SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, June 29, 2012

KEPIMPINAN PENGETUA MELIHAT "GELAS SEPARUH PENUH" (REINFORCEMENT THE SUBORDINATES)

Sudah menjadi lumrah bahawa seseorang manusia itu berasa senang jika memperoleh penghargaan, dan  sebaliknya berasa tertekan jika dikritik, dimarahi dan diperlekeh oleh orang yang dikenali seperti kaum keluarga, sahabat handai dan pemimpin organisasi. 

...

...

...

...

...

...

...

...

...

...

Thursday, June 28, 2012

TEKS PENGACARA CERAMAH: PERSEDIAAN DAN LATIHAN (INTRODUCING GUEST SPEAKERS)

Konsep skrip pengacara majlis

Sesebuah skrip atau teks ucapan, pengacaraan dan sebagainya merupakan alat kawalan yang sangat penting untuk kelancaran sesebuah acara dan mengelakkan sebarang kesilapan yang ketara. Setelah teks disiapkan, pengacara perlu menjalani latihan, terutama dari segi kejelasan sebutan dan intonasi suara. Tanpa latihan, pengacara mungkin sekali tersasul dalam sebutan perkataan-perkataan penting yang boleh menjejaskan mutu pengendalian majlis dan mungkin menyinggung perasaan tetamu dan hadirin.

Kisah benar tentang kesilapan pengacara baru-baru ini ialah sebutan "Yang Berbahagia" kedengaran seperti "Yang Berbahaya" mungkin atas sebab masalah teknikal alat pembesar suara. Tetamu utama yang dirujuk itu bukan calang-calang individu, tetapi sebagai lelaki budiman, beliau kelihatan tenang sahaja. Dalam satu majlis perhimpunan mingguan sekolah, pengacara tersasul menyebut "Yang Berusaha Tuan Pengetua" sebagai "Yang Berusia Tuan Pengetua". 

Contoh Skrip Pengacara Ladap


Assalamu alaikum w.w.
Salam sejahtera dan selamat pagi
Yang Berusaha, Pengetua SMK St. Michael, Ipoh, Puan Loh Wei Seng, Penolong-penolong Kanan, guru kanan dan seterusnya guru SMK St. Michael, Ipoh yang dikasihi sekalian.

Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi, justeru dengan Inayah dan Kurnia-Nya dapat kita berkumpul bersama-sama dalam auditorium yang indah pada pagi yang hening ini. Marilah kita mengikhlaskan kehadiran kita dalam majlis ilmu pada pagi ini demi kecemerlangan pendidikan dan demi kebaikan sekalian murid dan pelajar kita. Tahniah kepada tuan puan yang sanggup berkorban untuk berada di sekolah pada hari Sabtu dan berjaya menangguhkan segala keinginan yang muncul di dalam minda ketika ini.

Bagi pihak majlis, saya mengalu-alukan kedatangan tuan penceramah dan pemudah cara program Ladap guru SMK St. Michael, Ipoh buat kesekian kalinya ini. Terima kasih tuan atas kesediaan memenuhi undangan pihak sekolah dan selamat berkenalan. Di hadapan tuan ialah lebih 140 orang guru yang sangat penyayang dan berpengalaman luas. Guru-guru SMI memang bersikap terbuka dan senantiasa mengalu-alukan sebarang idea pembaharuan atau inovasi dalam amalan pendidikan. Pendek kata, guru-guru di hadapan tuan pada pagi ini properubahan belaka, serta dijamin bukan pelindung idea diri sendiri yang tegar.


Tuan pengetua, dan guru-guru SMI yang dihormati,
Sebelum slot Ladap diserahkan kepada penceramah merangkap pemudah cara undangan, izinkan saya menyatakan serba sedikit latar belakang beliau. Tuan Haji Ismail bin Desa ialah seorang pendidik yang berjaya dan disegani. Beliau memperoleh ijazah asas dari Universiti Sains Malaysia, diploma psikologi kaunseling dari UKM dan seterusnya Sarjana Kaunseling juga dari UKM. Tuan Haji Ismail memiliki pengalaman yang panjang sebagai pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri Perak sebelum bersara sebagai pengetua di SMK Raja Chulan, Ipoh. Kecintaan Tuan Haji Ismail dalam bidang pendidikan tidak pernah pudar, justeru sehingga hari ini beliau masih menabur bakti sebagai pegawai kanan di Institut Teknologi Perak.

Sebelum slot Ladap dimulakan, majlis memohon peserta lelaki dan wanita duduk berasingan mengikut jantina atas keperluan aktiviti yang bakal dikendalikan nanti. Silakan cikgu...

(usai asing). Terima kasih tuan puan. Maka, majlis dengan segala sukacitanya mempersilakan Tuan Haji Ismail bin Desa untuk mengendalikan sesi Ladap guru-guru SMK St. Michael, Ipoh dengan tema ”Guru Penyayang”.

Silakan tuan.

............................................

Teks berakhir ceramah

Terima kasih Tuan Haji Ismail bin Desa

Syabas cikgu-cikgu atas kesabaran dan perhatian yang diberikan sepanjang slot Ladap kali ini. Mudah-mudahan tuan puan beroleh manfaat yang melimpah ruah.

(Sebagai tanda kenangan, saya bagi pihak majlis mempersilakan Puan Loh Wei Seng, pengetua SMK St. Michael, Ipoh menyampaikan cenderamata kepada Tuan Haji Ismail bin Desa......
Terima kasih Puan Loh Wei Seng dan Tuan Haji Ismail)

Majlis diakhir dengan pantun dua kerat:

Guru penyayang guru cemerlang
Selesai Ladap mari kita pulang.

Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah.
Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

...

...

...

Tuesday, June 26, 2012

DENDA HAD LAJU: BEBAN ATAU DIDIK? (DIALECTICAL ARGUMENTS ON ROAD POLICY)

Ura-ura pembentangan rang undang-undang menaikkan penalti kesalahan memandu melebihi had laju segera mengundang maklum balas yang bersifat menyokong, membantah atau bersikap tidak kisah. Jika diluluskan oleh parlimen, pesalah lalu lintas kategori berkenaan bakal berhadapan dengan denda maksimum RM2,000 bagi setiap kesalahan, atau hukum penjara maksimum tiga bulan, atau kedua-duanya sekali. Tawaran kompaun semasa sebanyak minimum RM150 akan digandakan kepada RM300, atau "suspek" yang menerima notis saman melalui surat berdaftar sanggup membawa kes tersebut ke mahkamah.

Isu-isu pentadbiran dan teknikal dijangka akan mendapat perhatian dalam kalangan persatuan pengguna dan pihak-pihak lain yang berkepentingan. Selama ini, kamera perangkap kelajuan dikendalikan oleh polis trafik yang biasanya berada pada kedudukan yang tersembunyi dan tidak disedari oleh pemandu. Sudah menjadi rahsia umum bahawa pemandu yang menyedari kehadiran perangkap had laju atau sekatan jalan raya akan menyalakan lampu tinggi atau bunyi hon sebagai isyarat kepada jiran pemandu yang lain supaya berwaspada.

Cadangan untuk memindahkan peranan polis trafik kepada pihak swasta menerusi sistem perangkap had laju automatik dengan penggunaan kamera khas yang dipasang di lokasi tertentu yang berisiko tinggi juga telah mendapat reaksi yang berbelah bahagi. Pihak swasta sudah tentu mengendalikan sistem berkenaan berdasarkan perspektif perniagaan, iaitu memaksimumkan kecekapan dan juga keuntungan. Maka, pihak berkuasa perlu memberi jaminan supaya tiada pihak yang berasa teraniaya, sama ada pihak syarikat, atau pemandu yang menerima "surat cinta" kesalahan memandu melebihi had laju.

Barangkali penyedia perkhidmatan swasta berkenaan beroperasi atas konsep bayaran upah atau bayaran kontrak, bukan berbentuk komisen dan konsesi sepertimana penyedia perkhidmatan lebuh raya swasta. Sudah pasti bahawa pihak berkuasa telah merangka spesifikasi tugas dan terma undang-undang yang jelas kepada pihak yang dianugerahkan tugas pengendalian sistem perangkap kelajuan kenderaan. Pihak syarikat yang terpilih tidak patut terkejar-kejar untuk memperoleh jumlah kesalahan had laju tertentu, sebaliknya melaksanakan tugas secara adil dan profesional.

Selanjutnya, perlu ada ketelusan dari segi teknikaliti, khususnya tentang ketepatan bacaan halaju kenderaan yang sedang bergerak. Pemandu kenderaan mungkin tidak memiliki pengetahuan tentang cara bacaan halaju dibuat, sama ada berdasarkan odometer (kelajuan pusingan tayar) atau bacaan rpm (kelajuan enjin) pada paparan kokpit kenderaan masing-masing. Kerosakan dan kehausan sistem kenderaan mungkin menyebabkan bacaan pada meter kenderaan tidak lagi tepat, atau dalam kata lain terdedah kepada kesilapan, ralat dan selisih.

Sebagai contoh, bacaan odometer menunjukkan kenderaan sedang bergerak pada kelajuan 100 kilometer sejam, tetapi apabila ditembak oleh kamera perakam had laju, didapati kelajuan sebenar kenderaan mungkin sudah mencecah 125 km/j, kerana wujud ralat sebanyak +25 peratus. Kesalahan akan menjadi beban pengguna kerana tidak melakukan pemeriksaan ketepatan bacaan meter di Puspakom atau pusat servis kenderaan yang memiliki teknologi yang dikehendaki. Pemandu kenderaan mesti belajar tentang bacaan kelajuan enjin (rpm) yang biasanya ditembak oleh kamera perakam halaju kenderaan.

Pemanduan melebihi had laju telah dikenal pasti sebagai antara punca berlakunya nahas jalan raya, tetapi pendedahan tentang data sebenar wajaran punca nahas mesti dihebahkan dari masa ke masa. Sistem penetapan had laju di negara-negara maju juga boleh dipertimbangkan supaya sejajar dengan kemajuan teknologi automatif dan keselamatan pengguna jalan raya. Sikap manusia tidak patut dibebankan secara tuntas terhadap pemandu kenderaan, sebaliknya perlu merangkumi pelbagai pihak berkepentingan, termasuk penggubal dasar, pengeluar kenderaan, kontraktor pembinaan jalan raya, pegawai dan kakitangan penguat kuasa dan penduduk di sepanjang laluan jalan raya.

Sebahagian kes nahas jalan raya berpunca daripada kenderaan yang dipandu perlahan seperti lori, jentolak, van dan kereta yang uzur. Pemandu di belakang kenderaan sedemikian terdedah kepada kegagalan memotong kenderaan di hadapan yang bergerak lambat, lalu bertembung dengan kenderaan lain dari arah yang bertentangan. Maka, harus ada garis panduan yang jelas dengan spesifikasi reka bentuk jalan raya yang selamat dan zon larangan untuk kenderaan berat, uzur dan seumpamanya yang bergerak begitu lambat seperti kura-kura.

...

...

Monday, June 25, 2012

PENERIMA APC DIGESA JADI PEGAWAI, KAKITANGAN TELADAN (THE POWER OF REWARDING)

Ipoh, Selasa: 6/6/12 = 6 Sya'aban 1433

Kata hukamak, hari ini patut lebih baik daripada semalam, dan esok patut lebih baik daripada hari ini. Pakar motivasi Barat, Daylon pula mengungkapkan bahawa seseorang yang cemerlang itu akan berusaha sehingga pencapaian yang baik akan menjadi lebih baik dan selanjutnya pencapaian lebih baik tadi menuju pencapaian yang paling baik. Kualiti ialah proses yang berterusan bagaikan maraton tanpa garis penamat.

Demikian antara inti pati ucapan penuh semangat oleh Tuan Haji Mohd Idris bin Ramli, Pemangku Pengarah, Jabatan pelajaran Negeri Perak Darul Ridzuan dalam majlis anugerah perkhidmatan cemerlang 2011 untuk warga pendidikan daerah Kinta Utara. Majlis gilang-gemilang itu berlangsung di SJKC Wan Hwa 2, dekat Menglembu di sini dengan sejumlah 758 orang penerima anugerah. Pecahannya ialah 17 orang dari PPD, 3 orang pengetua (SMK Perempuan Methodist, Tasik Damai dan Wira Jaya), 9 orang guru besar (SK Sungai Rokam, Manjoi 1, Manjoi 2, Bandar Baru Putra, St. Michael 1), guru dan kakitangan sekolah menengah seramai 345 orang, dan guru dan kakitangan sekolah rendah seramai 383 orang.

Di samping membaca teks ucapan, Haji Idris menyebut beberapa perkara tentang pencapaian pendidikan negeri Perak yang masih belum di puncak kecemerlangan walaupun itulah cogan kata yang diilhamkan oleh mantan pengarah, Datuk Rauhi itu sudah berusia lebih dua tahun. Beliau berpendapat punca masalah berkenaan ialah tumpuan berlebih terhadap kelompok murid cemerlang sehingga murid "kelas hujung" sedikit tersisih tanpa disedari. Haji Idris mencadangkan program pertolongan (intervensi) yang berasingan antara kumpulan yang berbeza pencapaian.

Haji Idris turut mengingatkan tentang betapa para guru perlu menyinsing lengan menghadapi cabaran inovasi dan perubahan supaya sistem penyampaian perkhidmatan awam menjadi cekap, cepat dan dalam masa sebenar. Jika warga pendidik masih bergantung kepada cara lama, maka mereka akan serba ketinggalan dalam arus transformasi pendidikan negara dengan pelbagai aplikasi atas talian, termasuk urusan peperiksaan murid, data perkhidmatan guru, e-naik pangkat, e-tukar dan sebagainya. Era celik komputer sudah berlalu,  sebaliknya perlu berganjak kepada tahap kecekapan komputer.

Sebelumnya, Haji Marazlen @ Mar Azlan bin Amran, Pegawai Pelajaran Daerah Kinta Utara menegaskan tentang tujuan majlis anugerah perkhidmatan cemerlang sebagai upaya menginstitusikan budaya kerja cemerlang dalam kalangan penjawat awam dari segi penyampaian dan cabaran oraganisasi. Beliau mahu tanggapan bahawa 20 peratus anggota sesebuah organisasi menyumbang terhadap 80 peratus daya pengeluaran ditolak. Setiap anggota organisasi mesti memainkan peranan masing-masing sebagai peneraju dan penggerak organisasi.

Sudah beberapa tahun, majlis APC diadakan di premis sekolah, bukan di dewan ballroom hotel terkenal. Malah, kali ini sesi APC sekolah menengah dan rendah dijalankan secara serentak di bawah satu bumbung. Acara berakhir pada pukul 12.00 tengah hari...

PENERIMA APC BUKAN MESTI TERBAIK (SUBJECTIVE RATING IN EVALUATION: FINDING BALANCE AND CREDIBILITY)

Esok, Selasa 26/2/12 bersamaan 6 Syaaban 1433 berlangsung penyampaian anugerah perkhidmatan cemerlang (APC) untuk guru dan kakitangan sekolah daerah Kinta Utara di sebuah SJKC dekat Menglembu di Ipoh. Lebih kurang 8 peratus guru dan kakitangan sesebuah  sekolah dipilih sebagai penerima APC setelah melalui tapisan laporan penilaian prestasi tahunan dan perakuan ketua jabatan. Cakap-cakap tentang APC bukan perkara baharu justeru memang semua penilaian dan pengukuran terdedah kepada isu-isu kesahan dan kebolehpercayaan, serta ralat dan aras signifikan yang dianggarkan.

Sebaik manapun reka bentuk sesuatu instrumen penilaian dan pengukuran, unsur persepsi tentang ketepatannya tidak dapat dihapuskan. Pemilihan penerima APC yang sepatutnya membawa kebaikan kepada organisasi atas prinsip menang-menang boleh bertukar kepada beban tekanan kepada kelompok tertentu. Maka, pihak panel penilaian dan pengukuran APC selalu digesa lebih telus dalam memberi justifikasi tentang kriteria pemilihan dan mempamerkan hikmah dalam menghadapi kritikan senyap.

Hakikatnya, kesempurnaan dan sumbangan maksimum kepada organisasi bukanlah tiket automatik atau jaminan pasti untuk terpilih dalam sesuatu penilaian dan pengukuran. Saidina Abu Bakr as-Siddiq dalam ucapan pemasyhuran beliau sebagai khalifah ar-Rasyidin yang pertama menyebut bahawa beliau bukanlah orang terbaik yang layak diangkat sebagai pemimpin, tetapi menerima jawatan berkenaan atas dasar keputusan syura. Hendaknya sekalian penerima APC juga mengambil sikap yang serupa agar rasa hormat terhadap keputusan organisasi dan semangat setia kawan sentiasa menjadi keutamaan.

Kepada anggota organisasi yang masih belum pernah terpilih dan masih menunggu, rezeki datang dalam pelbagai bentuk dan arah. Barangkali selama ini bakat terbaik mereka telah terlepas pandang atas pelbagai sebab yang sukar untuk dijelaskan. Sama seperti doa yang tulus ikhlas, mungkin bakal termakbul pada waktu yang tidak disangka-sangka.

APC ialah suatu token yang terhad, walaupun ketua jabatan sesebuah organisasi ingin sekalian subordinat beliau beroleh kegembiraan dan perhatian yang saksama saban tahun. Pihak atasan memang menyedari lompang dan kekurangan dalam pelaksanaan sesuatu proses penilaian dan pengukuran prestasi kerja. Terkini, penubuhan sebuah suruhanjaya penambahbaikan perkhidmatan awam telah membuka jalan kepada semua pihak yang berkepentingan menyuarakan sebarang bantahan, cadangan dan luahan profesional tentang sistem penilaian dan pengukuran yang sedia ada.

...

...

...

...

...

Sunday, June 24, 2012

PERSEKITARAN DAKWAH YANG BERKESAN (INVITATION TO THE FAITH)

Secara mudah, dakwah bererti seruan ke arah kebenaran aqidah, syariat dan akhlak. Dakwah ialah hak setiap insan supaya mereka memiliki kesempatan untuk sebuah kehidupan yang sejahtera di dunia dan di akhirat. Tanpa dakwah, insan menghadapi risiko besar untuk hidup dalam kegelapan dan kesesatan, lalu terjerumus dalam kebinasaan, kehancuran dan nestapa yang berkekalan.

Dakwah ialah tugas asasi para rasul dan nabi, serta tanggungjawab umat yang beriman. Sebuah hadith yang masyhur mengungkapkan ballighu anni walau ayah (au kama qala), sampaikanlah daripadaku walaupun satu ayat. Seseorang yang berhasrat untuk menyampaikan mesej dakwah hendaklah memiliki ilmu pengetahuan, hikmah (kebijaksanaan) dan cermat dalam tindakan.

Pembelajaran dakwah secara formal boleh dijalani sehingga peringkat doktor falsafah, misalnya di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Selain itu, terdapat kursus pendek yang ditawarkan oleh pelbagai organisasi seperti Yayasan dakwah Islam Malaysia (Yadim), Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan jabatan-jabatan agama Islam negeri. Dalam mata pelajaran Pendidikan Islam di sekolah, asas-asas dakwah juga didedahkan kepada semua murid.

Dahulu, kegiatan usrah dicurigai sebagai gerakan bahaya oleh kumpulan orang muda yang tidak memiliki latar belakang formal pengajian Islam. Namun, pada hari ini, istilah usrah sudah menjadi biasa dan dijadikan program rasmi di sekolah dan sebagai jenama program televisyen. Tesis Ph.D oleh Profesor Datuk Dr Sidek Baba di Universiti Illinois, Amerika Syarikat tentang usrah (study circle) telah memberi perspektif tentang kelebihan usrah sebagai kaedah perancangan dakwah (uslub'ud-da'wah) yang strategik.

Pada zaman baginda Junjungan Rasulullah Sallallahu alaihi wasallam, fasa dakwah secara tertutup atau tersembunyi dilakukan menerusi kumpulan 'usrah' di rumah Arqam ibn Abi Arqam di Bukit Safa. Bertitik tolak dari situ, bermula perancangan dakwah yang lebih tersusun dan terbuka untuk berhadapan dengan segala cabaran dan halangan yang getir oleh golongan status quo Quraisy yang berkepentingan. Natijahnya, Islam tersebar dengan cepat di seluruh pelosok alam atas kebijaksanaan dan ketaatan generasi awal, al-jil qur'anniyun farid (generasi al-Qur'an yang unik), atau al-jil rabbaniyyul multazim (generasi hamba Tuhan yang unggul).

Dakwah juga bertunjang kepada konsep peluasan, iaitu meramaikan bilangan umat, bukan sebaliknya sepertimana konsep reductionism dalam kelompok taksub dan melulu. Maka, segmen dakwah tidak bersifat terhad atau eksklusif kepada golongan tertentu sahaja. Setiap kesempatan yang muncul akan disambar sebagai misi dakwah, sama ada secara lisan, tulisan, mahu pun pencapaian kecemerlangan dan tindakan yang menguntungkan dakwah.

...

...

...

...

...

...

Saturday, June 23, 2012

PENGAJIAN EKONOMI PERINGKAT IJAZAH (PREPARING LEADERS)

Pelajar ekonomi prauniversiti selalu tertanya-tanya kaitan antara teori-teori ekonomi dengan kehidupan sebenar dan aplikasi alam pekerjaan. Adakah analisis ekonomi yang banyak andaian masih relevan dengan tingkah laku masyarkat yang rencam itu? Adakah lulusan ekonomi akan memanfaatkan segala teori yang dipelajari untuk memimpin sesuatu jabatan kerajaan atau perniagaan?

Di Malaysia, antara lulusan ekonomi yang mendaki puncak kepimpinan ialah perdana menteri, ketua setiausaha negara, gabenor bank negara, serta menteri besar Johor, Perak dan Selangor. Demikian juga sebahagian pegawai tinggi kerajaan seperti datuk bandar, ketua setiausaha kementerian dan ketua pengarah perkhidmatan ikhtisas dan tokoh korporat ialah lulusan ekonomi. Pendek kata, lulusan ekonomi telah menjalani disiplin kepimpinan dan proses membuat keputusan yang autentik.

Semasa tingkatan enam dan matrikulasi, pelajar ekonomi didedahkan dengan asas mikroekonomi, makroekonomi dan ekonomi Malaysia. Mereka dilatih mengungkapkan analisis dan aplikasi teori ekonomi menerusi sejumlah konsep, prinsip, model grafikal dan kuantitatif, serta penyelesaian masalah dan kemahiran insaniah. Budak prauniversiti telah dapat menjelaskan perkaitan dan akibat sejumlah fenomena ekonomi yang demikian rencam menerusi pemboleh ubah tertentu.

Apabila melangkah masuk ke fakulti ekonomi, pengkhususan disiplin ekonomi secara lebih mendalam bakal dipelajari. Jika di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), pelajar ekonomi boleh memilih sekolah analisis ekonomi dan dasar awam, perancangan dan pembangunan ekonomi, pertanian dan sumber alam, ekonomi statistik dan ekonomi Islam. Di Universiti Malaya (UM), pelajar boleh mengkhusus dalam ekonomi analisis, gunaan, perangkaan dan pentadbiran awam.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula menawarkan kursus ekonomi dan pengurusan, serta ekonomi perniagaan tani. Pelajar ekonomi sumber dan perniagaan tani akan dianugerahkan ijazah sarjana muda sains dengan kepujian, justeru mereka disyaratkan lulus dalam kursus matematik, statistik, fizik, kimia dan biologi. Sekolah ekonomi juga terdapat di Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Utara Malaysia (UUM).

Disiplin ekonomi dan matematik (aplikasi) seperti irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan sama sekali. Namun, pelajar yang fobia dengan pembezaan (diffrentiation), matriks, persamaan serentak, kebarangkalian, korelasi, regresi, analisis faktoral, janjang geometri dan lain-lain tidak perlu khuatir. Asalkan pelajar rajin menyiapkan tugasan dan mengambil bahagian aktif dalam tutorial, peperiksaan akhir yang lazimnya hanya memperuntukkan 40 peratus daripada keseluruhan markah tidak akan mendatangkan masalah.

Pelajar yang cenderung untuk menjadi ahli akademik (pensyarah dan profesor), pakar runding dan penyelidik hendaklah sekurang-kurangnya menyambung pengajian di peringkat sarjana yang memakan masa minimum setahun. Terdapat mod kerja kursus sepenuhnya, iaitu wajib hadir kuliah dan peperiksaan, mod disertasi (separuh kerja kursus dan separuh penyelidikan) dan mod penyelidikan sepenuhnya. Keadaan yang sama juga ditawarkan di peringkat doktor falsafah, tetapi tempoh pengajian lebih panjang, iaitu minimum dua tahun setengah.

Dr. Hamzaid Yahya (bekas profesor ekonomi dan tenaga penting Majlis Peperiksaan Malaysia) pernah mendakwa bahawa belajar ekonomi sepatutnya lebih mudah daripada mata pelajaran sejarah. Beliau membuat saranan supaya ekonomi diajar secara kontekstual, iaitu sentiasa dikaitkan dengan pengalaman sebenar pelajar. Cara berkenaan boleh dicuba, tetapi pada akhirnya pelajar perlu membiasakan diri dengan penggunaan sejumlah konsep, prinsip dan model analisis yang dikehendaki dalam sukatan pelajaran...

Friday, June 22, 2012

PENAMBAHBAIKAN PERKHIDMATAN AWAM: SILA HANTAR CADANGAN (PUBLIC AND TAXPAYERS ARE THE "OWNER" OF GOVERNMENT)

Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam meminta orang ramai mengemukakan teguran dan cadangan untuk menambah baik mutu perkhidmatan awam. Pengerusinya, Tun Zaki Azmi, berkata cadangan atau teguran itu bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan, selain memperkasa modal insan perkhidmatan awam yang responsif kepada kehendak pelanggan. Kalau orang awam tidak berpuas hati dengan cara perkhidmatan awam, jabatan atau kementerian diuruskan dan dijalankan, mereka boleh membuat cadangan kepada suruhanjaya.


“Suruhanjaya sekarang memerlukan teguran daripada tiap-tiap individu untuk menambah baik perkhidmatan awam, contohnya daripada seseorang yang pergi hospital kerajaan kena tunggu tiga hingga empat jam untuk berjumpa doktor, lepas itu tunggu lagi dua hingga tiga jam untuk dapat ubat, seharian dia di hospital,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan BERNAMA semalam. Turut hadir Timbalan Pengerusi suruhanjaya itu yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam. Orang ramai boleh mengemukakan cadangan dan pandangan melalui email sekretariat.skmtpa@jpa.gov.my, zaki.skmtpa@jpa.gov.my atau melayari http://docs.jpa.gov.my/skmtpa. Setiap aduan dan teguran yang diterima akan dimajukan kepadanya dan beliau sendiri akan menjawabnya.


Aduan Orang Ramai
Tanggapan klasik tentang perkhidmatan awam ialah kerenah birokrasi dan maklum balas yang lambat. Protokol dan hierarki perjawatan dikatakan masih belum banyak berubah sehinggakan sistem penyampaian awam belum menunjukkan kemajuan yang mendadak. Ukuran tentang daya pengeluaran setiap kakitangan awam masih kurang jelas.

Keluhan kakitangan lama
Perubahan sistem matriks gaji sebaris telah menyebabkan kenaikan pangkat pegawai baharu lebih cepat. Ada kakitangan lama yang berada dalam gred 41 hampir 20 tahun, sedangkan kakitangan baharu hanya mengambil masa 8 tahun. Perbezaan gaji mereka sangat rapat, justeru tempoh perkhidmatan terdahulu tidak diambil kira. 

Maka, kalau kakitangan lama berasa bahawa perkara berkenaan ialah satu hakikat, ayuh tulis kepada suruhanjaya berkenaan. Berikan cadangan supaya tempoh perkhidmatan lama diberikan merit tertentu supaya konsep ekuiti (keadilan) kelihatan terlaksana. Jika hanya cakap-cakap di kantin, pihak suruhanjaya tidak boleh dipersalahkan.

Ceupacs dan siswazah
Nampaknya Ceupacs seperti tidak peduli tentang merit kelayakan akademik. Mereka pernah membuat usul supaya pembantu tadbir boleh dinaikkan hingga gred 42 tanpa perlu kelayakan ijazah sarjana muda. Barangkali, Ceupacs berpendapat bahawa sistem naik pangkat dalam pasukan keselamatan boleh dicontohi, iaitu seseorang prebet boleh dilantik sebagai ketua organisasi berdasarkan rekod perkhidmatan yang cemerlang dan melepasi semua tapisan dalam pasukan.

Pegawai lulusan universiti sebenarnya boleh melompat dengan desakan Ceupacs justeru mereka telah menanggung kos lepas yang tinggi dari segi usia mula dilantik, peluang memiliki harta alih dan tidak alih, penangguhan usia perkahwinan dan saiz keluarga yang lebih kecil. Namun, mereka tidak pula menunjukkan reaksi lampau (overreact) kerana memahami bahawa Ceupacs mungkin terlepas pandang atau memang tidak tahu. Prinsip mutu modal insan tidak boleh dianggap remeh-temeh jika negara mahu melangkah ke arah negara maju berpendapatan tinggi acuan sendiri.

Kakitangan awam tidak boleh kaya
Sejak zaman-berzaman kepercayaan bahawa kekayaan hanya boleh dijana menerusi aktiviti perniagaan dan pelaburan. Dalam hadith juga disebut bahawa 9/10 punca rezeki ialah perniagaan (mafhum). Kakitangan awam hanya layak hidup sederhana dan tidak boleh mempamerkan gaya hidup mewah yang mencemarkan keutuhan perkhidmatan awam.

Sementara tokoh korporat, konglomerat, taikun dan peniaga beroleh kesempatan mengumpul harta yang melimpah ruah, kebajikan kakitangan awam seharusnya berada pada tahap optimum. Sebagai komponen penting jentera perkhidmatan awam, mereka harus diberi keutamaan dari segi kurniaan lot tanah rumah, diskaun cukai kenderaan dan kemudahan lawatan ke luar negara. Mungkin saranan sebegini menyebabkan sesetengah golongan melenting, tetapi kakitangan awam sekadar inginkan sebuah kehidupan yang selesa agar mereka mampu memberi tumpuan maksimum terhadap tugas melicinkan urusan pentadbiran, kelulusan, pemantauan dan keselamatan awam.

Saiz perjawatan awam
Sesekali muncul saranan supaya bilangan anggota perkhidmatan awam dikecilkan, sebaliknya tumpuan diberikan kepada kecekapan. Selain itu, sebahagian fungsi perkhidmatan awam dipindahkan kepada pihak swasta atau menerusi syarikat berkaitan kerajaan. Namun, perkhidmatan awam kritikal seperti pendidikan di sekolah, keselamatan dan kesihatan tidak seyogia dikorbankan...

Thursday, June 21, 2012

APABILA HARGA RUMAH NAIK MENGGILA (WAITING FOR OVER SUPPLY)

Pada awal 1990-an, seunit rumah banglo setingkat di Ipoh dengan keluasan tanah 90' X 60' boleh dibeli dengan harga di bawah RM100k. Dalam tempoh 20 tahun, kalau tidak ada RM setengah juta, jangan harap untuk memiliki sebuah rumah seumpamanya. Rumah teres setingkat dengan keluasan tanah 70' X 20' sahaja mencecah harga RM140k - RM200k bergantung kepada lokasi.

Hitungan asas bayaran bulanan pinjaman perumahan kerajaan untuk tempoh 25 tahun ialah 5.28 hingga 6 didarab dengan RM tanpa "k". Contohnya, pinjaman bernilai RM200k = 5.5 X 200 = RM1,100 sebulan. Jumlah bayaran yang dibuat ialah RM330k, termasuk keuntungan sebanyak RM130k dan bayaran takaful.

Rumah ialah keperluan asas manusia selepas makanan dan pakaian. Pakar pengurusan mentakrifkan rumah sebagai ruang pemisahan fizikal yang membolehkan para penghuni melakukan aktiviti persendirian. Pengguna tidak boleh berbuat apa-apa dengan fenomena kenaikan harga rumah yang melampau, kerana langkah pemulauan seperti ke atas barang-barang lain sukar untuk dilaksanakan.

Pengguna hanya boleh berharap supaya persatuan pengguna menguatkan desakan kepada pihak berkuasa supaya margin keuntungan pemaju disemak dari masa ke masa. Jika didapati, pemaju mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang menindas pembeli rumah, tindakan mahkamah di bawah akta tertentu perlu diambil. Negara kapitalis seperti Amerika Syarikat sendiri mengehadkan pemilikan kekayaan dan kuasa monopoli (indeks monopoli Bains) sesebuah syarikat seperti denda RM10 bilion yang pernah dikenakan ke atas Microsoft.

Keghairahan pemaju perumahan juga mungkin dipengaruhi oleh permintaan oleh warga asing, terutama Singapura. Setakat RM1 juta untuk sebuah rumah banglo tidak menjadi masalah buat sebahagian warga Singapura yang membeli rumah untuk santai hujung minggu, serta disewakan secara harian (konsep inap desa) pada hari-hari biasa. Pembelian rumah sudah dianggap sebagai satu lagi bentuk kepelbagaian portfolio pelaburan mereka.

Rakyat Malaysia memperuntukkan sebahagian besar pendapatan bulanan mereka untuk membayar pelbagai hutang. Pinjaman pengajian tinggi, pinjaman kenderaan dan pinjaman perumahan pertama biasanya memakan sebahagian besar pendapatan yang tidaklah seberapa. Dapat sahaja gaji, wang berkenaan sudah ada tuan punya yang lain.

Rumah mampu milik dan kos rendah dimajukan oleh Syarikat Perumahan Negara, sebuah lagi syarikat berasaskan kerajaan (GLC). Pihak berkuasa tempatan yang kini beropersi secara korporat juga terbabit dengan penawaran rumah pangsa dan kos rendah. Begitu juga koperasi yang dikurniakan tanah, tetapi harus bekerjasama dengan pemaju swasta atas keperluan modal dan kepakaran.

Seperti pasaran hartanah global, sektor perumahan juga menghadapi zaman suram. Pada dekad 1980-an, terdapat lebihan penawaran rumah, iaitu banyak rumah yang gagal dijual oleh pemaju, di samping projek perumahan terbengkalai di sana  sini. Akibatnya, harga rumah jatuh menjunam buat seketika. 

Andai kata berlaku kemelesetan ekonomi dan syarat pinjaman perumahan yang ketat, golongan yang suka menabung akan memiliki wang tunai yang banyak. Mereka memiliki kesempatan terbaik untuk membeli rumah idaman pada harga yang cukup rendah. Barangkali, harga kenderaan yang diletakkan di luar pagar rumah lebih mahal daripada harga rumah itu sendiri.

Kepada orang-orang kampung yang masih memiliki tanah, kalian ialah hartawan dan jutawan senyap. Bayangkan bahawa satu lot tapak rumah berukuran 90 X 60 kini boleh mencecah harga RM100k hingga RM200k. Lebih baik tanah kampung dijadikan kawasan rumah keluarga secara berkelompok...

Wednesday, June 20, 2012

PROFIL PENIAGA DAN PENGUNJUNG PASAR MALAM (LEISURE AND STROLLING BUYING)

Bukalah seberapa banyak kedai, gedung beli-belah atau pasar raya, tetapi pasar malam masih dikunjungi ramai. Pasar malam secara tetap dan pasar malam secara mingguan terdapat di seluruh negara, bahkan di kebanyakan negara. Pasar malam beroperasi mulai pukul 3 petang dan lazimnya beransur sepi mulai pukul 9 malam, kecuali beberapa buah gerai buah-buahan atau makanan yang hendak menghabiskan jualan masing-masing.

Lokasi pasar malam biasanya berdekatan dengan kawasan perumahan, atau berhampiran dengan petempatan penduduk di sesebuah pekan. Orang ramai masih suka berkunjung ke pasar malam kerana mereka boleh berjalan-jalan dalam keadaan santai dan tenang. Tiada detektif atau kamera litar tertutup yang mengawasi gerak geri mereka sebagaimana di premis perniagaan biasa.

Suri rumah merupakan pengunjung terawal pasar malam, iaitu sekitar pukul 4 petang untuk berebut ikan segar walaupun harganya boleh tahan mahal. Suri rumah yang memiliki kuasa beli tidak mahu membiarkan seisi rumah makan lauk-pauk yang "luput tarikh" atau terdedah kepada risiko keracunan. Tambahan pula, pada waktu siang, cahaya matahari tidak boleh "menipu" keadaan ikan, sayur dan buah-buahan sebagaimana lampu kalimantang ketika hari gelap.

Pasar malam juga umpama sebagai pusat sehenti niaga yang menjimatkan masa pembeli untuk mendapatkan bahan mentah dapur dan aneka makanan yang memikat selera. Gerai menjual mi goreng, char keow tiau, bihun, lempeng pisang, martabak, nasi goreng, roti hamlet, kebab, air tebu, mochoa kisar dan jagung madu ialah antara tumpuan pengunjung. Ibu bapa yang bekerja turut membeli makanan untuk disimpan dalam peti ais dan dipanaskan dengan ketuhar gelombang sebagai alas perut sebelum anak-anak melangkah ke sekolah.

Pasar malam lebih meriah apabila tiba musim buah-buahan tempatan silih berganti seperti durian, manggis, rambutan, langsat dan mempelam. Suara lantang penjual buah-buahan untuk menarik perhatian pelanggan berlawan dengan penjual akar kayu dan herba yang bercampur-baur antara fakta dan "auta". Pengguna yang bijak pun kadang-kadang tewas juga akhirnya dan terpaksa berpisah dengan wang tunai di dalam poket.

Pemungut derma juga cuba mengambil kesempatan daripada sikap pemurah para pengunjung pasar malam. Sama ada mereka pemungut derma tulen atau diperalat oleh sindiket tertentu susah untuk dibezakan. Maka, kalau ragu-ragu, sedekah senyuman sahajalah, dan jangan sesekali menyakiti hati mereka justeru perkara itu diperingatkan lewat al-Quran dan al-Hadith.

Jualan kain baju di kebanyakan pasar malam dikuasai oleh warga Kemboja. Sebahagian mereka menjadi kaya, iaitu mampu memiliki banglo dan kereta mewah, berbanding dengan pengunjung pasar malam yang berpakaian cantik tetapi masih menghuni rumah sewa atau sekadar mampu membeli rumah teres dan kereta terpakai. Penjual air kelapa laut Afrika pula mendakwa boleh membawa pulang untung kasar hampir RM1,000 setiap malam.

Jika pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri membuat siasatan, mungkin benar dan mungkin tidak bahawa jumlah urus niaga pasar malam boleh mencecah nilai ratusan ribu ringgit. Barangkali ada penjual yang harus mengupah akauntan cukai bertauliah supaya butiran aset, perbelanjaan dan susut nilai peralatan dapat mendiskaun keuntungan bersih mereka. Namun, masih banyak peniaga pasar malam yang memperoleh hasil jualan yang sederhana.

Pasar malam juga sesekali menemukan rakan yang sudah lama tidak bersua muka. Maka, bukan aneh jika kita melihat orang-orang yang saling membuat panggilan tidak dijawab ke talian telefon bimbit rakan yang tidak mampu mengingat nombor sendiri. Kalau terlupa nombor rakan, bolehlah pura-pura meminta kad perniagaan, atau sekadar memanggil gelaran abang, akhi, shiekh, yeop dan sebagainya. 

Peniaga pasar malam yang jujur dan beretika sudah pasti tidak pernah lali daripada menunaikan kewajipan solat apabila tiba waktunya. Kalau surau tidak disediakan oleh persatuan peniaga pasar malam, peniaga boleh sahaja membentang tikar atau kotak sebagai alas sejadah dan mengambil wuduk dengan menggunakan botol semburan air yang sangat menjimatkan air. Sepatutnya, persatuan peniaga pasar malam turut mendirikan papar iklan besar tentang peringatan solat dan etika berniaga.

...

...

Tuesday, June 19, 2012

MOTIVASI BELAJAR: JANGAN LETAK BANYAK SYARAT (YOU'RE WELCOME AS YOU ARE)

Assalamu alaikum dan salam sejahtera

Yang dikasihi pelajar sekalian,

Sudah terlalu banyak kisah orang berjaya yang terlebih dahulu menempuh pelbagai pengalaman jatuh bangun, susah payah dan pengorbanan. Peribahasa Melayu mengatakan "yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang". Tiada lampu ajaib Aladin, tiada jalan pintas dan tiada kejayaan secara percuma, melainkan dalam khayalan, cerita dongeng, atau barangkali dalam satu dua kes terpencil.

Saya khususkan perbincangan kali ini terhadap kejayaan dalam pembelajaran di sekolah. Era pembelajaran berorientasi peperiksaan sudah hampir menjadi sejarah. Kini, kebanyakan negara maju di dunia mula mengorak langkah memperkasa sistem pendidikan masing-masing dengan keutamaan terhadap pembaharuan dan pentaksiran berterusan oleh guru-guru di sekolah. 

Budak-budak sekolah telah dibiasakan dengan pemerolehan ilmu pengetahuan secara akses kendiri. Misalnya, wajaran besar diberikan kepada penyediaan folio dan kerja kursus, manakala komponen peperiksaan secara berpusat hanya mewakili kurang daripada 50 peratus markah keseluruhan. Pelajar akan dibimbing untuk mengembangkan potensi pembelajaran kendiri dalam persekitaran seharian mereka, tanpa mengabaikan maklumat sejagat.

Pelajar yang dimuliakan,

Kecemerlangan pembelajaran yang sejajar dengan minat dan kecenderungan pelajar secara individu ialah suatu proses penjanaan modal insan minda kelas pertama seperti yang diuar-uarkan selama ini. Perkembangan domain kognitif, afektif dan psikomotor disokong oleh proses pemupukan kemahiran insaniah pelajar, dan bukan semata-mata disogok oleh guru di bawah sistem lama. Pelajar tidak boleh bersifat pasif atau seperti penumpang yang kecewa dalam proses pembelajaran.

Pembelajaran aktif bermakna pelajar sentiasa memiliki kesediaan minda untuk mengambil bahagian secara cergas dalam kegiatan bilik darjah, bahkan sentiasa menganggap bahawa proses pembelajaran ialah milik peribadi mereka sendiri. Mereka belajar bukan sekadar untuk memuaskan hati orang lain, sama ada pihak sekolah atau bapa, sebaliknya untuk memperoleh sebanyak mungkin pengalaman pembelajaran agar mampu berdikari dan menyumbang terhadap kesejahteraan diri sendiri, keluarga, masyarakat, organisasi, bangsa dan umat seluruhnya.

Sebagai pencari ilmu, pelajar tidak usahlah meletakkan terlalu banyak syarat, atau dalam bahasa basahan jangan banyak songeh. Pembelajaran ialah suatu urusan yang mustahak, bukan untuk bersuka ria sepanjang masa, walaupun unsur kelakar dan kecindan memang dianjurkan. Pelajar wajib memberikan tumpuan secara suci hati supaya ilmu yang dipelajari sentiasa berkat dan berguna dalam kehidupan dunia dan akhirat.

Pelajar yang disayangi,

Pelajar yang berjaya pada hakikatnya sentiasa berpegang teguh terhadap adab belajar yang bertujuan memelihara hubungan harmonis antara diri mereka dengan guru dan rakan-rakan. Pelajar yang berjaya tidak sama sekali memaksa guru dan rakan sekelas memenuhi kehendak dan standard yang mereka tetapkan tanpa asas yang autentik. Mereka tidak sesekali akan membuat permintaan, saranan, dan tuntutan yang bukan-bukan. 

Pelajar yang berjaya sebaliknya mempamerkan kesungguhan dalam proses pembelajaran, di samping tidak dikawal oleh emosi. Mereka tidak pernah membenarkan sikap sentimental menceroboh dan meracun minda mereka. Sebaliknya, pelajar berjaya akan mencari jalan supaya dapat bertahan dan berjuang dalam persekitaran pembelajaran yang sentiasa mencabar dan terpilih itu...

Monday, June 18, 2012

SOLAT JANA KEKUATAN EKONOMI UMAT (THE HIDDEN IMPLICATION)

Peristiwa Israk dan Mikraj sangat istimewa justeru perintah mendirikan solat (sembahyang) fardu disampaikan terus oleh Allah kepada baginda Junjungan Nabi Muhammad Salallahu Alaihi Wasallam tanpa melalui perantaraan malaikat Jibrail. Solat ialah rukun Islam kedua, selepas kalimah syahadah yang menandakan pengistytiharan tawhid seseorang. Orang-orang yang dapat memberi tumpuan (khusyuk) dalam solat ialah mukmin yang mencapai kemenangan.

Solat ialah tiang agama (mafhum al-hadith), barang siapa yang menegakkan solat, dia menegakkan agama, manakala barang siapa yang mengabaikan solat, dia meruntuhkan tiang agama. Solat berjemaah di masjid, surau dan apabila berada dalam kumpulan ialah tuntutan fardu kifayah. Seminggu sekali, iaitu pada hari Jumaat, umat Islam wajib berada di masjid menunaikan solat Jumaat, di samping mendengar khutbah dari mimbar.

Perbincangan ini bagaimanapun tidak bermaksud untuk meninjau sudut hukum hakam dan kaedah mendapat khusyuk dalam solat. Sudah pasti bahawa sebagai ibadah khusus, solat didirikan semata-mata sebagai memenuhi perintah Ilahi sebagai hamba-Nya demi menuju Redha Ilahi. Hikmah solat dalam kehidupan orang-orang yang beriman telah diperincikan lewat kitab karangan ulama-ulama yang muktabar sejak zaman-berzaman.

Untuk mendirikan solat, seseorang itu perlu bersuci, iaitu mengambil wuduk dengan peraturan penggunaan air  secara berhemah. Dalam era moden, air tidak mungkin diperoleh sesuka hati, melainkan menerusi bekalan air bersih yang dikelolakan oleh pihak berkuasa air yang memiliki kepakaran kejuruteraan, pengurusan dan reka bentuk, selain menikmati faedah ekonomi bidangan. Maka, keperluan bersuci sebelum mendirikan solat bermakna perlu wujud sistem pembekalan air yang cekap.

Orang yang mendirikan solat juga wajib menutup aurat, serta digalakkan bersugi dan mencalit minyak wangi yang halal. Ertinya, orang Islam perlu memiliki industri fabrik yang memenuhi permintaan pakaian kegunaan solat. Pakar fesyen boleh meneroka segala jenis pakaian menutup aurat yang boleh dipakai bila-bila masa apabila masuk waktu untuk terus menunaikan solat.

Pembinaan masjid dan surau yang selamat dan selesa untuk mendirikan solat berjemaah juga menjadi keperluan kritikal. Memang benar masjid berdasarkan taqwa tidak semestinya sebuah binaan yang canggih, tetapi dengan bilangan jemaah yang besar dan kawasan masjid yang terhad, reka bentuk yang terbaik perlu diusahakan agar masjid berfungsi sebagai tumpuan aktiviti dan perpaduan umat. Maka, kepakaran seni bina, seni bina dan ukur bahan perlu dimanipulasikan secara optimum.

...

...

...

...

...

...

Sunday, June 17, 2012

"HARI INI" BAB 19, AKHIR NOVEL 6:20 (THE TRUTH ALWAYS PREVAIL)

Pengarang novel:  Siti Jasmina binti Ibrahim
Muka surat rujukan:  234 - 237

Watak utama:  Nur Sukma binti Haji Syaqir / Sukma / "saya"
Watak pembantu:  hadirin  (pendengar cerita Sukma)

Latar tempat:  lokasi ceramah Sukma

Latar masa:  sepanjang ceramah

Ringkasan bab

Bab terakhir ini sahaja yang tidak menggunakan teknik imbas kembali sepertimana 18 bab sebelumnya, iaitu peristiwa dalam tempoh 7 hari, selama dua minggu . Pembaca akhirnya disedarkan bahawa dari mula bab 1 ialah isi cerita dalam ceramah Sukma kepada sebilangan hadirin tentang kisah ibunya, Puan Delila yang disangka sebagai dalang kumpulan WX2 dan ruang sepi. 

Hakikatnya, ibu Sukma masuk WX2 untuk menyiasat pemikiran dan aktiviti mereka. Puan Delia masih koma akibat tembakan ahli WX2. Beliau menggalas amanah sulit yang penuh risiko. Sukma melafazkan rasa kesal kerana salah sangka terhadap pengorbanan ibu sendiri. Sukma ingin meminta ampun kerana kebimbangan Puan Delila terhadap dirinya, termasuk melayan tetamu misteri ialah demi keselamatan dirinya.

Setelah mengetahui perihal sebenar, Sukma tidak mampu menghentikan tangisan...

Perwatakan:  berterus terang / jujur  (Sukma bercerita hal sebenar kisah kehidupan dirinya)
                  :  bertanggungjawab / memegang rahsia  (Puan Delila sanggup disalah anggap oleh anak sendiri)

Latar masyarakat:  masyarakat yang berterus terang / jujur

Nilai murni:  terus terang / jujur
                :  tanggungjawab / amanah

Persoalan:  terus terang / kejujuran dalam komunikasi
               :  tanggungjawab / amanah dalam tugas / misi keselamatan negara

Pengajaran:  kita hendaklah berterus terang / jujur dalam komunikasi
                 :  kita hendaklah bertanggungjawab / amanah dalam tugas . misi keselamatan negara

kbkk:  pengakhiran novel yang menarik

Saturday, June 16, 2012

IPOH BANDAR RAYA MEMBELI-BELAH (GROWTH POLE ACTIVITY)

Sesebuah petempatan yang mengalami pertumbuhan aktiviti ekonomi akan menjadi tumpuan penghijrahan penduduk yang mahu membina sebuah kehidupan yang lebih cerah. Kawasan perumahan muncul di sana sini, lengkap dengan kemudahan prasarana awam termasuk jalan raya, hospital, sekolah, pejabat, balai polis dan gedung perniagaan. Kawasan perumahan yang sedemikian akhirnya berfungsi sebagai sebuah pekan dan kemudiannya sebagai bandar satelit yang bergabung dengan lokasi berdekatan membentuk sebuah bandar raya yang luas.

Ipoh bermula sebagai sebuah kampung kecil, malah sangat ketinggalan berbanding dengan pekan Gopeng yang lebih dahulu maju kerana kegiatan perniagaan bijih timah Lembah Kinta. Namun, tuah menyebelahi Ipoh apabila beberapa buah bank perdagangan Inggeris mula beroperasi. Seterusnya, kedudukan Ipoh bertambah kukuh semasa pendudukan Jepun 1941-45 apabila dipilih menggantikan Taiping sebagai ibu negeri Perak Darul Ridzuan.

Sejak itu, Ipoh berkembang pesat hingga mencapai status bandar pentadbiran kedua terpenting Tanah Melayu selepas Kuala Lumpur. Kemerosotan industri bijih timah menjelang dekad 1970-an telah mengakibatkan perkembangan bandar Ipoh seakan-akan terbantut. Kesannya dapat dilihat hingga kini apabila Ipoh masih kekal dengan bangunan warisan kolonial dan rumah kedai era tauke bijih timah keturunan Cina dahulu. 

Ipoh berjaya dipintas oleh Georgetown, Johor Bahru, bahkan Shah Alam yang memiliki kemudahan prasarana lebih canggih dan bangunan pencakar langit yang megah berdiri. Gedung-gedung perniagaan dan hotel bertaraf antarabangsa juga asyik bertumpu di sana, sedangkan Ipoh kekal dengan imej klasik yang serba sederhana. Maka, Ipoh perlu mencari jalan untuk kembali bersaing, serta memenuhi keperluan lebih sejuta orang penduduk bandar raya yang masih belum dimajukan ke tahap optimum ini.

...

...

...

...

...

...

Friday, June 15, 2012

BUKU TEKS MIKROEKONOMI STPM TERBAIK (FIRST TERM STUDY OF MODULAR SYSTEM)

Perubahan sistem pengajian prauniversiti tingkatan 6 mulai tahun 2012 yang menggunakan sistem modular sebagai ganti sistem terminal sebelum ini bermakna calon STPM bakal mengambil peperiksaan bagi setiap penggal. Khusus bagi mata pelajaran ekonomi, penggal 1 menawarkan kursus mikroekonomi. Buku teks yang baharu terbit hanya dalam tempoh sebulan yang lalu.

Penilaian terhadap kesesuaian sesebuah buku teks ialah dari segi keakuran dengan sukatan pelajaran terkini dan keakuran reka bentuk kandungan dengan tahap keupayaan pelajar. Kini, sukatan pelajaran telah disediakan dengan begitu terperinci. Sukatan pelajaran ialah dokumen terpenting untuk pelaksanaan aktiviti pembelajaran dan juga penyediaan item pentaksiran dan peperiksaan. 

Sukatan pelajaran ialah butir-butir ringkas daripada mata pelajaran yang diberikan di sekolah dan lain-lain (Kamus Dewan edisi IV, 2005: 1536). Sukatan juga ialah had kedalaman sesuatu kurikulum yang hendak disampaikan. Maka, buku teks yang baik dapat mempersembahkan perincian sukatan pelajaran yang dikehendaki.

Apabila peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia dilaksanakan dalam bahasa Melayu sepenuhnya pada awal dekad 1980-an, buku teks ekonomi dalam bahasa Melayu amat terhad. Terdapat buku teks terjemahan karya asal mendiang Profesor Dr. Harcharan Singh Khera, dari Universiti Malaya berjudul "Prinsip-prinsip Ekonomi". Namun, mutu terjemahannya sangat teruk dan lebih baik membaca naskhah asalnya dalam bahasa Inggeris.

Kemudian, menjelang dekad 1990-an muncul buku teks ekonomi berbahasa Melayu yang ditulis oleh Dr. Hamzaid bin Yahya dari UKM. Walaupun masih banyak kesalahan tatabahasa, tetapi buku teks Dr. Hamzaid lebih mudah difahami. Cuma, kecenderungan Dr. Hamzaid untuk memberi contoh sebenar dunia nyata selalu mengakibatkan konsep, prinsip dan teori ekonomi yang disampaikan agak tenggelam.

Pada pertengahan dekad 1990-an muncul pula Prof. Madya Sadono Sukirno (UM) yang menguasai penggunaan buku teks ekonomi tingkatan 6. Mulai tahun 2003, sekali lagi sukatan pelajaran ekonomi mengalami rombakan besar. Kali ini, Heng Siew Ngu, Prof. Madya Dr. Md Zyadi Md Thir dan lai Mooi Chang (UUM) pula menjadi pilihan kebanyakan sekolah tingkatan 6.

Mulai tahun 2012, sistem terminal atau peperiksaan berpusat sepenuhnya oleh majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) diubah kepada sistem modular. Buku teks baharu muncul lagi. Pihak MPM mencadangkan nama buku teks yang dilihat cocok dengan kehendak sukatan pelajaran terkini.

Setelah meneliti beberapa buah buku yang dicadangkan, buku teks tulisan Cikgu Sabariah binti Ali didapati bukan sahaja akur dengan sukatan pelajaran, bahkan disusun berdasarkan urutan sukatan pelajaran berkenaan. Semua konsep, istilah dan teori yang digunakan sangat selaras dengan sukatan pelajaran. Jumlah bab yang disusun juga sama dengan pembahagian tajuk dalam sukatan pelajaran.

Teori ekonomi yang dipersembahkan juga bertepatan dengan analisis tugasan soalan yang penting. Misalnya, perbandingan antara pasaran monopoli dengan pasaran persaingan sempurna (muka surat 188) sejajar dengan andaian struktur kos yang sama dan keluk permintaan (DD = AR) kedua-dua pasaran memotong titik tengah / titik minimum keluk kos purata (AC). Buku teks yang lain didapati tidak memberi perhatian tentang keperluan ARm dan ARs memotong titik tengah AC yang sama.

Namun, buku teks Cikgu Sabariah juga tertinggal butiran label paksi yang sentiasa diingatkan kepada pelajar. Misalnya, paksi harga disekalikan dengan catatan RM, manakala paksi kuantiti disekalikan dengan unit. Perkara berkenaan perlu diambil kira sebelum buku teks Makroekonomi (Penggal 2) dan cetakan semula buku Mikroekonomi pada tahun hadapan.

Harga pasaran bagi buku teks Mikroekonomi tulisan Cikgu Sabariah binti Ali ialah RM21.90, tetapi pelajar biasanya mendapat diskaun antara 10 hingga 20 peratus. Harga berkenaan boleh dianggap paling berdaya saing, berbanding dengan terbitan lain yang mencecah RM30+ senaskhah. Penerbit juga mempelawa pelajar melayari laman sesawang khas interaktif sebagai pelengkap naskhah buku teks Cikgu Sabariah...

Thursday, June 14, 2012

MEMBAZIR AMALAN SYAITAN (UNWISE SPENDING)

Memang janggal apabila orang yang terbabit dengan kelakuan buruk membidas orang lain yang memberi teguran ikhlas. Namun, perkara janggal itulah yang sering terjadi pada sepanjang sejarah kemanusiaan. Misalnya, pembaziran semata-mata menurut kemahuan nafsu serakah yang penuh dengan sifat keji, atau mazmummah.

Pembaziran ialah perbuatan menggunakan sesuatu (wang, masa, tenaga dan sebagainya) dengan berlebih-lebihan sehingga terbuang dan boros (Kamus Dewan edisi IV, 2005:142). Pembaziran termasuk dalam kategori zalim, iaitu meletakkan sesuatu tidak pada tempatnya. Orang yang suka membazir juga terperangkap dengan hasutan emosi, serta berhujah tanpa merujuk ilmu yang sah.

Pembaziran berlaku kerana orang yang melakukannya beranggapan bahawa orang lain tidak berhak untuk campur tangan atau mengambil tahu keputusan peribadi orang lain. Mereka juga memberi alasan bahawa perbelanjaan mewah yang dilakukan sebagai terapi, memanjakan diri dan hadiah kepada diri sendiri setelah berhempas pulas mengumpul kekayaan. Orang lain yang memberi nasihat atau teguran mungkin berasa iri, selain dilabel sebagai kaki sibuk.

Pembaziran boleh terjadi di rumah, di tempat belajar, di tempat kerja dalam dalam majlis keramaian. Bil yang tinggi tidak menjadi masalah kerana si pembazir sanggup membayarnya. Di majlis makan-makan, si pembazir mengambil aneka makanan untuk disumbat dalam tembolok kecil mereka seolah-olah esoknya sudah kehabisan makanan.

Pembaziran wang pembayar cukai juga berlaku akibat jenayah rasuah, menipu dan manipulasi tender. Kos sesuatu projek melambung berlipat ganda kerana rompakan licik oleh pihak-pihak yang beranggapan bahawa masyarakat adalah jahil dan mudah digula-gulakan. Dengan berselindung di sebalik pangkat dan kuasa, golongan jahat itu tidak berasa segan silu untuk menuntut kadar keuntungan yang melampau daripada projek-projek awam.

Pembaziran sentiasa bertentangan dengan prinsip kecekapan. Dalam kajian ekonomi, pembaziran keupayaan (lebihan kapasiti) berlaku kerana firma tidak beroperasi pada loji optimum dan keluaran optimum. Masih terdapat pengangguran faktor, iaitu keluaran seimbang lebih rendah daripada keluaran optimum.

Pembaziran sumber masa juga sangat berleluasa. Kerja-kerja pejabat sering tertangguh dan lewat kerana pegawai dan kakitangan lain sibuk melayan gosip, suka mengumpat dan panjang angan-angan. Daya pengeluaran merosot, mutu penyampaian jatuh dan bayaran gaji yang diterima sebenarnya sangat tidak setimpal.

Kesedaran tentang keburukan pembaziran mesti dipupuk sejak kecil dalam institusi keluarga dan di sekolah. Kanak-kanak sentiasa diasuh supaya sentiasa mengutamakan amalan berhemat dan membenci pembaziran. Golongan dewasa jangan hanya pandai bercakap tanpa menunjukkan contoh yang tulen.

Kesimpulannya, pembaziran ialah perbuatan buruk yang mesti dijauhi sama ada di peringkat individu, keluarga, masyarakat, organisasi, dan negara. Golongan yang suka membazir wajib diberi teguran, peringatan, pemulihan dan hukuman mengikut kesesuaian. Generasi muda masih boleh diselamatkan daripada perangai membazir kerana kalau hendak melentur buluh, biarlah daripada rebungnya...

Wednesday, June 13, 2012

SOKONG PALESTIN BUKAN DENGAN EMOSI (ARAB SPRING AND THE TEL AVIV CRIME)

Kejatuhan empayar Othmaniah Turki pada tahun 1924 memulakan episod duka umat Islam seantero dunia. Pengaruh hedonisme dan sekularisme menembusi benteng minda umat dalam segenap bidang aktiviti kehidupan. Rejim boneka ditegakkan dan pasukan tentera  menjalani indoktrinasi sebagai penjaga faham sekular.

Puak pelampau yahudi aliran keras zionis yang berselerakan di serata dunia pun mengatur rancangan jahat dan licik mereka untuk merampas wilayah-wilayah Arab yang berjaya dipecah belahkan oleh bekas penjajah Barat sebagai negara bangsa. Bermula dengan kemasukan beberapa keluarga yahudi, puak zionis kemudian membeli tanah milik penduduk Palestin dengan harga yang tinggi. Walaupun pada ketika itu (1935), mufti Palestin sudah mengingatkan rakyat Pelestin supaya tidak mudah gelap mata dan terpedaya, nasihat itu umpama mencurah air ke daun keladi.

Kemasukan yahudi secara besar-besaran disokong oleh penjajah Inggeris yang turut menakluk Jurusalem dan membuat pengisytiharan Belfour pada tahun 1917. Selanjutnya, peristiwa Naqbah 1948 dan Perang 6 hari pada tahun 1967 telah mengecilkan wilayah Palestin kepada 22 peratus daripada saiz asal yang terpisah antara Tebing Barat dengan Genting Gaza. Rejim zionis Tel Aviv terus mengganas dengan mengusir rakyat Palestin dan menguasai Baitul Maqdis yang menempatkan Masji al-Aqsa, iaitu masjid suci ketiga umat Islam selepas al-Haram, Makkah dan Masjid Nabawi, Madinah.

Puak pelampau Yahudi yang dilindungi pasukan keselamatan zionis secara berterusan menceroboh Aqsa dan kini menggali terowong bawah tanah dengan alasan kononnya menjejak semula "tapak suci Solomon" di bawah kedudukan Aqsa. Hakikatnya, mereka hendak meruntuhkan struktur asas Aqsa, selain mahu menguasai sepenuhnya "dinding ratapan".

Palestin tidak memperoleh bantuan sewajarnya daripada jiran-jiran Arab yang hanya sibuk bertelagah sesama sendiri dan para pemimpin yang hidup mewah. Malah, beberapa buah rejim boneka Arab sanggup menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv dan menutup laluan masuk ke Palestin. Rakyat Palestin juga terperangkap dalam sebuah penjara besar apabila Tel Aviv membina tembok di sepanjang sempadan atas alasan mengekang kebangkitan atau intifadah yang mengancam nyawa orang awam yahudi.

Jarum Barat terus berbisa apabila berjaya memecahkan pejuang Palestin kepada pergerakan Fatah (Tebing Barat) dan Hamas (Gaza). Apabila Hamas memenangi pilihan raya, kumpulan Fatah dengan bantuan Barat dan rejim boneka Arab merampas kuasa dan mengawal pemerintahan Tebing Barat. Namun, kejatuhan rejim boneka Arab di beberapa buah negara telah membuka jalan kepada persefahaman kedua-dua kumpulan Fatah dan Hamas.
terjemahan ucapan bekas mufti Palestin yang berkedudukan di tengah 
seperti pada layar besar

Bekas Imam Besar al-Aqsa merangkap bekas mufti Palestin dalam ceramah khas anjuran Aman Palestin di Dewan Bandaran Ipoh malam tadi (13/6/12) memaklumkan bahawa Fatah dan Hamas akan membentuk kerajaan campuran pada 20 Jun ini. Pemerintahan baharu Mesir, Tunisia, Libya, dan negara jiran Palestin memberi tekanan kepada rejim haram Tel Aviv dan sekutu Barat mereka bahawa "keselamatan" Tel Aviv bakal terancam.

Tel Aviv dan sekutu Barat mereka pasti tidak duduk berpeluk tubuh sahaja. Agensi risikan Mossad, CIA dan lain-lain akan meresap masuk menerusi kepentingan strategik negara-negara Arab yang berjaya menggulingkan rejim boneka dan diktator terdahulu. Hanya perpaduan umat dan pergantungan total mereka kepada Ilahi bakal memberikan kekuatan untuk berhadapan dengan tipu helah musuh yang muncul dalam pelbagai bentuk...

Tuesday, June 12, 2012

KELUK KEMUNGKINAN PENGELUARAN (LECTURE ON ASSUMPTIONS AND OPPORTUNITY COST)

Pengenalan

Keluk kemungkinan pengeluaran (KKP) menjelaskan had maksimum pengeluaran dua jenis barang dalam sesebuah ekonomi. Sebarang titik kombinasi pengeluaran di sepanjang KKP menggambarkan tahap kecekapan yang dikehendaki. Sebaliknya, titik kombinasi keluaran di bawah KKP menggambarkan pembaziran faktor (pengangguran, ketidakcekapan), manakala kombinasi di luar KKP menerangkan konsep kekurangan, iaitu sumber yang terhad.

Andaian

1  hanya terdapat dua barang yang dikeluarkan

2  ekonomi berada dalam kedudukan guna tenaga penuh / tiada pengangguran

3  tingkat teknologi adalah tetap / malar / tidak berubah

4  kecekapan faktor adalah setara untuk pengeluaran kedua-dua barang

Analisis KKP tunggal

Berdasarkan semua andaian yang tersenarai, setiap kombinasi keluaran di sepanjang KKP menggambarkan pilihan yang cekap, serta kos lepas yang perlu ditanggung. Pilihan ialah proses membuat keputusan ekonomi (tentang kombinasi keluaran yang diingini). Kos lepas pula ialah jumlah barang pilihan kedua terbaik yang terpaksa dikorbankan (tidak keluarkan) bagi menambah pengeluaran barang yang dikehendaki.

KKP hendaklah dilukis lengkap dengan paksi, label dan lokus titik kombinasi keluaran. Walaupun semasa belajar, contoh berangka didahulukan, tetapi untuk jawapan peperiksaan, penulisan konsep dan teori KKP hendaklah dinyatakan sebelum sebarang huraian berangka dan grafikal, jika dikehendaki oleh tugasan soalan. Istilah yang tepat bagi mewakili arah dan saiz yang dianalisis yang berkaitan mesti diberi perhatian yang serius.

contoh menyusul...

KKP garis lurus

menerangkan konsep kos lepas yang bersifat malar.

...

...

KKP cembung

menerangkan konsep kos lepas yang semakin meningkat.

...

...

Peralihan KKP

KKP boleh beralih ke kanan / atas, atau ke kiri / bawah. KKP boleh beralih secara selari atau tidak selari, bergantung kepada andaian yang diubah. Ertinya, boleh jadi ada barang yang tidak mengalami pertambahan keluaran, atau pertambahan yang dialami lebih kecil daripada barang lain.

Kemajuan teknologi akan mengalihkan KKP ke kanan yang mempercepat proses pertumbuhan ekonomi. Namun, pertumbuhan yang berlaku turut menggambarkan pilihan masa kini dan pilihan masa hadapan. Misalnya, jika ekonomi mementingkan pertumbuhan masa kini, barang pengguna akan lebih diutamakan berbanding dengan barang modal, dan sebaliknya. 

Arah dan saiz peralihan KKP juga boleh menerangkan kepentingan kebajikan masyarakat. Contohnya, ekonomi yang meletakkan kebajikan masyarkat sebagai pilihan akan melebihkan keluaran barang makanan berbanding dengan senjata api.

...

...

...

Contoh tugasan KKP

...


...


...

Monday, June 11, 2012

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH: PELAKSANAAN DAN CABARAN (THE POST-MODERN PERSPECTIVE ON EDUCATIONAL NEEDS)

Pengenalan

Dapatan penyelidikan Profesor Madya Dr. Faizah binti Abdul Majid, dari Fakulti Pendidikan UiTM yang diterbitkan dalam Journal of US-China Education Review, Vol.8, No.10, 2011. ISSN1548-6613 memberikan perspektif asas tentang pelaksanaan pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) di Malaysia dan cabaran yang bakal dihadapi. Menurut beliau, PBS belum sampai ke tahap pelaksanaan penuh (full swing). Shanusi Ahmad (LPM) dalam kertas cadangan Ph.D beliau menegaskan bahawa PBS di Malaysia lebih berbentuk gabungan dengan sistem peperiksaan berpusat oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM).

Dasar kenaikan automatik murid ke tingkatan empat dan persijilan terbuka mulai tahun 1992 telah membuka jalan kepada titik tolak pelaksanaan PBS menerusi ujian lisan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris oleh guru di sekolah masing-masing. Pengenalan kerja kursus dan folio kajian tempatan sejak sekolah rendah lagi mengukuhkan pelaksanaan PBS. Penambahbaikan ujian pencapaian sekolah rendah (UPSR) dan pemansuhan penilaian menengah rendah (PMR) mulai tahun 2014 juga bakal menyaksikan pelaksanaan PBS yang lebih menyeluruh.

Isu-isu Pelaksanaan PBS

Hamzah dan Sinnasamy (2009) mendapati bahawa pelaksanaan ujian lisan berasaskan sekolah (PLBS dan ULBS) tidak akur sepenuhnya dengan kehendak garis panduan LPM. Hal itu berpunca daripada tahap kesedaran inovasi dan perubahan yang masih belum mencukupi. Kepimpinan PBS yang diterajui oleh pengetua juga belum benar-benar mantap dari segi kefahaman konseptual PBS dan peranan ikhtisas yang perlu dipatuhi.

Kecairan maklumat akibat kaedah latihan teragih yang bermula daripada kementerian, jabatan pelajaran negeri, pejabat pelajaran daerah, sekolah, jawatankuasa kurikulum dan panitia mata pelajaran mengakibatkan proses pendedahan kepada guru pelaksana PBS menjadi suntuk. Jurulatih utama (JU) berkursus selama seminggu, tetapi apabila sampai kepada panitia, taklimat hanya mengambil masa dua jam. Guru juga berhadapan dengan peruntukan aktiviti bilik darjah untuk menyelesaikan segala keperluan kurikulum dan kemahiran insaniah yang lain. 

Pemantauan oleh pakar dan pihak berkuasa pelajaran juga berhadapan dengan kekangan kewangan dan tatacara pergerakan guru keluar daripada kawasan sekolah masing-masing. JU dan pentaksir kawasan tidak boleh bertugas di luar kawasan sekolah melebihi 30 peratus daripada waktu rasmi di sekolah. Maka, tanggungjawab pemantauan diserahkan pula kepada pengetua, penolong kanan (pentadbiran dan kurikulum) dan guru-guru kanan mata pelajaran yang sudah sedia sibuk dengan pelbagai jenis borang dan data. 

Bagi memastikan bahawa pihak sekolah akur dengan konsep PBS, pengetua dikehendaki menyediakan sistem data dan fail yang berfungsi sebagai bukti hitam putih hasil kerja setiap orang murid. Bilangan fail mungkin mencecah angka ribu dan puluhan unit almari untuk penyimpanan fail berkenaan. Sistem kod dan nombor fail mesti seragam supaya carian fail dapat dilakukan secara serta-merta jika diminta oleh pegawai atasan yang memantau pelaksanaan PBS secara mengejut.

Pengurusan PBS secara atas talian

Kemajuan teknologi maya dan jaringan ialah jawapan kepada isu timbunan fail dan pembaziran kos cetakan dan penjilidan folio murid, kecuali untuk projek pendidikan seni visual atau kerja pertukangan kemahiran hidup. Eza Shafinaz binti Mohamed Zaharin (2011) menerusi kertas projek sarjana sains maklumat, Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mencadangkan sistem e-folio. Eza menyenaraikan manfaat e-folio yang dapat menangani masalah kehilangan bukti dokumentasi bertulis, ciplak, ruang penyimpanan, kos cetak dan jilid, melengkapkan pelbagai format borang, kecuaian manusia dan sebaran maklumat PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.

Penggunaan e-folio juga memberi kesempatan kepada murid untuk mempersembahkan hasil kerja mereka secara multimedia. Folio kerja kursus tidak lagi terhad kepada bentuk kertas berjilid, sebaliknya boleh dinaik taraf kepada format audio visual, animasi dan grafik yang canggih. Nilai tambah pelaksanaan PBS menerusi sistem e-folio sudah tentu lebih ketara.

Capaian e-folio boleh dilakukan di mana-mana lokasi yang mempunyai akses internet, serta boleh dilindungi menerusi kata laluan, fail read-only dan had akses untuk orang awam. Capaian penuh hanya dibenarkan untuk pemilik folio, pentaksir dan pihak berkuasa pendidikan tertinggi. Pihak lain hanya boleh membaca bahagian abstrak atau sinopsis, serta perlu mendapat keizinan pemilik folio menerusi e-mel yang tertera jika hendak memperoleh versi folio yang lengkap.

Sistem e-folio boleh diletakkan di bawah sistem analisis peperiksaan sekolah (SAPS) sedia ada dan skor markah terus ke laman sesawang LPM atau MPM. Untuk keselamatan data, segala fail hendaklah juga disimpan secara talian tempatan (off-line, LAN) dan peranti mudah alih lain seperti cakera padat (CD), pemacu jari (thumb-drive) dan lain-lain. Selain itu, murid dan pentaksir sekolah juga digalakkan mewujudkan sistem e-mel sebagai salinan fail tambahan untuk pelan B kepada risiko ancaman serangan penggodam dan virus terhadap sistem induk e-folio.

Cabaran Pelaksanaan PBS

PBS ialah sebahagian proses perubahan konsep pentaksiran yang terlaksana di seluruh dunia. Finland misalnya telah melaksanakan PBS tanpa peperiksaan secara berpusat dalam tempoh 9 tahun persekolahan  awal kanak-kanak. Australia, Hong Kong dan New Zealand juga boleh dianggap berjaya melaksanakan PBS secara sistematik. Kepesatan perubahan persekitaran pendidikan, dinamika masyarakat dan industri bererti PBS ialah suatu keperluan yang kritikal dan segera.

Proses perubahan sentiasa menggugat status quo dan kelompok zon selesa. Pembaharuan akan mengakibatkan kehilangan kedudukan, kebiasaan dan kepakaran lama. Usaha menarik perhatian ke arah melemahkan rintangan terhadap perubahan dan mengukuhkan daya pacu perubahan perlu dikendalikan secara paling bijaksana, cermat dan hormat.

Kepercayaan terhadap pelaksanaan PBS sebagai ganti sistem pentaksiran berpusat LPM dan MPM sepenuhnya perlu dipupuk dalam kalangan murid, guru dan masyarakat. Murid akan lebih bertanggungjawab terhadap proses pembelajaran kendiri, guru dengan tanggungjawab ikhtisas dan masyarakat menerima PBS sebagai kayu ukur pencapaian pembelajaran murid. Pihak LPM dan MPM pula akan bertindak sebagai pemantau, penyelaras dan penjaga kesahan, serta kebolehpercayaan PBS kepada semua pihak yang berkepentingan.

Langkah Memperkasa PBS

Guru akan sentiasa menjadi tulang belakang dan tumpuan pelaksanaan PBS. Maka, keperluan latihan dalam perkhidmatan (Ladap, in-service training atau Inset) harus berorientasi praktikum (hands-on). Ladap berbentuk ceramah, taklimat dan kursus aras komunikasi dua hala terhad perlu kepada proses ubah suai. Gaya pengajaran guru dengan gaya pembelajaran murid menerusi pelaksanaan PBS mestilah sentiasa akur dan sejajar.

Memandangkan begitu banyak data dan fail yang hendak diuruskan, pelantikan pembantu guru hendaklah dibuat dengan segera. Pembantu guru hanya dikhususkan untuk meningkatkan kecekapan kemasukan data pembelajaran, bukan untuk membantu kerja-kerja pejabat seperti urusan stok dan percetakan. Spesifikasi dan terma tugas pembantu guru hendaklah secara jelas menegaskan hal berkenaan, terutama sistem pengurusan data dan fail PBS.

Kesimpulan dan Penutup

PBS ialah bentuk pendidikan masa hadapan yang juga berupa ucapan selamat tinggal kepada orientasi peperiksaan per se yang telah sekian lama mengundang kritikan bertalu-talu. Anjakan paradigma yang berlaku ini bertepatan dengan pesanan Saidina Umar al-Khatab yang menegaskan supaya reka bentuk pendidikan anak-anak wajib berdasarkan keperluan masa hadapan mereka. Pelaksanaan PBS acuan Malaysia bermakna sistem pendidikan dan pentaksiran sentiasa melangkah ke hadapan, manakala segala kebijaksanaan dan pengalaman zaman-berzaman akan tetap dimanfaatkan dalam persekitaran terkini.

Cabaran pelaksanaan PBS memang akan sentiasa muncul dari masa ke masa. Kekurangan dan ralat yang masih wujud tidak wajar menjadi alasan untuk pelaksanaan PBS kembali lemah. Murid, guru dan masyarakat berhak untuk memberikan sumbangan terbaik demi masa hadapan bangsa, negara dan umat...

Sunday, June 10, 2012

KEGUNAAN MAKLUMAT SOSIOMETRIK BILIK DARJAH (HIDDEN BELIEFS MAKE SENSE)

Bilik darjah umpama sebuah dunia kecil yang tersendiri siap dengan struktur sosial yang rencam. Murid datang daripada pelbagai latar belakang dengan membawa pengetahuan sedia ada dan tingkah laku yang dipupuk sekian lama. Perkara yang lebih utama kepada guru mata pelajaran ialah perspektif murid tentang konsep pembelajaran dan kepercayaan mereka terhadap kecemerlangan.

Perspektif murid tentang pembelajaran sangat dipengaruhi oleh pengalaman masa lalu mereka, persekitaran dalam institusi keluarga dan kelompok rujukan mereka. Terdapat sebahagian murid menganggap proses pembelajaran di bilik darjah sebagai berguna, kritikal dan penting untuk masa hadapan. Namun, terdapat pula sebahagian lagi yang menganggap pembelajaran di bilik darjah sebagai beban, remeh-temeh dan tiada kaitan dengan kecenderungan mereka.

Demikian juga dengan kepercayaan terhadap kecemerlangan. Kalau ditanya, mungkin terdapat murid yang mengakui tidak mempunyai sebarang idea tentang kecemerlangan. Bagi murid yang mempamerkan hasrat yang tinggi terhadap kecemerlangan, mereka juga perlu diberi pengukuhan tentang keperluan perkongsian dan sikap asertif.

Walaupun domain kognitif, afektif dan psikomotor yang membentuk potensi dan fakulti kanak-kanak diberi perhatian besar dalam aktiviti bilik darjah, masih banyak kritik tentang orientasi peperiksaan. Kini, proses transformasi dan reformasi pendidikan di seluruh dunia menyaksikan bahawa konsep pentaksiran yang lebih holistik mula dilaksanakan. Pencapaian murid diukur menerusi domain kognitif, afektif, psikomotor dan kemahiran insaniah yang lain. 

Walaupun hakikatnya teori-teori pendidikan terkini bersifat kitar semula seumpama lagu lama diberi nafas baharu, tetapi dengan sokongan dapatan penyelidikan, proses inovasi tetap boleh berlaku. sebagai contoh, teori kecerdasan pelbagai Howard Gardener boleh dianggap sebagai lanjutan teori pelaziman klasik dan Piaget. Pendekatan yang sama juga terdapat dalam teori modal insan (ekonomi pendidikan) dan teori ESQ.

Keperluan data sosiometrik murid dalam sesebuah bilik darjah hanya sekadar latar belakang asas atau profil mereka sahaja. Guru tidak perlu pening dengan model sosiometrik Jacob L. Moreno, ahli psikoterapi yang mengemukakan kaedah penyelidikan bidang yang berkaitan. Selain maklumat asas seperti nama penuh, nama sekolah / kelas terdahulu dan harapan pembelajaran murid, guru boleh mengendalikan beberapa aktiviti permainan untuk mendapatkan gambaran tentang pemikiran murid. Contohnya, beri arahan untuk melukis duit syiling, melukis wajah sendiri dan segi empat sama tersembunyi.

Aktiviti melukis duit syiling dapat mengukur kepekaan murid dalam menetapkan sesuatu masalah atau tugasan. Murid yang suka membuat batasan kendiri (secara suka rela) lazimnya akan hanya melukis duit syiling Malaysia bernilai 1 sen, 10 sen, 20 sen dan 50 sen. Namun, murid yang berfikiran lebih terbuka akan menulis nilai yang lebih tinggi seperti RM99 juta, USD 10 bilion atau 100 ribu riyal.

Maklumat sosiometrik yang diperoleh kemudian dipindahkan dalam satu jadual taburan silang untuk rujukan guru bagi tujuan reka bentuk aktiviti pembelajaran yang berkesan. Memang sudah ada maklumat kad 001, SMM dan pangkalan data atas talian yang lain. Namun, keperluan pembelajaran yang berkesan perlu disokong oleh data sosiometrik seperti yang disarankan...

Saturday, June 9, 2012

KAEDAH MEMBERI NASIHAT DI SEKOLAH (CHILDREN READINESS)

Agama itu nasihat, ad-dinu nasihah. Imam al-Ghazali lewat kitab Biyadatul Hidayah telah memberi perincian tentang tatacara penyampaian nasihat yang berkesan. Jika semua orang mahu menerima nasihat secara suci hati dan suka rela, sudah pasti dunia ini akan aman sentosa, iaitu sunyi daripada sebarang bentuk pertelingkahan yang berpunca daripada kejahilan.

Nasihat ibarat harta yang sangat berharga. Maka, nasihat hanya boleh ditawarkan kepada orang yang bersedia menerima, menjaga dan memanfaatkan harta yang hebat itu. Nasihat bukan cakap kosong tepi jalan atau cakap-cakap di warung kopi.

Pemberi nasihat hendaklah memiliki ilmu yang sah, bukan sekadar agak-agak (spekulatif). Pemberi nasihat juga mesti bijak memilih orang yang tepat, masa yang tepat dan tempat yang tepat untuk menyampaikan nasihat. Pendek kata, pemberi nasihat umpama pakar psikologi, ahli politik yang pintar dan penjual idea yang dialu-alukan.

...

...

...

...

...


Friday, June 8, 2012

OLIMPIK DAN BULAN PUASA, BARAT TIDAK PEKA? (THE RIGHT CHOICE)

Kejohanan sukan olimpik musim panas bakal berlangsung di kota London pada bulan Julai ini. Tarikh yang dipilih itu bertemu dengan bulan Ramadan, iaitu ketika umat Islam menjalani ibadah puasa. Setakat ini belum ada bantahan rasmi dari organisasi sukan dalam kalangan negara umat Islam tentang hal berkenaan.

Namun, sudah muncul kritik tertentu bahawa Barat sengaja menguji sensitiviti umat Islam terhadap kesucian bulan Ramadan. Selain atlet Muslim yang mewakili pelbagai negara, siaran langsung kejohanan turut dipancarkan ke negara-negara umat Islam. Kita masih menunggu pandangan alim ulama tentang penglibatan atlet Muslim dan perhatian peminat sukan hingga mungkin menjejaskan tumpuan mereka terhadap ibadah puasa.

Memang benar bahawa tiada sesiapa yang memaksa untuk seseorang lekat di hadapan skrin televisyen untuk menonton acara sukan kegemaran mereka. Orang yang sedang berpuasa wajib mengawal diri mereka sendiri daripada segala urusan yang boleh melemahkan mutu puasa dalam konteks pencapaian maqam taqwa. Mereka kena terus bekerja dan belajar seperti biasa, membanyakkan amalan kebaikan dan kebaktian, serta menghindari urusan yang lagha (sia-sia).

Walaupun secara zahirnya, ibadah puasa ialah urusan individu, tetapi hakikatnya segala urusan individu umat Islam juga menjadi tanggungjawab masyarakat dan jemaah. Generasi umat awal Madinah yang pernah digelar sebagai bayangan masyarakat syurga oleh seorang pemikir Islam sentiasa menjalani aktiviti kehidupan secara jemaah (berpasukan) sama ada ketika ibadah khusus, mahupun aktiviti muamalat harian. Kekuatan jemaah itulah yang membolehkan risalah tawhid tersebar ke segenap penjuru alam, dan kepimpinan umat pernah menaungi pemerintahan dua per tiga dunia.

Aktiviti sukan dan riadah memang bukan perkara asing bagi masyarakat Islam. Malah, terdapat mafhum hadith yang menggalakkan umat menguasai kemahiran memanah, sekadar menyebut satu contoh. Kekuatan akal juga dihubung kait terus dengan kekuatan jasmani, al-aqlu's-salim minal jismu's-salim

Pembabitan atlet Muslim dalam sukan prestasi tinggi seperti olimpik bagaimanapun tetap tertakluk kepada peraturan syariat seperti aurat dan keutamaan ibadah khusus. Maka, pembabitan olimpik dalam bulan ramadan ialah suatu ujian berat kepada atlet dan juga masyarakat islam yang gemar menonton acara sukan. Sama ada benar atau tidak Barat sengaja menganjurkan olimpik pada bulan puasa bakal terjawab dalam tempoh yang terdekat, insya-Allah...