SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, September 30, 2013

PENGGUNAAN PERIBAHASA 'SEPERTI KADUK NAIK JUNJUNG' (EXCEEDING LIMITS)

Kaduk ialah sejenis tumbuhan (pokok renek), akar bugu, kudak, mengkadak, sirih duduk (Kamus Dewan edisi IV, 2005:653), manakala peribahasa seperti kaduk naik junjung bermaksud orang yang hina apabila mendapat pangkat dan lain-lain berbuat mengada-ada (Ibid; klik juga di sini). Dalam penggunaan harian biasa (orang awam). peribahasa berkenaan juga boleh dikaitkan dengan orang yang beroleh ehsan (simpati orang lain) kemudian berlebih-lebihan mengambil kesempatan. Contohnya, orang yang datang bertandang tiba-tiba cuba berlagak lebih daripada tuan rumah.

Dalam konteks perbincangan yang lebih bersifat ilmiah, kaum pendatang (dengan izin atau tanpa izin) sudah mula lupa diri dan mula membuat tuntutan yang tidak munasabah. Mereka mula membina petempatan, lalu memelihara binatang peliharaan yang mengganggu ketenteraman penduduk tempatan yang asal. Akhirnya, penduduk tempatan asal mula menjauhkan diri, sedangkan pendatang tadi sudah bermaharajalela.
klik paparan untuk lebih jelas
(sumber: klik di sini)

Golongan yang tidak belajar daripada sejarah biasanya tidak tahu erti mengenang budi. Terdapat komen dalam Yahoo yang memandang rendah lulusan aliran kebangsaan (sekolah kebangsaan, SK dan SMK) dengan label bengap (goons teach by goon who was also trained by goon lecturers at local goon university). Mereka sengaja memejamkan mata terhadap pengorbanan dan baik budi generasi yang dianggap goon itu dahulu yang sudi menerima nenek moyang mereka sebagai tetamu, jiran dan akhirnya mereka berada pada kedudukan sekarang.

Semasa susah dan merempat, golongan kaduk naik junjung itu bermanis muka bagi menyembunyikan niat jahat yang bersarang dalam minda sedar mereka. Perkara yang sama berlaku di bumi Palestin apabila pendatang Yahudi yang sungguh licik akhirnya berjaya menubuhkan rejim haram Tel Aviv. Demikian juga di Bosnia Herzegovina yang pernah menjadi mangsa pembersihan etnik oleh kaum Serbia yang pernah hidup berjiran dan bermanis muka, tetapi dalam hati mereka penuh kebencian terhadap masyarakat Bosnia.

Contoh di rumah ialah anak yang dimanjakan mudah jadi besar kepala dan bersifat angkuh sehingga berani meninggikan suara terhadap ibu bapa sendiri. Kalau di sekolah pula kerana terlalu ditatang bagai minyak yang penuh, murid yang berkelakuan seperti kaduk naik junjung mula berani melanggar peraturan sekolah dan tidak menghormati guru. Pendek kata, justeru menyangka diri mereka sudah terlalu mulia dan hebat, orang lain tidak lagi perlu dihormati.

Jika kaduk itu ialah sirih yang asalnya hidup di atas permukaan yang datar kemudiannya menjalar, lalu memanjat junjung atau pagar yang tinggi. Lama-kelamaan sirih menjadi dominan hingga menutupi junjung atau pagar yang dipanjat tadi. Maka, bermula dengan menumpang, akhirnya bersifat menguasai.
rupa daun kaduk sama seperti daun sirih
(sumber ambilan gambar di sini)

Dari segi saintifik, kaduk ialah sejenis tumbuhan herba yang hidup melata (klik di sini). Pada awalnya kaduk tumbuh menutup bumi, tetapi demi bertemu kayu pacak yang tinggi atau disebut junjung tadi, kaduk akan terus memanjat junjung itu. Namun, ketahanan kaduk agak lemah kerana tidak memiliki sistem sokongan untuk memanjat sebagaimana tumbuhan tumpang yang lain.

Iktibar peribahasa seperti kaduk naik junjung ialah golongan yang bersikap sedemikian harus diberi kesedaran dan keinsafan bahawa lagak mereka tidak akan ke mana-mana. Jika kaduk terus berleluasa sehingga melemahkan junjung yang ditumpang, maka pada akhirnya junjung akan patah dan kaduk ikut sama jatuh ke bumi semula. Segala kehebatan palsu yang dibanggakan oleh kaduk akan musnah serta-merta.

...

...

Friday, September 27, 2013

LARANGAN TELEFON BIMBIT DI SEKOLAH KEKAL (NO PERSONAL GADGET IN THE CLASSROOM)

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) membuat keputusan bahawa murid masih ditegah daripada membawa telefon bimbit ke sekolah justeru dikhuatiri boleh mengganggu tumpuan mereka terhadap pembelajaran (klik di sini, atau rujuk edisi bercetak Berita Harian, Jumaat 27.9.13 laporan muka hadapan). Ketetapan itu diumumkan oleh Datuk Mazlan Mohamad, Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian KPM. Namun, jika ada keperluan pada masa hadapan, pihak KPM terbuka untuk melaksanakan kajian selanjutnya. 

Isu kebenaran untuk murid membawa telefon bimbit ke sekolah menjadi hangat ekoran cadangan Datuk Dr. Wee Ka Siong, bekas Menteri Pelajaran, pertengahan tahun lepas. Pihak KPM kemudian mengadakan perbincangan meja bulat yang membabitkan tokoh akademik, pengetua, guru besar, ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan. Majoriti panel yang mengambil bahagian telah membantah keras cadangan yang dianggap lebih banyak membawa mudarat itu.

Soal selidik berskala besar dengan sejumlah 20,000 orang responden yang ditadbirkan oleh Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan (KPPK) mendapati bahawa 100 peratus responden mahu larangan berkenaan dikekalkan. Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 2/2009 dengan jelas tentang larangan itu. Peranti mudah alih seperti buku elektronik di Terengganu dan makmal komputer telah dibenarkan, tetapi tidak mengandungi aplikasi telefon pintar. 

Sudah pasti bahawa pihak yang tidak berpuas hati dengan ketetapan KPM yang terbaharu ini tidak akan berdiam diri. Mereka memberi alasan kegunaan telefon bimbit ketika kecemasan atau memaklumkan urusan mengambil anak di sekolah. Mereka mendesak supaya disediakan mekanisme supaya kawalan ketat tentang penggunaan telefon bimbit semasa sesi pembelajaran asalkan murid dibenarkan juga membawa gajet berkenaan ke sekolah atas sebab keselamatan.

Aplikasi pengesanan kedudukan pengguna telefon bimbit menerusi sistem GPS Track membolehkan ibu bapa memantau kedudukan anak-anak. Malah, kes ponteng dan kejadian culik yang semakin membimbangkan ibu bapa yang berada didakwa dapat dibendung. Telefon bimbit pintar berfungsi sebagai peranti keselamatan kanak-kanak.

Alasan lain yang biasa didengar ialah murid tetap membawa telefon bimbit secara sembunyi kerana saiznya yang tipis dan reka bentuk yang mengelirukan. Buktinya, pelbagai rakaman video yang dimuat naik ke laman sosial facebook dan you tube. Kegunaan telefon bimbit dalam kalangan murid boleh dijuruskan ke arah kebaikan jika kena gayanya, dakwa kumpulan itu.

Hakikatnya pihak sekolah sudah terlalu banyak perkara yang perlu diuruskan, termasuk hal ehwal disiplin murid yang semakin rencam. Generasi muda sekarang sudah jauh berbeza dengan zaman ibu bapa mereka dahulu. Pendedahan terhadap maklumat di hujung jari mengakibatkan perspektif mereka mudah dipengaruhi oleh pelbagai sumber yang tidak diketahui statusnya.

...

...

...

Wednesday, September 25, 2013

BERSAHABAT DENGAN ORANG JAHAT? (THE LIMIT OF RELATIONSHIP)

Peribahasa Melayu mengatakan bahawa 'buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali'. Maksudnya kebaikan dan kebaktian yang dilakukan hendaklah mengambil kira keupayaan diri sendiri dan keutamaan tindakan yang berkenaan. Berbuat jahat jangan sekali bukan pula bermakna kena jahat berkali-kali, tetapi jangan sekalipun!

...

...

...

...

...

...

...

...

...

Tuesday, September 24, 2013

MELUKIS KELUK MESTI SABAR DAN ADA STRATEGI (REAL TIME LEARNING BY DOING)

Dalam pembelajaran ekonomi, keluk ialah alat untuk menjelaskan sesuatu konsep, prinsip, teori dan hukum ekonomi menerusi hubungan antara sekurang-kurangnya dua pemboleh ubah. Alat lain untuk tujuan yang sama ialah model, persamaan, rumus dan pelbagai carta. Namun, pada akhirnya, pelajar ekonomi mesti menguasai penjelasan ekonomi tanpa merujuk keluk, model, persamaan, rumus dan pelbagai carta.

Proses melukis keluk sama seperti kerja membuat pelan atau kerja memasak. Ada bahan yang perlu disenaraikan terlebih dahulu, lalu diikuti dengan langkah-langkah melaksanakan kerja hingga selesai. Dalam bahasa pembelajaran, pelajar ekonomi mesti memiliki kemahiran generik tertentu (klik di sini).

Berdasarkan pengalaman peribadi penulis blog (PB), pelajar ekonomi yang cemerlang mampu melukis keluk dengan tepat justeru mereka memang mantap dari segi teori terlebih dahulu. Mereka dapat melabel paksi, keluk dan titik keseimbangan dengan tepat. Semua keperluan teori berjaya dipenuhi dengan hubungan geometrik antara keluk yang jitu.

Sebagai contoh, pelajar dikehendaki menerangkan proses penyesuaian firma persaingan sempurna dalam kes untung kurang normal. Secara teori, apabila berlaku kerugian, sebahagian firma dalam pasaran PS akan keluar dari pasaran, manakala firma yang masih berada dalam pasaran akan mengurangkan pengeluaran. Maka, penawaran pasaran (industri) secara keseluruhan akan berkurang, dan keluk penawaran akan beralih ke kiri, dengan andaian permintaan adalah tetap.
penyesuaian firma persaingan sempurna untung kurang normal / rugi
(lembaran latihan grafikal pelajar LA1, SMK St. Michael, Ipoh)

Keadaan rugi ditunjukkan apabila pada keluaran seimbang (berasaskan lokus MR = MC), AC > AR. Bagi menjelaskan penyesuaian, keluk SAC asal (SACo) perlu diletak disebelah kanan LAC, iaitu pada bahagian LAC sedang naik. Pastikan bahawa titik sentuh SACo dengan LAC berlaku selepas titik minimum SACo dan kemudian terus berpisah dengan LAC ke kiri sedikit, iaitu masih berbentuk separuh U.

Langkah pertama ialah menyediakan paksi dan label, kemudian terus tunjukkan kedudukan untung normal firma PS, iaitu pada titik minimum LAC = minimum SAC1 = AR = MR = SMC1 = LMC = DD = P, iaitu keluaran optimum pada loji optimum, atau kapasiti penuh / tiada pembaziran. Sambung AR secara mendatar ke keluk industri di sebelah kiri. jangan lupa label E1, P1, Q1 kerana untung normal ini berlaku dalam jangka panjang.

Masalah yang dihadapi ialah untuk melukis keluk SMCo kerana keluk ARo perlu diletak di bawah AR1. Maka, jarak antara titik keseimbangan MR = SMCo dengan titik sentuh Qo dengan SACo begitu jauh, sambil perlu dijaga supaya jangan sampai SMCo kelihatan terlalu tegak, atau garis Qo gagal menyentuh SACo.

Cara terbaik ialah menanda lokus titik sentuh pada SACo, kemudian tarik hingga ke paksi keluaran sebagai Qo. Titik silang Qo dengan ARo akan digunakan sebagai titik keseimbangan Eo. SMCo dapat dibentuk dengan mudah iaitu menyambungkan titik keseimbangan Eo dengan titik minimum SACo.

Kawasan kerugian boleh ditunjukkan menerusi TR -TC atau perbezaan antara AR dengan AC pada garis Qo. Contohnya rugi / untung kurang normal itu dinyatakan sebagai PoEoAP2. Akhir sekali lukis LMC yang memotong minimum LAC, tetapi harus kelihatan lebih landai daripada SMC.

Bagi tujuan latihan, pelajar ekonomi digalakkan menggunakan pen atau pensil yang berlainan warna bagi mengelakkan kekeliruan akibat terlalu banyak keluk. Biasanya proses melukis keluk mesti dibuat berulang-ulang sehingga betul-betul jitu dan tepat, serta selaras dengan penjelasan teori. Maka, kesabaran dan strategi perlu dipelajari atau direka bentuk terlebih dahulu ...

Monday, September 23, 2013

MENGENAL PASTI UCAPAN BERBAUR SKANDAL (HIGH CLAIM OF MISDEED)

Orang yang cakna dan peka akan dapat menangkap sesuatu mesej hanya dengan mendengar cakap-cakap secara spontan walaupun hanya sepatah. Pakar pemasaran, penulis skrip dan guru ialah antara golongan yang memiliki kebolehan berkenaan. Namun, untuk mencungkil maklumat yang lebih lanjut, strategi yang tepat sangatlah penting supaya prospek pemberi maklumat sanggup bekerjasama.

Sebagai contoh, guru harus memberi perhatian terhadap murid yang selalu terlepas cakap kerana sifat ekstrovert yang tidak lekang daripada pembawaan mereka. Ujaran provokatif seperti guru hanya memberi perhatian kepada murid atau kumpulan murid yang tertentu mungkin membuat seseorang guru tersentak. Guru harus dengan segera membuat muhasabah diri bagi memastikan bahawa perkara itu tidak berlaku.

Ayat-ayat yang bersifat separuh benar atau sekadar memancing emosi boleh diklasifikasikan sebagai skandal (baca takrif skandal di sini). Orang awam mungkin memandang skandal yang berskala besar sahaja seperti pelakuan tidak bermoral, jenayah kolar putih dan sebarang pakatan yang berniat buruk. Hakikatnya, skandal juga perlu dilihat dalam konteks skala yang lebih kecil.

Skandal merujuk kepada sesuatu yang tidak kena atau sesuatu yang tidak wajar dalam proses membuat keputusan dan memberi layanan. Profesor Dr. Sidek Baba dalam buku beliau 'Seteguh Tekad' (klik di sini) merungut betapa ironi murid yang memiliki paras rupa yang menawan, datang daripada latar belakang keluarga tertentu dan berpencapaian baik sahaja mendapat layanan relatif lebih banyak. Sebaliknya, murid kurang beruntung sering terpinggir dan tersisih. 

Sudah menjadi naluri manusia mudah tertarik kepada kecantikan, keindahan dan budi bahasa. Namun, sebagai ahli ikhtisas, kaum guru terikat kepada etika dan konsep pendemokrasian pendidikan, iaitu memberikan pendidikan bermutu untuk semua murid. Dalam kata lain, semua murid diberi layanan yang adil berdasarkan prinsip aksesibiliti dan ekuiti dalam proses pembelajaran.

Maka, apabila terdapat aduan atau tema percakapan tentang diskriminasi layanan guru, langkah pembetulan tanggapan perlu dilakukan serta-merta. Jika dibiarkan sesuatu anggapan itu berlarutan, unsur skandal telah mula membenih dan tidak mustahil akan berkembang sebagai fitnah yang berbahaya. Perkara seumpama itu boleh menjejaskan kemuliaan kerjaya keguruan dan seterusnya mempengaruhi kepercayaan masyarakat terhadap pelaksanaan agenda pendidikan di sekolah.

Prinsip nilai murni merentas kurikulum mencerminkan tugas pendidikan yang sebenar. Sepatutnya, hanya perkataan, ungkapan dan ayat yang baik-baik sahaja digalakkan berkembang. Murid beroleh pengalaman pembelajaran yang luhur dan suci supaya muncul sebagai insan budiman dan berdikari apabila melangkah ke alam dewasa kelak.

Harapan terhadap dunia pendidikan di sekolah memang sentiasa demikian tinggi. Namun, tindakan yang bersifat spontan dan idak dirancang juga sering berlaku. Peluahan perasaan kadang-kadang tidak dapat dibendung sebagaimana peribahasa biar pecah di perut, jangan pecah di mulut.

Jalan yang paling baik ialah berpegang kepada amalan terbaik dalam pendidikan. Sudah tentu bahawa guru lebih dewasa dan lebih matang berbanding dengan murid yang masih remaja. Guru harus sentiasa bersabar dengan kerenah murid yang tidak menentu dan segera mencari jalan keluar daripada perangkap minda tidak puas hati.

Dari segi psikologi, dalam keadaan tertentu, peluahan perasaan adalah lebih baik daripada dipendamkan. Namun, cara dan tempat perasaan itu diluahkan perlu diberi pertimbangan yang halus dan teliti. Guru harus dapat membimbing murid untuk menyuarakan luahan perasaan secara beradab, tetapi ikhlas dan telus ...

Saturday, September 21, 2013

MOTIVASI BELAJAR: ERTI KECEMERLANGAN DALAM PENCAPAIAN (THE SKY'S THE LIMIT OF SUCCESS)

Pelajar yang dikasihi,

Ucapan Tuan Haji Hashim bin Abdul Karim, pengetua Star, Ipoh semasa majlis bacaan Yasin dan solat hajat perdana PMR dan SPM malam tadi mengembalikan kenangan penulis blog (PB) ketika memegang amanah sebagai ketua unit kaunseling, Sekolah Menengah Teknik Ipoh, Persiaran Brash. Seorang murid perempuan keturunan Cina ingin mendengar pendapat kaunselor tentang cara untuk meningkatkan Kimia, walaupun dia telah mencatat 86 peratus dan terbaik di sekolah. Dalam kata lain, dia tidak cepat berpuas hati dengan apa-apa adanya, lalu mahu berusaha dengan lebih bijak dan kuat kerana sedar bahawa persaingan tidak hanya terhad di sekolah teknik.
Tuan Haji Hashim bin Abdul Karim, 54

Tuan Haji Hashim menceritakan bahawa seorang bekas pelajar Star yang aktif dalam sukan ragbi hanya mencatat keputusan 6A, 3B dalam SPM, tetapi terpilih mengikuti kursus persediaan luar negara. Badrun berusaha keras dan akhirnya mencatat kejayaan cemerlang dalam kursus berkenaan dan bakal berangkat ke United Kingdom untuk pengajian peringkat ijazah. Dia berasa tercabar kerana seorang pelajar keturunan Cina masih tidak berpuas hati dengan markah 95 yang dicatat dalam satu mata pelajaran.

Peribahasa Inggeris the sky is the limit dikatakan lebih kerap diungkapkan ketika kapal terbang mula-mula dicipta (klik di sini). Jika tiada manusia yang berfikiran di luar kotak begitu, nescaya pada hari ini, kita masih perlu mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk tiba di Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, India atau untuk menunaikan ibadah haji di Makkah. Malah, pengangkutan tradisional kereta api juga telah mengalami perubahan teknologi pergerakan dan mesra alam yang begitu menakjubkan.

Pelajar yang dimuliakan,

Bagaimanakah kita hendak menetapkan sasaran yang lebih tinggi bagi pembelajaran kita tanpa hanya berpuas hati dengan pencapaian seadanya? Mampukah kita mencontohi kegigihan ahli falsafah, cendekiawan dan ulama silam yang sanggup mengembara bertahun-tahun lamanya, serta berjauhan daripada keluarga, semata-mata untuk menemukan kebenaran dan ilmu yang sah? Adakah dalam era maklumat di hujung jari ini, kita masih bermalas-malas dan hanya suka melayan panjang angan-angan?

Jika kita masih di takuk lama dan bersikap selesa dengan seadanya, maka jelaslah bahawa sementara orang lain meluru ke hadapan, kita masih bertatih di kedudukan tercorot. Kita terpedaya dengan imaginasi dan paradigma palsu. Kita dibuai khayalan yang tidak berpijak di bumi nyata, iaitu mengharapkan muncul lampu ajaib sepertimana kisah dongeng Aladin yang masyhur itu.

Walaupun pihak sekolah tidak pernah berhenti untuk mencungkil bakat terpendam kalian yang dikatakan berjumlah 120 itu, kalian juga perlu memiliki kesedaran kendiri. Selagi tubuh badan kalian masih sihat dan akal masih ligat berputar, ayuh, cari jalan menuju puncak kecemerlangan. Mulakan langkah kalian dengan betul, iaitu pantang mundur sebelum berjuang hingga ke titisan peluh yang terakhir.

Pelajar yang dirahmati,

Harga sebuah kejayaan ialah pengorbanan, susah payah dan pilihan yang bijaksana. Doa restu ibu bapa, keluarga, guru dan orang yang menyayangi kalian wajib sekali didambakan. Kalian tidak betah bersendirian dalam menempuh liku dan ranjau pembelajaran seumpama meredah gelora lautan yang tidak bertepi!

Langkah pertama ialah sikap yang tepat dan sentiasa mengalu-alukan ungkapan yang baik-baik tentang pencapaian pembelajaran. Hasutan negatif dijadikan sempadan supaya kita tidak tercampak dalam kegagalan yang serupa. Kita sentiasa dekat dengan magis inspirasi dan tidak mudah dipengaruhi oleh ajakan yang menjurus terhadap kebinasaan.

Terdapat sekian banyak contoh daripada insan pintar yang mencapai kejayaan hidup walaupun tidak melalui pendidikan formal yang tinggi. Sepasang suami isteri penjual pisang goreng di Taman Cempaka, Ipoh suatu ketika dahulu pernah berkongsi cerita. Mereka asalnya merantau dari Kedah dan hanya bekerja kilang.

Pelajar yang dihormati,

Suami isteri tadi menyedari tiada kesudahannya dengan hanya bergantung harap kepada pendapatan kecil bekerja kilang. Lalu, dengan kebolehan asas menggoreng pisang, mereka mula berniaga di dataran perniagaan (taman selera) Taman Cempaka yang menjadi tumpuan pelajar Maktab Perguruan Kinta (kini telah diambil alih oleh Politeknik Ungku Omar), penghuni asrama Star, sekolah teknik, Izzuddin dan orang awam. Dalam tempoh yang singkat, pasangan suami isteri berkenaan berjaya membeli van dan sebuah rumah teres di situ. Kini, kelibat mereka tidak lagi kelihatan, barangkali telah berjaya membeli hartanah dan membuka perniagaan lain di kampung halaman asal mereka di Kedah.

Peribahasa Melayu mengatakan bahawa jika tidak dipecahkan ruyung mana(kan) dapat sagunya. Demi pencapaian matlamat yang dituju, jalan yang tepat mesti dicari terlebih dahulu. Setelah itu, perancangan yang rapi mesti dilakukan, iaitu sama seperti peraturan tukang kayu: ukur dua kali, potong sekali sahaja. Lakarkan lintasan fikiran kalian pada kertas dan susun sehingga menjadi benar-benar konkrit serta boleh dilaksanakan berdasarkan prinsip SMART (spesifik, boleh diukur, boleh dicapai, munasabah dan ada jangka masa tertentu).

Pelajar yang berbahagia,

Humban jauh-jauh segala perasaan rendah diri atau lemah yang bersarang dalam diri. jangan biarkan perasaan serba salah dan takut menghantui kita hingga kita hanya mampu tidur dan melayan mimpi yang tidak kesampaian. Marilah kita bingkas bangkit melepaskan belenggu kesilapan yang lalu. Marilah kita membina impian yang baharu, imaginasi yang indah-indah dan menamatkan zaman leceh kita. 

Biarlah hanya cinta yang bersemi dalam sanubari kita menuju kecemerlangan dunia dan akhirat. Kita melihat kesempatan yang terbentang luas di hadapan kita. Kita berusaha, lalu berdoa  dan pasrah justeru Allah Maha Mengetahui waktu yang tepat untuk menganugerahkan kecemerlangan kepada diri kita, insya-Allah.

Akhir kata, kecemerlangan dalam pencapaian pembelajaran bererti sempadan yang tidak pernah kelihatan. Di samping berusaha bersungguh-sungguh, kita sentiasa mendambakan doa ibu bapa, kaum keluarga, guru dan rakan karib agar mampu melewati masa-masa sukar yang mungkin menggugat kemaraan kita ke puncak kecemerlangan. Sesungguhnya, kalian berhak menikmati kejayaan yang tertinggi dalam pembelajaran, amin.

Makan kacang di bilik pakaian
Sesal pula tiada etika
Kejayaan cemerlang milik kalian
Asal kena cara dan ketika

Sekian buat kali ini. Assalamualaikum dan salam kecemerlangan.

Friday, September 20, 2013

HASHIM YAACOB PROFESOR PERGIGIAN KINI DI UNIVERSITI QUEST (THE RARE MULTI-INTELLECTUAL FIGURE)

Bapanya penoreh getah yang hidup dalam keadaan seadanya. Di belakang rumahnya terdapat bukit bukau yang ditumbuhi pokok yang menghijau. Bapanya selalu berpesan supaya menjadi seperti pokok yang berada di puncak tertinggi di bukit berkenaan.

Dia tidak pernah mendengar bapanya memuji kecantikan ibunya, maka dialah yang melafazkan pujian yang sangat didambakan oleh sekalian kaum wanita. Berkat pesanan ayahanda dan doa ibu, dia akhirnya mencapai puncak kerjaya dalam dunia akademik sebagai Naib Canselor Universiti Malaya sebelum bersara dan menyertai beberapa buah institut pengajian tinggi swasta juga sebagai naib canselor. Walaupun mengkhusus dalam pengajian pergigian, pemilik nama Hashim Yaacob juga pejuang bahasa Melayu dan penggiat budaya.
sumber ambilan gambar di sini

Hashim Yaacob tidak meninggi diri, malah bersifat kelakar apabila berhadapan dengan khalayak remaja. Permintaan pelajar SMK Raja Perempuan Ipoh (RPS) ketika ceramah motivasi beliau pagi tadi supaya beliau menyanyi ditunaikan dengan tajuk "Sunyi Sepi'. Beliau pun berdiri sahaja dan kemudian mengatakan, "sekianlah sahaja persembahan nyanyian saya".  (Biodata Profesor Hashim Yaacob:  klik di sini).

Penulis blog (PB) berada dalam satu majlis dengan Profesor Hashim sewaktu pertemuan pelajar sarjana pendidikan dengan naib canselor. Dalam majlis berkenaan, beliau mengumumkan pelantikan Profesor Dr. Suffean Husin sebagai dekan baharu fakulti pendidikan bagi menggantikan Profesor Dr. Nik Azis Nik Pa supaya sejajar dengan dasar pentadbiran UM yang baharu, iaitu mesra pelajar. Prof. Hashim tidak membaca teks ucapan yang disediakan, sebaliknya membuka majlis untuk soal jawab secara langsung tanpa protokol yang berlebihan.

Ibu bapa Prof. Hashim tidak pernah bersekolah, tetapi memiliki pengamatan yang begitu tajam dan gigih berusaha bagi menanggung persekolahan anak-anak. Selain menoreh getah ketika hening selepas Subuh, pak cik Yaakob juga mengerjakan sawah padi pada sebelah pagi dan menarik beca pada sebelah petang dan malam. Prof. Hashim menyuruh budak RPS meneka pekerjaan ibu beliau.

Jawapan yang diterima ialah suri rumah. Lagi? Suri rumah tangga!

Ibu saya tidak semalas itu. Ibu saya turut menoreh getah dan membanting padi. Cuma ibu saya tidak menarik beca seperti ayah.

Prof. Hashim membulatkan mata kepada budak RPS menyebabkan mereka ketawa berderai. Beliau menyambung bahawa ketika di kampung, ibunya hanya berpeluang duduk di kerusi rotan. Maka, apabila beliau menyandang jawatan naib canselor, beliau memberi peluang kepada ibunya duduk di kerusi empuk naib canselor dan beliau sendiri berdiri di sisi ibunya.

Kerusi empuk naib canselor UM hakikatnya panas, mudah dibadai oleh angin kencang yang kejam. Namun, oleh kerana ibu beliau telah menanam akar tunjang yang kukuh dalam diri Profesor Hashim sejak kecil, beliau mampu bertahan walaupun hanya selama tiga tahun. Semasa era beliau sebagai naib canselor, UM pernah berkedudukan universiti ke-87 terbaik dunia berdasarkan penarafan Times Higher Educations.

Menutup bicara, Prof. Hashim mengatakan betapa orang berilmu tetap dihargai walaupun telah bersara daripada dunia akademik. Keinginan untuk berkebun di kampung terpaksa dilupakan justeru keperluan menyebarkan ilmu dan berkongsi kepakaran lebih utama. Bahkan, beliau sempat mengingatkan institut pengajian tinggi swasta (IPTS) ialah laluan bagi pelajar yang lambat mencapai kematangan dan kesedaran untuk berjaya, lalu terpaksa menanggung kos pengajian yang lebih tinggi ...

Thursday, September 19, 2013

SKRIP PENGACARA HARI ANUGERAH KOKURIKULUM (PROTOCOL HONOURABLE ADDRESS AND WELCOMING SPEECH)

HARI ANUGERAH KOKURIKULUM 2013
SKRIP PENGACARA MAJLIS


Q
:
Setelah mendapat isyarat pengarah majlis (Pn. Fairoz Alias), majlis dimulakan

A
:
Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Selamat pagi dan salam sejahtera.

Untuk makluman hadirin, majlis perhimpunan mingguan rasmi sekolah
pada pagi ini dikhususkan untuk Hari Anugerah Kokurikulum SMK St.
Michael, Ipoh tahun 2013.  Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu
“Negaraku’ dan lagu negeri Perak dengan iringan pasukan pancaragam
 sekolah. Hadirin diminta bersedia.

Q
:
Usai nyanyian, acara diteruskan dengan ucapan terima kasih, protokol

A
:
Terima kasih atas nyanyian penuh semangat sebentar tadi.
Hadirin dipersilakan duduk.

Yang Berusaha, Puan Loh Wei Seng, Pengetua Cemerlang SMI,
Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim,
Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum,
Drs. Rajendran Naidu a/l Kannayar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid,
Puan Tan Cheng Choo, Penolong Kanan Tingkatan 6,
guru-guru kanan,
Puan Fairoz binti Alias, pengarah Hari Anugerah Kokurikulum SMI tahun 2013 dan jawatankuasa beliau, pemimpin pelajar, penerima anugerah,
hadirin yang dikasihi sekalian.

Bersyukur kita ke Hadrat Ilahi, justeru dengan Inayah dan Kurnia-Nya, majlis hari anugerah kokurikulum ini dapat diadakan. Majlis diteruskan dengan bacaan doa. Dipersilakan pengawas yang bertugas.

Q
:
Usai bacaan doa, dan pentas telah sedia, jemput pengetua menyampaikan ucapan. Serangkap pantun dibacakan terlebih dahulu.

B
:
Terima kasih atas bacaan doa sebentar tadi.
Mari singgah di desa nan indah
Berseri bunga mekar menawan
Nyanyi sudah doa pun sudah
Mari kita mendengar ucapan

Majlis mempersilakan Yang Berusaha, Puan Loh Wei Seng, pengetua cemerlang SMI untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis hari anugerah kokurikulum SMI tahun 2013.

Q
:
Selesai ucapan dan pengetua mengambil tempat, ucapkan terima kasih dan mulakan sesi penyampaian sijil

B
:
Majlis merakamkan setinggi-tinggi terima kasih atas ucapan Puan Loh Wei Seng sebentar tadi. Semoga ucapan yang sarat dengan harapan dan pesanan itu melonjakkan semangat warga SMI untuk terus memacu daya usaha ke mercu kecemerlangan kokurikulum.

Majlis penyampaian hari anugerah kokurikulum dimulakan.

Q
:
Serahkan mikrofon kepada pengacara C.

C
:
Kepimpinan ialah proses mempengaruhi orang lain untuk mencapai matlamat yang ditetapkan. Sudah terbukti bahawa SMI telah sekian lama menjanakan calon pemimpin hingga ke peringkat antarabangsa.

Di samping itu, aspek perkhidmatan dan kesukarelaan juga diberikan perhatian penting dalam kerangka pendidikan di SMI. Sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin pelajar, badan perkhidmatan dan kesukarelaan, majlis dengan sukacitanya mempersilakan Encik Ahmad Kemunchak bin Abdul Karim, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum, tampil ke pentas bagi menyampaikan sijil kepujian.
 
Q
:
Tunggu hingga En. Ahmad bersedia di pentas.

C

:

Penerima anugerah kepimpinan dan perkhidmatan pelajar SMI 2013:

1   Pengawas Sekolah, diwakili oleh Seran Nicholas Pillai a/l Yogarajah, US1
     ketua pengawas SMI 2012/2013
2   Pengawas Pusat Sumber Sekolah: Loo Yee Wai, US1
3   Lembaga Ketua Kelas:  Daniel Phuan Soon Lee, US1
4  Lembaga Koperasi Sekolah:  Muhammad Zikri bin Mat Zaki, UA1
5  SPBT:  Amru Khaldun Solihuddin, 5S6
4  Siar Raya: Au Hsien Loong, US5
5  Quartermaster:  ______________________________
6  Jurugambar Sekolah:  __________________________
7  Sidang Redaksi Majalah:  Cheryl Francis, UA1

Seterusnya sijil kepujian dianugerahkan kepada jawatankuasa persatuan dan kelab yang akan diwakili oleh pengerusi masing-masing.

1  Kelab Adams
2  Kelab Anti-Dadah:  Amir Shaharuddin bin Shariffuddin, 5V3
3  Persatuan Bahasa dan Kebudayaan Melayu:  Meor Hafizie Suhaimi, 5V3
4  Kelab Perbahasan Bahasa Inggeris: Bryan Cheah Sean Yang, 5S5
5  Kelab Interact:  Marcus Wong Zhong Kee, 5S1
6  Kelab Kemahiran Hidup:  Wong Ting Chun, 5S3
7  Kelab Komputer:  Choh Yu Heng, 5S4
8  Persatuan Pengguna:  Rooban a/l Baskaran,  4S4
9  Kelab Perakaunan Ekonomi Commerce (PEC):
                        Sharmeendran a/l Muniandy, 5S5
10  Kelab Leo:  Aw Jia Hang, 5S1
11  Persatuan Pendidikan Islam:  Muhammad Nabil Syamil bin Roslan, 5S2
12  Kelab Alam Sekitar:  Muhamat Asyraf Qutty bin Mohamat Adek, 3A7
13  Persatuan Sains:  Subashan a/l Vadibeler, 5S4
14  Persatuan Matematik:  Lee Hong Lam, 5S3
15  Persatuan Geografi:  Muhammad Zulfikri bin Kamaruddin, 4S1
16  Persatuan Sejarah:  Tharma Devan a/l Sivanathan, 5V2
17  Persatuan Bahasa Inggeris (MELS):  Leow Mun Hoe Brian, 5S4
18  Kelab Pencegahan Jenayah:  Syed Uduman Ali bin Ahmad Jaleel, 5S3
19  Kelab Rukun Negara:  Sundeep Singh Bhullar, 5S3
20  Kelab Koperasi
21  Persatuan Pendidikan Moral
21  Persatuan Bahasa Cina:  Tea Yean Jeck, 5S4
22  Persatuan Bahasa Tamil:  Stephen Mohan Raj a/l Selvam, 3A3
23  Persatuan Agama Buddha:  Ng Juen Theng, 5V1
24  Persatuan Komuniti Katholik:  Clifford Anthony Miranda
25  Persatuan Persaudaraan Kristian:  Alexander Khor, 5S1
26  Persatuan Bahasa Punjabi:  Kunal Dass, 5V1

Terima kasih Encik Ahmad Kemunchak. Tahniah penerima sijil kepujian.
Q
:  
Tunggu hingga En. Ahmad mengambil tempat beliau semula. Pengacara A bersedia untuk penyampaian sijil unit beruniform dan permainan.

A
:
Penerapan disiplin yang tinggi ialah insurans atau jaminan kecemerlangan dalam proses pembelajaran dan organisasi. Demikian juga dalam aktiviti permainan yang memerlukan kemahiran dan semangat berpasukan.

Acara seterusnya ialah penyampaian sijil kategori unit beruniform dan permainan. Bagi menyampaikan sijil penghargaan kepada jawatankuasa unit beruniform dan permainan, majlis dengan segala hormatnya mempersilakan Drs. Rajendran Naidu a/l Kannayar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SMI  tampil ke pentas.

Sijil akan diterima oleh pengerusi persatuan dan kelab sebagai mewakili keseluruhan jawatankuasa yang dianugerahkan penghargaan.

Kategori Unit Beruniform
1  Pasukan St. John Ambulans:  Saw Ray Mond, 5S
2  Kadet Remaja Sekolah:  Mior Muhammad Azfar bin Mior Shafuddin, 4S4
3  Pertubuhan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM):
                         Muhammad Syahmi Sufi bin Badrudzamam, 5S4
4  Karate-Do:  Danial Aizat bin Ruslan, 5S4
5  Michaelian Chinese Orchestra (MCO):  Lee Hong Lam, 5S3
6  Pengakap Remaja:  Master Kavinatha/l Ganesan,
7  Silat:  Abdul Mursyid Nur Iman bin Abd. Manan, 3A2
8  Tae-Kwondo:  Muhammad Mustaqim bin Mohd, Mansor, 5S5
9  Pasukan Kadet Bomba:  Muhamad A’limi bin Mohd Zainuddin, 5V2

Kategori Permainan
1  Kelab Badminton:  Simon Michael, 5S3
2  Kelab Bola Keranjang:  Bryan Wong Wen Lun, 5S1
3  Kelab Bola Sepak:  abang Zaim Othman bin Abdul Rahman, 5S3
4  Kelab Catur Antarabangsa:  Kiew Chun Hoe, 5V2
5  Kelab Bola Tampar:  Alexander Khor, 5S1
6  Kelab Kriket:  Nareenthiran a/l Mavalavan, 5S6
7  Kelab Olahraga:  abdul Mukhriz Nur Iman bin Abdul Manan, 5S6
8  Kelab Sepak Takraw:  Danial Aizat bin Ruslan, 5S4
9  Kelab Sofbol:  Syed Uduman Ali, 5S3
10  Kelab Ping Pong:  Kwan Shien Yie, 5S5
11  Kelab Catur Cina:  Chan Guang Zhi, 5S6
Terima kasih Drs Rajendran Naidu dan tahniah kepada penerima sijil.

Q
:
Tunggu hingga Drs Rajendran mengambil tempat beliau semula.
Pengacara B bersedia untuk slot sijil jawatankuasa tingkatan 6.

B
:
Penjenamaan semula pengajian prauniversiti tingkatan 6 turut membabitkan penyusunan semula kegiatan kokurikulum yang menjurus terhadap proses memupuk kepimpinan, kebajikan, perkhidmatan dan kesukarelaan dalam kalangan pelajar di tahap yang lebih tinggi. Maka, pengurusan program kokurikulum tingkatan 6 dikendalikan secara khusus dan tersendiri.

Bagi menyampaikan sijil penghargaan dan kepujian kepada jawatankuasa kelab dan persatuan, unit beruniform dan permainan tingkatan 6, majlis dengan sukacitanya mempersilakan Puan Tan Cheng Choo, Penolong Kanan Tingkatan 6, tampil ke pentas.

Q
:
Tunggu sehingga Puan Tan bersedia di atas pentas, baca senarai penerima secara berterusan.

B
:
 Penerima sijil akan diwakili oleh pengerusi masing-masing.

Kategori Unit Beruniform
1  Pasukan Ambulans St. Johs:  Tan Jia Hui, US4
2  Kadet Bomba:  Phuan Soon Lee, US1
3  Karate-Do:  Lee Yik Hoe, US1
4  Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM):  Chin Lai Yen, UA2
5  Pangakap:  H’ng Yee Jin, UA2
6  Tae-Kwondo:  Nursabriena, US5
7  Wu-Shu:  Ng Kah Choon Tony, UA2

Kategori Persatuan / Kelab
1  Adams:  Wong Soon Kee, US1
2  Persatuan Bahasa Cina:  Nichaolas Ooi, US2
3  Persatuan Bahasa Tamil:  Charles Hiliary  Raj, UA1
4  Kelab Fotografi:  Liew Chin Chin, US2
5  Kelab Heritage:  Brandon Lee, US2
6  Rotract:  Sharivineswary, US5
7  Kelab Komputer:  Soo Dyckson, US2
8  Persatuan Bahasa Inggeris (MELS):  Sean W. Howell, US1
9  Kelab Penulisan dan Penerbitan:  Cheryl Francis, UA1
10  Majlis Tingkatan 6:  Muhammad Imran bin Abd. Razak, UA2

Kategori Permainan
1  Kelab Badminton:  Goh Zhen Yuen, US1
19  Kelab Bola Jaring:  Chin Lai Yen, UA2
20  Kelab Bola Keranjang:  Chan Jee Chong, US4
21  Kelab Bola Tampar:  Wong Foh Joon, UA2
22  Catur Antarabangsa:  Ng Zi Hua, US1
23  Catur Cina:  Kieran Chu, US5
24  Ping Pong:  Chin Chuan Ying, US3
25  Futsal:  Devananthan, US2

Terima kasih Puan Tan Cheng Choo. Tahniah penerima sijil.

Q
:
Tunggu sehingga Puan Tan mengambil tempat beliau semula. Pengacara C bersedia untuk mengumumkan persembahan pancaragam. Mulakan dengan serangkap pantun.
.
C
:
Sehabis merah daun yang sihat
Dahan melebar bercerita sakan
Majlis anugerah mohon berehat
Persembahan pelajar kita saksikan

Sebelum meneruskan acara, marilah sama-sama kita menyaksikan persembahan muzik yang harmoni oleh pasukan pancaragam sekolah. Mereka bakal mempersembahkan tiga buah lagu.

Q
:
Usai persembahan, ucapkan terima kasih dan tunggu sehingga mereka keluar dari kawasan persembahan.

A
:
Terima kasih pasukan pancaragam sekolah. Sebagai makluman hadirin, pasukan pancaragam SMI memiliki pencapaian yang cemerlang dan pernah bertanding, serta mencatat kejayaan di peringkat kebangsaan.

Q
:
Pengacara B meneruskan acara penyampaian sijil pencapaian kokurikulum peringkat daerah, negeri dan kebangsaan. Jemput Puan Loh Wei Seng, ke pentas. Tunggu sehingga beliau bersedia sebelum mengumumkan senarai penerima anugerah.


B
:
SMI berada dalam zon sekolah premier yang bersaing hebat untuk merebut tempat ke peringkat daerah Kinta Utara yang juga sangat mencabar berbanding dengan daerah lain di negeri Perak. Maka, pelajar yang berjaya muncul sebagai pemenang peringkat zon dan daerah Kinta Utara sudah boleh dianggap sangat cemerlang. Setelah itu, laluan ke peringkat negeri dan kebangsaan lebih cerah.

Bagi mengiktiraf pencapaian kecemerlangan kokurikulum pelajar SMI di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan, majlis dengan sukacitanya mempersilakan Puan Loh Wei Seng, Pengetua Cemerlang SMK St. Michael, Ipoh untuk menyampaikan sijil kepujian.

Q
:
Tunggu hingga Pn. Loh bersedia di pentas.
Baca biodata penerima anugerah, jika ada.

B
:
Pencapaian peringkat daerah:

Pertandingan PetroScience Science Comptetition 2013
1  Tan Bin Shan, 4S1
2  Louis Phun Kok Dong, 4S1
3  Thaayabaran a/l Ravindra Kumar, 5S1
4  Teoh Vee Loon, 4V2

Bola Keranjang Bawah 18 tahun: Tempat Ketiga
1  Low Kha Cheng, 5S1

Pertandingan Kompang dan Formasi:  Naib Johan
1  Mohammad Syafiq bin Yusri

Anggota pengakap berikut telah lulus Ujian Maju
1  Phang Yu Hui
2  Yogavelan a/l Balamurli
3  Lee Kin Fei
4  Thanish a/l Danaraja
5  Tan Su Ngee
6  Ruvendran a/l Asokan
7  Soo Zhan Hui
8  Phong Yue Ji


Pertandingan Bot Solar  
1   Kwan Shien Yie, 5S5
2   Abdul Mukhriz NurIman bin Abdul Manan, 5S6
3   Ong Jet Hui, 5S5
4   Tan Bin Shan, 4S1
5   Piraveen a/l Kokilathasan, 4S6
6   Ashraf Arif Zuhdi bin Mahallil Zuhdi, 4S6

Pertandingan Kereta Solar
1  Vivekananthan a/l Kasewani, 4S1
2  Affiq Juzail bin Khairol Hisham, 4S3
3  William Teoh Yuan Lik, 4S3

Kejohanan Bola Keranjang MSSD Kinta Utara: Johan
1  Low Kha Cheng, 5S1

Pertandingan Sketsa Kepenggunaan Kelab Pengguna, Zon 2 Kinta Utara.
Naib johan. Muhammad Fikri bin Zamri, 4S2

Pertandingan Pertolongan Cemas dan Perawatan ke-9 kawasan Perak Tengah. Pingat emas ujian teori: Wong Young Shen, 4S1

Kejohanan Badminton MSSD Kinta Utara Lelaki Bawah 18 Tahun: 
Naib Johan, Teoh Gen Sheng

Pertandingan Bahas Bahasa Inggeris Rotary: Naib Johan
Wakil: Bryan Cheah

Forum Remaja: Naib Johan Kinta Utara.
Wakil: Abdul Mukhriz Nur Iman bin Abdul Manan.
Abdul Mukhriz juga telah muncul sebagai pengerusi terbaik pertandingan.

Seterusnya, pencapaian kokurikulum peringkat negeri.

1  Anugerah Pengakap Raja:  Kong Zhi Yoong

2  Penyertaan Jambori Di Udara (Jota) dan Jambori di Internet (Joti)
    Sedunia negeri Perak. Wakilnya:  Phang Yu Hui


3  Pertandingan Robotik
    Kevin Tai Chi Kin, 5S3
    Marcus Wong Zhong Kee, 5S1
    Wong Zi Hao, 5S3
    Alexander Khor, 4S1
    Wong Ting Chun, 5S3
    Loh Yap Kuen, 5S3
    Ang Weng Peng, 3A2
   
4  Pertandingan Petroscience Science Show
    Memperoleh kedudukan keempat zon negeri utara Malaysia.
    Subashen a/l Vadivebeler, 5S1
    Gabriel Lee Chong Han, 5S1

5  Bola Sepak Kejohanan Sekolah Priemier negeri Perak:
    James Lukas Lopez, UA1

6  Bengkel Pembinaan Bakat Tunas Remaja 1 Malaysia di Pulau Pinang:
    Mohammad Fitri bin Nasharudin

7   Pan-Perak Secondary School Wushu & Lion Dance Competition:
     Chan Guong Zhi, 5S6

6  Pertandingan Pidato 1 Malaysia: Johan negeri Perak.    Ho Joo Hin

7  Kejohanan Badminton MSSPk Lelaki Bawah 18 Tahun: Naib Johan
    Teoh Gen Sheng

8  Tenis bawah 15 tahun: tempat ketiga Kinta Utara dan bertanding
    di peringkat negeri, Joshua Leong Wen Tze

9  Tenis bawah 18 tahun. Pelajar ini berjaya menduduki tempat kelima
    MSSD Kinta Utara dan bertanding di peringkat negeri.
    Derek Leong Wei Jian.

10  Bola Keranjang: tempat ketiga lelaki bawah 18 tahun.
      Wakil: Wong Ken Hau

11  Pertandingan Taekwondo Perak Junior Development Leauge.
       Wakil:  Naven Kumar a/l Parthipan
Beralih pula untuk anugerah kecemerlangan kokurikulum pencapaian peringkat kebangsaan.

1  Sukan squasy MSSM:  Tempat ke-5 Berkumpulan
    Kaabhilan a/l Sivayanon, 4S4.

2  Johan Kumpulan Terbaik Keseluruhan Kursus Pengurusan Kelab
    dan Persatuan peringkat kebangsaan:  Wong Ting Chun, 5S3.

3  Program Pembinaan Tunas Remaja 1 Malaysia:
    Ahmad Jalaludin bin Zakaria, 4S5
    Ahmad Khairul Amirin bin Ahmad Khairi 4S5

4  Projek Perintis Pengakap Terbesar di Malaysia,
    Largest ‘Bird Nest’ Scout Pioneering Structure in Malaysia,
    dan tercatat dalam Malaysia Book of Records:  Phang Yu Hui

5  Sedex 31st Science and Engeneering Design Exhibition. Pasukan SMI
    mempertaruhkan projek The Aquaria Cleaner VI
    dan berjaya memperoleh tempat ketiga, iaitu pingat gangsa.
    Pavitheran a/l Soosaiselvanathan, 4S1
    Jonathan Lau Vey Leon, 4S5
    Piraveen a/l Kokilathasan, 4S6
    Paras Jassani a/l Bharat Kumar, 4S6
    Lucas Isaac, 4V1

7  National Science Challenge.
Pasukan SMI telah bertanding bersama 16 buah sekolah yang mewakili negeri masing-masing bertempat di Fakulti Perubatan dan Kesihatan, Universiti Putra Malaysia. Pasukan SMI selaku wakil Perak telah berjaya menempah tempat ke pertandingan akhir yang bakal berlangsung di Putrajaya pada 12 November 2013 ini. SMI bakal berentap dengan wakil Perlis, Melaka dan sarawah bagi merebut trofi Perdana Menteri dan seterusnya hadiah lawatan ke Stockholm, Sweden bagi menyaksikan penyampaian anugerah Nobel Prize of The Year.

Cabaran SMI dibawa oleh:
Pavintheran a/l Soosaiselvanathan, 4S1
Tan Bin Shan,  4S1 dan
Alexander Jeremy Joseph, 4S1
8  Pencapaian pelajar ini mengingatkan kita kepada legenda badminton
    negara yang pernah bergelar Michaelian seperti Ng Boon Bee dan
    Tan Yee Khan. Pelajar ini pula telah mencatat kejayaan berikut:
     Kejohanan badminton Sirkit Remaja 100 Plus 2013 Peringkat Kedua Zon A,
     Perseorangan Tempat Ketiga dan Beregu Tempat Kedua. Beliau juga
     telah mencatat kejayaan dalam kedua-dua acara perseorangan
     dan beregu MSSM.
     Dipersilakan Teoh Gen Sheng.

Akhir sekali, anugerah kecemerlangan pencapaian kokurikulum peringkat antarabangsa.

Taekwondo: Pertandingan 7th CK Malaysia Classic International
Tempat kelapan: Lucas Chin Kuok Chunn, 4S6.

Karate-Do: 3rd International Okinawa Goju Ryu Karate-Do, Malaysian Open Championship: pemenang pingat perak, Mohana Raj a/l Shanmugam 5S5.

Q
:
Usai penyampaian sijil / hadiah, ucapkan terima kasih dan tahniah.

B
:
Terima kasih Puan Loh Wei Seng. Syabas kepada semua penerima anugerah kecemerlangan pencapaian kokurikulum sebentar tadi.

Q
:
Tunggu hingga Pn. Loh mengambil tempat beliau semula.
Slot anugerah khas akan diumumkan oleh pengacara C.

C
:
ANUGERAH KHAS PENCAPAIAN KOKURIKULUM SMI 2013

Dipersilakan pelajar berkenaan tampil ke pentas.

Pelajar ini telah mencatat pencapaian yang membuatkan SMK St. Michael, Ipoh terus disegani dan dicemburui. Beliau juga cuba disambar oleh Sekolah Sukan Bukit Jalil, tetapi masih mahu berpangkalan di SMI bagi mengecapi kecemerlangan akademik sekali gus seperti yang terbukti semasa PMR 2012.

Pada tahun 2013, pemuda tegap dan tinggi lampai ini terus mengorak langkah untuk mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa. Menerusi tunjuk ajar Mr. Arjan Singh Khalsa, bekas pemenang pingat emas Sukan Sea, beliau telah mencipta rekod baharu beberapa kejohanan dan membaiki catatan peribadi. Antaranya ialah:

1   Kejohanan Padang dan Balapan MSSD Kinta Utara:
      pingat emas lontar peluru, dengan lontaran sejauh 12.80 meter;
      dua meter mengatasi rekod lama

2   Kejohanan Padang dan Balapan MSSPk
     Pingat emas bawah 18 tahun dengan rekod baharu kejohanan 15.17
     meter

3   Kejohanan Padang dan Balapan MSSM di Kuantan, Pahang
      Pingat emas dengan lontaran sejauh 15.14 meter

4   Kejohanan Atlet Remaja Asia di Bandar raya Ho Chi Minh, Vietnam
     Pingat gangsa dengan lontaran sejauh 17.82 meter, iaitu catatan peribadi
     terbaik setakat ini. Layak menyertai kejohanan Remaja Dunia di Ukraine
     walaupun tidak sempat berbuat demikian atas sebab teknikal.

5  Kejohanan Padang dan Balapan Sekolah-sekolah Asia Tenggara
    di Kuantan, Pahang

Majlis sekali lagi mempersilakan Puan Loh Wei Seng, pengetua cemerlang SMI untuk menyarungkan blazer hadiah PIBG kepada:
Meveeqhen a/l Ravi Chandran

Q
:
Ucapkan terima kasih dan tahniah, kemudian serahkan mikrofon kepada pengacara B.

C

Terima kasih Puan Loh. Tahniah dan terus mara dengan pencapaian lebih hebat, Meveeqhen a/l Ravi Chandaran.

Q
:
Tunggu hingga Pn. Loh mengambil tempat beliau semula.
Acara persembahan akan diumumkan oleh pengacara B.

B
:
Sebelum majlis melabuhkan tirai, marilah kita menyaksikan segmen persembahan pelajar. Majlis mempersilakan pasukan Wushu, diikuti dengan Taekwondo, Darate-do, Michaelian Indian Orchestra (MIO) dan kompang.

Q
:
Usai persembahan, ucapkan terima kasih.
Majlis akan diakhiri dengan nyanyian lagu sekolah yang akan diumumkan oleh pengacara A.
B
:
Terima kasih kepada semua pasukan atas persembahan yang hebat sebentar tadi. Terima kasih juga kepada sekalian yang hadir atas kesabaran dan perhatian.

Q
:
Tunggu sehingga pasukan … keluar dari kawasan persembahan.
Sebelum nyanyian lagu sekolah, pengacara membaca serangkap pantun.

A
:
Hiris timun rumit berguni
Sarat mari segi  berselang
Majlis mohon pamit di sini
Terpahat lagi sejarah cemerlang

Bagi pihak pengacara majlis, saya menyusun sepuluh jari memohon maaf andai kata terdapat sebarang kekurangan dan kesilapan sepanjang kami mengacara majlis. Terima kasih kepada semua yang sudi meminjamkan pancaindera dan meluangkan masa yang berharga demi menjayakan majlis hari anugerah kokurikulum SMI tahun 2013.

Sebelum majlis bersurai, mari nyanyikan lagu sekolah dengan iringan pasukan pancaragam sekolah. Mohon hadirin bersedia.

Q
:
Berakhir nyanyian lagu sekolah, umumkan majlis bersurai.

A
:
Sekian, majlis bersurai. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Nota:
Qcue, iaitu arahan kepada pengacara (tidak perlu disampaikan kepada majlis)
A:  pengacara pertama (Mohammad Fitri bin Nasharudin, 4V1)
B:  pengacara kedua (Wong Joeann, LS4)
C:  pengacara ketiga (Lucas Isaac, 4V1)                         


 ©  cikguazharrodzi.blogspot.com