SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, October 31, 2012

TAUFAN SANDY MELUMPUHKAN NEW YORK (DISASTER SURVIVAL AND TECHNOLOGY AID)

Bencana tsunami yang mengorbankan lebih suku juta jiwa di Asia Tenggara dan Asia Selatan beberapa tahun yang lalu masih segar dalam ingatan. Kederasan air yang mencecah hampir 100 kilometer sejam itu melanggar dan merempuh apa-apa sahaja objek yang berada di laluannya sama ada manusia, mahupun harta benda. Kehilangan nyawa dan kemusnahan prasarana fizikal yang berlaku itu amat dahsyat.


Kini, bencana yang berpunca daripada laut lepas kembali menunjukkan kuasa tanpa mengenal status sesebuah negara yang memiliki tahap teknologi termaju, iaitu Amerika Syarikat. Tuan rumah mercu tanda terkenal dunia, The Statue of Liberty, iaitu New York bergelap dan tunggang-langgang akibat banjir, pokok tumbang dan struktur bangunan yang terjejas teruk. Kegiatan ekonomi di kota kewangan terbesar dunia itu turut ditutup sehingga keadaan pulih.















kawasan berhampiran dengan The Statue of Liberty juga tenggelam
sumber gambar: Yahoo.com


Sistem amaran bencana yang canggih telah membantu penduduk New York meninggalkan kediaman masing-masing sebelum taufan itu membadai petempatan mereka. Imej satelit yang dihantar membayangkan ancaman bencana yang terburuk dalam sejarah bandar raya berkenaan. Buat seketika, New York bertukar sebagai bandar raya yang sepi, tetapi penjenayah dan penyagak dijangka mengambil kesempatan untuk bermaharajalela di premis perniagaan dan kediaman yang ditinggalkan.

Negara yang memiliki pesisir pantai yang panjang atau negara kepulan yang tidak ditampan oleh banjaran gunung-ganang sangat berisiko tinggi untuk dilanda taufan yang membawa angin yang sangat kencang dan persis suara teriakan yang sangat menakutkan. Haiti dan Filipina ialah antara negara miskin yang sering berhadapan dengan bencana taufan yang menggila. Dalam konteks Malaysia, pulau yang berada pada kedudukan laut lepas seperti Tioman juga terdedah kepada aktiviti ribut tropika pada penghujung tahun.

Laporan Reuter yang dipetik olah Yahoo di URL http://my.news.yahoo.com/massive-storm-sandy-crashes-ashore-jersey-001730586.html menyebut bahawa taufan Sandy membadai resort perjudian terbesar New York di Atlantic City. Peristiwa berkenaan direkod sebagai bencana alam terburuk di sana sejak beberapa generasi dan turut menjejaskan kempen pilihanraya presiden sebelum proses pembuangan undi mulai pada 6 November ini. Barack Obama berpeluang menghuni Rumah Putih andai kata berjaya menangani bencana Sandy dengan baik, supaya tidak mengalami nasib buruk calon pengganti George W Bush yang gagal menangani taufan Katrina
Sungai Hudson di New York

Angka korban Sandy di Amerika Syarikat meningkat kepada 63 orang daripada sejumlah 135 kematian yang dicatat bersama dengan negara-negara Carribbean dan Canada. Keadaan dijangka pulih dalam tempoh terdekat, tetapi trauma yang dialami oleh penduduk terbabit akan menghantui mereka buat seumur hidup. Pengalaman yang dilalui tidak ubah seperti baharu lepas daripada akibat perang.

Setiap fenomena bencana alam skala besar seperti taufan dan tsunami hendaklah diambil iktibar sepanjang masa. Musibah boleh menimpa sesiapa sahaja, di mana-mana sahaja dan bila-bila masa sahaja tanpa memilih mangsa. Walaupun Amerika Syarikat dibenci kerana keangkuhannya sebagai kuasa besar ketenteraan, rakyat biasa negara berkenaan tetap layak menerima empati dan simpati setiap insan yang budiman dan rasional.

Walaupun kemarahan terhadap Rumah Putih tentang dasar luar yang membuli negara lemah dan sokongan membabi buta terhadap rejim haram Tel Aviv, hubungan sesama insan merentasi pengaruh emosi dan sentimen. Sepatutnya dalam keadaan kritikal seperti itu, usaha dakwah patut digiatkan menerusi pelbagai cara termasuk dengan tingkah laku (bi'l-hal) tentang kuasa Yang Maha Pencipta terhadap hamba dan makhluk yang bersifat baharu Jika Allah menghendaki, tiada sesiapa yang dapat menghalangnya (kun fayakun: jadi, maka jadilah).

Dalam surah ar-Rum (30:41) dengan jelas ditegaskan tentang punca kerosakan di daratan dan di lautan disebabkan oleh perbuatan tangan manusia. Maksudnya, apabila kezaliman telah berleluasa, maka Allah mengirimkan pelbagai bentuk peringatan, termasuk bencana alam yang dahsyat agar insan kembali berfikir tentang jalan yang benar. Kezaliman yang dimaksudkan ialah meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya, seperti pelakuan maksiat dan pencemaran alam sekitar.

Kisah kaum 'Ad dan Tsamud yang lenyap sama sekali ditelan bumi kerana keingkaran yang melampau terhadap rasul yang diutus kepada mereka ialah bukti bahawa setiap bencana yang dikirim sudah pasti memiliki mesej dan sebab yang khusus. Bencana mungkin menimpa golongan tertentu di negara yang tertentu pula, tetapi bahawa keberkesanan dan kesungguhan dalam usaha dakwah mungkin masih belum optimum. Ertinya, banyak lagi usaha penerokaan dan penyelidikan tentang kaedah (uslub) dakwah yang berkesan serta penetapan sasaran dakwah (mad'u) perlu melepasi tahap amatur dan biasa-biasa

Kejadian taufan Sandy patut membuka jendela minda kita seluas-luasnya. Sebenarnya banyak lagi bahagian rantau yang mundur telah dilanda bencana alam dan krisis kemanusiaan yang dahsyat, tetapi kurang mendapat liputan media yang dikuasai oleh kumpulan pelobi dan saudagar propaganda tertentu. Maka, sifat terpuji (mahmudah) hendaklah disemarakkan supaya konsep ihsan menjadi rahmat kepada sekalian alam...

Tuesday, October 30, 2012

APABILA ORANG MUDA MUFLIS (HEAVY DEBT BURDEN)

Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan bahawa purata 40 orang rakyat Malaysia berusia antara 30 hingga 40 tahun diisytiharkan muflis setiap hari Maknanya, hampir 1,500 orang muda negara kita muflis saban tahun. Bagi suku pertama tahun ini (januari hingga Mac), 30 peratus (= 1,354 orang) kes muflis membabitkan golongan muda berusia di bawah 34 tahun, termasuk siswazah yang baharu bekerja.

Sumber Berita Harian bertarikh 28 Oktober lalu juga memetik semakan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) tentang perincian golongan muflis dalam tempoh yang sama. Sejumlah 47 peratus kes muflis membabitkan orang Melayu, 34 peratus Cina, 9 peratus India dan 10 peratus kaum lain. Kegagalan melunaskan pinjaman kenderaan menduduki senarai teratas kes muflis, iaitu 27 peratus, diikuti pinjaman perumahan (28 peratus), pinjaman peribadi (18 peratus) dan pinjaman perniagaan (14 peratus).

Selangor mencatat kes muflis tertinggi, iaitu 23.05 peratus daripada keseluruhan 4,568 kes. Jabatan Perangkaan pula melaporkan nisbah muflis dengan penduduk di negeri berkenaan ialah 1:581, iaitu bagi setiap 581 orang penduduk Selangor, seorang diisytiharkan muflis. Tempat kedua diduduki oleh Johor (17.93 peratus), dan ketiga, WP Kuala Lumpur (13.4 peratus).

PPIM juga mendakwa terdapat banyak juga kes membabitkan penipuan dan penganiayaan terhadap mangsa  dengan penggunaan butiran peribadi secara tidak sah untuk pinjaman bank. Tindakan sebelah pihak oleh pihak bank tanpa siasatan yang adil menunjukkan bahawa mereka tidak mahu bersusah payah mengutip hutang walaupun hakikatnya berlaku kezaliman. Akta Kebankrapan 1967 dan Kaedah Kebankrapan 1969 perlu dipinda bagi menghadapi taktik licik para penjenayah dan penyangak era digital dan atas talian kini.

Pada keseluruhannya dalam tempoh lima tahun terakhir, jumlah kes muflis golongan muda dianggarkan mencecah 50,000 orang. Syarat pinjaman yang longgar dan tempoh pinjaman yang panjang telah dikenal pasti menyumbang terhadap perbelanjaan yang tidak terkawal oleh golongan muda. Misalnya, siswazah yang baharu bekerja beberapa hari sudah mampu memiliki kereta import baharu tanpa bayaran pendahuluan, serta kadar asas keuntungan bank (BLR) yang rendah, iaitu antara satu hingga tiga peratus sahaja

Apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan kawalan kredit terpilih dengan lebih ketat, iaitu bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus daripada harga belian dan tempoh pinjaman disingkatkan semula, bantahan diterima daripada pengeluar kenderaan penumpang terkemuka, termasuk Perodua. Mereka memberi alasan bahawa tempahan kenderaan telah merosot dengan mendadak hingga 20 peratus. Sistem bayaran pinjaman secara progresif, iaitu dengan jumlah yang rendah pada tahun pertama, serta meningkat dari tahun ke tahun sesuai dengan kenaikan gaji juga dikaji semula.

Pemilikan kenderaan penumpang, terutama kereta memang penting kepada golongan muda atas pertimbangan keselamatan berbanding dengan motosikal yang berisiko lebih tinggi di jalan raya. Namun, cita rasa yang terlalu tinggi, atau rambang mata mengakibatkan golongan muda memperuntukkan sebahagian besar pendapatan bulanan mereka untuk menjelaskan ansuran kereta 'mewah' mereka. Walaupun BNM menetapkan bayaran ansuran semua sekali hutang mesti tidak melebihi 40 peratus pendapatan bulanan, hakikatnya ialah banyak lagi hutang tersembunyi yang tidak tercatat dalam slip gaji rasmi.

Golongan muflis boleh dianggap sebagai papa kedana kerana segala urusan pemilikan harta dan penyusunan hutang mereka ditadbir oleh Jabatan Insolvensi Malaysia. Mereka kehilangan harga diri gara-gara mengikut hawa nafsu yang serakah, nasib kurang baik atau menjadi mangsa jenayah. Sebelum keadaan menjadi lebih buruk, permohonan pinjaman orang muda yang dikenal pasti ada unsur luar biasa harus dirujuk terlebih dahulu kepada AKPK sementara menunggu pindaan akta muflis yang sejajar dengan perkembangan semasa...

Monday, October 29, 2012

PENANGAN SURAT LAYANG (FEAR = FALSE EVIDENCE APPEARS REAL)

Dokumen yang tiada kredibiliti dan diragui hanya layak berakhir di bakul sampah. Walaupun surat kiriman biasa menerusi perkhidmatan pos sudah dianggap ketinggalan zaman, namun sesekali masyarakat atau sesebuah organisasi menjadi gempar gara-gara surat layang. Perbuatan menulis surat layang sama seperti kata pepatah 'baling batu sembunyi tangan'.

Kamus Dewan Edisi IV (2005:1549) mentakrifkan surat layang atau surat terbang sebagai surat yang tidak diketahui penulisnya, biasanya surat yang mengecam, menyebarkan berita buruk atau berita palsu. Penulis tidak berani mendedahkan identiti dirinya dengan pengenalan nama, melainkan hanya menurunkan tandatangan cakar ayam. Kini, surat layang versi digital lebih mudah tersebar menjadi viral menerusi kiriman e-mel secara terbuka.

Walaupun pada dasarnya surat layang tidak perlu diambil endah, namun apabila ditujukan kepada pihak berkuasa siasatan, maka tindakan susulan akan dijalankan bagi menentukan kesahihan dakwaan dalam surat layang berkenaan. Prinsip yang digunakan ialah peribahasa 'jika tiada angin, masa pula pokok bergoyang'. Pihak berkuasa akan menggunakan segala maklumat yang datang sebagai kunci atau petunjuk terhadap kes yang diadukan.

Beberapa andaian boleh dibuat terhadap tindakan seseorang itu menulis surat layang. Misalnya, si pengirim beranggapan bahawa keselamatan dirinya akan terancam jika membuat aduan secara rasmi. Maka, dia berharap bahawa surat layang yang ditulis walaupun tiada bukti kukuh akan mendorong tindakan susulan yang segera berbanding dengan aduan biasa. 

Pengirim surat layang juga mungkin mahu menggunakan jalan pintas bagi menjatuhkan imej atau menjejaskan nama baik orang tertentu yang mendatangkan masalah kepada dirinya. Surat layang tidak terikat dengan format atau tatacara surat aduan yang rasmi. Penulis surat layang boleh membuat pelbagai dakwaan dan pernyataan bersifat rambang tanpa asas yang munasabah.

Jika surat pena beracun (poison pen letter) dialamatkan terus kepada penerima, surat layang pula ditujukan kepada pihak berkuasa yang berkaitan dengan proses siasatan. Hakikatnya, identiti penulis surat layang boleh dikenal pasti menerusi ujian forensik tulisan, profil DNA  yang mungkin dapat dikesan daripada kertas yang digunakan, atau berdasarkan protokol e-mel yang dikirim. Jika terbukti bahawa surat layang yang dikirimkan itu berniat jahat, si pengirim boleh diheret ke muka pengadilan.

Dalam kancah perebutan kuasa, penggunaan medium surat layang dianggap sebagai lumrah untuk menjatuhkan saingan politik masing-masing. Organisasi skala besar sama ada bertaraf awam mahupun swasta juga tidak sunyi daripada kiriman surat layang. Si penulis mungkin sekali pihak luar organisasi, tetapi kadang-kadang angkara pihak dalam organisasi itu sendiri.

Niat pengirim surat layang ialah supaya berlaku campur tangan pihak ketiga dengan anggapan bahawa penyelesaian bersifat dalaman tidak boleh lagi diharap. Natijah jangka pendek yang berlaku lazimnya akan melebihi perkara yang diadukan. Kisah 'rumah tangga' organisasi sudah pasti sukar untuk disembunyikan. 

Setiap pemimpin organisasi berharap bahawa komunikasi terbuka (open engagement) muncul sebagai budaya dalam organisasi. Kesempurnaan yang diharapkan itu memang payah dicapai justeru sifat organisasi yang rencam dan menampung kepelbagaian latar belakang manusiawi. Maka, jalan terbaik untuk menghadapi serangan 'pukul curi' surat layang ialah dokumen sah yang mudah dicapai seperti minit mesyuarat, fail meja dan perangkaan yang berkaitan...

Sunday, October 28, 2012

NOTA EKSPRES MIKROEKONOMI BAB PENGENALAN (LAST MINUTES PREPARATION FOR MODULAR CANDIDATES)

Bab 1:  Pengenalan

a)  Definisi ilmu ekonomi berkisar kepada kajian tentang peruntukan sumber yang terhad bagi memenuhi 
     kehendak yang tidak terhad dngan cara yang paling cekap.

b)  Sumber merujuk kepada faktor pengeluaran, iaitu buruh, tanah, modal dan usahawan.

c)  Bayaran / ganjaran / pendapatan faktor ialah upah, sewa, bunga dan untung bagi setiap satunya.

d)  Buruh menyumbang terhadap proses pengeluaran menerusi tenaga fizikal dan mental. Mobiliti lebih 
     mudah bagi buruh mahir.

e)  Tanah merujuk sumber alam / anugerah Tuhan. Penawaran tanah tetap / kekal, serta tiada mobiliti fizikal.

f)   Modal meliputi wang, jentera, peralatan dan bahan mentah bagi meningkatkan pendapatan masa hadapan

g)  Usahawan menggabungkan semua faktor untuk menjayakan pengeluaran barang dan perkhidmatan. Usahawan menanggung risiko.

h)  Teknologi ialah pemangkin bagi meningkatkan kecekapan / mengurangkan kos supaya daya pengeluaran lebih tinggi.

i)  Kehendak ialah keinginan untuk memperoleh barang dan perkhidmatan. Pola kehendak bergantung kepada pendapatan masyarakat.

j)  Barang ialah benda fizikal yang nampak, manakala perkhidmatan ialah keluaran / output bukan barang

k)  Kategori barang (percuma, ekonomi, awam. persendirian) tertakluk kepada penawaran, kos lepas, harga dan pengecualian

l)  Status barang modal, barang perantaraan dan barang akhir bergantung kepada penggunaan sama ada sebagai input atau barang siap

m)  Kekurangan merujuk kepada sumber yang terhad untuk penggunaan yang cekap / tiada pembaziran.

n)  Pilihan

o)  Kos lepas

p)  Masalah asas ekonomi

q)  Keluk Kemungkinan pengeluaran (KKP)

r)  KKP malar

s)  KKP cembung

t)  Perubahan KKP

u)  Sistem ekonomi pasaran bebas

v)  Sistem ekonomi perancangan

w)  Sistem ekonomi campuran

x)  Sistem ekonomi Islam

y)  Penyelesaian masalah asas dalam sistem pasaran

z)  Keperluan campur tangan kerajaan

KELEBIHAN MENGAJAR DI SEKOLAH RENDAH (MULTIPLE PROSPECT OUTCOME)

Kini, lebih banyak guru siswazah ditempatkan di sekolah rendah dan pendidikan prasekolah. Mereka ialah siswazah terlatih dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Fenomena ini mungkin suatu kejutan di negara kita, tetapi telah menjadi amalan biasa di negara-negara maju.

Menerusi sistem saraan gaji sebaris dan asas tempoh perkhidmatan, guru prasekolah dan rendah juga boleh mencapai tahap gred DG 54 yang setara dengan gaji pengetua sekolah menengah, pegawai pelajaran daerah dan pengarah jabatan pelajaran negeri, malah mungkin melebihi gaji profesor madya di universiti. Maka, tidak timbul soal rendah diri atau rasa leceh kerana harus melayan kerenah budak kecil. Sebaliknya, dunia pendidikan sentiasa berhadapan dengan cabaran dan inovasi, asal sahaja seseorang itu memiliki daya usaha dan kreativiti dalam menjalankan tugas dengan suci hati.

Cabaran mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di bilik darjah sudah lebih rencam berbanding dengan dahulu. Murid sekolah rendah generasi Y juga terdedah dengan pelbagai bentuk perkembangan teknologi gajet dan jaringan terkini yang menjadi tema perbualan sesama mereka. Budak sekolah rendah begitu cekap dan kreatif dalam aplikasi perisian komputer untuk tujuan menyiapkan tugasan atau pembentangan.

Murid sekolah rendah mungkin lebih mudah dikawal secara berbanding dengan budak sekolah menengah walaupun dari saiz fizikal mereka juga besar panjang. Usia biologi dan usia akal mereka masih dalam kategori mentah dan suci. Namun, murid sekolah rendah zaman sekarang lebih bersifat terus terang dan boleh gelak secara spontan jika guru tersalah cakap.

Latar belakang pendidikan dan sosioekonomi ibu bapa kepada murid sekolah rendah juga sudah berubah. Kini, sebahagian besar murid dihantar oleh ibu bapa ke sekolah dengan kenderaan persendirian, terutama di kawasan bandar atas faktor keselamatan. Penjenayah dan penyangak sentiasa berkeliaran di mana-mana dan murid sekolah rendah menjadi sasaran niat jahat mereka.

Ibu bapa yang memiliki akses pendidikan minimum tingkatan lima serta bekerja akan lebih mengambil berat tentang kemajuan pelajaran anak masing-masing. Cerita anak tentang peristiwa di sekolah dipandang serius dan kemungkinan untuk berlaku tindakan di luar dugaan tidak dapat ditolak. Risiko paling besar ialah apabila cerita di sekolah mendapat perhatian wartawan akhbar arus perdana atau aduan dibuat terus kepada pihak kementerian, jabatan pelajaran negeri dan pejabat pelajaran daerah.

Pengaruh media tradisional dan atas talian mengakibatkan murid sekolah rendah juga menjadi lebih agresif dari segi lontaran idea dan pola tingkah laku. Guru harus sentiasa peka terhadap kemungkinan tingkah laku lencongan (devian) walaupun dalam skala kecil sahaja. Guru sekolah rendah sudah memikul tanggungjawab yang berat dalam proses mengembangkan bakat, potensi dan fakulti kanak-kanak dalam ketiga-tiga domain kognitif, afektif dan psikomotor atau dalam bahasa modal insan, iaitu pengetahuan, kemahiran dan sikap.

Cabaran pendidikan sekolah rendah juga lebih hebat dengan pengenalan KSSR dan PBS sebagai ganti kepada kaedah pedagogi, pengukuran, penilaian dan pentaksiran berorientasi peperiksaan per se. Kajian tindakan yang bersifat refleksi dan penambahbaikan amalan bilik darjah juga bakal muncul sebagai budaya baharu berkonsepkan guru sekolah rendah sebagai pakar dan penyelidik bidang pengkhususan masing-masing. Guru sekolah rendah tidak lagi sekadar pengguna input ikhtisas luaran, sebaliknya menyediakan reka bentuk amalan pedagogi berdasarkan persekitaran bilik darjah in-situ.

Maka, dengan sekian panjang senarai peranan, tugas dan tanggungjawab guru sekolah rendah, pelaburan dalam pembiayaan pengajian mereka hingga ke peringkat siswazah sebenarnya berbaloi. Mereka bukan calang-calang guru yang hanya masuk kelas keluar kelas, tetapi menggembleng segala kepakaran ikhtisas yang ada bagi melakukan inovasi dan penambahbaikan dalam pendidikan awal kanak-kanak. Kerjaya keguruan akan lebih dihormati dan sebarang 'serangan' amatur lebih mudah ditangkis.

Kelebihan, kegembiraan dan keseronokan guru sekolah rendah ialah murid yang dididik oleh mereka boleh berjaya dalam pelbagai bidang, tidak seperti sekolah menengah pengkhususan (sekolah teknik, vokasional, prauniversiti), apatah lagi di peringkat pengajian tinggi. Murid sekolah rendah mungkin berakhir sebagai doktor, arkitek, akauntan, jurutera dan ahli ikhtisas yang lain. Alangkah bahagianya bahawa pada suatu hari kelak ada insan yang masih mengenali guru sekolah rendah yang sudah bersara...

Saturday, October 27, 2012

KAHWIN CAMPUR PENUH CABARAN (CROSS-CULTURAL FAMILY)

Matlamat utama institusi perkahwinan ialah untuk mencapai kebahagiaan dan kasih sayang, iaitu mawaddata'w-warahmah. Mahligai rumah yang dibina atas sejumlah perbezaan itu sudah semestinya menuntut tahap kesabaran dan tolak ansur yang paling tinggi. Suami dan isteri bukan sahaja berbeza dari segi jasmani dan emosi, bahkan memiliki latar belakang yang tersendiri.

Pasangan yang cocok, sepadan dan serasi bagai pinang dibelah dua. Setelah mengenal hati budi masing-masing, warna sebenar masing-masing akan terserlah satu demi satu. Ujian hakikat kehidupan pun bermula.

Sejak dahulu kala, cara mendapat jodoh tidaklah sama semuanya. Dalam masyarakat yang menyanjung tinggi peranan orang tua, jodoh selalunya diaturkan atas restu ibu dan bapa. Namun, terdapat juga kes kahwin paksa, contohnya apabila orang kaya dan berkuasa, walaupun sudah tua bangka, berkenan kepada perawan desa nan cantik rupawan.

Pada zaman ini, sistem persekolahan, pengajian dan pekerjaan mengakibatkan anak muda lebih bersua muka dengan berlainan jantina, lalu kesempatan untuk 'mengurat' terbuka lebih luas, berbanding dengan cinta lara zaman dahulu. Perkenalan juga boleh terjalin menerusi komunikasi maya seperti laman sembang dan facebook. Di kampus, anggota kumpulan usrah juga boleh dipadankan oleh naqib dan naqibah masing-masing, lalu disusuli dengan pertemuan di balik tirai surau.

Selain cinta tempatan yang mudah mekar, terdapat juga cinta antara benua yang membabitkan pasangan berlainan agama dan bangsa. Misalnya, tentera Amerika mengambil warga Vietnam dan Afghanistan sebagai isteri. Bagi mengahwini pasangan yang beragama Islam, maka seseorang itu wajib memeluk agama Islam terlebih dahulu.

Keinginan untuk mendapat pasangan hidup juga mungkin mendorong golongan lanjut usia berkenalan secara atas talian. Akhir si A di Amerika Syarikat yang mencecah usia 50-an bertemu jodoh dengan si B yang baharu masuk 40-an. Golongan pelajar universiti mungkin mengikat janji dalam usia yang lebih muda, contohnya pertengahan 20-an.
gambar hiasan

Di Malaysia, fenomena kahwin campur bukanlah perkara asing kerana terdapat banyak wajah kacukan kelihatan di sekolah, di kaca televisyen dan di kampus. Ada yang dipanggil sebagai pan-Asian (berwajah Eropah), Cindian (Cina-India) dan banyak lagi. Datuk Nicol, ratu skuasy dunia ialah campuran India dengan Cina, manakala Dato' Seri Nizar, bekas Menteri Besar Perak ialah campuran Melayu dengan Cina.

Pasangan suami isteri yang masih baharu bergelar mempelai hendaklah cepat-cepat melakukan proses penyesuaian diri, termasuk dengan keluarga masing-masing. Cita rasa terhadap makanan, pakaian dan hobi yang selama ini tersendiri harus dikongsi. Proses beri dan terima perlu mengambil tempat seadanya.

Komunikasi yang mesra dan terbuka perlu mengambil kira perasaan dan sensiviti pasangan. Keperluan untuk berterus terang atau cakap berlapik mesti difikirkan dengan cermat supaya tiada hati yang tergores dan tiada perasaan yang terjeruk. Hubungan jangka panjang wajib diletakkan sebagai keutamaan yang teratas.

Insan diciptakan lelaki dan perempuan, bersuku-suku dan berbilang bangsa supaya berlaku perkenalan antara mereka atas dasar kebaikan dan taqwa (al-Hujarat, 13). Institusi perkahwinan ialah salah satu cara berlakunya perkenalan lewat silang budaya sebagai tanda keagungan Allah Yang Maha Esa. Masyarakat hendaklah memberi sokongan terhadap kerukunan hidup institusi kahwin campur yang berlaku...

Friday, October 26, 2012

KEMULIAAN SIKAP PEMAAF (LETTING GO OF THE PAST)

Nilai saling memaafkan ialah antara punca kerukunan hidup dalam masyarakat dan organisasi. Dalam bahasa mudah, seseorang yang berasa bahawa dirinya teraniaya tidak menyimpan perasaan dendam di dalam hati. Seseorang yang pemaaf memiliki jiwa besar, unggul dan budiman.

Pakar motivasi, Dato' Dr. Fadzilah Kamsah, sering menyebut tentang keperluan memaafkan semua orang setiap kali hendak melelapkan mata. Saranan itu bertujuan supaya seseorang itu sentiasa bersedia membuka lembaran baharu dalam kehidupan setiap kali muncul hari yang baharu. Kesudian memaafkan orang lain umpama melepaskan beban berat yang ditanggung sebelumnya.

Perasaan tersinggung atau berasa teraniaya boleh terjadi tanpa disedari oleh orang lain sama ada secara bersemuka atau jarak jauh. Ucapan kata yang bermaksud gurauan boleh mengganggu ketenteraman emosi seseorang. Memang banyak sekali orang yang tidak peka tentang sensitiviti sama ada perihal fizikal seseorang atau sebarang perbezaan cara berfikir.

Orang yang dikenali dan rapat mungkin menyebut tentang boroi (gendut), ukuran ketinggian, warna kulit, dan sebagainya. Orang yang tidak dikenali, termasuk penceramah di kaca televisyen juga mungkin menggores perasaan jika dia bercakap lepas atau pukul borong sahaja. Perasaan tersinggung mengakibatkan rasa marah yang berpanjangan, melainkan ada kesediaan memberi maaf.

Dalam kes yang lebih ekstrem, hati seseorang juga mudah tergores apabila kemahuan dirinya tidak mendapat persetujuan oleh orang lain. Misalnya, seorang suami melayan perasaan rajuk apabila keinginan untuk memiliki kenderaan yang baharu tidak mendapat sokongan isteri dan anak. Begitu juga seorang abang sulung mendapati bahawa dia tidak dominan dalam kalangan adik-beradiknya yang berpendidikan tinggi.

Hubungan kemanusiaan dalam sesebuah organisasi pula lebih rencam kerana terdapat golongan atasan (superior) dan juga bawahan (subordinat). Ketua organisasi perlu menjaga terlalu banyak perkara sehingga terlupa memberi perhatian kepada komunikasi mesra dengan pegawai dan kakitangan. Tanpa disedari, berlaku pelbagai bentuk adu domba, drama, gosip, intrig, komplot, konspirasi dan wayang yang menjejaskan daya saing organisasi.

Perbuatan menyimpan perasaan bengang, geram, kesal, marah dan terkilan secara berpanjangan boleh mendatangkan akibat buruk dari segi kesihatan mental dan fizikal. Tekanan psikologi sudah tentu memudarkan seri pada wajah, penampilan yang tidak ceria dan garis kedut terbentuk lebih cepat. Pendek kata, sebahagian nikmat kehidupan yang penting pergi begitu sahaja.

Dari segi kesihatan tubuh badan pula, perbuatan 'makan dalam' itu boleh mengakibatkan fungsi organ terjejas kerana menahan degup jantung yang lebih kencang. Sepertimana hidup orang yang merana, si pendendam akan mengalami pengumpulan asid di dalam perut yang boleh membawa penyakit seperti barah usus (ulser) dan kemerosotan sistem reproduksi. Gejala penyakit seperti sering pening, mual dan hilang selera makan sudah tentu mengundang penyakit yang lebih berat.

Kesediaan memberi maaf bukanlah bererti suatu kekalahan, atau orang yang berkenaan bebas daripada hukuman Tuhan, jika dia benar-benar bersalah. Sebaliknya, pemberian maaf itu lebih bersifat terapi kejiwaan atau tazkiyah yang sangat dituntut oleh agama. Maka, sebelum tidur dan membawa doa Allahumma bismika ahya wa amut, maafkan semua orang, walaupun mereka tidak tahu.

Dengan kemurahan hati memberi maaf, semoga orang lain juga sudi memberikan kemaafan yang sama. Sebagai insan biasa yang tidak sunyi daripada melakukan khilaf dan dosa, kita juga mendambakan kemaafan yang terindah. Sesama manusia saling bermaafan, sedangkan kepada Allah kita memohon ampun dan taubat nasuha.

Jika dua orang yang beriman bertelingkah, maka menjadi kewajipan insan terdekat untuk mendamaikan mereka. Andai kata salah satu pihak masih degil atau enggan berdamai, maka cara-cara yang lain hendaklah dilakukan. Hukamak mengatakan bahawa seorang musuh sudah terlalu ramai, sedangkan seribu orang sahabat masih terlalu sedikit...

Thursday, October 25, 2012

SELAMAT HARI RAYA KORBAN (TOTAL SUBMISSION)

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim alaihi's-salam, isteri baginda, Hajar dan putera mereka, Nabi Ismail alahi's-salam sangat signifikan dalam pensyariatan ibadah haji dan korban. Atas perintah Allah, Nabi Ibrahim harus rela meninggalkan kedua-dua insan kesayangan baginda di kawasan kontang di Makkah. Seperti kata, Ustaz Mohd Farid Ravi, permintaan Siti Sarah, isteri tua Nabi Ibrahim supaya Siti Hajar tidak tinggal serumah dengan mereka seumpama pepatah Inggeris, there's no such  two queens in one kingdom.

Pada tahun ini, hari raya korban jatuh pada hari Jumaat. Ertinya, umat Islam akan berhimpun di masjid dan mendengar khutbah dua kali walaupun ada pendapat mengatakan tidak mengapa jika mahu memilih untuk solat Zuhur sahaja dibenarkan. Maka, sebahagian proses sembelihan korban diadakan pada hari Sabtu dan Ahad. 
seorang jawatankuasa masjid memberi taklimat ulang kaji solat sunat raya korban

Di Masjid al-A'la, dekat Degong, Chenderong Balai, penduduk kampung berkumpul di masjid seawal pukul 8.00 pagi dengan alunan takbir raya masyarakat Nusantara yang melankolik dan syahdu. Sebagai adab memasuki masjid, jemaah menunaikan solat tahyatul-masjid terlebih dahulu. Solat hanya dimulakan pada pukul 9.00 pagi.
Berbeza dengan solat Jumaat, khutbah raya dibacakan usai sempurna solat sunat Eidul-Adha dua rakaat dengan 7 takbir pada rakaat pertama dan 5 takbir pada rakaat kedua. Namun, kali ini, doa selepas solat agak panjang sebelum khutbah, berbanding dengan doa disekalikan dalam bacaan khutbah sebagimana lazim.
Bacaan takbir raya korban berlanjutan hingga hari keempat, berbanding dengan hanya setakat solat sunat raya untuk hari raya puasa. Sambutan hari raya korban juga tidak begitu meriah di sebelah pantai barat Semenanjung, tetapi keadaan sebaliknya berlaku di pantai timur, khususnya di Kelantan. Namun, kelepasan am perayaan yang berganding dengan hujung minggu telah mendorong fenomena balik kampung hingga dianggarkan bahawa sejumlah dua juta buah kenderaan menjalar di lebuh raya utama.

Hendaknya sambutan hari raya korban pada tahun ini mengukuhkan daya juang umat dalam menghadapi pancaroba dan provokasi jahat musuh. Ketabahan yang dipelajari daripada peristiwa tiga insan hebat keluarga Nabi Ibrahim alaihi's-salam ialah penanda aras maksud pengorbanan yang hakiki. Perintah Allah wajib dipatuhi sepenuhnya, manakala larangan-Nya dijauhi sepenuhnya...

Wednesday, October 24, 2012

BULAN BAHASA HINGGA DISEMBER (LOVE OUR IDENTITY)

Semasa wawancara menerusi Ikim.fm pagi tadi, Dr. Awang bin Sariyan, Ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) memaklumkan bahawa bulan Oktober ialah bulan bahasa peringkat kebangsaan. Pelbagai acara dan kempen telah diatur di pelbagai peringkat demi membangkitkan kesedaran tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara yang dihormati dan maju. Walaupun secara rasmi, sambutan bulan bahasa hanya pada bulan Oktober, tetapi aktiviti yang disusun berlanjutan hingga penghujung tahun bagi mengekalkan momentum kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dengan lebih mendalam dan berkekalan.

Kedudukan bahasa Melayu kerap berhadapan dengan detik-detik cemas akibat sikap kurang peka segelintir pihak yang berpengaruh. Terdapat tokoh negara yang lebih suka bertutur dalam bahasa Inggeris dalam sesuatu majlis persidangan atau ketika sidang akhbar walaupun tiada kelibat warga asing. Sepatutnya mereka mengambil kesempatan untuk membanggakan jati diri bangsa yang berdaulat dan dihormati dengan berucap dalam bahasa Melayu yang pernah diangkat sebagai bahasa perdagangan (lingua franca) semasa era kegemilangan empayar Melaka dahulu.  

Sikap mendewakan bahasa asing, sambil berasa rendah diri terhadap bahasa Melayu, khususnya sebagai sarana budaya tinggi masih menjadi stigma dalam kalangan sebilangan kecil si kulit sawo matang yang perasan bahawa mereka bermata biru! Mereka sebenarnya ialah tahanan penjara minda dalam tempoh yang panjang sehingga tidak menyedari perubahan dalam kemajuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang hebat. Anggapan bahawa bahasa Melayu hanya layak untuk mengungkapkan perasaan dan karya sastera telah mengakibatkan minda golongan berkenaan begitu dangkal dan tertutup.

...

...

...

...

...

...

...

...

...

MYDIN BAWA PERSEKITARAN BANDAR KE MANJOI (HYPERMARKET HELPING SMEs)

Dalam jangka masa singkat dan pendek, kemunculan sesebuah pasar raya mega akan mengakibatkan peniaga runcit kecil-kecilan, penjaja dan peniaga pasar malam sesak nafas. Sistem urus niaga dan perkhidmatan yang ditawarkan di pasar raya tentu jauh lebih menarik jika dibandingkan dengan perniagaan skala kecil di lot kedai biasa dan jalanan. Apatah lagi bahawa pasar raya menawarkan pelbagai perkhidmatan lain seperti ruang rehat, surau, bersih diri, ruang kanak-kanak, medan selera, perbankan dan gerai penjaja di bawah sebuah kompleks berhawa dingin yang luas dan selesa.

Namun, tuntutan kehidupan pascamoden yang semakin rencam dan sibuk menyebabkan masyarakat lebih cenderung untuk berkunjung ke sebuah gedung perniagaan yang dapat memenuhi rancangan pembelian mereka secara serentak demi menjimatkan masa. Tambahan pula pelbagai 'umpan' menarik seperti potongan harga, pembelian dengan pembelian dan pengumpulan mata ganjaran keahlian dan penggunaan kad kredit memberikan fleksibiliti kewangan kepada pengguna. Kuasa beli masyarakat juga telah meningkat kerana ramai yang datang dengan kenderaan sendiri ke pasar raya.

Manjoi dahulunya hanyalah sebuah petempatan pinggir bandar yang biasa-biasa sahaja. Penulis blog (PB) sendiri pernah tinggal di kawasan Sungai Kati semasa menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bekerja sementara di sebuah kilang berasaskan keluaran tembikar atau pottery. Imej Manjoi bagaimanapun dikatakan terjejas gara-gara kewujudan beberapa sarang atau port penagih dadah tegar.

Manjoi ialah sebuah petempatan masyarakat Melayu di pinggir bandar raya Ipoh sepertimana Kampung Kepayang Fair Park dan Sungai Rokam. Anggota Dewan Undangan Negeri bagi Manjoi ialah Datuk Nadzri bin Ismail, 54, bekas pegawai tadbir negeri dan exco Angkatan Belia Islam Perak (Abim). Beliau telah berusaha kuat bagi merealisasikan konsep Gugusan Manjoi yang bakal mengubah persekitaran petempatan Manjoi secara keseluruhannya.

Manjoi juga terletak dalam kawasan parlimen Tambun yang diwakili oleh Dato' Seri Ahmad Husni bin Hanadzlah, 60, Menteri Kewangan Kedua Malaysia. Tempias kemajuan pesat yang dialami oleh kawasan Lembah Meru dan projek hartanah mewah di sepanjang laluan Tambun ke arah Tanjung Rambutan turut terkena kepada Manjoi sebagai jiran terdekat. Sudah tentu Manjoi tidak akan dibiarkan sebagai dikotomi kepada pembangunan dan zon pertumbuhan baharu itu.

Walaupun Meru Raya yang bakal muncul sebagai pusat bandar raya terbaharu Ipoh dengan pemusatan pelbagai perkhidmatan pengangkutan, perbankan dan pentadbiran, Manjoi juga dijangka memiliki kemudahan yang serupa supaya dapat muncul sebagai sebuah bandar satelit berteraskan masyarakat Melayu Islam seperti Shah Alam. Pasar raya mega Mydin di Meru Raya dilengkapkan dengan sebuah lagi pasar raya Mydin di Manjoi walaupun jarak antara kedua-duanya tidak melebihi sepuluh kilometer. 

Jumlah penduduk Manjoi dianggarkan 40,000 orang, tidak termasuk anak muda di perantauan yang akan pulang menjenguk orang tua mereka ketika musim cuti dan perayaan. Kini, mereka mempunyai pilihan untuk berbelanja di kawasan setempat tanpa perlu menempuh kesesakan jalan raya untuk ke Jaya Jusco, Parkson Grand atau UO di Greentown Mall.

Peniaga runcit dan penjaja perlu menerima hakikat bahawa mereka berhadapan dengan cabaran dan persaingan perniagaan dengan gedung besar dan terkenal satu Malaya. Mereka tidak pantas melabel Mydin sebagai pembuli peniaga kecil kerana kelulusan operasi Mydin juga tertakluk kepada syarat supaya 70 peratus barang jualan dalam gedung mereka ialah keluaran perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Daripada terus bersedih dan cemas, lebih baik persatuan peniaga runcit dan penjaja mencari jalan untuk bergerak sebagai sebuah entiti raksasa yang mampu menyaingi pasar raya mega seperti Mydin.

Dalam sejarah pertumbuhan bandar, proses penggantian perniagaan kecil kepada gedung raksasa merupakan perkara biasa. Perniagaan kecil dan runcit dan penjaja perlu bergerak dalam sebuah konsortium yang mampu mengekalkan kewujudan mereka dalam dunia persaingan perniagaan yang rencam. Saranan konsep Samudera Biru (Blue Ocean) mungkin sekali relevan untuk mereka.

Kedudukan Mydin Manjoi boleh dianggap strategik kerana bersebelahan dengan Pejabat Tanah dan Daerah  Ipoh dan kompleks al-Barakah milik Ustaz Kadzim Elias. Namun, peniaga medan selera Mydin mengatakan bahawa kunjungan orang ramai tidaklah luar biasa sangat. Rezeki di tangan Tuhan dan setiap insan memiliki bahagian masing-masing, insya-Allah...

Tuesday, October 23, 2012

TAJUK HANGAT KARANGAN SPM DIMENSI KELUARGA (SHAPING CLOSENESS AT HOME)

Analisis kertas percubaan SPM selaras peringkat negeri, asrama penuh dan entiti sekolah menengah yang lain menunjukkan kesepakatan tema dalam tajuk karangan dimensi keluarga, iaitu tentang keperluan sebuah institusi keluarga yang bahagia. Sesebuah keluarga yang bahagia dikaitkan dengan proses pemupukan budaya membaca, kepimpinan, kebersihan, gaya hidup sihat termasuk bersukan, kasih sayang, sahsiah murni, pencapaian dan penyelesaian masalah. Jadual penuh tajuk karangan berkenaan boleh dibaca menerusi laman sesawang cikgusidik.blogspot.com.

Hajat untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia boleh disifatkan sebagai suatu impian yang sempurna. Maka, proses untuk mencapai tahap sebuah keluarga yang bahagia bakal menempuh pelbagai cabaran yang berpunca daripada kepelbagaian pembawaan insan, pengaruh persekitaran dan latar belakang pendidikan yang pernah dilalui. Hakikatnya, sebuah keluarga yang bahagia dilimpahi kasih sayang, tolak ansur dan kesanggupan memberi sumbangan secara suci hati. Keluarga ibarat sebuah bahtera yang memerlukan kerjasama yang tidak berbelah bahagi supaya pelayaran yang menempuh ombak dan gelora dapat diteruskan dengan selamat. Peribahasa "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh' sangat serasi dengan model sebuah keluarga yang bahagia.

Kepimpinan keluarga yang berkesan dibimbing oleh amalan keibubapaan yang berteraskan ilmu pengetahuan. Ibu bapa perlu istiqamah dengan peranan sebagai suri teladan kepada anak-anak. Mereka hendaklah sentiasa menunjukkan ciri-ciri kecemerlangan dalam segala perbuatan dan tingkah laku. Misalnya, ibu bapa sentiasa menggunakan bahasa yang mesra ketika berkomunikasi dengan anak-anak. Ketegasan untuk membentuk disiplin dan sahsiah anak-anak disampaikan dengan cara yang paling berhemah dan lemah lembut. Tiada kekasaran secara fizikal akan dilakukan kerana ibu bapa yang penyayang itu dibimbing oleh ilmu pengetahuan yang sah dalam segala keputusan dan tindakan.

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

Monday, October 22, 2012

UMAT ISLAM TIDAK RELA DIINJAK (THE RELIGION OF PEACE AND TOLERANCE)

Sejak keruntuhan empayar Uthmaniah Turki pada tahun 1924, kedudukan umat Islam di serata dunia mula terumbang-ambing. Fahaman sekular tersebar di seluruh dunia Islam dalam segenap urusan kehidupan, termasuk ilmu pengetahuan dan intelektual. Berdasarkan pusingan sejarah, setiap 100 tahun bakal muncul mujaddid yang membawa pembaharuan untuk mengembalikan kegemilangan umat di persada yang tinggi.

Fenomena Arab Spring yang melanda rantau timur tengah telah menyaksikan perubahan kepimpinan yang lebih dekat kepada prinsip siasah syar'iyyah. Kombinasi Erdogan dan Abdullah Gul di Turki telah berjaya melemahkan pengaruh tentera yang menganggap diri mereka sebagai penjaga sekularisme. Di Mesir, Presiden Morsi juga bertindak dengan bijak dan cermat sehingga kuasa awam dapat dipulihkan secara beransur-ansur.

Rakyat Maghribi dan Algeria juga telah memilih kepimpinan yang dikuasai oleh gerakan Ikhwanul Muslimin. Pergolakan di Syria juga dijangka berakhir dengan skrip yang sama. Kekuatan negara-negara Arab yang tidak gentar dengan ancaman rejim haram Tel Aviv yang merampas tanah Palestin sejak tahun 1948 sudah pasti merosakkan rancangan militan Yahudi yang mahu mewujudkan Israel Raya

Walaupun tekanan hebat dikenakan kepada masyarakat minoriti Islam di Eropah, bilangan umat Islam terus bertambah, sama ada secara semula jadi, atau penganut baharu. Momokan tentang keganasan al-Qaeda tidak memberi bekas kepada majoriti umat Islam kerana imej seperti Osama ben Laden dan puak Taliban lebih bersifat pinggiran. Umat Islam tetap berpegang kepada al-Qur'an dan al-Sunnah, serta pengalaman sirah sebagai rujukan.

Keganasan sebenarnya berlaku kepada umat Islam, terutama sebagai masyarakat minoriti seperti di Urumchi, China dan etnik Rohingya di Arakan, Myanmar. Di Kemboja, lebih dua juta umat Islam dihapuskan oleh pengganas kejam yang bernama Pol Pot. Umat Islam di Bosnia juga pernah dibantai oleh puak Serbia yang sangat zalim.

Negara Indonesia pula menjadi sasaran proses kristianisasi. Hari ini sudah terdapat sejumlah 30 juta penduduk Indonesia menganut agama Kristian selepas begitu ramai yang murtad. Perkahwinan orang Islam dengan pasangan berlainan agama telah diizinkan sehingga menyebabkan berlaku kecelaruan yang teruk tentang status rumah tangga yang dibina itu.

Krisis di wilayah Mindanao, selatan Filipina nampak reda sedikit selepas perjanjian antara kerajaan Filipina dengan pejuang bangsa Moro (MINF dan MILF) dimeterai baru-baru ini. Gencatan senjata dan keamanan yang dinikmati membuka ruang kepada kegiatan dakwah dan kemajuan umat Islam di sana. Kemajuan ekonomi dan pendidikan juga dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan cekap.

Provokasi terhadap umat Islam akan berlaku sehingga akhir zaman. Musuh akan menggunakan pelbagai cara untuk memporak-perandakan umat. Serangan halus melalui filem, fesyen dan makanan (3F's: film, fashion, food) misalnya dibuat secara halus dan terancang. Mereka sengaja memancing emosi umat supaya bertindak balas secara melulu, dibakar emosi amarah dan tidak dibimbing oleh ilmu yang sah.

Umat Islam di Malaysia boleh disifatkan sebagai matang kerana lebih banyak berpegang kepada prinsip dakwah daripada menghukum. Walaupun terdapat isu panas tentang penghinaan terhadap syariat, masyarakat Islam maklum bahawa pandangan itu hanya bersifat terpencil dan dilontarkan oleh kelompok kecil yang jahil dan rendah akhlak mereka. Ruang untuk proses dialog yang sihat masih terbuka supaya segala perkara sensitif yang dibangkitkan dapat dikendalikan dengan bimbingan ilmu pengetahuan yang sah...

Sunday, October 21, 2012

PELAJAR AL-HIDAYAH BERSEDIA HADAPI SPM (NAIL WITH FLYING COLOURS)

Kampung Temiang, Ipoh: Ahad, 21.10.12 // 5 Zulhijjah 1433

Dua hari di Pusat Latihan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dekat sini mengukuhkan motivasi sejumlah 31 orang calon SPM Sekolah Menengah al-Hidayah, Ipoh (SMHI) untuk melangkah masuk ke dewan peperiksaan kira-kira dua minggu lagi. Selain mata pelajaran teras, mereka turut menduduki kertas Bahasa Arab, Pengajian al-Quran dan al-Sunnah, serta Pengajian Syariah. Kem motivasi berkenaan dirasmikan oleh Ghulam Muzammil, Penolong Pengarah (Unit Sekolah Rendah), Jabatan Pelajaran Perak.

SMHI memilih untuk kekal dengan status sekolah swasta, iaitu tidak bertukar kepada sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seperti Ma'ahad Imam as-Syafie, Jelapang dan Ma'ahad al-Ummah, Chepor. Ertinya, pembiayaan operasi sekolah ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Pengelola Sekolah, tanpa suntikan kewangan menerusi peruntukan kerajaan. Namun, sebagai sekolah yang berdaftar di bawah akta pelajaran swasta, SMHI tetap melaksanakan kurikulum kebangsaan, sama ada untuk sekolah rendah, mahupun menengah.
Penulis blog (PB) menerima undangan untuk mengendalikan bengkel penataran bahasa menengah atas dalam kem motivasi yang dianjurkan di luar premis SMHI. Bilangan peserta yang kecil itu membolehkan proses interaksi dua hala berlaku dengan lebih mudah. Maklum balas terhadap input bahasa yang dibincangkan begitu memberangsangkan.

Modul bengkel disediakan berdasarkan sampel tugasan bertulis murid al-Hidayah sendiri. Berdasarkan isi dan huraian yang ada, analisis tentang ketepatan takrif tugasan, keakuran aras soalan dan keperluan ayat jawapan dibincangkan. Masalah tipikal rumusan didapati lebih kurang sama dengan murid sekolah biasa, iaitu dari segi pendahuluan dan isi tersirat.

Proses mengenal pasti tugasan aras petikan, kbkk dan komsas juga mendapat perhatian peserta bengkel. Mereka kelihatan berpuas hati tentang pendekatan yang disarankan untuk merancang dan menulis jawapan yang diperlukan sahaja. Saranan tentang peruntukan masa mengikut keperluan aras soalan dan peruntukan markah juga diterima sebagai perakuan bengkel.

Bahagian pemahaman berdasarkan petikan antologi Harga Remaja dan Dirgahayu Bahasaku diberi penekanan yang khusus. Peserta diingatkan tentang payung generalisasi yang tidak jauh berbeza dengan dimensi karangan, iaitu peringkat individu / diri sendiri, keluarga, masyarakat, negara dan antarabangsa. Komponen isi dan huraian dalam sesuatu ayat juga dicerakin.

Bengkel juga menerima ketetapan bahawa nota komsas Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) dijadikan asas kajian antologi dan novel yang dipelajari. Tujuannya ialah supaya setiap calon SPM memiliki keakuran peluang yang sama untuk memperoleh maklumat yang seragam. Bengkel kemudian berakhir dengan beberapa tinjauan terhadap keseluruhan keperluan sebagai calon SPM 2012...

Saturday, October 20, 2012

KELANTAN JUARA TREBEL EDISI 2012 (MAT YO OUT OF IMPORT SHADOW)

Shah Alam, Sabtu: 20/10/12 = 4 Zulhijjah 1433

Norshahrul Talaha atau Mat Yo muncul sebagai wira skuad bola sepak Kelantan apabila dua gol sentuhan kreatif beliau menerjah jaring Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk kemenangan dramatik 3-2 dalam perlawanan yang berlarutan hingga 124 minit. Jurulatih pasukan ATM, B. Sathianathan membidas pemain Kelantan yang didakwa sengaja jatuh seperti nangka untuk melengahkan perlawanan pada detik genting. Pergaduhan juga hampir tercetus di tengah padang apabila pemain ATM tidak menghiraukan pemain Kelantan yang terbaring cedera, sebaliknya tetap menyerbu kubu Kelantan sehingga nyaris menghasilkan gol penyamaan ketika perlawanan berbaki beberapa minit sahaja.
Mat Yo memecah kebuntuan apabila tolakan selamba beliau gagal dibaca dengan baik oleh Farizal, penjaga gawang ATM yang pertama kali bermain dalam perlawanan akhir di hadapan lebih 70,000 orang penonton di Stadium Shah Alam. Namun, tiga minit separuh masa kedua bermula, pemain veteran ATM, Rezal Zambry berjaya menembusi kekentalan Apek apabila tendangan kencang jarak jauh beliau terbias apabila terkena seorang pemainan pertahanan Kelantan. ATM hanya dapat merayakan gol itu seminit sahaja kerana Mat Yo sekali lagi bijak meletakkan Kelantan sekali lagi di hadapan dengan 2-1.

Pada minit ke-62, dalam keadaan kelam kabut di hadapan gawang Kelantan, Marlon James berjaya membuat satu tandukan tipis yang tidak dapat dijangkau oleh Apek. Setelah itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, tetapi kedudukan terikat 2-2 hingga tamat 90 minit perlawanan.
grafik: Asro Arena

Ketiadaan Ghadar, pemain import Kelantan tidak melemahkan jentera serangan pasukan Kelantan. Indera Putra Mahyuddin, pemain kelahiran negeri Perak, melepaskan satu rembatan cantik ke penjuru gol ATM pada minit ke-95 bagi melengkapkan malam gemilang skuad kijang. Walaupun ATM bermati-matian untuk kembali mengikat perlawanan, pasukan Kelantan berjaya menyerap segala asakan dan tekanan yang bertali arus yang dilancarkan oleh ATM yang turut mengharapkan sentuhan ajaib ketua pasukan, Hairudin Oman (Hai-O). 
                                                                                 grafik: Asro Arena

Dengan kejayaan menjulang Piala Malaysia, Kelantan telah melengkapkan impian trebel mereka, iaitu setelah memenangi gelaran juara Liga Super dan Piala FA sebelum ini. Semua pemain Kelantan dijangka menerima hadiah berupa rumah kediaman yang selesa, barangkali rumah yang siap dibina di kawasan lot banglo. Pasukan ATM yang dibarisi kebanyakannya oleh pemain awam (bukan anggota tentera) masih dikira hebat kerana mara sejauh ini, malah juara Liga Perdana itu telah berjaya meragut ego pasukan Liga Super, termasuk Lions XII dari republik Singapura...

KEMUDAHAN SURAU DI PASAR RAYA (TIME CONSUMING AT SHOPPING COMPLEX)

Kunjungan ke sesebuah gedung perniagaan besar seperti pasar raya sudah pasti memakan masa yang cukup panjang. Terdapat bahagian pasar raya dan aneka toko pelbagai jabatan, restoran makanan segera, bank, medan selera dan gerai penjaja di bawah satu bumbung berhawa dingin. Kalau mahu diikutkan hati, sehari suntuk pun tidak akan mencukupi, melainkan dari rumah lagi telah menetapkan barang yang hendak dibeli.

Terang atau gelap, hujan atau panas dan sebagainya di luar kompleks beli belah tidak disedari. Maklumlah di dalam pasar raya keadaannya tetap sama, iaitu terang benderang, kecuali berlaku gangguan bekalan elektrik. Maka, pengunjung perlu rajin menjeling jam tangan atau telefon bimbit masing-masing supaya sedar diri dan tidak leka sehingga terlepas sebarang kewajipan.

Bagi pengunjung beragama Islam, waktu solat tidak boleh diabaikan dalam apa-apa juga keadaan, apatah lagi jika berada dalam suasanan yang begitu nyaman dan selesa di pasar raya. Maka, sejajar dengan peraturan di sebuah negara yang mengangkat Islam sebagai agama persekutuan, pihak pemilik gedung perniagaan dikehendaki menyediakan kemudahan tempat solat, iaitu surau. Di samping untuk memenuhi keperluan pegawai dan kakitangan Islam, kemudahan surau dapat dimanfaatkan oleh para pengunjung supaya tidak menjadi insan yang lalai.

Sesetengah gedung perniagaan hanya menyediakan surau ala kadar, sepertimana pasar raya komputer dan gajet telekomunikasi terkemuka, Plaza Low Yatt di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Namun, kompleks Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman menyediakan ruang surau yang cukup luas di aras bumi meletak kereta. Nampaknya kepekaan pihak pengurusan gedung perniagaan terhadap kemudahan surau bergantung kepada permintaan, ketegasan dan tekanan pihak-pihak yang berkepentingan, khususnya pihak berkuasa agama dan pertubuhan pengguna Islam.

Kompleks membeli belah mega Aeon Ipoh di Stesen 18, Pasir Puteh yang dibeli daripada pemaju hartanah di situ, iaitu Keris Properties turut menyediakan kemudahan surau yang boleh tahan juga. Walaupun saiz ruang surau yang agak kecil jika dinisbahkan dengan kompleks yang tersergam itu, sekurang-kurangnya pekerja dan pengunjung masih memiliki kesempatan untuk menunaikan kewajipan solat. Masalah hanya mungkin berlaku pada waktu puncak dalam waktu solat yang singkat, iaitu Maghrib.

Kemasan lantai yang baik, ruang wuduk yang selesa, hembusan udara pendingin hawa dianggap satu bonus untuk keselesaan pengunjung menunaikan solat. Alangkah baiknya jika azan boleh dikemundangkan sebaik sahaja masuk waktu solat dan segala bunyian muzik yang lain memberi laluan. Paling tidak pengumuman dibuat supaya pengunjung Islam diberi peringatan tentang kewajipan mereka.

Khabarnya pihak Aeon telah membeli sebidang tanah di Jalan Kuala Kangsar bagi membina sebuah lagi gedung perniagaan mega mereka di sana sebagai ganti premis sewaan Jaya Jusco di Kinta City dekat Taman Ipoh Selatan. Sekali lagi pihak Aeon mempunyai kerjasama strategik dengan pihak Keris Properties yang memajukan projek perumahan bercampur di sana. Diharap pihak berkuasa tempatan yang meluluskan reka bentuk kompleks mega berkenaan akan memberi perhatian terhadap kemudahan surau yang lebih luas dan selesa.

Kemunculan kompleks pasar raya mega satu demi satu di bandar raya Ipoh menyaksikan tapak pasar malam semakin lengang. Penjual ikan merungut kerana tidak berupaya menandingi harga yang ditawarkan oleh pasar raya mega dan kelihatan banyak masa lapang untuk berbual sesama sendiri. Tambahan pula, pasar malam langsung tidak menyediakan kemudahan untuk peniaga dan pengunjung menunaikan solat Maghrib yang singkat itu...   

Friday, October 19, 2012

PENGALAMAN SEBAGAI JURUAUDIT (EVALUATION OF CERTAINTY)

Kini, setelah pembentangan usul belanjawan negara oleh menteri kewangan, laporan ketua audit negara pula mendapat perhatian serius ahli politik, pakar ekonomi dan rakyat jelata. Berdasarkan latar belakang pendidikan masing-masing, pelbagai versi pendapat dan ulasan yang dikeluarkan. Proses audit kewangan negara ialah suatu penilaian terhadap pematuhan tatacara kewangan yang amanah, berhemah, tadbir urus yang cekap, telus dan tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan.

Semua organisasi yang berdaftar melaksanakan proses audit secara dalaman dan juga oleh firma audit yang berlesen. Bagi jabatan kerajaan, termasuk sekolah, proses audit dilakukan secara berkala mengikut keperluan. Namun, hal yang pasti ialah audit wajib yang dibuat secara tahunan.

Prinsip tanggungjawab dalam organisasi pada akhirnya akan terpikul di bahu ketua organisasi berkenaan. Andai kata, pertanyaan audit tidak dapat dijawab dengan memuaskan, ketua organisasi mungkin akan dikenakan siasatan lanjut, atau paling minimum ialah tindakan tatatertib dalam bentuk denda (surcaj) kewangan berdasarkan amaun tertentu. Ketua organisasi sebagai superior wajib membimbing subordinat organisasi, iaitu pegawai dan kakitangan organisasi dalam hal-ehwal kewangan, tetapi jika masih berlaku kesilapan, beban tanggungjawab tetap ditujukan kepadanya.

Tidak semua teguran audit menjurus kepada isu salah laku atau pecah amanah dalam organisasi. Sebaliknya, dari sudut yang positif, teguran audit ialah bagi menambah baik pematuhan tatacara kewangan organisasi. Misalnya, sistem rekod buku tunai, panjar wang runcit, kunci kira-kira dan segala akaun yang lain mungkin tercicir maklumat atau tersilap tempat.

Di sekolah, pengetua dan guru besar sering mengingatkan para guru supaya mematuhi semua tatacara pembelian harta modal, inventori dan stok yang bermula dengan nota minta, borang pesanan, baucar, invois dan resit rasmi. Maklumat murid dalam buku daftar kehadiran (register) dianggap sangat mustahak sebagai rekod retan sekolah yang rasmi bagi memperoleh geran atau waran peruntukan kewangan per kapita murid dan hitungan pemberian kerajaan yang lain.

Selain guru, murid sekolah juga didedahkan dengan prinsip audit kewangan organisasi menerusi pertubuhan kepimpinan murid dan juga segala persatuan, kelab, unit pakaian seragam dan permainan. Walaupun amaun kewangan yang terbabit sangat sedikit, atau tiada langsung, sekurang-kurangnya murid pernah diberitahu tentang perkataan juruaudit dan tanggungjawab organisasi untuk menjaga kepercayaan anggota organisasi dan pihak sekolah. Tahap kesedaran awal telah diaktifkan dalam kalangan murid supaya tidak mengambil mudah tentang tatacara kewangan, khususnya apabila membabitkan kepentingan sesebuah organisasi.

Penulis blog (PB) pernah menerima lantikan selaku juruaudit dalaman sebuah koperasi sekolah. PB telah menerima jemputan kursus audit oleh Jabatan Koperasi Malaysia di sebuah pusat latihan di bandar raya Ipoh. Kursus separuh hari ini telah memberi keyakinan yang tinggi kepada peserta untuk melaksanakan tugas audit dalaman koperasi sekolah dengan adil dan jujur. Konsep audit bersyarat juga dijelaskan dengan panjang lebar.

Apabila tiba waktunya melaksanakan proses audit sebenar, PB dan seorang lagi guru dengan cepat dapat mengesan butiran yang tertinggal kerana angka berkenaan dicatat dengan pensil. Pertanyaan audit yang diajukan menerusi satu borang khas disambut dengan wajah yang agak kelat oleh bendahari koperasi. Bukanlah bendahari koperasi sekolah tidak mengaku kesilapan itu, tetapi dia mungkin kaget bahawa pelaksanaan audit dalaman sahaja sudah mewujudkan keperluan supaya sentiasa cermat dalam catatan kewangan walaupun sudah memiliki ijazah perakaunan...

Thursday, October 18, 2012

PERANAN GURU DATA DI SEKOLAH (PRIVATE AND CONFIDENTIAL INFORMATION)

Aplikasi sistem pangkalan maklumat atas talian memungkinkan profil dan sejarah perkhidmatan seseorang guru tidak lagi bergantung kepada salinan bercetak dalam fail bertali hijau yang disimpan di dalam laci bilik khas pejabat sekolah. Sebahagian maklumat guru kini boleh diakses menerusi pelbagai aplikasi, misalnya Emis, Hrmis, e-pangkat, SPLG dan lain-lain. Setakat ini, reka bentuk keselamatan data menerusi tatacara penggunaan nama pengguna dan kata laluan peribadi berjaya menghalang risiko serangan penggodam atau penularan virus.

Sebahagian tugas penyimpanan data guru juga berpindah daripada kendalian kakitangan pejabat (pembantu tadbir) kepada guru data yang dilantik secara khusus. Guru data bertanggungjawab kepada Penolong Kanan dan Pengetua, serta berhubung rapat dengan pegawai data di pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri. Guru data perlu melaksanakan kemas kini maklumat guru, termasuk pentadbiran sekolah, dari masa ke masa.

Kebiasaannya guru data diperuntukkan sejumlah 12 waktu mengajar di bilik darjah, manakala 12 waktu lagi diperuntukkan untuk tugasan berkaitan dengan maklumat guru. Namun, seperti tugas keguruan yang lain, sebahagian kerja berkaitan harus diselesaikan di luar waktu tugas rasmi, bahkan dibawa balik ke rumah. Terdapat banyak maklumat segera yang perlu dimasukkan tanpa boleh ditangguh.

Norma perjawatan guru data ialah berasaskan sekolah, iaitu tertentu kepada sekolah yang berkenaan sahaja. Andai kata guru data berkenaan berpindah sekolah, atau menyambung pengajian, maka jawatan guru data yang disandang akan luput secara automatik, melainkan menerima lantikan semula. Lazimnya, jawatan guru data diamanahkan kepada guru yang memiliki kemahiran sistem komputer dan jaringan.

Memandangkan hakikat bahawa guru data memiliki akses yang tidak terhad terhadap maklumat perkhidmatan guru, termasuk hal yang dianggap sulit, iaitu butiran gaji, maka guru data terikat kepada etika kerahsiaan yang tinggi. Sepertimana doktor perubatan, guru data tidak boleh menyebarkan maklumat yang berada dalam kawalan tugasnya, kecuali kepada pihak yang diberi izin dan sah. Kepercayaan yang tinggi terhadap guru data dapat menjamin keharmonian dalam organisasi sekolah.

Guru data perlu menjalin hubungan yang baik dengan semua guru, termasuk pentadbir sekolah, bagi melicinkan proses kemas kini maklumat atas talian yang bakal mempengaruhi kemajuan kerjaya setiap orang guru. Segala urusan perkhidmatan seperti cuti belajar, naik pangkat dan permohonan tukar sekolah tertakluk kepada maklumat yang dikemas kini oleh guru data. Faktor hubungan dengan pihak atasan tidak lagi menjadi sebab utama seseorang guru untuk dicalonkan jawatan naik pangkat atau kelulusan permohonan yang lain.

Bagi memastikan proses kerjasama guru berada pada tahap tertinggi, guru data perlu menyampaikan keperluan kemas kini maklumat guru menerusi hebahan nota papan kenyataan, edaran bercetak, pengumuman lisan semasa mesyuarat rasmi guru, atau menerusi portal dan laman sesawang sekolah. Guru data juga sentiasa bersedia dengan senarai semak penerimaan maklumat agar tidak berlaku sebarang keciciran. Pendek kata, guru data kena ada sistem rekod maklum balas yang autentik.

Guru data akan menerima banyak permintaan daripada pihak berkuasa pelajaran untuk kemas kini maklumat guru apabila wujud keperluan tertentu. Apabila tiba masanya, nama guru yang sudah layak naik pangkat, atau perlu membuat pengisytiharan harta akan timbul di dalam aplikasi sistem atas talian. Seseorang guru data yang cekap begitu berjasa kepada pihak sekolah dan cukup membantu semua guru di sekolah untuk menikmati kemajuan kerjaya yang hebat...

Wednesday, October 17, 2012

PERSEDIAAN TERAKHIR KERTAS EKONOMI STPM (EFFICIENCY AND PLANNING TO SCORE)

Baik kohort terakhir STPM terminal (pelajar tingkatan 6 Atas) mahupun kohort sulung STPM modular (pelajar tingkatan 6 Rendah), baki masa yang tinggal untuk persiapan peperiksaan sudah sangat suntuk, tetapi masih belum berakhir. Selagi belum melangkah ke tempat duduk peperiksaan, bermakna masih ada sesuatu yang boleh dirancang. Pada tahap ini, tumpuan seharusnya diberi terhadap strategi kecekapan menulis jawapan berdasarkan peruntukan markah dan peruntukan masa.

Pelajar prauniversiti tingkatan 6 Rendah akan menghadapi peperiksaan STPM terlebih dahulu, iaitu mulai 2.30 petang pada hari terakhir, iaitu 8 November ini. Waktu petang memang agak mencabar, terutama faktor cuaca yang boleh menyebabkan calon di dewan peperiksaan lebih kerap menguap. Calon mesti mencari jalan supaya mereka kekal cergas dan bertenaga untuk merancang isi jawapan dan seterusnya menulis jawapan berdasarkan keperluan tugasan.

Bagi calon sistem modular, hanya Ekonomi 1 (Mikroekonomi) akan diuji dalam tempoh dua jam. Terdapat tiga bahagian soalan, iaitu 20 soalan aneka pilihan, 4 daripada 6 pilihan soalan esei dan dua daripada tiga pilihan soalan kuantitatif. Bahagian A memperuntukkan 20 markah, bahagian B sebanyak 40 markah, dan bahagian C sebanyak 20 markah. 

Maknanya, 80 markah untuk 120 minit. Secara hitungan konservatif, satu markah bersamaan 1.5 minit. Namun, reka bentuk aras kesukaran soalan yang berbeza membolehkan calon tidak terikat dengan nisbah masa : markah secara ketat. 

Peribahasa 'ukur baju di badan sendiri' boleh dianggap relevan dengan strategi merancang dan menulis jawapan berdasarkan peruntukan masa dan peruntukan markah. Jika calon telah membuat persiapan yang mencukupi untuk semua tajuk dan bersedia untuk menjawab sebarang soalan, maka pembahagian masa secara khusus boleh dilakukan. Dengan mengambil kira laporan Majlis peperiksaan (MPM) bahawa kebanyakan calon didapati kurang cekap dalam penulisan jawapan esei, maka saranan berikut boleh dipertimbangkan:

          2.30 -  2.55 petang  :   Bahagian A - aneka pilihan

          2.55 -  3.20 petang  :   Bahagian C -  kuantitatif

          3.20 -  4.10 petang  :   Bahagian B  -  esei

          4.10 -  4.30 petang  :   Semakan dan penambahbaikan

...

...

...

...

....

....

...

...

...

Tuesday, October 16, 2012

BIBIT SELISIH FAHAM DALAM ORGANISASI (REMINDER FOR THOSE EXTROVERT)

Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Diam-diam besi berkarat, diam-diam ubi berisi. Kedua-dua peribahasa berkenaan menjelaskan pengamatan terhadap golongan yang pendiam, tidak banyak cakap, tetapi lebih suka mendengar dan menyendiri.

Lawan kepada si pendiam ialah orang-orang becok yang banyak cakap. Entah dari mana datangnya stamina golongan kepoh dan bermulut murai itu? Golongan ini tidak betah hidup sepi, sebaliknya suka 'memaksa' orang lain mendengar celoteh mereka.

Dalam disiplin psikologi terdapat konsep introvet bagi mewakili si pendiam dan ekstrovet mewakili si mulut murai. Pemisahan secara ekstrem antara dua bentuk tingkah laku berkenaan hanyalah bersifat akademik, sedangkan insan memiliki kedua-dua jenis pembawaan berkenaan, bergantung kepada tindak balas mereka terhadap persekitaran.

Konsep introvet dan ekstrovet diperkenalkan oleh Carl Jung, seorang pakar jiwa (psikiatri) yang berasal dari Switzerland pada awal abad ke-20. Sejak itu, banyak penyelidikan tentang teori keperibadian atau personaliti telah dilakukan bagi mengenal pasti ciri-ciri bagi introvet dan ekstrovet, serta kesannya atas tingkah laku. Masyarakat didapati sering memberi perhatian yang berlebihan terhadap golongan ekstrovet, berbanding dengan potensi tersembunyi golongan introvet.

Golongan ekstrovet lebih mirip kepada ciri agresif, iaitu lebih cenderung menjaga hak diri sendiri sahaja, tetapi kurang peka terhadap hak orang lain. Bagi mereka, membujur lalu, melintang patah. Orang ekstrovet menganggap sikap terus terang sebagai suatu proses terapi, iaitu luahan perasaan yang dapat melepaskan segala perkara yang terbuku di dalam hati.

Golongan ekstrovet juga menganggap gurau senda sebagai perkara biasa yang tidak perlu diambil serius. Mereka menyangka bahawa semua orang sebagai sama dengan mereka, iaitu tidak kisah tentang usik-mengusik dan lawak slapstik. Sebab itu, orang ekstrovet suka bercakap lepas, asalkan dirinya berasa puas hati tanpa mengira percakapan mereka mungkin menyinggung perasaan orang lain.

Sasaran golongan ekstrovet lebih kepada lawan mereka, iaitu golongan introvet yang dianggap lebih mudah menjadi mangsa. Orang ekstrovet sengaja melakukan provokasi lisan supaya lawan introvet yang suka memendam rasa akhirnya akan bersuara. Maka, kalau hal itu yang terjadi, orang ekstrovet menganggap bahawa diri mereka sudah berjaya.

Orang introvet tidak selama-lamanya hanya berdiam diri, membatu dan membiarkan lawan ekstrovet mereka melakukan 'penindasan' tanpa sebarang sekatan. Malah, tindak balas orang introvet mungkin lebih bahaya hingga membawa perbalahan secara terbuka dan hubungan menjadi renggang. Orang introvet boleh sahaja mendapatkan akses tindak pentadbiran dan perundangan.

Dalam sesebuah organisasi, sama ada besar mahupun kecil, golongan ekstrovet pada zahirnya lebih berpengaruh dan dominan. Mereka mungkin menguasai keputusan mesyuarat dan memimpin pendapat populis. Orang ekstrovet juga lebih menonjol dalam acara dan majlis rasmi.

Golongan introvet lebih mementingkan intuisi, nurani dan domain kognitif dalam diri mereka. Orang introvet beranggapan bahawa panjang akal sebagai lebih utama daripada panjang lidah. Mereka tidak suka pembawaan ekstrovet yang disifatkan sebagai mulut lebih laju daripada otak.

Imam al-Ghazali, seorang ahli falsafah dan cendekiawan terbilang pernah menulis naskhah bertaraf magnum opus tentang judul 20 bahaya lisan. Orang yang beriman hendaklah menjaga lidah masing-masing supaya tidak tergelincir kepada perkara dosa dan maksiat. Sebaliknya, kata-kata yang baik umpama pohon yang baik, iaitu akarnya teguh dan dahannya menjulang ke langit (merimbun), lalu menjadi naungan kepada orang datang kepadanya (Ibrahim, 14:24).

Hakikatnya, kedua-dua golongan introvet dan ekstrovet boleh menyumbang secara sihat terhadap organisasi. Pemimpin organisasi perlu menggembleng kekuatan yang dimiliki demi kebaikan, sambil dalam masa yang sama memadam kemungkinan berlaku selisih faham yang meruncing antara dua golongan berkenaan. Pemimpin organisasi ialah pendamai, bukan mengambil kesempatan untuk mengamalkan doktrin pecah dan perintah supaya kawalan organisasi berada di dalam genggaman mereka...

Monday, October 15, 2012

ISU PEMBANTU RUMAH DI MALAYSIA (HOUSEHOLD MANAGEMENT)

Kos sara hidup yang tinggi mengakibatkan sebahagian besar pasangan suami isteri bekerja di luar rumah bagi  menampung segala keperluan dan kehendak yang sejajar dengan tuntutan semasa. Apabila pulang dari tempat kerja, masing-masing sudah tersadai lesu dan menginginkan masa rehat. Keadaan dalam rumah akan berselerak dan tidak terurus, melainkan pada huung minggu.

Ibu bapa mengambil sarapan pagi dan makan tengah hari di tempat kerja masing-masing, manakala anak yang sudah bersekolah di tempat belajar masing-masing. Bayi dan kanak-kanak yang belum boleh berdaftar sebagai budak prasekolah akan dilayan di pusat asuhan kanak-kanak. Hanya pada sebelah malam seisi keluarga mungkin berkesempatan menikmati hidangan bersama-sama, tetapi air tangan mamak atau makanan segera yang kaya dengan pelbagai kandungan lemak trans dan kolestrol jahat.

Ibu bapa yang berkemampuan barangkali mampu mengupah pembantu rumah, khususnya 'bibik' dari tanah seberang untuk membersihkan rumah, di samping menjaga bayi kesayangan. Namun, belakangan ini, pengambilan bibik Indonesia sering menimbulkan masalah seperti panjang tangan, culas dan malas, tiada kemahiran memasak, sibuk melayan panggilan telefon bimbit dan lepak melayan sinetron. Upah minimum RM700 seperti yang dituntut oleh pihak Indonesia juga memeningkan, justeru kos makan minum dan tempat tinggal tidak diambil kira.

Para isteri juga sering menaruh rasa curiga akan kerenah bibik yang dianggap sebagai cuba menarik perhatian suami mereka. Beberapa kes terpencil pernikahan suami majikan dengan bibik pun dibesar-besarkan. Kalau bibik yang agak berusia pula sering sakit dan berulang alik ke klinik.

Sesekali kes bibik didera oleh majikan yang tidak berhati perut menjadi tajuk utama akhbar harian arus perdana. Majikan sedemikian menganggap bahawa zaman perhambaan barangkali masih wujud. Mereka lupa bahawa terdapat peruntukan undang-undang tentang hubungan, hak dan tanggungjawab majikan terhadap pembantu rumah yang tidak boleh dilanggar.

...

...

...

...

...

Sunday, October 14, 2012

PERANAN BEKAS MURID DI SEKOLAH (THE LEGEND IN AN EFFECTIVE SCHOOL)

Sesebuah sekolah yang berkesan memiliki tokoh yang berjaya dalam kalangan bekas murid. 'Tokoh yang berjaya' itu dimaksudkan sebagai seseorang yang mencatat pencapaian atau sumbangan yang signifikan dalam mana-mana bidang yang menonjol terhadap masyarakat dan negara. Sebagai contoh ialah kepimpinan akademik, politik, pentadbiran awam, korporat, sukan, kebajikan, kesukarelaan dan organisasi ikhtisas.

Sudah tentu semua tokoh yang dikenali dalam masyarakat dan negara pernah melalui sistem persekolahan di dalam negara, kecuali segelintir golongan bangsawan yang memilih untuk belajar di luar negara. Maka, sekolah-sekolah yang berkaitan dengan tokoh mesti menghebahkan kejayaan mereka sebagai buah mulut dalam kalangan murid semasa. Papan kenyataan khas 'Jejak Legenda' harus menjadi paparan wajib yang sentiasa disebut-sebut dalam kalangan warga sekolah.

...

...

...

...

...

...

...

...

Saturday, October 13, 2012

PELAJAR PRAUNIVERSITI MODULAR BELUM BERSEDIA? (HIGHER LEVEL LEARNING SHOCK FORM LOWER SIX)

Peperiksaan penggal satu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di bawah sistem modular hanya tinggal tiga minggu, tetapi sebahagian calon tingkatan 6 Rendah masih kelihatan belum bersedia. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan sebahagian mereka tidak melepasi tahap kesedaran (awareness) yang sepatutnya. Mereka berlagak seperti tiada apa-apa yang bakal berlaku, lalu tiada tanda kesegeraan (sense of urgency).

Calon jurusan sains yang cekap dalam matematik tulen mungkin tidak berhadapan dengan masalah besar bagi meneruskan kecemerlangan sepertimana pencapaian di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kertas Fizik dan Kimia bukanlah terlalu sukar buat mereka, melainkan faktor masa dalam dewan peperiksaan yang boleh menyekat mereka daripada mencatat gred terbaik. Dalam tempoh dua tiga minggu, tumpuan perlu dibuat terhadap ujian kecekapan masa supaya calon sempat menjawab semua tugasan soalan dalam tempoh masa yang diperuntukkan.

Berlainan hanya dengan calon jurusan kemanusiaan atau sastera. Mereka berhadapan dengan sebahagian mata pelajaran yang boleh dikatakan baharu seperti Ekonomi, dan Pengajian Perniagaan. Mereka mengalami kejutan apabila mata pelajaran sedemikian memerlukan analisis konsep, prinsip, model, rumus dan teori yang bersifat mujarad (abstrak).

Guru bertungkus-lumus bagi menarik perhatian pelajar supaya berasa gembira mempelajari perkara baharu. Barangkali pelajar masih terbawa-bawa dengan gaya pembelajaran di peringkat SPM. Justeru, perbincangan yang bersifat abstrak merupakan suatu kejutan buat mereka. 

Tidak seperti pelajar prauniversiti matrikulasi, A Level, Foundation, pengajian asasi dan program setara yang lain, pelajar tingkatan 6 berada dalam persekitaran sekolah. Mereka terikat kepada peraturan am sekolah dan harus mengambil bahagian dalam sistem persekolahan. Tumpuan terhadap pembelajaran memang tidak seperti pelajar prauniversiti yang lain.

Untuk berpatah balik ke sistem terminal tidak mungkin berlaku. Maka, walaupun masih dalam proses penyesuaian diri, pelajar tingkatan 6 Rendah harus juga menempuh peperiksaan STPM penggal satu lebih awal daripada pelajar sistem terminal tingkatan enam atas. Pencapaian mereka kelak akan menjadi asas penambahbaikan dalam pelaksanaan sistem modular pada masa hadapan.

Namun, kohort pertama sistem modular bukan pula sampel percubaan, sebaliknya sebagai pelopor perubahan sistem penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan enam. Tempoh tiga minggu terakhir ini perlu digunakan sepenuhnya bagi menyediakan calon STPM modular dari segi minda dan penguasaan isi pelajaran. Berdasarkan pentaksiran di peringkat sekolah, strategi yang tepat perlu didedahkan supaya pelajar berpeluang mengecapi kejayaan yang diidamkan.

...

...

...

Thursday, October 11, 2012

TATACARA MEMBINA RUMAH SEBUAH @BANGLO (PLANNING HOME SWEET HOME)

Peluang untuk memiliki sebuah banglo di kawasan bandar boleh dikatakan sebagai sangat terhad dan tertutup. Sebabnya ialah faktor harga rumah jenis berkenaan yang sudah melepasi RM1 juta, diulangi melebihi RM1 juta. Di Ipoh sendiri sebagai contoh, sebuah banglo berangkai (maksudnya berkongsi dinding di bahagian belakang rumah) bersaiz 90' X 60' dijual denghan harga RM1.2 juta.

Projek perumahan eksklusif di Taman Botani, berhampiran Simpang Pulai pula hanya menawarkan enam unit banglo juga dengan harga RM1.2 juta. Maknanya, para jutawan pun harus berebut untuk mendapatkan unit banglo yang sangat terhad itu. Kalau tidak, mereka terpaksa membeli dua buah unit rumah berkembar sebelah-menyebelah berharga RM1.5 juta (saiz 90' X 50' @ 2 buah) untuk dicantum menjadi banglo.

Kakitangan kerajaan hampir boleh melupakan hasrat untuk memiliki banglo mewah yang mencecah harga RM1 juta ke atas. Kelayakan pinjaman perumahan kali pertama bagi pegawai gred 48 ialah sekitar RM500,000. Jikaq suami isteri membuat pinjaman pertama secara bersama, mereka perlu mencari tambahan RM200,000 lagi!

Untuk pinjaman kali kedua, kelayakan pegawai ialah telah melangsaikan semua baki pinjaman pertama. Andaikan bahawa pinjaman pertama berjumlah RM150,000, maka had maksimum pinjaman kedua ialah RM500,000 - RM150,000 = RM350,000. Dengan premium insurans / takaful yang lebih tinggi akibat faktor usia, bayaran bulanan akan melebihi kadar biasa, iaitu darab 5.28 dengan jumlah pinjaman (tanpa angka ribu).

Contoh:  pinjam RM100,000 --> bayaran bulanan = RM100 X 5.28 = RM528 sebulan

Premium insurans lebih tinggi, andaikan nisbah darab menjadi 6, maka RM100 X 6  =  RM600 sebulan

Pinjaman bersama suami isteri dan pinjaman berasingan mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Kelebihannya ialah dari segi kelayakan jumlah pinjaman, tetapi masalah mungkin timbul apabila berlaku perpisahan atas sebab krisis rumah tangga, atau salah seorang pasangan menyahut panggilan Ilahi terlebih dahulu. Bagi pinjaman bersama, insurans atau takful hanya menyelesaikan baki pinjaman si mati, manaka pasangannya akan terus membayar bahagian pinjamannya sendiri.

Pinjaman berasingan mempunyai kelebihan dari segi baki bayaran dan pindah milik harta andai kata peminjam harus mengucapkan selamat tinggal kepada dunia yang fana ini. Pihak insurans dan takaful akan menganggung semua baki bayaran. Hartanah rumah itu pula secara automatik akan berpindah kepada pasangan yang masih hidup secara 'percuma'.

Pilihan lain untuk memiliki sebuah banglo mampu milik ialah dengan membeli tanah tapak rumah, sama ada daripada individu atau daripada pemaju yang dilantik oleh majlis daerah dari segi penyediaan kemudahan asas seperti jalan, perparitan dan sistem antiseptik sisa kumbahan. Pembelian tanah daripada tuan tanah yang belum mencapai usia matang 10 tahun akan dikenakan levi 15 peratus daripada harga pihak penilaian bagi mengelakkan kegiatan spekulasi.

Pembelian tanah mesti mengambil kira sejarah kegunaan lokasi tanah yang berkenaan. Kes mendapan tanah yang menyebabkan banglo ditelan bumi harus diambil iktibar. Jika hati sudah terpaut dan tetap hendak juga kepada tanah itu, maka dapatkan anggaran kos menanam cerucuk supaya tanah mampu memnampung beban binaan rumah banglo.

Sebelum menemui pelukis pelan, memilih kontraktor dan melantik peguam, tinjauan rumah contoh terkini dan rujukan media termasuk internet akan memberi idea asas pembinaan sebuah banglo idaman. Pengalaman rakan dan kenalan juga perlu diberi perhatian, tanpa perlu terikat dengan saranan mereka.

...

...

...

...

...

...