Tuesday, January 29, 2013
MOTIVASI BELAJAR: KATA-KATA UMPAMA DOA (HARNESS THE POWER OF OPTIMISM)
Insan yang bercita-tinggi sentiasa berusaha melazimkan diri dengan mengungkapkan kata-kata yang menjurus ke arah kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan. Kata-kata yang baik umpama pohon yang baik, akarnya teguh dan dan dahan serta dedaunnya merimbun (sebagai pelindung dan penaung keselamatan diri sendiri orang lain) (Ibrahim, 24:14). Pakar aura menganggap bahawa kata-kata yang bersifat demikian ialah tenaga positif yang menyumbang terhadap kesihatan jasmani dan rohani sekali gus (baca di sini untuk rujukan, selepas itu gunakan neraca nilai dua kitab suci).
Kata-kata yang dilafazkan secara lisan atau sekadar bisikan hati hakikatnya ialah arahan kepada minda untuk tindakan susulan seluruh sistem fisiologi terhadap rangsangan persekitaran. Kata-kata yang baik berpunca daripada tindak balas fikiran positif dan jiwa besar. Para pejuang yang hebat, pencipta yang berjasa dan pakar yang disegani semuanya berkongsi tabiat yang sama, iaitu selalu bercakap atau berbisik tentang harapan, impian dan keyakinan yang tuntas.
Kata-kata yang dipenuhi suntikan tenaga kebaikan umpama titisan air yang menyiram sekuntum bunga yang hampir layu di kawasan padang pasir yang saujana mata memandang. Demi titisan air menyentuh kelopak bunga yang tidak bermaya itu, dengan serta-merta kuntuman bunga memberi tindak balas seperti menggeliat dengan tenaga yang positif. Jika bunga digembirakan dengan titisan air, insan digembirakan dengan kata-kata yang berciri kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan.
Sifat mahmudah atau ciri akhlak yang hebat dihiasi dengan percakapan yang baik, atau jika tidak boleh, maka pilihan yang ada ialah diam sahaja (baca risalah ini, muka surat 11). Imam al-Ghazali rahimahullah telah menukilkan sebuah karya bertaraf magnum opus tentang 20 bahaya lisan yang sering menjadi khilaf atau ralat terhadap golongan yang alpa, sama ada bijak pandai atau si jahil (baca ulasan ringkas seorang mahasiswa di sini). Peribahasa Melayu mengatakan bahawa 'cakap siang pandang-pandang, cakap malam bisik-bisik' yang membawa maksud bahawa insan yang bijaksana sentiasa berhati-hati dalam setiap pertuturan.
Ungkapan kata-kata yang menjurus kepada kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan menyumbang terhadap kesihatan mental, seterusnya mempengaruhi kualiti hidup seseorang dan menjamin kesejahteraan masyarakat (baca seterusnya dalam laporan ini). Tutur kata yang baik ibarat mutiara yang sangat berharga yang dihajati oleh sekalian insan yang menghargai akal budi. Demikian juga gambaran tentang keadaan di syurga yang hanya dipenuhi kalimah yang unggul sahaja.
Hakikat sebuah kehidupan tidak sunyi dengan cabaran, dugaan, mihnah, onak, pesona, tribulasi dan ujian yang hanya dapat dilepasi oleh insan yang berjiwa besar, iaitu mereka yang sentiasa mendahulukan ungkapan kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan. Insan bijaksana sentiasa sedar bahawa kata-kata yang dilafazkan atau sekadar lintasan hati sama seperti suatu doa. Maka, insan bijaksana akan mendahulukan sangka baik (husnul zon) berbanding dengan sangka buruk (su'- ul zon).
Kata-kata positif ialah suatu bentuk kawalan dan benteng daripada hasutan bersikap negatif atau pesimis yang datang dari dalam diri atau pengaruh persekitaran. Insan sentiasa bertarung dengan hawa nafsu yang cenderung kepada perkara lagha, serta cuba mengusir hasutan iblis dan syaitan yang masuk menceroboh hingga ke saluran pembuluh darah. Tarikan ke arah gaya hidup hedonisme (keseronokan lawan kesengsaraan) dan tingkah laku melencong hanya dapat dihentikan oleh kata-kata yang berciri kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan.
Momentum ke arah pencapaian tertinggi mungkin sekali terjejas akibat terlalu melayan kata-kata yang melemahkan jiwa, membunuh semangat juang dan terikat dengan status quo. Pelajar mungkin mahu diterima dalam kelompok rakan sebaya seusia, lalu akur kepada syarat penerimaan yang menggugat jati diri mereka sendiri. Jika keadaan itu terjadi, pelajar perlu cepat-cepat istighfar dan kembali ke landasan kata-kata kebaikan, kebaktian dan kecemerlangan.
...
...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment