SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Loading...

Sunday, June 7, 2009

DASAR BAHASA KEBANGSAAN: SUATU REFLEKSI (NATIONAL LANGUAGE POLICY: A CRITICAL DISCOURSE)

Pendahuluan

Bahawa Dasar Bahasa Kebangsaan (DBK) sedang menempuh era suram dan bercelaru sedang hangat dibahaskan dalam kalangan pencinta bahasa. Akta Pendidikan 1996 (AP 96) dituding sebagai punca fleksibiliti dasar berkenaan berbanding dengan Akta Pelajaran 1961 yang menegaskan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa pengantar utama sistem pendidikan negara. Pengecualian di bawah seksyen 28 atau pengecualian yang diberi oleh Menteri Pelajaran telah mencetuskan debat dan tafsiran tentang DBK. Sebagai contoh terkini, semua politeknik di bawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menggunakan pengantar bahasa Inggeris (BI) hampir sepenuhnya mulai tahun 2008.

2 Latar Belakang DBK


Akta Bahasa Kebangsaan (ABK) 1961 dan 1963 bertujuan merealisasikan Perkara 152 (1) perlembagaan negara yang memperuntukkan BM sebagai bahasa rasmi negara dalam segala urusan awam. Ia selaras dengan milieu politik ketika itu yang berfokuskan isu perpaduan pasca-penubuhan Malaysia, terutama bagi maksud integrasi Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Ringkasnya DBK disediakan bagi menyokong matlamat pembangunan negara yang meletakkan perpaduan sebagai jaminan kejayaannya.

Penurunan taraf sebanyak dua kali ganda (Mahzan, 2002) menerusi AP 96 membuatkan harapan untuk melihat BM sebagai bahasa pengungkapan wacana ilmu dan teknologi tinggi tiba-tiba sirna. Rempuhan gelombang globalisasi dan perebutan peluang ekonomi di persada antarabangsa rupa-rupanya memerlukan kesegeraan bertindak balas terhadap segala bentuk perubahan yang berlaku tanpa henti. Cita-cita menjadikan negara sebagai hub ICT, industri berteknologi tinggi dan pendidikan bertaraf dunia mengakibatkan peminggiran DBK yang kelihatannya amat memilukan para pejuang dan pembela DBK.

3 Penghujahan Dialektik (Dua Pihak) DBK

Matlamat peringkat awal ialah perpaduan nasional. DBK berjaya melahirkan generasi baru bercitra Malaysia yang menjalani pengajian pelbagai disiplin ikhtisas. Nilai aksesibiliti dan ekuiti kaum bumiputera dalam bidang profesional dan kritikal begitu ketara dari segi pertambahannya.

Pihak lain pula beranggapan bahawa DBK sudah tidak dapat berfungsi dalam konteks era maklumat yang cepat kadar keusangannya. DBK lambat respons terhadap kehendak industri dan inovasi. Usaha terjemahan berada pada tahap tidak bermaya. BM dikatakan sudah tidak lagi mempunyai nilai ekonomi.

DBK tersepit antara hujah nasionalis bahasa dengan kelompok industri sebagai kumpulan berkepentingan. Kebetulan dasar awam semasa bersifat properniagaan.



4 Masalah di sebalik DBK

Secara tidak sedar klise bahawa BM tidak bernilai ekonomi diberi nafas baru. Seolah-olah kejayaan dan kesejahteraan hanya boleh dicapai menerusi penguasaan bahasa Inggeris (BI). Namun, justeru ketiadaan proses perancangan yang teliti dan komprehensif terhadap DBK semasa penerimaan AP 96 telah menyukarkan keadaan.

Kandungan dan pedagogi BM peringkat sekolah lambat bertindak balas dan menampung keperluan era maklumat yang cepat usang. Matlamat komunikasi dan penzahiran perasaan secara lama masih mendominasi pendekatan pedagogi di sekolah.


5 Apa Yang Mesti Dibetulkan? Apakah Alternatifnya?

Dasar awam yang baik sepatutnya memberi manfaat kepada majoriti tanpa menindas minoriti, apatah lagi jika minoriti itu sangat penting kepada survival negara dari dari segi memenuhi keperluan asas manusia. Negara boleh meneruskan dasar properniagaan tanpa mengorbankan DBK. Suatu perancangan sumber manusia bagi memenuhi kehendak berkenaan ialah menyediakan nisbah sumber manusia yang sesuai untuk tujuan daya saing antarabangsa dengan kelompok besar yang hanya terbabit di peringkat domestik.

Konsep triplization (globalization, localisation, individualization) perlu dipertimbangkan. Juga menjadi tanggungjawab pihak industri menyediakan program sumber manusia dalam perkhidmatan daripada semata-mata mengharapkan produk sistem pendidikan negara yang tidak semata-mata bersifat vokasional.

Para pencinta bahasa pula tidak pula boleh tenggelam punca tanpa melakukan apa-apa. Mereka mesti berikhtiar menyelamatkan DBK dengan mengetuk jendela nurani pembuat dasar. Mereka sendiri mesti menjana inovasi dalam pedagogi BM semua peringkat.


6 Kemungkinan Kejayaan DBK

Pemimpin dan pembuat dasar terdahulu tidak membuat silap terhadap pelaksanaan DBK. Pemupukan jati diri dan patriotisme jelas terserlah walaupun tanpa slogan yang muluk-muluk. DBK masih boleh diselamatkan. Pencinta bahasa mesti bersuara lantang dan mantap supaya tidak dilihat sebagai retorik per se.

Input baru mesti dikumpul bagi membuktikan inovasi dan kreativiti juga boleh muncul bagi mempertahankan DBK yang berhadapan dengan kegetiran, serta kejutan masa depan. DBK masih akomodatif dan relevan dengan tuntutan semasa. Asalkan ada iltizam politik, DBK boleh berjaya dengan megah.




Penutup


DBK ialah akar umbi, khazanah dan warisan yang menjadi tunjang keutuhan negara. DBK tidak seyogia diketepikan demi melayani nafsu industri semata-mata, walaupun sumbangan industri terhadap ekonomi negara sememangnya kritikal. Sebaliknya, fokus terhadap potensi individu yang diharap menjadikan rakyat Malaysia sebagai global player juga tidak boleh ditolak. Barangkali kompromi dan pengubahsuaian dari segi perancangan dasar dan persefahaman antara kumpulan berkepentingan dapat dilakukan. Kedua-duanya diperlukan demi kebaikan negara dalam jangka masa panjang. Sekian.

1 comment:

VECASTS - LISTEN ONLINE RADIO WATCHING ONLINE TV said...

TONTON PELBAGAI SIARAN TV ONLINE DAN DENGARKAN PELBAGAI SIARAN RADIO ONLINE DARI DALAM DAN LUAR NEGARA SECARA PERCUMA
VECASTS - Listen web Radio Watching web TV, Tv Online. Watch Over 3000 Online TV Channels And 6500 Radio Stations Free For Around In The Wold clik to watching
Listen Hindi radio click ,watching live movie ,live international radio,indo radio.usa radio and more ,LIVE MOVIE ,LIVE SPOTS,LIVE HINDI RADIO ,HINDI MOVIE ,AXN LIVE ,STAR MOVIE LIVE ,MAX CHANNEL LIVE LIVE UNTERNATIONAL RADIO AND TV BROADCASTER
MALAYSIA TV ONLINE , UNTUK MENONTON sini lawati >  http://vecasts.blogspot.com/2011/10/malaysia-tv-online-watch-malaysia-tv.html
MALAYSIA RADIO ONLINE terdapat lebih 180 buah stesen radio online malaysia lawati >  http://vecasts.blogspot.com/2011/11/listen-malaysia-radio-online-live-radio.html watch live ,rtm1 ,rtm2 ,tv3 ,ntv7 ,8tv ,tv ,pas tv ,mobtv ,1hujau tv ,1 malaysia tv ,tv selangor and more tv