsung tidak menyerlah sebagai pengurus dan pemimpin bola sepak era selepas mereka.

Demikianlah pendapat pemimpin dan pengurus sesuatu bidang sukan yang tidak pernah bergelar sebagai jaguh semasa muda mereka. Mereka beroleh kedudukan sebagai pemimpin sukan atas dasar pengaruh, atau mempunyai akses terhadap punca kuasa, kewangan dan media. Tambahan pula, bekas jagoan sesuatu acara sukan hanya menumpukan perhatian terhadap acara sukan yang disertai sejak usia muda belia tanpa sempat menjalani proses pengajian formal yang menjurus kepada kepimpinan dan pengurusan organisasi sukan.

Krisis terbaru yang melanda Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memberi petunjuk tentang perlunya satu dasar baru tentang kepimpinan organisasi sukan negara. Kepimpinan sesebuah badan sukan tidak seyogia dibarisi sepenuhnya oleh individu berpengaruh. Perlu diperuntukkan beberapa kedudukan yang wajib diisi oleh bekas jagoan bidang sukan yang berkenaan.

Bekas atlet handalan mungkin tidak berkesan dalam kepimpinan organisasi, tetapi buah fikiran mereka dalam acara sukan tidak dimiliki oleh tokoh yang semata-mata bersandarkan pengaruh. Maka, eloknya digabungkan kedua-dua kepakaran minds-on (kepimpinan organisasi am) dengan hands-on (kaya pengalaman lapangan) supaya akhirnya bidang sukan berkenaan mendapat sentuhan daripada pelbagai bidang kepakaran. Proses membuat keputusan mesti diagihkan berdasarkan kepakaran bidang masing-masing sebelum dimuktamadkan.

Datuk Nadzmi atau mana-mana pengganti beliau berupaya mempimpin sebuah organisasi sukan badminton dengan berkesan, tetapi bab-bab taktikal dan teknikal kejurulatihan boleh diserahkan kepada sebuah jawatankuasa pemikir (think tank) yang terdiri daripada bekas pemain badminton yang pernah mencipta nama di peringkat dunia. Datuk James Selvaraj bersama-sama Saw Swee Leong, Moo Foot Lian, Cheah Hong Chong dan Dominic Soong diakui pernah membawa skuad badminton negara memasuki pertandingan akhir Piala Thomas di Bangkok semasa era Lim Swee King, Ile Sumirat dan Mulyadi daripada kem Indonesia. Namun, secara individu mereka tidak pernah berada di puncak dunia seperti yang pernah dikecapi oleh Tan Aik Huang, Punch Gunalan dan Misbun Sidek.

Walaupun Datuk James Selvaraj memiliki pengalaman dalam pengurusan tertinggi syarikat kasut Bata dan dalam masa yang sama sebagai bekas juara badminton kebangsaan era suramnya, pelantikan beliau sebagai pengarah kejurulatihan prestasi tinggi dalam BAM secara mendadak sudah dijangka akan menggugat status quo. Walaupun atas nama pembangunan badminton jangka panjang, tokoh senior dalam BAM seperti Misbun dan jurulatih lain perlu dihormati. Masing-masing tidak seyogia melepasi garisan peranan masing-masing hingga menimbulkan keresahan.

Misbun ialah jurulatih bertauliah yang pernah mengikuti kursus kejurulatihan sukan di Mobile, Amerika Syarikat suatu ketika dahulu. Kecemerlangan Misbun dalam arena antarabangsa yang kembali membawa Malaysia di persada dunia tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja. Walaupun tidak pernah menjuarai kejohanan seluruh England, kejohanan dunia dan olimpik, Misbun berjaya membibitkan semula keyakinan skuad badminton negara apabila berjaya menundukkan Prakash Padukone dari India (juara seluruh England) dan hanya kalah kepada juara tiga kali, Lim Swie King setelah leher beliau dipaut seorang peminat fanatik Indonesia semasa rehat  set kedua yang memihak kepada Misbun 15-3 bagi mengheret permainan ke set penentuan dengan set pertama bersekudahan Swee King menang 15-12.

Misbun kemudian tewas 12-15 dalam set terakhir perlawanan walaupun memegang servis pada kedudukan 12-3. Badi Misbun ialah Steve Baddeley dari England (pernah tewas 7-15, 0-15, akhir Piala Thomas) dan Morten Frost Hansen, Denmark (3-15, 0-15, akhir seluruh England). Namun, Misbun berjaya menebus kekalahan berkenaan dalam kejohanan lain.

Misbun juga berjaya mengasuh Lee Chong Wei, Roslin Hashim dan Hafiz Hashim yang pernah menakluki kedudukan tertinggi perseorangan badminton dunia. Walaupun Lin Dan sentiasa membayangi Chong Wei, namun kem pemain China sentiasa berwaspada dengan kelicikan strategi anak didik Misbun itu. Barang diingat, Chong Wei mula menyerlah selepas tewas kepada Hafiz Hashim, 20 tahun yang baru merangkul kejuaraan seluruh England dengan kiraan mata 12-15, 12-15 dalam perlawanan akhir Sukan Malaysia (Sukma).

Fakta yang dibentangkan harus menjadi renungan pemimpin-pemimpin BAM yang bijaksana dalam mencaturkan masa depan badminton negara. Misbun tidak mengamalkan nepotisme apabila mencalonkan anaknya sendiri, Misbun Ramadan,18, di bawah skim elit kendaliannya justeru peningkatan mendadak tangga 400 ke kelompok 150 pemain terbaik dunia, malah telah menumpaskan bekas naib juara dunia, Sony Dwi Kuncoro di halaman sendiri di Indonesia baru-baru ini. Lim Swee King dan Taufik Hidayat bermula sebagai jaguh dunia seawal usia 17 tahun tanpa perlu menunggu senioriti sepertimana amalan naik pangkat.

Pemain yang diprogramkan mengikut giliran senioriti selalunya tenggelam. Contohnya Chong Weng Kai, Kuan Ben Hong, dan Mohd Arif Abdul Latif. Pemain yang telah melepasi usia kemuncak prestasi seperti Darren Liew mungkin sesekali boleh membuat kejutan, tetapi sukar untuk menyinar.

Hendrawan, bekas juara dunia, memang jurulatih skuad pelapis yang hebat. Walaupun demikian, faktor keserasian (chemistry) antara jurulatih dengan pemain juga mesti diambil kira. Li Mao mungkin berjaya menaikkan Korea Selatan, tetapi kecundang di Malaysia.

Kepada pemimpin BAM, buatlah garis sempadan, iaitu terma rujukan tugas antara pemimpin organisasi, pemimpin kepakaran dan bahagian penyelidikan. Presiden dan exco mengkhusus dalam urusan menjaga organisasi seperti kewangan, penganjuran pertandingan dan perancangan tunas muda. Bidang kejurulatihan, sains sukan dan penyelidikan diletakkan di bawah panel yang khusus...

1 comment:

Anonymous said...

tahap denyutan jantung ahli sukan yg bertaraf dunia ia lah 32 denyutan satu minit......Misbun aderr cara melatih setiap pemain2 muda yg datang berlatih di tempat beliau.... tapi buat masa kini belum ada pemain2 yg mampu mengikut cara latihan beliau termasok anak nya sendiri....Presiden BAM memang bengap pada zaman ni....