Sabah dan Sarawak membentuk kira-kira separuh daripada saiz keluasan tanah negara. Perut bumi kedua-dua negeri kaya dengan khazanah galian dan mineral yang amat tinggi nilainya. Selain itu, keunikan flora dan fauna yang terdapat di sana pasti menggamit kedatangan pelancong.
Singapura ialah sebuah negara pulau bandar raya yang asalnya bernama Temasik, sebuah wilayah kesultanan Johor Riau. Nama Temasik diabadikan oleh sebuah konglomerat negara itu, iaitu Temasik Holdings yang memiliki kepentingan strategik di seluruh dunia, terutamanya Kanada dan Thailand. Beberapa bidang tanah republik berkenaan masih berada di bawah kawalan Malaysia seperti Bukit Timah, Tanjung Pagar dan Woodlands.
Sebagai sebuah negara yang bercirikan semenanjung dan pulau (Borneo), Malaysia memiliki jarak pantai yang cukup panjang. Hal itu juga bererti bahawa keluasan tanah daratan akan dicampur pula dengan kawasan perairan yang dikira sejauh 200 kilometer daripada pantai, iaitu perairan zon eksklusif seperti yang ditetapkan dalam undang-undang antarabangsa. Maka, potensi aktiviti samudera (maritim), perikanan dan cari gali petroleum boleh digembleng secara optimum.
Pertikaian wilayah dengan negara-negara jiran, terutama dalam kawasan yang dianggap bertindih tidak dapat dielakkan. Malaysia pernah berjaya mengesahkan pemilikan Ligitan dan Sipadan di Sabah (sempadan timur laut Kalimantan), tetapi kehilangan Pulau Batu Putih kepada Singapura. Perairan sekitar Ambalat di Selat Melaka dan Terumbu Layang-Layang Spartly di Laut Cina Selatan masih dalam proses pertikaian dengan beberapa buah negara, termasuk China, Filipina, Indonesia dan Vietnam.
Mujurlah negara-negara yang bernaung di bawah Asean memiliki semangat setia kawan yang sejati, serta sanggup menunggu proses penyelesaian di meja rundingan diplomatik. Apabila menemui jalan buntu, negara yang terbabit bersetuju membicarakan kes tuntutan bertindih di mahkamah dunia (The Hague, Belanda) dan akur dengan keputusan hakim. Provokasi bantahan hanya berlaku secara kecil-kecilan dan terpencil.
Sesungguhnya Hari Malaysia bakal mengingatkan seluruh rakyat betapa pentingnya menjaga keutuhan setiap inci wilayah negara. Pembentukan Malaysia pada hari ini telah melalui satu proses sejarah yang begitu panjang dan rencam. Mudah-mudahan kita akan senantiasa menghargainya...
No comments:
Post a Comment