SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, May 5, 2009

MAHKOTA YANG SIRNA: SEBUAH SKETSA KEHIDUPAN

Tuan disahkan menghidap barah hati peringkat akhir. Ayat ringkas yang terpacul daripada bibir Dr. Salleh, pakar patologi organ dalaman itu bagaikan hakim yang menjatuhi hukuman mati. Buat seketika, degup jantung Edi bagaikan terhenti. Semua darah yang terkandung dalam tubuhnya bagaikan bergerak ke bahagian kepala.

Edi, jangan cepat berputus harap. Mana tahu ada keajaiban akan berlaku. Berdoalah kepada Tuhan Yang Maha Esa. Mengadulah kepada-Nya. Lembut suara Dr. Salleh cuba memberikan sisa-sisa harapan walaupun menyedari bahawa pesakit di hadapannya sukar sekali menerima hakikat. Edi masih kelu. Namun, tiba-tiba dia bingkas bangun meninggalkan bilik doktor dengan tergesa-gesa. Dr. Salleh sudah biasa dengan keadaan itu. Edi dibiarkan berlalu membawa seribu kehampaan dan kepiluan.

Bagaimana aku yang baru menginjak usia dua puluh tahun boleh menerima nasib begini? Apa salah diriku? Tinggal tiga bulan mengikut anggaran doktor untuk Edi bergelar insan. Selepas itu...? Edi tidak sanggup meneruskan bayangan itu. Dia tidak gagah untuk semua itu.

Kehidupan Edi serba cukup. Ayahnya seorang tokoh korporat yang disegani. Ibunya seorang pensyarah universiti. Edi sendiri baru memulai cuti semester University of Princeton, New Jersey, USA dalam bidang pengajian sains aktuari. Kalau hendak ke mana-mana Edi boleh memilih sama ada hendak memandu kereta sport, atau dihantar oleh supir (pemandu) keluarga. Kakaknya sudah berumah tangga dan memiliki sepasang cahaya mata. Daniel, adik kecilnya baru berusia lima tahun.

Rupa-rupanya kehidupan begitu singkat. Pilihan bukan di tangan manusia. Hati kecil Edi di titik rasional. Kini, Edi berasa cemburu dengan si pemungut kotak jalanan yang dilihatnya hari-hari. Apek tua itu tega menyelongkar timbunan sampah kalau-kalau ada ’emas’ yang tercicir. Apek itu kelihatan menyeringai menampakkan 32 puntung gigi asli yang masih tersusun rapi apabila pencariannya tidak sia-sia. Kotak-kotak yang lusuh diikat di belakang basikal tua dan kemudian basikal itu didorong perlahan-lahan. Barangkali, apek itu menjualnya di pusat kitar semula. Edi hanya mengagak. Dia tidak pasti.

Di New Jersey, Edi juga pernah melihat sekumpulan pengemis kulit hitam nyenyak seperti diulit mimpi indah di kaki lima kedai. Mereka berbantalkan lengan, bertilamkan jubin yang dingin, dan beratapkan balkoni kedai untuk berlindung daripada terjahan hujan dan panas yang bagaikan berdendam tidak sudah-sudah dengan tanah yang dipijak manusia. Bilakah Barrack Obama dapat melenyapkan putaran ganas kemiskinan yang masih mencengkam dan menghantui hampir tujuh peratus warga negara Uncle Sam yang paling berkuasa itu? Siapa yang peduli dengan kaum pendatang hispanik dan peribumi Red Indian? Edi seolah-olah lupa seketika akan takdir dirinya sendiri sebentar tadi.

Entah bila kereta Edi meluncur hingga dia betul-betul berada di hadapan pagar kediaman keluarganya yang persis sebuah istana Melayu dahulu kala. Tiba-tiba satu lagi dilema menjelma dalam benak Edi. Mahu berterus terang atau pendamkan sahaja? Lagi pun Edi tidak memaklumi sesiapa pun bahawa dia menjalani pemeriksaan selepas semalaman tidak bisa melelapkan mata walaupun sepicing. Justeru Edi merasakan sesuatu yang tidak kena dengan sistem fisiologinya. Dalam keadaan ya dan tidak itu, Edi sudah berada di ruang letak kereta. Keputusan masih belum muktamad.

Wahai pembaca budiman, bantulah Edi membuat keputusan. Selamat berfikir… babai, tata!!! Layan...

No comments: