SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, December 19, 2010

"JEJAK KASIH" DI MAJLIS KENDURI KAHWIN (FAMILY REUNION)

Suatu ketika dahulu sebuah stesen televisyen swasta berjaya menemukan semula anggota keluarga yang sudah sekian lama terpisah kerana masalah komunikasi. Kini, dengan kemunculan radio interaktif dan laman sosial facebook, program yang diberi nama "jejak kasih" itu sudah tidak muncul-muncul lagi. Hanya sesekali masyarakat digemparkan dengan usaha membawa balik wanita muda yang mengikut lelaki Lombok, atau yang terperangkap dengan awang Afrika sebagai "keldai dadah".

Ceritanya agak berlainan dalam majlis-majlis perkahwinan, terutama jika tempatnya di kampung. Waktu yang lebih panjang perlu diperuntukkan bagi bertanya khabar kepada kaum kerabat yang datang dari segenap ceruk rantau, dan handai taulan yang sekian lama menghilang. Satu pihak akan membuat panggilan tidak dijawab kepada set telefon bimbit pihak satu lagi untuk disimpan "konon-konon" akan terus berhubung.
Ketika penulis blog (PB) menghadiri majlis perkahwinan di Lorong 7A, Kampung Bahagia, Teluk Intan, peluang berjumpa dengan rakan-rakan sepermainan zaman kanak-kanak tentunya menyingkap kenangan silam. Sekarang, masing-masing telah bekeluarga dan membawa haluan yang berbeza. Wajah dan suara masing-masing, walaupun meniti kedewasaan masih dapat dicam dengan mudah.
Bab-bab makan mengambil masa yang singkat sahaja memandangkan sebahagian tetamu harus memenuhi dua tiga undangan serentak pada hari yang sama. Namun, disebabkan di situ majlis yang pertama, tahap kepuasan lebih tinggi selaras dengan hukum utiliti sut dalam pengajian ekonomi. Tuan rumah boleh melayan tetamu secara lebih mesra justeru urusan hidangan diserahkan kepada pengusaha katering secara buffet. Khemah lelaki dan wanita juga diasingkan.
Saudara-mara dari kampung yang sudah lama tidak bersua juga sanggup melapangkan masa, sambil datang bersekali dengan anak cucu untuk diperkenalkan dengan sepupu sepapat mereka, iaitu bersurih. Kelak apabila berlaga bahu tidaklah cepat sangat naik angin, atau naik tangan. Di samping itu, anak-anak kecil juga dibiasakan dengan majlis dan perhimpunan keluarga berskala besar.
Selanjutnya PB bergegas ke Taman Seri Setia, Teluk Intan (berhampiran SMK Sultan Abdul Azizi) untuk satu lagi majlis. Kali ini dua beradik perempuan diraikan sebagai mempelai sekali gus. Maka, ramailah tetamu yang berkunjung, sama ada jiran, kenalan si anak dan kenalan ibu bapa.
Makan pun ala kadar sahaja kerana sudah kenyang. Sekali lagi agenda yang lebih penting ialah bertegur sapa dengan sahabat lama, jiran dan tetamu yang lain. Ibu bapa pengantin pula tidak menang tangan menerima kunjungan tetamu yang baru tiba.
Selain hidangan makan, sudah menjadi kebiasaan bahawa tuan rumah turut menyediakan pencuci mulut tambahan seperti bubur kacang, cendol dan manisan. Tuan rumah di Kampung Bahagia, keluarga seorang selebriti yang mendapat jolokan raja pop, menyediakan ais krim. Orang dewasa juga tidak malu-malu mencuba ais krim percuma itu.
Tuan rumah di Taman Seri Setia, seorang pengetua sekolah berasrama penuh di Ipoh pula menyediakan teh tarik istimewa "Pak Ali" selain kudapan maruku. Juruhebah majlis memainkan peranan tukang promosi teh tarik dan maruku berkenaan. Setiap tetamu kemudian dihadiahkan pula dengan pek kismis mini dan buku kecil himpunan doa...

No comments: