SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Thursday, January 20, 2011

SYAIR MAKNA RIAK (CONCIETED BEHAVIOUR)

Pengenalan Syair

Syair tergolong dalam genre puisi tradisional. Berbeza dengan pantun yang mengandungi baris pembayang dan baris maksud, kesluruhan baris syair ialah suatu kesinambungan. Rima akhir setiap baris syair disamakan (aaaa), manakala pantun menggunakan rima akhir ab-ab.

Untuk murid tingkatan 5, terdapat dua buah syair yang perlu dipelajari menerusi antologi Dirgahayu Bahasaku, iaitu Syair Makna Riak (muka surat 7 - 8), dan Syair Pemberontakan Patani (muka surat 9 - 10). Kedua-dua syair ialah selenggaran Mohd Yusof Md Nor dan Abd Rahman Kaeh. Secara umumnya, pembelajaran syair bertujuan agar murid beroleh nilai-nilai murni sebagai pengajaran dan teladan dalam menempuh cabaran kehidupan.

Konsep Riak

Dalam bahagian pengenalan prosa tradisional (muka surat 3 - 4) ada dinyatakan bahawa perasaan riak ialah suatu sikap negatif yang perlu dijauhi. Orang yang bersikap riak hidup berpura-pura dengan tujuan supaya dirinya dipandang tinggi oleh orang di sekelilingnya dan supaya dirinya mendapat pengiktirafan masyarakat. Perbuatan mengaburi mata masyarakat sebegitu yang semata-mata bertujuan mendapatkan pujian tidak patut dicontohi, terutama dalam proses mencari ilmu.

          Kemudian dinyatakan makna riak,
          Amal ibadat kerana manusia,
          Inilah kebencian Tuhan yang sedaya,
          Sebab kerana syirikkan Dia.

Tanda-tanda bahawa seseorang itu dikuasai perasaan riak ialah apabila segala pekerjaan yang dilakukan hanya bermaksud menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Dalam kata lain, amalan yang dilakukan tiada keikhlasan. Kalau tiada orang yang melihat, pekerjaan itu tidak akan dilakukan sama sekali.

Contohnya, ibadat solat (sembahyang). Seseorang yang riak hanya bersungguh-sungguh melakukan ibadat solat hanya di hadapan orang lain. Sebaliknya, jika bersendirian, ibadat solat hanya dilakukan secara sambil lewa, atau tidak dilakukan langsung.

Tuhan sangat bencikan orang yang bersikap riak kerana perbuatan itu bererti mengadakan sekutu bagi Allah. Sepatutnya semua amal ibadat (bahkan keseluruhan kehidupan) diniatkan semata-mata untuk mencapai keredaan Ilahi. Apabila ibadat dilakukan kerana manusia (niatnya), maka sesorang itu telah syirik (mengadakan sekutu Tuhan) tanpa disedari.

(Nota tambahan: Perasaan riak tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak melakukan sesuatu kewajipan, misalnya solat berjemaah. Si malas akan berkata, "buat apa tunggang terbalik melakukan solat. Kalau riak masuk neraka juga." Pegangan si malas itu nyata salah).

          Terkadang riak pula dilakukan,
          Mengiringkan beberapa puasa tak makan,
          Bertutur itu suara diperlahankan,
          Tubuh dan badan tidak dihiraukan.


Riak juga boleh dilakukan semasa melakukan ibadah puasa. Ada orang yang sanggup menahan lapar dan dahaga, serta menjaga tutur kata. Tubuh dan badan tidak dihiraukan, iaitu seperti tidak terurus semata-mata bagi menunjukkan diri sebagai benar-benar berpuasa, sedangkan niat di hati sekadar mahu dipuji orang.

          Supaya disangka ianya wali,
          Akan dunia tidak peduli,
          Hemahnya itu sangatlah ali,
          Tetapi hatinya ke dunia bertali.


Orang yang riak juga berlagak seumpama wali dengan tidak mempedulikan urusan dunia. Hemahnya menggambarkan seorang yang begitu ahli (tentang akhirat), sedangkan hatinya tetap terpaut kepada dunia. Pada zahirnya nampak sebagai wali yang zuhud, tetapi cumalah lakonan semata-mata.


          Terkadang riakkan ia berilmu,
          Bersurah ketika orang berjamu,
          Berkata-kata tidaklah jemu,
          Nahu dan sarap habis diramu.


Ada juga yang menunjuk-nunjuk konon dirinya seorang yang berilmu. Dalam majlis jamuan dan keramaian, orang berkenaan bersyarah tanpa berhenti. Selain itu, perbuatan riak dihiasi dengan susunan kata yang bertujuan memancing pujian khalayak.


          Terkadang bercakap ilmunya mantik,
          Bicara alhayat konon diselidik,
          Supaya disangka ianya cerdik,
          Sukalah orang memberinya gundik.


Orang yang riak juga bercakap dengan ilmu yang kelihatan hebat. Percakapannya tentang kehidupan kononnya didasarkan kepada kajian yang sah. Semua yang dilakukan itu hanya supaya orang lain memandang si riak sebagai cerdik, dan membuka peluang kepadanya beristeri banyak.


           Terkadang riak dengan pakaian,
           Berserban lilit ekor berhambayan,
           Sejadah di bahu berhampaian,
           Tasbih di tangan beruitan.


Ada juga orang yang riak menunjuk-nunjuk pakaian orang alim seperti serban yang dililit melambai-lambai, sejadah sengaja disangkut di bahu dan tasbih sengaja digerakkan di tangan. Si riak mahu orang ramai kagum dengan penampilannya. Dia berniat mahu dipuji-puji.


            Pejamkan mata duduk bersila,
            Lidah berzikir Allah Taala,
            Terkadang jazbah seperti gila,
            Kasadnya hendak jadi kepala.


Penyakit riak juga dijelmakan dalam bentuk ahli zikir. Di hadapan orang, si riak akan memejamkan mata sambil duduk bersila. Lidahnya menyebut-nyebut nama Allah Taala. Pelakuan zahir yang seolah-olah bergantung kepada Allah sebenarnya dengan niat supaya dapat siangkat sebagai pemimpin.


             Riak demikian menjadi balak,
             Amal itu tentu ditolak,
             Terkadang dilemparkan ke mukanya pulak,
             Allah Taala sualak.

Riak membawa bahana dan bala. Segala amalan yang dilakukan akan ditolak. Malah, amalannya si riak menjadi sia-sia dan mendapat kemurkaan Allah Taala.

Perbincangan

1   Bagaimanakah riak dilakukan menerusi cara seseorang itu berpakaian?        [2 markah]

2   Jelaskan dua cara bagi mengelakkan perbuatan riak?                                   [4 markah]

3   Nyatakan dua persoalan daripada syair di atas.                                            [3 markah]

No comments: