SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, January 31, 2011

"LEBAH DAN MADU" SAJAK KOMSAS TINGKATAN 1 (BEE AND HONEY)

Sajak "Lebah dan Madu" dimuatkan dalam antologi Kasut Kelopak Jantung, muka surat 20. Karya Siti Zaleha M. Hashim itu mengandungi tiga rangkap Tema sajak berkisar terhadap kesedaran untuk mencontohi lebah yang sentiasa bekerjasama, dan sepakat, selain berjasa kepada hidupan lain.          


          Di pohon sana
          pada dahan pohon tualang
          lihatlah lebah-lebah
          sudah membuat sarang
          serangga yang cergas
          sentiasa hidup sepakat
          sikap yang terpuji.


Pada dahan pokok tualang, kelihatan sekumpulan lebah membuat sarang. Lebah-lebah itu menggambarkan sikap yang terpuji, iaitu sebagai serangga yang cergas dan sentiasa hidup sepakat. Dalam kata lain, tiada seekor pun yang kelihatan bermalas-malas, atau mengasingkan diri daripada kumpulan.

          Ada ratu ada pekerja
          berkumpul dan bekerjasama
          madu manisnya
          penawar penyakit manusia.


Koloni (kumpulan) lebah itu mempunyai ketua atau pemimpin, iaitu ratu lebah. Ratu yang mengatur dan mengawasi aktiviti pekerja membuat sarang dan madu. Penghasilan madu (dari bunga-bungaan terpilih) dengan rasanya yang manis, kemudian menjadi penawar (yang mujarab) bagi penyakit yang dihidapi manusia.

           Lebah-lebah
           pada dahan pohon tualang
           kau membuat aku sedar
           harus selalu berusaha
           dan meninggalkan jasa
           seperti madumu yang istimewa.

Pemerhatian terhadap lebah pada dahan pohon tualang berkenaan menyedarkan penyajak (manusia yang peka) bahawa seseorang itu harus sentiasa berusaha sehabis daya dalam sesuatu pekerjaan. Selain itu. seseorang itu juga hendaklah meninggalkan jasa sebagaimana lebah yang menghadiahi manusia dengan madu yang istimewa. Pendek kata, sifat-sifat lebah patut menjadi contoh teladan kepada manusia.

Nilai

1   kecekapan / kecergasan / ketangkasan / ketekunan (fokus / memberi tumpuan sepenuhnya terhadap kerja membuat sarang)

2   kesepakatan / kemuafakatan / bekerjasama / saling membantu / saling menolong (membuat sarang di dahan pokok tualang)

3   kerajinan / kesungguhan / kegigihan (dalam menyiapkan sarang dan menghasilkan madu)

4   kepatuhan / ketaatan (pekerja lebah  terhadap perintah ratu lebah)

5   kebijaksanaan (kepimpinan ratu lebah)

6   hidup berjasa (membekalkan madu sebagai penawar kepada penyakit manusia)

7   kepekaan / keprihatinan (penyajak terhadap sifat-sifat lebah yang terpuji)

Persoalan

1   Kecekapan / kecergasan / ketangkasan / ketekunan dalam melakukan sesuatu pekerjaan

2   Kesepakatan / kemuafakatan / bekerjasama / saling membantu / saling menolong dalam sebarang kegiatan / pekerjaan

3   Kerajinan / kesungguhan / kegigihan dalam menyempurnakan sesuatu aktiviti / kegiatan / pekerjaan / tugasan

4   Kepatuhan / ketaan terhadap ketua / pemimpin

5   Kebijaksanaan dalam mengatur kumpulan / organisasi / pasukan

6   Hidup berjasa sesama makhluk

7   Kepekaan / keprihatinan terhadap sifat terpuji

Pengajaran

1   Kita hendaklah cekap / cergas / tangkas / tekun dalam melakukan sesuatu pekerjaan

2   Kita hendaklah sepakat / bermuafakat / bekerjasama / saling membantu / saling menolong dalam sesuatu kegiatan / pekerjaan

3   Kita hendaklah bersungguh-sungguh / gigih / rajin dalam melaksanakan sesuatu aktiviti / kegiatan / pekerjaan / tugasan

4   Kita hendaklah mematuhi arahan ketua / pemimpin (dalam kumpulan / pasukan / organisasi)

5   Kita hendaklah bijak dalam memimpin (kumpulan / pasukan / organisasi)

6   Kita wajiblah hidup berjasa sesama makhluk

7   Kita hendaklah peka / prihatin / mencontohi / meneladani / meniru sifat-sifat terpuji

Sunday, January 30, 2011

CERPEN "MAAF KUPINTA" KOMSAS TINGKATAN 2 (LET BYGONES, BE BYGONES)

Tema: Kisah keikhlasan dan pengorbanan seorang ayah tiri yang disalah anggap.

Sinopsis:

Apabila hendak berkemas di asrama sekolah untuk pulang ke kampung, Fauzi mula berasa tidak kena memandangkan cuti akhir tahun yang begitu panjang. Dia tidak dapat mengelak daripada berhadapan dengan bapa tirinya, Mokhtar yang begitu tegas tentang hal disiplin dan pembelajaran. Fauzi sengaja mereka cerita bahawa benjolan di kepalanya disebabkan perbuatan Mokhtar menolaknya ke tiang, sedangkan Fauzi sendiri yang merempuh tiang kerana takut, dan Mokhtar mahu menyelamatkannya. Cerita Fauzi ditelan bulat-bulat oleh ibu (Ramlah) dan neneknya (Sapiah). Sebenarnya Fauzi berasa terkongkong, dan kebebasannya disekat. Cikgu Zainuddin kemudian menguruskan kemasukan Fauzi ke asrama. Syahir, rakan baiknya mengatakan bapa tirinya sungguh baik kerana sering menjenguk di asrama, sedangkan ayah Syahir tidak berbuat demikian kerana sibuk dengan urusan perniagaan. Akhirnya, ketika berkumpul di ruang tamu selepas makan malam, Fauzi melafazkan maaf kepada Mokhtar. Fauzi berubah menjadi anak yang baik dan gemar membantu ibu bapa dan adik-beradiknya.

bersambung...

FATIMAH BUSU BELA INTERLOK (LEARN FROM THE PAST)

Isu novel Interlok karya sasterwan negara kelapan, Dato' Abdullah Hussain, 91, masih belum berakhir. Versi asal Interlok diterbitkan pada tahun 1971, iaitu 40 tahun yang lalu. Media melaporkan Dato' Abdullah Hussain begitu tertekan dengan bantahan yang ditimbulkan oleh golongan yang enggan menerima hakikat sejarah tentang kepincangan sosial pada masa yang lalu.

Kementerian Pelajaran Malaysia masih dalam proses memuktamadkan semula edisi murid novel Interlok yang digunakan di Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur dan Putrajaya), Selangor dan Negeri Sembilan itu. Sementara itu, pembelajaran novel Interlok ditangguhkan seketika. Pelbagai majlis forum dan wacana dianjurkan supaya semua pihak yang berkepentingan memiliki peluang bagi meluahkan pandangan yang masih terbuku di hati.

Perbincangan secara beradab dan intelektual harus dialu-alukan supaya naskhah hebat seperti Interlok dihormati dan diterima sebagai sebuah karya yang mampu memupuk perpaduan masyarakat berbilang-bilang agama dan kaum di negara kita. Dato' Abdullah Hussain telah melukiskan perjalanan sejarah pembentukan masyarakat majmuk di Tanah Melayu dari zaman penjajahan Inggeris hinggalah merdeka. Masyarakat perlu memberi kepercayaan kepada guru-guru Bahasa Melayu bahawa di tangan mereka, pembelajaran novel Interlok akan mematuhi segala objektif komsas, terutama kajian watak dan perwatakan, nilai, latar, persoalan dan pengajaran, selain kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis (kbkk).

Perbuatan membakar 100 buah naskhah Interlok oleh sekumpulan pembantah telah mengundang reaksi keras daripada golongan sasterawan sendiri. Peristiwa berkenaan dianggap sebagai keterlaluan dan tidak matang. Mujurlah bantahan yang dilakukan tidak dibalas dengan cara yang serupa oleh penyokong Interlok yang jumlahnya pasti jauh lebih besar.

Fatimah Busu, bekas ahli akademik USM dan penulis sastera yang prolifik mengungkapkan reaksi golongan sasterawan lewat sajak yang tersiar di laman Sanggar Kreatif, Berita Minggu hari ini (30.1.11), halaman 21. Tema puisi nukilan beliau menjurus kepada maruah Melayu yang diinjak oleh pembantah Interlok. Sajak Fatimah Busu turut disokong oleh pemuisi tersohor, Ibrahim Ghaffar yang menelusuri penipuan yang dialami oleh moyang-poyang Melayu ekoran termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.

          Dan Interlok pun dibakar
          gambar Abdullah Hussain dibakar
          tapi yang terbakar kulit di jasad Melayuku.

          Dan api pembakaran Interlok pun menyala
          api pembakaran gambar Abdullah Hussain pun menyala
          tapi yang panas darah Melayu dalam tubuhku.

          Dan asap bakaran Interlok pun naik ke udara
          asap bakaran gambar Abdullah Hussain pun naik ke udara
          tapi yang tercemar udara langit dan bumi Melayuku.

          Dan Interlok pun hangus, rentung
          gambar Abdullah Hussain pun hangus, rentung
          tapi yang hangus, rentung perasaan dan hati Melayuku.

          Dan abu Interlok pun dipijak-pijak
          abu gambar Abdullah Hussain pun dilanyak-lanyak
          tapi yang dipijak, terlanyak maruah Melayuku.

          Berlangsung detik sebuah kebiadapan purba
          mencakar kaca jendela peradaban bangsa
          retak
          berpetak-petak

FATIMAH BUSU
Bayan  Baru, Pulau Pinang.

Saturday, January 29, 2011

PROSA KLASIK TINGKATAN 2: RAJA MUDA (PRINCE AND FAIRY TALES)


Pengenalan
Petikan mengisahkan Raja Muda (RM) yang sudah beristerikan Tuan Puteri Bidadari Segerba dari kayangan. RM menumpang di rumah nenek kebayan. Suatu hari dia hilang dari situ justeru ditemukan seekor gajah putih yang membawa baginda ke istana, lalu ditabalkan sebagai raja (bergelar Sultan Muda Gempita Sakti), seterusnya dijodohkan pula dengan puteri kepada Sultan Sedar Alam dan Permaisuri Kaca Bertuang.  Pesta perkahwinan 40 hari 40 malam itu dibuat tanpa henti. Puteri Segerba yang sedih turun dari kayangan, lalu saling berbalas syair dengan suaminya, RM. Puteri Segerba menganggap dirinya dipersia-siakan, sedang RM menyalahkan Puteri Segerba yang tidak mendengar nasihat baginda supaya tidak pulang ke kayangan demikian lama.  Puteri Segerba kemudian memindahkan anak dalam kandungan kepada Tuan Puteri Ratna Suri, madunya. Selang 12 purnama (12 bulan berdasarkan takwim lunar, hijrah), lahirlah Puteri Renik Jantan @ Seri Kemala Keinderaan @ Seri Desa Tanjung Bunga Sekaki @ Mastika Kelimpahan Benua Tua. Anehnya, puteri tidak menangis dan tidak makan minum (keturunan bidadari kayangan). Seisi keluarga diraja bertemasya di Padang Biram Kemala, dengan Puteri Renik Jantan bersiram (mandi) di tengah tasik Mendam Berahi. Majlis kenduri doa selamat dan tolak bala turut diadakan.

Watak dan Perwatakan: 

Raja Muda @ Sultan Muda Gempita Sakti 
patuh titah sultan (mengahwini Tuan Puteri Ratna Suri setelah dibawa oleh gajah putih ke istana)
bijak / petah bersyair (berjaya membalas syair Puteri Segerba).

Tuan Puteri Bidadari Segerba
setia (sanggup berulang alik dari kayangan ke bumi untuk menjenguk suami dan ibu bapa),
pemaaf (sanggup memindahkan kandungan kepada madu sendiri),
pemarah (pulang ke kayangan tanpa singgah ke rumah nenek kebayan),
penyayang (terus mencium Puteri Renik Jantan yang baru lahir / tidak pernah mengenepikan keluarga)

Tuan Puteri Kuntum Ratna Suri 
isteri yang taat / madu yang baik (tidak pernah meminta cerai / tidak menuntut isteri pertama Sultan diceraikan)

Permaisuri Kaca Bertuang / bonda Tuan Puteri Ratna Suri
tenang (menerima baik kehadiran Puteri Segerba, selain bersetuju dengan cadangan pindah kandungan). 

Sultan Sedar Alam / suami Permaisuri Kaca Bertuang / ayahanda Puteri Ratna Suri
(tiada dialog / keterangan)

Nenek kebayan
penyayang / murah hati / simpati (sanggup menumpangkan raja muda dan Puteri Segewrba di rumahnya.

6 beradik bidadari  / kakak Tuan Puteri Bidadari Segerba
bijak (memberitahu tentang perkahwinan kedua suami Puteri Segerba di bumi)

kajian komsas, kbkk, contoh soalan menyusul, insya-Allah...

PESANAN BUAT MURID TINGKATAN 4 DAN TINGKATAN 5 (THE SIGNIFICANT OF SPM RESULT)

Saban tahun, bilangan calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mencecah angka melebihi 400 ribu orang. Sementara itu, jumlah calon yang memperoleh A (merangkumi gred A+, A, A-) dalam semua kertas yang diambil juga melebihi 10 ribu orang setiap tahun. Persediaan rapi calon, dengan sokongan maksimum pihak ibu bapa dan sekolah, menjadikan persaingan bertambah mencabar lagi sengit. 

Dari segi penajaan biasiswa dan kemasukan kursus kritikal seperti farmasi, pergigian, perubatan, segala cabang sains kesihatan, kejuruteraan, ekonomi dan perakaunan, peluang calon bergantung kepada kedudukan markah (ranking) yang hanya boleh diakses oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia. 90 peratus merit kemasukan kursus kritikal bergantung kepada pencapaian markah tertinggi. Jika banyak calon berkongsi markah yang sama, markah kokurikulum dan kepimpinan sekolah akan diambil kira. 

Kemunculan begitu banyak institut pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institut latihan kemahiran berhampiran dengan kejiranan mereka menyebabkan sesetengah calon berasa tidak perlu bertungkus-lumus membuat persiapan peperiksaan. Dengan kos pengajian yang lebih murah dan syarat kemasukan yang boleh dirundingkan, asal sahaja mampu membayar yuran pengajian, mereka sangat dialu-alukan. Akhirnya, mereka menjangkakan dapat menggenggam ijazah yang tidak kurang prestijnya dengan rakan mereka yang cemerlang dahulu di universiti awam.

