SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, December 31, 2014

DETIK SEMPADAN TAHUN BAHARU (PREVIOUS ACHIEVEMENT AND THE NEW DEAL)

11.33
Masyarakat kita semakin matang dalam menilai bentuk sambutan tahun baharu. Walaupun masih banyak yang dibuai dengan dunia keseronokan hedonisme, sebahagian besar masyarakat masih berfikiran waras  dengan memilih acara yang lebih menjurus terhadap akal budi insan dan akhlak mulia. Ketika penduduk pantai timur semenanjung berhadapan dengan ujian dan musibah banjir luar biasa, penganjuran beberapa acara yang berunsur hiburan seperti konsert ambang tahun baharu 2015 di Putrajaya tajaan kumpulan Ambank dengan kos hampir RM4 juta telah dibatalkan.

11.40
Hakikatnya lebih banyak pencapaian membanggakan dicatat oleh bidang pendidikan di negara kita. Namun, minat orang ramai dan para amatur lebih tertumpu kepada isu peperiksaan dan pentaksiran. Keterujaan (obsession) pelbagai pihak yang berkepentingan terhadap peratus pencapaian semua A disentap oleh kes kebocoran kertas soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehingga memaksa kira-kira setengah juta calon berusia 12 tahun menduduki semula peperiksaan.

11.46
Barangkali kerana terlalu taasub dengan pencapaian peperiksaan, keputusan PT3 yang diumumkan pada minggu keempat bulan November juga mencetuskan kecaman bertubi-tubi. Golongan tertentu keterlaluan menuduh bahawa selama ini gred peperiksaan yang telah sengaja dimanipulasikan akhirnya terbongkar. Walhal, PT3 tidak seyogia dibandingkan dengan PMR atau SRP kerana instrumen serta item yang ditadbirkan jauh berbeza, selain hanya sebagai sebahagian komponen pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) yang juga ada pentaksiran sekolah (PS), pentaksiran aktiviti jasmani, sukan dan kokurikulum (PAJSK) dan pentaksiran psikometrik (PPsi).

11.51
Ekonomi negara juga berhadapan dengan cabaran pengurusan dasar fiskal dan kewangan. Nisbah hutang isi rumah yang tinggi terhadap keluaran dalam negeri kasar (KDNK)  serta hutang awam yang hampir mencecah nisbah 55 peratus KDNK mendapat perhatian besar. Selain itu, kejatuhan nilai RM, penyusutan hasil Petronas dan kejatuhan harga kebanyakan komoditi utama bakal berlanjutan sebagai isu makroekonomi yang perlu ditangani secara berhemah dan bijaksana.

11.58
Pencapaian ekonomi kaum bumiputera sejak era Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan nampaknya belum selesai. Pencapaian ekuiti 30 peratus belum kesampaian. Kepercayaan terhadap pendekatan tolakan besar (big push) dan kesan menitik ke bawah (trickling down effect) ibarat biasan logam maya (fatamorgana).

12.00
Harapan baharu menjelma lagi. Ralat yang masih ada menandakan keperluan pembaharuan dan penambahbaikan. Perancangan yang terbaik sebagai sandaran.

12.01
Tahun 2014 sudah tinggal sejarah. Kini, tahun baharu 2015 datang menyapa. Marilah bersama kita terus mara menuju puncak jaya.

12.06
Azam tahun baharu 2015 kita mulai dengan muhasabah azam tahun 2014 yang telah pergi buat selama-lamanya. Ada bahagian azam yang lalu patut dikekalkan, atau diubah suai, atau diubah terus atau diganti dengan bahagian azam yang serba serbi baharu. Mudah-mudahan Allah mengurniakan kita nikmat panjang umur dan murah rezeki sepanjang tahun 2015 yang kini di sisi kita ...

CUACA CERAH, PANAS TERIK DI TERENGGANU (POST-FLOOD SITUATION)

Curahan hujan dan mega mendung tiba-tiba sirna sejak awal pagi. Suhu yang dingin semalamnya bertukar kepada panas yang sedikit membahang. Luruan angin monsun yang menuju arah selatan dijangka meletakkan kawasan rendah dan berdekatan lembangan sungai di jajaran pantai timur Pahang dan Johor dalam keadaan waspada.

Walaupun demikian ancaman banjir masih belum berakhir sepenuhnya. Masih banyak laluan utama yang dilimpahi air pasang, air hulu dan lintasan air berarus deras di atas permukaan jalan yang membahayakan pergerakan semua jenis kenderaan. Setakat ini gesaan supaya orang ramai tidak pergi ke pantai timur dan sebaliknya masih dikekalkan sehingga pemberitahuan baharu dibuat.

Dalam slot khas wawancara pascabanjir menerusi Terengganu.fm, Profesor Dr. Mohd Ikhsan, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan Unisza meminta orang ramai terus mengambil langkah berjaga-jaga andai kata gelombang keempat menjadi kenyataan. Beliau turut menyarankan supaya pihak berkuasa membina pusat pemindahan banjir kekal yang lengkap dengan segala kemudahan pengurusan diri yang hyganic, serta patuh syariah khususnya isu mahram. Piawaian kebersihan dan kesihatan dapat mengelakkan kemungkinan wabak penyakit bawaan air.

Beliau juga berpendapat bahawa selain faktor full moon atau perigee, pertembungan antara guna tanah dengan intensiti curahan hujan sebagai punca muatan sungai berlebihan berkali-kali ganda. Kawasan lembangan sungai kini turut menerima projek pembinaan berskala besar. Kawasan tadahan hujan juga terjejas oleh kegiatan pembalakan yang tidak terkawal dan juga penerokaan tanah yang berleluasa.

Profesor Ikhsan bukan bercakap berdasarkan teori semata-mata, sebaliknya bercerita tentang pengalaman benar beliau terperangkap ketika mengunjungi kawasan bencana banjir di Kelantan, serta tersekat di laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT). Beliau mendapati bahawa penggunaan bangunan sekolah dan balai raya sebagai pusat penempatan sementara mangsa banjir sebagai sudah kurang sesuai. Masalah penyediaan makanan berlaku bukan sahaja berpunca daripada terputus bekalan air bersih dan elektrik, bahkan ketiadaan tukang masak bertaraf chef mengakibatkan keperluan ratusan mangsa banjir tidak dapat ditampung.

Perdana Menteri Malaysia yang memendekkan percutian hujung tahun di Hawaii, termasuk acara golf diplomacy dengan Barrack Hussien Obama, presiden Amerika Syarikat, petang tadi berada di Bukit Mentok, Kemaman untuk meninjau keadaan mangsa banjir di sana. Sementara itu, panglima angkatan tentera mengatakan bahawa buat pertama kalinya pihak tentera menggerakkan sekian banyak aset secara besar-besaran untuk tugas membantu dan menyelamat. Timbalan Yang Di-Pertuan Agong pula mengetepikan protokol istana apabila memandu sendiri kenderaan pacuan empat roda, serta dilihat berkaki ayam bagi menolong warga emas yang terperangkap.

Setelah banjir reda sepenuhnya kelak, penderitaan mangsa banjir bakal berlanjutan apabila harta benda termasuk rumah, peralatan dan kenderaan mengalami kerosakan, bahkan ada yang sudah dihanyutkan arus deras. Perasaan sayu, buntu dan risau silih berganti setiap kali mengenangkan punca kewangan bagi memulihkan keadaan, serta hutang yang masih perlu dibayar walaupun harta yang dibeli telah musnah dan tidak terangkum dalam polisi insurans atas alasan Act of God. Asas perlindungan insurans dan takaful mesti termasuk mala petaka alam, tetapi dengan caruman premium yang munasabah.

Cuaca mungkin beransur cerah, awan mendung berlalu pergi, tetapi banjir air pasang dalam bersambung pula dengan banjir air mata walaupun barangkali tidak mampu lagi dizahirkan. Maka, sebagai anggota masyarakat yang prihatin, hendaknya kita semua tidak hanya memandang sambil melafazkan rasa kasihan belas, tetapi tampil menghulurkan sumbangan dalam lingkungan keupayaan masing-masing bagi meringankan beban mangsa banjir. Sumbangan hendaklah disalurkan kepada organisasi yang sah supaya tidak tersilap serah kepada penyangak dan penyamar yang tega menipu atas kesengsaraan orang lain ...

Tuesday, December 30, 2014

UCAPAN SULUNG PERHIMPUNAN MINGGUAN SEKOLAH 2015 (LET'S CONTINUE WITH THE NEW CHAPTER OF LEARNING)

Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam sejahtera dan selamat pagi

Terima kasih pengacara majlis

Guru dan murid yang dikasihi sekalian

Begitulah perjalanan masa. Setiap detik berlalu meninggalkan kenangan dan sejarah. Bersyukur ke Hadrat Ilahi justeru kita masih diberi kesempatan untuk terus melangkah sambil meniti kemaraan yang penuh cabaran dan peluang selagi terdaya. Tahun 2014 telah hampir dua minggu melabuhkan tirainya. Maka, tahun 2015 yang menjelma datang bersama seribu harapan, impian dan kecemerlangan.

Guru dan murid yang dimuliakan,

Kita semua maklum bahawa sesi persekolahan tahun ini telah dianjak seminggu ke hadapan dari tarikh asal. Hari ini, Isnin 12 Januari 2015 bersamaan 21 Rabiul Awwal 1436 Hijriyyah mencatat rekod baharu permulaan sesi persekolahan. Musibah banjir terburuk dalam sejarah telah menguji kekuatan jasmani, emosi, rohani dan intelek semua pihak terutamanya mangsa banjir, pasukan bantuan dan menyelamat serta pemimpin dan masyarakat seluruhnya.

Alhamdulillah, mangsa banjir telah membuktikan betapa mereka berusaha sehabis daya untuk bertahan dalam keadaan yang sangat cemas dan genting. Sebagai masyarakat yang empati, marilah kita menghulurkan pertolongan kepada mereka dalam lingkungan keupayaan masing-masing. Mudah-mudahan kesan trauma yang dialami dan kepayahan bagi menampung keperluan hidup yang penting dapat diringankan.

Sepanjang tahun 2014 yang berlalu juga mencatat episod duka dalam industri penerbangan negara. Ujian yang datang bertimpa-timpa itu diharap tidak bakal melemahkan daya saing negara di persada antarabangsa, bahkan sebaliknya. Kreativiti dalam mengurus krisis dan isu besar sudah pasti menjadi kayu ukur atau penanda aras kritikal ke arah pencapaian status sebuah negara maju berpencapaian tinggi acuan sendiri dalam tempoh lima tahun.

Tuan puan dan anak didik yang dihormati,

Tidak kira peristiwa yang terjadi atau persekitaran baharu yang tiba, kehidupan dan perjuangan hendaklah diteruskan jua. Pembelajaran di sekolah ini bergerak menuju pincak kecemerlangan. Selamat datang kepada murid tingkatan satu sekalian. Gunakanlah segala pengalaman di sekolah rendah dahulu untuk melanjutkan harapan dan impian yang hendak digapai. Gantungkan cita-cita setinggi bintang, tetapi jangan lupakan rumput di bumi.

...bersambung

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

SAJAK 'AKU MEMBACA LAGI' KOMSAS BAHARU TINGKATAN 4 (LOVE YOUR NATIONAL LANGUAGE)

...

...

...

Rangkap 1
          Aku mendongak langit
          membaca garis dan titik
          menaakuli kebesaran-Mu
          di bawahnya gumpulan mega
          hembasan bayu dan banjaran gunung.

...

Rangkap 2
          Kuselusuri alam
          kicauan burung
          desiran ombak dan wajah pelangi
          mewarnai kehidupan umat-Mu.
         
...

Rangkap 3
          Aku mendongak lagi
          membaca langit
          di dalamnya pohon-pohon kayan rapuh
          dahan dan ranting terkulai
          daun-daun berguguran
          helai demi helai
          di lantai tanah airku yang makmur.

...

Rangkap 4
          Aku membaca langit
          kutemui
          bulan dan bintang menangis
          meratapi luka nasib bangsa.
         
...

Rangkap 5
          Aku mendongak lagi
          menitis air mata langit
          membasahi bahasa Melayuku
          yang berdarah.

...

Razali Mohd. Yusof
Dewan Bahasa, januari, 2007
Dewan Bahasa dan Pustaka

PERBINCANGAN

Tema:

Nilai:

Persoalan:

Pengajaran:

Soalan aras petikan

Soalan aras kbkk / kbat

Soalan aras komsas

...

...

...

Monday, December 29, 2014

PROFESOR LULUSAN DALAM NEGARA SEPENUHNYA (THE REASON OF STUDY LOCALLY)

Sebagai anak tunggal dalam keluarga, Michael Khoo tidak ingin berjauhan dengan kedua-dua ibu bapa yang telah lanjut usia. Khoo bersekolah, kemudian belajar hingga ke peringkat doktor falsafah (statistik) di Universiti Sains Malaysia (USM), negeri kelahiran beliau. Khoo bergelar profesor madya pada usia 31 tahun dan profesor (penuh) empat tahun kemudian, iaitu pada tahun 2011 (klik di sini).

Michael Khoo mengulangi sejarah seorang lagi Khoo, iaitu Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim yang memperoleh ijazah asas dan ijazah tinggi dari Universiti Malaya. Cuma, Khoo Kay Kim belajar ijazah asas di Universiti Malaya yang masih belum berpindah dari Singapura ketika itu. Khoo Kay Kim ialah sarjana pengajian sejarah masyarakat Malaysia dan juga penganalisis sukan terkemuka.

Dato' Dr. Awang bin Sariyan, ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) juga memperoleh semua ijazah beliau di dalam negara, iaitu sarjana muda persuratan dengan kepujian dari UKM, sarjana dan doktor falsafah dari Universiti Malaya. Beliau mantan profesor di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya dan Universiti Beijing. Awang Sariyan ialah nama besar dalam bidang linguistik, serta disegani di seluruh dunia.

Sebenarnya sesenarai panjang lagi cendekiawan tersohor memiliki latar belakang seperti mereka bertiga di atas. Contoh seperti mereka sangat penting untuk disebut sebagai penanda aras pengajian tinggi tempatan. Malah, pengajian ijazah lanjutan di Malaysia memang mendapat kepercayaan antarabangsa termasuk dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jepun.

Ijazah asas dan ijazah tinggi di Malaysia diiktiraf di seluruh dunia, setara dengan universiti terkemuka lain. Hasil penyelidikan ketiga-tiga orang profesor yang tersebut telah dibentangkan dalam persidangan akademik antarabangsa dan diterbitkan dalam jurnal akademik yang autentik (refereed journal). Sumbangan mereka dalam proses penggubalan dasar dan kemajuan industri juga begitu bermakna.

Terdapat golongan angkuh yang menganggap pendidikan di dalam negara sebagai tolol (goon) bermula daripada sekolah dengan guru lulusan tempatan yang diajar di universiti juga oleh pensyarah lulusan tempatan. Mereka sebaliknya sangat berbangga dengan ijazah luar negara, apatah lagi jika dari Cambridge, Oxford, Harvard, Yale, Princeton, Berkeley atau MIT. Tidaklah salah untuk berbangga sebagai tanda sayang terhadap institusi pengajian yang tersohor, tetapi agak keterlaluan untuk merendah-rendahkan lulusan institusi pengajian yang lain.

Sebahagian besar pemimpin dan tokoh memperoleh ijazah asas di dalam negara sebelum menyambung pengajian ijazah tinggi di universiti terkemuka luar negara berdasarkan penarafan bidang pengajian tertentu. Banyak pula pemilik ijazah asas, terutama sains dari universiti tempatan terus diterima masuk untuk pengajian doktor falsafah tanpa syarat memiliki ijazah sarjana terlebih dahulu. Mereka hanya berusia 24 tahun apabila menggenggam Ph.D serta mempunyai kesempatan yang panjang untuk meniti puncak kecemerlangan dalam dunia cendekia.

Tidak dinafikan bahawa mereka yang pernah belajar di luar negara memiliki kelebihan tertentu, terutama dari segi pendedahan pengalaman dalam persekitaran negara asing dan pergaulan yang lebih luas. Namun, universiti tempatan juga menjalinkan hubungan strategik dengan universiti tersohor dunia, contohnya UKM dengan Cambridge untuk pengajian undang-undang. Dari masa ke masa terdapat program pertukaran pensyarah dan pelajar antara kedua-dua buah universiti ...

PESAWAT AIR ASIA PULA DITIMPA TRAGEDI (INDONESIAN-BASED AIRCRAFT MISSING)

Tahun 2014 merakamkan tiga episod duka berkaitan dengan syarikat penerbangan milik temapatan. Pesawat MH 370 masih misteri dan belum ditemui walaupanmasa telah berlalu begitu lama. Pesawat MH 17 pula ditembak jatuh di kawasan bergolak Ukraine mengorbankan semua anak kapal dan penumpang.

Pada awal pagi Ahad yang lalu (28 September) ketika negara sedang nestapa dengan musibah banjir terburuk dalam sejarah, pesawat Airbus 320-200 milik AirAsia Indonesia dengan pendaftaran PK-AXC dan nombor penerbangan QZ 8501 terputus hubungan dengan kawalan trafik udara danhilang dari isyarat radar. Juruterbang pesawat telah memohon untuk membelok ke kiri dan meningkatkan ketinggian mencecah 38,000 kaki bagi mengelak awal tebal kumulonimbus pada pukul 7.20 pagi waktu Malaysia. Namun, justeru terdapat enam buah lagi pesawat di laluan yang sama para aras ketinggian berbeza, permintaan itu ditangguhkan.

Setelah empat minit segala komunikasi terputus sepenuhnya. Pesawat membawa 155 orang penumpang: 155 warga Indonesia, 3 warga Korea Selatan dan masing-masing seorang warga Malaysia, Britain, Peranchis dan Singapura. Tujuh orang anak kapal (kru kabin) yang terbabit terdiri daripada dua orang juruterbang, seorang jurutera dan empat orang pramugara/i. Pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Juanda di Surabaya pada pukul 5.35 pagi waktu Indonesia (cepat satu jam berbanding dengan waktu Malaysia) dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Changi, Singapura pada pukul 8.20 pagi.

...

...

...

...

...

KISAH BANJIR SERLAH KEUTUHAN KAKITANGAN AWAM (MERE HONESTY AND INTEGRITY)

Tanpa maksud untuk masuk bakul angkat sendiri atau bajak wangkang, tulisan ini sekadar memberi penghargaan kepada sesama rakan perkhidmatan awam yang sanggup mengutamakan kepentingan umum daripada kepentingan persendirian walaupun mereka sendiri menyimpan gundah gulana di dalam jiwa. Seorang guru di Kemaman berkorban jiwa dan raga demi melaksanakan tugas peperiksaan sehingga hujung nyawa. Para doktor dan kakitangan hospital di Kuala Krai berusaha sedaya upaya merawat pesakit dalam keadaan serba kekurangan dengan hanya bergantung kepada bantuan generator dan bekalan makanan apa adanya.

Arwah Cikgu Nurhayati Sulong yang ditemani suami, arwah Suhaimi dilaporkan sedang menunaikan amanah menanda skrip kertas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila menyedari air naik dengan deras. Beliau dengan cepat meletakkan semua dokumen peperiksaan di tempat tinggi yang selamat, serta memaklumkan hal itu kepada salah seorang anggota keluarga (kakaknya). Peristiwa yang menimpa arwah berdua selepas itu sangat menyentuh perasaan.

Kerajaan negeri Terengganu telah bersetuju mengambil enam orang anak arwah suami isteri yang berusia antara empat bulan hingga 12 tahun sebagai anak angkat (klik di sini). Jabatan Pelajaran Terengganu juga dilaporkan akan memberi penghargaan khas kepada keluarga arwah Cikgu Nurhayati. Sesungguhnya pemergian mereka bakal terpahat pada tinta sejarah pendidikan dengan iringan doa agar mereka damai di sana dalam kalangan insan soleh, amin.

Sementara itu, ketua pengarah kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham bin Abdullah menerusi catatan facebook beliau berkongsi pengalaman beliau menyaksikan sendiri pengorbanan doktor dan kakitangan Hospital Kuala Krai yang bersama pesakit selama lima hari siang dan malam tanpa bekalan elektrik dan air (klik di sini). Kepenatan jelas terbayang di wajah 180 warga Kementerian Kesihatan di situ, tetapi mereka masih bertahan. Nasib keluarga dan harta benda yang ditinggalkan sebelum banjir tidak diketahui khabar berita kerana isyarat telekomunikasi yang turut terjejas.

Kedua-dua kisah tersebut sepatutnya memberi gambaran yang jelas kepada masyarakat akan persekitaran kerja kakitangan awam, serta bukti bahawa sesungguhnya mereka begitu iltizam terhadap ikrar perkhidmatan dan prinsip keutuhan (integriti). Cakap-cakap bahawa kakitangan awam banyak goyang kaki dan curi tulang hanyalah sisi negatif yang mewakili kelompok pinggiran dan terpencil. Bencana alam yang berlaku menunjukkan bahawa kakitangan awam sanggup bergadai jiwa dan raga demi menunaikan amanah yang dipikul bukan sahaja sesama manusia, bahkan lebih penting lagi perintah Allah dan rasul-Nya supaya pekerja tidak akan lari daripada majikan (tugas) walaupun tanpa diawasi secara bersemuka.

Pasukan bantuan dan penyelamat, khususnya anggota bomba dan penyelamat, polis dan tentera juga sanggup meninggalkan rumah yang selesa dan keluarga yang tercinta demi menyahut panggilan tugas berskala krisis. Dalam usaha membantu dan menyelamat mangsa banjir, mereka sendiri tidak terlepas daripada risiko keselamatan diri, bahkan juga risiko kehilangan nyawa. Maka, di samping kepakaran dan input latihan yang dimiliki, mereka secara tuntas bergantung kepada perlindungan Yang Maha Esa jua.

Para cendekiawan dan profesor di menara gading yang memiliki pengamatan yang tajam juga bersengkang mata mentelaah jurnal penyelidikan tentang bencana alam demi lontaran saranan yang jitu, lengkap dan munasabah. Mereka mungkin dianggap berkurung sambil melayan khayalan akademik di kamar berhawa dingin, tetapi secebis buah fikiran bijak pandai yang cermat dan ikhlas mengatasi jutaan pendapat yang tidak teratur dan merentas sempadan zaman. Imbuhan yang dinikmati dari segi kewangan dan kemudahan tidak sehebat pendapatan usahawan berjaya atau ahli ikhtisas yang lain, namun mereka tetap setia dengan rutin kuliah dan penyelidikan kesarjanaan.



Demi kepentingan perkhidmatan atau keperluan awam yang mendesak, cuti kakitangan awam boleh dibekukan pada bila-bila masa. Sebagai insan biasa, di dalam hati kakitangan yang terbabit mungkin terlintas perasaan yang tertentu, tetapi mereka tidak sampai hati untuk berlaku ingkar dengan mencipta seribu satu alasan. Mereka akur bahawa sudah rezeki mereka dalam perkhidmatan awam yang dibayar imbuhan emolumen atas terma rujukan tugas yang telah ditandatangani.

Kini, orang ramai boleh berharap bahawa kakitangan awam di negara kita berpegang kepada prinsip kecemerlangan dalam perkhidmatan. Khilaf dan kekurangan mungkin berlaku dari masa ke masa, tetapi proses pembaharuan dan penambahbaikan tidak pernah diabaikan. Tambahan pula, nurani kakitangan awam dibimbing menerusi kepintaran individu dan kumpulan dalam sebuah entiti besar yang sentiasa diperhatikan oleh semua pihak yang berkepentingan.

Sekelumit sanjungan terhadap kakitangan awam sebentar sahaja ini tidak melekakan kita bahawa musibah banjir belum berakhir. Gandingan antara semua pihak sama ada cerdik pandai, dermawan, kakitangan awam, pemimpin politik dan sosial, pertubuhan sukarela mahupun masyarakat kebanyakan sudah pasti memudahkan proses bantuan dan menyelamat terhadap mangsa banjir. Semoga Allah memberi ganjaran yang tidak terhingga kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam menangani keperluan mangsa bencana alam yang sedang melalui ujian yang berat itu secara berjemaah, amin ...

Sunday, December 28, 2014

SESI PERSEKOLAHAN 2015 DITUNDA SEMINGGU DI SELURUH NEGARA (TAKING ACCOUNT FLOOD IMPLICATION)

Kementerian Pendikan KPM) mengumumkan bahawa sesi persekolahan baharu dianjak seminggu ke hadapan berikutan musibah banjir luar biasa yang melanda negara, khususnya di pantai timur semenanjung. Siaran serta-merta KPM itu ditandatangani oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan. Sehingga kini jumlah mangsa banjir yang berada di pusat pemindahan sudah melepasi angka 200 ribu orang, iaitu catatan tertinggi dalam sejarah bencana alam di Malaysia.

Berikut di bawah salinan asal siaran KPM yang dimaksudkan:

#Untuk Siaran Serta Merta

KENYATAAN MEDIA
YAB MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

PENGUMUMAN PENANGGUHAN TARIKH BERMULA
SESI PERSEKOLAHAN TAHUN 2015 AKIBAT BANJIR

Sepertimana semua pihak sedia maklum bahawa banjir yang sedang melanda negara sekarang masih berterusan khususnya di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Sehingga pada tarikh 28 Disember 2014, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati sejumlah 340 buah sekolah daripada tujuh buah negeri terlibat dengan banjir, sama ada dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau sekolah tersebut ditenggelami air akibat banjir.

Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat memahami dan mengambil berat akan kesukaran yang bakal dihadapi oleh semua pihak termasuk pengurusan sekolah, guru-guru, ibu bapa dan murid-murid sekiranya persekolahan bagi tahun 2015 dibuka seperti dijadualkan iaitu pada 4 Januari 2015 (bagi negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor) dan pada 5 Januari 2015 bagi negeri-negeri lain.

Sehubungan itu, sukacita dimaklumkan bahawa KPM dengan ini bersetuju untuk menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara bagi tahun 2015 selama seminggu. Dengan penangguhan ini, tarikh baru sesi bermula persekolahan tahun 2015 bagi  negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor adalah pada 11 Januari 2015 (Ahad).  Manakala bagi negeri-negeri lain akan bermula pada 12 Januari 2015 (Isnin).  Penangguhan ini juga dibuat setelah mengambilkira;

a) Sekolah-sekolah yang terlibat sama ada sebagai PPS atau ditenggelami air akan mengambil masa untuk dipulihkan; dan

b) Keadaan guru-guru, ibu bapa dan murid yang menjadi mangsa banjir serta serba kekurangan perlu mengambil masa untuk pemulihan dan membuat persiapan persekolahan mereka.

Sekiranya keadaan banjir tersebut pulih, maka pihak pengurusan sekolah hendaklah menggunakan tempoh tersebut untuk mengadakan gotong royong pembersihan kawasan sekolah masing-masing bagi memastikan anak-anak kita dapat belajar dalam keadaan selamat, selesa dan sempurna.

Terima kasih.


Tan Sri Muhyiddin Hj Mohd Yassin
Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pendidikan
29 Disember 2014

Hakikatnya bukan sahaja murid, guru dan keluarga yang menetap di kawasan terjejas banjir sahaja terbabit, bahkan mereka yang balik kampung juga terperangkap kerana kebanyakan laluan perhubungan darat telah terputus.

...

...

...

...

...

PANTAI TIMUR HAMPIR TERPUTUS HUBUNGAN DARAT (YEAR-END TOUGH DRIVING)

Maklumat yang diperoleh sebentar tadi (menjelang tengah malam) mengesahkan laluan Paka masih ditenggelami air. Kawasan masjid di Kampung Nyior mencatat bacaan kedalaman air pasang setinggi 1.5 meter. Penduduk terjejas sudah pun diarahkan berpindah.

Kenderaan dari arah Dungun akan ditahan oleh petugas sukarela di Air Hitam serta diberikan pilihan laluan. Mereka boleh berpatah balik dan menuju Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan keluar semula di Kertih sebelum meneruskan perjalanan ke Chukai. Walaupun daerah Kemaman disahkan kritikal, banyak laluan alternatif disediakan.

Jika hendak cepat dan tidak mahu menambah jarak perjalanan sepanjang 40 kilometer, perkhidmatan lori pengangkut kereta (macam feri) disediakan dengan bayaran antara RM60 hingga RM80. Namun, kenderaan pacuan empat roda seperti Hilux dan Triton masih dibenarkan mengharungi air pasang di situ atas tanggungan risiko sendiri. Seronok juga kalau dapat naik 'feri' sambil mengambil gambar atau video sebagai pengalaman unik sekali seumur hidup.

Sementara itu, kilometer 126 LPT dilaporkan masih ditenggelami air, serta ditutup kepada semua kenderaan. Maksudnya, LPT tidak boleh digunakan dari kedua-dua arah. Sebagai pilihan, pihak Jabatan Kerja Raya mencadangkan laluan seperti carta di bawah:
sumber: whatsapp

Perjalanan dari Dungun ke Kuala Lumpur yang biasanya mengambil masa lima jam kini berganda. Sebuah keluarga yang bergerak kira-kira pukul dua petang masih terperangkap dalam kesesakan jalan raya menuju Kuala Pilah. Masing-masing menahan lapar  kerana semasa dihubungi sudah melepasi pukul sepuluh malam (akhirnya berjaya tiba di rumah pada pukul empat pagi setelah menempuh perjalanan yang sukar, termasuk menyaksikan lima kejadian kemalangan, satu daripadanya membabitkan bas ekspres dua tingkat Sani).

Persiapan perjalanan dalam musim banjir sudah tentu berbeza. Misalnya, keadaan kenderaan yang 'tip-top', bekalan makan minum tersedia dan sentiasa memastikan tangki minyak diisi penuh setiap kali berpeluang berbuat demikian demi ternampak stesen minyak di hadapan. Seisi penumpang kenderaan diajak berdoa sebagaimana di bawah:
sumber: whatsapp

Sementara itu sarjana geologi, Profesor Dr. Ibrahim Komoo yang juga naib canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menyifatkan banjir kali mungkin yang terburuk dalam tempoh ratusan tahun. Beliau menggesa perancangan yang lebih rapi berdasarkan data curahan hujan dan profil kawasan berisiko banjir. Tindakan secara ad hoc dan sukarela perlu diganti menerusi persediaan tuntas kepakaran apabila berlaku banjir skala besar seperti sekarang.

Pengalaman mangsa banjir memberi iktibar yang sangat berguna tentang musibah yang boleh menimpa sesiapa sahaja. Bayangkan mereka yang terpaksa lari ke bukit sehelai sepinggang tanpa bekalan makan minum, malah terpaksa berdakapan beramai-ramai ketika curahan hujan lebat, kegelapan dan kesejukan. Mereka hanya mampu pasrah dan berdoa agar dapat bertahan tanpa memikirkan lagi tentang harta benda yang sudah ditenggelami air sepenuhnya ...

GURINDAM DUA BELAS (Fasal Yang Ketiga) KOMSAS BAHARU TINGKATAN 4 (ANATOMY AND BEHAVIOUR)



...

...

...

Rangkap 1
          Apabila terpelihara mata,
          Sedikitlah cita-cita.
...

Rangkap 2
          Apabila terpihara kuping,
          Khabar yang jahat tiadalah damping.
...

Rangkap 3
          Apabila terpelihara lidah,
          Nescaya dapat daripadanya faedah.
...
Rangkap 4
          Bersungguh-sungguh engkau memeliharakan tangan,
          Daripada segala berat dan ringan.
...

Rangkap 5
          Apabila perut terlalu penuh,
          Keluarlah fiil yang tiada senonoh.
...

Rangkap 6
          Anggota tengah hendaklah diingat,
          Di situlah banyak orang yang hilang semangat.
...

Rangkap 7
          Hendaklah peliharakan kaki,
          Daripada berjalan yang membawa rugi.
...

PERBINCANGAN

Tema

Nilai    

Persoalan

Pengajaran

Soalan aras petikan

Soalan aras kbkk / kbat

Soalan aras komsas

Panduan belajar gurindam

Saranan untuk kegiatan pembelajaran di bilik darjah

...

...