SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, March 31, 2012

AKIBAT SALAH ANGGARAN (EXACT CONFORMITY TO THE TRUE VALUE)

Paparan foto berikut boleh mengundang pelbagai tafsiran. Secara zahir, sebuah jentera berat telah terbalik kerana berlaku kecuaian dalam pengendalian ketika parkir. Kecuaian manusia telah berlaku akibat salah anggaran tentang kawasan yang dipilih untuk meletak jentera berkenaan dalam keadaan pegun.
Tapak meletak jentera yang dipilih nyata tidak kuat dari segi struktur, serta tidak stabil bagi menampung keseimbangan beban berat jentera. Melihat keadaan jentera yang masih belum dialih, kemungkinan besar jentera itu tumbang ketika ditinggalkan. Nasib baik tiada sesiapa pun yang berada berhampiran dengan tempat jentera berkenaan terbongkang di situ.

Akibat salah anggaran meletak jentera berkenaan sudah tentu meningkatkan kos. Kren perlu digunakan bagi menegakkan semula jentera, manakala sebarang kerosakan yang berlaku juga membabitkan sumber masa, tenaga dan wang ringgit. Penangguhan jam kerja kerana proses baik pulih kedudukan dan kecekapan jentera tidak dapat dielakkan.

Kepercayaan terhadap pengendali jentera juga pasti terjejas. Latihan semula mungkin diperlukan supaya kejadian yang sama tidak berulang pada masa hadapan. Langkah keselamatan tambahan juga mesti diambil bagi mengelakkan sebarang kesan yang lebih buruk.

Terdapat ungkapan tentang pengamatan sesuatu peristiwa, dalam bahasa Inggeris, dengan izin:

           small minds discuss people
           average minds discuss events
           great minds discuss ideas


Sumber ungkapan di atas masih dianggap anonymous, iaitu tidak diketahui asal usulnya. Maksudnya, minda kerdil membincangkan hal orang lain, minda sederhana membincangkan peristiwa, manakala minda hebat membincangkan idea. Maka, kejadian jentera terbalik harus dilihat dari sudut idea supaya sejajar dengan pengamatan minda hebat.

Perbincangan tentang akibat salah anggaran itu boleh dipanjangkan terhadap perkara lain yang lebih besar dalam hidup kita. Salah anggaran berlaku sebab kekurangan ilmu pengetahuan kemahiran dan sikap yang menjadi komponen tiga serangkai konsep modal insan. Makin tinggi nilai modal insan seseorang, makin kurang salah anggaran yang berlaku.

Dalam bahasa penyelidikan, ukuran bagi salah anggaran ialah ralat atau varian. Ralat dibenarkan bagi mengukur peluang kesilapan yang mungkin berlaku akibat faktor kebetulan atau pemboleh ubah luar kawalan. Biasanya, ralat dinyatakan sebagai nilai alpha ( α ) antara 0.1 hingga 0.5, atau 1 peratus hingga 5 peratus.


Secara tidak disedari, manusia sentiasa memberi markat signifikan dan ralat terhadap sesuatu idea atau maklumat yang diterima. Ketepatan anggaran yang dibuat sangat bergantung kepada akses kaedah tentang perolehan ilmu yang memiliki hierarki dan susun lapis (maratib-'ul ilm) tertentu. Misalnya, tingkatan ilmu wahyu (revealed knowledge) dan ilmu dapatan (acquired knowledge).


Hanya manusia yang bersikap terbuka akan sentiasa berusaha menemukan kebenaran dalam kehidupan. Risiko salah anggaran tentang kebenaran sangat besar. Tujuan hidup akan menjadi kabur dan keliru. 


Setiap manusia dikurniakan akal fikiran dan minda untuk merenung tanda-tanda kebesaran Allah di muka bumi. Selagi nafas masih di kerongkongan, peluang untuk menerima kebenaran masih terbuka luas. Sikap angkuh, bodoh sombong, culas, degil, ego, fanatik, gila, haloba, ingkar dan jahil tidak bertempat hendaklah dibuang jauh-jauh...

Friday, March 30, 2012

PENGALAMAN MENANGKAP IKAN SEBAGAI BUDAK KAMPUNG (THE MEMORY OF CHILDHOOD EXPERINCE)

Ketika akses terhadap media elektronik masih terhad, budak-budak kampung memiliki masa senggang yang lumayan banyak. Kawasan belukar, kebun, sawah padi dan sungai masih menjadi ciri pemandangan kampung yang biasa. Maka, tumpuan aktiviti budak kampung banyak berlegar di tempat sedemikian.

Sawah padi dan alur air dipenuhi ikan puyu, ikan sepat ronggeng dan belut. Sungai pula ialah tempat bermain bagi ikan haruan yang ketika itu tidak berharga. Nyawa ikan keli, puyu dan haruan memang liat untuk putus walaupun terbiar di luar kawasan berair untuk tempoh yang agak lama.

Peralatan menangkap ikan seperti belat, bubu, lukah dan kail dibuat sendiri. Stok tali tangsi, joran dan dawai memang sentiasa ada di kedai runcit kampung. Buluh untuk batang pancing dan binaan lukah hanya perlu diambil daripada rumpun keluarga rumput gergasi itu di sekitar kampung.

Budak kampung tidak pernah berasa geli untuk mengorek tanah dan menarik keluar cacing tanah untuk dijadikan umpan. Cacing yang masih hidup terus ditusuk memenuhi mata kail. Belat dan kail hanya perlu dipacak di tepi sungai tanpa perlu diawasi dengan rapi.

Paling lucu ialah "gelagat" ikan haruan yang boleh dikatakan "bodoh". Ikan haruan akan melompat ke permukaan air apabila mata kail yang diacah tanpa perlu dibenam ke alam sungai. Penulis blog (PB) biasanya melempar semula haruan yang tersangkut pada mata kail.

bersambung...

Thursday, March 29, 2012

PEMBIAYAAN SEKOLAH BANTUAN MODAL (FUN FAIR FOR RAISING SCHOOL DEVELOPMENT FUND)

Proses sejarah telah menjadikan sistem pendidikan negara kita begitu unik. Meskipun dasar berpusat (sentralisasi) menjadi amalan dalam pelaksanaan kurikulum kebangsaan, sekolah-sekolah vernakular dan bantuan modal mubaligh masih wujud. Demikian juga dengan sekolah swasta, antarabangsa dan pelbagai institut maahad tahfiz di seluruh negara.

Hanya sekolah bantuan penuh kerajaan menikmati peruntukan kewangan yang menyeluruh dari segi emolumen dan prasarana sekolah. Sekolah bantuan modal pula menerima pembiayaan dari segi emolumen dan geran per kapita murid, tetapi perlu mencari dana sendiri untuk pembangunan fizikal sekolah. Sekolah swasta, termasuk ma'ahad tahfiz yang bukan bertaraf sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) harus menanggung segala kos pengurusan sekolah sama ada gaji guru, mahupun penyediaan prasarana sekolah.

Sekolah bantuan modal dengan pangkal nama saint (St.), Convent, Methodist dan semua sekolah mission diasaskan oleh rangkaian pendidikan gereja yang berbeza semasa era penjajahan dahulu. Kini, semua sekolah berkenaan diletakkan pangkal nama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) sebagai tanda bahawa dasar-dasar sekolah tertakluk kepada kehendak sistem pendidikan kebangsaan. Melainkan kemudahan prasarana fizikal, sekolah mission juga menikmati peruntukan kewangan yang besar daripada pihak berkuasa pendidikan.

Antara jalan bagi mengumpul dana pembangunan fizikal ialah menerusi projek-projek yang bersifat amal dan sumbangan derma. Pihak sekolah bersama PIBG, persatuan bekas pelajar dan lembaga pengelola sentiasa berganding bahu bagi menggembleng segala sumber dan upaya untuk menjayakan semua projek yang dirancang. Ibu bapa yang menghantar anak ke sekolah bantuan modal juga sudah faham benar tentang keperluan memberi sokongan dan sumbangan terhadap projek mengumpul dana pembangunan sekolah.

Projek pementasan drama tahunan ialah antara contoh usaha mengumpul dana. Semua tenaga penggerak darma bermula daripada pengurusan, penulisan skrip, pelakon dan teknikal dikendalikan sendiri oleh sumber dalaman sekolah, terutama dalam kalangan guru dan murid. Drama yang hendak dipentaskan perlu melepasi tapisan pihak berkuasa pendidikan supaya sentiasa sejajar dengan garis panduan yang ditetapkan dalam akta pendidikan dan pekeliling yang berkuat kuasa.

Kebiasaannya,hasil jualan tiket hanya mewakili 20 peratus sasaran pungutan dana. Jumlah kutipan yang lebih besar datang daripada sumbangan dan tajaan individu dan organisasi korporat tertentu. Hasil kutipan bersih diperoleh setelah ditolak bayaran teknikal yang disewa daripada pengendali profesional luar sekolah.

Sekolah bantuan modal juga menganjurkan konsert pancaragam sekolah dan pertandingan muzikal. Walaupun jumlah kutipan mungkin tidak begitu lumayan seperti pementasan drama, pengurusan dan kos pengendalian acara muzikal lebih rendah. Sesetengah sekolah mengadakan pementasan drama dan pertandingan muzikal secara berselang tahun.

Pada tahun-tahun tertentu seperti sambutan jubli perak (25 tahun), jubli emas (50 tahun) dan se-abad (100 tahun), pementasan darma dan pertandingan nyanyian dijalankan sekali gus. Malah, sekolah juga mengadakan pesta ria kebajikan dan karnival keusahawanan murid. Pembeli kupon sudah faham bahawa mereka dengan rela hati membayar lebih demi sumbangan kepada pihak sekolah.

Pengunjung boleh membeli tiket menerusi urus setia pesta ria sekolah terlebih awal atau pada hari berkenaan. Kupon boleh ditebus dengan pelbagai item jualan yang ditawarkan. Pembeli kupon sudah pasti berebut-rebut menghabiskan kupon mereka dengan membeli secara "rambang mata" bagi mengelakkan kupon itu hanya bernilai sebagai cebisan kertas biasa sebaik tempoh pesta ria tamat.

SMK St. Michael, Ipoh (SMI) misalnya bakal menganjurkan pesta ria pada 29 April akan datang. Pelbagai acara dan jualan akan disediakan kepada semua pengunjung yang bermurah hati. Pengunjung juga memiliki kesempatan untuk mengenali lebih dekat warga SMI, terutama pelajar yang bijak-bijak belaka...

Wednesday, March 28, 2012

DASAR BIASISWA UNTUK LULUSAN PRAUNIVERSITI SAHAJA (NO MORE SHORTCUT WITH JUST FLYING COLOURS SPM)

Tiada sebarang ikatan untuk penaja biasiswa seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Mara, Petronas, Bank Negara dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk memenuhi tuntutan ibu bapa dan pelajar cemerlang SPM supaya membiayai pengajian mereka ke universiti terkemuka dunia. Ibu bapa dan pelajar berkenaan tidak mempunyai sebarang hak untuk memaksa pihak-pihak berkenaan mengurniakan biasiswa secara automatik hanya kerana pencapaian semua A+. Pemberian biasiswa bukan semata-mata atas merit akademik, tetapi merangkumi faktor latar belakang sosioekonomi dan tujuan strategik yang tertentu.

Tajaan biasiswa perubatan di United Kingdom mencecah RM1 juta, India dan Indonesia sekitar RM300,000, manakala kursus ikhtisas lain seperti kejuruteraan dan perakuan semuanya melebihi RM250,000. Dengan penawaran lebih banyak kursus kritikal seperti itu oleh universiti awam, swasta dan cawangan universiti luar negara, kos pengajian di dalam negara sudah jauh lebih murah dan jimat. Tajaan biasiswa luar negara lebih sesuai ditawarkan untuk pengajian peringkat pascasiswazah dan kepakaran. 

Keutamaan biasiswa untuk lulusan prauniversiti seperti STPM, matrikulasi, asasi sains, A Level, Foundation dan baccalaureate berbanding dengan lulusan SPM bukan perkara baharu. Sebelum ini pun, lulusan SPM tidak memenuhi syarat kemasukan terus untuk pengajian ijazah pertama atau sarjana muda. Mereka hanya layak memohon kursus sijil dan diploma sebagai laluan kedua yang setaraf dengan kelulusan prauniversiti untuk permohonan kursus ijazah kemudiannya.

Kemasukan terus kursus ijazah pada asalnya ditawarkan oleh UTM menerusi program integrasi diploma dan ijazah, serta UiTM (diploma lanjutan). Demikian juga kolej dan universiti swasta yang memberi banyak kelonggaran untuk lulusan SPM memohon kursus sarjana muda. Malah, Universiti Terbuka Malaysia (OUM) secara prinsipnya tidak mensyaratkan sebarang kelayakan akademik untuk kemasukan kursus ijazah sarjana muda.

Sebagai tanda mengiktiraf pelajar cemerlang SPM, bentuk hadiah yang lain boleh difikirkan. Misalnya, kumpulan pelajar berkenaan disediakan tempat untuk kursus persediaan ijazah sarjana muda dengan tajaan penuh tanpa ikatan untuk biasiswa ke luar negara secara automatik di peringkat ijazah. Tajaan biasiswa pengajian dalam negara akan memberi lebih banyak peluang kepada golongan yang memerlukan pembiayaan kursus-kursus kritikal dengan lebih luas.

Sebaliknya, lulusan prauniversiti yang cemerlang memang layak diberi keutamaan biasiswa, terutama untuk kursus kritikal berasaskan kecemerlangan akademik, kepimpinan dan pengalaman pembelajaran terbaik. Lulusan SPM masih mempunyai peluang ke peringkat ijazah sarjana muda menerusi kolej dan universiti berasaskan teknikal, serta hands-on. Amalan negara kejuruteraan termaju seperti Jerman dan Jepun boleh menjadi contoh.

Pelajar cemerlang SPM memang layak memperoleh hadiah istimewa atas pengorbanan, susah payah dan kos yang tinggi. Mereka memiliki pakej keperibadian dan modal insan kelas pertama. Pembiayaan pengajian tinggi  untuk mereka sangat wajar, meskipun tidak semestinya dalam bentuk tajaan biasiswa luar negara...


Tuesday, March 27, 2012

DISKRIMINASI HARGA OLEH FIRMA MONOPOLI (MARKET SEGREGATION)

Takrif diskriminasi harga (PD)


Dasar / amalan penetapan harga yang berbeza atas barang yang sama / identikal bukan disebabkan oleh kos pengeluaran yang berbeza (harga ≠; barang =; kos =).

Syarat PD

1  Kuasa monopoli

2  Pemisahan pasaran


3  Edp 



Andaian


Konsep



Jenis PD


PD °1 = PD sempurna

PD °2 =  PD monopoli semula jadi

PD °3 = PD pasaran


Persediaan gambar rajah PD °3


1   Paksi / label: Pasar A, Pasar B, Pasar A + B

2   AR, MR bagi Pasar A (tidak anjal)

3   AR, MR bagi pasar B  (anjal), bermula pada titik lebih rendah daripada AR, MR pasar A

4   campuran mendatar antara titik mula AR, MR pasar A dengan AR, MR pasar B
     (gunakan pembaris untuk skala yang tepat)

5   pilih satu lagi titik campuran mendatar antara dua pasar
     (gunakan pembaris untuk skala yang tepat)

6   sambung kedua-dua lokus AR, MR
     (pastikan hujung keluk Pasar A + B tidak melepasi panjang paksi)

7   Lukis MC untuk pasar A + B
     (mesti memotong keluk MR untuk mendapat titik keseimbangan E)

8   Buat garis mendatar dari titik keseimbangan Pasar A + B hingga ke pasar B dan pasar A

9   Pada pasar A, tandakan lokus MR = garis mendatar keseimbangan untuk mendapat P1

10   Pada pasar B, tandakan lokus MR = garis mendatar keseimbangan untuk mendapat P2
       (pastikan P2 < P1)

Huraian gambar rajah


bersambung...

Monday, March 26, 2012

PELAKSANAAN KONSEP GURU PENYAYANG (CARING SOCIETY IN SCHOOL)

Masyarakat yang dilimpahi kasih sayang ialah sebuah masyarakat yang sejahtera. Malah, keadaan sedemikian boleh dianggap sebagai bayangan masyarakat syurga, dengan syarat berpaksikan konsep tawhid. Thomas Moore (1516) pernah mengemukakan konsep masyarakat utopia menerusi sebuah fiksyen berkenaan pulau di Lautan Atlantik yang bebas daripada sebarang kejadian jenayah, rasuah dan perkauman, iaitu sebuah masyarakat yang serba sempurna.

Sudah tentu jika idea masyarakat penyayang dan masyarakat utopia dilontarkan, kebanyakan orang yang malas berfikir secara spontan akan mencebik atau tertawa mengejek. Bagi golongan itu, sesuatu keadaan yang serba sempurna sebagai tidak lebih daripada angan-angan kosong dan gila. Namun, kepada para cendekiawan dan pemimpin yang beriman, lebih baik memiliki piawaian serba sempurna daripada membiarkan sebuah sistem yang kacau bilau dan tidak tentu arah haluan.

Antara persekitaran yang paling strategik untuk menyemai konsep masyarakat penyayang ialah organisasi pendidikan, khususnya sekolah. Dunia pendidikan sentiasa dipenuhi bunga-bunga harapan dan impian yang serba indah. Proses pembelajaran sentiasa menjurus kepada bibit-bibit kasih sayang, kebenaran dan keadilan menerusi penyampaian kurikulum di bilik darjah dan kegiatan luar bilik darjah yang lain.

Golongan yang paling tepat untuk menjadi teladan kepada murid ialah para guru yang mewarisi ciri orang berilmu, beradab, berhemah, sabar, prihatin dan segala pembawaan peribadi yang kudus lagi suci. Kepercayaan masyarakat terhadap kaum guru dan institusi persekolahan masih kekal tinggi sejak zaman-berzaman. Tidak dinafikan bahawa sekolah tidak sunyi sepenuhnya daripada peristiwa yang tidak sedap untuk didengar dan dibahaskan, tetapi bilangan kes seumpamanya tidak mampu menjejaskan nama baik sekolah sebagai institusi yang berjasa dan disanjung tinggi.

Dari sudut undang-undang pendidikan, guru menggalas peranan sebagai ganti ibu bapa, iaitu in loco parentis. Walaupun begitu, konsep berkenaan terhad kepada langkah berjaga-jaga (the duty of care) supaya tidak berlaku sebarang kecuaian (negligence) yang boleh mendedahkan pihak sekolah kepada tindakan mahkamah. Tidak aneh sebenarnya jika terdapat ungkapan atau metafora tentang fungsi sekolah umpama sebuah pusat jagaan kanak-kanak bagi membolehkan ibu bapa mencari rezeki dengan perasaan yang tenteram.
sepanduk guru penyayang SK Sungai Kerawai, Teluk Intan
(penulis blog belajar semasa darjah satu di situ)

Kasih sayang guru kepada murid sudah pun dizahirkan menerusi kesungguhan mereka dalam melakukan reka bentuk aktiviti kurikulum yang memberi pengalaman pembelajaran terbaik kepada murid supaya terbiasa dengan tema kehidupan, tingkah laku dan etika yang luhur. Perkataan yang dilafazkan oleh guru bagaikan butir-butir mutiara yang sangat berharga. Guru bertindak sebagai pemudah cara yang sangat berkesan sehingga segala bakat dan potensi yang terpendam dalam diri murid akan sentiasa digilap dan dikembangkan.

Konsep guru penyayang di Malaysia juga tidak akan sama dengan acuan Barat yang bertitik tolak daripada kerangka hedonisme dan utilitarian. Budaya sekolah di Malaysia sentiasa mengambil kira kehendak Islam, resam tempatan dan nilai sejagat sebagai citra guru penyayang. Sebagaimana ibu bapa yang terikat kepada peranan dan tanggungjawab yang tertakluk kepada beberapa sempadan, demikian juga dengan guru di sekolah.

Saranan supaya guru penyayang melayan murid umpama pelanggan perkhidmatan pendidikan yang terpenting harus dilihat secara suci hati. Guru penyayang umpama "bintang pujaan" yang glamor dalam kalangan anak didik mereka. Guru penyayang sentiasa bergerak dalam landasan yang tepat bagi menolong murid menuju puncak jaya dalam kehidupan duniawi dan ukhrawi...

Sunday, March 25, 2012

PERMOHONAN UNIVERSITI: CEPAT BUAT KEPUTUSAN (A CRUCIAL DECISION AT A CRITICAL TIME)

Semuanya mesti muktamad sebelum 4 April ini. Calon STPM 2011 yang memperoleh keputusan cemerlang tidak berhadapan dengan masalah untuk memilih mana-mana kursus yang dihajati. Sebaliknya, calon-calon dalam kategori persaingan sengit, iaitu dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) kurang daripada 3.80 harus membuat pertimbangan yang paling tepat supaya kelak impian menjadi kenyataan.

Kursus paling kritikal bagi pemohon lulusan sains ialah perubatan dan kejuruteraan, manakala bagi lulusan kemanusiaan (sastera) ialah undang-undang dan perakaunan. Boleh dikatakan universiti yang menawarkan kursus-kursus berkenaan hanya menetapkan pengambilan sebanyak 100 orang pelajar. Bilangan calon yang mencatat PNGK 4.0 bagi setiap jurusan sains dan kemanusiaan sebenarnya tidak melebihi 150 orang.

Lulusan STPM harus bersaing dengan lepasan matrikulasi dan asasi sains bagi merebut tempat di fakulti perubatan bertaraf premier di UM, UKM dan USM, walaupun kini UIAM, UPM dan banyak lagi universiti menawarkan kursus perubatan. Jika setiap universiti menawarkan 100 tempat, maka peluang calon cemerlang STPM dan lulusan prauniversiti yang lain nampak cerah. Pilihan lain ialah kursus pergigian, optometri, farmasi, sains kesihatan (pemakanan) dan bioperubatan.

Sementara itu, Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya hanya memilih 80 hingga 100 orang calon STPM dengan peluang terbaik kepada calon STPM dengan PNGK 3.8 ke atas. Fakulti Undang-Undang UM juga memberi keutamaan kepada pemohon yang mencatat minimum Band 5 untuk Muet, serta gred A+ dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di peringkat SPM. Lulusan STPM dengan minimum PNGK 2.7 boleh mencuba nasib di fakulti undang-undang UKM, UIAM, UMT, UUM dan UiTM.

Perebutan tempat di fakulti pendidikan UPSI juga tidak kurang hebatnya. Kepercayaan bahawa jaminan pekerjaan lebih besar untuk siswazah pendidikan UPSI, sebahagian kelompok lulusan terbaik STPM dan matrikulasi berharap dapat memasuki UPSI. Bilangan guru terlatih di sekolah telah mencecah angka setengah juta orang, tetapi kepesatan pertambahan bilangan murid dijangka membuka peluang untuk lantikan jawatan guru di sekolah-sekolah kerajaan.

Pertumbuhan kolej dan universiti swasta yang menawarkan kursus pengurusan perniagaan dan teknologi maklumat telah mengakibatkan lambakan siswazah dalam bidang-bidang berkenaan. Maka, pelajar jurusan perniagaan dan teknologi maklumat harus lebih kreatif dan memberi tumpuan terhadap reka bentuk perisian dan runding cara jaringan komunikasi maya. Cita-cita untuk mengubah nasib keluarga dengan melamar pekerjaan di sektor awam dan swasta sesudah tamat pengajian bukanlah salah, tetapi harus bersiap sedia dengan kemungkinan yang paling buruk, iaitu harus berdikari...

Saturday, March 24, 2012

BUDI BAHASA CEGAH JENAYAH (MIND YOUR LANGUAGE)

Dapatan ahli perubatan alternatif yang asalnya siswazah hubungan antarabangsa, (Dr) Masaru Emoto,79, tentang keajaiban air telah mendapat sambutan yang berbelah bahagi. Penceramah motivasi dan kerohanian cepat-cepat menyenaraikan hujah-hujah Emoto dalam isi ceramah mereka. Komuniti saintis Barat pula menganggap kajian Emoto sebagai pseudoscience, iaitu sains palsu justeru tidak menepati syarat penyelidikan saintifik yang lazim.
Perbincangan ini bagaimanapun hanya akan tertumpu kepada salah satu lontaran idea Emoto bahawa sesebuah masyarakat yang cenderung menggunakan bahasa yang buruk dan kasar akan mengakibatkan kadar jenayah dalam masyarakat berkenaan turut meningkat (higher rates of violent crime in areas where a lot of negative language is being used: http://www.ascensiongateway.com/quotes/masaru-emoto/index.htm). Bahasa yang buruk dan kasar terbit daripada fikiran yang kacau dan rosak. Orang yang bercakap buruk, hodoh atau kasar membayangkan pertimbangan yang singkat dan semberono.

Ucapan kata-kata yang bersifat negatif juga melambangkan akal budi yang rendah dan tahap ilmu yang cetek. Senang cakap bahawa orang yang bercakap lepas tanpa berfikir menunjukkan mulut lebih laju daripada otak. Orang yang demikian tidak pernah ambil pusing sama ada pihak lain yang mendengar akan berasa geram, hina, marah, tersinggung dan hilang akal.


Punca utama penggunaan bahasa yang buruk, kasar dan negatif ialah akses pendidikan yang terhad. Apabila akses pendidikan terhad, seseorang itu hanya mampu melampiaskan sebarang perkara yang terlintas dalam fikiran, tanpa kawalan. Emosi (perasaan yang mendatang) dan sentimen (perasaan yang kekal) begitu dominan dalam percakapan.


Kanak-kanak yang menggunakan kata-kata yang buruk, kasar dan negatif berkemungkinan sekali datang daripada latar belakang keluarga yang cenderung kepada adu domba, cemuhan, maki hamun, provokasi melampau, sumpah seranah dan seumpamanya. Saban waktu kanak-kanak demikian mendengar orang dewasa dalam lingkungan persekitaran mereka menggunakan bahasa yang buruk, cabul, kasar, kesat, dan negatif. Mereka diasak oleh pengaruh negatif di rumah, sekolah dan media.


Bahasa baku, bahasa mesra dan bahasa sopan hanya dianggap sebagai kegunaan urusan rasmi. Dalam keadaan biasa, orang-orang yang cuba menjadi baik akan dilabel sebagai skema. Akibatnya, bahasa dilayan sesuka hati hingga dikuasai oleh golongan rendah akhlak. 


Penggunaan bahasa yang buruk, kasar dan negatif membawa natijah yang amat dahsyat. Apabila lebih banyak orang berasa dihina, geram, kecewa, kecil hati, marah, dan tersinggung, pergaduhan, pertelingkahan dan sikap bermusuh mudah terjadi. Orang-orang yang gagal mengawal emosi akan mula menggunakan kekerasan fizikal terhadap "penyerang" yang berbahasa buruk, kasar dan negatif.


Disebabkan orang-orang yang berbahasa buruk, kasar dan negatif tidak pernah berfikir panjang, tindakan mereka juga lebih banyak bersifat serta-merta dan tergesa-gesa. Apabila mereka berasa kepentingan sudah terancam, atau jalan fikiran mereka ditolak, mereka mudah dihasut dan dirasuk oleh syaitan untuk bertindak secara melulu. Kekerasan dan keganasan ialah jalan singkat durjana kerana mengikut perasaan yang kacau itu.


Institusi rumah tangga dan sekolah perlu mengambil serius akan hubung kait antara bahasa yang bersifat buruk, kasar dan negatif dengan kadar jenayah yang tinggi dalam masyarakat. Anak-anak yang masih mentah ibarat kain putih yang masih belum tercemar. Ibu bapa dan orang-orang yang lebih dewasa hendaklah menjadi teladan yang baik dalam berbahasa.


Sepatutnya bahasa mesra dan kasih sayang menduduki tempat yang teratas dalam proses asuhan dan pendidikan generasi muda. Ibu bapa, guru dan orang-orang dewasa hendaklah mengaktifkan cas-cas positif dalam berbahasa. Insya-Allah, kepekaan terhadap keperluan bahasa yang beradab dan mesra akan menghantar mesej atau perutusan yang betul kepada generasi muda kita untuk mengusir sebarang bentuk dosa...

NELAYAN TIDAK BOLEH MISKIN (CONVERTING PROBLEMS TO OPPORTUNITIES)

Kita sering dipaparkan kisah hidup nelayan yang hidup menderita dan daif. Keluarga nelayan umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Apabila tiba musim tengkujuh, nelayan hilang punca pendapatan.

Sesekali berita kehilangan nelayan akibat tewas dek lambungan ombak menjadi gempar. Seluruh masyarakat ikut simpati. Skrip drama televisyen tentang nasib kaum nelayan juga sangat klise dan bersifat dera sosial, iaitu nelayan ialah mangsa sumpahan kemiskinan.

Sesekali juga terdapat laporan pencerobohan nelayan asing di zon perairan eksklusif negara datang dengan kapal dan peralatan menangkap ikan yang serba canggih. Tekong dan awak-awak asing didapati bukan calang-calang nelayan. Ada yang memiliki ijazah kejuruteraan, perikanan dan pengurusan perniagaan.

Nelayan di negara matahari terbit (Jepun) pula banyak menggunakan teknologi kawalan jauh, robotik dan penderiaan jauh yang membolehkan mereka meneruskan kegiatan menangkap ikan dalam keadaan lautan yang bergelora. Mereka juga memiliki rangkaian dan sistem pemasaran yang cekap tanpa bergantung harap kepada orang tengah atau peraih. Kegiatan menangkap ikan dipandang sebagai suatu bidang keusahawanan yang sangat menguntungkan.

Di negara-negara sedang membangun, kegiatan menangkap ikan dianggap sebagai pekerjaan turun-temurun atau warisan zaman-berzaman. Bukan sahaja pekerjaan yang diturunkan, bahkan dengan pakej kemiskinan sekali gus. Keluarga nelayan terperangkap dalam putaran ganas kemiskinan dan mereka seperti orang bingung yang tidak yahu jalan keluar.

Pihak berkuasa perikanan seperti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM, dahulunya Maju Ikan) telah berusaha membimbing para nelayan pantai supaya dapat mengubah persepsi dan perspektif tentang kegiatan menangkap ikan sebagai punca rezeki yang moncah dan lumayan. Bantuan kewangan dan peralatan diberikan kepada nelayan yang didapati layak. Pepatah Cina mengatakan, jika kita memberi ikan kepada seseorang, dia hanya dapat makan pada hari itu, tetapi jika kita mengajar mereka cara menangkap ikan, mereka akan dapat makan buat seumur hidup.

Penyelidikan tentang perikanan laut dalam dan ternakan sangkar juga dimajukan oleh agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Universiti Putera Malaysia (UPM). Dari aspek modal insan, para sarjana ekonomi, komunikasi, psikologi, sosiologi dan keusahawanan telah banyak menulis monograf dan laporan penyelidikan dalam jurnal terkemuka. Namun, kebanyakan nelayan kita lebih rela berada di takuk lama, iaitu bersikap inertia dan status quo

Thursday, March 22, 2012

“DEMI CITA-CITA DAN HARAPAN KELUARGA” BAB 13 NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUKMU (THE NEW SURROUNDING)

Pengarang novel:  Rohani binti Deraman
Muka surat rujukan:  75 - 80

Watak utama:  Tini / Hartini binti Hasrul (murid tingkatan 3) / "aku" (pencerita / sudut pandangan orang pertama)
Watak pembantu:  Satiah (murid tingkatan 3 / saudara angkat Tini / keturunan orang Asli / pesakit barah)
                          :  Along  (abang sulung Tini)
                          :  Angah  (abang kedua Tini)
                          :  Cikgu Malik  (guru SMK Kuala Batu, Jerantut)
                          :  Mama / ibu Tini / Puan Sarah
                          :  Papa / ayah Tini / Encik Hasrul
                          :  Pak Morit / ayah Satiah
                          :  Mak Sukin / ibu Satiah
                          :  Ineng, Ambok, Sinda  (rakan baik Tini, Satiah)

Latar tempat:  rumah Tini / kuarters kerajaan
                     :  SMK Tanjung Bestari, Kuantan (sekolah baharu Satiah)
                     :  asrama SMK Puncak Wawasan, Raub, Pahang (sekolah baharu Tini)

Latar masa:  ketika majlis kenduri kesyukuran
                  :  malam  (sekalian isi rumah keluarga Tini tertidur kepenatan)
                  :  Subuh  (Tini diserang demam selesema)
                  :  petang  (papa membawa Tini ke klinik)

Ringkasan bab

Kenduri kesyukuran keluarga Hartini dan Satiah dihadiri sekalian warga SMK Kuala Batu, termasuk pengetua, dan penduduk kampung. Tini paling gembira dengan perubahan sikap Pak Morit yang kembali akrab dengan papa. Tini dan Satiah mengenakan pakaian sedondon bagaikan saudara kembar. Satiah mahu menunggu Tini melapor diri dahulu sebelum dia juga berbuat demikian di sekolah baharu di Kuantan. Cikgu Malik begitu bangga dengan kejayaan Tini dan Satiah dan menganggapnya balasan terbaik buat guru. Akibat keletihan, malamnya Tini tidur nyenyak dan mendapati dirinya demam selesema ketika dikejutkan untuk solat Subuh. Sepanjang hari Satiah menemani Tini sambil menulis catatan diari misterinya. Mama dan papa sibuk menyediakan persiapan Tini dan Satiah ke asrama. Mama menolak pemberian RM200 oleh Pak Morit, justeru dia sanggup membiayai perbelanjaan untuk Satiah juga. Sekali lagi semua item persiapan yang dibeli adalah sama. Akhirnya, Satiah akur untuk melapor diri dua hari lebih awal di SMK Tanjung Bestari, Kuantan. Perpisahan diringi dengan air mata dan pesanan demi pesanan. Tini tidak lupa bahawa virus barah boleh kembali menyerang Satiah bila-bila masa, tetapi dia mahu detik itu berakhir dengan senyuman sebagai penawar. Setelah itu, giliran Tini pula melapor diri di SMK Puncak Wawasan, Raub. Tini berasa canggung dan tidak tenteram dengan kehidupan di asrama. Tini asyik teringat akan Satiah.

Perwatakan:  pemurah  (keluarga Tini)
                   :  penyayang (keluarga Tini, keluarga Satiah, Cikgu Malik)
                   :  peka / prihatin / ambil berat  (Satiah, Tini, mama, papa)
                   :  setia kawan  (Satiah, Tini)
                   :  pemaaf  / berjiwa besar / tidak berdendam / tidak mudah kecil hati  (mama, papa)

Latar masyarakat:  masyarakat yang pemurah
                            :  masyarakat yang penyayang
                            :  masyarakat yang peka / prihatin / ambil berat
                            :  masyarakat yang setia kawan
                            :  masyarakat yang pemaaf / berjiwa besar / tidak berdendam / tidak mudah kecil hati

Nilai murni:  murah hati, kasih sayang, kepekaan / keprihatinan, kesetiakawanan / saling memaafkan

Persoalan:  Murah hati dalam perbelanjaan / hal kebajikan
                :  Kasih sayang sesama keluarga
                :  Kepekaan / keprihatinan terhadap keperluan / perasaan orang lain
                :  Kesetiakawanan dalam persahabatan
                :  Amalan memaafkan kesalahan orang lain

Pengajaran:  Kita hendaklah murah hati dalam perbelanjaan / hal kebajikan
                  :  Kita hendaklah menyayangi sesama keluarga
                  :  Kita hendaklah peka / prihatin / ambil berat terhadap keperluan / perasaan orang lain
                :  Kita hendaklah setia kawan dalam persahabatan
                :  Kita hendaklah memaafkan kesalahan orang lain / kita janganlah berdendam

kbkk:  hubungan istimewa antara watak utama dengan watak sampingan

Wednesday, March 21, 2012

KEPUTUSAN SPM 2011 LEBIH BAIK: TAHNIAH KEPADA SEMUA (THE CELEBRATION OF SUCCESSFUL LEARNING)

Sejumlah 559 orang calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memperoleh semua A+ dalam mata pelajaran yang diambil. Gred purata nasional pula ialah 5.04. Kedua-dua ukuran berkenaan mencatat peningkatan, berbanding dengan 506 calon dan 5.19 pada tahun 2010.

Bilangan calon yang menduduki SPM 2011 ialah sebanyak 468,808 orang. Sepintas lalu perbandingan pencapaian SPM 2011 dengan SPM 2010 ialah:

                                                                 2011                             2010
         
          Bilangan calon semua A+                   559                               506

          Gred purata nasional                         5.04                              5.19

          Calon SMK semua A+                      506                               363

          Calon bukan SMK semua A+              53                                 40

          Bilangan mata pelajaran meningkat    63 / 112

          Negeri terbaik                                  Terengganu

          Sekolah terbaik                                SM Sains Alam Shah, Cheras

Pertama sekali, tentu ucapan setinggi-tinggi syabas dan tahniah kepada calon-calon yang berjaya, kepada ibu bapa, kepada guru dan sekolah, kepada seluruh peringkat organisasi pendidikan dan semua pihak berkepentingan yang telah bertungkus-lumus dan menyediakan reka bentuk strategi pembelajaran terbaik kepada generasi muda negara. Begitu banyak sumber masa, tenaga dan wang ringgit telah diperuntukkan sebelum sesuatu kejayaan seperti itu menjadi kenyataan. Pepatah Inggeris lama mengatakan bahawa kota Rom tidak dibina semalaman.
seorang calon cemerlang kelainan upaya terharu menatap slip keputusan SPM 2011

Calon cemerlang yang diwawancara oleh media mengatakan punca kejayaan mereka ialah berkat doa restu semua pihak, amalan doa, bacaan Yasin, solat hajat, konsistensi pembelajaran dan tumpuan di bilik darjah. Kebanyakan wajah calon cemerlang ialah citra keperibadian budiman dan mementingkan adab sopan. Mereka perlu ditonjolkan sebagai kelompok rujukan kepimpinan generasi muda yang memiliki pakej modal insan yang boleh mara lebih jauh dalam kehidupan.

Sudah tentu akan muncul pelbagai andaian, anggapan, intrepretasi, spekulasi, dan tafsiran yang dilakukan secara amatur dan profesional. Persepsi para amatur (bukan pakar pentaksiran dan pendidikan) lazimnya akan memberi penyataan rambang seperti berikut:

            1   graf skor markah telah direndahkan

            2   peningkatan pencapaian boleh dimanipulasikan

            3   kualiti calon tidak sehebat mana ketika di universiti dan sesi temu duga

Pandangan berat sebelah dan tidak adil seperti di atas tidaklah menghairankan. Mereka bukan sahaja amatur, bahkan tiada skala ukuran yang sah, melainkan prasangka dan pandangan negatif. Majikan swasta yang sombong selalu mengatakan siswazah universiti tempatan tidak pandai berkomunikasi, khususnya dalam bahasa Inggeris yang masih sangat agung buat mereka.

Hakikatnya, perspektif dan sikap orang-orang seperti mereka yang mesti dibetulkan. Mereka masih berkhayal tentang masa lalu mereka yang kononnya sangat hebat dan enggan menerima perubahan yang dialami oleh generasi Y kini. Mereka juga menutup mata terhadap segala pengorbanan dan susah payah yang dilalui oleh semua pihak dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang terbaik kepada generasi pewaris bangsa dan umat.

Kembali kepada pandangan profesional dan adil. Aksesibiliti terhadap pembelajaran masih kuat dipengaruhi oleh latar belakang sosioekonomi murid. Maka, calon sekolah bandar masih jauh mengatasi pencapaian calon luar bandar. Kementerian Pelajaran telah menyatakan komitmen untuk melakukan transformasi terhadap mutu pendidikan murid luar bandar yang mungkin memerlukan pendekatan yang berbeza...

Tuesday, March 20, 2012

"AHAD" BAB 16 NOVEL 6:20 (THE FAMILY SECRET)

Pengarang novel:  Siti Jasmina binti Ibrahim
Muka surat rujukan:  204 - 213

Watak utama:  Sukma  (pelajar universiti)
Watak pembantu:  Puan Delila  (ibu Sukma)
                          :  Haji Syaqir  (bapa Sukma, pemimpin politik setempat)
                          :  Pak Rashid  (pemandu keluarga Sukma)
                          :  Iskandar  (rakan sekuliah Sukma / anggota kanan WX2)
                          :  Aim  (budak kecil / anak yatim)
                          :  nenek Aim  (bidan yang menyambut kelahiran Sukma)
                          :  Kak Ros  (jiran Sukma / inspektor polis)
                       
Latar masa:  awal pagi / selepas Subuh / 6.20 pagi  (Iskandar berdiri di pintu pagar rumah Sukma)

Latar tempat:  rumah Sukma / tembok pagar, ruang tamu
                   :  tanah perkuburan / pusara di hujung kawasan perumahan (Sukma ditunjukkan kubur ayah Aim)

Ringkasan bab

Masih imbas kembali dua minggu yang lalu. Tepat 6.20 pagi, Iskandar muncul di kawasan pagar melambai Sukma. Namun, dia berlalu setelah berhadapan dengan ibu Sukma. Ketika memaksa Sukma masuk dengan lembut, Puan Delila seperti hendak mengatakan sesuatu sambil bergenang air mata, tetapi dia kelu. Sukma ke pagar, lalu mendapati Aim dan neneknya berada di situ. Sukma mengikut mereka ke pusara ayah Aim. Nenek mendakwa punca kematian ayah Aim ialah untuk menutup satu rahsia besar. Sukma syak akan ibunya sendiri. Kak Ros telah memerhatikan Sukma. Mereka bergegas mencari Puan Delila yang baharu keluar dengan kereta Haji Syaqir. Sukma mengajar Kak Ros ke kelab WX2, tetapi Haji Rashid cuba mencegah mereka. Sukma meluahkan rasa kecewa kepada Haji Syaqir. Sudah tentu Haji Syaqir membela isterinya dan menganggap tuduhan Sukma sebagai keterlaluan. Sukma berhujah bahawa ibunya pernah mendapat pendedahan tentang ideologi besar dan perjuangan sewaktu belajar di Amerika. Puan Delila juga penceramah hebat dan pakar motivasi. Sukma kemudian meninggalkan ayahnya yang masih tidak mahu percaya tentang tuduhan berat anaknya sendiri...

Perwatakan:  peka / prihatin / ambil tahu (Sukma meneruskan siasatan tentang misteri 6.20 pagi dan kelab WX2)
                 :  setia  (Haji Syaqir mempertahankan isterinya daripada tuduhan Sukma)
                 :  cekap  (Inspektor Ros mengekori Sukma untuk memperoleh maklumat)


Latar masyarakat:  masyarakat pelajar universiti
                          :  masyarakat penjawat awam / polis
                          :  masyarakat suri rumah
                          :  masyarakat yang peka / prihatin / ambil tahu
                          :  masyarakat yang setia
                          :  masyarakat yang cekap

Nilai murni:  kepekaan / keprihatinan, kesetiaan, kecekapan

Persoalan:  kepekaan / keprihatinan dalam memperoleh bukti / maklumat yang sah
               :  kesetiaan terhadap pasangan hidup / isteri
               :  kecekapan dalam tugas / kerja siasatan / perisikan

Pengajaran:  kita hendaklah peka / perihatin / ambil tahu tentang bukti / maklumat yang sah
                 :  kita hendaklah setia terhadap pasangan / isteri
                 :  kita hendaklah cekap dalam menjalankan tugas / mencari bukti

kbkk:  unsur saspens / kejutan yang dihadapi oleh watak utama

Monday, March 19, 2012

HOKI JANGKIT PENYAKIT BOLA (IN SEARCH OF FANTASTIC STAMINA)

Buat kali ketiga berturut-turut skuad hoki lelaki Malaysia kempunan beraksi untuk temasya sukan olimpik musim panas. Kemunculan satu demi satu kuasa hoki baharu dari benua Asia dan Eropah telah mengakibatkan peluang negara kita makin sempit. Hoki mungkin hanya bertaraf sukan rekreasi di Belgium, Sepanyol dan Ireland, tetapi persatuan dan pasukan yang dibentuk di sana nyata bukan calang-calang anak.

Malaysia memiliki liga hoki kebangsaan yang cukup aktif dan dikagumi. Pemain-pemain remaja yang datang dari sekolah projek sukan negeri dan kebangsaan menyerlahkan bakat yang cemerlang. Baru-baru ini dalam satu kejohanan jemputan remaja di Johor, skuad negara muncul sebagai juara dengan menundukkan pasukan nombor satu dunia, Australia dalam perlawanan akhir.

Sayang sekali di Ireland, skuad senior sekali lagi terlepas peluang untuk layak ke Olimpik walaupun sudah berada di ambang kemenangan ketika melayan saingan Korea Selatan dan Ireland. Malaysia kecundang 2-3 kepada Korea Selatan dan seri 1-1 dengan Ireland ketika permainan berbaki lebih kurang 10 minit. Skrip yang hampir sama itu sudah pasti bukan suatu kebetulan.

Korea Selatan akhirnya lebih bertuah apabila jaringan setpiece ketika permainan berbaki kurang 10 saat berjaya meleburkan impian tuan rumah pertandingan kelayakan Olimpik kumpulan 2, Ireland dengan jaringan 3-2. Ireland yang dilatih oleh anak Malaysia sejak 5 tahun itu nyata memiliki kemahiran taktikal individu, tetapi semangat juang Korea Selatan akhirnya bersuara. Benar seperti kata Mohamad Abdul Hadi, bekas kapten pasukan Malaysia bahawa dalam permainan hoki, baki satu minit terakhir babak permainan boleh dianggap sebagai tempoh yang amat panjang.

Pengurusan skuad negara nyata bingung dengan nasib malang yang menimpa anak buah mereka pada saat-saat akhir saingan. Pasukan itu telah dibentuk sekian lama dengan pelbagai corak latihan dan perlawanan pemanas badan. Mungkinkah Malaysia telah mencapai tahap puncak (peak) sebelum pertandingan kelayakan Olimpik sebenar bermula?

Kini, harapan untuk melihat skuad hoki lelaki bertarung di perkampungan Olimpik London 2012 tidak kesampaian. Analisis, bedah siasat atau sumbang saran akan hanya bersifat akademik. Justeru, sesuatu harus difikirkan segera jika skuad hoki lelaki mahu disasarkan layak ke pertandingan hoki Piala Dunia 2014 secara merit...

Sunday, March 18, 2012

"INTERMESO" BAB 11 NOVEL KONSERTO TERAKHIR (COMPOSING MASTERPIECE)

Pengarang novel:  Dato' Abdullah bin Hussain, 91, sasterawan negara
Muka surat rujukan:  190 - 209

Watak Utama:  Hilmi
Watak pembantu:   Ah Kong (mekanik / rakan sekerja Hilmi di stesen minyak Shell)
                          :   tauke / bapa saudara Ah Kong
                          :   Encik Bakar (guru muzik Hilmi / ketua kuartet muzik)
                          :   Alice Lee  (penyanyi profesional Hong Kong / jolokan "Nightangle of The East")
                          :   Azizah (anak Encik Bakar / lulusan MCE / kerani)
                          :   Encik Rahmat (pemain seksafon kuartet muzik)
                          :   Datuk Johari  ("ayah saudara" Hilmi / bapa Hayati / pegawai tinggi kerajaan)
                          :   Datin Salmah  (isteri Datuk Johari)
                          :   Hayati  (sepupu Hilmi / tunang Mohsin)
                          :   Mae / Maimun  (sepupu Hayati)
                          :   Mak Jah  (pembantu rumah / orang gaji di rumah Mae)
                          :   Bakri  (pemain gitar bass kuartet muzik)
                          :   Harry Lam  (pemain klarinet kuartet muzik)
                          :   Pengerusi Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional  (keturunan Filipina)
                          :   Setiausaha Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional

Latar tempat:   kios minyak petrol, Titiwangsa
                   :   Hotel Titiwangsa, Kuala Lumpur (kelab malam kuartet muzik Encik Bakar)
                   :   rumah Encik Bakar  (Azizah tidak cam akan Hilmi yang berpakaian seragam pemuzik orkestra)
                   :   rumah Datuk Johari  (berita Hilmi dalam akhbar Inggeris "dilarikan" daripada Datin Salmah)
                   :   rumah Mae  (Hayati solat Subuh / terbaca berita tentang Hilmi)
                   :   Rumah Persatuan Pemain-pemain Muzik Nasional / bilik persidangan

Latar masa:  pagi (hari minggu, pukul 10: latihan kuartet muzik; Datuk Johari hilang selera makan)
                 :  malam  (Hilmi mula mengadakan persembahan di Hotel Titiwangsa)
                 :  masuk waktu Subuh (Hayati tidak boleh tidur, dia mengejutkan Mae)
                 :  usai persidangan persatuan (keanggotaan Hilmi diluluskan serta-merta)

Ringkasan bab



Perwatakan:  berani / cekal / gigih / rajin  (Hilmi)
                  :  peka / prihatin / ambil berat  (Encik Bakar)
                  :  menepati janji / jujur  (Ah Kong, tauke membayar gaji Hilmi)
                  :  setia kawan  (Rahmat, Bakri, Harry Lam)
                  :  tegas (pengerusi, setiausaha persatuan pemain muzik nasional)
                  :  patuh / taat perintah agama  (Hayati)

Latar masyarakat:   berani / cekal / gigih / rajin  (Hilmi)
                  :  peka / prihatin / ambil berat  (Encik Bakar)
                  :  menepati janji / jujur  (Ah Kong, tauke membayar gaji Hilmi)
                  :  setia kawan  (Rahmat, Bakri, Harry Lam)
                  :  tegas (pengerusi, setiausaha persatuan pemain muzik nasional)
                  :  patuh / taat perintah agama  (Hayati)

Nilai murni:  keberanian / kecekalan / kegigihan / kerajinan
                :  kepekaan / keprihatinan
                :  amanah / kejujuran
                :  kesetiakawanan
                :  ketegasan
                :  kepatuhan / ketaatan

Persoalan:  keberanian / kecekalan / kegigihan / kerajinan dalam pekerjaan
               :  kepekaan / keprihatinan terhadap bakat / kebolehan anak muda
               :  amanah / kejujuran dalam janji
               :  kesetiakawanan dalam membuat keputusan / mengambil tindakan
               :  ketegasan dalam menegakkan peraturan
               :  kepatuhan / ketaatan terhadap suruhan agama

Pengajaran:  kita hendaklah berani / cekal / gigih / rajin dalam melakukan sesuatu pekerjaan
                 :  kita hendaklah peka / prihatin / ambil berat terhadap bakat / kebolehan seseorang
                 :  kita hendaklah menepati janji / jujur sesama manusia
                 :  kita hendaklah setia kawan dalam membuat keputusan / mengammbil tindakan
                 :  kita hendaklah tegas dalam menegakkan peraturan / disiplin organisasi
                 :  kita hendaklah patuh / taat perintah agama

kbkk:  unsur saspens dalam perkembangan cerita watak utama
        :  konflik yang berlaku dan penyelesaian

Saturday, March 17, 2012

KISAH PELAJAR PERTAMA DAPAT "A" EKONOMI STPM (ABSTRACT LEARNING SKILLS)

Masa itu penulis blog (PB) baharu tamat pengajian sarjana muda ekonomi dari UKM dan mengajar di sekolah lama, iaitu di SMK Seri Perak, Teluk Intan. Antara lain, PB ditugaskan mengajar ekonomi untuk dua kelas jurusan sains dan sebuah kelas jurusan sastera. Salah sebuah kelas berkenaan terdiri daripada hanya 11 orang pelajar perempuan keturunan Cina yang memiliki latar belakang Matematik Tambahan yang sangat bagus, dengan hampir keseluruhan mereka memperoleh pangkat A1 dan A2 dalam kertas berkenaan di peringkat SPM.

Kelas berkenaan sangat aktif dan boleh dikatakan sangat meriah (happening). Mereka akan terus bertanyakan soalan secara spontan apabila terdapat penjelasan teori ekonomi atau jalan kiraan yang kurang difahami. Malah, setelah PB menamatkan sesi pembelajaran, mereka akan datang berkerumun untuk bertanya pelbagai soalan. Pendek kata, untuk menghadapi pelajar-pelajar cemerlang dan berkepekaan tinggi seperti mereka, PB mesti cukup bersedia.

Salah seorang pelajar yang paling pintar ialah C (nama ringkas sahaja). Sedang PB menjelaskan hubungan geometrik antara keluk jumlah utiliti dengan keluk utiliti sut, C bingkas bangun dan terus mengatakan "cikgu silap!". PB agak tergamam, tetapi masih bersahaja mendengar hujah C.

Ternyata C memang hebat dan memiliki justifikasi dalam menyatakan pendapat. Mujur juga C tidak perasan akan label paksi untuk keluk utiliti sut menyebabkan keluk berkenaan bercerun negatif sepenuhnya, bukan berbentuk seperti keluk keluaran sut yang memotong puncak keluaran purata dalam fungsi pengeluaran. PB memang harus sentiasa teliti dengan setiap langkah penjelasan teori, grafikal dan hitungan agar momentum pembelajaran pelajar cemerlang terus kuat.

C akhirnya memperoleh prinsipal A dalam kertas ekonomi, sesuatu yang sukar dicapai ketika itu. Rakan-rakan sekelas C juga mencatat kejayaan 100 peratus prinsipal, iaitu jika dalam gred semasa, minimum gred C yang digunakan sejak tahun 2003. C kemudian menamatkan pengajian ijazah pertama di sebuah universiti tempatan dengan kepujian kelas pertama.

Kelebihan C ialah dari segi kebolehan berfikir secara abstrak dan kuantitatif yang digilap dalam mata pelajaran Matematik Tambahan dan Matematik Tulen tingkatan 6 aliran sains. C berupaya menjelaskan hubungan antara pemboleh ubah yang menjadi asas kebanyakan teori ekonomi. Kebolehan C juga dapat membantu rakan sekelas yang turut mencatat pencapaian membanggakan.

Pendekatan pembelajaran pelajar yang memiliki latar belakang kuantitatif yang kukuh memang berbeza dengan budak sastera dan kemanusiaan. Guru ekonomi perlu merancang reka bentuk penyampaian yang berbeza justeru budak sastera lebih banyak menggunakan hemisfera otak kanan dalam pengamatan pembelajaran mereka. Kaedah anekdot dan analogi biasanya lebih sesuai sebelum dibawa kepada perbincangan yang lebih bersifat abstrak dan kuantitatif.

Seorang bapa pelajar ekonomi pernah memberitahu PB bahawa anaknya ialah penonton televisyen tegar. Dia agak terkejut apabila PB mengatakan bahawa tingkah laku anaknya itu tidak perlu diubah, sebaliknya sedikit ubah suai dari segi pembelajaran dilakukan, iaitu belajar sambil menonton, bukan menonton sambil belajar. Pelajar berkenaan akhirnya juga mencatat gred A dalam kertas ekonomi, sama seperti C dahulu...

Friday, March 16, 2012

"KUNTUM YANG HAMPIR LAYU" BAB 12 NOVEL CEMPAKA PUTIH UNTUKMU (THE LIMIT OF CLINICAL TREATMENT)

Pengarang novel:  Rohani binti Deraman
Muka surat rujukan:  75 - 80

Watak utama:  Tini / Hartini binti Hasrul (murid tingkatan 3) / "aku" (pencerita / sudut pandangan orang pertama)
Watak pembantu:  Satiah (murid tingkatan 3 / saudara angkat Tini / keturunan orang Asli / pesakit barah)
                          :  Mama / ibu Tini / Puan Sarah
                          :  Papa / ayah Tini / Encik Hasrul
                          :  Pak Morit / ayah Satiah
                          :  Mak Sukin / ibu Satiah
                          :  doktor muda (yang merawat Satiah)

Latar tempat:  hospital / wad kelas satu
                 
Latar masa:  petang / waktu melawat di hospital
                 :  hari ke-20 Satiah terlantar di hospital  (Tini memberitahu keputusan PMR)

Ringkasan bab

Satiah terlantar di wad kelas satu hospital sambil ditemani Mak Sukin dan Tini. Sebelumnya Satiah mengalami tekanan darah rendah hingga terpaksa dirawat di wad kecemasan, ICU. Pak Morit sibuk di kebun dan tidak lagi menghalang Satiah menerima rawatan moden. Mama menawarkan diri untuk menggantikan Mak Sukin menemani Satiah kerana kasihan kepada Akob dan Amat di rumah. Walaupun berat hati, Mak Sukin akhirnya akur. Setelah sejam Satiah terjaga dan meminta air daripada Mak Sukin. Kemudian, Tini menghiburkan Satiah dengan kata-kata semangat hingga dia tertidur semula. Doktor memberitahu Satiah sudah hampir stabil, tetapi memerlukan kemoterapi (rawatan laser). Berita kejayaan Satiah, iaitu pencapaian 8A dalam PMR dan tawaran ke SMKTanjung Bestari belum dapat disampaikan. Mereka berdua bakal terpisah dan gurauan papa yang tidak dapat membantu membuat Tini berasa mahu menangis. Pada hari ke-20 baharu berita itu berjaya disampaikan dan Satiah mengukir senyuman lemah. Satiah juga ketawa kecil apabila diusik sebagai datin kerana segala keperluannya diurus oleh orang lain. Mereka bersama mengunyah hirisan epal.  Berita tentang kemungkinan Satiah boleh keluar hospital dan kenduri disambut dengan keluhan pilu oleh Satiah yang tidak tertahan menanggung kesakitan. Dia semacam sudah putus asa bahawa usianya tidak panjang lagi. Serta-merta suasana bertukar muram.

Perwatakan:  penyayang (keluarga Tini, ibu bapa Satiah)
                  :  peka / prihatin / ambil berat (Tini, mama, papa, Mak Sukin)
                  :  berterus terang (doktor muda)
                  :  bijak memujuk (mama)
                  :  mudah tersentuh / perasa / sensitif / emosional

Latar masyarakat:   penyayang (keluarga Tini, ibu bapa Satiah)
                          :  peka / prihatin / ambil berat (Tini, mama, papa, Mak Sukin)
                          :  berterus terang (doktor muda)
                          :  bijak memujuk (mama)
                          :  mudah tersentuh / perasa / sensitif / emosional

Nilai murni:  kasih sayang
                :  kepekaan / keprihatinan
                :  terus terang / kejujuran
                :  kebijaksanaan
                :  ketenangan / ketabahan / kesabaran

Persoalan:  kasih sayang sesama keluarga
               :  kepekaan / keprihatinan terhadap penderitaan pesakit
               :  terus terang / kejujuran dalam komunikasi / memberi maklumat
               :  kebijaksanaan dalam komunikasi / pujukan
               :  ketenangan / ketabahan / kesabaran dalam menghadapi penderitaan

Pengajaran:  kita hendaklah menyayangi sesama keluarga
                 :  kita hendaklah peka / prihatin / ambil berat terhadap penderitaan pesakit
                 :  kita hendaklah berterus terang dalam komunikasi / memberi maklumat
                 :  kita hendaklah bijak memujuk orang dalam kesusahan
                 :  kita janganlah mudah tersentuh / perasa / sensitif / emosional dalam menghadai cabaran / dugaan hidup

kbkk: unsur saspens dalm perkembangan cerita; cara watak utama menghadapi konflik

Thursday, March 15, 2012

PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN BAHARU LAGI? (QUEUING IDEAS IN EDUCATION)

Sekali air bah, sekali pantai berubah. Sekali tukar menteri, sekali pula perkara baharu diperkenalkan, sekurang-kurangnya dari segi penjenamaan semula sesuatu dasar pendidikan. Dunia pendidikan masih dipengaruhi oleh permintaan sosial, kehendak pasaran faktor, modal insan dan pendekatan utilitarian.

Antara menteri pelajaran yang sangat berpengaruh ialah Allahyarham Tun Abdul Razak dan Allahyarham Abdul Rahman Talib. Nama mereka diabadikan lewat dua penyata penting pendidikan yang masih menjadi rujukan penggubalan dasar pendidikan kebangsaan, iaitu Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib. Tun Musa Hitam memperkenalkan Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), manakala Dato' Seri Anwar Ibrahim terkenal dengan sistem bahasa baku dan falsafah pendidikan kebangsaan.

Era Dato' Seri Hishamuddin Hussien pula menonjolkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP 2006 - 2010) sebagai kesinambungan Pelan Pembangunan Pendidikan oleh Tan Sri Musa Mohamed sebelumnya. Tahun 2011 lebih kepada usaha memperkasa semula bahasa Melayu yang kelihatan terpinggir akibat pengenalan dasar PPSMI, di samping menjenamakan semula pendidikan kemahiran dan vokasional. Menjelang suku kedua 2012, Tan Sri Muhyiddin Yasin mengumumkan jelajah dialog pendidikan nasional bagi mendapatkan input dan permuafakatan tentang pelan pembangunan pendidikan yang terkini sejajar dengan pelan transformasi ekonomi negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Dari segi kaedah penggubalan dasar, input hujah yang bertentangan (dialectic) ialah komponen kritikal yang tidak boleh ditinggalkan. Proses penggubalan dasar akan menjadi cacat dan lemah jika pendapat pro dan kontra tidak diambil kira. Maka, langkah mengadakan jelajah dialog pendidikan nasional yang bakal dilaksanakan itu ialah satu keperluan wajib atau sine qua non.
Rumusan hujah dialektik yang dikumpul bagaimanapun bukanlah bersifat muktamad sebagai asas penggubalan dasar pendidikan. Sebenarnya banyak lagi proses saringan yang perlu dilalui seperti pandangan pakar dan dapatan penyelidikan yang khusus. Pertimbangan yang teliti dari segala segi seperti politik, ekonomi, sosial, teknologi, perundangan dan persekitaran pendidikan harus diadun masak-masak.

Dasar pendidikan menghormati kehendak industri dan pasaran, tetapi tidak harus terikat dengan rentak mereka yang hakikatnya mahukan bekalan modal insan secara percuma. Pihak industri sangat bertuah justeru mereka tidak perlu bersusah payah atau mengeluarkan kos yang tinggi bagi membiayai pendidikan dan latihan kakitangan. Industri hanya seperti nelayan yang menabur jala untuk memerangkap ikan dan seterusnya memilih ikan yang sudah sedia tinggi mutunya.

bersambung...

Wednesday, March 14, 2012

DRAMA "CABARAN" KOMSAS TINGKATAN 3 (DRIVING FORCES AND THE PARADIGM SHIFT)

Penulis skrip:  A. Ghaafar bin Ibrahim (AGI) / Abdul Ghafar bin Ibrahim
sumber: itnm.com.my

Profil AGI: Bekas guru SMK Khir Johari, Beranang, Selangor. Berkelulusan sijil perguruan MPIK, BFA (Northen Illinois), MA (Eastern Illinois). Berasal daripada keluarga seni, kemudian menjadi pensyarah di UiTM dan UKM. AGI dekenali sebagai pelopor konsep 3V: verbal-vokal-visual untuk tujuan deklemasi puisi beliau di serata dunia. AGI menghasilkan puluhan karya penulisan dan lukisan yang bernilai tinggi.

Sumber rujukan:  Antologi Harga Sebuah Lukisan, muka surat 126 - 140
Bilangan babak:  6

Watak:  Yahya (Ketrua Pemuda)
          :  Mariah  (isteri Yahya)
          :  Firdaus  (pemimpin belia / penyokong Yahya)
          :  Hani  (adik Firdaus / penyokong Yahya)
          :  Encik Osman  (ahli parlimen)
          :  Zainal  (rakan Yahya / mementingkan diri)
          :  Husin  (belia yang pesimis)

Latar tempat:  rumah Yahya
                   :  rumah Firdaus
                   :  balai raya

Latar masa:  malam / selepas makan malam
                 :  petang

Sinopsis Drama

I
Selepas makan malam di rumahnya, Yahya membuka bicara dengan membangkitkan angin perubahan yang menandakan masyarakat sedang berhadapan dengan cabaran kemajuan ekonomi dan pelajaran. Firdaus berpendapat mesti ada pejuang yang tidak banyak bercakap, manakala Hani kesal akan sikap bersidai di kedai kopi. Husin bersetuju bahawa tentang keperluan belajar berniaga, tetapi Zainal mencemuh "orang kita" yang cuma kaya cita-cita. Mariah mencadangkan perniagaan kecil-kecilan, tetapi Hani hairan Haji Dollah peruncit masih di takuk lama. Firdaus menyebut tentang masalah hutang, manakala Yahya membangkitkan sikap manja. Zainal membidas kritik yang dilemparkan dan mahu menjaga perut sendiri sahaja, malah menganggap dirinya tidak salah. Dia menganggap masyarakat sebagai beku. Husin turut membidas Zainal yang enggan menerima prinsip kemanusiaan yang dianggapnya pura-pura.

II
Setelah tetamu pulang, tinggal Yahya dan isterinya Mariah menyambung perbualan. Yahya berpendapat bahawa percakapan orang muda seperti Zainal dan Husin tidak bernas. Dia mahu masyarakat keluar daripada kemunduran ekonomi dan pelajaran. Mariah membangkitkan semula soal wang, lalu Yahya menyatakan hasrat untuk menubuhkan tabung pelajaran di kampung mereka. Kelas kepimpinan dan syarikat kerjasama perlu dimulakan supaya mereka tidak terus ditindas. Yahya begitu yakin.

III
Sementara itu, Firdaus dan adiknya menyambung perbualan di rumah mereka sendiri. Hani kesal melihat anak-anak muda yang melepak di tepi tembok. Firdaus menyalahkan masyarakat yang beku, termasuk mereka berdua, sebagai punca. Keberanian mengakui kelemahan diri ialah jalan menuju kemajuan. Kerjasama boleh menggantikan modal kewangan. Apabila Hani mengatakan tentang cakap senang, Firdaus tegas membalas bahawa perancangan bermula dengan cakap dahulu. Hani mengingatkan bahawa semangat mesti diikuti oleh tenaga, usaha dan daya utama.

IV
Di rumahnya sendiri, Yahya bersendirian bermonolog. Dia bercakap tentang Encik Osman, ahli parlimen yang sudah lupa balik kawasan untuk menunaikan janji pilihan raya. Dahulu semasa berkempen, pidato sahaja yang berapi-api. Kini di parlimen, sibuk dengan pantun pula. Yahya berasa Encik Osman tidak ikhlas. Semasa kempen (imbas kembali), Encik Osman kononnya sanggup berkorban harta dan nyawa demi membantu orang kampung keluar daripada kemiskinan. Surat Encik Osman di tangan Yahya yang bersulam janji manis disifatkan oleh Yahya sebagai dusta. Yahya mahu wakli rakyat melaksanakan tanggungjawab, serta tidak menganggap pengundi sebagi tangga sahaja.

V
Di balai raya hanya pemuda yang berbual. Sambil merujuk rencana akhbar, Yahya bersetuju bahawa masyarakat mesti digalakkan menceburi bidang perusahaan. Zainal mencelah bahawa masyarakat kita tidak layak berniaga dan berhujah tentang Syarikat Kilang Padi yang baru ditutup. Firdaus segera membidas Zainal sebagai oportunis sama seperti Encik Osman yang cepat gelap mata melesapkan wang syarikat. Firdaus mahu orang Melayu lebih agresif, tetapi Husin bimbang adat resam dan budi bahasa orang Melayu tergadai. Firdaus menjelaskan tentang ajaran Islam dan ciri dinamik dan progresif generasi baharu. Yahya menambah tentang ciri keras kepala dan menolak sikap tidak apa. Firdaus dan Husin mahu mereka mencontohi usaha Nabi Muhammad SAW yang membawa alam cerah ke Tanah Arab. Semua sekali bersetuju, kecuali Zainal yang masih bermenung.

VI
Di rumah Yahya, enam sahabat itu merayakan kejayaan rancangan persatuan mereka yang tersiar di akhbar. Keberanian menuntut hak, muafakat dan perpaduan ialah kunci kemenangan. Zainal mula faham keperluan berani bersuara demi melahirkan angkatan baharu yang maju.

Perwatakan:  tegas / teguh pendirian / istiqamah / asertif
                  :  berani / berpandangan jauh /berwawasan / bersikap terbuka
                  :  yakin diri / optimistik / berfikiran positif
                  :  peka / prihatin / ambil berat
                  :  mementingkan diri sendiri
                  :  pura-pura / hipokrit / bermuka-muka

Latar masyarakat:  masyarakat yang tegas / teguh pendirian / istiqamah / asertif
                          :  masyarakat yang berani / berpandangan jauh / berwawasan / bersikap terbuka
                          :  masyarakat yang yakin diri / optimistik / berfikiran positif
                          :  masyarakat yang  peka / prihatin / ambil berat
                          :  masyarakat yang mementingkan diri sendiri
                          :  masyarakat yang berpura-pura / hipokrit / bermuka-muka

Nilai murni:  ketegasan / keteguhan pendirian
                :  keberanian
                :  keyakinan
                :  kepekaan / keprihatinan
                :  keikhlasan / kejujuran

Persoalan:  ketegasan / keteguhan pendirian dalam memberi hujah / pendapat / pandangan
               :  keberanian dalam menyuarakan hak / perjuangan
               :  keyakinan dalam menghadapi cabaran perubahan zaman / dan persekitaran
               :  kepekaan / keprihatinan terhadap kemajuan bangsa / masyarakat
               :  keikhlasan / kejujuran dalam menunaikan amanah / tanggungjawab / tugas / kepercayaan

Pengajaran:  kita hendaklah tegas / teguh pendirian / istiqamah / asertif dalam memberi hujah / pendapat / pandangan
                :  kita hendaklah berani / berpandangan jauh /berwawasan / bersikap terbuka dalam menyatakan hak / perjuangan
                  :  kita hendaklah yakin diri / optimistik / berfikiran positif dalam menghadapi cabaran / perubahan
                  :  kita hendaklah peka / prihatin / ambil berat terhadap kemajuan bangsa / masyarakat
                  :  kita janganlah mementingkan diri sendiri dalam hidup bermasyarakat
                  :  kita janganlah berpura-pura / hipokrit / bermuka-muka dalam berjanji / bercakap / berkempen / menagih undi

kbkk:  jasa pejuang bangsa / masyarakat
        :  cara-cara memupuk kesedaran tentang perpaduan masyarakat

Tuesday, March 13, 2012

KEPUTUSAN SPM RABU 21 MAC (SPM RESULT NEXT WEEK)

Debaran sejumlah 468,808 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 bakal berakhir minggu hadapan. Mereka telah menduduki peperiksaan berkenaan di 3,533 pusat peperiksaan seluruh negara. Mereka juga ialah kumpulan calon SPM pertama yang menggunakan antologi dan novel komsas terbaharu, termasuk novel kontroversi Interlok karya sasterawan negara, Dato' Abdullah Hussain yang kini telah digantikan dengan novel Konserto Terakhir. 


Agensi berita nasional, Bernama, melaporkan kenyataan Kementerian Pelajaran bahawa keputusan SPM akan diumumkan pada hari Rabu, 21 Mac depan. Pengumuman analisis keputusan itu pula akan diadakan di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Kementerian Pelajaran di Putrajaya, jam 9 pagi pada hari yang sama. Calon-calon boleh mendapatkan slip keputusan rasmi di sekolah masing-masing selepas jam 10 pagi.

Bagi  calon  persendirian,   keputusan  akan  dimaklumkan  melalui  pos,   atau  mereka  boleh menghubungi  Jabatan Pelajaran  Negeri masing-masing.    Keputusan  juga  boleh  disemak menerusi khidmat pesanan ringkas mySMS dengan menaip SMS  < jarak > nombor  kad pengenalan  < jarak > nombor angka giliran dan hantar ke 15888.  Perkhidmatan itu akan diaktifkan mulai 10 pagi 21 Mac hingga 12 tengah malam 27 Mac. 


Setelah memperoleh keputusan SPM, calon-calon akan mula sibuk tentang keputusan sama ada hendak menyambung pengajian di kelas prauniversiti tingkatan 6, matrikulasi, kursus diploma politeknik, UiTM atau kolej badan berkanun dan swasta, sijil kemahiran (MLVK), kursus persediaan ijazah pertama (foundation, baccalaureate, A Level) atau terus terbang ke luar negara. Pertimbangan utama pemilihan tentulah dari segi pembiayaan kos pengajian sama ada biasiswa, hutang PTPTN atau "fama" (fother and mother). Kepada mereka yang sedang mengikuti kem latihan khidmat negara (PLKN), mereka tidak perlu khuatir, justeru kemasukan ke IPT hanya dibuat pada bulan September nanti.


Kepada yang sudah selesa memegang duit RM700 - RM1,500 sebulan kerana bekerja sambilan di pasar raya atau restoran makanan segera, masih boleh terus bekerja, tetapi dalam masa yang sama mesti mengikuti pengajian diploma, sarjana muda atau kelayakan profesional seperti kejuruteraan, pengurusan perniagaan, perakaunan atau undang-undang secara separuh masa. Tidak bijak untuk kekal dalam satu takuk kerjaya sebagai pekerja bawahan seumur hidup. Mobiliti mesti diupayakan sekurang-kurangnya ke tahap pegawai, kalaupun tidak sampai menjadi pemilik francais restoran makanan segera berkenaan.

Persediaan temu duga permohonan biasiswa berprestij tinggi yang ditawarkan oleh JPA, Petronas, Mara dan Bank Negara untuk kursus kritikal di universiti terkemuka dunia wajib dilakukan oleh calon yang disenarai pendek kelak. Antara cara terbaik ialah "berguru" dengan pemegang biasiswa terdahulu yang telah melepasi temu duga dengan jayanya. Jika tidak ada rezeki dalam sesuatu permohonan, ingatlah bak kata Helen Keller bahawa satu pintu tertutup, di sana masih banyak pintu yang terbuka...