SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, May 31, 2011

PENGGUNAAN LAGU POPULAR SEBAGAI GIMIK MOTIVASI (THE ECHO OF MIND)

Tingkah laku, pergaulan dan gaya hidup artis genre popular memang tidak wajar dicontohi. Kebanyakan pelakon dan penyanyi yang mewarnai industri hiburan seperti memiliki lesen kebebasan untuk memperagakan sisi hidup yang di luar batasan normal masyarakat yang mementingkan akhlak yang luhur. Alasan terhadap perbuatan melanggar larangan agama ialah keperluan kerja atau kehendak skrip.

Pernah seorang pelakon veteran merangkap tuan punya sebuah rumah produksi filem menyamakan kerja pelakon seperti doktor yang terpaksa bersentuhan dengan pesakit bukan mahram demi keperluan kerja. Dia sudah mengangkat pekerjaan lakonan ke tahap darurat. Namun, setakat ini mereka masih kebal daripada sebarang tindakan di bawah peruntukan pihak berkuasa yang berkenaan.

Sesi motivasi sama ada kepada orang dewasa, mahupun murid sekolah kerap diselitkan dengan elemen muzik aliran perdana sebagai rangsangan minda. Lagu-lagu seperti "Jika Kau Fikirkan Boleh" (Metropolitan), "Seribu Impian" (Cassey), "Ayah dan Ibu" (Sudirman), "Jasa Bonda" (Warisan) dan  "We Have A Dream" (Michael Learns To Rocks) ialah antara contoh lagu yang sering dikumandangkan dalam slot motivasi. Lagu-lagu bertema keagamaan dendangan kumpulan nasyid hebat seperti Hijjaz, Inteam dan Raihan turut menjadi pilihan.

Manusia pada umumnya memang tertarik akan keindahan muzik, termasuk gemersik alunan suara penyanyi yang empunya lagu. Pencipta irama dan penulis lirik ialah manusia kreatif yang memiliki ketajaman pengamatan terhadap variasi persekitaran yang menangkap imaginasi penggemar muzik popular. Penggiat-penggiat muzik sangat dikenali oleh masyarakat.

Lagu-lagu yang bertemakan cinta walaupun asalnya ditujukan kepada pasangan kekasih (bukan mahram) dengan mudah dapat diubah suai untuk tujuan motivasi. Ambil contoh lagu "Ilusi" (Adira) dan "Sedetik Lebih" (Anuar Zain) yang digemari golongan remaja. Irama dan seni kata kedua-dua lagu jika dialunkan secara beramai-ramai oleh peserta motivasi sudah pasti meremangkan bulu roma...

Monday, May 30, 2011

KESAN TARIF ELEKTRIK NAIK (PRICING FOR COMPLIMENTARY GOODS)

Pengumuman kenaikan 7.12 peratus kenaikan tarif elektrik, walaupun hanya membabitkan penggunaan RM77 ke atas menerima reaksi berbelah bahagi. Bagi pihak pembekal, Tenaga Nasional Berhad (TNB), peningkatan kos pengeluaran akibat tekanan harga arang batu dunia tidak mampu ditanggung lain. Namun, bagi pihak industri dan premis perniagaan, bayaran tambahan bil elektrik mereka bermakna bahawa margin keuntungan akan menyusut dengan andaian bahawa perolehan jualan masih sama.

Pihak industri dan premis niaga mungkin mencongak-congak untuk memindahkan beban kenaikan kos pengeluaran dalam bentuk kenaikan harga barang akhir. Namun, keputusan untuk membeli atau untuk tidak membeli terletak di tangan pengguna. Pada akhirnya mekanisme harga pasaran banyak dipengaruhi oleh permintaan pengguna atau isi rumah.

Bagi barang keperluan asas seperti beras, gula dan tepung yang merupakan barang kawalan bersubsidi, peningkatan harga hanya mengurangkan sedikit sahaja kuantiti yang diminta justeru bersifat tidak anjal harga. Walaupun margin keuntungan barangan asas tidak begitu besar, tetapi lihatlah pencapaian Robert Kwok (raja gula), Syed Mokhtar al-Bukhari (raja beras) dan Malayan Flour Mills (MFM) yang mengungguli empayar konglomerat tanah air.

Kepada syarikat peruncitan gergasi seperti Carrefour, Giant, Jusco, Tesco dan UO, bil elektrik bukanlah komponen terbesar kos pengeluaran mereka. Kos promosi seperti flyer, pembelian ruang iklan media, dan peraduan cabutan bertuah memakan biaya yang lebih besar. Jumlah (volume) jualan yang tinggi akan menyerap margin keuntungan yang lebih kecil tadi.

Sesetengah syarikat pula sanggup memperuntukkan sejumlah besar wang bagi menanggung kerugian akibat strategi harga jualan di bawah paras modal bagi "membunuh" pesaing terdekat atau "mencuri" pelanggan pesaing. Peserta baharu sesuatu industri tidak akan mampu bertahan dengan serangan harga rendah itu. Selain itu, pakatan harga atau kartel boleh dilakukan oleh pasaran yang bersifat oligopoli sebagai satu bentuk sekatan kemasukan peserta (firma) baharu ke dalam industri.

Nasib industri dan peniaga sebenarnya ditentukan oleh permintaan pengguna. Jika pengguna bersatu untuk memberi tekanan seperti mengurangkan pembelian, melakukan pemulauan atau menguatkan gerakan koperasi pengguna, barangkali pemain  industri dan peniaga terpaksa mencari ikhtiar lain bagi menampung kemerosotan margin keuntungan yang diakibatkan oleh kenaikan kos bil elektrik.

Bagi pengunjung tetap restoran mamak dan restoran makanan segera, mungkinlah sehari dua mereka merungut jika harga roti canai, capati, toseh atau roti tisu naik sedikit, atau saiz tiap satunya dikecilkan sedikit. Namun, tuntutan perut yang beroncong memperlihatkan bahawa hingga dini hari pun restoran 24 jam masih dipenuhi pelanggan. Walhasil, balik asal!

Kebanyakan isi rumah bandar menggunakan bahan sekali peralatan automasi seperti perkakas memasak, mesin basuh pakaian, gajet hiburan dan pendingin hawa. Jika bil elektrik bulanan mereka ialah RM200, mereka akan membayar tambahan RM14 sahaja. Mereka tidak akan keberatan melakukannya...

Sunday, May 29, 2011

SEKOLAH TEKNIK JADI KOLEJ TEKNIKAL (THE CHALLENGE OF TECHNICAL EDUCATION)

Bilangan sekolah teknik asal ialah 9 buah, termasuk SM Teknik Ipoh, Persiaran Brash (SMTI) yang menerima kohort pertama murid pada tahun 1973. Apabila lebih banyak sekolah vokasional dibuka, sekolah teknik asal dikekalkan sebagai jurusan teknikal akademik sains tulen. Semua murid ditetapkan mengambil mata pelajaran Matematik Tambahan, Fizik, dan Kimia selain mata pelajaran teras dan jurusan (perdagangan, elektrik, jentera dan awam).

Majoriti budak perdagangan terdiri daripada kaum feminin. Penulis blog (PB) yang bertugas di SMTI pernah mengajar mata pelajaran Prinsip Akaun dan Ekonomi Asas. Mata pelajaran lain yang pernah PB kendalikan ialah Bahasa Melayu. Pengetahuan Moral, Sejarah, Ekonomi Tingkatan 6 dan Pengajian Am.

Pada peringkat awal penubuhannya, kira-kira 60 peratus lulusan sekolah teknik menyambung pengajian di luar negara, terutamanya United Kingdom dan Amerika Syarikat. Setelah lebih banyak IPTA teknikal tempatan ditubuhkan, lulusan teknik memenuhi UTM, UTHM dan UiTM. Lulusan dengan pencapaian sederhana memasuki politeknik.

Jika rancangan menukar sekolah teknik kepada kolej teknikal menjadi kenyataan, SMTI akan mengkhusus kepada pengajian kejuruteraan jentera (mekanikal). Pengambilan kohort pertama pelajar bertaraf sijil dan diploma akan bermula pada tahun 2012. Semua 10 buah sekolah teknik di Perak bakal terbabit dengan penstrukturan baru pengajian separa teknikal.

Konsep tenaga pengajar terus daripada industri ialah suatu bentuk pembaharuan yang dijangka menjadi pemangkin kepada pencapaian matlamat negara maju yang disasarkan 9 tahun lagi. Jika di universiti, tenaga pensyarah jemputan itu dipanggil profesor adjung (adjunct professor), di kolej teknikal belum tahulah lagi. Negara kejuteraan termaju seperti Itali, Jerman, dan Peranchis telah melaksanakan konsep pengajian separa teknikal sedemikian sekian lama.

Perubahan ialah sesuatu yang sangat pahit dan sukar bagi golongan status quo.  Bagi meredakan kebimbangan mereka, pihak kementerian sudah pasti menyediakan pelan penstrukturan jawatan yang bersesuaian. Tiada mana-mana kalangan bakal dipinggirkan...

MENIKMATI MUSIM CUTI (HAVE A REALLY SCHOOL BREAK)

Tujuan cuti sekolah ialah untuk berehat, melepaskan diri daripada kesibukan belajar barang sebentar dan berkumpul dengan kaum keluarga. Cuti ialah kesempatan yang sangat berharga untuk mengunjungi datuk dan nenek jika mereka masih ada. Kalau ada kemampuan, seisi keluarga bolehlah mengadakan perjalanan jauh, misalnya mengerjakan ibadah umrah, atau melancong ke destinasi pilihan.

Budak-budak yang tinggal di asrama sekolah, tidak kiralah asrama penuh, sekolah teknik atau sekolah harian mungkin berpeluang "membalas dendam" untuk tidur semahu-mahunya, atau berlama-lama sedikit di hadapan skrin televisyen dan komputer. Namun, waktu solat, waktu membersihkan diri dan jadual makan minum tidak seyogia diabaikan. Kelonggaran aktiviti bukanlah lesen untuk mengabaikan perkara-perkara asas kehidupan.

Hakikatnya pengisian cuti perlukan perancangan. Mungkin sehari dua seseorang boleh berehat dan tidak mahu ke mana-mana. Namun, masuk hari ketiga, rasa bosan mula menjengah.

Ketiadaan perancangan cuti oleh ibu bapa menyebabkan sang anak kehilangan arah. Ibu bapa sering mendesak pihak sekolah supaya membekalkan tugasan cuti. Kalau tidak ada, anak-anak akan dihantar ke kem-kem motivasi yang menawarkan pelbagai pakej yang kononnya hebat-hebat belaka.

Budak-budak darjah 6, tingkatan 3 dan tingkatan 5 pula sibuk dengan kelas tambahan, tuisyen dan seminar peperiksaan. Cuti disumbat dengan pelbagai aktiviti berat yang sama sekali bertentangan dengan maksud cuti diberikan. Kegembiraan zaman kanak-kanak dan remaja telah dirampas sepenuhnya!

Murid berpakaian seragam masih datang ke sekolah dalam musim cuti. Malah, tempohnya lebih panjang hingga ke petang. Mereka tidak dapat bercuti demi memenuhi nafsu segelintir manusia yang menduduki kerusi-kerusi empuk di dalam bilik berhawa dingin yang meletakkan pelbagai sasaran.

Kepada budak sekolah yang berpeluang menikmati cuti tanpa gangguan, tahniah diucapkan. Kepada yang harus memenuhi harapan orang lain, banyak-banyaklah bersabar. Perjalanan kehidupan kalian masih jauh...

Saturday, May 28, 2011

HIDUP BERHUTANG (FOREVER DISADVANTAGE POSITION)

Peribahasa "hutang keliling pinggang" bukanlah sengaja diada-adakan oleh bijak pandai dahulu kala. Pengalaman dan persekitaran hidup yang serba-serbinya bersaing berebut sumber yang "terhad" mengakibatkan wujudnya lapisan atau strata sosial yang berpunca daripada akses peluang yang berbeza-beza. Kajian tentang pemilikan kekayaan dan putaran ganas kemiskinan mendapat perhatian ahli-ahli ekonomi, sosiologi dan komunikasi.

Terdapat pelbagai kaedah mengukur kekayaan dan kemiskinan. Berdasarkan prinsip fiqh, seseorang Islam itu dianggap melepasi paras kemiskinan jika telah layak membayar zakat harta. Kutipan zakat yang diurus oleh Baitul Mal akan diagihkan kepada lapan kategori asnaf (termasuk fakir miskin) sebagai rukun Islam. Sistem zakat yang berkesan akan dapat mengatasi fenomena kemiskinan tegar dalam kalangan masyarakat Islam.

Tidak seperti alat dasar fiskal konvensional contohnya cukai pendapatan yang boleh diubah-ubah kadarnya, bahagian harta yang perlu dizakatkan setelah cukup syarat haul dan nisab ialah pada kadar 2.5%. Selain zakat harta, terdapat juga zakat perniagaan, zakat tanaman dan zakat ternakan. Pada bulan puasa, sekalian umat Islam, kecuali asnaf yang layak, wajib membayar zakat fitrah agar kemenangan Ramadan dikongsi bersama-sama.

Setelah memenuhi keperluan asas, iaitu makanan, pakaian, tempat perlindungan dan kenderaan, isi rumah akan berusaha meningkatkan taraf hidup, misalannya pemilikan alat-alat telekomunikasi, kelengkapan dan peralatan, serta kenderaan yang lebih selamat dan selesa. Perbelanjaan pendidikan juga terus meningkat. Jika ada lebihan pendapatan, keinginan untuk berjalan-jalan ke rantau orang juga terbayang di ruangan mata.

Bukan tidak ada orang yang mengumpul wang hingga cukup dahulu, kemudian baharulah membeli barang yang dihajati. Namun, bilangan fesyen berfikir cara itu sangatlah kecil, dan boleh disifatkan menanggung risiko kemerosotan nilai wang akibat inflasi. Menabung wang kena ada disiplin dan banyak pula dugaannya.

Contohnya, harga rumah teres dua tingkat kini telah melepasi paras RM200k. Katalah umur 25 tahun mula menabung secara pukul rata RM1,000 sebulan untuk itu. Maka, setahun baharu RM12k, dan  hampir 20 tahun baru cukup RM200k.

Usia hampir setengah abad baru terhegeh-hegeh hendak mencari rumah, dan harganya tidak lagi RM200k, tetapi mungkin sudah RM1 juta. Maka, duit yang dikumpul dengan mengikat perut tadi hanya cukup untuk membayar pendahuluan. Kawan-kawan sudah melangsaikan ansuran pinjaman perumahan, tetapi awak masih terus membayar sewa rumah bulanan yang telah dinaikkan lima tahun sekali.

Ringkas cerita, antara hutang yang perlu ditanggung secara bulanan:

1   Pinjaman pengajian tinggi (bank, PTPTN)  =  RM200

2   Kenderaan                                                =  RM700

3   Rumah                                                      =  RM1,500

4   Pinjaman peribadi                                      =  RM700

     Jumlah                                                     =  RM3,100

Kalau tidak dapat menahan sabar, mungkin segala perabot, set televisyen berdefinisi tinggi, telefon bimbit tercanggih dan belanja melancong juga dibuat secara hutang. Di Indonesia, kemudahan pinjaman untuk menunaikan fardu haji juga disediakan. Jika berlaku sesuatu terhadap diri si berhutang, pihak insurans (takaful) mungkin menyambung baki bayaran hingga selesai, setelah segala urusan penjamin dan waris dibereskan.

Tanggungan hutang isi rumah di Malaysia ialah antara yang tertinggi di dunia, iaitu hampir 30 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK). Hutang telah menjadi suatu perniagaan besar. Dalam bacaan al-Ma'thurat, terdapat doa moga kita dijauhi beban hutang...

Thursday, May 26, 2011

RASIONALISASI SUBSIDI PETROL DARI SUDUT EKONOMI (MAXIMISATION OF HOUSEHOLD'S WELFARE)

Subsidi ialah bantuan kewangan yang disalurkan oleh kerajaan supaya pada akhirnya kebajikan isi rumah dan pengeluar dapat dimaksimumkan apabila wujud keperluan untuk berbuat demikian. Peruntukan subsidi dibiayai menerusi hasil kerajaan, terutama daripada cukai. Dalam kata lain, subsidi ialah satu alat atau instrumen agihan semula kekayaan dalam sesebuah ekonomi dengan harapan bahawa pertumbuhan ekonomi dapat dijana tanpa inflasi, tanpa pengangguran dan dengan imbangan bayaran yang positif.

Kepada isi rumah, subsidi akan dapat menurunkan harga barang dan perkhidmatan, khususnya keluaran firma monopoli, oligopoli dan persaingan bermonopoli yang memiliki kuasa penentuan harga, atau kuasa penentuan keluaran. Semua kategori firma yang disebutkan itu cenderung untuk menetapkan harga yang tinggi dan keluaran yang rendah bagi memaksimumkan keuntungan masing-masing. Kawalan harga secara langsung dan secara tidak langsung dilakukan oleh kerajaan supaya pengguna atau isi rumah menikmati harga yang lebih rendah, tetapi dengan tingkat keluaran yang lebih banyak.

Andainya firma masih dapat mempertahankan sekurang-kurangnya untung normal (balik modal), maka subsidi kepada firma tidak perlu diberikan. Balik modal bererti firma tidak menikmati lebihan untung, tetapi segala kos eksplisit dan kos implisit telah diambil kira dalam menentukan untung ekonomi. Maksudnya, ganjaran untuk pemilik firma (termasuk kos lepas) telah dimasukkan sebagai komponen kos pengeluaran.

Namun, firma monopoli tidak dapat bertahan dengan keadaan untung kurang normal (rugi) justeru kos permulaan (overhead) akan mengambil masa yang lebih lama untuk ditebus. Lagi pun bagi mencapai tahap ekonomi bidangan, skala pengeluaran secara besar-besaran diperlukan. Maka, kerajaan perlu memberi subsidi sebanyak kerugian yang ditanggung supaya firma akan terus beroperasi.

Dalam isu harga bahan api petroleum, khususnya Ron 95, bagi setiap satu liter pembelian runcit, jumlah subsidi yang diberikan ialah RM0.64. Berdasarkan harga semasa, isi rumah dan firma akan terpaksa membayar sebanyak RM2.54 seliter jika subsidi ditarik balik sepenuhnya. Harga Ron 97 yang diapungkan telah mencecah harga RM2.90, iaitu paras tertinggi dalam sejarah harga runcit petroleum di Malaysia.

Segala pembiayaan awam termasuk subsidi sebenarnya berpunca daripada kantung pembayar cukai. Beban subsidi yang menghampiri angka RM30 bilion setahun mungkin sekali bercanggah dengan tujuan kutipan hasil kerajaan bagi membiayai perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan. Isu subsidi jarang-jarang dibangkitkan 10 atau 20 tahun silam justeru penggunaan bahan api kenderaan tidak setinggi hari ini.

Pada dekad-dekad 1980-an dan 1990-an bilangan budak sekolah yang memiliki motosikal dan kereta di sesebuah sekolah boleh dihitung dengan jari sahaja. Kebanyakannya hanya mampu menunggang basikal cabuk atau menaiki bas sekolah. Guru-guru sandaran terlatih yang baharu ditempatkan akan mengambil masa dua tiga tahun untuk mengintai kereta terpakai kerana gaji permulaan hanyalah RM880 - RM1,000 (siswazah), atau RM600 - RM700 (lulusan maktab perguruan) tanpa elaun khidmat awam, tanpa elaun perumahan dan tanpa elaun bantuan sara hidup seperti hari ini.

Pemandu bas boleh dikatakan "berlagak" kerana penumpang terpaksa menunggu hingga dua tiga jam di hentian menunggu bas sebelum berjaya memberhentikan bas untuk ke pekan. Pemilik kenderaan persendirian berpeluang membuat pahala besar kerana sering diperlukan bagi menolong jiran-jiran yang ada urusan kecemasan, khususnya untuk ke rumah sakit (hospital). Pemandangan laman rumah lapang sahaja, tidaklah seperti sekarang yang dipenuhi pelbagai jenis kenderaan.

Zaman sudah jauh berubah. Kini, budak sekolah dan pekerja am rendah (PAR) sudah mampu memandu Proton Wira ke sekolah atas sebab mobiliti sosioekonomi, di samping peluang meraih pendapatan sampingan yang terbuka luas. Kawasan tempat letak kereta (parkir) di bandar-bandar besar tidak pernah kecukupan pada waktu puncak hinggakan mudah bagi petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) mengeluarkan kompaun.

Dianggarkan bilangan kenderaan yang aktif menjalar di jalan raya Malaysia sudah menghampiri angka 12 juta unit semuanya, belum lagi termasuk kenderaan asing daripada Negeri Thai dan Singapura. Petrol bersubsidi hanya untuk warganegara Malaysia, tidak kira kenderaan mewah, sederhana, mahupun yang ala-ala sahaja. Makin banyak penggunaan petrol seseorang, makin banyaklah subsidi yang ditanggung oleh pembayar cukai.

Berdasarkan perkiraan konservatif, orang-orang berpendapatan tinggi yang memiliki banyak kenderaan akan memanfaatkan bahagian subsidi yang lebih besar secara berbanding. Dalam bahasa mudahnya, pembiayaan awam disalurkan kepada sasaran yang sipi. Pada era Pak Lah dahulu setiap pemilik kenderaan diberikan wang tunai hingga RM600 bagi menyerap kesan kenaikan harga petrol.

Khabarnya mekanisme yang lebih kurang sama akan dikaji supaya subsidi akan menemui sasaran sebenar, dan bukan kepada orang-orang kaya yang tidak pernah menghiraukan meter bayaran ketika mengisi minyak kenderaan mewah masing-masing. Selain itu, operator pengangkutan awam dan pihak industri akan diberi rebat cukai berdasarkan penggunaan petrol yang direkodkan secara munasabah dan sah. Dengan itu, alasan peniaga untuk menaikkan harga barang sesuka hati tidak berbangkit lagi...

Tuesday, May 24, 2011

PEMAHAMAN KOMSAS PERTENGAHAN TAHUN TINGKATAN 4,5 (THE PROBLEM OF IDENTIFYING THE LEVEL OF ASSIGNMENTS)

Pengenalan

Soalan 2 bagi kertas 2 Bahasa Melayu ialah bahagian pemahaman yang dipecahkan kepada 4 bahagian, iaitu:

1   Petikan Umum

2   Prosa Moden:  Cerpen / Drama (antologi Harga Remaja / Dirgahayu Bahasaku)

3   Prosa Klasik  (antologi  Harga Remaja / Dirgahayu Bahasaku)

4   Puisi Moden / Puisi Tradisional  (antologi Harga Remaja / Dirgahayu Bahasaku)

Lazimnya setiap satu bahagian akan membawa 9 markah, kecuali bahagian prosa klasik yang membawa 8 markah. Jumlah markah bagi soalan 2 ialah 35. Berdasarkan nisbah markah dan masa 110:180, murid disarankan mempeuntukkan masa maksimum 55 minit bagi menjawab soalan 2 ini.

Aras Item Soalan

Secara am, terdapat tiga aras soalan yang dikemukakan, iaitu:

1   aras petikan:  maksud rangkai kata, ambilan jawapan dalam petikan

2   aras kbkk:  pendapat sendiri; ambilan jawapan luar petikan

3   aras komsas:  elemen komsas (tema, watak, perwatakan, latar, nilai, persoalan, pengajaran, teknik plot); huraian peristiwa, jika perlu.

bersambung...

Monday, May 23, 2011

PENGAMBILAN ARAK DI MALAYSIA PARAH (HEAVY ALCOHOL DRUNKEN INCREASE CRIME RATE)

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan Malaysia dalam 10 negara teratas pengambilan arak dengan anggaran perbelanjaan RM1.5 bilion setahun. Perangkaan itu sangat menakutkah, apatah lagi kerana arak yang merupakan ibu segala kejahatan dijual secara secara berleluasa di negara yang memaktubkan Islam sebagai agama persekutuan. Kini, pengeluar arak mengeksploitasi kandungan nutrisi arak kononnya mengandungi vitamin yang tidak memudaratkan peminum.

Pengharaman arak telah jelas dalam ajaran Islam. Tidak kira arak itu ada faedah atau tidak, arak tetap haram justeru mudaratnya menutup segala faedah yang cuba dicanangkan itu. Setitik arak pun ditegah, apatah lagi jika ditunggang berbotol-botol.

Apabila minda telah dikuasai arak, pemikiran peminum sudah tidak normal. Mereka boleh melakukan perkara-perkara di luar jangkaan seperti jenayah dan pemanduan yang berbahaya. Sejumlah 30 peratus  kemalangan jalan raya juga dikatakan berpunca daripada pemandu yang mabuk alkohol.

Kawasan penjualan arak secara terbuka di Sri Hartamas dan Bangsar di Kuala Lumpur, serta Greentown Business Centre di Ipoh sangat membimbangkan. Kalau dilakukan operasi tangkapan, barangkali bilangan peminum dalam kalangan segelintir orang Islam dapat diketahui. Kelab eksklusif persendirian yang dianggotai orang-orang kenamaan mungkin sukar untuk diserbu sebagaimana aktiviti perfileman yang seolah-olah diberi lesen pergaulan bebas bukan mahram.

Jika Amerika Syarikat menguatkuasakan undang-undang melarang remaja di bawah umur 21 tahun daripada meneguk arak di tempat terbuka, maka lebih-lebih lagi di negara kita. Remaja yang terbabit dengan arak hendaklah ditangkap, dibicarakan dan seterusnya dihantar menjalani proses pemulihan. Ibu bapa remaja yang terbabit pula perlu membayar bon jaminan supaya kesalahan anak mereka tidak berulang.

Tindakan tegas terhadap orang Islam yang minum arak secara terbuka hendaklah dilaksanakan tanpa memilih bulu, termasuk majlis orang kenamaan dan selebriti. Mereka dihadapkan ke mahkamah syariah untuk proses pendakwaan dan sabitan hukuman. Pengusaha premis hiburan dan kedai-kedai yang menjual arak kepada orang Islam hendaklah dianggap bersubahat, serta disiasat untuk tindakan lanjut seperti penggantungan lesen perniagaan dan pendakwaan.

Tokoh-tokoh korporat Islam yang memiliki saham dalam syarikat berkaitan dengan pengeluaran arak juga diberi masa untuk menarik keluar wang mereka serta-merta, atau berhadapan dengan tindakan pendakwaan. Organisasi amanah awam seperti K*** dan L*** mesti membersihkan sekecil manapun pembabitan dalam kepentingan syarikat pengeluaran arak. Usahawan Islam yang terbabit dengan syarikat arak di luar negara juga mesti diberi amaran keras, tidak kira status yang mereka miliki.

Penagih arak bukanlah golongan sengkek yang tidak tahu tentang larangan dan mudarat pengambilan arak. Mereka mempunyai kedudukan dan wang ringgit sehingga mampu membeli arak berjenama luar negara. Mereka juga memiliki kelayakan akademik dan profesional yang tinggi.

Sebagai penagih arak tegar tetapi berkedudukan tinggi, pendekatan pujukan mungkin sekali dipandang sebelah mata oleh golongan tidak tahu malu itu. Maka, langkah paling tepat ialah memberi tempoh masa yang tertentu supaya mereka menghentikan tabiat buruk minum arak sebelum berhadapan dengan pendakwaan di mahkamah syariah. Sebagaimana najis dadah, usaha memerangi ketagihan arak juga hendaklah dilancarkan dengan kadar yang paling segera...

Sunday, May 22, 2011

KARANGAN RESPONS TERTUTUP PERTENGAHAN TAHUN TINGKATAN 5 (WRITING SKILLS IN EXAM SETTING)

Pengenalan

Pada keseluruhannya didapati kebanyakan murid terlalu menjaga lenggok bahasa seperti unsur kecindan dan bunga bahasa sehinggakan bahagian isi dan huraian yang sepatutnya merujuk bahan rangsangan agak sipi dan tersasar. Memanglah aspek kebahasaan sangat penting, tetapi harus diingat bahawa penguasaan bahasa dalam penulisan bergantung sepenuhnya terhadap ketepatan menjawab tugasan. Dalam konteks karangan respons tertutup, atau karangan Bahagian A untuk pelajar tingkatan empat dan lima, pemarkahan ditentukan oleh keakuran terhadap tugasan yang ditetapkan isi dan huraiannya menerusi bahan rangsangan yang diuji.

Sepintas Lalu Tentang Tugasan

Penulisan karangan Bahagian A memperuntukkan jumlah markah sebanyak 30. Tempoh masa yang dicadangkan ialah 45 minit sahaja. Panjang huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Bahan rangsangan yang disediakan boleh jadi berbentuk gambar, carta, dialog, cogan kata dan sebarang bentuk komunikasi yang lain. Kebiasaanya hanya tiga atau empat isi yang terkandung dalam bahan rangsangan. Sejajar dengan sifatnya yang tertutup, hanya isi yang dipaparkan dalam bahan rangsangan sahaja yang perlu diberikan huraiannya.

Murid hendaklah menjaga diri supaya tidak terlalu beremosi hingga menulis tentang perkara-perkara yang tidak terkandung dalam bahan rangsangan. Penyampaian isi dan huraian hendaklah jelas seumpama perbezaan benang hitam dengan benang putih. Kalaupun hendak menyelitkan bunga bahasa, jargon, klise dan kecindan biarlah berpada-pada supaya tidak menenggelamkan maksud penyampaian isi dan huraian yang menepati tumpuan tugasan.

Bahagian Pendahuluan

Perenggan pendahuluan seharusnya merangkumi komponen-komponen berikut:

1   menyebut semula tugasan

2   menggambarkan isi yang bakal ditulis

3   menyentuh kepentingan tajuk tugasan

4  unsur kecindan seperti peribahasa, kata hikmat, petikan ucapan, atau sebarang sumber penulisan tokoh

Cara menulis pendahuluan bergantung kepada kreativiti murid. Tiada satu peraturan muktamad yang mengongkong sesiapa. Murid tidak perlu berlama-lama dalam menulis pendahuluan justeru bahagian isi dan huraian sebenarnya lebih mustahak untuk diberikan penekanan.

Bahagian Isi

bersambung...

Saturday, May 21, 2011

MEMILIH TARIKH HARI LANGSUNG (CHOOSING THE RIGHT WEDDING DATE)

Institusi rumah tangga yang dibina daripada sebuah mahligai perkahwinan ialah asas pembentukan sesebuah masyarakat yang sejahtera. Dengan mencantumkan sejumlah perbezaan antara dua insan, pasangan suami isteri bakal mengemudi sebuah organisasi kecil tetapi sangat penting terhadap kelangsungan keturunan, kepercayaan, adat resam, budaya, jati diri dan perjuangan. Drama, intrig, komplot, konflik, sabotaj dan pelbagai bentuk cabaran yang silih berganti ialah asam garam kehidupan berumah tangga.

Keutuhan sesebuah keluarga bergantung kepada tahap ilmu dan mutu kepimpinan suami isteri yang bakal menjadi ibu dan bapa jika dikurniakan nikmat berkenaan. Orang yang tidak menghargai ilmu akan bertindak mengikut perasaan yang mudah pula dipengaruhi oleh hawa nafsu dan syaitan. Seterusnya, proses membuat keputusan tentang saraan hidup dan keperluan keluarga lebih baik berada di tangan kepimpinan yang memiliki pertimbangan yang halus lagi matang.

Dalam masyarakat Melayu, sebelum ijab kabul disempurnakan, proses merisik dan meminang terlebih dahulu dilaksanakan. Perbincangan tentang belanja hantaran dan tarikh langsung perlu dimuktamadkan oleh kedua-dua keluarga lelaki dan perempuan. Terdapat juga pasangan yang selamat diijabkabulkan, tetapi memilih tarikh yang berbeza untuk hari langsung.

Penetapan hari langsung tertakluk kepada kesediaan dan persiapan kedua-dua belah pihak. Si lelaki mungkin memerlukan masa untuk mencukupkan belanja hantaran yang sudah mencecah RM10k dan ke atas. Walaupun pinjaman mudah koperasi dan bank senang diperoleh, kaedah kahwin hutang seperti itu menjejaskan kewibawaan si lelaki dari segi kemampuan kewangan. Jika tabiat berhutang sudah dimulai, kelak seumur hidup terbelenggu dengan beban hutang keliling pinggang.

Tempoh bertenang diperlukan justeru segala persiapan majlis dan senarai jemputan dimuktamadkan tanpa tercicir perkara-perkara yang penting. Majlis keramaian perkahwinan bukanlah bertujuan menunjuk mewah atau riak, tetapi lebih kepada pengisytiharan sebuah keluarga baharu. Kenduri yang dianjurkan dapat mengeratkan kemesraan antara anggota keluarga dan handai taulan jauh dan dekat, di samping mengukuhkan semangat kejiranan di sesuatu kawasan.

Antara kriteria pemilihan tarikh langsung ialah:

1   kelapangan para jemputan untuk hadir memeriahkan majlis

2   kelengkapan khemah, kerusi meja dan hiasan

3   cuaca yang tidak menentu

4   sewaan atau tempahanpersalinan busana mempelai

5   persetujuan jurunikah (naib kadi) dan saksi, jika memilih tarikh yang sama

6   oleh-oleh untuk tetamu, sama ada bunga telur, gula-gula, kerepek atau jajan

Friday, May 20, 2011

JAHILIYYAH MODEN (SENSATE CULTURE)

Dari segi bahasa, jahil bererti bodoh, tidak mengetahui, atau cetek pengetahuan dalam sesuatu perkara, khususnya tentang Islam (Kamus Dewan edisi IV: 598). Jahiliah sebagai kata terbitan jahil pula dinisbahkan kepada gelaran atas umat Arab (sebelum lahirnya Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam) yang tidak menerima kebenaran Islam. Terdapat empat jenis kejahilan, iaitu:

1   jahil basit: orang yang jahil tetapi sedar akan kejahilannnya

2   jahil murakab:  orang yang jahil tetapi tidak pula menyedari kejahilan dirinya

3   jahil teropong:  bodoh dan tidak mahu menerima ajaran-ajaran orang

4   jahil tukil:  terlalu jahil

Masyarakat Arab jahiliah didominasi oleh pemuka-pemuka Quraisy yang berkepentingan. Terdapat sekumpulan pemimpin dan penyair yang hebat. Syair-syair terpilih digantung di sekitar Kaabah ketika itu.

Penyair jahiliah berjaya mencipta bait-bait puisi yang menyihir kalbu peminat-peminat bahasa, tetapi kontang dari sudut tauhid dan keimanan. Mereka mengembara di lembah-lembah buat mencari ilham, tetapi ditempelak oleh al-Quran. Pemujaan terhadap patung-patung berhala dan kebendaan ialah perbuatan yang zalim lagi jahil.

Moden pula bererti masa sekarang, berkaitan dengan masa kini, mutakhir, cara atau kaedah baru, atau yang terbaru (Ibid: 1039). Moden dianggap terpisah dengan masa silam, terpencil atau apa-apa yang bersifat purba. Moden juga menjadi inti pati fahaman sekular yang mementingkan duniawi semata-mata tanpa kaitan dengan nilai-nilai agama.

Permulaan era moden sering dikaitkan dengan revolusi industri di Eropah pada kurun ke-17 Masihi. Kemudian, muncul istilah seperti pascamoden (post-modern) yang merujuk zaman selepas kurun berkenaan. Proses pemodenan atau modenisasi anjuran Barat telah menjebak masyarakat dunia ketiga di bawah pengaruh kebendaan dan sekularisme, serta terpisah daripada jati diri dan tradisi yang diwarisi generasi demi generasi.

Thursday, May 19, 2011

PROSPEK NAMA PENGGANTI PTK (THE NEW PUBLIC SERVICE PERFORMANCE MEASUREMENT)

Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam, atau singkatan bahasa Inggerisnya Ceupacs, yang dikuasai kakitangan kumpulan sokongan menandatangani persetujuan bersama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang ditunjangi oleh pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) tentang penilaian baru kompetensi. Datuk Omar Osman, presiden Ceupacs dan Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, ketua pengarah JPA mewakili organisasi masing-masing. Nama yang dimuktamadkan bagi penilaian terbaharu itu ialah PROSPEK, atau Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi. 

Sejumlah lapan prinsip yang menjadi teras penilaian kompetensi yang bakal dilaksanakan mulai 1 Julai ini ialah:

1   falsafah

2   tujuan

3   dimensi kompetensi

4   kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi

5   fleksibiliti

6   kawalan kualiti

7   ganjaran

8   pencapaian penilaian

JPA memberi jaminan bahawa Prospek adalah terbuka kepada penambahbaikan dari masa ke masa...

MENGEKALKAN SEMANGAT BELAJAR DI TINGKATAN 6 (THE OTHER SIDE OF THE QUITTERS)

Tahap motivasi seseorang pelajar ada pasang surut atau turun naik. Motivasi dalaman kendiri yang berkobar-kobar mungkin diancam oleh unsur persekitaran seperti rakan sebaya dan cakap-cakap yang menggoncang pendirian. Pelajar tingkatan 6 mesti ada perisai minda bagi menidakkan panah-panah beracun yang dilancarkan ke arah mereka.

Walaupun hati boleh dipujuk supaya melupai segala kesilapan pembelajaran masa lalu, sebaliknya sentiasa mahu memberi kesempatan kepada diri untuk menggunakan laluan pengajian tingkatan 6 untuk mendaki mercu kejayaan, asakan hebat persekitaran tidak pernah berhenti. Keluhan spontan yang berciri negatif seperti "susahnya", "bosannya", "blurr", "langsung tidak menarik" dan seumpamanya berpotensi menjerumuskan pelajar ke kancah hilang tumpuan dan terpedaya. Janji dan komitmen semasa mula-mula mendaftar sebagai pelajar tingkatan 6 beransur pudar.

Anggapan bahawa proses pembelajaran perlu sentiasa disulami gelak ketawa dan kelucuan melemahkan keinginan untuk menekuni garapan ilmu yang bersandarkan hukum, teori, hipotesis, rumus, penyelidikan dan inovasi yang lebih abstrak sifatnya. Uji kaji di makmal dan perbincangan konsep akademik bukanlah seperti sebuah majlis hiburan yang bersifat santai dan bersahaja. Unsur kecindan seperti jenaka yang sopan dan berciri ilmu memang sangat digalakkan supaya proses pembelajaran akan lebih berkesan, tetapi tidak seharusnya mengambil alih aktiviti bilik darjah sehingga bersifat dominan.

Persediaan pengajian tinggi memerlukan setiap pernyataan isi disokong oleh pembuktian data dan hujah yang sah, dipercayai dan jitu. Data pula boleh bersifat kuantitatif mahupun kualitatif. Dalam mata pelajaran Pengajian Am misalnya terdapat komponen alih komunikasi daripada prosa ke carta, dan sebaliknya.

Pelajar prauniversiti juga hendaklah berkebolehan menulis ayat inferens berdasarkan tugasan. Tidak cukup sekadar berjaya melengkapkan jalan kiraan tanpa memberi tafsiran terhadap dapatan berkenaan. Maka, segala data, gambar rajah, rumus dan seumpamanya hanya bersifat alat untuk sampai kepada satu kesimpulan atau teori yang sebenarnya dikehendaki.

Mata pelajaran Ekonomi sebagai contoh memang banyak menggunakan keluk, model dan persamaan matematik sebagai alat untuk menyampaikan konsep dan teori. Sehebat mana pun seseorang pelajar menguasai alat-alat analisis yang disebutkan tadi, alat-alat itu tidak seyogia menggantikan penjelasan konsep, atau teori yang hendak dijelaskan. Dalam kata lain, peranan alat analisis lebih menjurus kepada pembelajaran induktif (daripada tidak tahu kepada tahu, daripada konkrit kepada abstrak), tetapi setelah sesuatu konsep atau teori dapat dijelaskan, peranan alat analisis akan menjadi sekunder, atau berbentuk penjelasan deduktif.

Sesungguhnya kecemerlangan tercapai menerusi disiplin dan tumpuan. Pelajar prauniversiti mesti akur dengan saranan pembelajaran tahap tinggi yang disebut oleh pensyarah yang merupakan pakar isi pelajaran dan pakar kaedah yang berpengalaman luas. Jalan pintas untuk menempa kejayaan mungkin sahaja masih ada, tetapi risikonya cukup tinggi...

Tuesday, May 17, 2011

PENULISAN RUMUSAN BM2 TINGKATAN 4, 5: PRINSIP DAN KESILAPAN (IDENTIFYING ERRORS IN WRITING)

Pengenalan

Di peringkat menengah atas, iaitu tingkatan 4 dan 5, rumusan bermaksud menulis sejumlah isi yang merangkumi pendahuluan, isi tersurat (dicadangkan 6), isi tersirat (dicadangkan minimum 2) dan kesimpulan. Pada keseluruhannya, jawapan rumusan hendaklah cukup 10 isi dan ditulis tidak melebihi had 120 patah perkataan. Berdasarkan jawapan murid tingkatan 5 untuk peperiksaan pertengahan tahun baru-baru ini, beberapa kesilapan masih berlaku dan murid mestilah mengambil tindakan segera bagi menambah baik mutu jawapan yang dipersembahkan jika berhajat mencatat markah maksimum 30. 

Bahagian Pendahuluan

Sekurang-kurangnya kata tugas dalam ayat soalan sebelum dan digantikan dengan perkataan yang setara. Murid disarankan supaya menulis pendahuluan dalam satu ayat dan satu perenggan khas. Contoh ayat soalan berdasarkan kertas peperiksaan yang disediakan oleh JPN Perak:

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang cara-cara mengawal kandungan gula dalam tubuh badan dan manfaat gula kepada setiap individu. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Tumpuan jawapan ialah kepada bahagian ayat bercetak huruf tebal secara menegak sebelum dan, iaitu cara-cara mengawal kandungan gula dalam tubuh badan. Jelas bahawa kata tugas yang perlu digantikan ialah cara-cara. Maka, ayat pendahuluan boleh ditulis sebagai:

Petikan membincangkan (perkataan setara) mengawal kandungan gula dalam tubuh badan. 

Terdapat juga murid yang memasukkan sekali bahagian ayat selepas dan. Hal itu boleh dielakkan jika murid menyedari bahawa petikan ialah berkonsep tersurat, iaitu seperti yang tercetak. Bahagian selepas dan hanya merujuk kepada tugasan isi tersirat.

Bahagian Isi Tersurat

Konsep isi  tersurat ialah seperti yang tercetak. Isi bermaksud tiada huraian diperlukan. Huraian pula ialah frasa penerangan selain subjek dan predikat dalam ayat.

Kesilapan murid ialah memasukkan sekali huraian hingga mengakibatkan jumlah perkataan yang berlebihan. Contohnya ayat berikut:

Kita perlu menjauhi minuman ringan yang melambak di pasaran kerana kandungan gula dalam minuman tersebut amat tinggi. (jumlah perkataan = 16)

Bahagian isi:  Kita perlu menjauhi minuman ringan.   (jumlah perkataan = 5)

Huraian:  yang melambak di pasaran (kata pancangan yang memisahkan isi dengan huraian).

Huraian lanjut / tambahan: kerana kandungan gula dalam minuman tersebut amat tinggi. (bahagian selepas kerana ialah huraian)

bersambung...

PENGUMUMAN GEMBIRA UNTUK GURU? (CONCERNING ON TEACHER'S WELFARE)

Maklum balas terhadap pengumuman kerajaan tentang penambahbaikan skim perkhidmatan keguruan sempena sambutan hari guru nampaknya menjurus kepada kumpulan dua peratus guru yang menyandang jawatan pentadbiran, iaitu pengetua, penolong-penolong kanan, di samping sebilangan guru cemerlang. Perkiraan implikasi kewangan emolumen untuk ganjaran naik pangkat dan kemudahan lain pastilah menjadi sebab bahawa 98 peratus guru kategori lain harus menunggu lagi. Jumlah guru sekolah bantuan kerajaan yang telah melepasi angka 400,000 orang semuanya membentuk kira-kira 30 peratus perjawatan dalam perkhidmatan awam.

Guru-guru yang tidak memegang sebarang jawatan pentadbiran, atau bukan guru cemerlang dikategorikan sebagai guru pengajaran dan pembelajaran (PDP), guru biasa atau guru penolong. Menerusi proses pensiswazahan guru dan kelayakan sarjana muda yang dikeluarkan oleh institut perguruan di seluruh negara, maka tidak lama lagi semua guru akan memiliki kelayakan minimum ijazah asas. Bilangan guru yang memiliki ijazah tinggi, iaitu sarjana dan doktor falsafah juga makin bertambah tahun demi tahun.

Dalam struktur perjawatan awam di Malaysia, selain skim pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dan profesional terpilih, peluang kenaikan pangkat dan gred gaji pegawai memang sangat berbeza. Seseorang PTD mungkin hanya memerlukan 8 tahun perkhidmatan untuk berada pada gred M48, sedangkan guru mungkin perlu menunggu hingga ke hujung perkhidmatan, atau 25 tahun perkhidmatan. Sebilangan PTD boleh mencapai gred gaji Jusa A hingga C apabila diberi tanggungjawab besar di peringkat kementerian atau agensi penting persekutuan dan negeri.

Majoriti guru juga tidak berpeluang menghadiri persidangan atau seminar antarabangsa yang berkaitan dengan bidang tugas mereka. Kalau ada pun, tempat itu akan disambar oleh pegawai perkhidmatan pendidikan yang bertugas di peringkat kementerian, jabatan atau PPD. Kunjungan ke luar negara pun dengan wang kocek sendiri, itu pun sekadar destinasi perbelanjaan murah seperti Bandung, Beijing dan Makkah.

Guru PDP yang bertaraf pegawai lebih teruk kedudukannya berbanding dengan kumpulan sokongan yang ditempatkan di pejabat sekolah, apatah lagi di peringkat lebih tinggi. Setiap pembantu tadbir dan pembantu guru memiliki meja dan kerusi eksekutif, serta lengkap dengan komputer meja berinternet dan kemudahan alat tulis yang lain. Guru PDP sebaliknya hanya bersesak-sesak dalam bilik guru, berkongsi beberapa unit komputer dan satu unit pencetak.

Pegawai-pegawai di pejabat memiliki ruang kerja sendiri yang tertutup. Tiada siapa yang tahu kaedah  memantau pencapaian pegawai-pegawai berkenaan sama ada mereka benar-benar mengoptimumkan waktu pejabat untuk tujuan produktif, atau "menghabiskan beras" pembayar cukai sahaja. Rungutan orang ramai tentang hal itu tidak boleh dipandang ringan.

Guru PDP pula bekerja secara terbuka. Bilik guru bukanlah ruang eksklusif atau kawasan larangan secara menyeluruh. Malah, dinding bilik guru juga digambarkan boleh bercakap, iaitu segala butiran perbualan yang mungkin bertaraf gosip, luahan perasaan dan seumpamanya akan sampai ke pengetahuan pihak atasan menerusi "pengintip sukarela".

Cabaran paling besar ialah menghadapi sejumlah murid yang memiliki akses kepada pelbagai maklumat, bahkan memiliki akses untuk mengenakan guru PDP. Murid ialah pelanggan dan mereka mesti digembirakan sepanjang masa. Guru mesti melaksanakan amalan terbaik PDP dan perlu akur kepada pelbagai arahan, piawaian dan unjuran pihak berkuasa pendidikan pelbagai peringkat.

Pendek kata, guru dikehendaki menggembirakan macam-macam pihak walaupun diri mereka sendiri tidak digembirakan oleh sesiapa. Berabad-abad yang lalu, bapa sosiologi moden, Ibnu Khaldun pernah menulis perihal yang sama tentang kedudukan kaum guru dalam susun lapis masyarakat. Di Malaysia, guru masih dikira bernasib baik kerana dasar pelantikan bukan berasaskan konsep hire and fire seperti di Amerika Syarikat yang mengamalkan disentralisasi sistem pendidikan.

Rakan penulis blog (PB), Cikgu H mengirim mesej pesanan ringkas (SMS): CIKGU = Cerdik Insan Kerana Guru Unggul. Di sebalik segala kesukaran yang dilalui, keihlasan kaum guru akan tetap dihargai. Allah jua yang akan memberi ganjaran yang selayaknya...

SELAMAT HARI GURU!!!

Saturday, May 14, 2011

PERANAN KETUA KELAS (CLASSROOM LEADERSHIP)

Sesebuah bilik darjah ialah ibarat sebuah dunia kecil, atau bayangan masyarakat sebenar. Ruang bilik darjah tradisional biasanya berbentuk segi empat, memiliki bilangan tingkap dan pintu yang mencukupi bagi fungsi pencahayaan dan pengudaraan. Selain itu, kerusi meja dan papan tulis merupakan kelengkapan wajib untuk membantu berlangsungnya proses pembelajaran.

Bilik darjah yang selesa sudah tentu perlu diuruskan oleh sekumpulan murid yang menjadi "tuan punya" bilik darjah. Murid sesebuah bilik darjah dipilih menerusi proses saringan tertentu oleh pihak sekolah. Di samping pelantikan guru kelas bagi urusan pentadbiran hal ehwal murid, setiap kelas akan memiliki susun lapis kepimpinan dan kepengikutan yang tersendiri.

Pemilihan ketua kelas boleh jadi dilakukan secara undian popular, atau ditunjuk terus oleh guru kelas. Pihak sekolah kemudiannya akan menganugerahkan watikah pelantikan secara rasmi bersekali dengan pelantikan pengawas sekolah, pengawas pusat sumber dan pembimbing rakan sebaya. Ketua kelas dan penolongnya juga secara automatik akan menganggotai majlis ketua kelas yang dikawal selia oleh panel guru penasihat tertentu.

Bagi memantapkan ilmu kepimpinan dan pengetahuan tentang strategi utama sekolah, ketua-ketua kelas harus melalui kursus khas. Dengan itu, ketua-ketua kelas dan penolong masing-masing akan berada pada kedudukan lebih ke hadapan daripada murid lain. Mereka telah ditauliahkan secara rasmi.

Sebagai pemimpin organisasi, ketua kelas mestilah menonjolkan keutuhan (integrity) supaya peranan mereka sentiasa dihormati dan boleh diharapkan. 

bersambung...

Friday, May 13, 2011

GURU CEMERLANG JANA PENCAPAIAN (REMARKABLE TEACHERS CREATE WINNING ATTITUDE)

Maklumat sambutan hari guru yang disalin daripada laman sesawang rasmi.

Pengenalan

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

OBJEKTIF-OBJEKTIF HARI GURU
  • Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • Menarik perhatian ibu bapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  • Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibbah antara guru.
  • Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  • Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu boleh berkesan.

IKRAR HARI GURU

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.
Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
                                       Pada setiap masa.

Tema sambutan

2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara
2010 Guru Pembina Negara Bangsa
2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara


Peranan Guru sebagai pendidik

Semasa pengajian di UIAM, penulis blog (PB) mendapat pendedahan metafora keguruan berdasarkan perspektif Islam daripada sarjana terkemuka seperti Syed Naquib al-Attas (Prof. Dr.), Kamal Hassan (Prof. Dr.), Arrifin Suhaimi (Prof. Dr.), Hassan Langgulung (Prof. Dr.), Atan Long (Allahyarham Prof. Dr.), Ghazali Basri (Prof. Dr.), Musak Mantrak (Allahyarham Dr.), Shahari Nordin (Dr.), Rosnani Hashim (Dr.), Yacob Nong (Allahyarham Dr.) dan banyak lagi. Di UM pula Ahmad Zabidi Abdul Razak (Dr.), Charil Marzuki (Prof. Dr.), Sufean Hussien (Prof. Dr.), Noraini Idris (Prof. Dr.), Sharifah Nurul Akmar (Prof. Madya Dr.), Mohd Sani Ibrahim (Dr.), Ong Chong Sooi, Umi Kalsum Mohd Salleh, Rahmad Shukor (Prof. Madya), Suradi Salim (Prof. Dr.) dan lain-lain. Adunan input intelektual, penyelidikan dan tugasan telah membawa PB menerokai pelbagai jalur pemikiran tentang pendidikan.

Di UIAM, penekanan tentang murabbi, murabbiah (pendidik lelaki dan wanita) tidak pernah lekang daripada peringatan para pensyarah. Hadith "Addabani Rabbi, fa ahsana ta'dibi" juga sentiasa diulang-ulang agar Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam secara muktamad menjadi rujukan teratas para pendidik. Sifat Nabi: Siddiq (benar), Amanah, Tabligh (menyampaikan), Fatonah (bijaksana) diolah semula dalam konteks pendidikan semasa.

Kriteria murabbi, murabbiah juga hendaklah selaras dengan anjuran al-Quran (surah al-Mukminun, 23: 1 - 8) yang menggariskan ciri insan yang diredai:

1   Khusyu’ dalam solat

2   Menjauhkan diri daripada perbuatan / perkataan yang sia-sia

3   Menunaikan zakat

4   Menjaga kehormatan

5   Memelihara amanah dan janji

6   Memelihara solat

Tugas utama guru ialah memupuk pembelajaran sama ada di dalam atau di luar bilik darjah. Murid dan pelajar bukan sahaja memberi perhatian terhadap kurikulum rasmi, tetapi juga kurikulum tersembunyi. Maka, guru harus peka dengan segala aspek amalan pedagogi terbaik, keperibadian, dan sahsiah sama ada zahir atau batin.

Antara muhasabah (penilaian kendiri) sempena sambutan hari guru 2011:

1   iltizam tertinggi

2   akur kepada bai’ah (ikrar keguruan)

3   mengutamakan murid

4   amalan pedagogi terbaik – kajian tindakan DS / OL (diri sendiri, orang lain)

5   komunikasi / interpersonal

6   ikhlas

7   sabar (membaiki tingkah laku)

8   tidak lari daripada majikan / tidak ingkar arahan

8   ekuiti / adil kepada murid à pendemokrasian pendidikan: Q untuk semua

9   menjaga wibawa

10  menepati / mendahului masa

Thursday, May 12, 2011

KECEMERLANGAN PENDIDIKAN MENERUSI BAHASA (THE SURVIVAL OF MALAY LANGUAGE)


Kedudukan bahasa Melayu yang dijamin oleh perlembagaan negara kelihatannya terumbang-ambing akibat tahap jati diri yang lemah dalam kalangan segelintir pengkagum Barat yang kebetulan sangat berpengaruh dalam proses membuat keputusan, selain memiliki akses terhadap pembentukan pendapat awam menerusi media. Kelompok bercita rasa Inggeris itu cuba memaksakan fahaman mereka kepada sekalian masyarakat. Hakikatnya ialah mereka tidak pernah berasa sayang walau sekelumit jua terhadap bahasa Melayu.

Kepada puak-puak berkenaan, apa-apa sahaja yang berjenama Melayu sama ada bahasa, budaya, adat resam, seni, karya sastera atau jalur pemikiran dikaitkan dengan kemunduran, ketinggalan zaman dan kuno. Sebaliknya, segala yang datang dari Barat semuanya agung, hebat, maju, mengkagumkan, dan moden. Pendek kata, kalau boleh mereka malu untuk mengaku sebagai Melayu, bahkan berasa rendah diri dan kesal kerana bukan tergolong sebagai orang Barat.

Apabila pejuang bahasa Melayu sesekali bersuara, label seperti antikemajuan, sentimental dan tidak berfikiran jauh segera dilontarkan. Kepesatan perkembangan penemuan baharu dalam bidang sains dan teknologi dijadikan alasan supaya bahasa Melayu diketepikan secara beransur-ansur dalam proses pembelajaran. Nasib baik bahasa Melayu sempat diselamatkan walaupun prosesnya agak perlahan.

Bagi sarjana bahasa yang prihatin, pertukaran nama bahasa Melayu ke bahasa Malaysia tetap menjadi luka yang sukar disembuhkan. Walaupun demikian perkataan Malaysia sendiri berteraskan Melayu, iaitu Tanah Melayu. Namun, mengapakah tiada bahasa Amerika Syarikat, bahasa Australia, bahasa England, bahasa Kanada dan bahasa New Zealand untuk menunjukkan keragaman bahasa Inggeris?

Bahasa Sanskrit terus lenyap kerana tidak diangkat sebagai bahasa ilmu tinggi, sebaliknya hanya dituturkan dalam majlis keramaian dan dihadkan kepada pengucapan bidang sastera. Maka, rasa khuatir tentang nasib bahasa Melayu bukanlah tidak berasas. Sudah tiba masanya kedudukan bahasa tidak boleh dibiarkan terancam oleh pengkagum Barat yang serba-serbi keInggerisan dari segi cara hidup dan pemikiran...

Wednesday, May 11, 2011

CEUPACS MUNGKIN TERLUPA (FOREGONE EARNINGS FOR GRADUATES)

Isu-isu berkaitan emolumen dan faedah-faedah sampingan dalam sistem saraan perkhidmatan awam sangat besar kesannya terhadap daya pengeluaran, penyampaian dan rantaian kegiatan ekonomi yang lain. Di Malaysia, kesatuan sekerja dikuasai oleh kumpulan pertengahan, iaitu perwakilan pekerja yang berkelayakan pendidikan sekolah menengah. Maka, segala desakan dan tuntutan yang ditujukan kepada pihak kerajaan sebagai majikan kebiasaannya lebih menjurus kepada kepentingan kumpulan mereka sahaja.

Harus diakui bahawa kumpulan pengurusan dan profesional juga turut menumpang tuah hasil tuntutan Ceupacs, misalnya umur pencen yang dinaikkan kepada 58 tahun. Begitu juga pelarasan gaji antara 15 - 35 peratus era Pak Lah sebagai perdana menteri. Malah, kerajaan juga akur dengan tuntuan bantuan khas sara hidup (cost of living allowance, Cola).

Tabik kepada Datuk Omar Osman, presiden Ceupacs yang prihatin kepada nasib kumpulan sokongan, iaitu gred 1 hingga 40. Hubungan Ceupacs dengan pegawai tertinggi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan juga kepimpinan tertinggi kerajaan terjalin dengan baik sekali. Ceupacs ialah wadah yang boleh diharapkan.

Perjuangan Ceupacs mengingatkan penulis blog (PB) terhadap satu perbualan antara seorang pemandu dengan seorang guru. Pemandu mengatakan bahawa cikgu mengajar di bawah kipas dan redup mendapat gaji yang lumayan, sedangkan banyak pekerja sepertinya bekerja di tengah panas terik hanya mendapat gaji yang kecil. Si guru spontan mencadangkan supaya mereka bertukar kerja selama seminggu!

Apabila Ceupacs hanya mencadangkan elaun perumahan kumpulan sokongan dinaikkan daripada RM180 ke RM350, sementara kumpulan pengurusan dan profesional dicadangkan kekal seadanya, tentu ada sesuatu yang boleh ditanyakan. Adakah kriteria kelayakan semasa pengisian jawatan sudah tidak penting lagi? Adakah sudah tiba masanya bahawa prinsip pembezaan ganjaran dihapuskan?

Perjalanan kerjaya seorang pegawai kumpulan pengurusan dan profesional

Usia 18-24 tahun masih belajar: perbelanjaan RM500 X 12 bulan X 7 tahun =  RM42,000
Gaji yang dikorbankan kerana memilih untuk belajar =  RM1,000 X 12 bulan  X 7 tahun =  RM84,000
Jumlah pendapatan kasar yang telah dikorbankan sepanjang tempoh pengajian = RM42,000 + RM84,000 = RM126,000

Jika perakaunan inflasi diambil kira dengan kadar rata 5% setahun = RM126,000 + (5% X 7 tahun) = RM170,100.

Begitulah kiraan konservatif dari segi kewangan per se. Bagaimana dengan peluang-peluang lain yang terlepas sama seperti pemilikan harta yang meningkat nilainya, usia perkahwinan yang lebih lewat dan sesenarai panjang lagi? Jika semuanya diambil kira, mungkin nilai RM170k di atas meningkat berkali-kali ganda.

Kehilangan sejumlah pendapatan kewangan dan peluang-peluang lain harus ditebus dengan ganjaran lain kerana tingkat pengetahuan, kemahiran dan sikap yang diperoleh sepanjang tempoh pengajian bagi menyandang tanggungjawab organisasi.

Kepada Datuk presiden, sesekali buatlah analisis tentang perkara yang dipaparkan. Selamat maju jaya Ceupacs. Selamat untuk semua pekerja tanpa mengira kedudukan...

Tuesday, May 10, 2011

KAWALAN MONOPOLI SECARA LANGSUNG (TO ENSURE WELFARE OF THE CONSUMERS)

Pengenalan

Kawalan monopoli ialah langkah campur tangan kerajaan menetapkan tingkat harga dan keluaran yang berlainan daripada tingkat keseimbangan MR = MC. Tujuannya untuk mengurangkan kuasa monopoli yang cenderung mengenakan tingkat harga yang tinggi daqn dengan tingkat keluaran yang rendah. Jika langkah kawalan dapat memastikan sekurang-kurangnya monopoli meikmati untung normal, subsidi kerajaan tidak diperlukan. Hanya jika monopoli mengalami untung kurang normal (rugi), baharulah kerajaan memberikan subsidi sebanyak saiz untung kurang normal yang ditanggung.

Terdapat dua kategori kawalan monopoli, iaitu secara langsung dan secara tidak langsung. Kawalan langsung dibahagikan kepada 3 langkah penetapan harga, iaitu:

1   Pulangan adil: hasil purata = kos purata (AR = AC), monopoli beroleh untung normal ==> tiada subsidi

2   Optimum sosial, beroperasi pada tingkat kecekapan peruntukan:  Harga = kos sut (P = MC), untung lebih normal mengecil;
      jika monopoli semula jadi struktur kos menurun, untung kurang normal ==> perlu subsidi

3   Kapasiti penuh, beroperasi pada tingkat kecekapan pengeluaran:  minimum AC, atau MC = AC; untung lebih normal mengecil;
     jika monopoli semula jadi struktur kos menurun, untung kurang normal ==> perlu subsidi

Dasar Kawalan Harga Pulangan Adil

Menerusi dasar ini, kerajaan menetapkan harga pada tingkat hasil purata sama dengan kos purata, iaitu AC = AR. Kesannya, monopoli masih menerima untung lebih normal, tetapi saiz untung yang dinikmati lebih kecil. Pengguna pula akan menikmati harga yang lebih rendah, tetapi dengan keluaran yang lebih banyak.

~~ lukis gambar rajah ~~

Sebelum kawalan, keseimbangan ialah pada titik E dengan harga Po dan keluaran Qo, dengan untung lebih normal sebanyak OPoAP1. Tingkat keseimbangan tercapai pada keluk kos purata yang sedang menurun. Maksudnya, monopoli tidak beroperasi pada tahap kecekapan pengeluaran (Minimum AC, atau AC = MC), atau tahap kecekapan peruntukan (P = MC). 

Lebihan kapasiti atau pembaziran berlaku sebanyak QoQ1, menyebabkan pengguna harus membayar harga yang tinggi (Po), manakala kuantiti keluaran lebih kecil Qo. Apabila kerajaan menetapkan harga pulangan adil, AR = AC, monopoli akan hanya menikmati untung normal, iaitu kedua-dua hasil purata dan hasil purata berada pada titik A dengan jumlah hasil bersamaan jumlah kos, OP1AQ1

Setelah kawalan, pengguna menikmati harga yang lebih rendah pada P1 dan keluaran lebih banyak, Q1. Hal ini bermakna bahawa kerajaan berjaya mencapai objektif kawalan monopoli iaitu bagi memenuhi fungsi kerajaan dalam memaksimumkan kebajikan pengguna.

Disebabkan monopoli masih menikmati untung normal, maka kerajaan tidak perlu memberikan subsidi.

Dasar Kawalan Harga Optimum Sosial (Tanpa Subsidi)


Harga ditetapkan pada P = MC, atau AR = MC. Kesannya, monopoli masih menerima untung lebih normal, tetapi saiz untung yang dinikmati lebih kecil. Pengguna pula akan menikmati harga yang lebih rendah, tetapi dengan keluaran yang lebih banyak.

~~ lukis gambar rajah ~~

Sebelum kawalan, keseimbangan ialah pada titik E dengan harga Po dan keluaran Qo, dengan untung lebih normal sebanyak OPoAP1. Tingkat keseimbangan tercapai pada keluk kos purata yang sedang menurun. Maksudnya, monopoli tidak beroperasi pada tahap kecekapan pengeluaran (Minimum AC, atau AC = MC). 

Lebihan kapasiti atau pembaziran berlaku sebanyak QoQ1, menyebabkan pengguna harus membayar harga yang tinggi (Po), manakala kuantiti keluaran lebih kecil Qo. Apabila kerajaan menetapkan harga optimum sosial, AR = MC, monopoli masih menikmati untung lebih normal, iaitu pada tingkat keluaran Q1, hasil purata sebanyak Q1A masih melebihi kos purata Q1B. Namun saiz keuntungan sebanyak P1CDQ1 didapati lebih kecil berbanding dengan untung sebelum kawalan sebanyak PoP1AB.

Objektif kawalan tercapai kerana pengguna menikmati harga yang lebih rendah, P1 dan keluaran lebih banyak, Q1. Di samping itu, kerajaan tidak perlu memberikan subdisi kerana monopoli masih memperoleh untung lebih normal.

Setelah kawalan, pengguna menikmati harga yang lebih rendah pada P1 dan keluaran lebih banyak, Q1. Hal ini bermakna bahawa kerajaan berjaya mencapai objektif kawalan monopoli iaitu bagi memenuhi fungsi kerajaan dalam memaksimumkan kebajikan pengguna.

Disebabkan monopoli masih menikmati untung normal, maka kerajaan tidak perlu memberikan subsidi.

Dasar Kawalan Harga Optimum Sosial (Dengan Subsidi)

Dalam kes monopoli semula jadi yang memiliki struktur kos menurun seperti firma pembekal elektrik TNB.   Walaupun sebahagian keluk kos purata berada di bawah hasil purata yang bermakna berlakunya untung lebih normal pada keseimbangan, tetapi titik minimum AC, atau ketika MC memotong AC (MC = AC) berada di sebelaqh atas keluk AR

Apabila harga ditetapkan pada P = MC, atau AR = MC, monopoli akan mengalami untung kurang normal. Bagi mencapai tujuan memaksimumkan kebajikan pengguna tanpa menyebabkan monopoli mengalami kerugian, kerajaan memberikan subsidi sebanyak untung kurang normal yang dialami supaya monopoli boleh terus beroperasi. Maka, pengguna akan menikmati harga yang lebih rendah, tetapi dengan keluaran yang lebih banyak berbandingan dengan sebelum kawalan.

~~ lukis gambar rajah ~~

Sebelum kawalan, keseimbangan ialah pada titik E dengan harga Po dan keluaran Qo, dengan untung lebih normal sebanyak OPoAP1. Tingkat keseimbangan tercapai pada keluk kos purata yang sedang menurun. Maksudnya, monopoli tidak beroperasi pada tahap kecekapan pengeluaran (Minimum AC, atau AC = MC). 

Lebihan kapasiti atau pembaziran berlaku sebanyak QoQ1, menyebabkan pengguna harus membayar harga yang tinggi (Po), manakala kuantiti keluaran lebih kecil Qo. Apabila kerajaan menetapkan harga optimum sosial, AR = MC, monopoli mengalami untung kurang normal, iaitu pada tingkat keluaran Q1, kos purata sebanyak Q1C melebihi hasil purata Q1D. Kerugian sebanyak P2P3CD perlu ditampung oleh kerajaan dengan memberi subsidi kepada monopoli.

Objektif kawalan tercapai kerana pengguna menikmati harga yang lebih rendah, P1 dan keluaran lebih banyak, Q1. Di samping itu, monopoli tidak perlu menghentikan operasi walaupun berada dalam keadaa untung kurang normal kerana akan diberi subsidi.

Setelah kawalan, pengguna menikmati harga yang lebih rendah pada P1 dan keluaran lebih banyak, Q1. Hal ini bermakna bahawa kerajaan berjaya mencapai objektif kawalan monopoli iaitu bagi memenuhi fungsi kerajaan dalam memaksimumkan kebajikan pengguna

bersambung...

Monday, May 9, 2011

SAJAK "JANGAN" TINGKATAN 1 (A MOTHER'S VOICE)

Pengenalan

Puisi karya Sulastri Abadi yang ini termuat dalam antologi Kasut Kelopak Jantung, muka surat 22. Tema yang dipaparkan ialah kesedaran kasih sayang dalam keluarga. Ikatan kasih sayang seorang ayah atau ibu terhadap anak-anak begitu mendalam, dan sukar dimengerti oleh si anak, melainkan apabila mereka sendiri bergelar ibu bapa kelak.

Perbincangan Rangkap Demi Rangkap 

          Jangan bawa pergi anakku!
          Aku masih mencintai anakku!
          Permata hati belahan jiwa
          pembalut luka dan penghibur lara
          satu-satunya pujaan hati

Seorang ayah (lebih-lebih lagi ibu) jika boleh enggan berjauhan dengan anak mereka walaupun sekejap atas apa-apa alasan seperti belajar atau bekerja. Anak diumpamakan harta yang amat berharga (permata hati) dan punca kegembiraan (belahan jiwa). Anak juga ialah penawar ibu bapa ketika mereka berhadapan dengan sebarang kerumitan atau masalah. Pendek kata, anak ialah dambaan tunggal ibu bapa (pujaan hati).

          Jangan kaubawa lari anakku
          Kerana tidak boleh berpisah
          antara aku dengannya
          hidupku dan selalu menjadi mata hatiku
          pilu terasa, rapat dada
          bila cinta anakku kau pisah suka
          sakit diri, perih terasa
          akan lupa apa saja dibuatnya
          cinta ayah pada anak
          mungkin lebih dari cinta ibunya.


Ibu bapa tidak betah berpisah dengan anak kerana emosi ibu bapa kuat dipengaruhi oleh kehadiran anak mereka. Jika berjauhan, ibu bapa akan menjadi tidak keruan (terjejas emosi) dan serba tidak kena dari segi tumpuan pekerjaan rasmi dan di rumah. Kasi bapa mungkin tidak dizahirkan sebagaimana yang dipamerkan oleh ibu kepada anaknya, tetapi tidak bermakna bapa kurang kasihkan anak mereka.

          Jangan bawa pergi anakku!
          Akan kucari di mana pun dia kini.

Sajak diakhiri dengan penegasan bahawa penyajak (ibu bapa) enggan berjauhan dengan anaknya. Jika anaknya tiada di sisi, dia akan berusaha mencarinya walau ke mana-mana jua.


Semakan diksi (pemilihan kata)

bersambung...

Sunday, May 8, 2011

PTK DIGANTI PENILAIAN 360° (NEW ASSESSMENT TOOL FOR PUBLIC SERVANT)

Sumber media melaporkan bahawa pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah mengenal pasti mekanisme baharu penilaian prestasi tahunan sejumlah 1.2 juta orang kakitangan awam bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dilaksanakan mulai 1.11.2002 sebelum dimansuhkan awal tahun ini. Nama khusus penilaian berkenaan belum dimuktamadkan, tetapi berkonsepkan penilaian 360°. Seseorang kakitangan awam akan dinilai oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan sebelum diputuskan oleh sebuah panel khas yang akan mencadangkan pengisian naik pangkat, jawatan kosong atau petempatan baharu.

Pihak JPA pastilah telah menyediakan alat atau instrumen penilaian yang mempunyai tahap kesahan dan kebolehpercayaan yang tertinggi. Memang diakui bahawa mana-mana bentuk penilaian yang melibatkan manusia akan terbuka kepada kritikan dan pertikaian, tetapi penilaian tetap perlu dilakukan juga. Perkara pokok dalam instrumen berkenaan ialah aras signifikan yang meminimumkan ralat pengukuran, misalnya nilai alpha 0.05.

Sistem Saraan Malaysia (SSM) yang menggunakan PTK menjadi sasaran kecaman beberapa pihak berkepentingan dalam perkhidmatan awam, misalnya Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam, Ceupacs yang didominasi oleh kumpulan sokongan (gred 1 - 38). Mereka menganggap bahawa sistem peperiksaan dan temu duga sebagai merugikan kalangan pekerja lama, khususnya yang hampir bersara. Kelulusan aras cemerlang (IV, atau A) dalam PTK didakwa tidak memberikan gambaran sebenar kompetensi pekerja di lapangan, melainkan atas faktor nasib baik, atau kebetulan.

Sistem Saraan Baru (SSB) sebelumnya lebih teruk dihujani dengan pelbagai jolokan, antaranya Saya Sayang Bos, atau Saya Suka Bodek. Hal itu disebabkan penilaian prestasi tahunan bergantung kepada markah yang diberi oleh ketua jabatan. Sebagai contoh, pada tahun pertama SSB diperkenalkan, SM Vokasional Lebuh Cator Ipoh mencatat rekod 27 orang guru dan kakitangan menerima pergerakan gaji melintang (2 kenaikan), sedangkan SM Teknik Persiaran Brash yang jauh lebih cemerlang pencapaian akademiknya mencatatkan hampir semua guru hanya layak dianugerahkan markah mendatar titik.

Cerita-cerita dan gosip tentang penilaian prestasi memang tidak akan ada titik noktahnya. Ibarat  permainan oh sum atau zero sum game, apabila ada pihak yang menang, ada pula yang kalah. Konsep menang-menang (win-win) mungkin boleh berlaku di atas kertas atau secara falsafah sahaja, iaitu pekerja cemerlang diberi ganjaran bagi menjana motivasi keseluruhan kakitangan sesebuah organisasi.

Maka, di samping penilaian prestasi yang akan memisahkan pekerja cemerlang, sederhana dan biasa, pendekatan motivasi kakitangan organisasi secara keseluruhan mesti difikirkan supaya tidak berlakunya fenomena tekanan atau lesu (burn out) yang berpotensi mengakibatkan munculnya daya rintangan (restraining forces) apabila sesuatu langkah pembaharuan atau inovasi hendak diperkenalkan. Ketua-ketua jabatan hendaklah menampilkan kebijaksanaan yang tinggi supaya proses diskriminasi penilaian prestasi yang dibuat benar-benar mencapai matlamat asalnya demi kebaikan organisasi, iaitu menjurus ke arah penambahbaikan yang berterusan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam...