KUALA LUMPUR - Berikut teks penuh pengumuman Ketua Pengarah Jabatan
Penerbangan Awam Malaysia berhubung MH370 yang hilang pada 8 Mac semasa
dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing:
Pengumuman tentang MH70 oleh Ketua Pengarah, Jabatan Penerbangan Awam Malaysia
Pengenalan
Selamat petang tuan-tuan dan puan-puan, warga media sekalian.
Nama saya Azharuddin Abdul Rahman, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan
Awam Malaysia dan saya berada di sini hari ini atas kedudukan saya
sebagai Pengerusi Pasukan Petugas Teknikal Peringkat Tinggi (HLTTF)
MH370.
Seperti yang anda semua sedia maklum, HLTTF ditubuhkan untuk menyelaras hal teknikal berkaitan MH370.
Latar Belakang
Pada 8 Mac 2014 jam 0122 Waktu Malaysia (1722 UTC 7 Mac 2014), sebuah
pesawat Malaysia Airlines jenis Boeing 777-2H6ER, nombor pendaftaran
9M-MRO dengan isyarat panggil MH370, terputus hubungan dengan Pusat
Kawalan Trafik Udara selepas titik arah IGARI ketika dalam transisi
ruang udara antara Malaysia dan Vietnam sewaktu dalam penerbangan ke
Beijing.
Pesawat ini membawa 227 penumpang, 2 kru penerbangan dan 10 kru kabin.
Usaha Mencari
Misi mencari dan menyelamat melibatkan 160 aset yang terdiri daripada
65 pesawat dan 95 kapal serta pakar dari 25 negara. Eksesais yang belum
pernah dilakukan ini melibatkan pesawat udara dan kapal dari negara
berikut:
- Australia (4 pesawat, 2 kapal)
- Kemboja (4 pesawat)
- China (13 pesawat, 19 kapal)
- India (4 kapal)
- Indonesia (11 kapal)
- Jepun (4 pesawat)
- New Zealand (1 pesawat)
- Singapura (3 pesawat, 2 kapal)
- Korea Selatan (2 pesawat)
- Thailand (1 pesawat, 1 kapal)
- Emiriyah Arab Bersatu (2 pesawat)
- Amerika Syarikat (5 pesawat, 4 kapal)
- Vietnam (2 pesawat, 2 kapal)
Negara yang tidak dapat menghantar aset fizikal pula memberi sokongan
dengan cara lain, yang tidak ternilai harganya. Banyak individu juga
tampil untuk menghulurkan bantuan dengan cara yang mereka mampu.
Malaysia sungguh terhutang budi kepada semua negara dan individu atas
semua bantuan dan sokongan yang diterimanya. Kami mengucapkan terima
kasih yang tidak terhingga atas kemurahan hati semua pihak yang memberi
respons dengan mencurah-curah ketika kami melalui sejarah hitam dalam
industri penerbangan.
Fasa mencari dan menyelamat dilaksanakan mulai 8 Mac 2014 hingga 28
April 2014, dengan kawasan pencarian meliputi Laut China Selatan, Selat
Melaka, Laut Andaman dan di selatan Lautan Hindi.
Susulan kepada pengumuman Kerajaan Australia pada 28 April 2014, fasa
mencari dan menyelamat beralih kepada fasa mencari dan mendapatkan
semula.
Pada 28 April 2014, usaha mencari yang diselaraskan Pihak Berkuasa
Keselamatan Maritim Australia (AMSA) melangkah ke fasa dasar laut dengan
diketuai Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) dan Biro Keselamatan
Pengangkutan Australia (ATSB).
Malaysia dan China menghantar pakar serta aset masing-masing bagi membantu JACC dan ATSB dalam fasa ini.
Fasa pencarian ini turut melibatkan penggunaan Kenderaan Dasar Laut
(AUV) dan peralatan ukur batimetri. Kerja Ukur Batimetri meliputi
kawasan seluas kira-kira 208,000 kilometer persegi.
Kerja ukur batimetri ini memberi kepada kami maklumat penting tentang
topografi dasar laut. Maklumat ini membantu kami dalam fasa semasa, yang
melibatkan pencarian di dalam air.
Pencarian di dalam air masih dilakukan ketika ini dengan penglibatan
empat kapal iaitu Go Phoenix, Fugro Discovery, Fugro Equator dan Fugro
Supporter.
Setakat ini, pencarian meliputi kawasan seluas lebih 18,600 kilometer persegi (setakat 28 Januari 2015).
Perisytiharan
Kerajaan Malaysia, China dan Australia tidak mengehadkan perbelanjaan
dan sumber untuk mencari MH370. Ini dilakukan dengan matlamat utama
untuk mengesan pesawat berkenaan dan mencari jawapan. Ia dilakukan
dengan harapan untuk memberi sedikit sebanyak kelegaan kepada keluarga
penumpang dan anak kapal MH370, yang dengan penuh hormat kami merujuk
kepada mereka sebagai "waris'. Kami telah berusaha mencari dan memburu
setiap petunjuk berwibawa serta mengkaji semula semua data yang ada.
Walaupun semua usaha ini dilakukan sejak 327 hari lepas (setakat 28 Jan
2015), malangnya usaha mencari ini belum berjaya menjumpai lokasi
pesawat yang hilang itu.
Bab 1 Lampiran 13 Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penerbangan Awam
Antarabangsa (yang sering dirujuk sebagai “Konvensyen Chicago”),
bertajuk “Kemalangan Pesawat Udara dan Penyiasatan Kejadian" menyatakan
bahawa definisi bagi istilah “kemalangan” termasuk “kehilangan pesawat”.
Ia juga menyebut bahawa “sesebuah pesawat udara dianggap hilang apabila
pencarian secara rasmi ditamatkan dan bangkainya tidak dijumpai".
Lampiran 12 dalam Konvensyen Chicago bertajuk "Standard Antarabangsa dan
Amalan Yang Disyorkan” bagi usaha mencari dan menyelamat seterusnya
menyatakan bahawa istilah “mencari" merujuk kepada operasi untuk
mengesan orang yang berada dalam keadaan kecemasan.
Menurut Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), Lampiran 12
(perenggan 5.5.1) menyatakan bahawa operasi mencari dan menyelamat
mestilah diteruskan selagi boleh, sehinggalah semua mereka yang
terselamat dihantar ke suatu tempat selamat atau selagi terdapat peluang
munasabah untuk menyelamatkan mangsa. Satu nota yang menyokong
perenggan 5.5.2 pula menyatakan bahawa “Negara pejanji mungkin
memerlukan input daripada pihak berkuasa berkenaan dari sesebuah negara
dalam proses membuat keputusan, yang boleh menjurus kepada penamatan
operasi SAR (mencari dan menyelamat)”.
Bagi mematuhi Standard ICAO dalam Lampiran 12 dan 13, maka pada 28
April 2014, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia (AMSA)
menasihati agar pencarian diubah daripada operasi mencari dan menyelamat
kepada fasa mencari dan mendapatkan kembali.
Data yang ada menunjukkan bahawa selepas transponder berhenti daripada
membuat pemancaran, tiada lagi komunikasi radio atau sistem pesawat
secara normal (ACARS) dipancarkan atau diterima daripada pesawat
berkenaan. Oleh itu, kami hanya bergantung pada satu-satunya data yang
ada iaitu data Komunikasi Satelit (SATCOM)/Inmarsat dan Data Prestasi
Pesawat.
Analisis yang dibuat terhadap data radar dan mesej isyarat sistem
komunikasi satelit (SATCOM) menunjukkan bahawa pesawat berkenaan berada
di zon mencari dan menyelamat Australia pada satu arka di selatan Lautan
Hindi. Arka ini dianggap kawasan yang hampir dengan lokasi di mana
bahan bakar pesawat berkenaan akan habis.
Berdasarkan hasil analisis yang dibuat terhadap semua bukti yang ada
serta maklumat fakta yang telah saya sebut tadi, data ini menyokong
rumusan bahawa MH370 mengakhiri penerbangannya di selatan Lautan Hindi.
Berpandukan data sama, kami merumuskan bahawa pesawat itu kehabisan
bahan bakar di satu kawasan tertentu di selatan Lautan Hindi dan pesawat
ini berada di dasar laut berhampiran kawasan itu. Ia merupakan kawasan
terpencil, jauh daripada sebarang tempat yang boleh dibuat pendaratan.
Ia juga merupakan kawasan laut yang amat ganas, dengan kedalaman lebih
6,000 meter.
Selepas 327 hari (sehingga 28 Jan 2015) dan berdasarkan semua data yang
ada serta keadaan yang disebutkan tadi, peluang untuk hidup di kawasan
yang dinyatakan itu adalah amat mustahil.
Oleh itu, dengan amat berat hati dan perasaan yang amat memilukan, maka
bagi pihak Kerajaan Malaysia, kami mengisytiharkan secara rasmi bahawa
kajadian yang dialami Penerbangan MH370 Malaysia Airlines adalah satu
kemalangan mengikut Standard Lampiran 12 dan 13 dalam Konvensyen Chicago
dan bahawa kesemua 239 penumpang dan anak kapalnya dianggap hilang
nyawa.
Waris
Kerajaan Malaysia sedar bahawa perisytiharan tentang kemalangan MH370
ini amat sukar untuk dipertimbang oleh keluarga dan orang tersayang 227
penumpang dan 12 anak kapal berkenaan, apatah lagi untuk menerimanya.
Tiga belas negara telah kehilangan warganya dalam tragedi ini.
Bagaimanapun, adalah amat penting bagi keluarga berkenaan untuk cuba
meneruskan kehidupan biasa masing-masing atau dengan sedapat mungkin
menjalani kehidupan seperti biasa, selepas kehilangan mengejut ini.
Tanpa sebarang niat untuk mengetepikan perasaan keluarga terbabit,
adalah diharapkan, perisytiharan ini akan membolehkan keluarga terbabit
memperoleh bantuan yang mereka perlukan, terutama melalui proses
pembayaran ganti rugi.
Kerajaan Malaysia juga memberi jaminan kepada keluarga penumpang dan
anak kapal pesawat berkenaan bahawa usaha mencari MH370 tetap menjadi
keutamaan. Kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan segala usaha yang
termampu untuk menyelesaikan masalah berhubung tragedi ini dengan
kerjasama dan bantuan berterusan daripada Kerajaan China dan Australia.
Kerajaan Malaysia memberi jaminan bahawa Malaysia Airlines akan memikul
tanggungjawabnya berhubung hak yang sah dan kepentingan para waris
seperti yang diperuntukkan oleh instrumen antarabangsa dan undang-undang
domestik yang berkenaan, sambil memberi pertimbangan kepada amalan
antarabangsa. Ini termasuk memenuhi proses pembayaran ganti rugi, sama
ada ia dituntut melalui perundingan atau melalui undang-undang. Kami
juga difahamkan bahawa Malaysia Airlines bersedia untuk meneruskan
dengan serta merta proses pembayaran ganti rugi, sekiranya para waris
bersedia menerima langkah itu.
Sejajar dengan komitmen kami untuk memaklumkan kepada para waris
tentangperkembangan terbaru dan maklumat penting yang disahkan, satu
seksyen khas telah diwujudkan dalam laman sesawang rasmi MH370,
http://www.mh370.gov.my, khusus untuk para waris berkenaan. Ia termasuk
maklumat tentang usaha mencari dan siasatan, proses pembayaran ganti
rugi, jawapan terhadap pertanyaan waris dan pelbagai bentuk bantuan lain
yang disediakan untuk para waris. Adalah diharapkan, portal khas ini
akan menyediakan sistem sokongan berterusan kepada para waris.
Penyiasatan
"Pasukan Penyiasat Keselamatan Lampiran 13 ICAO Malaysia bagi MH370”,
yang dianggotai wakil bertauliah dari tujuh negara sedang menjalankan
penyiasatan keselamatannya. Begitu juga, penyiasatan dari segi jenayah
yang diketuai Polis Diraja Malaysia, kini diteruskan.
Kedua-dua penyiasatan ini bersifat terhad kerana ketiadaan bukti
fizikal ketika ini, khususnya alat perakam penerbangan. Oleh itu, pada
peringkat ini, tidak terdapat bukti untuk mengesahkan sebarang spekulasi
tentang punca kemalangan itu. Satu kenyataan sementara yang mengandungi
butiran tentang kemajuan penyiasatan keselamatan dijangka dikeluarkan
pada atau dalam tempoh ulang tahun kemalangan itu.
Penutup
Sekali lagi, kami ingin merakamkan simpati mendalam kami kepada semua
mereka yang terjejas oleh kemalangan dahsyat ini. Ia merupakan waktu
yang amat mengecewakan bagi semua pihak yang berusaha dengan sedaya
upaya untuk mencari MH370. Kami tidak pernah goyah dalam komitmen kami
untuk meneruskan usaha kami mencari MH370 dan memberi maklumat kepada
semua orang, lebih-lebih lagi kepada keluarga penumpang dan anak kapal
MH370.
Sesungguhnya, perisytiharan ini bukanlah bermakna suatu kesudahan. Kami
akan terus bergerak ke hadapan dengan kerjasama dan bantuan kerajaan
China dan Australia. MH370 serta penumpang dan anak kapalnya akan
sentiasa dikenang dan dihormati.
Dato’ Azharuddin Abdul Rahman
Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam Malaysia
- Bernama
(sumber ambilan
di sini)