SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, March 24, 2013

PERANAN KEJIRANAN MENCEGAH JENAYAH (LATE NIGHT RIDER SUSPECTED)

Undang-undang tahanan rumah kepada golongan remaja selepas pukul 10 malam seperti di Thailand dan Indonesia memudahkan kawalan terhadap kemungkinan peristiwa jenayah. Jika remaja masih berada di jalanan selepas pukul 10, mereka akan ditangkap tanpa banyak soal jawab. Sebab itu kota mega Jakarta sunyi daripada hiruk-pikuk kenderaan setelah waktu berkenaan.

Di Papua New Guinea pula berlainan. Apabila menjelang malam, seluruh bandar dikuasai oleh gerombolan penyangak dan penyamun sehingga penduduk berkurung dalam rumah sahaja. Tiada jaminan keselamatan bagi sesiapa yang berani keluar pada waktu malam.

Di kebanyakan negara di benua Eropah, semua premis perniagaan, sama ada gedung membeli-belah atau kedai makan ditutup seawal pukul tujuh malam. Konsep mereka ialah waktu malam sebagai waktu rehat dan tiada makan-makan lagi. Hanya kedai roti yang masih dibenarkan beroperasi.

Di negara kita hingga dini hari, malah hingga ke waktu Subuh, restoran mamak masih dipenuhi pelanggan yang menjamu selera dengan hidangan berat dan minuman manis. Segelintir mereka membuka komputer mudah alih sambil berbual dengan rakan dengan menggunakan perkhidmatan wi-fi percuma di situ. Sambutan terhadap restoran mamak telah mendorong rangkaian restoran makanan segera utama seperti KFC dan McDonald beroperasi 24 jam.

Di Kuala Lumpur, keperluan dapur boleh dibeli 24 jam di sekitar Kampung Bharu, Jalan Raja Bot dan Chow Kit. Barangan kulit dan baju sukan tiruan juga boleh diperoleh di pelbagai lokasi uptown dan downtown. Bilakah orang Kuala Lumpur berehat dan tidur?

Penjenayah pula menunggu peluang apabila mendapati mangsa berlaku cuai. Dengan ketiadaan sekatan pergerakan di jalan raya dan kawasan perumahan, kegiatan jenayah berleluasa. Penduduk kawasan perumahan yang sering menjadi mangsa akhirnya bertindak sendiri dengan mengadakan sekatan seperti menutup laluan masuk ke kawasan perumahan mereka selepas tengah malam.

Barangkali tindakan lambat pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi punca penduduk kawasan perumahan terpaksa membuat tindakan sendiri. Teguran Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (baca di sini) tentang hal berkenaan wajar mendapat perhatian kedua-dua belah pihak. Segala proses pencegahan jenayah di kawasan perumahan hendaklah dimudahkan, bukan sebaliknya.

Usaha bersepadu pihak berkuasa dan orang awam mampu menyebabkan penjenayah berputih mata. Segala peluang untuk menceroboh, pecah rumah dan melarikan harta benda penduduk di kawasan perumahan akan tersekat sepenuhnya. Remaja yang menjadi rekrut kumpulan penjenayah tidak lagi memiliki peluang untuk berkeliaran menunggang motosikal sesuka hati selepas pukul 10 malam sama ada sebagai pemberi maklumat, atau bertindak sebagai penjenayah sebenar.

Sebagai ikhtiar, semua laluan utama ke kawasan perumah perlu dipasang dengan kamera litar tertutup yang canggih, serta tidak dapat dikesan untuk dirosakkan oleh penjenayah. Kejadian jenayah pada waktu siang juga tidak kurang hebatnya, terutama apabila seisi rumah sibuk dengan urusan pekerjaan dan pembelajaran. Tiada sebab bagi orang yang bukan penduduk sesuatu kawasan perumahan untuk berlegar-legar di sana dalam keadaan yang mencurigakan.

Dalam jangka panjang, suatu reka bentuk laluan kawasan perumahan selamat perlu dijadikan syarat kelulusan projek. Penduduk kawasan perumahan sudah letih dan serik dengan kejadian jenayah yang menimpa kawasan kejiranan mereka. Jika penjenayah semakin licik, seharusnya pelan pencegahan jenayah jauh lebih licik daripada itu...

No comments: