Saturday, May 25, 2013
MUTU R & R PANTAI TIMUR MASIH KETINGGALAN (THE ATTITUDE SPEAKS)
Lebuh Raya Pantai (LPT) yang menyambung Temerloh hingga ke Kota Bharu, Kelantan setakat ini terhenti di plaza tol Jabor, Terengganu. Setelah itu, masuk balik ke negeri Pahang, iaitu Cherating sebelum bertemu semula dengan negeri Terengganu di pekan Chukai, Kemaman. Perjalanan lebuh raya yang lancar dan selesa berganti dengan jalan negeri yang sesak dengan lori muatan berat dan kereta yang dipandu secara santai oleh penduduk tempatan yang tiada kepentingan untuk kesegeraan.
Sebelum masuk balik ke jalan negeri, elok juga memujuk hati dengan menikmati hidangan ikan patin di Temerloh. Orang kata, ikan patin buah yang lebih sedap terdapat di medan selera Esplanade di pekan Temerloh. Maknanya, keluar sekejap dari lebuh raya ke susur keluar pekan Temerloh dan dapat menikmati ikan patin bunga yang lebih asli, murah dan sedap (RM8 sepotong berbanding dengan harga di R & R RM12)!
Jika Tapah menjadi kawasan R & R tumpuan rangkaian projek lebuh raya utara selatan (Plus), Temerloh pula menjadi tumpuan di LPT. Tempat letak kenderaan boleh dikatakan sentiasa penuh. Gerai makanan juga banyak, serta menu yang ditawarkan juga pelbagai.
Masalah yang berlaku pada waktu puncak ialah tahap kebersihan yang tidak terjaga. Sisa makanan lambat diurus oleh petugas LPT. Alasan yang diberi oleh petugas (masih budak) ialah kereta sorong mereka sudah penuh, walhal cara menyusun bekas sisa makanan yang tidak betul.
Seorang pengunjung yang enggan dikenali berkata mutu perkhidmatan di kawasan R & R di LPT jauh ketinggalan berbanding dengan Plus. Dia mendakwa bahawa hal itu berkaitan dengan mentaliti orang pantai timur yang belum begitu peka terhadap kebersihan persekitaran. Dia berani berkata demikian kerana dirinya juga orang pantai timur yang sudah banyak menerima pendedahan hingga ke luar negara.
Barangkali kerana tidak larat hendak menunggu, pelanggan terpaksa meletakkan bekas sisa makanan di atas lantai. Tindakan itu tidak menyelesaikan masalah justeru lalat pula datang bertandang. Pemandangan sebegitu sangat buruk jika dilihat oleh pelancong antarabangsa.
Pihak pengurusan LPT hendaklah mengambil perhatian terhadap perkhidmatan kebersihan yang mungkin sekali diserahkan kepada kontraktor yang dilantik secara khusus. Petugas hendaklah disyaratkan menjalani kursus pendek, misalnya di kolej komuniti sebelum diluluskan untuk bekerja di kawasan R & R. Seorang penyelia dalam kalangan kakitangan MTD sendiri hendaklah sentiasa ditugaskan untuk memantau tahap kebersihan, di samping menegur petugas yang didapati cuai dan culas.
Kawasan R & R mesti ditadbir dan diurus secara profesional. Kontraktor perkhidmatan kebersihan yang gagal menepati piawaian mutu kerja patut dicela, didenda atau ditamatkan terus berdasarkan terma perjanjian yang ditandatangani. Tiada tolak ansur tentang mutu kebersihan bagi sebuah negara yang hendak mencapai status negara maju berpendapatan tinggi acuan sendiri menjelang tahun 2020 yang tinggal tujuh tahun sahaja lagi...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment