SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, January 27, 2013

BANDAR TELUK INTAN SEMAKIN MAJU (THE INFLUENCE OF A HYPERMARKET TOWARDS THE TOWN DEVELOPMENT)

Bermula dengan nama Teluk Mak Intan, kemudian Teluk Anson dan kini kembali dengan nafas tempatan, Teluk Intan ('Mak' digugurkan), bandar ketiga negeri Perak selepas Ipoh dan Taiping itu disaingi hebat oleh pusat pertumbuhan baharu seperti Kuala Kangsar dan Sitiawan. Sebagai tumpuan kegiatan ekonomi daerah Hilir Perak, Teluk Intan masih mampu berkembang dengan pesat apabila kesan rantaian atau limpahan menyediakan peluang projek dan pekerjaan. Selain kegiatan ekonomi setempat, pihak berkuasa tempatan, iaitu Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) giat mempromosi beberapa daya tarikan pelancongan yang mampu menggamit ketibaan tetamu luar (baca di sini). 

Sejarah kemajuan dan pembangunan bandar Teluk Intan memiliki beberapa versi menarik dan sangat berkaitan dengan perubahan persekitaran ekonomi dan politik era penjajahan (rujukan lanjut di laman ini). Sesetengah catatan mendakwa bahawa ketika Pelabuhan Teluk Intan berada di puncak kegemilangan antara tahun 1934 - 40, kedudukannya ialah tempat kedua selepas Pelabuhan Kelang, iaitu mengatasi peranan Pelabuhan Pulau Pinang dan Port Dickson (klik  di sini). Pelabuhan Teluk Intan disokong oleh rangkaian kereta api barang yang lebih dikenali sebagai waf (wharf) untuk mengangkut bijih timah dari Lembah Kinta (maklumat ringkas di laman forum ini).

Kini, Teluk Intan bukan lagi sebuah bandar pelabuhan, sebaliknya berkembang seperti bandar-bandar moden yang lain akibat pertumbuhan kawasan petempatan seperti kawasan perumahan dan juga sebagai lokasi pengajian tinggi. Teluk Intan bukan sahaja menjadi tuan rumah kepada kampus Kolej Komuniti, bahkan telah menerima kampus cawangan fakulti perubatan dan hospital pengajar Universiti Teknologi Mara (UiTM). Pada masa hadapan dijangka lebih banyak kampus cawangan pengajian tinggi awam dan swasta dibina di Teluk Intan.

Pusat bandar Teluk Intan berhampiran Menara Jam Condong kini berkembang hingga ke Jalan Changkat Jong menuju Kampung Bahagia. Lebih banyak gedung perniagaan dan perkhidmatan telah dibuka, termasuk restoran yang agak mewah. Kuasa beli penduduk Teluk Intan dan kawasan berdekatan telah meningkat dengan menakjubkan juga.

Jika dahulu Teluk Intan ada pasar raya Sungai Perak dan Onson, kini kedua-duanya tinggal nama sahaja. Kemunculan pasar raya besar Giant setahun yang lalu, di samping Billion dan TF Mart memberikan pilihan membeli-belah yang menarik kepada penduduk Teluk Intan. Giant kelihatan lebih selesa kerana menyediakan kawasan tempat letak kereta secara percuma dalam kawasan bangunan mereka. Tangga bergerak yang disediakan juga mesra warga emas dan orang kelainan upaya kerana bersifat rata, di samping kemudahan lif yang selesa.

Pada hari Ahad yang lalu (27/1/13) pengunjung Giant disajikan dengan persembahan orkestra Cina murid SMJK San Min Suwa, Sungai Nibong. Mereka berpakaian serba merah sebagai warna tema sambutan tahun baru Cina kira-kira seminggu sahaja lagi. Alat-alat muzik tradisional Cina menghasilkan irama yang begitu mengasyikkan kepada penggemar muzik klasik.

Pada hari yang berkenaan juga, Giant menawarkan sepaket kacang Pagoda pada harga RM0.98 sahaja. Maka, kelihatan pembeli Cina menyorong satu troli penuh paket kacang Pagoda. Pembeli Melayu dan India juga tumpang sekaki, tetapi mereka kelihatan hanya membeli tidak lebih daripada lima paket kacang berkenaan.

Perkara yang perlu diberi perhatian oleh pengurusan Giant Teluk Intan ialah kemudahan ruang solat yang begitu daif dan sempit. Berdasarkan keadaan tempat wuduk yang begitu rendah dan tidak terjaga, nyata sekali bahawa pihak Giant kurang peka dengan keperluan para pengunjung Islam. Barangkali perancangan untuk surau yang lebih selesa sudah ada, tetapi surau kecil sedia ada perlu sentiasa bersih sebagaimana penjagaan ruang urus niaga Giant.

Jumlah urus niaga Giant Teluk Intan kelihatannya lebih banyak daripada Giant di Tambun, Ipoh yang menghadapi perang pasar raya dengan Aeon, Mydin, Tesco, The StoreEconsave dan UO, Greentown Mall. Walaupun kehadiran Giant mengakibatkan kedai-kedai runcit semakin kekurangan pelanggan, tetapi dengan syarat 70 peratus jualan barang perusahaan kecil dan sederhana (PKS), maka kegiatan ekonomi rantaian tempatan yang berlaku memberikan pendapatan dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan yang terbabit. 

Kelompok pembeli busana muslimah di Teluk Intan sudah sinonim  dengan Arked Man berhampiran masjid lama atau berkunjung ke pasar malam dan pasar tani. Namun, banyak juga yang sanggup ke Ipoh untuk mendapatkan pilihan yang berbeza dan sentuhan bercitra butik. Teluk Intan dijangka terus berkembang sebagai bandar utama daerah Hilir Perak, selain berpotensi untuk dimajukan sebagai bandar pelancongan...

No comments: