Saturday, March 30, 2013
VADAI LARIS DI JALAN TAR, PASAR MALAM (STREET SELLING ATTRACTION)
Hampir dua jam memerhatikan perniagaan jalanan di Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR), Kuala Lumpur, penulis blog (PB) menganggarkan tidak kurang 200 biji ulunthu vadai dan 200 biji masala vadai berjaya dijual. Anggaran dibuat berdasarkan tiga kali bekas besar yang penuh dicurahkan dalam dulang jualan. Di sebelah meja jualan vadai, terdapat pula meja jualan putu mayam dan kacang kuda.
Harga vadai di Jalan TAR lebih murah jika dibandingkan dengan di pasar malam sekitar Ipoh. Di situ, tiga biji vadai berharga RM1 sahaja, berbanding dengan di Ipoh RM1.20, iaitu 40 sen sebiji. Saiz vadai dan mutu masakan vadai di Jalan TAR juga lebih baik.
Jualan vadai dalam dulang di atas meja dengan lokasi pesiar kaki nampak seperti bukan usaha individu. PB berpendapat vadai dimasak di restoran mamak berdekatan, kemudian pekerja tertentu bertugas untuk membuat jualan vadai yang masih panas kepada orang ramai yang lalu-lalang. Konsep itu lebih kurang sama dengan jualan telefon bimbit, tudung dan item lain di ruang legar pasar raya, walaupun kedai induk mereka berada dalam pasar raya yang sama.
Peniaga Melayu juga sudah pandai menjual vadai yang dimasak sendiri. Buktinya, di kawasan Simpang, berdekatan dengan Changkat Jering, Taiping terdapat banyak gerai tepi jalan milik penjaja Melayu menjual vadai dan telinga keling (denderam, peniaram). Resepi tidak menjadi masalah kerana mudah dirujuk menerusi laman sesawang, misalnya ulunthu vadai di sini dan masala vadai di sini.
Orang Kuala Lumpur tekenal dengan makanan 'rasmi' mereka, iaitu donut dan karipap, serta vadai. Orang Kuala Lumpur juga sudah tidak kisah tentang jualan tepi jalan atau tepi longkang kerana mereka mengejar masa dan melayan perut yang berkeroncong. Risiko pemindahan cecair badan kepada mereka yang lemah antibodi juga seperti dilupakan.
Barangkali antibodi orang Kuala Lumpur memang kuat dan sukar diceroboh oleh tentera bakteria dan virus pembawa penyakit seperti hepatetis B dan C, pembunuh senyap seperti sakit jantung. Makanan yang terdedah di tepi jalan mudah tercemar oleh debu, air liur penjaja dan orang ramai, serta asap kenderaan. Namun, aroma dan kerangupan vadai yang terhidang bagaikan magnet yang berkuasa.
Di kampung, orang Melayu lebih kenal masala vadai berbanding dengan ulunthu vadai. Malah, masala vadai diberi nama lain sebagai masak lodeh. Orang Melayu sudah lama menerima masala vadai sama seperti pisang goreng panas sebagai hidangan ringkas.
Sekarang ini, masala vadai dan ulunthu vadai segera yang disejuk beku telah dijual di pasar raya dan kedai sejuk beku. Tiada masalah untuk mencari tepung kacang hitam atau ramuan yang lain, sebaliknya hanya tinggal dimasukkan di dalam kuali untuk proses gorengan. Jika makanan yang berasal dari selatan India itu boleh memasuki negara kita, apa kata jika pelbagai makanan tradisional Melayu diangkat ke peringkat antarabangsa?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment