SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, September 30, 2011

SINETRON "KETIKA CINTA BERTASBIH" MULA MELALUT (ILLOGICAL CONFLICT AND BETRAYAL STORY)

Naskhah asal novel terlaris Indonesia karya Pak Habiburrahman El-Shirazy yang diangkat ke layar lebar, dan selanjutnya ke layar kaca televisyen sebagai siri sinetron mulai kehilangan arah. Antara bahagian cerita yang paling tidak munasabah ialah apabila keluarga Ustazah Anna (lakonan Oki Setiana Dewi) dengan begitu cepat dan mudah mencabut usul mereka sendiri supaya Azzam (Mohd Kholidi Asadil Alam) bernikah lagi dengan Ustazah Qonita (Yasmine Wildblood), hafizah pesantren Kudus kendalian Kiyai Ansori (Kaharuddin Shah) yang terhormat hanya kerana Anna disahkan hamil. Keluarga Kiyai Lutfi (bapa Anna, Deddy Mizwar) dan Dr Mujab (Pak Habib) hanya mementingkan diri tanpa peduli akan maruah pihak lain.

Sinetron KCB lanjutan dua sekuel filem bertaraf pecah panggung itu dianggap sebagai mega sinetron telah memasuki fasa ketiga "Dari Sujud ke Sujud" yang baru bersiaran di Indonesia. Kalau di Malaysia baru hendak selesai bahagian "Spesial Ramadan", dan bakal menyusul "Meraih Ridho Ilahi". Namun, sebahagian siri KCB boleh ditonton menerusi You Tube.

Supaya jalan cerita tidak cepat mencapai antiklimaks, maka Pak Habib selaku penulis senario cereka harus menggarap pelbagai konflik atau pergolakan baharu yang mampu membuat penonton melekat di hadapan skrin televisyen. Tugas itu bukanlah mudah, apatah lagi bagi menjaga kesinambungan cerita dan jangkaan peminat drama bersiri. Akhlak dan tingkah laku masyarakat pesantren yang didukung oleh pelakon profesional yang berbeza dengan penampilan sebenar mereka juga menjadi cabaran yang hebat.

Isu poligami memang sensitif kepada kaum Hawa, tetapi skrip cerita yang menggambarkan sikap mungkir janji golongan yang memimpin sebuah pesantren bukanlah contoh yang diingini. Pertunangan dan pernikahan bukan perkara main-main. KCB seperti mencalar imej golongan kiyai dan institusi pesantren yang menjadi harapan dan sandaran umat.

Jalur dakwah yang cuba ditampilkan lewat sinetron KCB kian celaru dan keliru. Beberapa adegan yang menggambarkan sikap cuai terhadap landasan citra Islamik seperti adegan keterlaluan si penjahat Gareng terhadap anak gelandangan, Dini. Demikian juga penonjolan watak Vina yang bergaul bebas dengan Ronald.

Barangkali Pak Habib dan Chairul Umam (sutradara) harus mencontohi beberapa buah filem Iran yang memenangi anugerah antarabangsa tanpa adegan bersentuhan bukan mahram, dan tanpa adegan pelakon membuka aurat konon bagi menggambarkan sisi gelap seseorang watak. Memang dalam realiti bahawa sekalian insan serba kekurangan, tetapi bukankah aib itu perlu ditutup? Dan, bukankah matlamat (dakwah menerusi media hiburan) tidak menghalalkan cara (adegan yang tidak wajar, tidak Islamik)?

Kritikan terhadap KCB tidak pula bererti bahawa sinetron berkenaan sudah menyimpang daripada kategori karya berunsur dakwah. Perbincangan bersifat popular (bukan ilmiah total) ini hanya sekadar lontaran rasa segelintir penggemar naskhah dakwah yang bersifat kreatif. Moga-moga Pak Habib dan sekalian penggiat dunia hiburan yang membawa mesej dakwah akan lebih waspada terhadap kaedah penyampaian (uslub) yang bebas daripada sebarang unsur ragu dan syubhah...

CERPEN "HUTAN RIMBA" KOMSAS TINGKATAN 5 (PROTECTING SUSTAINABLE NATURAL ENVIRONMENT)

Pengenalan

Sasjira, pengarang cerpen yang termuat dalam antologi "Dirgahayu Bahasaku", halaman 166 - 176 berjaya menyampaikan mesej tentang lestari alam sekitar, serta dilema dalam mencari rezeki untuk menyara keluarga. Pak Tua berasa sesal kerana pekerjaan yang dipilihnya menyebabkan dia terpaksa mengorbankan "busana hijau untuk bumi" yang mengambil masa jutaan tahun untuk tumbuh. Namun, di sisi yang lain, menerusi pendapatan daripada pekerjaan itu, Pak Tua dapat menanggung pembiayaan pengajian empat orang anaknya, bahkan Pak Tua bertemu jodoh dengan Mak Tua ketika bekerja.

Sinopsis Cerpen

Pak Tua seorang pemandu traktor yang bertugas membersihkan kawasan hutan untuk tujuan pembangunan dan pertanian. Pak Tua berasa kesal kerana dia telah banyak memusnahkan habitat yang menjadi tempat tinggal flora dan fauna. Sebelumnya, Pak Tua pernah menggunakan bom ikan hingga memusnahkan terumbu karang yang mengambil masa jutaan tahun untuk membesar. Namun, Pak Tua juga harus menerima hakikat bahawa dia berjaya menyara keluarga dan pengajian anak-anaknya hingga hidup senang atas pendapatan bulanan yang mencecah ribuan ringgit. Mak Tua, Ajam, Bakar, Melati dan Budi cuba memujuk Pak Tua supaya tidak dicengkam rasa bersalah. Bagi menebus "kesalahan" masa lalu itu, Pak Tua membuat keputusan untuk menggunakan tanah pusaka ibu dan bapa mertuanya sebagai hutan simpan. Akhirnya semua anak Pak Tua berpakat untuk menjadikan kawasan hutan simpan Pak Tua sebagai produk pelancongan.

Watak dan Perwatakan

Pak Tua: Watak utama, mencintai alam sekitar. Setelah bersara, dicengkam rasa bersalah memusnahkan hutan. Suami dan ayah yang bertanggungjawab / prihatin. Buktinya, Pak Tua mementingkan pendidikan. Berhemat dalam perbelanjaan, iaitu tidak suka berhutang untuk biaya pengajian anak hingga ke menara gading. Suami / bapa yang penyayang. Pak Tua sentiasa mendengar dan melayan percakapan mereka. Pak Tua juga pemurah, sentaiasa menghantar juadah ke masjid tiap malam Jumaat.

Mak Tua:  Asalnya gadis sungai di daerah Kinabatangan, Sabah. Bertemu jodoh ketika sedang membasuh pakaian di lanting (jeti terapung, dialek Brunei). Isteri yang setia. Sentiasa menyokong pekerjaan suami, selain menghiburkan suami yang dilanda rasa bersalah terhadap kemusnahan hutan. Bertanggungjawab dan rajin memasak untuk keluarga dan masyarakat.

Ajam:  Anak sulung Pak Tua dan Mak Tua. Pemilik syarikat pengangkutan bas antarkota. Anak yang mengenang jasa Pak Tua yang memberi bantuan modal dan dana ketika dia mula berniaga.

Bakar. Anak kedua, pengurus ladang lulusan Sarjana Pertanian. Bijak mengambil hati Pak Tua dengan mengatakan pembangunan memerlukan pengorbanan.

Melati:  Anak ketiga, pensyarah universiti. Seperti abang-abangnya, Melati sangat mengenang jasa Pak Tua yang menanggung biaya pengajian tinggi dirinya dengan titik peluh sendiri. Malah, Melati menganggap pekerjaan Pak Tua sebagai menolong negara melaksanakan pembangunan.

Budi:  Anak bongsu, guru bertauliah lulusan sarjana muda pendidikan. Anak yang sopan, contohnya menyokong langkah Pak Tua membuka hutan simpan. 

Latar tempat

Kinabatangan dan Sandakan, Sabah: Pak Tua pertama kali bertemu Mak Tua 40 tahun yang lalu ketika menaiki kapal menyusuri Sungai Kinabatangan.

Rumah Pak Tua / rumah kebun:  Pak Tua mengingat masa lalu, sambil Mak Tua menyediakan hidangan gulai asam pedas. Pak Tua juga sibuk melayan kerenah cucu dengan kisah dongeng tentang hutan rimba nan indah.

Kebun dan hutan simpan milik Pak Tua. Penuh dengan tanaman buah-buahan tempatan dan buah -buahan hutan. Pak Tua sangat berhati-hati mengambil buah-buahan supaya pokok tidak rosak.

Perbincangan Komsas


Pemilihan Tajuk


Tema


Latar masyarakat


Nilai


Persoalan


Pengajaran


Teknik penceritaan


bersambung...

Thursday, September 29, 2011

LANJUTAN UMUR BERSARA KAKITANGAN AWAM, SWASTA (TOUCH OF THE MIDAS)

Ura-ura bahawa usia kakitangan awam dilanjutkan kepada ulang tahun kelahiran ke-60, dan swasta hingga maksimum 64 tahun menerima maklum balas berbeza. Pihak yang membantah berhujah bahawa langkah berkenaan bakal menyekat peluang generasi muda untuki mendapat pekerjaan, selain tempoh menunggu naik pangkat lebih panjang. Pihak yang menyokong pula mendakwa bahawa kematangan dan pengalaman yang dimiliki sangat berharga kepada organisasi dan negara sepertimana amalan negara maju yang lain.

Perkhidmatan kesihatan dan sistem pencegahan serta rawatan yang lebih terancang telah didapati memanjangkan jangka hayat penduduk Malaysia. Dijangka bahawa pada tahun 2035, Malaysia bakal tergolong sebagai negara tua justeru memiliki nisbah warga emas kepada jumlah penduduk yang tinggi. Usia persaraan semasa, iaitu 58 tahun, dianggap terlalu awal kerana pada usia berkenaan, kebanyakan kakitangan masih sihat, berdaya saing dan segak.

Hakikatnya zaman sudah berubah. Berbanding dahulu, kebanyakan kakitangan awam dan swasta kini memiliki kelayakan akademik dan ikhtisas yang lebih tinggi. Sesetengahnya menghabiskan tempoh yang begitu panjang untuk belajar. Mereka hanya memasuki pasaran pekerjaan setelah mencapai usia suku abad.

Lepasan tingkatan 5 mungkin berpeluang bekerja hingga 40 tahun lamanya, berbanding dengan siswazah universiti yang hanya sempat bekerja tidak lebih 30 tahun. Kos lepas yang ditanggung sama ada dari segi kewangan, mahupun pembinaan hidup keluarga begitu tinggi. Maka, lanjutan usia persaraan ialah sebagai pampasan kepada pilihan kedua terbaik yang dikorbankan, misalannya usia perkahwinan yang lebih awal dengan tahap reproduksi yang lebih tinggi.

Konsep pengajian secara dalam talian (home schooling, home university) membuka peluang yang lebih luas untuk akses pengajian tinggi. Kepelbagaian bidang kursus yang ditawarkan membolehkan golongan pekerja lepasan sekolah menengah memperoleh kelayakan akademik dan ikhtisas yang lebih tinggi tanpa perlu meninggalkan pekerjaan masing-masing. Maka, mahasiswa sepenuh masa di kampus akan kehilangan lebih banyak peluang apabila tiba saat mereka menamatkan pengajian.

Di sekolah, golongan guru fresh graduate mendapati senioriti mereka menerima ijazah sudah tidak bererti. Rakan seusia mereka yang menerima ijazah lebih lewat nampak lebih bertuah justeru perkhidmatan mereka yang lebih awal sebagai guru bukan siswazah telah diambil kira untuk kiraan undur masa setara perkhidmatan guru siswazah. Bekas pelajar-pelajar terbaik itu hanya mampu menyimpan rasa terkilan di dalam hati.

Isu lanjutan usia persaraan patut dilihat menerusi perspektif yang lebih luas dan menyeluruh. Bakat dan potensi terbaik yang memberi tumpuan sepenuh masa terhadap pengajian di kampus hingga harus melepaskan banyak peluang lain, bahkan harus menanggung beban hutang pengajian perlu diberikan perhatian yang khusus. Jika tidak, negara akan mensia-siakan modal insan terpilih yang bakal terpinggir sebaik bergelar siwazah... 

Wednesday, September 28, 2011

FUNGSI PENGELUARAN JANGKA PENDEK (THE LAW OF DIMINISHING RETURN)

Pengenalan

Sekali lagi diingatkan bahawa bidang kajian aktiviti ekonomi hanya tertumpu kepada tiga komponen besar, iaitu penggunaan, pengeluaran dan pertukaran. Komponen penggunaan dipelajari dalam tajuk-tajuk permintaan, penawaran dan keseimbangan pasaran; keanjalan permintaan dan penawaran; dan keseimbangan pengguna. Maka, selanjutnya pembelajaran ekonomi beralih kepada komponen pengeluaran yang merangkumi tajuk-tajuk seperti fungsi pengeluaran, teori kos dan ekonomi bidangan.

Konsep-konsep penting dalam teori pengeluaran

loji:  unit pengeluaran berbentuk fizikal seperti bangunan, jentera, kilang

firma:  organisasi pengeluaran yang memiliki loji

industri:  gabungan semua firma dalam sesuatu keluaran (barang dan perkhidmatan)

jangka pendek:  terdapat sekurang-kurangnya satu faktor tetap, di samping faktor berubah

jangka panjang:  berlaku penyesuaian loji, iaitu tiada lagi faktor tetap (hanya ada faktor berubah).

Fungsi Pengeluaran

merujuk hubungan antara tingkat keluaran (output) dengan kuantiti faktor (input). Boleh ditulis sebagai:

          Qx = f (B, M, T, U).

                   B   -  buruh
                   M  -  modal
                   T   -  tanah
                   U  -  usahawan

Dalam jangka panjang semua 4 faktor ialah faktor berubah, manakala dalam jangka pendek mesti ada sekurang-kurangnya satu faktor tetap. Bagi memudahkan analisis, andaikan hanya ada 2 faktor, iaitu buruh dan tanah. Faktor tetap ialah tanah, manakala faktor berubah ialah buruh.

             Qx  =  f(B, Ť);     
Ť  = faktor tanah diandaikan tetap

Huraian grafikal


Hubungan antara keluk: jumlah keluaran (TP), keluaran purata (API), keluaran sut (MP).

akan datang...

Tuesday, September 27, 2011

AZFA HAHANI "TERUSIR" BAB 16 KLIMAKS (PRETENDER EXPOSED)

Pengenalan

Bahagian plot kemuncak atau klimaks novel Azfa Hanani terdapat dalam bab ini. Sedang Azfa Hani leka bertelingkah dan menuduh Tengku Muzaffar sebagai dalang yang memisahkan Tengku Murni dengan Ekran, kemunculan Datin Maziah menyebabkan identiti sebenar Azfa Hanani terbongkar. Datin Maziah tiba-tiba kembali "siuman"!

Perbincangan Peristiwa Menarik

Azfa Hanani hilang selera makan . Dia asyik memikirkan Ekran yang dianggapnya penuh karisma dan akhlak baik. Hanani sudah jatuh hati kepada Ekran.


Hanani cuba mencari punca terputusnya hubungan antara arwah Tengku Murni dengan Ekran. Mulanya dia menyangka Datin Maziah yang menghalang. Setelah membaca diari dan maklumat skrin komputer, Hanani mendapati bahawa dalang sebenar ialah Tengku Muzaffar.


Tengku Muzaffar beralasan untuk menjaga nama baik keluarga. Dia enggan tunduk kepada asakan Hanani yang melabel dirinya sama seperti Datuk Tengku Makmur. Sebaliknya, Tengku Muzaffar melabel Ekran sebagai bangsat dan suka mengambil kesempatan.


Ketika Hanani leka bercakap tentang dirinya yang sebenar, muncul datin Maziah. walaupun cuba berlakon semula sebagai Tengku Murni, hanya penampar singgah di pipi. Segala alasan ditolak mentah-mentah, lalu dia diusir serta-merta.

bersambung...

KOLOKIUM PENYELIDIKAN PRAUNIVERSITI TINGKATAN 6 (VIVA FOR YOUNG RESEARCHER)

Ipoh, Selasa: 27/9/11 = 29 Syawal 1432

Pengalaman tahun kedua SMK St. Michael, Ipoh (SMI) melaksanakan program penyelidikan bagi pengajian tingkatan 6 sangat berharga. Ketika kebanyakan sekolah lain masih ternanti-nanti pakej penyelidikan dalam sistem modular yang dijanjikan, SMI telah mengorak langkah meluru ke garisan penamat terlebih dahulu. Pelajar prauniversiti 6 Rendah kohort telah berjaya menyelesaikan projek penyelidikan masing-masing dalam tempoh 4 bulan.

Dalam jangka masa sesingkat itu, pelajar prauniversiti SMI telah menerima pendedahan tentang asas-asas ilmu penyelidikan, proses, tatacara dan aplikasi sebagai bekalan, serta persediaan pengajian tinggi kelak. Walaupun hanya 13 kali pertemuan diaturkan, tetapi pelajar telah berjaya mematuhi bimbingan para pensyarah, menyediakan cadangan, melaksanakan penyelidikan, menyediakan draf dan alat bantu pembentangan kolokium saringan, menambah baik draf untuk penulisan laporan dan proses menjilid untuk serahan. Mereka juga telah berjaya menggunakan laras ayat dan bahasa penyelidikan dengan begitu meyakinkan.

Berdasarkan sesi pembentangan kolokium saringan dan kolokium akhir yang berakhir sebentar tadi, beberapa penambahbaikan boleh diberi perhatian bagi memantapkan program kolokium penyelidikan prauniversiti pada masa depan. Antara lain:

Persediaan pembentang

Fokus pembentangan

Soalan rakan penyelidik

Soalan pakar

Cara memberi jawapan

bersambung...

Monday, September 26, 2011

LEBIHAN PENGGUNA (UNPAID UTILITY)

Pengenalan

Lebihan pengguna ialah perbezaan antara harga yang sanggup dibayar dengan harga yang sebenar dibayar oleh seseorang pengguna kerana kepuasan yang diperoleh daripada penggunaan sesuatu barang atau perkhidmatan. Takrifan lain bagi lebihan pengguna ialah utiliti (atau kepuasan) yang diperoleh oleh seseorang pengguna daripada penggunaan barang dan perkhidmatan tanpa membuat bayaran. Dalam gambar rajah, kawasan lebihan pengguna berada di bawah keluk permintaan, tetapi di atas garis harga (pasaran).

Penjelasan teori

Ulang kaji hukum utiliti sut berkurangan

Katakan seorang pengguna berasa begitu dahaga. Dia akan menghabiskan minuman untuk gelas pertama dengan cepat dan sanggup membayar harga yang tinggi. Untuk gelas kedua, dia akan minum lebih perlahan dan hanya bersedia membayar harga yang lebih rendah.

Pada satu peringkat, pengguna tidak sanggup lagi minum gelas air berikutnya. Jika dia minum juga, dia akan meluahkannya kembali (muntah). Malah, dia tidak sanggup membuat sebarang bayaran untuk gelas tambahan yang berkenaan.

Ringkasnya, tambahan kuantiti penggunaan sesuatu barang akan menyebabkan tambahan utiliti sut yang dinikmati makin turun. Bagi kes satu barang, pengguna yang rasional akan menyamakan utiliti sut dengan harga bagi mencapai keseimbangan, atau bagi memaksimumkan kepuasan.

Bagi penggunaan dua barang ke atas, pengguna akan menyamakan utiliti sut per ringgit terakhir setiap barang. Andainya harga sesuatu barang mengalami perubahan, pengguna akan menambah penggunaan barang tersebut supaya utiliti sutnya turun, atau pengguna mengurangkan penggunaan barang yang satu lagi. Proses itu akan berterusan hingga tercapai keseimbangan MUx / Px = MUy / Py.

Keputusan menambah atau mengurangkan penggunaan sesuatu barang bergantung kepada tingkat harga barang. Dari situ, hubungan antara kuantiti barang dengan harga barang yang mengalami perubahan akan membolehkan keluk permintaan individu diterbitkan. Jangan lupa mengaitkan hubungan berkenaan dengan hukum utiliti sut berkurangan.

Lebihan pengguna

bersambung...

Sunday, September 25, 2011

PENULISAN SEMULA SEJARAH TIDAK PERLU SENSASI (LET'S SCHOLARS DO THEIR JOB)

Kontroversi status Mat Indera dalam peristiwa Bukit Kepong mengundang perdebatan hangat dalam media popular surat khabar dan penulis blog amatur. Pandangan para sarjana pula dilaporkan berdasarkan perspektif wartawan yang lebih menjurus kepada pemberitaan berkepentingan. Tidak semena-mena perbincangan tentang fakta sejarah mendapat perhatian yang begitu hebat.

Fakta sejarah tidak pernah bersifat muktamad. Jika ada dapatan baharu berdasarkan penyelidikan, fakta yang sedia ada akan dipinda. Fakta sejarah sebagaimana data sains sosial yang lain boleh dimanipulasi untuk membuat generalisasi terhadap sesuatu populasi.

Dalam kebanyakan mata pelajaran di sekolah, sukatan pelajaran antara lain menghendaki murid belajar membezakan antara penyataan fakta dengan pernyataan pendapat. Potensi kognitif murid digilap supaya memiliki kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis. Di situlah letaknya kepentingan mentafsir atau memberi ulasan terhadap sebarang fakta sejarah yang ada.

Contoh fakta sejarah yang mengalami perubahan ialah tentang kaum zaman batu yang kononnya masih wujud di pedalaman Filipina. Setelah beberapa lama "fakta" itu dimuatkan dalam buku teks, akhirnya didapati bahawa cerita dan foto yang berkenaan adalah palsu semata-mata. Maka, "fakta" itu digugurkan.

Tafsiran tentang fakta sejarah sangat dipengaruhi oleh aliran pemikiran atau kaedah penyelidikan yang dilaksanakan. Kebanyakan fakta sejarah yang dihidangkan dalam buku-buku teks seluruh dunia telah ditulis oleh sarjana orientalis. Maka, bahagian tafsiran dan manipulasi data sejarah yang ditulis memang boleh dibahas.

Mengapakah British beriya-iya memecahkan rantau Arab dan Asia kepada negara-negara bangsa yang lebih kecil? Mengapakah mereka takut bahawa jika rantau Asia Tenggara mewujudkan kesatuan geopolitik, laluan Selat Melaka tidak lagi percuma, dan tiada sebarang armada asing boleh mendakwa sebagai pengawal Selat Melaka? Mengapakah rejim haram Tel Aviv diletakkan dalam wilayah Palestin, serta berjiran dengan negara-negara kecil Arab yang asalnya Tanah Besar Hijjaz?

Negara-negara teluk seperti Abu Dhabi, Bahrain, Kuwait, Qatar dan UAE dikatakan terletak di atas simpanan telaga minyak terbesar dunia. Sebagai negara-negara yang bersaiz kecil, mereka tidak akan berdaya untuk menghadapi ancaman asing bersendirian. Maka, Barat menjalankan jarum halus mereka di sana selagi mana negara-negara berkenaan saling curiga dan enggan berpakat.

Penulis blog (PB) mengajar mata pelajaran Sejarah tingkatan 3, 5 dan 6 Atas untuk beberapa tahun. Malah, PB pernah diberi amanah sebagai ketua panitia Sejarah SM Teknik, Persiaran Brash Ipoh. Fakta menarik ialah PB berjaya membawa mata pelajaran Sejarah mencatat pencapaian 100 peratus buat pertama kalinya di sekolah berkenaan.

Semasa mengikuti kursus diploma pendidikan di UIAM, Petaling Jaya, opsyen pertama PB ialah Kaedah Perdagangan dan Keusahawanan, manakala opsyen kedua ialah Kaedah Sejarah. Ketika semakan KBSM dilakukan, PB telah terpilih mewakili Jabatan Pendidikan Teknikal, Kementerian Pendidikan Malaysia dalam Persidangan Kebangsaan Sejarah anjuran bersama Pusat Perkembangan Kurikulum dan Persatuan Sejarah Malaysia yang berlangsung di Hotel Federal, Bukit Bintang. Sebulan sebelum itu di hotel yang sama, PB telah mengikuti kursus profesionalisme guru sejarah anjuran Jabatan Pendidikan Teknikal sendiri.

Sarjana sejarah tidak akan bersikap tegar (rigid) terhadap fakta sejarah. Mereka sentiasa terbuka kepada dapatan penyelidikan terkini dari seluruh dunia. Penemuan artifak, catatan batu bersurat, dan manuskrip lama akan membuka jalan kepada perubahan fakta sejarah, atau sekurang-kurangnya menyediakan ruang untuk fakta pilihan dan tafsiran yang baharu. Semua pihak perlu menghormati penjelasan bijak pandai sejarah, dan sanggup membuang ego kononnya "aku serba tahu"...

TUKANG SAPU JADI PRESIDEN ZAMBIA: PENGALAMAN DAN IKTIBAR (LIFE LONG LEARNING)

Si "Tedung Selar" Michael Sata, 74, bekas tukang sapu British Rail di London kini presiden sebuah negara. Beliau memimpin parti Barisan Patriotik yang menunjukkan noktah kepada Rupiah Banda yang telah berkuasa lebih 20 tahun. Selain tukang sapu, Sata juga pernah bekerja di kilang pemasangan kereta di London, dan kemudian sebagi polis di negara sendiri.

Zambia sebuah negara miskin dengan 70 peratus penduduk berpendapatan RM1,250 setahun, atau RM104 sebulan. Ketika dijajah oleh Inggeris, Zambia dikenali sebagai Rhodesia Utara. Masalah rasuah dan kronisme mengakibatkan agihan kek kemakmuran negara yang kaya dengan hasil galian itu berlegar di sekitar segelintir orang kaya sahaja.

Jangka hayat rakyat Zambia tidak melebihi 50 tahun. Tanpa sistem pencegahan dan rawatan kesihatan yang mencukupi, penduduk Zambia terdedah kepada penyakit genetik, wabak dan yang berkaitan dengan persekitaran. Pernah dilaporkan penduduk Zambia asyik bersuka ria justeru mereka tidak mahu hanya melayan penderitaan sebelum ajal datang menjemput.

Sata menyatakan azam untuk memerangi rasuah hingga ke akar umbi sebagaimana dia pernah menyapu sampah dahulu. Pengalaman hidup di England mungkin mempengaruhi dasar kerajaan beliau tentang sistem politik, sosial dan ekonomi negara itu. Rakyat Zambia menaruh harapan yang begitu tinggi.

Kisah Sata mengingatkan penulis blog (PB) terhadap dua perkara. Pertama, ialah tentang pengalaman peribadi PB, dan kedua tentang upaya memajukan diri. Sata boleh dijadikan contoh tentang huraian peribahasa "tuah ayam nampak di taji, tuah manusia siapa yang tahu".

Pengalaman peribadi yang dimaksudkan ialah PB pernah bekerja sebagai tukang sapu di Raliegh Cycles, Shah Alam suatu ketika dahulu. Gaji harian ialah RM6.50, jumlah yang boleh tahan sementara menunggu keputusan STPM diumumkan. Ketika itu, rangkaian restoran makanan segera belum menjadi fenomena pasaran.

Sebenarnya kerja menyapu sampah hanya menjadi sebahagian kecil tugas PB yang ditempatkan di Jabatan Penyenggaraan. Bahagian cuci tandas diisi oleh seorang anne (pak cik keturunan India) kerana kesempatan untuk bermalas-malas ada di situ, maklumlah terlindung daripada pandangan mata. Tugas lain PB ialah memunggah komponen basikal daripada kontena, mengemas stor dan kerja lain yang diarahkan oleh pengurus dan penyelia.

Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah peluang masuk ke pejabat pengurus besar. PB diminta membersihkan bingkai gambar Queen Elizabeth. Dalam hati terlintas juga bahawa nenek itu antara ketua penjajah dunia timur.

Belanja makan di kantin agak murah kerana setiap pekerja diberikan kupon subsidi. Maka, hidangan tengah hari termasuk minuman hanya RM1.00. Kebetulan di sebelah kilang Raliegh ialah kilang mencetak duit syiling Bank Negara Malaysia.

Kepada pelajar sekolah, kisah Michael Sata boleh diambil sebagai inspirasi untuk memajukan diri. Jika Sata hanya berpuas hati sekadar sebagi tukang sapu di kota London, maka dia akan berakhir sebagi tukang sapu. Namun, Sata sentiasa mahukan perubahan terhadap nasib diri, keluarga, masyarakat dan bangsanya.

Sambil bekerja, dia menyambung pengajian secara sambilan hingga memperoleh kelayakan peringkat universiti. Maka, apabila kembali ke Zambia, dia antara rakyat yang memiliki akses pengajian tinggi. Dengan mudah, Sata diterima menyertai pasukan polis sebagai pegawai.

Sata juga tidak mahu berakhir sebagi polis. Dia telah memasang impian yang lebih tinggi dan berusaha mengejar impian yang ibarat pelangi itu walaupun makin meniti usia. Mungkin kepada sebahagian besar warga emas, kumpulan usia 70-an hanya layak berehat di rumah, bermain dengan cucu dan cicit, serta menghitung hari untuk dijemput ke alam baqa'.

Sata bermula sebagai Presiden Zambia pada usia 74 tahun. Dia masih kelihatan segak dengan persalinan yang layak sebagi ketua negara. Percakapannya juga penuh keyakinan dan harapan seolah-olah dia akan hidup seribu tahun lagi.

Pelajar sekolah juga harus mencontohi Sata dalam melakar kehidupan dan impian. Dia sentiasa meneroka penambahbaikan terhadap kedudukan diri dan bangsanya. Siapa sangka bahawa si tukang sapu akan berakhir sebagai presiden Zambia?

Pelajar sekolah hendaklah mengusir perasaan rendah diri, atau berfikir akan kekal di takuk lama sahaja. Pelajar hendaklah mencari jalan untuk menuju puncak kejayaan. Pepatah Inggeris mengatakan bahwa anda tidak akan mencelup kaki dalam aliran air sungai yang sama dua kali...

Saturday, September 24, 2011

AZFA HANANI BAB 16: HARI SUMBANGSIH (HIDDEN CURRICULUM)

Pengenalan

Azfa Hanani melihat keadaan sekolah seperti "tidak terurus" justeru proses pembelajaran tidak berjalan sepertimana dalam jadual. Dia berfikir alangkah baik kalau sekolah memberi tumpuan kepada pencapaian akademik sebagai sandaran masa depan murid. Namun, kata alu-aluan pengetua dalam buku cenderamata tentang pendidikan masa terluang sebagai persediaan menghadapi dugaan hidup telah mengubah persepsi Hanani tentang proses pendidikan di sekolah.

Perbincangan Peristiwa Menarik

Khabar tentang Laili yang disampaikan oleh Falina membuat Azfa Hanani terkesima. Laili berjalan sambil berpegang tangan dengan dengan budak lelaki, iaitu Iskandar. Fuad menambah bahawa Iskandar ialah budak jahat dan dibuang sekolah. Ketara sekali teman-teman Hanani tidak senang dengan pacar si Laili itu.

Watak:
Perwatakan:
Latar masyarakat:
Nilai:
Persoalan:
Pengajaran:

bakal menyusul...

Friday, September 23, 2011

PENYELIDIKAN PRAUNIVERSITI TINGKATAN 6: ISU DAN HAKIKAT (THE LIMITATION OF FUNDAMENTAL RESEARCH AT SCHOOL)

Pemilihan tajuk

Terlalu khusus, berterus terang dan tidak merahsiakan sampel dan lokasi. Konsep tidak menyebut nama secara terang (ketanpanamaan, anonimonity) sudah dilanggar.

Penyataan masalah

Agak terikat dengan pengalaman di tempat lain, maka dari segi keaslian tidak begitu mantap.

Soalan Kajian

Masih terdapat penyelidik muda yang keliru tentang soalan kajian dengan item instrumentasi (soal selidik).

Tinjauan Bacaan

Masih bergantung kepada sumber-sumber bacaan popular. Penggunaan jurnal penyelidikan, termasuk dalam talian belum ketara.

Instrumentasi

Boleh dikatakan semua instrumentasi dibina sendiri. Tiada masalah dari segi kesejajaran dengan tinjauan bacaan, tetapi tiada catatan tentang pendapat pakar (pensyarah prauniversiti), atau kajian rintis.

Analisis Data

Jadual silang taburan kekerapan berjaya dipersembahkan dengan baik. Namun, pelajar agak obses untuk memaparkan terlalu banyak grafik bagi menambah tebal naskhah laporan penyelidikan.

Kesimpulan dan Cadangan

Bahagian kesimpulan sudah baik, tetapi bahagian cadangan perlu lebih kemas. Pelajar perlu menghubung kait cadangan dengan pihak berkepentingan yang telah disebut dalam bab pengenalan.

Etika Penyelidikan

Seperti tajuk, penyelidik muda cenderung untuk menyampaikan cadangan yang ditujukan secara khusus dan amat jelas. Status penyelidikan diganggu dengan imej "surat aduan".

Rujukan

Gaya APA yang disarankan tidak begitu dipatuhi.
Format Laporan

Banyak dipengaruhi cara persembahan folio semasa menengah rendah dan atas. Misalnya, lebih suka menggunakan bentuk poin dan hiasan "awan larat".

Organisasi Kandungan

Masih mahu memasukkan data mentah dan lampiran semua set item yang ditadbirkan.

Cadangan Penambahbaikan

Mengambil kira hakikat bahawa penyelidik muda prauniversiti masih di peringkat pendedahan asas penyelidikan tahap tinggi, hasil kerja dan keberanian membentangkan laporan, disusuli dengan jawapan kepada soalan pakar, program penyelidikan yang dilaksanakan dalam masa yang begitu singkat telah berjaya mencapai matlamat dan objektif yang ditetapkan. Mereka hanya perlukan bimbingan pakar (pensyarah prauniversiti) secara lebih terancang. Semua pihak masih menunggu sistem modular yang diturunkan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia.

Buat sementara, syor-syor di bawah boleh dipertimbangkan:

1   Manual panduan penyelidikan prauniversiti disediakan oleh sekumpulan pensyarah prauniversiti sendiri

2   Penganjuran kolokium pelajar prauniversiti hingga ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa, buat permulaan dengan negara-negara jiran

3   Penerbitan jurnal penyelidik muda yang disebarluaskan ke sekolah-sekolah tingkatan 6

4   Hadiah lawatan ke universiti penyelidikan dalam dan luar negara kepada penyelidik muda berpotensi

5   Membina portal khas penyelidikan prauniversiti yang hanya boleh diakses dengan izin

Thursday, September 22, 2011

BACA BUKU UNTUK PERIKSA JUGA PENTING, PAK UNGKU (MAKE IT "DEAR" TIME)

Ketika merasmikan Arkib Digital UM Memory semalam, Profesor Diraja Ungku Aziz (Pak Ungku) menegur tabiat membaca penuntut institut pengajian tinggi (IPT) yang hanya menjurus kepada tujuan peperiksaan. Bagi Pak Ungku, tiada cara lain yang boleh menjadi ganti menambah ilmu pengetahuan, melainkan dengan membaca buku. Pak Ungku juga turut menggesa pensyarah IPT berbuat hal yang sama.

Berdasarkan satu kajian di Amerika Syarikat (http://ezinearticles.com/?Ten-Ways-to-Strengthen-Your-Reading-Habit&id=2080), dikatakan bahawa seseorang yang berjaya membaca 10 buah buku setahun tergolong dalam peratusan kecil komuniti pembaca. Maknanya, bab malas membaca juga tampak parah di negara maju. Dalam kata lain, tabiat membaca bagaikan satu sumpahan yang menakutkan.

Dalam ucapan berkenaan juga, Pak Ungku membidas kecenderungan menggunakan isi buku untuk bahan plagiat tugasan. Kita biasa mendengar tentang kaedah "salin dan tampal" yang makin berleluasa. Pelajar menganggap pensyarah mereka tidak akan perasan kerana mendengar dakwaan senior tentang markah "timbang kati".

Sebenarnya isu kejujuran akademik dan keutuhan intelektual tidak akan pernah reda. Perkara itu menjadi penanda aras utama kecemerlangan sesebuah universiti. Tiada kompromi boleh dilakukan.

Kes upah menulis tugasan atau tesis bukan cerita baharu. Malah, ada "perunding" tidak rasmi yang menawarkan perkhidmatan. Walaupun demikian, kegiatan seumpama itu kekal sebagai rahsia umum.

Galakan membaca di peringkat sekolah digerakkan menerusi program Nilam hingga ke peringkat kebangsaan. Sama ada penerima anugerah peringkat zon, daerah, negeri dan kebangsaan benar-benar membaca dan menulis sendiri catatan rekod bacaan, biar kita bersangka baik. Kawalan tidak dapat dilakukan seratus peratus.

Kalau ditanya, seseorang mungkin mendakwa dirinya banyak membaca. Setiap hari hingga tiga akhbar berlainan dibaca hingga ke bahagian iklan dan notis muflis. Secara mingguan, majalah popular dan human interest menjadi pilihan.

Kedai-kedai buku ternama seperti MPH, Popular, rangkaian pengedar DBP dan toko persendirian masih dikunjungi ramai. Begitu juga dengan gerai jualan buku terpakai di tapak pasar malam tetap mendapat sambutan. Pesta buku juga mampu mencatat bilangan penjung yang tinggi.

Hal yang menjadi kemusykilan ialah genre bahan bacaan yang dipilih. Tidak adil untuk kita membuat kesimpulan serkap jarang sebelum memperoleh data penyelidikan yang autentik. Banyak analisis kuantitatif dan kualitatif yang perlu dilaksanakan.

Hakikatnya tabiat membaca buku untuk tujuan peperiksaan lebih bersifat jangka pendek. Buku teks dan buku rujukan pengajian tinggi sarat dengan konsep, rumus dan teori. Pembaca buku seperti itu perlu banyak bersabar, selain menulis isi-isi penting.

Jadual kuliah yang padat dan jumlah tugasan yang bertimbun-timbun, di samping persediaan untuk pelbagai bentuk kuiz dan ujian sepanjang setiap semester yang berjumlah 14 minggu menyebabkan pelajar IPT hanya menumpukan bacaan buku untuk tujuan peperiksaan. Laras bahasa yang digunakan mengikut disiplin pengajian mengakibatkan peruntukan masa yang banyak untuk membina organisasi dan skema idea. Setelah tamat peperiksaan, mahasiswa cuba berehat sebentar daripada bahan bacaan berat dan ilmiah.

Kata-kata hikmat bahawa membaca ialah jambatan ilmu memang benar. Seseorang yang kurang membaca akan hanya bergantung kepada intuisi yang terhad. Budaya Iqra' yang bermula di Gua Hira' menghendaki bahawa tabiat membaca dikaitkan dengan nama Tuhan, Pencipta manusia dan seisi alam...

bersambung... 

"GURINDAM TONGGAK DUA BELAS" KOMSAS TINGKATAN 5 (VALUES, NORMS AND ETHICS IN WORKING)

Prolog

Penulis blog (PB) memiliki pengalaman peribadi tentang gurindam yang satu ini. PB bertemu sendiri dengan pengarangnya, Mas Adeki di Hotel KL International, ketika PB sedang menghadiri kursus Penilaian Tahap Kompetensi DG44. Beliau yang baru sahaja bersara sebagai pengetua sedang mempromosi antologi seperti yang tertera di sebelah kanan naskhah Tonggak 12 di bawah, salah satu "kitab" penjawat awam di Malaysia. 

Pengenalan

Setiap rangkap gurindam ditulis dalam dua baris yang menyamakan rima akhir kedua-dua baris. Sejajar dengan tajuknya, Mas Adeki menyediakan gurindam 12 rangkap dengan setiap rangkap membawa satu idea. Gurindam Tonggak 12 dimuatkan dalam antologi Dirgahayau Bahasaku, muka surat 11 - 12.

Perbincangan Rangkap Demi Rangkap

          Hendak pandai menghargai masa,
          Jangan dinanti esok lusa.

Setiap orang hendaklah menghargai masa, dan tidak wajar bertangguh dalam sesuatu kerja.

          Ketekunan akan membawa kejayaan,
          Kegigihan bekerja dengan keupayaan.

Tumpuan terhadap sesuatu kerja hingga selesai akan membolehkan matlamat seseorang atau sesuatu organisasi tercapai. Kerja dilakukan dengan gigih (cekal, rajin) walaupun banyak cabarannya.
         
          Wajah ceria keseronokan bekerja,
          Usah berduka bermuram durja.

Dorongan untuk bekerja akan menyebabkan beban yang berat menjadi ringan. Kerja dianggap sebagai ibadah dan sumbangan yang penting.

          Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
          Bertindak penuh dengan kebijaksanaan.

Dalam menjalani kedidupan seharian, orang yang sederhana dalam segala hal akan lebih disenangi. Orang yang sederhana akan bertindak dengan bijaksana. Mereka tidak menyusahkan orang lain dengan tingkah laku yang keterlaluan atau berlebihan.
         
          Ketinggian peribadi jadi amalan,
          Ketelusan hati jadi bekalan.

Seseorang yang memiliki ketinggian peribadi akan menjaga penampilan luaran (jasmani) dan menggambarkan sikap positif lagi terbuka.  Mereka akan menjadi contoh dan sebutan.

          Kekuatan sifat baik hati,
          Bertimbang rasa dan simpati.

Orang yang baik hati sentiasa mempamerkan sifat yang disukai. Orang lain akan berasa selamat dan selesa apabila berada di sampingnya.

          Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
          Baik buruk jadikan sempadan.

Pengaruh teladan sentiasa mendatangkan kebaikan. Seseorang itu sentiasa mempunyai peribadi rujukan bagi menentukan baik buruk sesuatu perkara.

          Menjadi kewajipan menjalan tugas,
          Walaupun sederhana tetapi tegas. 

Segala tugas dilakukan dengan cekap, cepat, berkesan dan sempurna. Ketegasan dalam kerja menjadi kunci kejayaan walaupun bersifat sederhana.

          Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
          Tidak membazir teliti saksama.

Hemat bermakna cermat, teliti dan menjaga sesuatu supaya lebih tahan lama. Dengan itu, pembaziran dapat dielakkan. Seseorang yang berhemat sangat menghargai sesuatu sumber sama ada masa, tenaga, wang ringgit dan perkataan.

          Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
          Perkara susah menjadi senang.
         
Orang yang sabar sentiasa tenang dalam menghadapi sesuatu. Sifat negatif seperti gopoh, kelam-kabut, kucar-kacir, putus asa dan tergesa-gesa akan dijauhi. Cabaran dihadapi dengan tabah dan jalan keluar dicari.

          Peningkatan bakat diberi sokongan,
          Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.

Bakat dan potensi yang dikembangkan akan mendorong pembaharuan, penambahbaikan dan inovasi. Kebolehan yang ditunjukkan bakal mendatangkan manfaat kepada kehidupan.

          Nikmat mencipta budaya kreatif,
          Kembangkan bakat semoga aktif.

Penghasilan idea, bahan atau reka bentuk tertentu akan meningkatkan kesejahteraan. Bakat terpendam hendaklah digilap supaya idea yang muncul tidak sia-sia sahaja. Bakat yang dikembangkan perlu diaktifkan sepanjang masa.

Contoh tugasan

i)  Apakah tanda-tanda bahawa seseorang itu seronok nekerja?  (2 markah)

ii)  Cadangkan tiga cara menggilap bakat generasi muda di negara kita.   (4 markah)

iii)  Jelaskan dua persoalan dalam gurindam di atas.   (3 markah)

Wednesday, September 21, 2011

DRAMA "MENDUNG HITAM BERALIH JUA" KOMSAS TINGKATAN 1 (FAILURE IS NEVER PERMANENT)

Pengenalan

Prof. Dato' Aripin Said, seniman rakyat dan pensyarah UPM menulis skrip drama yang mudah, tetapi menghantar mesej betapa manusia perlukan perubahan minda, tidak betah di takuk lama sahaja. Murid tingkatan 1 berkongsi harapan dengan beliau menerusi skrip drama yang termuat dalam antologi Kasut Kelopak Jantung, muka surat 161 - 171. Secara am, drama membawa tema merebut peluang bagi mengubah nasib keluarga.

Watak
Pak Jusuh:  Suami Mak Limah, ayah Jamilah. Nelayan miskin.
Mak Limah:  Isteri dan ibu yang prihatin
Jamilah:  17, bakal menduduki SPM. Masalah yuran.
Mutusami:  tauke kedai runcit; mendesak Pak Jusuh membayar hutang RM157, atau tindakan mahkamah
Pak Seman:  Rakan Pak Jusuh, peneroka Felda yang berjaya

Perbincangan peristiwa

Mak Limah menegur Jamilah yang membiarkan buku bersepah. Mak Limah juga menyatakan pendapat supaya Jamilah memberi tumpuan kepada pelajaran. Namun, Mak Limah tidak berdaya menegah Jamilah daripada menghadiri perjumpaan belia di balai raya.

Watak:  Mak Limah
Perwatakan:  Peka / prihatin
Latar masyarakat:  Masyarakat yang peka / prihatin; masyarakat suri rumah
Nilai:  Kepekaan / keprihatinan
Persoalan:  Kepekaan / keprihatinan terhadap tanggungjawab
Pengajaran:  Kita hendaklah peka / prihatin terhadap tanggungjawab

Sebaik Pak Jusuh yang pulang lesu, Mak Limah memberi surat sekolah yang menuntut bayaran yuran peperiksaan RM75. Pak Jusuh hanya mampu menepuk dahi kerana hari itu langsung tidak mendapat ikan kerana musim tengkujuh.

Watak:  Pak Jusuh
Perwatakan:  Cekal / gigih / rajin
Latar masyarakat:  Masyarakat yang cekal / gigih / rajin; masyarakat nelayan; masyarakat miskin
Nilai:  Kecekalan / kegigihan / kerajinan
Persoalan:  Kecekalan / kegigihan / kerajinan dalam pekerjaan / menghadapi cabaran hidup
Pengajaran:  Kita hendaklah cekal / gigih / rajin dalam pekerjaan / menghadapi cabaran hidup

Apabila Mak Limah membangkitkan cadangan masuk tanah rancangan (Felda), Pak Jusuh berdalih dengan mengatakan bahawa kerja nelayan juga boleh hidup senang. Namun, Mak Limah menyatakan rasa bosan dengan Pak Jusuh yang hanya dibuai angan-angan.

Watak:  Mak Limah
Perwatakan:  Berpandangan jauh
Latar masyarakat:  Masyarakat yang berpandangan jauh; masyarakat suri rumah
Nilai:  Berpandangan jauh
Persoalan:  Berpandangan jauh dalam kehidupan
Pengajaran:  Kita hendaklah berpandangan jauh dalam kehidupan

Mutusami datang menuntut hutang. Pak Jusuh yang sudah sedia serabut dengan yuran Jamilah, mula naik berang. Dia mengusir Mutusami keluar dari rumahnya.

Watak:  Pak Jusuh
Perwatakan:  Tegas
Latar masyarakat:  Masyarakat yang tegas; masyarakat nelayan, kurang berada
Nilai:  Ketegasan
Persoalan:  Ketegasan dalam menyatakan pendirian / berhujah / menjaga maruah
Pengajaran:  Kita hendaklah tegas dalam menyatakan pendirian / berhujah / menjaga maruah

Mak Limah menawarkan radio sebagai cagaran, tetapi Mutusami menolak. Akhirnya, Mutusami beralah dan sebagai kenalan lama, dia tidak mahu mereka berbalah.

Watak:  Mutusami
Perwatakan:  Sabar / bertolak ansur
Latar masyarakat:  Masyarakat yang sabar / bertolak ansur; masyarakat pekedai runcit
Nilai:  Kesabaran / tolak ansur
Persoalan:  Kesabaran / tolak ansur dalam urus niaga / perniagaan / dengan pelanggan
Pengajaran:  Kita hendaklah bersabar / bertolak ansur dalam urus niaga / perniagaan / dengan pelanggan

Tiba-tiba Pak Seman datang berkunjung untuk mengajak Pak Jusuh ke majlis doa selamat di rumah menantunya. Pak Seman kaget kerana Pak Jusuh sudah mahu menyertai tanah rancangan. Cerita Pak Seman mengukuhkan hasrat Pak Jusuh, hingga dia melafazkan "mendung hitam dah tak ada" merujuk cuaca yang gelap sebelumnya sudah bertukar cerah.

Watak:  Pak Seman
Perwatakan:  Setia kawan
Latar masyarakat:  Masyarakat yang setia kawan; masyarakat peneroka tanah rancangan
Nilai:  Kesetiakawanan
Persoalan:  Kesetiakawanan dalam persahabatan
Pengajaran:  Kita hendaklah bersifat setia kawan dalam persahabatan

Tuesday, September 20, 2011

SURI RUMAH, SINETRON DAN TELENOVELA (TELEVISION ADDICTION)

Suatu ketika dahulu sinetron "Bawang Putih Bawang Merah" yang dibawa dari seberang pernah menjadi fenomena dalam kalangan penonton tegar drama bersiri di Malaysia. Sebelumnya telenovela Amerika Latin seperti Maria Mercedes, Rosalinda, Betty La Fia dan Cuando Sias Mia juga menjadi tema perbualan golongan itu hingga ke tempat kerja. Drama bersiri Filipina, Hong Kong dan Korea Selatan turut meniti di bibir pencandu hiburan soap opera 

Penggiat industri hiburan tempatan merungut kerana slot drama tempatan terpaksa bersaing hebat untuk mendapat penarafan (rating) yang tinggi dari segi jumlah penonton dan pengiklanan. Kuasa beli masyarakat pula membolehkan mereka beralih kepada siaran televisyen berbayar yang menawarkan pakej pilihan drama antarabangsa yang menyediakan cerita-cerita yang memenuhi cita rasa mereka. Lambakan stok drama tempatan masih terperap kerana menunggu giliran untuk mendapat slot tayangan di saluran televisyen percuma.

Suri rumah ialah golongan yang paling banyak meluangkan masa di hadapan skrin televisyen. Walaupun demikian, kaum wanita dikatakan memiliki kecekapan melakukan banyak kerja dalam satu-satu masa. Mereka boleh membuat persiapan untuk memasak sambil melayan panggilan telefon bimbit, sambil mata menjeling ke arah siaran televisyen. Mereka juga beralasan bahawa televisyen ialah sebagai teman kesunyian.

Masalah akan timbul apabila suri rumah enggan bergerak daripada ruang televisyen kerana sudah taksub dengan sesuatu slot, khususnya drama bersiri. Jadual mereka tidak boleh diganggu. Mereka akan melakukan kerja-kerja seperti melipat baju, menggosok pakaian dan sebagainya di hadapan televisyen.

Kajian tentang ketagihan televisyen telah banyak dilakukan, misalnya oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan sarjana media. Dalam kes ekstrem, ada penonton tegar yang sanggup melekat di hadapan peti televisyen secara purata 6 jam sehari! Mujur juga teknologi paparan cecair kristal (LCD), light-emitting diode (LED) dan resolusi tinggi (HD) dapat mengurangkan kelesuan mata akibat gelombang radiasi yang dipancarkan.

Ketagihan televisyen juga ialah sejenis masalah kecelaruan yang mendatangkan mudarat, sejenis 'gila' tanpa gangguan mental. Gaya hidup pesakit ketagihan televisyen akan menunjukkan tingkah laku yang membimbangkan. Mereka sanggup bersikap antisosial seperti tidak suka bersenam, menganggap tetamu sebagai ancaman dan minda dipenuhi dengan fantasi.

Apabila berlaku rebutan saluran siaran dalam kalangan anggota keluarga, selisih faham mudah tercetus. Pencandu televisyen tadi akan berusaha memiliki set televisyen sendiri yang tidak perlu dikongsi. Mereka tidak peduli dengan pendapat pakar bahawa meletakkan set televisyen dalam bilik tidur tidak baik dari segi susun atur rumah yang mementingkan kesejahteraan dan kemesraan dalam keluarga.

Kini, kebanyakan saluran televisyen boleh diakses melalui internet dan gajet mudah alih seperti komputer tablet dan telefon bimbit. Malah, teknologi televisyen dan video sudah menjadi aksesori kenderaan yang mampu dimiliki. Di tempat kerja, ada kakitangan yang mencuri masa kerja dengan melayari siaran televisyen kegemaran, termasuk yang sudah dimuat naik secara tidak sah menerusi Youtube

Sepertimana masalah ketagihan yang lain, ketagihan televisyen boleh mencapai tahap psikopat (rujukan tentang konsep dan ciri http://id.wikipedia.org/wiki/Psikopat). Namun, harus diingat bahawa label psikopat bukan boleh dibuat gurauan atau untuk suka-suka. Hanya pakar perubatan sakit jiwa yang memiliki kelayakan untuk berbuat demikian.

Pengetahuan tentang ketagihan televisyen, ketagihan internet dan ketagihan yang lain ialah sebagai peringatan kepada diri kita sendiri supaya menjalani hidup yang normal. Kita hendaklah meletakkan keutamaan yang betul dalam hidup yang singkat di dunia fana ini. Biarlah kita yang mengawal teknologi, bukan teknologi yang mengawal kita...

Monday, September 19, 2011

AZFA HANANI BAB 15: KUNJUNGAN MENGEJUT (UNEXPECTED GUESTS)

Pengenalan

Tumpuan Azfa Hanani terhadap ujian bahasa Jepun sedikit terganggu kerana dua sebab. Pertama, komitmen terhadap sesi latihan dan pertandingan forum remaja sekolah hingga ke peringkat negeri mengakibatkan dia tidak dapat menghadiri kelas bahasa Jepun banyak kali. Kedua, berita kepulangan Zuraini dan Pak Long dari Jakarta pada masa yang hampir serentak, dan sebab kedua lebih kuat menguasai benak fikiran Hanani.

Perbincangan Peristiwa

Ujian bahasa Jepun di Institut Lingua Franca pada pukul 3 petang menyebabkan Azfa Hanani tidak sempat makan tengah hari dan menyalin pakaian seragam sekolah. Mujur Hanani sudah lali dengan keadaan demikian di sekolah lama. Walaupun Hanani tidak dapat memberi sepenuh tumpuan kepada pembelajaran bahasa Jepun, dia masih perlu kepada sijil bagi menghadapi sebarang kemungkinan diuji oleh Datin Maziah.

Watak:  Azfa Hanani
Perwatakan:  Gigih
Latar masyarakat:  Masyarakat yang gigih
Nilai:   Kegigihan
Persoalan:  Kegigihan dalam menghadapi cabaran hidup.
Pengajaran;   Kita hendaklah gigih dalam menghadapi cabaran hidup

Keinginan Hanani untuk berada di lapangan terbang tidak dapat dipenuhi kerana ujian bahasa Jepun. Tiket penerbangan Zuraini dan Pak Long ke Johor Bahru juga telah ditempah untuk malam itu juga. Hanani hanya dapat memendam rasa.

Watak:  Azfa Hanani
Perwatakan:  Penyayang
Latar masyarakat:   Masyarakat yang penyayang
Nilai:   Kasih sayang
Persoalan:   Kasih sayang sesama keluarga
Pengajaran:  Kita hendaklah berkasih sayang sesama keluarga

Kak Finaz memujuk Hanani bahawa pada cuti semester nanti, dia akan membawa Hanani pulang ke kampung. Hanani berasa lega kerana selama ini Kak Finaz tidak pernah mungkir janji.

Watak:  Kak Finaz
Perwatakan:  Amanah
Latar masyarakat:  Masyarakat yang amanah
Nilai:  Amanah
Persoalan:  Amanah dalam berjanji
Pengajaran:   Kita hendaklah amanah dalam menunaikan / mengotakan / memenuhi janji

Walaupun soalan ujian bahasa Jepun yang diduduki tidak sesukar mana, namun kerana kerap tidak hadir kelas, Hanani hanya mampu menggaru kepala yang tidak gatal. Masa dua jam dirasakan terlalu panjang. Ulang kaji sepintas lalu nyata tidak banyak membantu.

Watak:  Azfa Hanani
Perwatakan:   Gigih / tidak mudah putus asa / cekal
Latar masyarakat:  Masyarakat yang gigih / tidak mudah putus asa / cekal
Nilai:  Kegigihan / kesungguhan / kecekalan
Persoalan:  Kegigihan / kesungguhan / kecekalan dalam pembelajaran
Nilai:   Kita hendaklah gigih / bersungguh-sungguh / cekal dalam pembelajaran; Kita janganlah berputus asa dalam pembelajaran

Hasrat Azfa Hanani bersua dengan Zuraini dan Pak Long tertunai apabila Abang Mazran datang menjemput bersekali dengan berita bahawa dua insan yang dirinduinya berada di rumah Datin Maziah. Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan buruk, Kak Finaz sengaja mengajak Datin Maziah keluar membeli-belah.

Watak:  Kak Finaz
Perwatakan:  Bijaksana / Teliti / Berpandangan jauh
Latar masyarakat:  Masyarakat yang bijaksana / teliti / berpandangan jauh
Nilai:  Kebijaksanaan / ketelitian / kematangan
Persoalan:  Kebijaksanaan / ketelitian / kematangan dalam tindakan / strategi
Pengajaran:  Kita hendaklah bijak / teliti / matang dalam tindakan / strategi

Zuraini masih dalam proses pemulihan. Dia berasa terhutang budi dengan keluarga angkat Azfa Hanani. Pertemuan mereka hari itu sangat emosional (meruntun perasaan).

Watak:  Zuraini
Perwatakan:  Sentiasa bersyukur
Latar masyarakat:  Masyarakat yang sentiasa bersyukur / masyarakat pesakit
Nilai:  Kesyukuran
Persoalan:  Kesyukuran terhadap nikmat kesihatan / bantuan orang lain
Pengajaran:  Kita hendaklah bersyukur atas nikmat kesihatan / bantuan orang lain

Hanani mendapati raut wajah Pak Long mengalami perubahan, iaitu kembali segak dan tampan. Hanani mengagak beban Pak Long menjadi ringan justeru dia diserahkan kepada keluarga Datin Maziah, manakala masalah kesihatan Zuraini makin baik.

Watak:  Pak Long
Perwatakan:  Sedia berkorban
Latar masyarakat:  Masyarakat yang sedia berkorban / masyarakat kampung / masyarakat kurang berada
Nilai:  Pengorbanan
Persoalan:  Pengorbanan dalam menyediakan sara hidup keluarga
Pengajaran:  Kita hendaklah sedia berkorban bagi menyediakan sara hidup keluarga

Perubahan sikap Datuk Tengku Makmur juga menyebabkan Hanani kaget. Dia bukan sahaja berlembut, bahkan membahasakan dirinya "papa". Apabila Datuk Tengku Makmur mahu bercakap sendirian dengan Pak Long (tanpa kehadiran Hanani), rasa kaget itu makin tebal, sementelah Pak Long juga meminta hal yang sama.

Watak:  Datuk Tengku Makmur
Perwatakan:  Budiman
Latar masyarakat:  Masyarakat yang budiman / masyarakat yang berpangkat, bergelar / masyarakat hartawan
Nilai:  Hormat-menghormati / saling menghormati
Persoalan:  Hormat-menghormati / saling menghormati sesama manusia / dalam komunikasi
Pengajaran:  Kita hendaklah hormat- menghormati / saling menghormati sesama manusia / dalam komunikasi

Zuraini memberitahu Hanani bahawa Datuk Tengku Makmur seperti sudah kenal lama dengan keluarga mereka. Malah, Datuk turut memuji Hanani sebagai budak baik, berbudi bahasa dan makan nasihat. Hanani menaruh rasa curiga.

Watak:  Datuk Tengku Makmur
Perwatakan:  Berterus terang / jujur
Latar masyarakat:  Masyarakat yang berterus terang / jujur
Nilai:  Terus terang / kejujuran
Persoalan:  Terus terang / Kejujuran dalam menyatakan kebenaran / hakikat / pujian
Pengajaran:  Kita hendaklah berterus terang / jujur dalam menyatakan kebenaran / hakikat / pujian

TEORI KESEIMBANGAN PENGGUNA (THE DIMINISHING MARGINAL UTILITY)

Pengenalan

Utiliti ialah kepuasan yang diperoleh daripada penggunaan sesuatu barang (atau perkhidmatan). Utiliti juga disebut sebagai nilai faedah. Pelajar prauniversiti tingkatan 6 hanya memberi tumpuan kepada teori utiliti kardinal, iaitu pendekatan ukuran kuantitatif dengan unit kepuasan sebagai util.

Teori keseimbangan pengguna atau juga disebut teori perlakuan pengguna merujuk terhadap cara seseorang pengguna memperuntukkan sejumlah pendapatan wang bagi memaksimumkan utiliti dengan memilih kombinasi barang tertentu. Bagi kes satu barang sahaja, pengguna akan menyamakan utiliti sut dengan harga barang itu (Px = MUx). Bagi kes dua barang ke atas, pengguna perlu memenuhi 2 syarat, iaitu menyamakan utiliti sut per ringgit bagi semua barang berkenaan (MUx/Px = MUy/Py = MUz/Pz = ... =MUn/Pn), dan jumlah perbelanjaan yang dihitung mesti sama dengan atau kurang daripada jumlah pendapatan pengguna (PxQx + PyQy + PzQz + ... + PnQn = Y.

Cara menghitung utiliti sut

Utiliti sut (MU, marginal utility) ialah perubahan (tambahan, pengurangan) kepuasan sebagai akibat perubahan (tambahan, pengurangan) penggunaan sesuatu unit barang pada jangka masa tertentu. Rumus yang digunakan ialah:

                   MUx  =  TUx ÷ Qx

Di peringkat prauniversiti, bagi memudahkan pembelajaran, perubahan dalam kuantiti penggunaan lazimnya hanya satu sepanjang masa. Walaupun kelihatannya pelajar hanya perlu menolak jumlah utiliti yang ada dengan dengan jumlah utiliti sebelumnya (TU1 - TUo), tetapi bagi menunjukkan bahawa calon menguasai konsep sebenar utiliti sut, maka hitungan lengkap hendaklah ditunjukkan. Contoh data hipotetikal:

          Qx               TUx                MUx  = ∆TUx ÷ ∆Qx

            1                 10                 (10 - 0) / (1 - 0) = 10 / 1   = 10
            2                 15                 (15 - 10) / (2 - 1)  =  5 / 1  =  5
            3                 19                 (19 - 15) / (3 - 2)  =  4 / 1  =  4
            4                 22                 (22 - 19) / (4 - 3)  =  3 / 1  =  3
            5                 24                 (24 - 22) / (5 - 4)  =  2 / 1  =  2
           
Di peringkat STPM , kes satu barang biasa ditanya dalam bahagian A, iaitu soalan aneka pilihan. Soalan boleh berbentuk konsep, atau hitungan mudah. Andaikan harga (Px) diberi ialah RM4, maka keseimbangan pengguna tercapai pada penggunaan barang unit ke-3, iaitu PUx = MUx.

Bagi kes dua barang ke atas, kebiasaannya hanya data dua barang sahaja akan diberi. Setelah mengira MUx dan MUy contohnya, pelajar hendaklah memilih kombinasi yang mematuhi kedua-dua syarat keseimbangan.
 
bersambung...

DRAMA "ARAH KE MANA" KOMSAS TINGKATAN 1 (PARENTING SKILL, NEGLIGENCE)

Pengenalan

Karya Datuk Johan Jaafar, mantan ketua pengarang kumpulan Utusan Melayu, termuat dalam antologi Kasut Kelopak Jantung, muka surat 145 - 160. Hanya tiga watak ditampilkan iaitu Haji pakir (bapa), Hajah Derisah (ibu) dan Rohani (anak). Daripada tiga babak drama, babak kedua dikira paling penting kerana di situlah teknik penceritaan dan plot dikembangkan.

Babak I

Pada pagi raya, Haji Pakir dan Hajah Derisah berlutut di hadapan sebuah pusara. Kedua-dua suami isteri tidak dapat menahan esak tangis mengenangkan anak mereka Rohani yang telah pergi setahun lalu. Haji Pakir lebih beremosi, sedangkan Hajah Derisah cuba menenangkan suaminya.

Babak II
(imbas kembali)

Haji Pakir menegur cara isterinya yang terlalu memanjakan Rohani, anak tunggal mereka. Hajah Derisah kemudian mengatakan Haji Pakir sama sepertinya, marahkan anak sekejap sahaja kerana akan memujuknya kembali. Haji Pakir mulai sedar bahawa selama ini Rohani diberikan kebebasan tanpa tunjuk ajar agama (jalan selamat yang diredai Allah).

Hajah Derisah menganggap bahawa kesedaran akan datang dengan sendirinya kepada Rohani, sedang Haji Pakir mengatakan bahawa Rohani sudah ibarat menjadi buluh yang sukar dilenturkan. Hajah Derisah menganggap suaminya membuat tuduhan melulu, lalu Haji Pakir menjelaskan bahawa adab Rohani terhadap orang tua telah sampai ke tahap kurang ajar.

Haji Pakir berkeras mahu bertindak tegas, tetapi Hajah Derisah merayu supaya suaminya berlembut. Sedang mereka bercakap, pintu diketuk dengan kuat, diringi siulan. Rohani masuk dengan marah dan membentak ibunya. Haji Pakir mula berasa geram, lalu memulakan konfrontasi (marah-marah).

Haji Pakir membangkitkan perihal Rohani yang tidak lekang duduk di rumah. Sikap Rohani yang suka menjawab dan ingkar akan segala kata Haji Pakir meningkatkan suhu kemarahan sang bapa. Hajah Derisah cuba masuk campur, tetapi tidak diberi laluan oleh Haji Pakir.

Berkali-kali Haji pakir menegaskan bahawa dia bertindak semata-mata kerana sayangkan Rohani, tetapi Rohani hanya mahu kebebasan mutlak. Akhirnya, terpacul dari mulut Haji Pakir tentang kegiatan Rohani menagih dadah. Rohani tetap dengan sikapnya yang enggan mendengar cakap.

Haji Pakir hilang sabar lalu melabel Rohani sebagai celopar. Apabila Rohani selamba menghamburkan perkataan-perkataan yang tidak layak sebagai anak, Haji Pakir lalu menghalau Rohani dari rumah. Ani dengan angkuh melangkah pergi, langsung tidak mengumpamakan ayahnya itu.

Babak III
(Lanjutan Babak I

Haji Pakir masih dengan ratapan yang menyesali jalan yang dipilih oleh arwah Rohani. Haji Pakir juga turut menyalahkan dirinya. Hajah Derisah masih berusaha meyakinkan suaminya bahawa segala yang berlaku sebagai suratan takdir...

Perbincangan


Tema


Penyesalan ibu bapa yang salah mendidik anak


Perwatakan


Tegas (Haji Pakir menegur cara Hajah Derisah mendidik anak)


Lembut hati (Hajah Derisah tidak mahu menyinggung perasaan Rohani, anak tunggalnya)


Patuh / taat (Rohani sentiasa membantah cakap ibu bapa / mengambil kesempatan atas kasih sayang ibu bapa)


Latar masyarakat


Masyarakat yang tegas, lembut hati, patuh / taat


Nilai


Ketegasan, Kelembutan, Kepatuhan / ketaatan


Persoalan


Ketegasan dalam memimpin keluarga


Kelembutan dalam mendidik anak, komunikasi keluarga


Kepatuhan / ketaatan terhadap ibu bapa


Pengajaran


Kita hendaklah tegas dalam memimpin keluarga


Kita hendaklah berlembut dalam mendidik anak, amalan komunikasi keluarga


Kita hendaklah patuh / taat kepada ibu bapa


Teknik penceritaan


Dialog / perbualan


Imbas kembali

Sunday, September 18, 2011

MUSIM HUJAN MUSIM PEPERIKSAAN (THE WET AND THE CHALLENGE)

Sebagai negara yang menerima pengaruh tiupan angin monsun sepanjang tahun, hujan ialah fenomena cuaca yang biasa bagi rakyat Malaysia. Namun pola taburan dan jumlah hujan antara zon geografi intra Semenanjung, Sabah dan Sarawak terdapat perbezaan. Buktinya, Perlis telah mendahului negeri-negeri lain apabila dilanda banjir hinggakan langkah berjaga-jaga untuk calon-calon peperiksaan UPSR terpaksa diambil.

Belakangan ini banyak berlaku fenomena alam yang tidak dapat dikesan lebih awal, misalnya gempa bumi di sana sini, ribut taufan dan tsunami. Perubahan dalam aktiviti matahari juga dijangka melambatkan proses pemanasan bumi. Walaupun analisis kaji cuaca dan teknologi penderiaan jauh (remote sensing) makin canggih, amaran awal dan ramalan terhadap kemungkinan bencana dan mala petaka akibat fenomena cuaca yang ekstrem tampak sukar sekali dilakukan.

Aktiviti manusia, khususnya menerusi sektor perkilangan dan pengangkutan telah meningkatkan risiko pencemaran alam. Walaupun jerebu sering kaitkan dengan abu letusan gunung berapi dan partikel habuk yang terampai di udara, kes pembakaran terbuka dan pelepasan gas tertentu turut menyumbang. Udara bukan lagi barang percuma, bahkan memerlukan kos rawatan yang tinggi, sama ada secara langsung, mahupun tidak langsung.
Pergerakan titik panas dan pengelompokan awan menjadikan fenomena hujan juga tidak menentu. Hujan turun pada waktu-waktu yang tidak sama lagi seperti dahulu. Ditambah dengan mutu udara yang rendah, manusia mudah sekali diserang pelbagai penyakit, terutama batuk, demam dan selesema. Bagi mereka yang mengalami alahan, lelah dan resdung, keadaan menjadi lebih buruk.

Ibu bapa harus peka terhadap sebarang petunjuk atau gejala kesihatan anak-anak. Penyebaran bakteria dan virus penyakit menerusi bawaan air, udara, haiwan dan unggas kian berleluasa. Demam biasa pada pandangan mata kasar, bahkan dengan diagnosis minimum, mungkin mengundang derita berpanjangan.

Sudah banyak kes bahawa pesakit yang dinyatakan mengalami gangguan kesihatan biasa akhirnya menemui ajal. Anak tunggal sepasang suami isteri yang telah lanjut usia di Hilir Perak telah meninggal dunia setelah beberapa hari terkena sengatan lebah. Memang benar bahawa ajal maut, serta jodoh pertemuan di tangan Tuhan, tetapi manusia disuruh berikhtiar dahulu, baharu pasrah atau tawakal.

Persediaan cuaca ekstrem seperti hujan lebat yang disertai ribut petir, atau panas membahang yang mengakibatkan kemarau mesti diberi perhatian oleh ibu bapa dan masyarakat yang mempunyai anggota keluarga sebagai calon peperiksaan awam. Apabila anak-anak mengadu tidak sedap badan, atau mata mereka mula berair, rujukan kepada doktor tidak boleh ditangguh lagi. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna lagi...

Saturday, September 17, 2011

SYUKUR NIKMAT (DIVINE EXPRESSION)

Dalam surah Ibrahim (14:7) dinyatakan (maksudnya): "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami (Allah) menambah (nikmat) bagimu, dan jika kamu ingkar, nescaya sesungguhnya azab-Ku amat pedih." Kemudian, diulang-ulang pula penegasan betapa kebanyakan manusia tidak bersyukur (qalil'am-ma tasykurun, as-Sajdah, 32:9). Surah ar-Rahman (55: 13, 16, 18, 21, 23, 25, 28, 30, 32, 34, 36, 38, 40, 42,45, 47, 49, 51, 53, 55, 57, 59, 61, 63, 65, 67, 69, 71, 73, 75, 77) memperuntukkan 31 kali ayat yang sama diulang secara berselang-seli, bermaksud: "Maka, nikmat Tuhan kamu yang manakah yang hendak kamu dustakan?".

Tanda orang bersyukur ialah apabila lazim melafazkan "Alhamdulillah", bermaksud bahawa "segala puji (hanya tertentu) untuk Allah". Manusia yang beriman memulangkan segala pujian kepada Pencipta, bukan untuk dirinya. Maka, segala sifat tercela (mazmummah) seperti angkuh, bongkak, sombong, cakap besar, gila kuasa, gila pangkat, riyak, takbur, ujub dan seumpamanya dapat dijauhi.

Sebaliknya manusia yang bersyukur akan menghiasi peribadi dengan segala sifat terpuji (mahmudah) seperti berpada-pada (qana'ah), ikhlas, sabar, taqwa dan seterusnya. Mereka juga akan berusaha mencontohi sifat Nabi Salallallahu alaihi wasallam, iaitu amanah, fatanah (bijaksana), siddiq (benar) dan tabligh (menyampaikan). Pendek kata, lafaz Alhamdulillah dijadikan dasar dalam proses kehidupan seluruhnya.

Syukur mungkin perkataan yang sangat mudah diucapkan. Dari segi asal usul kata (etimologi), syukur berasal daripada kosa kata Arab, shukran yang membawa maksud terima kasih. Kalau kita menyatakan terima kasih kepada manusia atas kebaikan yang dihulurkan, bermakna juga terima kasih kepada Allah. 

Sesungguhnya tiada daya dan upaya melainkan dengan kuasa Ilahi (la hawla wala quwwaata illa billah). Insan diciptakan daripada tiada kepada ada, dan daripada keadaan serba lemah kepada berdaya upaya. Begitu juga dengan ciptaan segala makhluk lain dan fenomena jagat raya untuk dimanfaatkan oleh insan.

Dari satu segi, manusia sangat kerdil, umpama sebutir debu halus di sebuah padang pasir tanpa sempadan. Akal manusia pula bagaikan sinar lilin yang amat terhad. Manusia tidak dapat menyebutkan angka terakhir dalam sistem nombor, lalu menyebut infiniti, atau tidak terhingga,

Manusia juga tidak dapat membuat kesimpulan yang pasti tentang sempadan alam semesta. Asas keimanan terhadap kewujudan alam ghaib sudah ditunjukkan dengan jelas. Pernahkah manusia melihat dengan mata kasar akan arus elektrik, gelombang elektronik dan magnetik, atau fenomena angin yang asli? 

Bagaimanakah pula tentang cop jari, profil DNA, variasi suara, variasi fizikal dan genetik yang unik, walaupun proses penciptaan manusia melalui tahap yang sama. Menerusi penyelidikan (tadabbur) tentang tanda kebesaran Allah di muka bumi (ayatullah fi'l-kaun), kebarangkalian untuk melihat fenomena atau tingkah laku yang sama secara berulang-ulang adalah besar sekali. Manusia hendaklah belajar untuk bersyukur atas nikmat Allah yang tidak terhingga...

Friday, September 16, 2011

MISTERI YANG TERSIMPAN, AZFA HANANI BAB 14 (THE SECRET ADMIRER)

Pendahuluan

Bab yang menghiasi muka surat 150 - 159 novel seperti tiada peristiwa penting, kecuali pada bahagian akhirnya, iaitu apabila Azfa Hanani membuka hadiah misteri Ekran semasa sambutan hari lahir arwah Tengku Murni. Pendek kata, tanpa unsur suspens berkenaan, bab ini tidak memaparkan sebarang perkembangan yang signifikan. Pembaca hanya melayan perasaan Azfa Hanani sahaja.

Perbincangan Peristiwa

Perbualan telefon dengan Falina mendedahkan betapa Azfa Hanani diminati banyak jejaka di sekolah lamanya, termasuk Nordin dan Rozlan. Selepas Hanani berpindah sekolah, mereka saling mengungkap perasaan. Akibatnya, Nordin dan Rozlan tidak bertegur sapa kerana "berebut" Hanani.

Watak:  Azfa Hanani
Perwatakan: 
Latar masyarakat:
Nilai:
Persoalan:
Pengajaran:

Abang Mazran membelikan telefon bimbit baharu untuk Hanani. Selain itu, rumah Pak Long dan Mak Long pula dipasang talian tetap. Janji tertunai sudah.

Watak: Abang Mazran
Perwatakan: berpegang kepada janji
Latar masyarakat:
Nilai:
Persoalan:
Pengajaran:


Tengku Muzaffar yang sudah selesai menulis tesis juga hendak melunas janji. Dia mula mengajar Hanani tentang penggunaan komputer.

Watak:  Tengku Muzaffar
Perwatakan:
Latar masyarakat:
Nilai:
Persoalan:
Pengajaran:

Azfa Hanani terkejut demi membuka hadiah misteri pemberian Ekran. Isi hadiah ialah dompet milik arwah Tengku Murni yang mengandungi kad pengenalan, wang tunai dan kad ATM bank. Azfa Hanani mula musykil tentang identiti Ekran dan kaitannya dengan sikap Tengku Muzaffar.

Watak:  Azfa Hanani
Perwatakan:  Sensitif / teliti
Latar masyarakat:
Nilai:
Persoalan:
Pengajaran:

Thursday, September 15, 2011

PAWANG ANA GENIUS SASTERA LISAN (THE COMPILATION OF VERBAL LITERATURE)

Khalayak sastera terhutang budi kepada awang batil, pawang ana dan tok selampit sebagai penutur sastera lisan zaman dahulu kala. Peranan mereka sebagai penglipur lara melambangkan penyampaian media hiburan bersemuka yang memerlukan kepakaran melukis imaginasi dalam bentuk cerita lisan. Hanya orang-orang yang genius berupaya melakukannya.

Hari ini karya-karya sastera lisan telah dipindahkan dalam bentuk manuskrip dan penerbitan buku. Hikayat atau kisah yang berasal daripada pentas rakyat itu telah menjadi rujukan penting pengajian dan penyelidikan sastera klasik di universiti terkemuka dunia, seperti University of London, UK dan Universiti Leiden di Belanda, dan universiti tempatan. Sungguh banyak kebijaksanaan yang terungkap dalam naskhah klasik yang dipersembahkan.

Sebagai hiburan santai dan untuk membawa khalayak ke alam imaginasi bagi melupakan penat lelah membanting tulang sepanjang hari, sastera lisan diselitkan dengan unsur ajaib, dunia kayangan, jin, dewa dan peri, serta mitos dan sakti. Pengaruh epik Hindu, Mahabrata dan Ramayana, serta pengaruh Hikayat Seribu Satu Malam (Lailah wal Lailah, The Arabian Night) dapat dikesan di sana sini. Pembaca bakal beroleh perspektif persekitaran dan zaman yang berbeza, sejajar dengan usia sesebuah hikayat.

Demi memastikan bahawa khazanah warisan bangsa zaman-berzaman itu tidak lenyap ditelan masa, atau sekadar tersudut di arkib, maka murid-murid sekolah menengah dikehendaki mempelajari sebahagian sastera lisan yang telah dibukukan, serta dipersembahkan semula dalam bahasa yang lebih mudah difahami. Jika murid masih tidak menunjukkan minat yang tinggi, atau masih menganggap tidak kena-mengena, paling kurang mereka pernah mengetahui kewujudan sastera lisan yang merakam kebijaksanaan generasi silam. Masih ada jambatan yang menjadi penghubung antara generasi muda dengan akar umbi dan jati diri turun-temurun mereka sendiri.

Jendela minda generasi muda akan lebih terbuka untuk mengerti betapa tingkah laku dan sikap manusia pada hakikatnya tidak berubah walaupun menempuh kepesatan perubahan persekitaran dan zaman. Pengalaman Adam dan Hawa, serta anak mereka, Habil dan Qabil, sebagai manusia terawal diciptakan Ilahi menjadi iktibar tentang proses membuat keputusan yang tepat, cabaran dalam diri dan luar diri, serta proses menangani konflik yang akan sentiasa dihadapi. Demikian juga yang disampaikan lewat sastera lisan.

Sebagai insan yang memiliki akal fikiran yang tajam, kita patut menghargai sumbangan sastera lisan. Tiada maksud untuk mengagung-agungkan sastera lisan, apatah lagi menerima bulat-bulat segala cerita yang sengaja ada tokoh tambah atau menyalahi akal yang sihat. Kita harus bersikap suci hati dengan membuat tapisan agar kebaikan yang hendak disampaikan dalam sastera lisan menjadi sempadan dan teladan untuk kita bertindak, membuat keputusan dan menangani sebarang krisis.

Daripada kita melayan karya-karya magis dan tahyul yang dipaparkan dalam filem-filem asing, lebih baik kita mengutip mutiara dan permata yang tersimpan dalam karya sastera lisan kita sendiri. Apakah hebatnya Harry Porter jika dibandingkan dengan Inderaputera dan Awang Sulung Merah Muda? Adakah bangsa kita akan terus terperangkap dengan rasa rendah diri apabila hanya mampu kagum dengan adiwira asing?

Pawang Ana sebagai penglipur lara tersohor Nusantara dikatakan pernah menetap di Chenderiang, berhampiran Tapah, Perak (Mastika, Ogos 2011:58-62). Hikayat yang dituturkan seperti Hikayat Raja Muda dan Hikayat Awang Sulung Merah Muda telah dicatat oleh Penghulu Mukim Chenderiang, Raja Haji Yahya yang bersahabat baik dengan R.O. Winstedt, Penolong Pegawai Daerah Tapah pada pertengahan kurun ke-19. Akhirnya, Winstedt mengukir nama sebagai penyusun hikayat sastera lisan yang diterbitkan di Singapura, serta naik pangkat hingga ke tahap Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Bersekutu...

BIDANG SOALAN KOMSAS SPM (PLANNING TO SCORE A+ IN BM)

Soalan ramalan keluar sedebuk pun tidak akan membantu jika seseorang calon tidak mahir menentukan aras soalan, tumpuan (fokus) tugasan soalan dan sumber ambilan jawapan. Sesungguhnya peperiksaan ialah proses memisahkan pencapaian cemerlang, sederhana dan lemah. Item-item soalan dibina begitu rupa supaya diskriminasi yang hendak dilakukan itu mencapai matlamatnya.

Dalam bahagian pemahaman komsas SPM, iaitu pecahan soalan 2b, 2c dan 2d, calon-calon harus dapat membezakan soalan aras petikan, soalan aras kbkk dan soalan aras komsas. Setiap aras yang dimaksudkan akan menentukan sumber isi jawapan yang hendak ditulis. Sejajar dengan huraian sukatan pelajaran, murid diharapkan dapat membezakan pernyataan fakta dengan pernyataan pendapat.

Selain maksud rangkai kata, soalan aras petikan bermakna jawapan perlu diambil terus daripada petikan, iaitu seperti yang tercetak. Kebiasaannya, soalan aras petikan tidak memerlukan huraian, penerangan, atau penjelasan. Jika demikian, calon hanya perlu menyalin kembali isi daripada petikan (yang berkaitan), sambil menggugurkan atau menghilangkan bahagian huraian dalam ayat berkenaan.

Buat kesekian kali diulangi bahawa isi bermaksud bahagian subjek (dan / atau predikat) sahaja. Maka, frasa penerangan selain subjek dan predikat dalam ayat ialah huraian, penerangan, atau penjelasan. Sangat pelik apabila pecahan soalan yang memperuntukkan hanya 3 markah ditulis jawapannya hampir setengah muka surat kertas jawapan!

Soalan aras kbkk bermaksud tugasan luar petikan. Maka, calon harus menggunakan idea sendiri bagi menjawab soalan aras kbkk. Sekali lagi perhatikan sama ada jawapan memerlukan huraian atau sebaliknya.

Tugasan soalan yang tidak memerlukan huraian akan dimulai dengan "berikan", "kemukakan", "senaraikan", "nyatakan", "apakah", bilakah", "bagaimanakah", "siapakah" dan yang seumpamanya. Tugasan soalan yang memerlukan huraian akan mengandungi perkataan "huraikan", "jelaskan" dan "terangkan". Huraian, penerangan dan penjelasan bukan semestinya menulis ayat baharu, bahkan dalam ayat yang sama.

Cuba bezakan ayat berikut:

Saya akan belajar dengan tekun supaya diterima memasuki universiti terkemuka.

Bola itu dirembat dengan kencang.

Itai ialah murid orang Asli yang pintar.

Perkataan-perkataan selepas huruf cetakan tebal (supaya, dengan, yang) merupakan huraian. Walaupun demikian, jika calon masih ragu, penerangan lain boleh ditambah. Melainkan telah ditetapkan jumlah perkataan untuk sesuatu huraian, penerangan atau penjelasan sebagaimana karangan, jawapan untuk pecahan soalan komsas tidak perlu berjela-jela atau panjang lebar.

Bagi soalan aras komsas, pastikan bahawa calon dapat membezakan setiap pernyataan isi yang hendak ditulis. Bidang soalan komsas yang boleh diuji termasuklah:

          a)   Tema
          b)   Sinopsis
          c)   Teknik plot / teknik penceritaan
          d)   Watak dan perwatakan
          e)   Latar masyarakat / latar masa / latar tempat
           f)   Nilai
           g)  Persoalan
           h)  Pengajaran
       
Namun, a), b) dan c) jarang-jarang ditanya untuk bahagian pemahaman. Sebaliknya tugasan seumpama itu lebih popular bagi soalan 4b: kajian novel. Tumpuan harus diberikan kepada d) hingga h).

Perincian


d)  Watak: merujuk nama pemegang watak, sama ada watak utama (protagonis), watak penentang (antagonis), atau watak sampingan lain;
     
     Perwatakan:  tentang sikap, tingkah laku atau pembawaan watak, misalnya baik hati, budiman, cekal, gigih, tegas, pemurah, penyayang
       dan banyak lagi.

e)   Latar masyarakat:  ditulis sebagai "masyarakat yang (+ perwatakan)" atau masyarakat (lokasi, status watak berada, contohnya masyarakat bandar)

        Latar tempat: sebaik-baiknya bersifat khusus, contohnya: rumah (nama watak), bilik komputer, dan lain-lain

        Latar masa:  waktu awal pagi, tengah hari, petang, malam, zaman dahulu, waktu rehat persekolahan, dan lain-lain

f)   Nilai: dengan imbuhan:  kecekalan, kegigihan, kejujuran, ketegasan, ketelitian, kecekapan, kebijaksanaan; tanpa imbuhan: kasih sayang, yakin diri

g)   Persoalan:  Pernyataan nilai lebih khusus:  kecekalan menempuh cabaran hidup, kasih sayang sesama keluarhga

f)   Pengajaran:   Dimulai dengan "kita hendaklah / haruslah / sepatutnya...; "kita janganlah / usahlah..."

Perhatian: cekal / gigih berbeza dengan tabah. Cekal terhadap perkara sedang dilalui; sabar / tabah terhadap perkara telah berlaku.


Jika tugasan soalan memerlukan huraian, maka masukkan contoh peristiwa yang berkaitan. Sesuatu peristiwa harus mengandungi watak, tempat dan kejadian. Memadai peristiwa ditulis dengan ringkas.

Tugasan merujuk petikan bermakna peristiwa diambil terus daripada petikan soalan. Tugasan kluar petikan memerlukan calon mengemukakan peristiwa keseluruhan karya berkenaan. Jika tidak ingat peristiwa, paling tidak unsur komsas yang diuji hendaklah ditulis juga supaya penalti markah akan minimum sahaja.

Calon dinasihatkan supaya memperuntukkan masa dan isi jawapan yang bersesuaian dengan nilai markah bagi setiap pecahan soalan. Kertas 2 memperuntukkan 110 markah dengan tempoh masa 150 minit, atau 1 markah = 1.36 minit. Maka, kalau 3 markah = maksimum 4 minit; mana mungkin boleh ditulis hingga setengah muka surat....