Sesungguhnya ciri keperibadian dan disiplin yang diamalkan oleh Kanang anak Langkau bukan sahaja khusus kepada bidang ketenteraan, bahkan terhadap proses pembelajaran di sekolah. Jika ketangkasan seorang perwira seperti Kanang dapat diterapkan, maka murid yang tangkas pula akan sentiasa berusaha mempertahankan sikap positif, sekali gus menolak sebarang pengaruh negatif. Pembelajaran akan sentiasa dianggap sebagai urusan yang sangat penting sebagaimana pertempuran berhadapan yang menentukan keselamatan diri dan masyarakat.
Friday, January 4, 2013
JASA KANANG ANAK LANGKAU JADI SEBUTAN (THE LEGACY OF A MALAYSIAN HERO: AN EDUCATIONAL PERSPECTIVE)
Datuk Temenggong Kanang Anak Langkau (1945 - 3.3.13) kini telah pergi dengan meninggalkan nama yang begitu harum semerbak sebagai satria negara. Kisah perjuangan beliau pernah ditulis dalam sebuah novel yang khusus atas nama beliau sendiri dan menjadi buku teks rujukan komsas murid menengah rendah. Slogan agi idup agi ngelaban dalam bahasa Iban yang bermaksud selagi hidup selagi itulah akan melawan (berjuang) turut dikaitkan dengan semangat perjuangan mendiang yang begitu berani dan kental.
Kanang mula berkhidmat dengan tentera British sebagai renjer penjejak Iban pada tahun 1962 sebelum diserap ke dalam pasukan Renjer Malaysia sebaik sahaja Sarawak menyertai Malaysia setahun kemudian. Beliau mengakhiri rekod perkhidmatan cemerlang sebagai perajurit terbilang dengan pangkat Pegawai Waran 1 pada tahun 1986. Beliau pernah mengetuai Platun Perisikan Pertempuran dalam Batalion ke-8 Renjer Diraja yang bertugas melakukan tinjauan bagi mengesan kedudukan pengganas komunis.
Peristiwa paling bersejarah dalam perjuangan Kanang ialah apabila bertempur dalam jarak lapan meter sahaja dari kedudukan musuh di Tanah Hitam, Perak. Pasukan Kanang diserang dari kanan dan kiri, tetapi Kanang tidak mudah panik, bahkan berjaya memusnahkan kem pengganas komunis itu, sambil membunuh lima orang anggota komunis dan menawan seorang lagi. Tembakan peluru musuh mengenai jantung Kanang, tetapi beliau akhirnya terselamat setelah terlantar selama 14 bulan di hospital akibat salah satu buah pinggang beliau rosak, manakala usus beliau pula terburai.
Kanang anak Langkau ialah contoh atau ikon semangat cinta negara atau patriotik yang unggul. Kanang meletakkan keselamatan negara (baca: keselamatan orang awam) melebihi keselamatan dirinya sendiri. Beliau tidak berasa ragu-ragu untuk berkorban jiwa dan raga sebagai taruhan amanah yang dijunjung sebagai seorang perwira yang setia.
Keberanian Kanang anak Langkau wajar diteladani, khususnya oleh generasi muda. Musuh utama kejayaan ialah sifat penakut yang tidak bertempat. Kanang mengetahui bahawa pihak musuh juga menghadapi detik kritikal dalam pertempuran hidup dan mati itu.
Kebijaksanaan tidak semestinya bergantung semata-mata kepada pencapaian akademik seseorang. Walaupun hanya sempat bersekolah setakat darjah tiga sekolah Inggeris di Sarawak, Kanang sebenarnya seorang insan yang pintar di sebalik kesempatan akses persekolahan yang begitu terhad pada zaman sebelum dan awal kemerdekaan negara. Seluruh fakulti minda Kanang sentiasa dikerah untuk mencari jalan menewaskan musuh walaupun dalam detik yang teramat genting.
Kepimpinan Kanang anak Langkau sebagai ketua platun renjer begitu terserlah apabila beliau sendiri berada pada barisan hadapan dan sentiasa bersedia dengan serangan musuh. Kanang sentiasa melaungkan cogan kata azimat, iaitu agi idup agi ngelaban buat pembakar semangat dan daya juang. Apabila ketua menunjukkan contoh, maka penghormatan dan kepatuhan anak buah juga semakin tinggi.
Kecerdasan emosi memainkan peranan penting dalam keadaan bahaya dan krisis. Kanang telah berjaya membimbing emosi kendiri supaya berfikir dengan tenang dan teratur apabila digempur oleh musuh di kawasan mereka sendiri. Beliau maklum bahawa risiko kecederaan sangat tinggi, tetapi tetap berusaha supaya dapat dipastikan pada tahap paling minimum.
Walaupun terpaksa bertugas jauh dari kampung halaman, iaitu harus berpisah dengan keselesaan, Kanang anak Langkau tidak berasa tergugat. Sebagai anggota keselamatan, kehidupan yang serba sukar ialah asam garam pekerjaan. Persekitaran hutan dan bunyi binatang buas bagaikan rumah kedua yang perlu diterima.
Sifat penyayang Kanang anak Langkau terhadap seisi keluarga tidak berbelah bahagi. Beliau kembali menetap di Sarawak bersama isteri, anak dan cucu. Kanang masih bersedia menghadiri pelbagai majlis yang berkaitan dengan patrotisme dan jati diri bangsa.
Sesungguhnya ciri keperibadian dan disiplin yang diamalkan oleh Kanang anak Langkau bukan sahaja khusus kepada bidang ketenteraan, bahkan terhadap proses pembelajaran di sekolah. Jika ketangkasan seorang perwira seperti Kanang dapat diterapkan, maka murid yang tangkas pula akan sentiasa berusaha mempertahankan sikap positif, sekali gus menolak sebarang pengaruh negatif. Pembelajaran akan sentiasa dianggap sebagai urusan yang sangat penting sebagaimana pertempuran berhadapan yang menentukan keselamatan diri dan masyarakat.
Aplikasi ikonik di sekolah bertujuan untuk membangkitkan semangat cinta negara, terutama dari segi daya juang dan jati diri sebagai pemangkin modal insan minda kelas pertama. Contoh ikon pilihan bukan mahu sampai ke tahap memuja atau mendewa-dewakan sesiapa. Pepatah Melayu ada mengatakan, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment