Kajian yang dilakukan itu membabitkan 2.8 juta sampel di seluruh dunia, serta analisis terhadap hampir seratus kajian merangkumi empat benua utama. Pertambahan lemak dalam tubuh membantu proses metabolisme bagi melindungi jantung, di samping sebagai pertahanan semasa selera makan menurun ketika sakit. Namun, kelebihan berlebihan berat badan (permulaan gemuk) bukanlah sekeping cek kosong untuk berasa selesa dan tidak berbuat apa-apa.
Friday, January 4, 2013
BERITA GEMBIRA UNTUK ORANG GEMUK (THE FAT ADVANTAGE)
Ketika tirai tahun 2013 baharu sahaja dibuka, masyarakat saintifik gempar dengan dapatan penyelidik perubatan Amerika Syarikat bahawa berlebihan berat badan mengurangkan risiko kematian mendadak, atau dalam kata lain memiliki umur yang lebih panjang. Lemak yang terkumpul dalam tubuh pesakit berfungsi sebagai simpanan tenaga untuk mengharungi detik sukar melawan penyakit. Bagi yang berminat membaca sumber asal penyelidikan berkenaan sila klik SINI.
Dari segi ukuran indeks berat badan BMI, angka 22 dianggap sebagai berat badan ideal, manakala 25 sebagai sempadan. Seseorang itu masuk dalam kategori berlebihan berat badan jika mencatat bacaan BMI antara 26 hingga 30. Bacaan BMI sebanyak 31 ke atas pula dikategorikan sebagai obes.
Kepercayaan tentang berat badan ideal telah mendapat perhatian buat sekian lama, sama ada dalam kalangan pengamal perubatan, penyelidik, mahupun masyarakat umum. Golongan remaja dan selebriti pula sanggup berusaha keras untuk tampil langsing sehingga terperangkap dengan risiko anoreksia nervosa dan bulimia, iaitu keadaan kurus kering yang melampau. Bagi golongan dewasa dan lanjut usia, tahap metabolisme yang merosot mengakibatkan kawalan berat badan lebih sukar untuk dilakukan walaupun menjalani rawatan pakar.
Hakikatnya, penyelidik hanya menyarankan korelasi panjang umur dengan kategori berlebihan berat badan (BMI 26 - 30), bukan obes. Ertinya, seseorang itu harus berjaga-jaga supaya tidak terlalu leka hingga mencapai tahap obes yang sering dikaitkan dengan risiko penyakit tiga serangkai, iaitu darah tinggi, kencing manis dan serangan jantung. Kesederhanaan dalam pengambilan makanan dan kegiatan mengeluarkan peluh mesti sentiasa menjadi amalan, sambil mematuhi nasihat profesional perubatan.
Kajian yang dilakukan itu membabitkan 2.8 juta sampel di seluruh dunia, serta analisis terhadap hampir seratus kajian merangkumi empat benua utama. Pertambahan lemak dalam tubuh membantu proses metabolisme bagi melindungi jantung, di samping sebagai pertahanan semasa selera makan menurun ketika sakit. Namun, kelebihan berlebihan berat badan (permulaan gemuk) bukanlah sekeping cek kosong untuk berasa selesa dan tidak berbuat apa-apa.
Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr. Tee E. Siong memberi amaran bahawa tempoh panjang umur itu mungkin bersekali dengan serangan pelbagai penyakit kronik (Kosmo, Jumaat: 4 .1.13). Sementara itu, Profesor Dr. Fatimah Arshad, Ketua Bahagian Pemakanan dan Dietetik, Universiti Perubatan Antarabangsa mengingatkan supaya julat lemak yang selamat ialah bacaan BMI antara 26 dengan 27. Namun, tiada sesiapa pun juga, termasuk golongan kurus dapat menikmati kehidupan yang sihat tanpa melakukan senaman sekurang-kurangnya 30 minit selaama lima hari berturut-turut.
Jumlah lemak yang terlalu tinggi berkemungkinan menjurus kepada sindrom mati mengejut apabila sistem tubuh seseorang itu tidak mampu menghalang jantung tersumbat. Maknanya, risiko kemtian mengejut yang kurang enam peratus berbanding dengan orang normal adalah bersyarat. Hanya dengan amalan gaya hidup sihat boleh golongan berlebihan berat berat badan menikmati jangka hayat lebih panjang sambil memastikan bahawa penyakit 'orang kaya' tidak datang bertandang.
Dapatan kajian terkini yang diterbitkan dalam JAMA berkenaan mungkin mengubah tanggapan orang ramai terhadap berat badan ideal dan keperluan lemak. Maka, bidang kepakaran khusus untuk obesiti harus diperluaskan di peringkat sarjana perubatan dan pemakanan. Lebih separuh penduduk negara maju seperti Amerika Syarikat dan Australia diwakili oleh golongan obes.
Fenomena obes bukan sahaja mengancam tahap kehidupan golongan dewasa yang mengalami masalah penurunan metabolisme, tetapi juga golongan kanak-kanak yang terdedah kepada gaya kehidupan digital dan makanan segera. Faktor baka, genetik atau keturunan juga tidak boleh diketepikan sebagai punca kepada masalah obesiti. Walaupun seseorang itu cuba menjaga kesihatan diri supaya kekal sihat, tetapi dia hanya mampu menangguh kedatangan sesuatu penyakit bawaan genetik.
Intervensi profesional dan pakar dalam penjagaan kesihatan seseorang perlu dikendalikan dengan bijaksana dan berhemat supaya harga diri dan maruah golongan berkenaan sentiasa dihormati. Perbuatan melabel seseorang berdasarkan penampilan fizikal dengan niat jahat tidak boleh dibenarkan berleluasa. Pendidikan adab dalam komunikasi dan pergaulan ialah pelengkap kepada tahap kesihatan yang diingini oleh setiap insan...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment