"Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru ke jalan Allah, dan melakukan amal soleh, dan mengatakan bahawa aku ialah orang Islam" (maksud ayat al-Qur'an). Sebuah hadith yang sangat masyhur juga menyebut "ballighu anni walau ayah", sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat. Petikan ayat dan hadith yang dinyatakan merupakan sebahagian dalil yang menuntut setiap umat Islam memegang tanggungjawab menyampaikan risalah kebenaran kepada seluruh umat manusia menurut kapasiti masing-masing.
Selain dakwah secara lisan, kaedah penyampaian menerusi tingkah laku dan kecemerlangan (da'wah bi'l-hal) juga diberi penekanan. Sama ada misi dakwah tercapai atau tidak bukanlah urusan manusia, justeru yang memberi petunjuk hidayah ialah Yang Maha Esa. Perkara yang dipentingkan ialah berlakunya proses dakwah menerusi kaedah yang paling bijaksana (hikmah).
Tuntutan dakwah secara berkumpulan (jemaah) ialah bagi menjana segala sumber kekuatan yang mungkin berbeza dalam kalangan individu pendakwah. Junjungan Baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam menunjukkan contoh dengan membentuk gerakan dakwah yang mantap dalam kalangan sahabat bermula di rumah Arqam Ibni Abi Arqam di Bukit Safa. Baginda memilih waktu yang tepat bagi melaksanakan transformasi dakwah secara rahsia kepada dakwah secara terbuka terhadap masyarakat jahiliyyah yang begitu taksub dengan status quo mereka.
Di Malaysia, gerakan dakwah pascakemerdekaan berkembang pesat pada awal dekad 1970-an yang dipelopori oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Terkenal dengan tagline tidak memihak kepada mana-mana parti politik (non-partisan), Abim diterima baik justeru pendekatannya yang lebih menjurus kepada elemen intelektual dan kontemporari. Abim tidak menetapkan sebarang kod penampilan atau pakaian kepada anggota, asal sahaja mereka akur kepada semua kehendak syarak.
Sebuah lagi pertubuhan dakwah yang mirip gaya Abim ialah Jemaah Islah Malaysia (Jim) yang pada asalnya bermula dengan gerakan mahasiswa Malaysia di luar negara dalam kumpulan yang bergelar IRC. Ketika kepimpinan Abim semasa dikembalikan kepada belia berusia 35 tahun ke bawah, Jim masih diterajui oleh individu dewasa yang menyandang jawatan kanan di IPTA dan korporat. Walaupun dahulunya kedua-dua pertubuhan dilihat sebagai bersaing, kini terdapat persefahaman demi kebaikan dan keberkesanan dakwah di Malaysia.
Antara mantan pemimpin Abim yang masih menyandang jawatan politik dalam kerajaan ialah Saifuddin Abdullah (Timbalan Menteri Pengajian Tinggi) dan Dr Zambry Abdul Kader (Menteri Besar Perak). Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkhasi ialah bekas orang kuat Jim. Jawatan tertinggi yang pernah diduduki ialah Timbalan Perdana Menteri (Anwar Ibrahim, 1993 - 1998, Abim).
Kedua-dua Abim dan Jim tidak mahu dibayangi oleh mantan pemimpin mereka yang menyertai politik kepartian. Mereka lebih berminat meneruskan misi dakwah berdasarkan perlembagaan pertubuhan masing-masing. Walaupun tidak menyertai politik kepartian, Abim dan Jim menjalin hubungan yang baik dengan semua parti politik tanpa mengira bendera.
Masyarakat juga mengenali aktiviti dakwah kumpulan bergelar Jemaah Tabligh yang berpangkalan di India. Jemaah Tabligh merekrut anggota menerusi ta'lim, tasykil dan gasy. Mereka mampu menarik penyertaan golongan intelektual, korporat dan profesional sehingga berjaya menganjurkan perhimpunan besar-besaran yang turut dihadiri pemimpin utama negara.
Sebelum diwartakan sebagai pertubuhan haram, pengaruh pertubuhan al-Arqam yang diterajui oleh Allahyarham Ashaari Mohamad, dikenali sebagai Abuya, putera Bani Tamim (dalam kalangan pengikut al-Arqam), boleh disifatkan sebagai hebat. Selain menggunakan medium penerbitan dan pementasan kesenian, al-Arqam berjaya membentuk rangkaian perniagaan global, yang kini dikenali sebagai Rufaqa' Corporation dan al-Ikhwan. Jika dahulu anggota al-Arqam dikenali menerusi jubah dan serban hijau, kini mereka bergerak dalam masyarakat secara biasa sebagai mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Kementerian Dalam Negeri.
Sebenarnya banyak lagi pertubuhan dakwah dalam skala yang lebih kecil, tetapi belum mencapai tahap nasional. Kerajaan persekutuan turut menubuhkan Yayasan Dakwah Islamiah (Yadim) dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), di samping Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim). Usaha dakwah dalam kalangan Orang Asli dan etnik pribumi di Sabah dan Sarawak turut mendapat perhatian serius pertubuhan-pertubuhan dakwah agar cahaya kebenaran dapat membimbing mereka ke arah kehidupan yang sejahtera dan diredai Allah...