SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, August 31, 2014

DI SINI LAHIRNYA SEBUAH CINTA: MEMUPUK JATI DIRI RAKYAT (MEANINGFUL MELANCHOLY)

Ayat pertama dalam lirik lagu 'Warisan' dendangan Allahyarham Sudirman Haji Arshad diangkat sebagai tema sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-57. Angka 57 pula dianggap istimewa justeru laungan merdeka bergema pada tahun 1957. Semangat cinta akan negara atau patriotik merupakan titik tolak pemupukan jati diri rakyat secara tuntas agar berupaya menghadapi kepesatan perubahan persekitaran yang rencam.

Tanggal 31 Ogos 1957 diisytiharkan sebagai hari kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, diikuti dengan proses kemasukan Sabah dan Sarawak pada tahun 1963 dan perpisahan Singapura pada tahun 1965. Hari Malaysia ditetapkan pada tarikh 16 September 1963. Namun, 31 Ogos 1957 telah diwartakan sebagai tarikh rasmi kemerdekaan negara, serta telah diterima sebagai benar dan sah.

...

...

...

...

...

...

...

...

Saturday, August 30, 2014

LOKASI KONTROVERSI DI BANDARAYA IPOH (BRIDAL MEMORIES)

Benarkah bandaraya Ipoh menjadi pilihan golongan pesara? Benarkah Ipoh harus menunggu Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah dipindahkan sebelum boleh membina bangunan pencakar langit? Benarkah daya tarikan pelancongan bandaraya Ipoh kurang mengancam?

Tinggalkan sahaja persoalan di atas kepada golongan pengkaji dan penulis amatur kerana tulisan ini bakal menjengah sisi Ipoh yang berlainan daripada biasa (klik di sini). Peristiwa model pengantin dengan sesi penggambaran yang tidak peka dengan sensitiviti masyarakat hingga disabitkan kesalahan di mahkamah tersebar ke seluruh negara dan warga maya sejagat. Dua pilihan raya umum yang terkini juga membawa pelbagai cerita politik yang masih diperkatakan.
Apakah yang dilakukan oleh pemuda berpakaian Melayu lengkap dengan tengkolok sekali dalam gambar di atas? Kelihatannya dia hendak melintas jalan yang sibuk di seberang kedai buku Mubaruk yang menjadi tumpuan warga Ipoh. Dia macam baharu selesai suatu urusan di celah-celah deretan kedai lama bijih timah di situ.

Pokok yang dibiarkan tumbuh di tepi dan hadapan kedai seolah-olah mahu memberitahu betapa bangunan yang tersergam telah wujud sejak sekian lama. Tingkap usang, warna cat yang kian pudar dan label perniagaan yang senget juga mengukuhkan andaian itu. Persekitaran silam di tengah kemajuan bandaraya Ipoh sesuai untuk lokasi penggambaran filem cereka dan dokumentari.


Andai kata, pada hari yang tertentu hanya basikal, beca dan kereta lama sahaja dibenarkan lalu di kawasan berkenaan, maka suasana zaman kegemilangan bijih timah akan muncul semula. Jika Melaka Bandaraya Bersejarah berjaya diwartakan sebagai tapak warisan oleh Unesco, mengapa tidak Ipoh? Sebuah muzium hidup dapat dijelmakan secara berjadual.
Jawapan kepada pelakuan pemuda Melayu bertengkolok tadi terserlah apabila melewati lorong sempit di atas. Rupa-rupanya banyak orang keluar masuk. Terdapat beberapa orang jurukamera yang merakam gaya pengunjung yang sanggup membayar harga yang ditetapkan.

Di pertengahan lorong itu terdapat sebuah pentas yang sederhana, tetapi mempunyai latar belakang lukisan grafiti yang barangkali istimewa pada pandangan sekian ramai pengunjung. Mungkin juga kedai fotografi tertentu menawarkan pakej penggambaran yang sengaja digembar-gemburkan. Segalanya barangkali dan mungkin, hanya belum sah secara tuntas.

Jalan Iskandar Shah berjiran dengan masjid negeri, stesen kereta api, ibu pejabat polis kontinjen negeri, padang Ipoh (Ipoh Padang?) dan SMK St. Michael. Pengantin bertengkolok dan rombongan tadi kemudian diperhatikan beredar untuk meneruskan sesi penggambaran di kawasan stesen kereta api. Ipoh tidak sepatutnya bergantung kepada peristiwa gempar, tetapi rancangan promosi yang mantap ...

Friday, August 29, 2014

Thursday, August 28, 2014

BERAS BASMATHI DARI PUNJAB, PAKISTAN (PSYCHOLOGICAL PRICING)



Program rasionalisasi subsidi turut membabitkan harga beras yang bukan lagi dkategorikan sebagai barang kawalan sepenuhnya. Hanya beras hancur 15 peratus yang dikeluarkan khas oleh Beras Nasional (Bernas) masih dijual dengan harga subsidi, iaitu RM17.00 bagi 10 kilogram. Walaupun demikian, beras edisi terhad itu masih sedap dimakan, kata seorang pengguna yang sempat ditemui.

Kebanyakan beras lain yang tidak diletakkan di bawah kawalan dijual pada harga dua atau tigakali ganda. Beras mewah pula dibungkus dalam timbangan lima kilogram dan dijual pada harga RM25.00 ke atas. Bungkusan beras berkenaan memang cantik dan keterangan asal beras juga mampu meyakinkan pengguna yang memiliki kuasa beli.

Beras yang berasaskan kesihatan seperti beras organik, beras herba, beras perang dan sebagainya juga dijual pada harga yang lebih kurang sama. Malah, pek beras kesihatan bersaiz lebih kecil, iaitu hanya satu kilogram dengan harga yang boleh mencecah RM10.00. Bagi pesakit yang disahkan menghidap darah tinggi, gout, kencing manis atau kolestrol tinggi, beras mahal dan mewah itu sebahagian proses pengubatan dan rawatan.
Bagaimanakah dengan beras basmathi yang biasa digunakan untuk masakan nasi beriyani? Harga senarai sekampit beras seperti di atas ialah RM54.90, tetapi dijual dengan harga RM36.90 untuk lima kilogram. Sebagai perbandingan, harga yang dikenakan setara dengan 20 kilogram beras subsidi Bernas yang disebut pada awal tulisan ini.

Beras basmathi import dari wilayah Punjab, Pakistan dikatakan hanya ditanam di kawasan pergunungan Himalaya yang memperoleh sumber air glasier. Persekitaran yang bebas daripada pencemaran berat di situ membezakannya dengan beras biasa yang lain. Tekstur beras juga lebih panjang, aroma yang harum dan cepat mengenyangkan apabila nasi dimakan walaupun dalam kuantiti yang sedikit.

Nasi yang ditanak daripada beras basmathi juga sesuai untuk hidangan biasa, bukan sebagai nasi beriyani atau nasi lemak istimewa. Pengambilan hidangan nasi dalam kuantiti yang sedikit tetapi mengenyangkan itu juga bererti tidak berlaku pembaziran dari segi perbelanjaan. Harganya mungkin empat kali ganda lebih mahal, tetapi tempoh menghabiskannya pula empat kali lebih lama.

Seperti kebanyakan jenama mewah (melebihi keperluan asas), beras basmathi sengaja dijual pada harga diskaun, iaitu lebih murah daripada harga senarai. Kalau pakaian dan kasut dijual pada harga diskaun 50 peratus pada hari biasa dan ditambah lagi potongan sebanyak 20 peratus pada musim promosi, demikian juga dengan beras basmathi dan beras kesihatan yang lain. Hal itu memang lumrah sebagai taktik jualan, justeru mana mungkin peniaga sengaja mahu menempah kerugian.

Melengkapkan lagi taktik diskaun ialah harga psikologi yang bertujuan memancing kecenderungan pengguna untuk membayar harga yang lebih murah. Tingkat harga RM54.90 (bukan RM55.00) atau RM36.90 (bukan RM37.00) ialah contoh psikologi harga yang menjadi amalan jualan sekian lama (klik di sini, di sini, di sini dan di sini). Kajian tentang psikologi harga merupakan antara isi kuliah pengenalan pengajian perniagaan di peringkat prauniversiti ...

Saturday, August 23, 2014

NILAI-NILAI ISLAM DALAM PROSES PEMBANGUNAN DI MALAYSIA (UPHOLD SACRED PRINCIPLES)

Nilai Islam bermaksud segala sesuatu yang telah Allah tetapkan sebagai baik, benar dan berguna. Sumber rujukan nilai Islam ialah al-Quran, al-Sunnah, ijmak, qiyas, masalih mursalah, uruf dan ijtihad. Terdapat nilai-nilai yang tetap dan nilai-nilai yang berubah.

Banyak kitab terkenal dan muktabar telah dikarang oleh para ulama sejak zaman-berzaman tentang urusan ekonomi umat Islam. Antara rujukan klasik yang sering menjadi sandaran ialah al-Ahkam al-Sultaniyyah, karya al-Mawardi. Walaupun demikian, perbincangan khusus tentang pembangunan lebih banyak dilakukan oleh sarjana mutakhir seperti Kurshid Muhammad dan Monzer Kahf.

Pembangunan ekonomi mengikut aliran ekonomi positif ialah proses meningkatkan pendapatan per kapita sesebuah masyarakat secara berterusan dalam jangka panjang. Ekonomi positif bersifat bebas nilai (value free) dan bertentangan dengan ekonomi normatif yang bersandarkan nilai (value judgement). Namun, aliran ekonomi positif masih menjadikan matlamat kebajikan sebagai teras penghujahan dalam konteks tiga kegiatan asas ekonomi, iaitu penggunaan, pengeluaran dan pertukaran (agihan).

Pendapatan per kapita ialah pendapat purata tahunan bagi setiap orang penduduk bagi sesebuah negara. Pendapatan per kapita menjadi ukuran kemakmuran sesebuah negara walaupun bersifat agregat, yakni tidak menggambarkan perkongsian kek kekayaan negara yang sebenar. Model Pareto (20:80) cuba menjelaskan betapa 20 peratus golongan kaya menguasai 80 peratus kekayaan, manakala 80 peratus golongan sederhana dan miskin berebut 20 peratus kekayaan yang masih berbaki.

Jurang pendapatan antara pelbagai golongan dalam sesebuah ekonomi boleh diukur menerusi keluk Lorenz dan pekali Gini. Jurang agihan yang ketara bukan sahaja berlaku antara golongan yang berlainan (intergroup), tetapi juga dalam golongan yang sama (intragroup). Maka, sistem pasaran yang bergantung kepada mekanisme harga dan keseimbangan cuba diimbangi dengan pelbagai langkah campur tangan kerajaan, terutama menerusi dasar-dasar makroekonomi.

...

...

...

...

...

(bersambung)

Monday, August 18, 2014

MOTIVASI PEPERIKSAAAN: KEPEKAAN TINGGI RAHSIA PELAJAR BERPENCAPAIAN CEMERLANG (HOW TO COMPLIMENT YOUR INTTELIGENCE)

Pelajar yang dikasihi,

Peperiksaan dan pentaksiran bertujuan untuk memisahkan pelajar yang cemerlang dengan pelajar sederhana dan berpencapaian rendah. Sudah sekian lama kaedah peperiksaan (exam oriented) dianggap sebagai tidak cukup adil justeru instrumen pengukurannya ditadbirkan dalam tempoh yang begitu terhad di dewan peperiksaan. Pembantah dan pengkritik sistem peperiksaan awam berpusat percaya bahawa pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) secara berterusan memiliki tahap kesahan dan kebolehpercayaan yang lebih signifikan.

Hakikatnya, apa-apa jua sistem pengukuran dan penilaian pembelajaran tetap berguna walaupun sudah pasti tidak sunyi daripada kekurangan yang tertentu. Di negara kita sendiri, pelaksanaan PBS telah mengalami penambahbaikan, misalnya dengan pengenalan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) sebagai ganti kepada Penilaian Menengah Rendah (PMR). Namun demikian, peperiksaan awam berpusat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) masih dikekalkan justeru sudah begitu mantap dan diiktiraf sebagai syarat kemasukan ke institut pengajian tinggi di dalam dan di luar negara.

Slot kali ini akan memberi tumpuan terhadap peperiksaan sumatif, sama ada peringkat dalaman sekolah (ujian bulan, pertengahan tahun dan percubaan) atau peperiksaan awam berpusat. Selalunya, tanpa dirancang, pencapaian pelajar secara keseluruhannya cenderung kepada bentuk taburan lazim (normal distribution), iatu berbentuk loceng: 5% - 20% gagal, 15% - 25% lulus biasa, 50% sederhana dan 5% cemerlang. Hal itu selaras dengan proses pembinaan item soalan yang berpandukan prinsip keakuran, indeks diskriminasi, dan jadual penentuan ujian berasaskan aras kesukaran yang pelbagai.

Pelajar yang dimuliakan,

...

...


...

Pelajar yang dirahmati,

...

...

...

Pelajar yang bijaksana sekalian,

...

...

...

Pelajar yang dihormati,


...

...

...

Kesimpulannya, 

Saturday, August 16, 2014

PENGALAMAN TEMU DUGA KE JEPUN (THE TRUTH ABOUT HONESTY)

Ribuan pemohon dari seluruh negara bersaing bagi merebut tempat yang sangat terhad di bawah program hadiah lawatan ke negara matahari terbit yang terkenal dengan ungkapan seperti arigato hait dan sayonara. Pemohon dicalonkan oleh majlis belia setiap negeri. Saringan peringkat pertama ialah penulisan esei tentang sebab mahu mengikuti program berkenaan.

Hanya 100 orang pemohon disenarai pendek, termasuk penulis blog (PB) untuk panggilan temu duga di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kuala Lumpur. Semua calon diberikan taklimat terlebih dahulu tentang konsep, objektif dan pengisian program. Hadiah lawatan selama sebulan yang merangkumi prefacture (macam negeri) utama ditaja sepenuhnya oleh kerajaan Jepun sebagai sebahagian 'ganti rugi' penaklukan mereka terhadap Tanah Melayu semasa perang dunia kedua.

Calon dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk penilaian akhir oleh pegawai tinggi JPA yang merupakan pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) kanan yang barangkali sudah biasa ke Jepun. Ada soalan yang perlu dijawab seorang demi seorang dan ada juga yang terbuka kepada calon yang ingin menonjolkan diri. Sambil itu diterangkan juga tentang iklim Jepun yang sentiasa berangin dan dingin.

Soalan pertama tentang simulasi penerangan tentang kemajuan ekonomi Malaysia kepada orang Jepun. Sebagai siswazah ekonomi, dari segi fakta dan hujah memang tiada masalah, tetapi nampaknya penyampaian secara bersahaja, mudah dan santai dikira sebagai terbaik. Maka, data tentang R & D misalnya tidak begitu menarik perhatian pegawai penemu duga, seorang wanita.

...

...

...

...

...

...

Tuesday, August 12, 2014

SIKAP MALAS YANG POSITIF? (WISHING VS CURSING)

Terdapat sejumlah perkataan berbisa yang boleh menjadi 'racun' dan ancaman terhadap kemajuan dan proses membuat keputusan. Perkataan 'malas' ialah satu contoh yang agak jelas. Dari sudut negatif, malas menjadi sutu stigma yang menghalang seseorang atau sekumpulan orang untuk melakukan sesuatu

...

...

...

...

...

...

...

Sunday, August 10, 2014

SOALAN BERKEMUNGKINAN EKONOMI MALAYSIA STPM (LEARNING OUTCOME BASED)

Dokumen utama pembinaan item soalan peperiksaan ialah sukatan pelajaran. Bahagian penting sukatan pelajaran pula ialah hasil pembelajaran (hp). Boleh dikatakan semua buku teks Ekonomi Malaysia memaparkan hp sama ada di sebelah kanan atau kiri muka surat permulaan sesuatu subtajuk.

Buku latihan, modul soalan topikal dan kertas spesimen peperiksaan juga didapati menyedari hal berkenaan. Maka, pelajar prauniversiti tingkatan 6 sudah boleh merancang latihan kendiri dengan merujuk keperluan setiap hasil pembelajaran. Memandangkan setiap satu soalan esei hanya memperuntukkan 6 markah, calon hendaklah mengehadkan isi jawapan sebanyak 3 sahaja, serta huraian yang berpatutan dalam tempoh 9 minit sahaja.

Peperiksaan bukan sahaja tentang jumlah fakta yang dikuasai atau aplikasi teori, tetapi lebih kepada kebijaksanaan calon menulis kesemua jawapan yang dikehendaki (menepati tugasan soalan) dalam tempoh masa yang ditetapkan. Calon mesti bijak memperuntukkan masa menjawan sejajar dengan peruntukan markah. Maka, ujian masa yang kerap bakal membantu calon beroleh kecekapan dalam merancang dan menulis jawapan yang lengkap.

Kecekapan yang dimaksudkan ialah ketepatan dalam mengenal pasti tugasan soalan berasaskan kata kunci ayat soalan.

...

...

...

...

...

...

Tuesday, August 5, 2014

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN APLIKASI 'WHATSAPP' (FINGERTIPS FOLK HEDONISM)

Komunikasi jarak jauh dalam masa sebenar bertambah rancak menerusi kemajuan teknologi telefon pintar bersama capaian tanpa wayar yang lebih canggih, luas dan lancar. Penggantian teknologi analog kepada digital memungkinkan imej dan mesej audio video dalam pelbagai format dapat dipindahkan sekelip mata ke segenap penjuru alam. Di mana-mana sahaja kelihatan orang asyik menatap skrin sentuh telefon pintar sambil menunjukkan ekspresi wajah yang sukar untuk diteka, seolah-olah tiada sesiapa yang memerhatikan mereka di situ.

Kegilaan terhadap komunikasi hujung jari ini mengakibatkan gejala ketagihan yang serius dalam kalangan masyarakat umum, iaitu isu kepincangan sosial versi terkini. Tenggelam segala kebaikan yang boleh dimanfaatkan daripada kemajuan teknologi yang sepatutnya membawa kemudahan dan kesenangan dalam urusan kehidupan. Sangatlah jelas bahawa punca masalah yang berlaku ialah sikap pengguna teknologi yang tidak rasional.

Pengaruh Whatsapp kini dilihat telah mengatasi aplikasi secara atas talian yang lain. Kumpulan Facebook telah pun mengambil alih kepentingan dalam Whatsapp dengan nilai pembelian berbilion dollar Amerika Syarikat. Seseorang pemilik telefon pintar boleh memulakan daya usaha mewujudkan kumpulan Whatsapp secara automatik kepada kenalan (contact dalam senarai memeori telefon atau kad SIM) yang mengaktifkan akaun Whatsapp masing-masing walaupun mungkin ada yang menolak.

Kumpulan Whatsapp boleh terdiri daripada kaum keluarga, rakan sekerja, organisasi rasmi, entiti perniagaan atau rakan sebaya di sekolah. Penghantaran mesej atau perkongsian fail audio video boleh dilakukan secara serentak kepada semua ahli kumpulan untuk tindakan segera. Keberkesanan dan kecekapan komunikasi itu menambah nilai sistem penyampaian dan juga daya pengeluaran sesebuah organisasi.

Kawalan ketat terhadap media cetak dan elektronik yang kini berjangkit terhadap media sosial seperti facebook, instagram, twitter dan weblog mengakibatkan aplikasi Whatsapp menjadi pilihan komunikasi jarak jauh masa sebenar. Maklumat-maklumat yang bersifat peribadi, sulit dan terhad boleh kekal seperti itu dengan syarat tiada ahli kumpulan yang membuat salinan untuk pengguna lain atau menyalin paparan (print screen) sehingga tersebar sebagai viral.

Maklumat tentang mesyuarat atau perkembangan terkini sesebuah organisasi boleh disampaikan dengan serta-merta kerana boleh dikatakan setiap orang pemilik telefon pintar tidak pernah berpisah dengan gajet wajib masing-masing. Sesetengah ketua jabatan sanggup melabel subordinat mereka sebagai tidak mesra komunikasi semata-mata kerana tidak memiliki akaun Whatsapp. Mereka mahukan perjalanan organisasi yang lebih segera, serta keluar daripada kepompong kelembapan.

Keburukan aplikasi Whatsapp berlaku sebagaimana wahana komunikasi lain termasuk lisan bersemuka apabila dilayan secara berlebihan, melulu dan keterlaluan. Apabila seseorang itu tidak kukuh dari segi akhlak dan etika, maka perkara yang baik pun boleh bertukar menjadi sebaliknya. Hal itulah yang berlaku dalam komunikasi Whatsapp.

Jika dahulu Facebook pernah menjadi kontroversi akibat fatwa pengharamannya di negara tertentu atas alasan berlaku pergaulan bebas versi atas talian. Selain itu, sebahagian komunikasi atas talian dikecam hebat justeru adanya unsur membuang masa, mengenepikan keutamaan sebenar dan melalut dengan gosip dan maklumat yang tidak jelas sumbernya. Sesebuah rumah tangga juga boleh goyah akibat wujud perasaan curiga terhadap pasangan masing-masing akibat kegilaan melayan Whatsapp.

Senario paling buruk ialah apabila aplikasi Whatsapp mencambahkan kegiatan jenayah dengan penggunaan kod rahsia yang sukar dipecahkan atau dipintas oleh penyedia perkhidmatan komunikasi atas talian. Penyamaran boleh berlaku jika ahli kumpulan Whatsapp tidak berhati-hati menerima ahli kumpulan yang baharu. Tida jaminan bahawa mesej atau imej yang diterima sebenar-benarnya datang daripada pemilik akaun Whatsapp.

