Sunday, January 20, 2013
PENGALAMAN SEBAGAI GURU DISIPLIN (BRIDGING STUDENT LEADERSHIP WITH THE CLASSROOM LEARNING)
Guru-guru mungkin sudah biasa mendengar ungkapan bahawa semua guru ialah guru disiplin. Maksudnya supaya setiap guru memainkan peranan sebagai wewenang dalam konteks menyediakan persekitaran pembelajaran yang berkesan. Pengurusan disiplin murid menjadi kunci kejayaan pendidikan di sekolah bagi memberi laluan kepada penjanaan modal insan minda kelas pertama acuan Malaysia.
Hakikatnya terdapat sekumpulan kecil guru yang dilantik secara khusus sebagai guru disiplin sekolah. Guru disiplin berkenaan membantu pengetua dan penolong kanan hal ehwal murid untuk memastikan bahawa tingkah laku murid di dalam kawasan sekolah sejajar dengan piawaian peraturan yang ditetapkan. Sebarang bentuk tingkah laku lencongan dan pelanggaran peraturan diambil tindakan segera berdasarkan peruntukan dan tatacara pengurusan disiplin murid sekolah.
Kes disiplin yang berat akan dibawa untuk perhatian pihal Lembaga Disiplin yang dipengerusikan sendiri oleh pengetua, di samping penolong kanan hal ehwal murid dan ketua guru kaunseling. Lembaga berkenaan akan bersidang untuk kes rujukan yang mempunyai merit. Sebagai contoh, perbicaraan kes murid yang berhadapan dengan kemungkinan dibuang sekolah jika keterangan saksi membuktikan fakta kes tanpa sebarang keraguan.
Organisasi pentadbiran disiplin sekolah bergantung kepada keperluan, misalnya bilangan pelajar, agihan tugas dan strategi keseluruhan sekolah. Seorang ketua guru disiplin mungkin diberi kelonggaran dari segi jumlah waktu mengajar bagi memberi tumpuan terhadap pentadbiran disiplin dan kemas kini data. Khabarnya, jawatan khas guru disiplin sepenuh masa masih dalam pertimbangan pihak berkuasa pendidikan dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Tanggungjawab akhir disiplin sekolah masih terletak dalam tangan pengetua dan guru besar yang lebih arif tentang peruntukan undang-undang pendidikan dan memiliki akses secara langsung dengan pihak atasan pendidikan. Walau bagaimanapun, seseorang pengetua dan guru besar boleh menurunkan kuasa beliau dalam fasal disiplin yang tertentu, misalnya soal siasat dan hukuman kepada penolong kanan hal ehwal murid atau guru disiplin menerusi surat kuasa yang sah. Namun, jika masih ada perkara berbangkit, tanggungjawab itu akan berbalik semula kepada pengetua dan guru besar.
Pengalaman penulis blog (PB) sebagai guru disiplin lebih tertumpu kepada organisasi pengawas sekolah, termasuk proses temu duga calon pengawas, pemantauan tugas pengawas dan menghadiri mesyuarat pengawas. Jawatan pengawas dibuka kepada semua murid dengan syarat kelayakan tertentu dari segi pencapaian akademik, kepimpinan dan sahsiah, di samping menerusi pencalonan oleh guru. Berdasarkan senarai pendek, calon-calon dipanggil untuk proses temu duga bagi mengukur kesesuaian calon berdasarkan inventori soalan dan pengamatan keperibadian masing-masing.
Markah yang diberi oleh panel temu duga hanya mewakili 50 peratus penilaian keseluruhan. Baki 50 peratus lagi ditentukan oleh jawatankuasa pemilihan yang bersidang untuk memberi merit terhadap pelbagai kriteria yang tidak dapat dikesan melalui proses temu duga. Senarai calon yang dicadangkan untuk lantikan akan dibawa pula kepada pengetua untuk keputusan muktamad.
Seterusnya calon yang terpilih akan menjalani tempoh percubaan sebelum diberikan watikah pelantikan dalam satu majlis rasmi. Mereka juga akan menjalani kursus kepimpinan dan bidang tugas pengawas sekolah. Struktur organisasi pengawas sekolah dibuat berdasarkan perakuan mesyuarat badan pengawas dan dipersetujui oleh pengetua.
Pengendalian kes disiplin sama ada di peringkat badan pengawas, guru disiplin atau lembaga disiplin bergantung kepada merit kes. Namun, sebarang bentuk pelanggaran disiplin atau tingkat laku lencongan akan ditegur serta-merta. Seseorang murid yang sabit kesalahan akan dirujuk kepada guru kaunseling terlebih dahulu bagi tujuan muhasabah diri dan intervensi tingkah lau secara kendiri.
Guru disiplin mempamerkan sikap tegas secara bertempat. Gaya mereka bertutur dan bergerak sentiasa mendapat perhatian murid. Sumbangan guru disiplin terhadap persekitaran pembelajaran yang berkesan dianggap sangat kritikal sejajar dengan perkembangan zaman dan tingkah laku generasi muda yang lebih sukar untuk diduga...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment