SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, April 30, 2010

PEKERJA BERINOVASI PEMACU TRANSFORMASI (INNOVATIVE WORKERS TOWARD TRANSFORMATION DRIVEN)

Begitulah bunyi tema Hari Pekerja edisi 2010. Dahulu hari pekerja dinamai Hari Buruh. Perubahan istilah berlaku justeru orang awam beranggapan bahawa buruh hanya merujuk kepada jenis pekerjaan kasar dan bergaji rendah.

Dari segi ekonomi, istilah yang lebih tepat ialah buruh yang disenaraikan sebagai salah satu faktor pengeluaran selain modal, tanah dan usahawan. Buruh dihadkan kepada golongan yang berusia antara 15 hingga 64 tahun, serta berupaya memberi sumbangan produktif dalam proses pengeluaran (barang dan perkhidmatan). Sebagai balasan, atau ganjaran, buruh dibayar upah (dan gaji).

Buruh yang memiliki kemahiran khusus, atau perlu menjalani latihan dalam tempoh lebih panjang biasanya dibayar upah lebih tinggi. Akauntan, arkitek, doktor, guru dan jurutera ialah antara contoh buruh kategori ini. Mereka layak menikmati pampasan atas kehilangan pendapatan kerana tempoh latihan yang panjang, iaitu kos lepas yang telah ditanggung. 

Jika buruh berkemahiran tinggi hanya memulakan kerjaya ketika usia mencecah 23 tahun ke atas, buruh separa mahir (STPM, diploma) dan buruh tanpa kemahiran (lulusan SPM)  mungkin mula bekerja pada usia 18 - 20 tahun. Bilangan buruh kategori ini juga ramai menyebabkan kuasa tawar-menawar dari segi tingkat upah tidak begitu kuat. Mereka lebih mudah digantikan.

Sesetengah ahli ekonomi yang cenderung kepada pendekatan normatif tidak bersetuju buruh  (dan usahawan) diletakkan bersekali dengan modal dan tanah sebagai faktor pengeluaran. Mereka berhujah bahawa buruh ialah manusia yang dikurniakan kemuliaan (karamah insaniah). Buruh tidak boleh disamakan dengan jentera yang bisa diperah sesuka hati demi mengejar keuntungan maksimum.

Dalam sejarah Eropah, penindasan yang dikenakan terhadap kaum buruh menyebabkan mereka bangkit menubuhkan kesatuan sehingga banyak pertubuhan buruh yang bertukar menjadi parti politik. United Kingdom menyaksikan parti buruh menguasai kerajaan walaupun mendapat saingan parti lain. Begitu juga di Jepun dan beberapa buah negara maju yang lain.

Berbalik kepada tema hari pekerja. Tidak kira apa-apa sahaja falsafah, slogan, atau ungkapan, hakikatnya pekerja hanya mempunyai fungsi tunggal, iaitu sumbangan produktif. Maka, inovasi atau pembaharuan yang dilaung-laungkan menjurus kepada peningkatan sumbangan daya pengeluaran. Dari perspektif ekonomi, buruh yang dapat menyumbang tingkat keluaran yang tinggi dalam tempoh lebih singkat dinamakan kecekapan yang akhirnya membawa kepada penurunan kos, serta pengeluaran skala besar.

Transformasi yang dicanangkan pula merujuk kepada ekonomi berpendapatan tinggi. Buruh yang berpendapatan tinggi bermakna kuasa beli juga menjadi tinggi yang dipindahkan dalam bentuk perbelanjaan agregat yang tinggi untuk merancakkan aktiviti ekonomi. Industri teknologi tinggi seperti projek kenderaan nasional boleh mengharap segmen pasaran tempatan (domestik) yang lebih besar tanpa perlu bergantung secara keterlaluan terhadap permintaan dunia.

Model Ekonomi Baru (MEB) yang baharu sahaja dilancarkan ialah sebuah rancangan perspektif jangka panjang untuk merealisasikan hasrat Malaysia mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. MEB boleh dianggap sebagai kesinambungan Dasar Ekonomi Baru (DEB), 1971 - 1990, dan Dasar Pembangunan Nasional, 1991 - 2010. Kemudian rancangan perspektif dipecahkan kepada rancangan lima tahun, dan belanjawan tahunan.

Orang ekonomi tidak mudah terpesona dengan istilah, slogan atau tema yang "mengancam" dan muluk-muluk. Usaha perhubungan awam seperti itu tidak lebih tidak kurang sebagai proses penjenamaan semula yang mungkin dianggap penting oleh pakar pemasaran, atau oleh saudagar persepsi. Orang ekonomi lebih tertarik kepada inti pati dan konsep asas sesuatu perkara.

Pekerja berinovasi datang daripada kelompok modal insan yang memiliki akses kepada pengetahuan, kemahiran dan sikap. Kini, dianggarkan kira-kira 80 peratus kaum pekerja di Malaysia berkelulusan SPM ke bawah. Keadaan ini dijangka berubah apabila sasaran meningkatkan 40 peratus rakyat memiliki ijazah pertama tercapai, dan baki 60 peratus  lagi berpeluang menjalani latihan peringkat pertengahan.

Apabila tiba masanya kelak, lesen perniagaan hanya akan dikeluarkan kepada mereka yang telah disahkan telah menjalani proses penarafan tertentu dari segi kesihatan, latihan dan pengkhususan. Pembeli boleh berasa selamat apabila berurus niaga dengan peniaga pasar malam dan penjaja jalanan seperti penjual pisang goreng atau cok kodok. Penularan penyakit seperti hipetasis B menerusi rembesan cecair tubuh badan peniaga dapat dihapuskan.

Penubuhan kolej komuniti bagi setiap kawasan parlimen bakal mempercepat proses penarafan pekerja dan peniaga kecil-kecilan. Kursus jangka panjang bagi pelajar sepenuh masa, serta kursus jangka pendek untuk orang awam pada akhirnya akan mewujudkan sebuah masyarakat pekerja dan peniaga yang berintegriti dan boleh dipercayai. Pakej penarafan itu boleh dipromosikan sebagai satu lagi produk pelancongan yang berdaya saing.

Menutup bicara, kaum pekerja atau buruh perlu sentiasa diingatkan bahawa segala sumbangan produktif mereka ialah ibadah. Syaratnya ialah keikhlasan untuk mencapai Keredaan-Nya, tidak meninggalkan ibadah asas, tidak mencampuradukkan perkara makruf dengan perkara mungkar, serta menunaikan hak-hak semua pihak yang ditetapkan. Selamat Menyambut Hari Pekerja...

Thursday, April 29, 2010

PASUKAN KUIZ SEJARAH JUARA ZON, PANTUN DAN DEBAT JUGA HEBAT (MICHAELIAN'S ACHIEVEMENT IN CO-ACADEMIC CHALLANGE)

Ipoh, Khamis: 29 April 2010 / 14 Jamadil Awal 1431

Pasukan kuiz Sejarah SMK St Michael, Ipoh (SMI) membuktikan bahawa SMI masih perlu dihormati dalam kalangan sekolah Zon 2 Kinta Utara yang berjumlah 10 buah semuanya: SMI, Anderson, Seri Putera, Teknik Lebuh Cator, Ave Maria, Main Convent, MGS, Sam Tet. Pasukan itu menjuarai kuiz yang diadakan secara bertulis (aneka pilihan) petang tadi. SMI bersama-sama MGS (naib juara) dan Anderson akan mewakili zon 2 ke peringkat daerah kelak.

Sementara itu, pasukan pantun SMI berjaya mengejutkan pasukan pilihan, Teknik Lebuh Cator, yang pernah menduduki tangga ketiga kebangsaan suatu ketika dahulu pada pusingan awal. Kemaraan SMI bagaimanapun disekat oleh Seri Putera dengan perbezaan mata yang tipis. Pasukan pantun yang diketuai Shahrul Niza itu boleh dibentuk sebagai pasukan yang kuat, serta dijadikan bidang tujahan untuk koakademik bahasa Melayu SMI.
Pasukan debat ala parlimen SMI sebagai pasukan pilihan selaku naib juara edisi 2009 pula membuat perhitungan dengan juara negeri 2008, MGS. Tajuk debat ialah "Ibu bapa berperanan dalam membentuk disiplin anak." Kedua-dua pasukan menampilkan hujah-hujah yang meyakinkan dan seimbang.
MGS turut memilih strategi menggunakan penyokong mereka yang hadir untuk memberi tepukan semangat, di samping meminta penyokong menjawab beberapa soalan yang pasti memihak kepada pasukan. Walaupun dari segi peraturan, cara berkenaan tidak kena, namun speaker tidak memberi teguran. Dalam konteks ini, penyokong SMI yang hadir harus dipuji justeru tidak terikut-ikut dengan gelagat penyokong lawan.
Secara berbanding, pendebat MGS yang tampil selaku pasukan kerajaan dilihat lebih setara dari segi kepetahan dan hujah. SMI juga memberi saingan dan berjaya membidas hujah lawan dengan baik. Perkara yang paling penting dalam persaingan persepsi seperti ini ialah menarik perhatian majoriti juri.
Kelebihan mata juga mungkin diperoleh dari segi strategi meminta dan menerima izin laluan. Bahagian ini perlu diberi penekanan oleh pasukan SMI edisi 2011. MGS kelihatan sudah dapat meneka soalan-soalan panas yang dikemukakan oleh YB pembangkang (SMI).

Nota hujung: Pasukan ragbi SMI berjaya mengikat Anderson dengan 0-0. Keputusan ini agak unik justeru kebiasaannya dihasilkan dalam pertandingan bola sepak atau hoki. Apa yang sebenarnya berlaku di padang sana?

bersambung...

Wednesday, April 28, 2010

CERPEN KOMSAS TINGKATAN 4: MEMORI SEORANG TUA (THE OLD STORY OF A SENIOR CITIZEN)

Karya Zahari Affandi yang mengisi halaman 109 - 130 (22 muka surat) antologi "Harga Remaja" menggunakan teknik penceritaan sudut pandangan orang ketiga. Maknanya, pengarang tidak terbabit dalam cerita, tetapi seakan-akan serba tahu tentang segala gerak-geri fizikal dan lintasan fikiran setiap watak yang ditampilkan. Sebagai salah seorang penulis tersohor tanah air,  Zahari berjaya mengajak pembaca supaya berfikiran matang, di samping menyelami kisah perjuangan generasi silam dalam proses mengusir penjajah dari bumi Tanah Melayu.

Orang tua yang menjadi watak utama ialah Pak Itam. Usianya menjangkau angka 85 tahun. Pak Itam menjadi sangat sibuk dan teruja untuk mengadakan majlis sambutan hali lahirnya buat kali pertama dalam hidup. Bukan untuk meniup lilin, bukan untuk menyanyi Happy Birthday. Pak Itam hanya berhasrat menjamu anak-anak Kampung Langat, selain cucu cicitnya di universiti. Pak Itam sekadar berhajat meluahkan semangat Melayu yang mengalir dalam dirinya remaja, dipenjarakan dan pernah bergelar majistret Melayu pertama.

Jiwa perjuangan Melayu yang menebal dalam diri Pak Itam tidak dikongsi oleh isterinya, Nurhidayah. Ketika meringkuk di penjara Singapura, sang isteri datang membawa surat fasakh, dan membawa sekali Izwan dan Iman, zuriat mereka. Pak Itam hanya mampu menyapu si air mata.

Majlis hari lahir Pak Itam juga mahu disisi dengan pameran koleksi keratan akhbar dan majalah lama. Dengan pertolongan Tuk Mat, Pak Itam turut menjemput budayawan dan seniman terkenal membuat persembahan. Tuk Mat (yang membahasakan Tuk Itam sebagai "bapa) sekeluarga menguruskan makan pakai Tuk Itam tanpa sebarang bayaran.

Pak Itam mengkhayalkan bahawa wartawan muda akan berebut-rebut mengerumuninya untuk menadapat bahan berita. Kesempatan itu akan digunakan untuk mencurahkan segala kisah dan pengalamannya berjuang. Akhirnya Pak Itam larut dalam ibadah sembahyang malam.

Keesokannya semua aktivitis budaya dan seni yang diundang datang membuat persembahan secara percuma untuk menghiburkan anak-anak Kampung Langat, serta cucu cicit Pak Itam. Namun, wartawan media tidak kunjung tiba. Makanan banyak tidak terusik. Durian masih bertimbun-timbun. Pak Itam hampa.

Sambutan hari lahir ke-85 Pak Itam juga ialah hari Pak Itam menutup mata buat selama-lamanya. Di celah-celah orang ramai yang berziarah muncul seorang wanita berusia membawa sejambak ros merah, melulut dan memegang kaki Pak Itam, sambil mulutnya kumat-kamit membaca sesuatu. Ketika wanita itu pergi, semua yang berziarah tercengang, kecuali Tuk Mat...

bersambung...

KISAH DISIPLIN MASYARAKAT NEGARA MAJU (THE CIVIL SOCIETY PRACTICE)

"Ketika asyik bermain frisbi, saya tidak sedar dompet saya tercicir. Kebetulan beberapa hari lagi saya perlu mendapatkan visa perjalanan untuk keluar dari Austria. Antara dokumen yang wajib ditunjukkan untuk kelulusan termasuklah kad pengenalan. Namun, saya bernasib baik kerana mendapat bantuan kedutaan Malaysia. Hampir tiga minggu di rantau Balkan (termasuk Bosnia Herzegovina), saya kembali ke Austria. Sebalik melangkah ke rumah sewa, saya mendapati ada nota kecil ditampalkan supaya saya menghubungi seseorang. Dipendekkan cerita, orang yang saya temui ialah remaja 16 tahun. Sebagaimana tabiat orang Asia yang lain, saya terus membelek isi dompet. Nampaknya semua dokumen dan wang 500 Euro tidak terusik. Sambil mengucapkan terima kasih, saya mempelawa remaja itu menjadi adik angkat saya. Apabila ditanya sebab dia langsung tidak mengambil apa-apa, remaja itu menjawab bahawa jika dia berbuat demikian, lambat-laun orang akan tahu. Ibunya akan bertanya jika dia berbelanja lebih daripada wang saku hariannya sebanyak 5 Euro. Orang lain, termasuk rakan yang mengesyakinya berbelanja melebihi kebiasaan boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya soal siasat dilakukan."

"Vienna, Austria boleh dianggap kota paling selamat di dunia. Pada tahun 2008, tiada sebarang kes jenayah dan tiada sebarang kemalangan jalan raya berlaku. Pejalan kaki sangat dihormati oleh pemandu kenderaan. Pemandu akan memberhentikan kenderaan dalam jarak 50 meter apabila melihat pejalan kaki hendak melintas. Mereka lebih berhati-hati jika pejalan kaki berkenaan ialah kanak-kanak. Kenderaan besar pula amat menghormati kenderaan yang bersaiz lebih kecil. Suatu hari anak saya yang berumur 5 tahun berdiri di tepi jalan raya. Semua kenderaan telah berhenti, kecuali sebuah motosikal berkuasa tinggi yang sedikit terlajak. Penunggang motosikal itu segera menerpa ke arah anak saya walaupun motosikalnya tidak sedikit pun menyentuh tubuh anak saya. Apabila saya tiba di lokasi, pemuda itu, Alex berkali-kali merayu supaya saya tidak memanjangkan kes berkenaan. Dia sanggup memenuhi permintaan saya yang lain. Tidak sampai lima minit kemudian, ambulans, bommba dan polis tiba di lokasi. Saya tidak tahu siapa yang membuat panggilan. Anak saya diletakkan di bawah pengawasan pihak hospital selama lima minggu walaupun dia tidak mengalami sebarang kecederaan, hatta calar kecil. Alasannya ialah untuk memastikan supaya anak saya bebas dari trauma. Jika trauma, Alex akan bertanggungjawab membayar ganti rugi bulanan dalam jumlah yang akan diputuskan oleh mahkamah sepanjang hayat anak saya. Pembaca mungkin terkejut jika saya mengatakan bahawa kerajaan Austria tetap membayar ganti rugi sebagai 500 Euro sebulan selama 10 tahun walaupun saya telah kembali ke Malaysia..."

Kedua-dua cerita di atas disampaikan oleh Dr Abu Hassan Hasbullah, semasa Seminar Integrasi 1Malaysia di Ipoh semalam. Beliau hendak menggambarkan bahawa disiplin dan integriti masyarakat Austria telah dipupuk begitu lama. Hampir mustahil untuk menemui cebisan sampah yang dibuang dengan sengaja. 

Kebiasaan orang Asia masuk lif ialah memandang ke atas dan paparan nombor aras bangunan. Dr Abu Hasan menceritakan bahawa pertama kali masuk lif, seorang mat saleh telah menyapa beliau dengan telahan bahawa beliau orang Asia. Sebabnya hanya masyarakat Asia yang berkelakuan begitu. Mat Saleh akan mengucapkan helo sesama sendiri apabila berselisih walaupun tidak pernah kenal. Jika di pasar raya tidak kurang 10 kali kita perlu melayan sapaan mat saleh Austria.

Cerita seterusnya di New Zealand. Kiosk menjual akhbar dan minuman ringan di sana sering ditinggalkan tanpa penjaga. Setiap orang yang membeli akhbar akan memasukkan wang ke dalam tabung yang disediakan. Anda akan berasa ditenung ramai orang jika cuba-cuba membaca akhbar atau bahan bacaan secara percuma. Apatah lagi jika anda berkira-kira mengambil barang jualan, kemudian cabut lari! Curi tabung wang? Kirim salam!

Kita tidak bercerita untuk mengangkat mat saleh sebagai idola. Kita juga tidak bercerita untuk membandingkan mentaliti masyarakat kita yang masih tebal dengan sikap keakuan walaupun mengaku kononnya nilai-nilai Asia sangat kudus, luhur dan suci. 

Kita bukan hendak meluahkan rasa rendah diri. Kita hanya hendak belajar meneladani perkara-perkara baik dan kebijaksanaan. Kita ketepikan hal-hal jelek yang berleluasa dalam masyarakat Barat. Tentang konspirasi mereka untuk mengkucar-kacirkan kelangsungan politik, ekonomi, sosial dan kemajuan teknologi negara bukan Barat yang dicop sebagai ancaman terhadap keselamatan dunia (baca: keselamatan Barat).

Penulis blog (PB) sekadar hendak berkongsi satu sahaja pengalaman peribadi yang boleh menjadi renungan bersama. Ketika latihan memandu suatu ketika dahulu, PB sedang memandu kereta (Kancil) di hadapan sebuah laluan yang agak sesak. Di hadapan sebuah pasar raya kelihatan sekumpulan orang mengacah-acah untuk melintas. PB segera menekan pedal brek untuk memberi laluan. Namun, pengajar sekolah memandu itu telah menegah PB daripada meneruskan niat, bahkan meminta PB menekan pedal minyak untuk menambah kelajuan...

Tuesday, April 27, 2010

PELAJAR PRAUNIVERSITI ST MICHAEL TAMPIL KEBERANIAN (THE SOFT SKILL OF THE MICHAELIAN'S SIXTH FORM)

Ipoh, Selasa: 27 April 2010 / 12 Jamadil Awal 1431
Pelajar jurusan kemanusiaan (UA1, UA2, UA3) telah memenuhi jemputan menghadiri Seminar Integrasi 1Malaysia anjuran bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan Majlis Keselamatan Negara. Seminar separuh hari itu berlangsung di Dewan Bankuet, Wisma Darul Ridzuan yang berjiran dengan SMK St Michael, Ipoh (SMI) (10 minit berjalan kaki). Pelajar SMI telah mendominasi sesi soal jawab.
Cabaran penceramah kedua, Dr Daniel Jason Jayasuria disambut oleh Ng Shu Kae yang kemudian disertai Nurul Syazwani, Kayithri dan Fong Kin Choy, semuanya dari kelas UA3. Isu yang dibincangkan ialah integrasi antara pelajar yang berlainan latar belakang di sekolah. Ringkasnya, pelajar SMI bersetuju bahawa keperluan pembelajaran menjadi sebab utama mereka lebih akrab.
Ivan Tan, seorang lagi pelajar UA3 terus menghangatkan suasana. Ivan memberi contoh dirinya sendiri yang berdarah campuran mampu berinteraksi dengan mana-mana masyarakat tanpa kekok. Ivan turut mencadangkan agar amalan sikap terbuka disemarakkan dalam masyarakat luas.
Nurul sekali lagi tampil bersuara menyebut tentang realiti pelajar yang lebih gemar bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing, atau menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa Melayu hanya dominan ketika pembelajaran mata pelajaran Ekonomi dan Pengajian  Perniagaan. Pelajar UA3 keenam yang bercakap, Ng Heok Khoon membuktikan keadaan sebaliknya apabila berhujah sepenuhnya dalam bahasa Melayu.
Mohd Safwan dari UA2 menjadi peserta seminar terakhir yang sempat memberi pandangan sebelum seminar ditutup dengan rasminya. Safwan berpendapat bahawa dalam apa-apa keadaan sekalipun, bahasa Melayu wajib dijunjung sebagai bahasa utama dalam sebarang urusan, manakala bahasa lain hendaklah dianggap sebagai sampingan. Bagi Safwan, bahasa Melayu ialah lambang jati diri rakyat Malaysia.
Seorang lagi penceramah yang mengisi slot seminar ialah Dr Abu Hassan Hasbulah, pensyarah pengajian media Universiti Malaya, merangkap felo kanan Zentrum Future Studies. Beliau menumpukan perhatian terhadap peranan bahasa dalam memupuk integrasi. Beliau memberi contoh pengalaman peribadi semasa masih bergelar pelajar Ph.D di Vienna, Austria.
Penulis blog (PB) dan Cikgu Shahruzzaman selaku guru pengiring telah dijemput khas oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Dato' Dr Abdul Rahman Hashim untuk menyertai Menteri Besar, Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir, kedua-dua orang penceramah, pengarah majlis keselamatan negeri, dan beliau sendiri menikmati jamuan tengah hari di meja utama. Pada tahun 2006, PB pernah berada di kafe yang sama dengan rombongan Dr Zambry semasa menikmati minum petang di sebuah lapangan terbang antarabangsa di Asia Barat. Ketika itu, Dr Zambry ialah anggota kanan majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco hal-ehwal Islam, pelajaran dan kebajikan) ...

Sunday, April 25, 2010

PENGALAMAN SEHARI SEMALAM DI RUMAH PANGSA (THE FUTURISTIC HOME)

Rumah ialah ruang pemisahan fizikal yang membolehkan para penghuninya melakukan aktiviti persendirian. Orang luar tidak berpeluang menyaksikan perkara yang dibuat oleh isi rumah dengtan sewenang-wenangnya. Demikian pandangan pakar pengurusan tentang maksud sebenar rumah supaya tuan rumah mempunyai autonomi penuh terhadap ruang fizikal yang dimiliki, melainkan terdapat percanggahan dengan adat, budaya dan undang-undang.
Maka, konsep asas rumah sebagai semata-mata tempat tinggal tertolak dengan sendirinya. Definisi sebegitu mungkin masih relevan kepada kaum nomad yang berpindah-randah di kawasan hutan belantara, atau di kawasan padang pasir yang bagaikan tiada sempadan. Pembinaan tempat tinggal di kawasan yang tidak sah milik boleh dikenakan tindakan undang-undang sebagai penceroboh.

Ketika undang-undang rimba berleluasa, si gagah sangat berkuasa sedangkan si lemah menjadi mangsa. Sesiapa yang gagah boleh memacak kawasan tanah seluas mana yang dimahukan. Si lemah terpaksa mengemis simpati menumpang kawasan tuan tanah.
Terdapat juga kes tuan tanah terpaksa melepaskan hak milik tanah sebagai ganti kepada beban hutang yang tidak tertanggung. Sejajar dengan hakikat penawaran tanah yang terhad, nilai ekonomi tanah tetap meningkat dari masa ke masa. Tanah mampu dijadikan alat spekulasi untuk mengaut keuntungan segera akibat peredaran masa.

Di Malaysia, peluang untuk memiliki tanah menjadi semakin sukar. Majoriti penduduk tidak lagi berpeluang memperoleh lot tanah untuk mendirikan rumah sebuah (banglo). Pada masa hadapan, lebih ramai penduduk akan menghuni rumah pangsa, pangsa puri dan kondominium. Penulis blog (PB) yang pertama kali mengunjungi Singapura pada tahun 1991 mendapati kediaman seperti sarang merpati setinggi 40 tingkat di sana dinamakan sebagai estet perumahan.

Orang Singapura sanggup bertungkus-lumus bekerja siang malam mengumpul wang untuk mengintai peluang membeli hartanah di luar negara. Hari ini sebahagian unit hartanah elit di Dubai, London, New York, Ottawa, dan Sydney menjadi kepunyaan warga Singapura. Cuti tahunan mereka dihabiskan di sana, manakala pada waktu lain diletakkan di bawah pengurusan agen hartanah untuk menjana pendapatan sewaan.
Rakyat Malaysia sudah boleh menerima konsep kejiranan rumah pangsa. Malah, rumah pangsa, sama ada berstatus biasa atau mewah, bakal menjadi rebutan pembeli, serta penyewa pada masa hadapan. Dengan penambahbaikan dari segi reka bentuk ruang dan ciri keselamatan, serta ruang niaga dan perkhidmatan tersedia, kejiranan rumah pangsa memiliki daya tarikan luar biasa.
PB berpeluang tinggal di sebuah rumah pangsa dalam tempoh kira-kira 15 jam. Tempat letak kereta agak luas, tetapi terdedah kepada bahang matahari sepanjang waktu. Kemudahan lif tidak disediakan kerana pemaju bermain "kongkalikong" membina pangsa empat tingkat sahaja. Namun, penghuni di pangsa berkenaan berhujah bahawa mereka sebenarnya membeli lokasi.

PB akur dengan hujah penghuni. Kereta yang diparkir kebanyakannya dalam kelas sederhana mewah dan  mewah. Pendapatan penghuni pula antara 15 hingga 20k sebulan. Masa yang diperuntukkan di rumah menjurus kepada luar waktu kerja...

bersambung...

ANALISIS SAJAK "DI PERPUSTAKAAN" (LIBRARY IN THE EYE OF A MALAY POET)

Sajak kedua dalam antologi "Harga Remaja", teks komsas tingkatan 4, begitu jelas dan ringkas tajuknya iaitu "Di Perpustakaan". Namun, di tangan Shafie Abu Bakar, mantan profesor persuratan Melayu UKM, dan kini seorang ahli politik, pemilihan kata (diksi) yang begitu puitis menyebabkan lontaran idea dalam sajak tidak sejelas dan seringkas tajuknya. Unsur perlambangan, walaupun tidak menjadi fokus kajian komsas, menjadi teras kekuatan sajak ini.

Perhatikan rangkap pertama:

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Ke kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati

Penyajak cuba menggambarkan perbezaan yang ketara sebaik sahaja seseorang melangkah ke dalam ruang perpustakaan, iaitu daripada "kehangatan merata" kepada "kedinginan yang menerpa". Penyajak melanjutkan gambaran suasana perpustakaan yang "terlalu hening". Ringkasnya, suasana hiruk-pikuk di luar berubah kepada suasana tenang tenteram di perpustakaan.

Bait "Gua pendeta bersemadi" pada baris ke-6 boleh dianggap sebagai definisi atau takrifan perpustakaan dalam bentuk yang paling konservatif. Gua melambangkan satu lingkungan atau ruang yang eksklusif, pendeta ialah bijak pandai, manakala bersemadi melambangkan pengekalan sesuatu idea atau kebijaksanaan. Maka, perpustakaan merupakan tempat himpunan pemikiran bijak pandai dipelihara.

Dalam keadaan perpustakaan yang senyap sunyi (di puncak sepi) memberi peluang kepada pengunjung memberi tumpuan terhadap pembacaan (kepala-kepala runduk meneliti). Maka, apa-apa yang dibaca dapat diproses oleh otak (Mata dan fikir bersebati).

Jika rangkap pertama ialah gambaran penyajak tentang suasana perpustakaan, rangkap kedua pula memasukkan "aku" (penyajak sendiri) sebagai pengguna buku di perpustakaan.

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya setitik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Setiap satu daripada 15 baris rangkap kedua walaupun amat ringkas, tetapi begitu sarat makna. "Aku" yang maju ke ruang buku berasa begitu kerdil justeru "terapung di laut ilmu". Buku yang diibaratkan sebagai khazanah ilmu yang melaut luasnya menyedarkan "aku" bahawa dirinya tidaklah sehebat mana!

"Aku" seterusnya berasa bahawa walau sekuat manapun dia berusaha, (betapapun kulayari)  tidak mungkin baginya menguasai semua ilmu yang termuat dalam buku-buku di perpustakaan yang menghimpunkan kebijaksanaan zaman-berzaman. "Aku" menyatakan dia hanya mampu mencatat sedikit sahaja ilmu (Hanya setitik dari tinta) dan memperoleh sedikit sahaja kebijaksanaan (Hanya sebiji dari mutiara). Perpustakaan juga disifatkan sebagai warisan peradaban manusia sejak sekian lama.

Rangkap ketiga merumuskan kedudukan "aku" di perpustakaan sebagai seorang "pelayar yang dahaga". Penyajak mengungkapkan:

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak  berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tidak pernah langsai

Kali ini gambaran khazanah ilmu di perpustakaan lebih luas daripada laut, iaitu Di dada samudera, Tak berpantai. "Aku" sebagai pencinta ilmu kini berada di tengah-tengah lautan ilmu (samudera) yang tidak bertepi. Meneguk air laut (masin) pastinya tidak menghilangkan dahaga, bahkan sebaliknya. Maknanya, proses pencarian ilmu tidak pernah menemui noktah..


Tugasan

Soalan petikan:

a)   Berikan maksud Satu pertukaran yang kontras (rangkap 1, baris 2)     (2 markah)

b)   Mengapakah penyajak menyifatkan dirinya kerdil apabila berada di perpustakaan? (3 markah)


Soalan komsas:

c)   Jelaskan dua persoalan dalam sajak.   (4 markah)

d)   Nyatakan empat nilai murni yang dipaparkan oleh penyajak.   (4 markah)


Soalan KBKK

e)   Huraikan dua cara bagi menarik perhatian orang ramai mengunjungi perpustakaan awam.
       (4 markah)

f)    "Kempen membaca hanya akan berkesan jika terdapat kemudahan perpustakaan yang
       mencukupi."
       Terangkan dua alasan anda untuk menyokong atau menolak pernyataan di atas. (4 markah)

Saturday, April 24, 2010

GOTONG-ROYONG HARI GURU JADI ISU? (MORE INCENTIVES FOR TEACHER TO BE ANNOUNCE)

Tanggal 16 Mei tahun ini jatuh pada hari Ahad. Maka, secara rasmi, sambutan hari guru peringkat sekolah akan dilaksanakan pada hari berikutnya, Isnin 17 Mei bersamaan 3 Jamadil Akhir 1431. Kali ini Kementerian Pelajaran Malaysia telah memasukkan aktiviti gotong-royong sebagai  menandakan bermulanya perayaan hari guru di semua sekolah.

Seperti biasa sesuatu idea pembaharuan tidak terlepas daripada cakap-cakap, gosip, hujah dialektik atau perbualan tidak rasmi. Dalam ruangan forum pembaca sebuah akhbar harian telah pun ada pendapat yang mengatakan aktiviti gotong-royong itu patut dikaji semula justeru  diumpamakan sebagai "penderaan" kepada kaum guru menjelang hari istimewa mereka. Pendek kata, guru harus dibiarkan bersenang-lenang sedikit menjelang sambutan setahun sekali itu.

Walau bagaimanapun tidak kurang juga hujah yang menyokong pelaksanaan gotong-royong hari guru. Bagi kelompok ini, sambutan hari guru perlu diraikan dalam persekitaran fizikal sekolah yang bersih dan ceria. Lagipun, gotong-royong yang membabitkan keseluruhan warga sekolah akan mengeratkan lagi interaksi dan permuafakatan yang melambangkan amalan pendidikan yang mendukung jati diri bangsa.

Sebagai mematuhi arahan dan menghormati pembaharuan yang diperkenalkan oleh kementerian, gotong-royong tetap akan dilaksanakan melainkan berlaku perkembangan sebaliknya. Sesekali amalan sukarela perlu disemaikan supaya menjadi kebiasaan. Pihak kementerian juga dapat mengukur komitmen generasi muda pelajar berganding bahu dengan guru mereka menjayakan program satu negara itu.

Selama ini pun kaum guru menyumbang terhadap daya pengeluaran, keselamatan negara dan ketenteraman awam. Kemajuan teknologi tidak dapat menggantikan peranan guru dalam proses penyampaian pembelajaran dan pemupukan nilai murni. Asalkan dihargai, guru Malaysia sentiasa bersedia dengan segala saranan pembaharuan untuk membawa negara ke tahap kecemerlangan yang lebih tinggi.

Khabarnya ada berita baik untuk kaum guru bakal diumumkan. Adakah skim perkhidmatan yang lebih berdaya saing, atau gred perjawatan yang lebih baik? Adakah sebarang insentif diberikan kepada guru yang memiliki ijazah lanjutan sarjana dan Ph.D?

Sebanyak 70 tempat tambahan untuk peringkat sarjana dan 30 Ph.D diperuntukkan di bawah hadiah latihan persekutuan (HLP) cuti belajar bergaji penuh. Buat sementara ini, tawaran biasiswa dihentikan sehingga keadaan ekonomi mengizinkan. Sebelum ini di bawah  HLP, lebih kurang 230 tempat pelajar sarjana dan 70 Ph.D disediakan.

Semasa penulis blog (PB) menerima tajaan HLP, biasiswa bulanan sebanyak RM500 sebulan di samping bayaran penuh yuran pengajian dan beberapa tuntutan lain diberikan. Justeru tidak sampai 10 peratus pemohon yang disenarai pendek untuk temu duga ditawarkan HLP, pemegang biasiswa HLP pernah dicop menggunakan pengaruh "kabel".  Jenuh menangkis secara berhemah, namun stigma itu tetap melekat jua.

Sebagai membuktikan bahawa tanggapan kabel sebagai tidak benar, kebanyakan pemegang biasiswa HLP mesti menunjukkan perbezaan. PB sendiri meletakkan sasaran gred A dalam setiap kursus yang dipilih. Sekurang-kurangnya tajaan HLP terbukti tidak tersalah pilih calon.

Namun, PB memang "tabik spring"  dengan guru yang sanggup berkorban wang ringgit membayar yuran pengajian menggunakan sumber kocek sendiri. Mereka juga terpaksa bersengkang mata menyiapkan tugasan yang tidak putus-putus. Dalam masa yang sama, kerja-kerja di sekolah tidak pernah berkurangan.

Perbelanjaan minimum pengajian peringkat sarjana ialah RM20 ribu. Jika tiada kegigihan, niat suci meningkatkan kelayakan akademik mungkin terbengkalai separuh jalan. Kepercayaan dan sokongan keluarga dalam menghadapi cabaran pengajian, serta sedikit sebanyak godaan persekitaran kampus, sangat didambakan.

Bagi menambah baik profesionalisme guru, peluang memperoleh ijazah lanjutan patut diluaskan. Setakat ini dilaporkan terdapat sejumlah 6,000 orang guru memiliki sarjana, dan 300 orang lagi memiliki Ph.D. Walaupun terdapat suara cemburu mengatakan golongan masters dan Ph.D hanya pandai berteori, kebolehan dan kepakaran mereka dalam melaksanakan penyelidikan tidak seyogia dinafikan.

Guru perakaunan dan teknikal mungkin boleh diberikan opsyen mendapatkan kelayakan profesional seperti ACCA, CA, Ir. dan sebagainya. Guru yang dikenal pasti berbakat dan berpotensi untuk tugas pentadbiran boleh diserapkan dalam skim pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). Dengan itu, kontroversi orang luar menguasai KPM, JPN, PPD dan sekolah akan berakhir.

Guru tidak lagi umpama lilin yang membakar diri untuk menyinari orang lain. Pengamatan Ibnu Khaldun bahawa kaum guru tidak menerima imbuhan yang setimpal juga mungkin berubah. Sama-samalah kita nantikan khabar gembira buat kaum guru...

Friday, April 23, 2010

PEPERIKSAAN MUET STPM BERMULA (MICHAELIAN'S SIXTH FORM FACING MUET EXAM)

Ipoh, Sabtu: 24 April 2010 / 9 Jamadil Awal 1431

Sejumlah 173 orang calon STPM SMK St Michael, Ipoh (SMI) menduduki peperiksaan kertas Muet (Ujian Bahasa Inggeris untuk Universiti di Malaysia). Komponen yang diuji ialah Reading, Writing dan Listening. Ujian Speaking dijadualkan pada 3  Mei ini.
Sebelum memasuki dewan, seperti biasa calon peperiksaan berkumpul di dataran badminton. Guru tingkatan mengambil kedatangan calon dan memastikan mereka beratur mengikut susunan abjad. Kebetulan, hari ini ialah hari ganti persekolahan untuki hari raya puasa dengan menggunakan jadual Isnin.
Gred keputusan kertas Muet diberi bedasarkan skala band. Gred tertinggi yang boleh dicapai ialah band 6. Tahun lalu, hanya seorang calon, iaitu Wong Hon Kit berjaya mencapai band tertinggi berkenaan. Banyak calon yang hanya dipisahkan dengan dua tiga markah terpaksa berpuas hati dengan band 5.
Secara umum, tiket memasuki universiti tempatan ialah pencapaian minimum band 3. Namun, bagi kursus kritikal seperti perubatan, pergigian, farmasi, kejuteraan dan ekonomi, band 4 ke atas memiliki peluang yang lebih baik. Keputusan Muet kali ini dijangka diumumkan pertengahan tahun ini.
Kebiasaannya, calon yang meraih band 3 ke bawah akan mendaftar semula untuk peperiksaan Muet pusingan kedua dalam musim peperiksaan STPM bertulis pada bulan November. Walau bagaimanapun berdasarkan pengalaman tahun-tahun terdahulu, calon yang memperoleh band 4 dan band 5 turut mendaftar sebagai calon mengulang. Yuran yang dikenakan ialah RM 60.

Pelajar masih boleh cuba meningkatkan gred Muet hingga ke band 6 semasa menuntut di universiti kelak. Kepentingan menguasai bahasa Inggeris tidak dapat dielakkan justeru kebanyakan buku rujukan pengajian tinggi ditulis dalam bahasa berkenaan. Kelulusan minimum band 3 juga dijadikan syarat untuk penganugerahan ijazah sarjana muda...

ULASAN BUKU "PANDUAN KEMAHIRAN BELAJAR BUZAN" (BUZAN ORGANIC STUDY TECHNIQUE: A BOOK REVIEW)

Kebanyakan kita pernah menerima pendedahan tentang teknik peta minda. Kaedah berkenaan dicipta dan dipaten oleh Tony Buzan, seorang perunding teknik belajar ternama dunia. Buku versi bahasa Melayu Buzan setebal 190 muka surat diterbitkan oleh Utusan Publications pada tahun 2010 dengan harga RM40.00.
bersambung...

Thursday, April 22, 2010

PANTUN EMPAT KERAT (BUDI) (MALAY POEM ANALYSIS)

Pantun tergolong dalam genre puisi tradisional. Bentuk pantun yang paling luas digunakan ialah pantun empat kerat. Dua baris pertama mewakili pembayang maksud yang bertemakan unsur alam atau kerenah manusia. Dua baris akhir mewakili maksud sebenar yang hendak disampaikan.

Antologi "Harga Remaja", iaitu teks komsas tingkatan 4 menampilkan dua nukilan pantun empat kerat yang bertemakan budi dan jenaka. Pantun Budi diselenggarakan oleh Dr. Anwar Ridhuan (halaman 5) mengandungi 4 rangkap. Pantun Jenaka (halaman 6) pula diselenggarakan oleh Dr. Harun Mat Piah mengandungi lima rangkap.

Pantun Budi menceritakan perihal budi yang baik bakal diingati orang. Selain itu, budi yang baik akan menjadi sebutan orang sepanjang masa. Pada keseluruhannya, budi dikaitkan dengan nama baik seseorang.


Rangkap 1:       Terang bulan terang di paya,
                                   Anak kambing memakan rumput,
                             Jika tak kenang kepada saya,
                                   Nama yang baik tidak tersebut.

Jelas sekali bahawa pemantun mahu dirinya dikenang dengan sebutan nama baik, iaitu budi.

Rangkap 2:        Anak merak mati tersangkut,
                                     Mati dipanah Seri Rama,
                              Resam di dunia juga disebut,
                                      Orang yang mati meninggakan nama.
.
Sekali lagi penegasan tentang nama baik seseorang dibawa hingga ke mati. Budi yang di tabur oleh si mati akan tetap menjadi sebutan.

Rangkap 3:        Anak itik terenang-renang,
                                     Air pasang tenang-tenangan,
                             Budi sedikit bila kan hilang,
                                     Itu menjadi kenang-kenangan. 

Budi, tidak kira sedikit atau banyak tidak akan hilang atau luput daripada kenang-kenangan orang yang pernah menerima budi.

Rangkap 4:                Anak ikan berlima-lima,
                                      Mati ditimpa punggur berdaun,
                              Kasih tuan saya terima,
                                      Sebagai hutang seribu tahun.

Budi dikaitkan dengan kasih sayang. Orang yang menerima budi menganggap dirinya berhutang seribu tahun. Maknanya, hutang budi dikenang sepanjang hayat dan dibawa ke mati.


Tugasan:

a)   Berikan maksud resam di dunia.   (1 markah)

b)   Nyatakan tiga kepentingan budi yang baik terhadap seseorang.    (3 markah)

c)   Jelaskan dua cara anda membalas budi baik seseorang.   (4 markah)


Analisis Tugasan Soalan:

a)   Soalan petikan: memerlukan jawapan ringkas tanpa huraian.

b)   Soalan petikan:  Ambilan isi petikan, tetapi perlu diprosakan mengikut ayat penyata.

c)   Soalan KBKK:  Isi luar petikan, perlu penjelasan tentang dua cara.


Cadangan Jawapan:

a)   Maksudnya ialah adat kehidupan.


b)   Kepentingan budi yang baik ialah menjadi kenangan orang lain, disebut hingga ke mati, dan
       dianggap sebagai hutang oleh si penerima budi.

c)    Saya akan membalas budi seseorang dengan cara mengucapkan terima kasih supaya dia
        berasa dihargai. Selain itu, saya akan berdoa agar orang berkenaan dipanjangkan umur
        dan dimurahkan rezeki.

PERNIAGAAN YANG PALING MENGUNTUNGKAN (THE HIGHEST BUSINESS RETURN)

Urusan jual beli barang dan perkhidmatan memenuhi sebahagian besar jadual kehidupan manusia. Kegiatan pengeluaran, penggunaan dan pertukaran dalam sesebuah ekonomi membabitkan pergerakan fizikal dan kewangan. Interaksi antara pelbagai peringkat pasaran membentuk aliran pusingan pendapatan.

Sesebuah firma yang hendak memulakan proses pengeluaran memerlukan sumber tenaga pekerja (buruh), modal, tapak (tanah) dan pengusaha. Semua sumber berkenaan diperoleh daripada isi rumah. Sebagai balasan, firma membayar upah untuk buruh, dividen untuk modal, sewa untuk tanah, dan untung untuk pengusaha. 

Bayaran yang diterima oleh isi rumah ialah pendapatan. Sebahagian besar pendapatan (biasanya 80 peratus) akan dibelanjakan unttuk membeli barang dan perkhidmatan yang dikeluarkan oleh firma. Aktiviti perbelanjaan ke atas barang dan perkhidmatan dinamai penggunaan.

Baki 20 peratus bahagian pendapatan yang tidak dibelanjakan biasanya disimpan sebagai tabungan. Dalam keadaan biasa pegangan wang tunai di tangan (kecairan) adalah kecil sahaja atas pertimbangan kecemasan, keselamatan dan kemerosotan nilai wang akibat inflasi. Sebaliknya, wang dimasukkan sebagai deposit bank dan institusi kewangan lain seperti Tabung Haji dan koperasi.

Deposit bank akan dibayar dividen sama ada harian, bulanan atau tahunan bergantung kepada jenis deposit yang dipilih. Jika perlu lebih kerap mengeluarkan wang, deposit simpanan (tabungan) menjadi pilihan. Deposit tetap (pelaburan) mempunyai tempoh matang tertentu, iaitu syarat pengeluaran wang yang lebih ketat.

Kepada pendeposit yang mahukan kebebasan dalam melaksanakan urusan pembayaran boleh memilih deposit semasa yang melayakkan mereka membuat arahan pembayaran menerusi cek. Urus niaga menerusi perantaraan cek menjadi "lubuk ciptaan wang" bank perdagangan. Malah jumlah wang terbitan yang digandakan kerap kali melebihi jumlah wang tunai dalam edaran.

Deposit simpanan dan deposit tetap pula digunakan oleh bank untuk aktiviti pinjaman dan pelaburan dengan andaian bahawa pendeposit akan membiarkan sebahagian besar deposit di dalam akaun bank. Pendeposit berharap untuk meraih dividen supaya kemerosotan nilai wang akibat inflasi dapat ditebus kembali.

Isi rumah dan bank juga boleh membeli saham, sijil sekuriti kerajaan, atau bon. Aktiviti ini masih dikategorikan sebagai tabungan kepada pembelinya, dan sebagai alat hutang kepada penjualnya. Hutang yang dibeli pada nilai muka akan dibayar dividen secara tahunan, manakala hutang yang dibeli pada nilai diskaun akan dibayar penuh apabila tempoh matang yang ditetapkan berakhir.

Begitulah pusingan aktiviti ekonomi dan perniagaan. Satu pihak menjual dan satu pihak membeli. Firma membeli sumber yang dijual oleh isi rumah. Isi rumah pula membeli barang dan perkhidmatan yang dijual oleh firma. Peniaga menjual hutang untuk dibeli oleh isi rumah dan bank. Perantara urus niaga moden, iaitu bank perdagangan mengutip (caj) sebahagian wang yang bergerak antara firma dengan isi rumah.

Aktiviti perniagaan berkembang daripada urus niaga kecil-kecilan di belakang rumah hinggalah ke gedung membeli-belah eksklusif, dan secara dalam talian. Tidak kira berciri setempat atau antarabangsa, matlamat utama perniagaan ialah pulangan dalam bentuk untung. Maka, peniaga menjana segala kreativiti untuk mencipta permintaan pasaran menerusi jenama, pembungkusan, penyelidikan, promosi dan khidmat lepas jualan.

Peniaga layak mendapat untung sebagi pampasan kepada kemahiran, masa dan teknologi yang tidak dimiliki oleh pembeli, selain sebagai elaun kepada risiko yang terpaksa ditanggung. Malangnya, terdapat sejumlah besar peniaga yang tidak beretika tergamak memperdayakan pembeli atas kejahilan mereka. Apatah lagi jika peniaga jenis ini yang telah menikmati kuasa monopoli, kawalan sumber dan ekonomi bidangan.

Berdasarkan perspektif ekonomi, pelaburan ialah proses pembentukan modal fizikal tetap (jentera, bangunan, hartanah) untuk meningkatkan daya pengeluaran dan pendapatan masa depan. Tetapi orang awam yang tidak pernah belajar ekonomi secara formal sering menganggap pelaburan sebagai aktiviti menjana pendapatan dengan cepat dan berjumlah besar. Sebab itulah orang ramai lebih tertarik dengan aktiviti ekonomi pasif seperti amanah saham, pembiayaan margin, skim cepat kaya, atau sekadar menjadi pak sanggup upline dan downline dalam kegiatan jualan langsung secara piramid.

Golongan yang menggelar diri mereka pelabur seperti itu hakikatnya ialah kaum pemodal (kapitalis) yang berpegang kepada doktrin "janganlah kita bekerja untuk wang, biarlah wang yang bekerja untuk kita" (money makes money). Membujur lalu, melintang patah. "Belasah" semua asalkan untung besar!

Mereka bukan sahaja telah menyelewengkan konsep pelaburan, malah cenderung untuk menyuburkan amalan riba. Ironinya, mereka turut mendakwa bahawa hanya dengan memiliki sejumlah wang yang banyak, mereka boleh meluangkan lebih banyak masa untuk keluarga, bersantai, melancong dan menyumbang dana untuk aktiviti kebajikan. Berselindung di sebalik alasan itu, mereka akan mengangkat kening apabila corak dan modus operandi "pelaburan" mereka dipersoalkan.

Pada asasnya, aktiviti ekonomi dan perniagaan ialah ibadah yang sangat dituntut. Kekeliruan dan penyelewengan yang berlaku banyak berpunca daripada ketiadaan komitmen terhadap ilmu dan amalan nilai murni. Perniagaan yang terbaik ialah perniagaan yang dapat menyelamatkan seseorang daripada azab yang tidak terperi sakitnya: beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan berjuang di Jalan-Nya dengan harta dan jiwa raga (as-Saf, 61: 10 - 11)...

Wednesday, April 21, 2010

KELAB STAF SMI TERIMA PRESIDEN TERMUDA (NEW FACES OF SMI'S STAFF CLUB LINE-UP)

Ipoh, Rabu: 21 April 2010 / 7 Jamadil Awal 1431

Encik Mohd Shahrol Nizam bin Mat Nor, 24 telah mendapat undian tertinggi, iaitu 70 undi dalam mesyuarat agung Kelab Staf SMK St Michael, Ipoh (SMI) yang dilangsungkan di Dewan Kuliah Utama pada pukul 1.45 petang.  Undian kedua tertinggi (69) diraih oleh Encik Christopher a/l Arulsamy. Dengan demikian, Shahrol diisytiharkan sebagai presiden, sementara Christopher sebagai timbalan beliau.
Sejumlah 11 orang guru telah dicalonkan untuk mengisi kuota tujuh orang ahli jawatankuasa yang diperuntukkan untuk guru. Calon ketiga undian tertinggi menjadi milik Encik Omar bin Ibrahim (63 undi), yang mengisi jawatan setiausaha. Bendahari kelab kini disandang oleh Puan Hajah Fauziah binti Abdullah (62 undi).
Selain usia presiden (dalam perlembagaan kelab disebut sebagai pengerusi), fakta yang tidak kurang menariknya ialah kecuali Encik Omar, ketiga-tiga exco tertinggi kelab dikuasai oleh guru lulusan ekonomi dan perniagaan. Shahrol dari UPSI (2009), Christopher (USM, akhir 90-an), dan Puan Fauziah (UM, 1983). Encik Omar ialah kaunselor pelajar (UPM).
Exco lain yang tersenarai dalam jawatankuasa 2010/2011 ialah Encik Peter Khiew Wai Mun, Puan Roszatul binti Ishak dan Puan Nor Atifah binti Othman. Kesemua mereka bertugas pada sesi petang. Selain itu, Encik Pritam Singh dan Encik Radzuran sekali lagi dipilih mewakili kakitangan bukan guru dalam senarai exco.
Pelantikan Peter Khiew, yang juga wartawan sambilan, serta sebagai blogger rujukan SMI dijangka membawa pembaharuan dari segi penyampaian maklumat kelab staf. Hasrat exco yang lalu agar laman sesawang khusus untuk kelab staf SMI diwujudkan bakal menjadi kenyataan. Hubungan akrab beliau dengan media membolehkan akses publisiti yang lebih luas untuk kelab.
Sebelum pemilihan berlangsung, sesi pembentangan laporan exco 2009/2010 dipersembahkan secara multimedia. Encik Prakas Rao telah mengendalikan mesyuarat agung dengan teratur. Pemangku presiden (penulis blog) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada penaung, penasihat, penaja dan ahli kelab atas sokongan mereka hingga akaun kelab mencatat jumlah lebihan yang memberangsangkan.

Selamat maju jaya Exco Kelab Staf SMI sesi 2010 / 2011...

Tuesday, April 20, 2010

KILAS TANGKIS MENERUSKAN RENTAK KEMENANGAN (BADMINTON FRIENDLY, SMI CLUB: 3, TEKNIK BRASH INVITATION: 1)

Ipoh, Selasa: 20 April 2010 / 6 Jamadil Awal 1431

Kelab Kilas Tangkis yang bernaung di bawah payung Kelab Staf SMK St Michael, Ipoh bertandang ke gelanggang badminton, Dewan Besar Sekolah Menengah Teknik, Persiaran Brash, bersebelahan Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz, atau lebih dikenali sebagai padang polo. Perlawanan yang dijadualkan bermula pukul 9 malam itu tertunda hampir sejam atas sebab teknikal. Namun, akhirnya berkat kesabaran pemain, perlawanan berjaya diteruskan.
Turun membuka gelanggang ialah pasangan Saiful - Shakir menentang ayam tambatan Teknik Brash, iaitu Azmi Yasir (PK HEM) - Amin (PK Tingkatan 6). Perlawanan menggunakan kiraan mata 21 secara terus dan hanya satu set permainan. Pasangan Kilas Tangkis berjaya mengungguli permainan dengan kiraan 21-13.
Beregu Teknik Brash seterusnya ialah pemain jemputan. Kelibat Ustaz Talha, Azmi Yusuf, Ustaz Fazli,Kunji, Miswan dan Nizam tidak kelihatan. Pasangan Azmi Zuki - Ibrahim Ahmad berjaya mengutip mata kedua Kilas Tangkis apabila menewaskan pasangan Mohd Azian dan Hazni 21-12.

Namun, gandingan penulis blog - Badrol "bermurah hati" memenangkan pasangan Jemputan Teknik Brash, Kamal Azmi - Azwan Ahmad yang berlarutan dengan dius 20-22. Badrol menggunakan senjata smash sejak awal perlawanan untuk mengutip mata demi mata. Namun, lawan berjaya memerangkap gandingan Kilas Tangkis untuk melakukan beberapa kesilapan seperti pukulan balas yang tersasar, atau kandas di jaring.
Gandingan mantap Prakas Rao - Shahruzzaman memastikan kemenangan berpihak kepada Kilas Tangkis. Jemputan Brash sekali lagi menurunkan Mohd Azian, tetapi berpasangan dengan Nazri. Perlawanan berlangsung sengit dengan keputusan 21-17.
Tuan rumah yang diketuai Azmi Yasir menjanjikan cabaran lebih sengit dalam perlawanan ulangan yang bakal diatur tidak berapa lama lagi. Pemain utama yang tidak hadir kali ini dijangka akan turun dalam perlawanan berkenaan. Apa-apa pun terima kasih kepada Azmi dan Amin yang sudi menjemput Kilas Tangkis bermain di Teknik Brash...

(nota: tarikh sebenar foto ialah 20.4.2010)

KELAB STAF SMI WADAH PERMUAFAKATAN (SPEECH TEXT OF SMI'S STAFF CLUB ACTING PRESIDENT)

Berikut ialah teks ucapan penuh Pemangku Presiden Kelab Staf, SMK St Michael, Ipoh (SMI) pada mesyuarat agung tahunan bertarikh 21 April 2010 / 6 Jamadil Awal 1431 (Khamis) di Dewan Kuliah Utama, SMI, kira-kira pukul 1.15 petang.

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Selamat sejahtera

Terima kasih saudara pengacara majlis

Yang Berusaha, Encik Phoon Chong Chee, Pengetua SMI, merangkap penaung Kelab Staf SMI, Tuan Haji Tauhid Ahmad bin Haji Shamsuddin, Penolong Kanan SMI, merangkap penasihat Kelab Staf SMI, penolong-penolong kanan, guru kanan, ahli jawatankuasa Kelab Staf SMI, ahli-ahli kelab, tuan puan yang dikasihi sekalian.

Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi, dengan Inayah dan Kurnia-Nya, dapat kita berhimpun bersama-sama dalam majlis mesyuarat agung Kelab Staf SMI buat kesekian kalinya demi meneruskan agenda kecemerlangan pendidikan generasi muda dan demi keunggulan profesionalisme keguruan, khususnya di SMI. Mudah-mudahnya dengan niat kita yang tulus ikhlas, majlis ini akan dilimpahi barakah dan rahmah-Nya jua. Saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan salam daripada Encik Maulid bin Ismail, presiden kelab yang dipilih dalam mesyuarat agung yang lalu.

Sebagaimana yang tuan puan sedia maklum, Encik Maulid telah berjaya dalam permohonan beliau kembali berkhidmat di kampung halaman beliau di Perlis mulai Januari 2010. Tentunya Encik Maulid tiga beranak sedang berbahagia justeru impian untuk menetap di tempat sendiri tercapai. Maka, berdasarkan perlembagaan Kelab Staf SMI, jawatan presiden yang dikosongkan perlu dipangku oleh timbalan presiden hinggalah mesyuarat agung yang berikutnya.

Tuan puan yang dihormati,

Ketika saya mula melapor diri di SMI pada tahun 2005, saya berasa kagum justeru Kelab Staf berjaya ditubuhkan di sekolah ini. Di sekolah saya yang terdahulu, Kelab Staf dikhususkan untuk kakitangan bukan guru, manakala guru bergabung dalam Kelab Guru secara eksklusif. Hakikat ini membuktikan bahawa ikatan setia kawan dan interaksi antara warga kerja SMI lebih baik, lebih menyerlah dan lebih unggul!

Permuafakatan dalam kalangan warga kerja sesebuah organisasi yang besar seperti SMI merupakan elemen penting ke arah mewujudkan persekitaran kerja yang kondusif, menyeronokkan dan berdaya pengeluaran tinggi. Dalam konteks sekolah sebagai organisasi yang memupuk pembelajaran, kepuasan kerja yang optimum dalam kalangan kakitangan akhirnya dipulangkan kepada murid dan pelajar menerusi penyampaian aktiviti pembelajaran yang berkesan, menarik dan menyeronokkan. Ciri kemesraan dan masyarakat penyayang yang terjalin ini akan menjadikan SMI terus disebut-sebut sebagai sekolah cemerlang.

Tuan puan hadirin yang dimuliakan,

Kelab Staf SMI pada asasnya ialah sebuah organisasi yang menggabungkan semua kakitangan SMI untuk berfungsi sebagai wadah kebajikan kakitangan dalam erti kata yang luas. Bagi mencapai tujuan berkenaan, semua ahli berpeluang menggunakan saluran rasmi kelab untuk mengemukakan sebarang saranan, meluahkan perasaan yang terbuku di hati berkaitan dengan hal kebajikan, menyertai aktiviti kelab dan sebagainya. Kelab ini milik tuan puan, bukan eksklusif kepada mana-mana individu.

Presiden, setiausaha, bendahari dan ahli jawatankuasa kelab hanya pemegang amanah bagi membuat keputusan tertentu dan mengelolakan aktiviti berdasarkan peruntukan perlembagaan kelab. Tempoh perkhidmatan AJK luput secara automatik dalam mesyuarat agung kelab tahun berikutnya. Walaupun di sekolah lain berlaku kempen dan lobi merebut jawatan AJK Kelab, di SMI keadaan sebaliknya yang berlaku. Barangkali tahun ini ada perubahan...

Pencalonan AJK Kelab Staf terbuka kepada semua warga kerja SMI, sama ada guru mahupun kakitangan. Memandangkan bilangan ahli yang ramai, sudah menjadi konvensyen tidak bertulis bahawa penyandang jawatan sedia ada direhatkan untuk memberi laluan kepada muka baru. Sesebuah organisasi yang berkesan harus berani menampilkan kelaianan, pembaharuan dan idea-idea radikal dari masa ke masa.

Tuan puan ahli Kelab Staf SMI,

Bagi pihak AJK sesi 2009/2010, saya sukacita merakamkan setinggi penghargaan kepada tuan pengetua, Encik Phoon Chong Chee yang begitu mengambil berat dan sering bertanya tentang perkembangan aktiviti kelab. Begitu juga kepada kepada Tuan Haji Tauhid yang telah sudi membantu dari segi idea, konsep dan sumber tajaan program kelab. Demikian juga kepada semua ahli kelab yang telah memberi sokongan terhadap kelab dengan membayar yuran, selain mengambil bahagian dalam aktiviti yang diaturkan.

Terima kasih juga kepada semua ahli jawatankuasa yang sudi berkorban masa dan bertungkus-lumus dalam menjayakan program kelab sepanjang sesi yang lalu. Kerja-kerja sukarela yang tidak kelihatan itu hanya Allah jua yang membalasnya secara setimpal. Mudah-mudahan sumbangan kalian menyumbang terhadap keberkesanan sekolah sebagai sebuah organisasi yang memupuk pembelajaran.

Kepada Presiden, setiausaha, bendahari dan AJK sesi 2020/2011 yang bakal dipilih sebentar lagi, selamat berbakti demi kebaikan staf SMI, dan demi menyediakan pengalaman dan persekitaran pembelajaran yang kondusif buat generasi muda di SMI.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selamat bermesyuarat...

Monday, April 19, 2010

UJIAN LISAN TINGKATAN 4 BERMULA (THE ORAL TEST BRIEFING)

Ipoh, Selasa: 20 April 2010 / 5 Jamadil Awal 1431

Pelaksanaan Ujian Lisan Berasaskan Sekolah (ULBS) bertujuan membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia mencatat pencapaian yang lebih baik bagi mata pelajaran Bahasa Melayu. Pentaksiran dilakukan oleh guru yang mengajar. Maka, calon diberi peluang supaya dapat mencapai markah tertinggi sepanjang pengajian tingkatan 4 dan tingkatan 5.
Sejumlah kira-kira 100 orang murid kelas 4S3, 4S4 dan 4V2 menjadi kumpulan pertama tingkatan 4 menghadiri taklimat yang disampaikan oleh Puan Hajah Khamsiah binti Muda, penyelaras ULBS di SMK St Michael, Ipoh (SMI). Taklimat yang dimulai pada pukul 8.30 pagi itu memakan masa selama dua jam. Murid diberikan perspektif yang menyeluruh tentang pelaksanaan ULBS yang bakal dimulakan bulan Mei ini.
bersambung...

Sunday, April 18, 2010

DIRGAHAYU DYMM PADUKA SERI SULTAN PERAK (PERAK ROYAL HIGHNESS CELEBRATION: BRO. VINCENT IS NOW A DATUK)

Kuala Kangsar, Isnin: 19 April 2010 (4 Jamadil Awal 1431)

Menjunjung Kasih Sempena Ulang Tahun Keputeraan ke-82 Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah Ghafarullahu-Lah, D.K., D.K.M., D.M.N., D.K.A., Sultan, Yang Di-Pertuan dan Raja Pemerintah Negeri Perak Darul Ridzuan dan Jajahan Takluknya.
Baginda ialah seorang raja yang dikasihi rakyat jelata seluruh Malaysia. Sebelum menaiki takhta, baginda terlebih dahulu meniti puncak kegemilangan dalam bidang keadilan negara apabila menyandang jawatan Ketua Hakim Negara. Selain itu, sumbangan baginda dalam bidang sukan hoki tanah air begitu terserlah apabila menerajui Persatuan Hoki Malaysia sebagai Presiden.

Stadium hoki astroturf di Ipoh mengambil sempena nama baginda. Stadium Azlan Shah menjadi arena utama kejohanan jemputan Piala Sultan Azlan Shah yang diadakan saban tahun, walaupun kadang-kadang dipindahkan ke stadium hoki Bukit Jalil. Kejohanan jemputan itu dianggap sebagai perlawanan ujian antara gergasi hoki dunia seperti Australia, Belanda, India, Jerman, Korea Selatan, Pakistan, dan tidak ketinggalan tuan rumah, Malaysia.

DYMM Sultan Azlan Shah pernah bersemayam di Istana Negara sebagai Yang Di-Pertuan Agong, iaitu kedudukan tertinggi dalam struktur pemerintahan negara. Semua urusan pelantikan awam bermula dari perdana menteri hingga kakitangan awam biasa dibuat atas titah perintah DYMM Yang Di-Pertuan Agong. Keseluruhan pentadbiran yang membabitkan nama Malaysia juga atas perkenan baginda.

Sebagai contoh, kes al-Maunah disebut sebagai percubaan memerangi Yang Di-Pertuan Agong. Kerajaan Malaysia juga disebut sebagai kerajaan baginda. Sebagai raja berpelembagaan, rujukan terhadap Yang Di-Pertuan Agong ditujukan kepada kedudukan, bukan individu peribadi.

Sebagai seorang raja yang memiliki latar belakang akademik yang begitu cemerlang, baginda juga menerajui Universiti Malaya, iaitu universiti terulung negara, sebagai Canselor. Di bawah kepimpinan baginda, Universiti Malaya pernah tersenarai pada kedudukan ke-89 universiti terbaik dunia menerusi penarafan THES (Times Higher Educational Supplement) dan masih bertahan dalam kelompok 200 hingga kini. Anakanda sulung baginda, DYTM Raja Dr. Nazrin Shah juga merupakan Pro-Canselor Kanan Universiti Malaya.

Minat baginda sultan dalam bidang sukan diteruskan dengan aktiviti ekuin dan golf. Baginda sanggup mencemar duli mendampingi rakyat jelata apabila acara kegemaran baginda itu dilangsungkan. Sebagai bekas hakim yang biasa dengan kehidupan rakyat kebanyakan, baginda tidak kekok mengenakan pakaian kasual di khalayak rakyat jelata.

Sebagai ketua agama negeri, baginda berpegang kepada prinsip ketelusan. Walaupun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pihak-pihak tertentu, baginda menggunakan kuasa dan budi bicara yang diperuntukkan dalam perlembagaan untuk mentadbir urusan masyarakat Islam dengan adil dan saksama. Pendek kata, kebijaksanaan baginda memayungi negeri dan kesetiaan rakyat jelata telah menjamin kesejahteraan negeri Perak Darul Ridzuan.

Warga SMK St Michael, Ipoh (SMI) merafak sembah ta'zim setinggi-tinggi tahniah kepada tuanku. Semoga Allah melanjutkan usia tuanku. Warga SMI turut berkongsi kegembiraan apabila Bro. Vincent dikurniakan pingat kebesaran baginda yang membawa gelaran Datuk...

PEMBENTUKAN DISIPLIN ANAK: PERANAN SIAPA? (THE ROLE MODEL OF YOUNGER GENERATION)

Disiplin ialah set tingkah laku positif yang dimiliki seseorang atau sekumpulan orang ke arah pencapaian matlamat tertentu. Disiplin seringkali dianggap sebagai pasangan kembar kepada kejayaan. Tanpa merujuk data penyelidikan pun, anggapan itu mudah dibuktikan. Sejarah tokoh berjaya dan kisah pelajar pintar semuanya berkisar terhadap disiplin diri.

Soalan yang mungkin menarik perhatian penyelidik ialah pihak mana yang lebih dominan dalam proses pembentukan disiplin anak. Ibu bapa, guru, rakan sebaya, media, artis, penulis novel picisan atau siapa? Mungkinkah juga disiplin anak terbentuk berdasarkan perkembangan jasmani, emosi, rohani dan intelek anak-anak itu sendiri?

Sesebuah negara yang berhasrat mencapai status negara maju hendaklah terlebih dahulu berjaya membentuk pemimpin dan rakyat yang berdisiplin. Pemimpin yang berdisiplin berpegang teguh terhadap integriti seperti amanah, bijaksana, cekap, tidak rakus kuasa, tidak rasuah dan tidak makan harta kekayaan negara secara tidak sah. Rakyat yang berdisiplin pula mengimbangi kuasa pemimpin dengan peranan sebagai anggota masyarakat yang mencintai ilmu, menjaga hubungan sesama manusia, hubungan dengan alam sekitar dan hubungan dengan Pencipta.

Secara ideal, peranan membentuk disiplin terletak di tangan ibu bapa. Pakar psikologi percaya bahawa pembentukan disiplin bermula daripada dalam kandungan lagi. Ibu bapa dianjurkan supaya mengamalkan tingkah laku terbaik, di samping melakukan “interaksi” dengan janin di dalam kandungan.

Setelah lahir, anak-anak akan menjalani proses pembelajaran dengan meniru tingkah laku anggota keluarga, terutamanya ibu bapa. Tahap kebergantungan (dependency) terhadap ibu bapa begitu tinggi. Lama-kelamaan, anak-anak yang mengalami perkembangan kognitif (akal) yang hebat mula meningkatkan tahap autonomi dengan keinginan membuat keputusan sendiri. Tahap autonomi perlahan-lahan menggantikan tahap kebergantungan yang mulai menurun.

Apabila tahap autonomi anak kian meningkat, pengaruh ibu bapa dalam pembentukan disiplin anak tidak lagi dominan. Tambahan pula, anak terdedah dengan proses sosialisasi di sekolah apabila berpeluang untuk berkongsi cerita, cita rasa, kecenderungan dan kegemaran sesama rakan sebaya. Guru sebagai pengganti peranan ibu bapa (in loco parentis) di sekolah menerusi kaedah pedagogi yang mantap berkeupayaan membentuk disiplin anak secara lebih holistik dan terarah.

Di samping menghadapi hakikat autonomi anak yang semakin meningkat, ibu bapa moden banyak menghabiskan masa di luar rumah untuk mencari rezeki. Sebahagian besar masa anak dipenuhi dengan aktiviti sekolah dan tuisyen yang digelar oleh orang-orang bandar sebagai pusat jagaan kanak-kanak. Terdapat juga sejumlah besar ibu bapa terpaksa bergantung harap kepada pembantu rumah asing untuk melihat-lihat anak mereka.

Ilmu dan kemahiran keibubapaan turut menjadi faktor kritikal dalam pembentukan disiplin anak. Ibu bapa mungkin mempunyai banyak kesempatan untuk mendampingi anak-anak mereka, namun kejayaan dalam membentuk disiplin anak dihadkan oleh ketiadaan ilmu dan kemahiran yang diperoleh secara formal untuk berinteraksi dengan anak. Pendekatan terlalu tegas, atau terlalu berlembut merupakan dua jenis ekstrem yang menjejaskan pengaruh ibu bapa dalam membentuk disiplin anak.

Masalah sosial remaja dan anak muda hari ini menunjukkan bahawa ibu bapa tidak dapat berperanan dalam pembentukan disiplin anak. Kita patut sedih untuk mempercayai bahawa bilangan penghuni pusat serenti dan pusat perlindungan gadis remaja terus bertambah. Kes-kes ponteng sekolah, lepak, lumba haram, menghisap rokok, minum arak dan pergaulan bebas anak remaja kita memerlukan tindakan drastik.

Kita tidak seyogia menyalahkan ibu bapa atau sesiapa justeru peranan membentuk disiplin anak tidak dapat dipikul dan ditunaikan. Satu dasar peringkat kebangsaan dengan menggembleng segala sumber yang dikenal pasti bagi menyempurnakan tugas mebentuk disiplin anak. Pihak berwibawa mesti menyediakan mekanisme dan persekitaran yang baik supaya tugas membentuk disiplin anak menjadi lebih berkesan...

Friday, April 16, 2010

PENGAKAP KELANA SMI TERIMA PENGIKTIRAFAN (MICHAELIAN'S ROVER SCOUT GOT RECOGNITION)

Pertubuhan pengakap merupakan pilihan popular dalam kalangan pelajar sekolah. Sebagai sebuah pergerakan yang dikenali di serata dunia, aktiviti dan kemahiran yang diterapkan membentuk tahap disiplin dan semangat kesukarelaan yang tinggi untuk semua anggota pengakap. Di Makkah, khidmat pengakap digunakan sebagai petugas yang menyelaraskan laluan sejumlah tiga juta jemaah haji yang melakukan lontaran jamrah.
Pengakap Kelana SMK St Michael, Ipoh (SMI) yang dianggotai sejumlah 25 orang pelajar prauniversiti tingkatan enam atas dikategorikan sebagai sebuah badan pakaian seragam yang sangat aktif dan cemerlang. Di bawah bimbingan Cikgu Shahruzzaman yang juga pesuruhjaya pengakap daerah, serta kepimpinan beberapa orang pengakap raja, pengalaman pembelajaran yang disediakan menjadi pelengkap pakej pengajian prauniversiti tingkatan enam. Pada hari Rabu yang lepas (14 April 2010), sejumlah 18 orang lagi anggota pengakap kelana SMI telah menerima pengiktirafan masing-masing.
Pengakap kelana SMI dikenali sebagai Pengakap Kelana Kumpulan 02 Kinta. Tanda pangkat epolet merah disemat dan disarungkan kepada setiap anggota yang telah memenuhi segala syarat, tapisan dan ujian pengakap kelana. Mereka juga telah diwajibkan menyertai satu perkhemahan khas yang memberi pendedahan tentang ciri-ciri pengakap kelana.
Majlis penganugerahan tanda pangkat pengakap kelana telah dilangsungkan di wisma pengakap SMI. Penolong Kanan Tingkatan Enam, Puan Tan Cheng Choo, dan Puan Hajah Rasidah binti Ismail, juga guru penasihat pengakap kelana, telah diberi penghormatan menyempurnakan majlis. Anggota yang menerima pengiktirafan dan tanda pangkat pengakap kelana telah melonjakkan tahap kepengakapan mereka sebagai pemimpin, serta layak menyertai kegiatan pengakap kelana di seluruh dunia. 
Kejayaan pengakap kelana SMI memang membanggakan. Sebagai kumpulan pelajar tingkatan enam pertama yang menubuhkan pasukan pengakap kelana, mereka boleh dianggap sebagai penanda aras pencapaian kumpulan pengakap kelana SMI seterusnya. Semoga pengakap kelana SMI terus cemerlang dan sentiasa bersedia menabur khidmat bakti...

(Foto ehsan Cikgu Liew Boon Ket. Sila klik foto untuk paparan penuh)

MANUSIA TUAN TEKNOLOGI, BUKAN TEKNOLOGI TUAN MANUSIA (THE ESSENCE OF SCIENCE AND TECHNOLOGY)

 (Artikel sempena Minggu Sains dan Matematik, SMK St Michael, Ipoh. Segala penyataan 
  dan hujah merupakan pandangan peribadi penulis blog, melainkan dinyatakan sebaliknya)

Sains ialah ilmu bagi mengenal dan memahami sesuatu, sedangkan teknologi merupakan aplikasi kepada sains (Prof. Dr. Baharudin bin Ali, UKM:1985). Sebab itu terdapat bidang pengajian yang dipecahkan kepada sains tulen, sains gunaan, sains kemasyarakatan dan sains kemanusiaan. Sains yang digandingkan dengan teknologi merujuk kepada sains tulen dan sains gunaan sahaja.

Kajian sains tulen merangkumi disiplin fizik, kimia dan biologi yang meliputi konsep dan prinsip umum sesuatu hipotesis, teori dan hukum. Sains gunaan meliputi terlalu banyak disiplin, misalnya perubatan, kejuruteraan, seni bina, ukur bahan, nuklear, perhutanan, pertanian, dan marin. Sains tulen menjurus kepada kajian sains sebagai ilmu, manakala sains gunaan merujuk kepada usaha menggunakan segala prinsip sains untuk mencipta cara yang boleh membahagiakan manusia.

Hukum graviti Newton, prinsip ketumpatan air dan kaedah aljebra yang berupa inti pati sains telah dikembangkan untuk kemajuan teknologi pengangkutan dan pembinaan berskala besar. Generasi pascamoden hari ini masih terhutang budi dengan penciptaan lampu elektrik dan telefon oleh Edison dan Bell. Teknologi elektrik dan elektronik, satelit, serta komunikasi jarak jauh telah memungkinkan kemajuan pesat yang sukar dibayangkan oleh generasi dahulu kala.

Manusia hari ini dilimpahi nikmat kemajuan teknologi sehingga kehidupan menjadi begitu selesa, mewah dan selamat. Manusia dapat bergerak pantas, mendiami rumah yang kukuh, memiliki gajet komunikasi dan hiburan yang canggih, serta berpeluang melancong ke segenap penjuru dunia dengan mudah. Umat Islam di Malaysia hanya memerlukan 8 jam untuk tiba di tanah suci Makkah yang berjarak melebihi 8,000 kilometer.

Sekolah juga dilengkapi dengan teknologi jalur lebar berkelajuan tinggi, peralatan multimedia terkini dan kamera litar tertutup. Jurang digital antara sekolah bandar dengan sekolah luar bandar juga semakin mengecil. Di Terengganu, murid tahun 5 dan tahun 6 sekolah rendah dibekalkan dengan e-book secara percuma.

Bidang penjagaan kesihatan, rawatan dan pencegahan wabak penyakit semakin berkembang hari demi hari. Penyakit seperti polio, tibi dan untut boleh dikatakan telah dapat dicegah sepenuhnya, kecuali di negara yang masih mundur seperti di benua Afrika dan Amerika Selatan. Penawar dan vaksin bagi penyakit bawaan air dan penyakit bawaan haiwan sudah banyak ditemui daripada sumber herba yang selama ini digunakan oleh pengamal rawatan alternatif, serta menerusi petua orang tua-tua.

Di sebalik segala kesenangan yang dibawa oleh sains dan teknologi, manusia kadang-kadang alpa untuk meletakkan status teknologi di tempat yang betul. Sebahagian manusia mula menggunakan teknologi demi melangsaikan niat jahat mereka, dan ada sebahagian manusia lain pula terlalu mendewa-dewakan teknogi. Akhirnya, sebahagian manusia hilang kawalan terhadap teknologi, serta tidak lagi menjadi tuan kepada teknologi.

Kegiatan ekonomi misalnya terlalu dikuasai teknologi automasi, jentera dan robot sehingga menyebabkan pengangguran. Masalah sosial dan jenayah akan lebih rumit untuk dibendung. Kekacauan boleh merebak dengan cepat sekali.

Pembebasan gas CFC, karbon monoksida, radioaktif, raksa (mercury), sulfur dan plumbum oleh kenderaan, serta kilang telah mencemarkan udara dengan teruknya. Selain itu, partikel habuk dan racun kimia lain yang terampai di atmosfera berpotensi memudaratkan kesihatan dan kesejahteraan manusia, flora dan fauna. Udara yang disedut bukan lagi barang percuma, justeru bil rawatan terpaksa ditanggung oleh masyarakat menerusi pembayaran cukai.

Pencemaran air juga menakutkan. Sisa toksik, najis babi dan minyak yang sukar diuraikan turut dialirkan ke dalam sumber air seperti sungai, tasik dan laut. Jaminan tentang keberkesanan rawatan klorin, osmosis berbalik dan sebagainya belum dapat dibuktikan secara muktamad.

Getaran dan hingar-bingar kebisingan industri dan kenderaan meningkatkan ancaman pencemaran bunyi. Jiran tetangga yang tidak bertimbang rasa juga membiarkan bunyi gajet hiburan begitu kuat. Ada yang berkaraoke siang malam tanpa menyedari mutu vokal mereka sangat buruk dan menyakitkan telinga sahaja.

Peniaga senjata negara maju seperti Amerika Syarikat, Peranchis, dan United Kingdom memang layak digelar saudagar maut. Ejen-ejen perisikan mereka sengaja menusuk jarum adu domba, membuat provokasi dan mencetuskan huru-hara di rantau lain supaya berlaku peperangan. Dengan itu, mudahlah mereka menjual timbunan senjata di stor kilang senjata mereka.

Negara maju tadi hanya sanggup menjual senjata yang agak usang dan ketinggalan zaman kepada pelanggan yang mereka ciptakan. Apabila negara tauke senjata tadi terlibat dengan krisis ketenteraan, mereka tanpa rasa malu mengeluarkan segala senjata pemusnah kimia, nano dan infra merah untuk menundukkan lawan yang daif. Mereka juga menyekat negara lain, kecuali sekutu subahat mereka, daripada memajukan teknologi nuklear.

Keghairahan memiliki ciptaan teknologi juga digunakan oleh kaum pemodal negara maju untuk memerangkap pemimpin negara mundur dalam belit hutang yang payah untuk dilepaskan. Satu contoh klasik tentang hal itu ialah kisah seorang pemimpin Afrika yang begitu teruja menaiki kereta bagi menggantikan pedati kuda. Dia akhirnya diperdaya oleh keserakahan nafsu sendiri sehingga tanah airnya tergadai kepada penjual kereta yang zahirnya berwajah baik, bercakap lemah lembut dan suka membantu.

Sesetengah negara umat Islam disumbat dengan khayalan kemajuan palsu sehingga seolah-olah kesuntukan masa untuk membina seberapa banyak bangunan pencakar langit, projek mega bandar raya pintar dan rangkaian lebuh raya yang lebar. Bagaikan helang menyambar mangsa, "sang ceti" dan "ah long" yang menguasai bank negara maju dengan segera menghulurkan jerat pinjaman mudah, rejim hutang dan sindiket pembiayaan. Pemimpin negara Islam tega bergelumang dengan riba, kesamaran dan syubhah hanya untuk dilihat gah di mata rakyat.

Sepatutnya sains dan teknologi tidak menjadi sekular dan bebas nilai. Sebaliknya, sains dan teknologi mendekatkan manusia kepada Yang Maha Pencipta. Namun sejarah nestapa kaum intelektual yang dimusuhi oleh tokoh berpengaruh pada zaman silam, diseksa, dipenjara, dan dibakar hidup-hidup, khususnya di Eropah (dilaporkan 300,000 orang jumlahnya), mengakibatkan sains dan teknologi terpisah daripada sebarang bentuk kepercayaan dan nilai.

Kesimpulannya, sains dan teknologi telah menjadi pemangkin perkembangan tamadun dan kesejahteraan hidup manusia. Namun, di tangan orang yang bernafsu kebendaan dan hedonisme, sains dan teknologi bertukar menjadi petaka. Sains dan teknologi perlu menerima sentuhan aqidah, syariah dan akhlak di tangan orang-orang yang beriman...