Kesimpulannya, baik buruk komunikasi jarak jauh masa sebenar secara atas talian bergantung kepada cara teknologi berkenaan dimanfaatkan dan dilayan. Pengguna akaun Whatsapp wajib meletakkan keutamaan dan sempadan meskipun sangat teruja dengan paparan mesej yang tidak pernah berhenti. Insan hendaklah kekal berperanan sebagai tuan teknologi, bukan sanggup terhina sebagai hamba teknologi yang hilang kewarasan ...

Monday, August 4, 2014

MIKROEKONOMI STPM PENGGAL SATU PALING SUKAR (FAST PHASE LEARNING SHOCK)

Pencapaian calon kohort sulung STPM modular memberikan gambaran awal tentang keberkesanan atau penanda aras program penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan enam yang dipecahkan kepada tiga penggal. Kelebihan ketara sistem ini ialah peluang menduduki peperiksaan ulangan bagi kertas yang mahu diperbaiki dalam tempoh pengajian semasa. Dalam kata lain, calon tidak perlu menunggu peperiksaan STPM tahun berikutnya bagi meningkatkan pencapaian gred yang diperoleh.

Namun, sistem penggal yang mirip sistem semester di universiti memerlukan pelajar membiasakan diri dengan fasa pengajian yang lebih pantas. Dalam tempoh empat bulan, pelajar dikehendaki bersedia dengan input kuliah dan tutorial, serta bersedia untuk peperiksaan pada setiap hujung penggal. Di samping itu, pelajar perlu menyiapkan kerja kursus bagi setiap mata pelajaran di bawah bimbingan guru masing-masing.

Pencapaian mata pelajaran Ekonomi STPM 2013 berdasarkan kertas (%)


Kertas / Gred
A
A-
B+
B
B-
C+
C
C-
D+
D
F

n

Mikroekonomi
3.21
2.52
4.11
4.1
4.25
5.35
6.35
7.75
9.45
12.3
40.61

21,091

Makroekonomi
4.84
3.8
4.97
4.82
5.75
6.86
7.27
10.29
8.43
8.45
34.52

17,405

Ekonomi Malaysia
14.1
3.29
0
3.31
3.6
4.11
4.24
4.21
9.32
5.09
48.73

18,562

(sumber: ubah suai daripada Laporan STPM 2013, Majlis Peperiksaan Malaysia)

Berbanding dengan mata pelajaran lain yang bersifat lebih konkrit (aplikasi dunia sebenar), Ekonomi lebih banyak analisis yang bersifat abstrak dan kuantitatif. Huraian teori ala syllogism (logik mantik) tentang hubungan antara pemboleh ubah berbantukan model gambar rajah, persamaan dan rumus membentuk kerangka utama pembelajaran ekonomi. Semasa kuliah, pelajar bergerak daripada keadaan 'tidak tahu' kepada tahu (induktif), tetapi ketika menulis jawapan peperiksaan, keadaan sebaliknya berlaku, iaitu kaedah deduktif, daripada tahu kepda tidak tahu.

Jumlah calon (n) yang berbeza-beza dalam setiap kertas dipengaruhi oleh bilangan calon kertas ulangan, tidak hadir dan sebagainya. Peratus lulus penuh bagi kertas Mikroekonomi ialah 29.89 peratus, makroekonomi 38.31 peratus dan Ekonomi Malaysia 32.65 peratus. Calon gred lulus sebahagian (C-, D+, D) bagi Mikroekonomi ialah 29.5 peratus, Makroekonomi 27.17 peratus dan Ekonomi Malaysia 18.62 peratus, manakala calon gagal tuntas (F) seperti yang tertera dalam jadual.


Pencapaian Ekonomi STPM 2013 berdasarkan kertas (bilangan calon)
Kertas / Gred
A
A-
B+
B
B-
C+
C
C-
D+
D
F

n

Mikroekonomi
677
531
867
865
896
1128
6.35
1635
1993
2594
8565

21,091

Makroekonomi
842
661
865
839
1001
6.86
1194
1791
1467
1471
6008

17,405

Ekonomi Malaysia
2630
614
0
617
671
767
787
781
1730
949
9045

18,562

(sumber: ubah suai Ibid)

...

...

...

...

...

...