SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Wednesday, January 16, 2013

DAYA TARIKAN MATA PELAJARAN PENDIDIKAN JASMANI (SOMATIC MOVEMENT AWARENESS IN SCHOOL)

Bidang rekreasi dan sukan sudah menjadi satu bentuk industri yang mendatangkan keuntungan besar kepada banyak pihak sama ada bijak pandai, pemimpin organisasi, usahawan, media, serta sektor pembuatan, pelancongan dan kesihatan. Negara-negara maju begitu mementingkan prasarana kemudahan rekreasi dan sukan, sama ada menerusi pembiayaan awam mahupun swasta. Buktinya, dalam temasya kejohanan sukan dunia, penguasaan biasanya berpihak kepada Amerika Syarikat, Australia, Britain, Jepun dan negara-negara Eropah.

Di Malaysia juga, bidang rekreasi dan sukan telah memasuki fasa lebih tinggi apabila kuasa beli masyarakat semakin meningkat rentetan kemakmuran yang dikecapi, di samping dasar awam yang menggalakkan kemajuan bidang rekreasi dan sukan bagi meningkatkan daya saing rakyat Malaysia di peringkat sejagat. Maksim bahawa akal yang sihat datang daripada jasmani yang sihat memang seiring dengan era ekonomi berasaskan pengetahuan (knowledge-based economyk-economy) sebagai ganti ekonomi berasaskan pengeluaran (production-based economyp-economy). Walaupun pergantungan kepada kudrat jasmani sudah berkurangan, tetapi akal yang menjana pengetahuan tetap berpunca daripada tahap kesihatan jasmani yang baik.

Reka bentuk kurikulum pendidikan sudah banyak mengalami pembaharuan dan penambahbaikan, tetapi masih sangat kuat dipengaruhi oleh kerangka model taksonomi Bloom, iaitu carta piramid yang terdiri daripada pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis, dan penilaian. Aktiviti bilik darjah berlegar di dalam kawasan empat dinding dengan pergerakan yang terhad dan tahap kenyaringan suara yang terkawal supaya tidak mengganggu kelas yang berhampiran. 

Konsep pembelajaran aktif dan teori kecerdasan pelbagai (Horward Gardener) ialah percubaan untuk mengubah persekitaran bilik darjah supaya lebih menjurus kepada pencapaian domain kognitif, afektif dan psikomotor secara sekali gus. Murid tidak lagi seperti patung cendana yang diam membatu sepanjang waktu pembelajaran sambil disogok dengan pelbagai input maklumat yang tidak berkesudahan. Sebaliknya, segala bakat dan potensi murid dikembangkan ke tahap optimum supaya mereka benar-benar menikmati pengalaman pembelajaran yang terbaik.

Mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Pendidikan Kesihatan (PJPK) sangat ditunggu-tunggu oleh murid sekolah justeru terdapat ruang untuk menggembleng sistem jasmani, emosi, rohani, inteleks dan kecerdasan sosial secara bersahaja. Aktiviti sewaktu PJPK menjadi bahan bualan di kantin dan laman sosial maya, di samping menjadi kenangan manis kepada sebahagian besar murid apabila tamat persekolahan, bahkan sehingga usia dewasa. Di tangan guru PJPK yang kreatif, murid masih sudi mempelajari Pendidikan kesihatan sebagai komponen seimbang bagi Pendidikan Jasmani.

Semua calon guru diwajibkan lulus kursus PJPK semasa latihan praperkhidmatan sama ada di fakulti pendidikan atau institut latihan perguruan. Kursus PJPK dalam kurikulum latihan perguruan diberi status kursus teras, iaitu setara dengan Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Muzik dan Seni Tampak. Guru pelatih didedahkan dengan perancangan, pelaksanaan dan pentaksiran PJPK di bilik kuliah dan padang, di samping mempelajari cara pengurusan pertandingan dan kepimpinan sukan.

Penubuhan fakulti sains sukan di UPM dan UM sedikit sebanyak telah menyumbang terhadap profesionalisme guru opsyen PJPK. Namun, kepakaran dan sumbangan guru PJPK sangat diperlukan di peringkat daerah, negeri, kebangsaan dan antarabangsa. Maka, pergerakan guru opsyen PJPK di luar kawasan sekolah tidak dapat dielakkan hingga mungkin mencatat peruntukan maksimum 30 peratus e-gerak. 

Memandangkan semua guru terlatih telah menerima pendedahan yang secukupnya dalam asas PJPK, tugas sebagai guru ganti mata pelajaran berkenaan tidak menimbulkan masalah yang besar. Tidaklah nanti seperti masa dahulu apabila guru ganti hanya membawa sebiji bola untuk direbut oleh 40 orang murid di padang. Guru ganti juga boleh membawa peralatan seperti gelung, dan kon larian sebagai aktiviti pemanas badan terlebih dahulu.

Anggapan lapuk bahawa mata pelajaran PJPK seperti melukut di tepi gantang perlu dihapuskan. Para pentadbir sekolah telah diingatkan berulang kali supaya tidak menjadikan peruntukan waktu PJPK untuk mata pelajaran lain atau untuk program yang tidak berkaitan. PJPK juga mesti akur terhadap keperluan sukatan pelajaran dan pentaksiran yang ditetapkan.

Sambutan murid terhadap PJPK patut dicemburui, dan seterusnya dicontohi oleh mata pelajaran yang lain. Murid begitu senang dengan dengan aktiviti pergerakan somatik, berbanding dengan hanya kaku dan menjadi mangsa pembelajaran sehala seperti tradisi Aristotle dan Plato yang memberi tumpuan kepada kebijaksaan akal dan falsafah semata-mata. Mereka perlu membakar kalori dan lemak yang berlebihan akibat gaya hidup dan pemakanan yang semakin jauh berbeza...

No comments: