SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, August 28, 2012

PIDATO ERTI MERDEKA KEPADA GENERASI MUDA (NURTURE YOUR LOVE FOR YOUR NATION)

Kemerdekaan sesebuah negara pada amnya bererti kebebasan daripada belenggu penjajahan. Negara memiliki kedaulatan pemerintahan, wilayah dan keselamatan demi kebajikan, kelangsungan, kemajuan, kemakmuran, kesejahteraan, pembangunan dan pertumbuhan yang bakal dikecapi oleh rakyat jelata seluruhnya. Sesebuah negara yang merdeka diterajui oleh para pemimpin yang amanah dan adil, tanpa berlaku penindasan dan pengkhianatan terhadap kepercayaan yang disandarkan oleh rakyat jelata.

Kemerdekaan sebenar, sejati dan tulen bukan sahaja indah dari segi kata-kata dan retorik, bahkan suatu sistem rasa yang meresap ke dalam jiwa pemimpin dan rakyat jelata. Hubungan yang harmoni antara pemimpin dengan rakyat jelata dizahirkan menerusi perasaan senang dan tenang, iaitu agihan nilai dan sumber yang menjunjung tinggi prinsip keadilan. Semangat cinta negara dan jati diri sentiasa berkobar-kobar bagi membawa negara ke mercu kegemilangan, di samping bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang cuba mencalar nikmat kemerdekaan yang diperoleh menerusi proses perjuangan yang panjang.

Setelah lebih 400 tahun dijajah silih berganti oleh kuasa asing, negara kita mula mengecapi kemerdekaan dengan turunnya bendera Union Jack, dan berkibar megah bendera kebangsaan yang kini dikenali sebagai Jalur Gemilang. Teriakan keramat merdeka pada tanggal 31 Ogos 1957, iaitu 55 tahun yang lalu, ialah kemuncak kemenangan yang telah dirintis sekian lama oleh pejuang-pejuang yang kental seperti Dato' Sagor di Pasir Salak, Dol Said di Negeri Sembilan, Mat Kilau di Pahang, Tok Kenali di Kelantan, Abdul Rahman Limbong di Terengganu dan banyak lagi. Bermula dengan Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya, pembentukan negara Malaysia telah bertambah kukuh menerusi kemasukan Sabah dan Sarawak pada 16 September 1963, walaupun negara telah kehilangan Singapura dua tahun kemudian.

Generasi yang sempat menyaksikan peristiwa bersejarah kemerdekaan negara 55 tahun yang lalu kita sudah meniti usia emas, 60-an dan 70-an, selain telah ramai yang telah tiada lagi bersama generasi pascamerdeka. Orang-orang muda dan pelajar remaja hanya menelusuri kisah dan sejarah kemerdekaan negara menerusi pembelajaran di bilik darjah, pembacaan dan paparan media yang lain. Namun, semangat patriotik atau cinta negara hendaklah sentiasa bersemi kerana jika cuai, leka dan alpa, tidak mustahil bahawa sejarah pahit penjajahan secara fizikal akan berulang tanpa diduga, moga dijauhkan oleh Allah.

Walaupun penjajah telah lama pergi, hakikatnya berlaku pula penjajahan bentuk baharu yang lebih dahsyat, iaitu penaklukan minda, psikologi, budaya, cita rasa dan cara berfikir. Mentaliti penjajah Barat berjaya dikekalkan menerusi rasa kagum yang keterlaluan terhadap apa-apa sahaja yang datang daripada bangsa bekas penjajah, termasuk sikap, bahasa, fesyen, makanan dan jenama. Sebaliknya, masih ada perasaan rendah diri terhadap segala yang berasal dari punca tempatan, termasuk dalam urusan penggunaan barang dan perkhidmatan.

Generasi muda hendaknya tidak hanya taksub terhadap citra hiburan dan sukan yang dijaja oleh kuasa besar bekas penjajah, tetapi berusaha untuk bersaing dengan kelompok remaja terbaik mereka dari segi ilmu pengetahuan, kemahiran, kepimpinan, inovasi, kreativiti dan reka cipta yang termaju. Walaupun dari segi pencapaian teknologi, negara kita mungkin ketinggalan 50 tahun di belakang, kita mesti mesti mula mengorak langkah dengan cepat dan teratur supaya dapat mengejar mereka. Dalam kata lain, tahap daya saing generasi muda kita mesti digembleng ke tahap optimum supaya suatu hari kelak negara kita akan lebih dihormati dan disegani, berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan entiti politik, ekonomi dan sosial yang telah lama meniti kematangan.

Semangat kemerdekaan yang meluap-luap perlu dilengkapkan dengan pengisian erti kemerdekaan yang tepat. Sumbangan generasi muda antara lain ialah kesungguhan dalam meningkatkan akses ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap yang menjurus terhadap proses penjanaan modal insan minda kelas pertama acuan sendiri. Generasi muda harus sentiasa bersiap sedia menempuh cabaran dan pancaroba dalam persekitaran yang sentiasa mengalami perubahan yang begitu pesat.

Nikmat kemerdekaan yang paling unggul ialah pembebasan daripada perhambaan sesama manusia, sebaliknya hanyalah pengabdian kepada Yang Maha Esa, min 'ibadati'i-'ibad, ila 'ibadati'-llah. Marilah kita berdoa agar nikmat kemerdekaan negara yang kita kecapi selama ini akan berterusan. Selamat menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-55.

Merdeka, merdeka, merdeka!

1 comment:

PKGuys said...

Hakikat nyata pasca merdeka. Bagaimana semangat kemerdekaan yang dimahukan tersemat dan dan tertunai di era pemerintahan Malaysia baru?