Sesungguhnya pendapat yang sedemikian sangat berisiko tinggi. Tanpa pencapaian SPM yang baik, ijazah yang dimiliki akan terkurang nilai, atau dalam kata lain mudah dipertikaikan. SPM dianggap sebagai asas atau penanda aras pencapaian seseorang kerana bersaing di padang yang sama rata, iaitu kertas soalan selaras dan penganugerahan gred bertaraf kebangsaan.

Pencapaian dalam SPM masih dianggap sebagai kayu ukur pencapaian akademik yang memiliki kesahan dan kebolehpercayaan yang tertinggi berbanding dengan sijil, diploma dan ijazah yang dikeluarkan oleh mana-mana IPT walaupun tahap pengajiannya lebih tinggi. Dalam sektor awam, syarat kepujian Bahasa Melayu ialah syarat utama pelantikan, manakala penetapan gaji di sektor swasta dibeza-bezakan berdasarkan pencapaian SPM walaupun pekerja yang diambil memiliki ijazah tinggi.

Sebagai contoh, dua orang pegawai dilantik pada tarikh yang sama berdasarkan kelayakan ijazah sarjana muda dalam bidang yang sama. Gaji permulaan antara dua orang pegawai berkenaan akan dibezakan berdasarkan keputusan SPM mereka, bukan berdasarkan ijazah. Pendek kata, tanpa pencapaian SPM yang baik, seseorang pekerja akan menerima gaji yang lebih rendah.

Kepada murid tingkatan 4 dan tingkatan 5 yang masih berada di bangku sekolah, hakikat itu perlu diambil berat. Pengalaman abang dak kakak senior yang sedang bergelut dalam alam pekerjaan patut dijadikan iktibar. Jika berbekalkan diploma dan bekerja di hotel lima bintang di ibu kota dengan gaji RM800 sebulan, mampukah seseorang itu bertahan?

SAJAK "PERSAHABATAN" KOMSAS TINGKATAN 2 (FRANCE: FRIENDSHIP REMEMBERANCE AND NEVER CAN END)

Pengenalan

Puisi karya Mohd. Amran Daud berjudul seringkas perkataan tunggal "Persahabatan" dimuatkan dalam antologi Gema Sepi Gadis Genius, muka surat 20 - 21. Sajak empat rangkap itu turut dipisahkan dengan angka roman I, II, III dan IV. Tema "Persahabatan" ialah perpaduan antara kaum mudah terjalin dalam kalangan kanak-kanak.

Rangkap I menggambarkan kanak-kanak perempuan Melayu, rangkap II kanak-kanak perempuan Cina, dan rangkap III kanak-kanak perempuan India. Pengenalan keturunan setiap kanak-kanak perempuan itu digambarkan menerusi pakaian tradisi kaum yang mereka pakai. Rangkap IV ialah pandangan penyajak tentang dunia kanak-kanak yang tidak menghiraukan segala perbezaan sesama mereka untuk membentuk perpaduan.

Ulasan rangkap demi rangkap


                     I
         
           Seorang kanak-kanak
           berbaju kurung nampak cantik
           berlesung pipit beralis lentik
           bermain-main riang, bermain keseorangan
           pada wajahnya meriak gembira
           pada bibirnya menguntum ceria
           berderai ketawa mengocak suasana.


Kanak-kanak perempuan Melayu dapat dikenal pasti menerusi pakaian baju kurung, selain gadis cilik itu memiliki lesung pipit (garis yang terbentuk di pipi apabila tersenyum), serta alis matanya lentik. Pada mulanya si kanak-kanak perempuan Melayu itu bermain sendirian (keseorangan). Sebagai kanak-kanak, hanya gambaran kegembiraan yang menghiasi riak wajahnya, bibirnya yang menguntum senyum penuh ceria, dan dia ketawa berderai-derai (melantunkan ketawanya bersahaja) memecah suasana (menarik perhatian orang lain - kanak-kanak lain dan pemuisi).


                       II


           Seorang kanak-kanak
           berpakaian ceongsam bertocang dua
           bergincu pipi tampak ceria
           tiba-tiba datang menerpa bertegur sapa
           menghulur senyum dan ketawa manja
           pada wajahnya menyerlah keriangan
           mereka bermain alang-kepalang
           berkejar-kejaran tanpa halangan.


Kanak-kanak perempuan Cina pula menyarung ceongsam, pakaian tradisi kaumnya. Rambutnya dirias bertocang dua, di samping bergincu pipi. Si gadis cilik Cina kemudian menyertai si gadis cilik Melayu bermain dengan bebas riang tanpa halangan. Mereka sama-sama bertegur sapa, senyum, ketawa manja, berwajah riang dan bermain alang-kepalang (hingga puas).


                     III


           Seorang kanak-kanak
           bersari bergelang kaki
           bertindik hidung menguntum seri
           melihat saja telatah manja
           si comel berdua, bermain, dan tertawa
           dirinya bagai digamit bermain bersama
           mengongsi kemesraan
           menterjemah makna kejiranan.


Kanak-kanak perempuan India mengenakan pakaian tradisi sari dan bergelang kaki, selain bertindik hidung bagi menaikkan seri wajah. Pada mulanya dia hanya melihat sahaja kanak-kanak perempuan Melayu dan Cina bermain dan tertawa bersama-sama. Akhirnya, dia tidak dapat menahan diri untuk turut serta berkongsi kemesraan sebagai tanda semangat berjiran.


                          IV


           Ah, kanak-kanak
           biar berlainan agama
           biar berlainan bangsa
           mereka saling bersalaman
           dan berpeluk mesra
           tanpa menghiraukan adat dan budaya;
                 membina keakraban tanpa curiga
                 membentuk perpaduan tanpa prasangka
           bersatu hati membentuk jati diri
           ke arah wawasan lebih bererti!


Begitulah keistimewaan kanak-kanak walaupun berlainan agama dan berlainan bangsa, mereka saling bersalaman dan berpeluk mesra. Adat dan budaya yang berbeza bukanlah penghalang untuk mereka menjadi akrab dan memupuk perpaduan. Tanpa perasaan curiga atau prasangka, mereka bersatu hati membentuk jati diri menuju wawasan yang sebenar.


Elemen komsas dalam sajak


Nilai:


1   Perpaduan kaum


2   Menghargai tradisi

3   Semangat kejiranan

4   Hormat-menghormati / bersangka baik

5   Kemesraan


Persoalan:

1   Perpaduan antara kaum (dalam kalangan kanak-kanak)

2   Pergaulan mesra antara kanak-kanak berlainan kaum / agama

3   Kecintaan terhadap pakaian tradisi kaum

4   Dunia kanak-kanak yang riang gembira tanpa curiga / prasangka

5   Pemupukan perpaduan dalam kalangan kanak-kanak

6   Permainan sebagai cara memupuk perpaduan

Pengajaran:


1   Kita hendaklah mengutamakan perpaduan

2   Kita hendaklah mencintai pakaian tradisi kaum masing-masing

3   Kita hendaklah menjauhi perasaan curiga / prasangka

4   Kita hendaklah mencontohi persahabatan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak berlainan agama / bangsa

5   Kita hendaklah menggalakkan permainan yang memupuk perpaduan kaum
   

Friday, January 28, 2011

AJAL ORGANISASI (THE END OF HISTORY)

Ibnu Khaldun, bapa sosiologi moden pernah membuat pengamatan tentang hayat sesebuah organisasi atau dinasti berdasarkan empat generasi. Generasi pertama bersusah payah membina kejayaan, generasi kedua mempertahankan kejayaan, manakala generasi ketiga mula merosakkan kejayaan. Generasi keempat akhirnya meruntuhkan terus kejayaan yang dibina sekian lama.

Konglomerat gergasi seperti Crysler Motors dan General Motors di Amerika Syarikat pernah mengalaminya. Di Jepun, Toyota masih bertahan di tangan generasi kedua keluarga Toyoda yang bermula dengan mesin jahit. Di Korea Selatan, Daewoo mula berhadapan dengan krisis.

Organisasi politik berkuasa di Tunisia juga runtuh dengan terusirnya Zainal Adidin ben Ali, mantan presiden di tangan rakyat yang benci dengan penipuan pilihan raya sejak beberapa penggal. Begitu juga kedudukan Hosni Mubarak di Mesir yang menunggu masa untuk ditumbangkan menerusi bantahan besar-besaran justeru rakyat Mesir telah jelak dengan pemerintahan 30 tahun beliau. Walaupun khidmat internet dan telefon bimbit diputuskan untuk meredakan keadaan, pemimpin berusia 83 tahun itu sukar bertahan jika pengalaman keluarga Ferdinand Marcos di Filipina dijadikan iktibar.

Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai kematian. Demikianlah janji Allah kepada setiap makhluk ciptaan-Nya. Manusia diberikan tempoh untuk menggalas tugas khalifah di bumi, untuk memakmurkan bumi, dan bukan untuk melakukan kerosakan.

Apabila tiba ajal, malaikat Izrael akan datang menjemput tanpa berlengah walau sesaat jua. Liang lahad akan mengucapkan selamat datang kepada penghuninya. Suatu persinggahan sebelum tibanya hari kiamat yang dijanjikan apabila perbicaraan di Mahsyar bermula. 

Demikian inti sari mimbar Jumaat yang disampaikan oleh khatib minggu ini. Peringatan tentang umur insan telah banyak ditulis, dikuliahkan dan dibincangkan sepanjang zaman. Manusia yang mengingati ajalnya bukanlah manusia yang lemah dan berputus asa, sebaliknya seorang manusia yang punya akauntabiliti, integriti, maruah dan tanggungjawab untuk dijawab kelak...

"PERAK SENTIASA DI PUNCAK KECEMERLANGAN" SLOGAN BARU JPN (ALWAYS THE BEST, BEAT THE REST)

Bukan mudah untuk menjaga sebuah organisasi besar yang terangkum di dalamnya pelbagai kerenah dan ragam manusia, tetapi hendak dijuruskan kepada satu pencapaian. Maka, antara langkah terbaik yang dapat dilakukan ialah dengan menampilkan slogan yang boleh melekat dalam minda setiap anggota organisasi biar pun tahap penerimaannya akan berbeza-beza. Langkah Jabatan Pendidikan Negeri Perak Darul Ridzuan, menerusi pengarah barunya, Encik Mohd Rauhi bin Mohd Isa memperbaharui slogan, siap dengan lagunya sekali, tentulah membawa harapan yang tinggi agar Perak kembali ke era cemerlang dari segi pencapaian akademik sebagaimana yang pernah dikecapi dahulu.

Mengapa slogan baharu?

1   menggambarkan kejituan tekad

2   janji setia

3   keazaman tinggi

Semua tindakan yang dirancang dalam kalangan warga pendidik mencapai tahap yang perlu dalam semua bidang. Keyakinan dan komitmen melakukan perubahan adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dipikul. Dukungan dan sokongan dapat digerakkan demi melahirkan generasi berkualiti masa kini dan hadapan.

Demikian penegasan Encik Mohd Rauhi seperti yang dilaporkan dalam Sinar Harian, 28 Januari 211, edisi Perak, PK4. Berdasarkan peningkatan yang tinggi dalam peperiksaan awam, beliau yakin bahawa momentum berkenaan dapat diteruskan dalam masa yang singkat jika dilaksanakan secara bersepadu.

Aplikasi di sekolah

Slogan tidak ubah seperti iklan yang tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Slogan ialah luahan berbentuk retorik yang disusun daripada kata-kata pilihan yang dapat menangkap imaginasi sasaran. Dari segi etimologi  (asal usul kata), slogan berasal daripada perkataan slogorn yang dikaitkan dengan ketenteraan (lihat Wikipedia).

Slogan juga ialah moto yang akan diulang-ulang sebagai penyataan sesuatu idea atau tujuan. Apabila kerap diulang-ulang, slogan diharapkan akan kekal dalam ingatan sasaran. Walaupun ada pihak yang menganggap bahawa slogan tidak lebih sebagai lip service, telah terbukti bahawa semua organisasi yang berjaya selalu membangga-banggakan slogan mereka.

Di peringkat negeri, JPN ialah bapa kepada keluarga sekolah. Lantaran itu, sebagai anak, pihak sekolah mesti akur dengan kehendak dan hala tuju yang ditetapkan oleh pihak JPN. Memang ada strategi peringkat dalaman, tetapi masih perlu sejajar dengan ketetapan JPN.

Sekolah dikelolakan mengikut rentak JPN. Slogan kecemerlangan JPN ialah penegasan semula idea kecemerlangan yang sentiasa dilaung-laungkan. Warga sekolah mesti sanggup melakukan perubahan kerana jika masih selesa dengan status quo, pencapaian juga akan kekal di takuk lama...

Thursday, January 27, 2011

PENGGUNAAN KAEDAH ANALOGI DALAM KARANGAN DAN RUMUSAN (METHODOLOGY OF WRITING)

Pengenalan

Tidak seperti bercakap, proses menulis lebih mencabar. Apatah lagi jika penulisan yang dihasilkan akan dibaca oleh orang lain, lebih-lebih lagi bagi sesuatu tugasan peperiksaan. Calon yang kurang mempelajari kaedah dan teknik penulisan mungkin sekali menemui jalan buntu walau hanya untuk memulainya.

Macam-macam kaedah disarankan seperti 5W-1H (singkatan what, who, when, why, where, how). Dalam penulisan sejarah, PESTA (politik, ekonomi, sosial, teknologi, akhlak) sering digunakan. Analisis SWOT (strenghts, weaknesses, opportunities, threat) tentang PESTLE (politic, economics, social, technology, legal, environment) turut menjadi pilihan.

Penggunaan Analogi

Katalah tugasan yang diberikan ialah "syarat untuk menjadi negara maju". Penulis boleh mengambil pokok sebagai analogi. Negara maju dibandingkan dengan pokok yang baik, iaitu:

1   akar tunjang kukuh  (asas kenegaraan yang mantap)

2   dahan dan daun yang merimbun  (kepimpinan yang berwawasan)

3   berbunga lebat  (harapan yang sentiasa dinyalakan)

4   baja yang mencukupi  (masyarakat yang berilmu)

5   pucuk yang tumbuh segar  (generasi muda yang berpotensi)

6   sumber / bekalan mineral, klorofil yang berterusan  (masyarakat berpendapatan tinggi, kuasa beli tinggi)


Bagi tugasan "cara belajar yang berkesan' boleh dinisbahkan kepada "cara menangkap ikan":

1   Cari tempat banyak ikan  (tempat belajar belajar yang selesa)

2   Gunakan pancing / joran yang sesuai  (bahan pembelajaran yang tepat)

3   Umpan yang digemari ikan  (daya tarikan belajar)

4   Kaedah / kemahiran memancing  (kaedah belajar)

5   Cuaca baik  (pencahayaan / suhu yang dikehendaki / persekitaran sihat, kondusif)

Dalam keadaan tertentu, analogi negatif yang ekstrem seperti "perompak yang berjaya" misalnya mungkin boleh dicuba, tetapi tidaklah begitu digalakkan. Analisis permainan atau sukan yang memerlukan taktik agresif sebagai contoh boleh dinisbahkan begitu:

1    mengenal pasti mangsa  (mengkaji kekuatan pasukan lawan)

2    bijak memperdaya mangsa, pihak berkuasa  (taktik permainan sukar dibaca)

3   sampai tahap sanggup membunuh  (menendang bola dengan kencang ke arah pintu gol, tidak mensia-siakan sebarang peluang)

4    tidak meninggalkan kesan forensik  (kelihatan bersih dalam permainan)

5    mesti dapat hasil  (sasaran menang sahaja)

6    tidak tamak (tidak gopoh hingga lalai)

Penggunaan Analogi dalam Rumusan (bahagian tersirat, kesimpulan)  


Selain karangan, kaedah analogi boleh membantu murid menjana idea, serta membuat penyeluruhan (generalisasi, klasifikasi, payung idea) supaya tidak terperangkap dalam satu idea besar sahaja.


bersambung...

Wednesday, January 26, 2011

TEKS CERAMAH KEPIMPINAN PELAJAR (LEADERSHIP IS NOT THE PROVINCE OF THE CHOSEN FEW)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,selamat sejahtera

Saudara pengacara majlis, pengerusi dan ahli jawatankuasa penganjur kursus kepimpinan pelajar tahun 2011, atau tahun 1432 Hijriyyah, seterusnya peserta kursus sekalian.

Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi justeru dengan Inayah dan Kurnia Ilahi dapat kita berhimpun bersama-sama dalam majlis ilmu yang begitu bermakna. Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada pihak penganjur yang memberi kepercayaan kepada saya untuk berkongsi pandangan tentang ciri-ciri kepimpinan pelajar sekolah.

Sebelum memulakan perbincangan, saya minta para peserta menyediakan kertas dan pen untuk aktiviti santai minda kita yang pertama. Dengar baik-baik tugasan yang saya kehendaki. Kemahiran mendengar ialah antara ciri asas yang penting bagi seseorang pemimpin. 

Pilih tiga angka antara 1 hingga 9, susun mengikut nilai yang besar ke nilai yang kecil, saya beri contoh ABC, A lebih besar daripada B, dan B lebih besar daripada C.

(penceramah menguji semua peserta menyebut susunan angka bagi memastikan tugasan dipenuhi, sambil meminta nombor yang berulang / yang sama ditukar kepada nombor lain)


Sekarang terbalikkan susunan angka tadi selari dengan angka asal. Kemudian ditolakkan. Contoh:

                                        ABC
                                   -    CBA
                                   _______
                                         DEF
                                   _______

Katalah jawapannya DEF. Sekarang terbalikkan pula susunan DEF secara selari, iaitu FED. Kemudian campurkan semula dengan DEF. Contoh hitungan:

                                          DEF
                                      +  FED
                                      _______
                                           ???
                                      _______

(Uji jawapan 2, 3 orang peserta. Pasti sebahagian besar peserta akan kaget dengan jawapan. Penceramah merangkap pemudah cara seterusnya membimbing pelajar membuat beberapa kesimpulan)


1   Peserta memilih angka yang berbeza setiap orang, tetapi jawapan ???
     - pemimpin menghormati pendapat yang berbeza;
     - kaedah / cara / pendekatan / langkah mungkin berbeza, tetapi matlamatnya tetap ???

2   ??? mungkin satu wawasan, satu destinasi yang hendak dituju, impian yang dikongsi bersama-sama

3   Pemimpin menggembleng semua kekuatan (angka asal yang berbeza) dalam kalangan subordinat

4   Pemimpin mesti menggunakan komunikasi berkesan: cakap jelas, bahasa mudah difahami

5   Pemimpin ialah pendengar yang terbaik terhadap tema lisan / isyarat subordinat

Peserta yang dihormati,

Sekarang kita beralih kepada aktiviti kedua. Lihat gambar rajah yang dipaparkan dengan teliti. Semua segi empat yang peserta lihat ialah segi empat sama, iaitu panjang dan lebarnya sama ukuran.

                          










































Hitung jumlah segi empat sama yang peserta lihat

(Mungkin ada peserta spontan menjawab 16. Penceramah mengatakan "bagus", tetapi mungkin ada jawapan yang lain. Teruskan sehingga bilangan ?? disebutkan. Sekali bimbing peserta membuat beberapa kesimpulan).


1   Pemimpin menghargai pandangan subordinat yang sepintas lalu

2  Pemimpin membawa subordinat bukan sahaja melihat yang zahir (tersurat), tetapi juga yang tersembunyi (tersirat)

3   Pemimpin mempunyai kaedah untuk memancing dan merebut perhatian subordinat

4   Pemimpin mempamerkan teladan mencintai ilmu

5   Pemimpin senantiasa mempromosikan idea-idea yang hebat dan cemerlang


Peserta yang dimuliakan,

Terdapat banyak pendapat tentang kepimpinan. Ada orang kata pemimpin memang dilahirkan dengan bakat kepimpinan, atau seperti ungkapan John P. Kotter dalam bukunya Leading Change, "in the most commonly historical model, leadership is the province of the chosen few". Dalam pemikiran cara lama, kepimpinan ialah milik segelintir manusia pilihan.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda, kullukum ra'in wa kullukum mas'ulun an ra'iyyatih. au-kama qala. Tiap-tiap kamu ialah pemimpin, dan tiap-tiap seorang kamu akan ditanya tentang kepimpinan kamu.

Cerdik pandai Barat mengatakan kepimpinan ialah proses mempengaruhi orang lain bagi mencapai sesuatu matlamat organisasi. Dalam Islam, kepimimpinan ialah amanah keagamaan. Pemimpin dikehendaki melaksanakan amanah memegakkan agama dan menjalankan urusan dunia dengannya, iqamatuddin wa siyasatu'd-dunya bihi.

Dengan mengambil model kepimpinan Nabi Muhammad Sallallahu alaihi wasallam, kita boleh menyenaraikan beberapa ciri yang boleh dijadikan panduan oleh para peserta:

1  Pemimpin cepat membaca keadaan atau situasi. Jalinkan rapport terlebih dahulu, menangi kepercayaan orang-orang yang dipimpin (subordinat)

2   Pemimpin sentiasa menyalakan harapan dan keyakinan, bukan mematahkan semangat yang masih berbaki

3   Pemimpin bertindak bijaksana, berhemah dan bersabar atas kesilapan dan kelambatan subordinat

4   Pemimpin mesti ikhlas, iaitu suka memberi (menolong), tetapi kurang menerima.

5   Kepimpinan melalui teladan, cakap serupa bikin

6   Istiqamah / konsisten / tekal; pendirian tidak mudak digugat

7   Selalu muhasabah diri. Mafhum hadith: Berbahagialah orang yang suka meneliti kelemahan dirinya dan
     tidak mempunyai masa untuk menelek-nelek kelemahan diri orang lain; dia bersedia memberi rezekinya
     yang berlebihan, serta bersedia mencegah kelebihan ucapannya."

8.  Bijak: bertindak tepat pada masa, tempat dan sasaran (manusia). Keputusan tidak menyinggung perasaan.

9   Sabar dan tenang:  kuat menahan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak bijak. Menang dalam banyak hal.

10   Tidak  mungkir janji: menjaga kepercayaan subordinat

11   Adil,  fairnessequity:  meletakkan sesuatu pada tempatnya

12   Kemahuan yang kuat: dinamik, penuh daya usaha, aktif, sinergi, stamina tinggi

13   Cekap dalam membuat keputusan dan tindakan

14   Menghindari sebarang skandal dan konflik kepentingan peribadi

15   Memberi sumbangan kepada manusia demi mencapai keredaan Ilahi


Peserta yang dikasihi,

Telah banyak perkara yang kita bincangkan. Maka, sekarang saya mohon peserta menyatkan cara untuk mengaplikasi segala input yang kita peroleh menerusi slot ceramah ini dalam bentuk pelaksanaan kepimpinan pelajar di sekolah. Silakan...

(setelah memperoleh beberapa pendangan peserta, penceramah bersedia untuk mengundur diri)


Tahniah dan terima kasih. Pemimpin pelajar mesti sentiasa terus mengukuhkan ilmu kepimpinan yang berkesan. Saidina Ali karamallahu wajhah pernah mengatakan, maksudnya "hari ini lebih baik daripada semalam, dan esok lebih baik daripada hari ini." Pemimpin pelajar hendaklah sanggup melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan kepimpinan yang diamanahkan.

          Desa berseri wangi dan damai
          Sekalian pak tani sawah tumpuan
          Pemimpin bestari disenangi ramai
          Keredaan Ilahi itulah tujuan

Dengan kata-kata itu, saya akhiri dengan Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Kembali kepada pengacara majlis.

Tuesday, January 25, 2011

KERTAS KERJA KAWAD PENGUNGSIAN BANGUNAN SEKOLAH (EVACUATION DRILL AT SCHOOL)

Pendahuluan

Pengungsian bangunan ialah proses dan tatacara penghuni (mangsa) menyelamatkan diri dalam keadaan sehelai sepinggang semasa berlaku peristiwa kebakaran. Konsep pengungsian berbeza dengan pengosongan bangunan kerana jika demikian mangsa perlu membawa sekali semua alat dan barang yang ada semasa menyelamatkan diri. Kefahaman warga sekolah tentang konsep pengungsian bangunan perlu dibuat menerusi pengalaman simulasi insiden kebakaran, iaitu kawad pengungsian bangunan sebanyak dua kali setahun.

2   Tema

      'Ke Arah Sekolah Selamat'

3    Rasional

      3.1   Warga sekolah masih belum biasa dengan istilah pengungsian bangunan

      3.2   Pengalaman simulasi pengungsian bangunan di sekolah masih kurang

      3.3   Murid kurang mengambil endah tentang kawad pengungsian bangunan

      3.4   Kesedaran tentang risiko kebakaran di sekolah masih di tahap rendah

      3.5   Pengetahuan warga sekolah tentang kegunaan alat pemadam api masih belum kukuh

  
4   Matlamat

     4.1   Meningkatkan kepekaan warga sekolah terhadap elemen keselamatan 

5   Objektif

     5.1  Mangsa mematuhi tempoh maksimum tujuh minit untuk proses pengungsian bangunan

     5.2  Mangsa mematuhi segala arahan Jawatankuasa Kawad Pengungsian Bangunan sekolah

     5.3   Mangsa menerima taklimat dan tatacara melawan kebakaran

6   Tarikh

     6.1  Pada 21 Februari 2011 (Isnin), bermula pukul 9.00 pagi

7    Tempat

      7.1   Bilik darjah

      7.2   Padang sekolah

8    Bidang Program

      8.1   Proses pengungsian bangunan

      8.2   Demonstrasi penggunaan alat pemadam api

      8.3   Taklimat Khas Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

9    Penyertaan

      9.1   Semua murid dan pelajar SMK St. Michael, Ipoh sesi pagi

      9.2    Semua guru SMK St. Michael, Ipoh sesi pagi

10  Pegawai Jemputan


      10.1   Bahagian Latihan, Balai Bomba dan Penyelamat, Ipoh

11  Perbelanjaan

      11.1   Petrol:  5 liter                                    RM 10
      11.2   Diesel   5 liter                                    RM 10
      11.3   Cenderamata @ 3                             RM 60
      11.4   Jamuan pegawai bomba                     RM 20
      11.5   Pelbagai                                             RM 20

                                              Jumlah            RM 120

12   Sumber Pendapatan


       12.1   Kumpulan Wang Kokurikulum        RM 120

13   Ahli Jawatankuasa


       13.1  Pegawai Insiden:              Pengetua
       13.2  Timbalan Pegawai Insiden:     Penolong Kanan (HEM)
                                                       :     Penolong Kanan (Pentadbiran)
                                                       :     Penolong Kanan Tingkatan 6
                                                       :     Penolong Kanan Kokurikulum
        13.3  Penolong Pegawai Insiden:   Pegawai Panggilan Baris (Guru PKBM)
                                                        :    Pegawai Pasukan Pemadam (Guru Kadet Bomba)
                                                        :    Pegawai Bantuan Kecemasan (Guru PBSM)
                                                        :    Semua Guru P & P
                                                        :    Semua Guru Tingkatan
                                                        :    Pengawal Keselamatan Sekolah
         13.4 Penyelia Insiden               :    Anggota Kadet Bomba Tingkatan 6


14   Penutup


Pelaksanaan kawad pengungsian bangunan di sekolah memerlukan kerjasama dan sokongan seluruh warga sekolah, khususnya murid. Ketertiban dalam pergerakan dari lokasi insiden ke tempat berhimpun dan pelaporan yang tepat menjadi kayu ukur kejayaan simulasi berkenaan. Pihak sekolah mengharapkan agar program latihan ini mencapai segala objektif yang telah digariskan.

Disediakan oleh:

AZHAR BIN MOHD RODZI
Guru Kadet Bomba
b.p. Setiausaha Jawatankuasa 4K
SMK St. Michael, Ipoh
  

Monday, January 24, 2011

PENULIS NOVEL CINTA SESATKAN PELAJAR SAINS? (ENDLESS LOVE OR ETERNAL LOVE?)

Sedikitnya penulis yang memiliki latar belakang keagamaan yang kukuh menyebabkan tugas menyebarkan kebaikan dan nilai-nilai murni diambil alih oleh penulis-penulis yang kurang peka terhadap kewajipan dan tegahan dengan bersandarkan dalil-dalil yang autentik. Maka, segala kebaikan dan nilai murni yang cuba diterapkan lewat karya mereka mungkin hanyalah berupa sangkaan dan tekaan sahaja. Antara "ustaz" yang aktif dalam dunia penulisan kreatif ialah Azizi Haji Abdullah, Faisal Tehrani, (Dr.) Shafie Abu Bakar, (Prof. Emeritus Dato') Shahnon Ahmad, dan tidak ketinggalan (Almarhum Prof. Dr.) Hamka, atau nama penuh beliau, Haji Abdul Malik bin Haji Abdul Karim dari tanah seberang yang sinonim dengan kisah Hayati dan Zainuddin menerusi "Tenggelamnya Kapal Van Der Vijck".

Demikianlah inti sari penting pendapat seorang penceramah slot Radio Perak FM, 1.30 - 2.00 petang Isnin, 24 Januari 2011, bersamaan 19 Safar 1432 Hijriyyah. Penceramah berkenaan menyatakan rasa kesal justeru novel-novel remaja yang berlambak-lambak di pasaran kekurangan sentuhan golongan yang kompeten dalam ilmu. Akibatnya, golongan pembaca remaja disogokkan dengan kebaikan dan nilai-nilai murni yang belum tentu selari dengan kehendak dan piawai masyarakat yang dekat dengan citra al-amru bi'l-ma'ruf, wa'n-nahyu an'il-munkar.

Walaupun belum ada dapatan penyelidikan besar tentang korelasi antara bacaan novel cinta picisan dengan kerosakan akhlak remaja dan muda-mudi, nasihat dan teguran penceramah berkenaan hendaklah dipandang serius oleh sekalian penerbit dan penulis novel supaya tidak bersubahat atau menyumbang saham terhadap perkara yang membabitkan dosa dan permusuhan. Penulis-penulis novel dan genre kreatif yang lain mesti menginsafi tanggungjawab mereka yang akan ditanyai di mahkamah Rabbul-Jalil di Mahsyar kelak. Naskhah yang mempromosi aktiviti lagha dan maksiat mestilah dijauhi, dan tiada pilihan tentang itu.

Memang diakui terdapat banyak aliran pemikiran dan mazhab (schools of thought) tentang penulisan kreatif seperti absurd, realisme dan surrealisme. Namun, kebebasan berkarya bukanlah lesen yang melayakkan seseorang penulis itu melukiskan kata-kata yang berisiko menjerumuskan pembaca ke arah keputusan dan pertimbangan yang menyimpang daripada kehendak agama, akhlak dan hukum-hakam. Kalaupun 95 peratus kandungan novel mempromosi kebaikan dan nilai yang selari, tetapi 5 peratus bakinya bersifat "sesat", maka racun pemikiran itu akan menjalar ke segenap urat nadi pembaca jika lambat menemui penawar yang mujarab.

Penulis-penulis genre kreatif ialah insan berbakat yang dapat melihat dan kemudiannya melukiskan sesuatu situasi dan perincian figura dalam susunan kata yang begitu memikat dan berbekas. Benarlah peribahasa bahawa mata pena itu lebih tajam daripada mata pedang. Tinta seseorang penulis bisa membangkitkan jiwa yang sudah kontang, membakar semangat daya juang bangsa dan menyemai jati diri generasi muda.

Kebanyakan orang boleh bercakap berjam-jam lamanya tanpa henti, tetapi jika disuruh menulis dia akan mengangkat kedua-dua belah tangan tanda "mengaku kalah". Moga-moga bakat dan kecerdasan linguistik yang dimiliki penulis naskhah kreatif menjadi medium terbaik bagi memupuk penghayatan kebaikan, serta nilai-nilai murni yang sebenar. Justeru penulis mesti sanggup mendampingi ahli atau pakar rujuk agama sebelum karya yang dihasilkan dihantar untuk cetakan.

Tempelakan keras al-Qur'an terhadap penyair Quraisy jahiliyah yang mengembara di lembah-lembah bagi mendapat ilham, tetapi menolak risalah Nabi (mereka menggantung hasil karya sesat mereka di sekitar Kaabah) perlu menjadi iktibar. Walaupun penulis memiliki kekuatan bahasa dan imaginasi, nukilan mereka hanya akan bernilai seandainya berpaksikan aqidah, syariat dan akhlak. Jika sebaliknya, kerja yang hebat itu ibarat logam maya (fatamorgana), iaitu kebaikan dan nilai murni yang tidak kesampaian.

Akhir sekali, apa pula kaitan tajuk ini dengan budak-budak sains? Kira-kira pukul 12 tengah hari tadi, penulis blog (PB) sempat berbual-bual dengan seorang doktor dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh sebaik beliau usai berceramah tentang kecederaan sukan dalam kalangan murid sekolah. Doktor muda yang masih bujang itu ialah bekas Andersonian (SMK Anderson, Ipoh tahun 2000) dan belajar perubatan di Royal College of Dublin, Ireland. PB mendapati doktor muda berkenaan petah bercakap, serta memiliki empati yang tinggi terhadap pesakit.

Sebenarnya, murid aliran sains juga perlukan pendedahan komponen sastera (komsas) supaya mereka akan menghargai dan menyukai elemen kecindan apabila berurusan dalam pekerjaan suatu hari nanti. Di Amerika Syarikat, pengajian secara liberal, iaitu pelajar sains di universiti diwajibkan mengambil kursus sastera dalam nisbah 20 - 30 peratus bertujuan memupuk saintis dan pakar yang peka terhadap sisi sensitiviti masyarakat yang mendambakan sumbangan dan khidmat mereka. Amerika belajar daripada dapatan A Nation at Risk dan The Closing of the American Mind.

Budak sains seperti doktor muda tadi pernah beroleh pengalaman pembelajaran komsas yang memberi jiwa kepada setiap keputusan dan tingkah laku mereka sepanjang hayat. Malah, urusan dengan manusia memerlukan bahasa yang mudah, sopan dan tidak ketinggalan unsur kecindan. Kebanyakan masalah yang dihadapi oleh manusia berpunca daripada kekurangan ilmu yang sah... Wallahu a'lam bi's-sawab.

Sunday, January 23, 2011

KEMBARA AMIRA BAB 4 (THE MYSTERIOUS SMELL)

Pengenalan

Bab 4, muka surat 34 - 48 melanjutkan unsur saspens dan tanda tanya dalam kalangan pembaca tentang watak dan situasi sebenar di sekeliling tapak cari gali atau kompleks arkeologi yang dinamai Desa Karpus. Selain pertemuan kali kedua antara Amira yang ditemani Jacinta dengan Malique, untuk saling berkenalan, cerita di kawasan perkhemahan turut disulami saspens. Suasana gurauan "ikan paus darat" yang dimulai Dr Zawawi bertukar kepada perbincangan panas tentang peristiwa tali beberapa buah khemah diputuskan, dan bau keretek pada waktu malam.

Analisis Peristiwa Penting

1   Amira kaget apabila disapa oleh Malique sebaik selesai mandi di Air Terjun Angin, di kaki Bukit Mat Raya. Amira yang berminat untuk mengetahui tujuan Malique ke belantara yang sama dengannya mendorongnya berlaku jujur dengan memohon maaf sebab asyik memerhatikan Malique semasa dalam kereta api dahulu.

Watak:  Amira

Perwatakan:  jujur / berterus terang

Latar masyarakat:  masyarakat yang jujur / berterus terang

Nilai: Kejujuran

Persoalan:  Kejujuran dalam komunikasi

Pengajaran:  Kita hendaklah jujur dalam komunikasi

2   Dr Zawawi yang pendiam tiba-tiba memulakan usik-mengusik tentang aroma dan keenakan daging rusa panggang yang dihidangkan kepada warga Desa Karpus. Dr Zawawi hendak menyakat Amira dan JC, tetapi akhirnya dia sendiri yang terkena. 


Watak:  Dr Zawawi

Perwatakan: Pendiam / kelakar  / suka bercanda

Latar masyarakat:  Masyarakat yang pendiam / kelakar / suka bercanda

Nilai:  Berhati-hati (merujuk sifat pendiam)

Persoalan:  Berhati-hati dalam komunikasi

Pengajaran:  Kita hendaklah berhati-hati dalam komunikasi

3    Dr Zawawi cuba menenangkan kegelisahan peserta perkhemahan tentang bunyi pelik dan bau keretek semasa berkawal pada waktu malam. Dr Zawawi membuat andaian Pak Lias yang menghisap keretek itu (walhal perbuatan Tau - bab kemudian).


Watak:  Dr Zawawi

Perwatakan:  Bijak / panjang akal

Latar masyarakat:  masyarakat yang bijak / panjang akal / masyarakat pensyarah / masyarakat doktor muda

Nilai:  Kebijaksanaan

Persoalan:  Kebijaksanaan dalam menenangkan suasana yang tidak menentu

Pengajaran:  Kita hendaklah bijaksana menenangkan keadaan yang tidak menentu

4   Rusdi, ketua kumpulan peserta ekspedisi berjaya mendesak Profesor Zaidah menerangkan hal sebenar di sebalik peristiwa aneh yang berlaku. Rusdi memang halus pengamatannya kerana dialah yang menjumpai tulang karpus yang menjadi nama kompleks arkeologi mereka.


Watak:  Rusdi

Perwatakan:  Teliti

Latar masyarakat:  Masyarakat yang teliti

Nilai: Ketelitian

Persoalan:  Ketelitian dalam melaksanakan tugasan

Pengajaran:  Kita hendaklah teliti dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan

5   Profesor Zaidah akhirnya mengalah lalu menerangan kedudukan sebenar cabaran yang dihadapi dengan kehadiran pencari emas di sekitar Bukit Mat Raya. Namun, Profesor Zaidah menegaskan bahawa selagi tiada bukti, mereka perlu bertahan menyiapkan kerja cari gali tanpa membuat sebarang tuduhan.


Watak:  Profesor Zaidah / pengarah projek arkeologi

Perwatakan:  Amanah / Bijak memimpin / bertanggungjawab

Latar masyarakat:  Masyarakat yang amanah / bijak memimpin / bertanggungjawab

Nilai:  Amanah  / berkepimpinanan

Persoalan:  Amanah dalam menyimpan rahsia / Bertanggungjawab terhadap kumpulan

Pengajaran:  Kita hendaklah amanah dalam menyimpan rahsia / bertanggungjawab terhadap kumpulan

PASARAN PERSAINGAN SEMPURNA (PERFECT COMPETITION MARKET)

Definisi
Sebuah pasaran yang terdiri daripada bilangan penjual dan pembeli yang tidak terhingga jumlahnya sehingga harga keluaran yang bersifat homogen ditetapkan oleh pasaran.

Ciri utama

1   Bilangan pembeli dan penjual yang tidak terhingga banyaknya.
Bahagian permintaan (pembeli) dan bahagaian penawaran (penjual) secara individu sangat kecil dalam pasaran; tindakan sesebuah firma dan seseorang pembeli tidak berkuasa mempengaruhi pasaran

2   Keluaran homogen: tidak dibezakan secara fizikal dan psikologi, bersifat pengganti sempurna, tiada kesetiaan jenama, tidak perlu saingan bukan harga (iklan)

3   Penerima harga: penjual dan pembeli menerima harga yang ditentukan oleh mekanisme pasaran (DD = SS)
Sebab itulah keluk permintaan firma ialah anjal sempurna, iaitu bebas menjual sebanyak manapun keluaran berdasarkan harga yang ditetapkan pasaran.

4   Bebas keluar masuk pasaran: Firma yang rugi (untung kurang normal) keluar, manakala firma luar bebas masuk bagi merebut untung lebih normal. Dalam jangka panjang, proses penyesuaian menyebabkan semua firma hanya menikmati untung normal.

5  Pengetahuan sempurna: penjual tahu harga faktor, tempat memperoleh faktor; pembeli tahu harga barang, tahu tempat beli

6   Mobiliti faktor sempurna:  Faktor sama cekap, dan bebas bergerak ke mana-mana tempat dan jenis kerja

Bukti AR = MR = P

TR = P x Q;  AR = [P X Q] / Q ==> AR = P

MR =TR / Q è [P x Q] / Q; MR = P è MR = P

Penentuan Keseimbangan dan Keuntungan (untuk semua jenis pasaran, termasuk persaingan sempurna)

TR > TC untung lebih normal; TR = TC untung normal;  TC > TR untung kurang normal

Pada keseimbangan MR = MC, jika AR > AC untung lebih normal; AR = AC untung normal; AC > AR untung kurang normal

Perhatian tentang istilah firma, industri (pasaran), jangka pendek, jangka panjang

Firma ialah organisasi yang memiliki loji untuk menjalankan proses pengeluaran

Industri ialah gabungan firma yang mengeluarkan barang yang sama

Jangka pendek wujud input tetap, kos tetap: AC, AVC dua keluk berbeza. AVC berada di bawah AC, makin menghampiri AC, tetapi tidak akan menyentuh (tangen) atau memotong AC

Jangka panjang semua input, kos berubah: LAC = AVC (maka AVC tidak perlu ditunjukkan lagi)

Keseimbangan firma jangka pendek: ketiga-tiga jenis untung

Cara melukis keluk: 1) Paksi; 2) AC, tandakan titik minimum; 3) MC potong minimum AC

Kes untung lebih normal: sebahagian AR = MR berada di atas AC

Kes untung kurang normal: keseluruhan AR = MR di atas AC

Kes untung normal: titik minimum AC tangen (menyentuh) AR = MR

Keseimbangan firma jangka panjang: penyesuaian untung normal
(berkait rapat dengan ciri bebas keluar masuk firma dari / ke dalam pasaran)

Kes untung lebih normal, firma baharu memasuki pasaran merebut untung itu
Lukis LAC, ARo (loji 1: untung lebih normal) SAC sebelah kiri AC, selarikan untuk keseimbangan Do / So pasaran
kemudian, AR1 kes untung normal, iaitu SMC1 = MR1 = AR1 = SAC = SMC

Jelaskan keluk industri dan firma
(kes untung kurang normal, langkah melukis dan hurain masih sama, cuma ACo di bahagian kanan LAC

Titik tutup firma 

jangka pendek: selagi firma dapat menampung AVC, iaitu TR = minimum TC
                      : AR mesti tangen minimum AVC, jika AR turun sedikit pun di bawah minimum AVC, hent operasi pengeluaran

jangka panjang: untung normal sahaja, sebab AVC = AC, sebenarnya cerita sama juga dengan jangka pendek!

Penawaran firma jangka pendek: bahagian keluk MC bermula daripada titik minimum AVC, iaitu titik tutup firma

Penilaian Pasaran

Kebaikan:

1   Kecekapan pengeluaran: jangka panjang sahaja, LAC = LMC = SAC = SMC , ringkasnya minimum AC

2   Kecekapan peruntukan, P = MC; kebajikan masyarakat di tahap maksimum;

3   Kos saingan bukan harga tidak wujud. Maka, AC lebih rendah.

Keburukan:

1   Pilihan pengguna terhad ¬ homogeniti keluaran ==> kepuasan rendah;

2   Kos sosial: tidak peduli cemar, sesak; asal maksimum untung

3   Mutu barang malar ¬ tiada R & D kerana jangka panjang untung normal sahaja; nikmati kualiti sama untuk tempoh lama

4   Tiada kelebihan saingan bukan harga; khidmat lepas jualan, pembelian berakhir sebaik bayar harga barang.

Penutup

Dalam dunia sebenar, contoh terdekat ialah pasaran barang pertanian. Sebagai ciri ekstrem pasaran, persaingan sempurna boleh dianggap penanda aras kepada ketidaksempurnaan pasaran yang sebenarnya kita hadapi. Maka, kita perlu mempelajarinya, macam hendak mencapai markah 100% dalam semua peperiksaan yang diduduki...