Tuesday, March 26, 2013
TARIKH PILIHAN RAYA UMUM KE-13 SEMAKIN HAMPIR (DEMOCRACY IN ACTION)
Jika tanggal 8 Mac 2008, iaitu pilihan raya umum ke-12 diambil kira, maka buat pertama kali dalam sejarah politik di negara kita, pilihan raya umum melepasi tempoh lima tahun. Ketua kerajaan persekutuan, iaitu perdana menteri dan ketua kerajaan negeri (menteri besar, ketua menteri) diperuntukkan kuasa untuk memberi nasihat kepada ketua negara (DYMM Yang Dipertuan Agong) dan ketua negeri (raja, sultan, yang dipertua) untuk perkenan pembubaran parlimen dan dewan undangan negeri (DUN). Jika peruntukan itu tidak digunakan, parlimen dan DUN terbubar secara automatik berdasarkan perkiraan tarikh angkat sumpah anggota dewan.
Negeri Sembilan menjadi DUN pertama yang terbubar secara automatik berkuat kuasa lusa, Khamis 27 Mac 2013 (baca di sini dan di sini). Parlimen pula akan terbubar secara automatik pada 28 April depan. Walaupun tarikh pembubaran setiap DUN dan parlimen berbeza-beza, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mempunyai kuasa pemutus tentang tarikh pilihan raya yang lazimnya dijalankan serentak di seluruh negara, kecuali DUN Sarawak, atas faktor keberkesanan kos dan pentadbiran.
Bahang pilihan raya sudah mula dirasakan apabila perang poster dan perang saraf semakin rancak. Propaganda juga semakin hangat menerusi media cetak dan media sosial, atau juga dikenal sebagai media baharu, media atas talian, media maya dan sebagainya. Kaedah konvensional seperti ceramah dan kunjungan bakal calon pilihan raya bersemuka dengan pengundi tetap diteruskan.
Kelayakan umur mengundi ialah 21 tahun ke atas. Namun, hanya mereka yang telah diwartakan sebagai pengundi sah oleh SPR layak berbuat demikian. Semakan daftar pengundi boleh dilakukan dengan klik di sini.
Penyertaan pengundi dalam pilihanraya pada zahirnya begitu mudah, iaitu dengan memangkah calon parlimen dan DUN pilihan masing-masing. Namun, hakikatnya proses memangkah calon pilihan yang memakan masa beberapa minit sahaja itu bakal menentukan pihak yang berjaya membentuk kerajaan persekutuan dan negeri. Kemenangan calon dikira berdasarkan majoriti mudah walaupun hanya dengan perbezaan satu undi.
Walaupun sesiapa juga boleh menawarkan diri sebagai calon pilihan raya setelah mematuhi semua syarat, termasuk tidak muflis, tetapi hanya calon yang mewakili parti politik sahaja yang diberi perhatian. Calon bebas kebiasaannya hanya memperoleh undi simpati dan hilang wang pertaruhan, melainkan dalam kes yang istimewa seperti dalam kes Cikgu Jabbar di Sepang selama tiga penggal dan Shahrir Samad di Johor Bahru, serta di Sabah dan Sarawak.
Elaun sebagai wakil rakyat tidaklah sehebat gaji pegawai tinggi awam, korporat atau profesional, tetapi masih menjadi rebutan. Di Malaysia, wakil rakyat berpeluang dilantik sebagai menteri, ahli majlis mesyuarat (exco) kerajaan negeri, atau sebagai wakil kerajaan dalam agensi dan badan berkanun, serta pengarah dalam syarikat berkaitan kerajaan. Mereka juga menikmati status sebagai orang kenamaan, atau VIP.
Peranan terpenting wakil rakyat ialah sebagai penggubal undang-undang. Segala rang undang-undang dan perbekalan hanya boleh berkuat kuasa setelah mendapat undian majoriti di parlimen atau DUN. Sekiranya berlaku pertikaian, tafsiran muktamad bakal diputuskan oleh pihak mahkamah.
Sebagai ahli politik, seseorang wakil rakyat mestilah memiliki kesihatan dan stamina yang baik, serta kedudukan kewangan yang stabil. Mereka perlu ke sana ke mari, menghadiri pelbagai majlis sehari suntuk. Masa untuk melelapkan mata mungkin hanya di dalam kereta atau pesawat.
Ketelusan, keutuhan dan manifesto parti politik yang diwakili oleh calon mengatasi faktor batang tubuh atau keperibadian seseorang calon. Pilihan raya umum ke-13 dalam tempoh terdekat ini (paling lewat pada 26 atau 27 Mei berdasarkan tempoh 60 hari pembubaran DUN NS dan dengan andaian pilihan raya serentak) dianggap paling sengit dalam sejarah politik negara yang kian mirip sistem dua parti seperti yang berlaku di negara-negara maju. Suara rakyat suara keramat, iaitu sebagai tuan sebenar kerajaan yang terlantik kelak...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment