SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, June 5, 2009

TINGKATAN ENAM: MASA UNTUK MEMBUAT KEPUTUSAN (PREUNIVERSITY STUDY: TIME TO DECIDE)

Tempoh percutian setengah tahun persekolahan 2009 yang berada pada penghujung minggu pertama ini memberi peluang kepada guru dan pelajar Tingkatan Enam (prauniversiti) untuk membuat pilihan. Dilema yang dihadapi ialah perubahan rutin pengajian, iaitu lanjutan masa berada di sekolah hingga waktu petang dari hari Isnin hingga Khamis setiap minggu. Sesungguhnya bukanlah mudah bagi mengubah kebiasaan selama ini, iaitu berada di rumah selepas pukul dua petang.

Kepada guru yang masih mempunyai anak di sekolah rendah, mereka mungkin sekali berhadapan dengan kesukaran. Kebiasaannya, mereka akan terus menjemput anak mereka kira-kira pukul dua petang. Kemudian, anak-anak kecil tadi bersedia pula untuk menghadiri kelas pengajian fardu ain sekitar pukul tiga petang. Dalam keadaan bahawa pasangan guru tadi juga bekerjaya, masalah pengurusan keluarga tidak dapat dielakkan.

Kepada pelajar pula, mereka memberi alasan kepenatan (exhausted). Pukul satu pun kami sudah "tumbang"!, dakwa mereka (baca: aktiviti lain terjejas). Kemudahan pengurusan diri (bilik air, bilik persalinan dan bilik rehat) di sekolah juga masih terhad.

Begitulah realiti sesuatu perubahan. Berlaku kehilangan dari segi keselesaan, rakan, kedudukan, waktu santai, dan banyak lagi. Ada guru lantikan tingkatan enam (pensyarah: cadangan gelaran oleh jabatan pelajaran) terpaksa melepaskan jawatan pentadbiran walaupun memperoleh kenaikan gred perjawatan dan tangga gaji. Pelajar pula berkira-kira untuk mengikuti pengajian di kolej dan universiti swasta yang dirasakan lebih fleksibel.

Persoalannya, benarkah demikian? Guru dapat menyelesaikan segala tugasan akademik dan urusan dengan pelajar, termasuk aktiviti kokurikulum, perundingan dan penyelidikan tanpa perlu dibawa balik ke rumah. Pelajar juga tidak perlu berkejar ke pusat tuisyen justeru pelaksanaan sistem kuliah, tutorial, dan perundingan yang membiasakan mereka dengan pengajian universiti. Sementelah, sebahagian markah STPM diberikan di peringkat sekolah. Dalam kata lain, fungsi pusat tuisyen untuk pelajar prauniversiti (tingkatan enam) semakin tidak relevan!

Dalam era persaingan global ini, pergantungan kepada kaedah dan pendekatan lama tidak dipegang 100 peratus. Opsyen baru mesti diberi perhatian yang sewajarnya. Martabat dan status pengajian tingkatan enam (prauniversiti) perlu dibezakan dengan pengajian menengah. Sebaliknya, ia patut menyaingi, malah mengungguli kedudukan persediaan universiti seperti matrikulasi, A-Level, diploma, foundation study, dan lain-lain.

Bekas pelajar ekonomi saya yang kini menuntut di Singapura dan Australia mengatakan bahawa mereka berterima kasih kepada sistem tingkatan enam yang membimbing mereka supaya lebih berdaya saing dengan mendapat gred high distinction (4 flat) di peringkat sarjana muda. Walaupun mungkin bersifat kes terpencil, ia menjadi testimoni untuk dibuktikan dalam kajian yang lebih mantap sifatnya.

Sebab itu sistem STPM menerima pengiktirafan sedunia, dan pihak Majlis Peperiksaan Malaysia dalam proses menjadikan setiap mata pelajaran (kursus pengajian tingkatan enam) STPM layak diberi pengecualian kredit di universiti dalam dan luar negara. Maka, penjenamaan semula tingkatan enam sebagai pengajian prauniversiti tidak syak lagi ialah langkah permulaan yang berani.

Walau apa pun, keputusan terletak di tangan anda sendiri. Orang lain boleh mengemukakan pelbagai hujah dan justifikasi. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Namun, jangan takut atau fobia dengan sebarang perubahan.

Sebaik-baiknya proses membuat keputusan dibimbing oleh kecerdasan akal (IQ), kecerdasan emosi (EQ) dan kecerdasan spiritual - sosial (SQ), selain berasaskan data (maklumat terpilih). Anda tidak seharusnya dipengaruhi perasaan semata-mata, mahupun pendapat amatur (jalanan) yang belum tentu membantu.

Jika anda benar-benar dilema, mohonlah petunjuk-Nya (bagi pelajar Muslim, solat istikharah).

Alah bisa, tegal biasa. Lama-kelamaan anda akan berjaya membiasakan diri dengan persekitaran yang baharu dan melepasi segala cabaran, insya-Allah.

Kita jumpa lagi...

No comments: