Friday, September 11, 2009
TARIAN PENDET: TOLAK ANSUR SESAMA TETANGGA (PENDET DANCE: NEVER SPOIL THE RELATIONSHIPS)
Isu tarian pendet yang bermula daripada siaran Discovery Channel tentang pelancongan di Malaysia masih belum reda. Walaupun kesilapan itu dilakukan oleh stesen televisyen berkenaan dan permohonan maaf telah dibuat, namun isu itu telah pun bertukar kepada bentuk ancaman balas dendam terhadap saudara serumpun dan saudara se-Islam pada bulan Ramadan yang penuh rahmat, keampunan dan pembebasan daripada api neraka. Nampaknya jarum-jarum halus yang berbisa telah berjaya meracun emosi segelintir insan yang tergamak melampiaskan amarah terhadap keselamatan dan nyawa orang lain yang tiada kena-mengena.
Tindakan membuat sekatan jalan, membawa buluh runcing dan sebarang bentuk provokasi yang lain bukan sahaja suatu percubaan meletakkan undang-undang di tangan sendiri, bahkan menjadi gambaran betapa tipisnya semangat berbaik sangka yang menjadi kebanggaan Nusantara. Dalam jangka panjang, sikap seumpama itu boleh menjejaskan persefahaman politik, ekonomi dan sosial yang telah lama terjalin. Perkara yang lebih membimbangkan ialah hakikat bahawa akan ada pihak ketiga yang mengambil kesempatan menangguk di air keruh!
Walaupun sesekali berlaku perbezaan pendapat dan konflik, Malaysia dan Indonesia tetap memerlukan antara satu dengan lain. Perkongsian bahasa, budaya, adat resam dan nilai tidak bisa diputuskan begitu sahaja. Apatah lagi dari segi ekonomi dan perniagaan.
Kita patut cemburu dengan Eropah yang sanggup melonggarkan peraturan imigresen supaya pergerakan antara rakyat negara yang berlainan begitu mudah. Negara anggota Kesatuan Eropah (EU) menyedari bahawa jika mereka tidak bersatu, tiap-tiap sebuah negara hanyalah berupa sebuah entiti geopolitik dan wilayah yang bersaiz kecil. Sedangkan negara-negara Asia seperti China, India, Indonesia dan Filipina ibarat gergasi ekonomi yang masih belum bangun daripada tidur yang panjang!
Sebenarnya sebuah Asia yang bersepakat akan mencemaskan dunia Barat, khususnya Eropah yang berharap penguasaan ekonomi mereka boleh dipertahankan. Kira-kira separuh penduduk dunia mendiami Asia. Maka, apabila kuasa beli penduduk Asia dapat dilonjakkan, pasaran dalaman Asia akan menjadi lebih kukuh. Kuasa tawar-menawar Asia dengan Eropah dan Amerika Utara menjadi lebih kuat.
Berbalik kepada hubungan Malaysia - Indonesia. Pergerakan sumber antara dua negara tetangga ini saling menguntungkan. Jumlah penduduk Malaysia ialah 27 juta jiwa, sedangkan Indonesia melebihi 200 juta jiwa. Hasil bumi kedua-dua buah negara juga masih belum dieksploitasi sepenuhnya.
Sebahagian rakyat Malaysia cenderung untuk memilih Medan, Jakarta, Puncak Bandung dan Bali sebagai destinasi percutian. Kadar pertukaran rupiah yang masih rendah menjadi tarikan utama. Selain itu, cita rasa terhadap makanan dan fesyen juga tidak begitu jauh berbeza.
Dengan saiz penduduk yang besar, khususnya di pulau Jawa, tidak hairanlah bahawa bilangan rakyat Indonesia yang merantau ke seantero dunia besar jumlahnya. Di Malaysia sahaja dianggarkan hampir dua juta warga Indonesia datang untuk mencari rezeki, meneroka peluang niaga, dan menyambung pengajian. Malah, bilangan yang berkahwin dengan rakyat tempatan juga tidak kecil jumlahnya.
Kelebihan Indonesia ialah dari segi saiz geografi dan pasaran domestiknya. Selain Jawa, wilayah kepulauan yang lain masih berkepadatan rendah dari segi jumlah penduduk. Wilayah Kalimantan dan Irian Jaya (yang berjiran dengan Australia dan Papua New Guinea) misalnya hanya menunggu masa untuk menjadi kaya raya dengan sumber petroleum dan emas yang kini dikatakan belum cukup matang untuk proses cari gali.
Andainya proses transmigrasi penduduk antara wilayah dan penggemblengan sumber di Indonesia berhasil, negara kepulauan dan perairan raksasa itu bakal menjadi kuasa ekonomi yang perkasa. Pada ketika itu kuasa beli rakyat Indonesia akan melonjak dan pasaran domestiknya bertambah kukuh. Malaysia ialah antara negara tetangga yang akan mendapat limpahan kekayaan itu.
Hubungan Malaysia - Indonesia sedang diuji buat kesekian kalinya. Marilah kita berdoa agar isu tarian pendet akan segera berakhir. Seribu orang sahabat masih terlalu sedikit, sedangkan seorang musuh sudah terlalu ramai.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment