Sinopsis Bab 9: muka surat 135 –
159
Dr. Uwang menelusuri jalan masuk
ke Pusat Rawatan Pantai Kasih (PRPK) sambil memikirkan punca panggilan
kecemasan Dr. Raiha pada pukul 11.45 malam itu. Uwang beranggapan bahawa bukan
masalahnya jika berlaku kes kematian pesakit pun, misalnya Unong Siron. Uwang
tergambar pesakit berterbangan liar kepadanya termasuk anak Raiha yang melecur
parah. Walaupun kereta mewah merempuh bayangan itu berkecai, namun gambaran
aneh itu datang lagi. Peristiwa Dr. Sadiz marah kerana Raiha melarikan Porsche
kesayangannya bersama Ayu melintas kembali. Dia yang terpaksan menemani bapa
saudaranya itu membeli petrol yang digunakan untuk membakar Porsche dan
seterusnya menyambar Ayu di situ.
Tiba-tiba gambaran ibu tua Unong
Siron pula muncul. Dia mempersoalkan bayaran kos pembedahan yang begitu mahal. Uwang
memaksa dirinya berlembut dengan menyatakan kesukaran mendapatkan jenis tulang
gentian yang sesuai dari luar negara. Di dalam hati, Uwang tergelak kerana
bayaran menjadi masalah keluarga pesakit. Ibu Unong Siron naik marah lalu
menyalahkan kecuaian doktor di PRPK. Uwang memberi jaminan walhal di dalam
hatinya hanya mahukan keuntungan. Wanita tua it uterus menyalahkan ubat antibiotik
yang diberikan kepada anaknya. Uwang cuba menenangkan ibu Unong Siron kerana
bimbangkan nada tingginya didengari oleh pesakit yang menunggu giliran. Wanita
itu mengaku dirinya yang bersalah justeru mengadu kepada doktor mata duitan.
Namun, ibu Unong Siron terpaksa
merujuk semula PRPK apabila kes itu tidak diterima di hospital kerajaan dan
swasta lain. Dr. Uwang tidak menolak kerana baginya pesakit ialah wang. Uwang
hanya menuruti kemahuan Dato Ontong untuk menjadi doktor, walhal dia meminati
muzik. Uwang digilai ramai wanita, termasuk isterinya sekarang dan Raiha. Uwang
mengatasi bapanya dari segi perniagaan kesihatan. Uwang berasa ibu Unong Siron
sebagai dungu kerana masih masih mencari doktor berjiwa mulia sebagai pengabdi
kemanusiaan. Barangkali pemuda penceroboh lebih sesuai dengan ciri begitu.
Dalam pada Uwang melayan suara
aneh itu, pergelangan tangan dan lututnya terasa nyeri, tersentak nafas dan akhirnya
tulang rahang dan tangan kirinya lumpuh. Uwang cuba mengawal kereta mewahnya
dengan menekan brek, tetapi merempuh tembok garaj. Raiha yang kebetulan mahu
pulang terdengar rempuhan itu. Namun, Raiha berkhayal pula terhadap arwah
suami, Dr. Sadiz. Setelah Porsche miliknya sengaja dibakar, Sadiz membeli
kereta mewah baharu. Malangnya, semasa keluar mahkamah, kereta berkenaan
terperosok di bawah lori tangki minyak yang berhenti secara mendadak di kawasan
lampu isyarat. Nasib Ayu yang disambar api ketika cuba dilarikan oleh Raiha
sehari sebelum dihantar oleh Sadiz ke pusat rawatan khas sama dengan Sadiz yang
renting di situ.
Sementara itu Dr. Uwang yang
masih bingung dengan khayalan dan kemalangan yang dialaminya berasa sedang diusung
ke bangunan PRPK. Pakaian seragam pembantu rawatan bertukar kepada pakaian
pesakit berlumuran darah pada mata Uwang. Dia juga berasa seolah-olah
dimasukkan dalam keranda beroda, walhal dia didorong ke meja bedah. Doktor
pakar juga kelihatan seperti pesakit itu melakukan pemeriksaan terperinci akan
kecederaan Uwang, dan mereka seolah-olah berbalah hebat. Mereka kedengaran
seperti berkata penggantian jantung palsu, hati palsu dan otak palsu. Orang
kanannya, Felicia Landosi cuba menahan proses pembedahan kerana mahu memastikan
kemampuan pesakit membuat bayaran. Igauan Uwang terhenti demi terdengar suara
Ariana Abdullah memberitahu Dr. Raiha tentang kemalangan berkenaan.
Dr. Raiha segera memberikan
rawatan kecemasan. Ariana berasa hairan kerana tiada panggilan dibuat kepada
Uwang, malah kebetulan isterinya tiba serentak menaiki teksi. Isteri Uwang
menandatangani surat pembedahan dan penggantian anggota palsu. Uwang bertarung
dengan bantahan batinya sendiri, serta bayang bekas pesakit yang dibedahnya. Usai
pembedahan, Raiha terserempak dengan Felicia Landosi yang tersedu meminta maaf
atas kejadian Rohayu disambar api. Felicia yang membeli minyak petrol dan
mengikut Sadiz menjejaki kereta Porschenya yang dilarikan Raiha. Namun, dia
tidak mengetahui niat Sadiz yang melepaskan geram membakar kereta mewanhnya
sendiri lalu menyambar Ayu. Dia tidak tampil sebagai saksi perbicaraan kerana
takut, tetapi peristiwa itu terus menghantui hidupnya. Raiha menghela nafas,
menutup mata dan berdoa. Kemudian, Raiha memaafkan Felicia kerana mereka
sama-sama mangsa kerakusan Sadiz dan Uwang. Raiha mahu dirinya dan Felicia
keluar daripada bayangan peristiwa hitam yang dialami.
Watak dan Perwatakan
Dr. Uwang: kebendaan /
materialistik (nama watak yang diberikan mirip sebutan ‘wang’)
Ibu tua Unong Siron: berani,
berhujah dengan Dr. Uwang tentang kewangan dan etika kedoktoran
Dr. Raiha: pemaaf, segera memaafkan
Felicia yang menceritakan kebenaran dia terlibat dalam kes kematian anak
tunggalnya, Ayu bersama Dr. Sadiz dan Dr. Uwang
Ariana Abdullah: bertindak cepat,
memaklumkan peristiwa kemalangan Dr. Uwang dengan segera kepada Dr. Raiha
Isteri Dr. Uwang / Puan Uwang: setia, membuat keputusan segera menandatangai
kebenaran pembedahan untuk menyelamatkan suaminya
Felicia Landosi: berterus terang,
akhirnya membuat pengakuan jujur tentang kebenaran di sebalik peristiwa hitam
yang mengorbankan Ayu, anak tunggal Raiha
Latar masyarakat
Masyarakat yang bersikap
kebendaan . materialistic
Masyarakat yang pemaaf
Masyarakat yang bertindak cepat
Nilai
Kemurahan hati
Saling memaafkan
Kesegeraan
Persoalan
Sikap kebendaan yang memakan diri
Kemaafan terhadap kesilapan orang
lain
Kesegeraan dalam tindakan
Pengajaran
Kita janganlah bersikap kebendaan
/ kita hendaklah bermurah hati
Kita hendaklah saling memaafkan sesama
manusia
Kita hendak bertindak dengan
cepat pada saat cemas / genting
Latar tempat
Di dalam kereta mewah Dr. Uwang
Di luar bangunan PRPK
Bilik bedah PRPK
Latar masa
Menjelang tengah malam
(Imbas kembali) hari keputusan
mahkmah keluarga kes Raiha lawan sadiz
Perbincangan kbkk / kbat
Psikologi orang bersalah / tamak
Kepentingan kad insurans /
takaful perubatan
Kebajikan pesakit kurang
berkemampuan kewangan di hospital swasta