Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera
Pelajar yang dikasihi sekalian
Barang yang hebat perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Pencari mutiara sanggup menyelam ke dasar lautan yang dalam, atau membayar upah yang tinggi kepada pakar, atau membuat pelaburan yang tinggi dalam teknologi yang berkaitan. Maka, demikian juga pencapaian yang tinggi ialah balasan kepada usaha yang bijaksana dan bersungguh-sungguh.
Pembelajaran ialah suatu proses yang menuntut tumpuan, ketekunan dan kesabaran. Gaya atau kaedah pembelajaran yang tepat bakal memudahkan ketibaan ilmu pengetahuan dan maklumat terpilih yang dikehendaki. Memang diakui bahawa cabaran dalam proses pembelajaran bukanlah sesuatu yang bersifat mudah atau percuma.
Calon doktor perubatan dan doktor pergigian sebagai contoh harus memperuntukkan sejumlah jam sehari untuk menguasai teori, aplikasi, tatacara dan pelan kecemasan rawatan klinikal. Tidak semua calon doktor berjaya menamatkan pengajian mengikut jadual, bahkan ada yang terpaksa menambah dua hingga tiga tahun lagi sebelum ditauliahkan sebagai doktor. Tiada sebarang tolak ansur terhadap kesilapan dalam bidang perubatan dan pergigian.
Pelajar yang dimuliakan,
Pembelajaran di sekolah juga tidak sunyi daripada cabaran dalaman diri pelajar sendiri dan juga cabaran persekitaran. Bisikan negatif datang bertalu-talu pada ketika pelajar berhadapan dengan kesukaran dalam pembelajaran. Hanya semangat yang kental dan minda yang kuat bakal dapat bertahan.
Islam menghendaki umat sentiasa memupuk sikap berbaik sangka (
husnul zon) terhadap diri sendiri dan juga orang lain, walaupun dalam masa yang sama harus sentiasa waspada. Ahli falsafah klasik seperti Emmanuel Kent, Rene Descartes dan Khalil Gibran juga memberi saranan yang sama, iaitu seseorang itu bertindak mengikut apa-apa yang dia fikirkan. Konsep jati diri yang seumpamanya juga telah dijelaskan menerusi susunan keperluan Abraham Maslow (klik
di sini).
Sudah tentu bahawa keupayaan pelajar tidak setara antara satu dengan yang lain. Namun, bakat terpendam akan dapat dapat dikesan oleh seorang guru yang peka dan prihatin. Sebab itulah Imam al-Ghazali amat menekankan adab belajar supaya pada akhirnya bakat sebenar yang ada pada diri seseorang murid akan dapat dikesan dan seterusnya digilap menerusi bimbingan pembelajaran oleh seorang guru yang mursyid.
Pelajar yang dihormati,
Setiap kali berhadapan dengan perkara rumit dalam pembelajaran, janganlah sesekali hendaknya pelajar terus berasa lemah, buntu, menyerah kalah, putus asa atau tenggelam punca. Berjiwa besarlah wahai pelajar. Setiap simpulan pasti ada cara membukanya dan setiap racun pasti akan ada penawar yang mujarab.
Ambil langkah bertenang, lalu mula menulis senarai cara dan pihak yang mungkin dapat menghulurkan pertolongan bagi membolehkan pelajar melepasi detik cemas dan kritikal dalam proses pembelajaran itu. Yakinlah bahawa jika kita pernah melakukan kebaikan walaupun kecil, Allah akan memudahkan jalan keluar buat kita. Pelajar mungkin sudah biasa membaca ayat seribu dinar (at-Talaq: 2-3, sebahagian) yang bermaksud: "...barang siapa yang bertaqwa kepada Allah, maka Allah akan tunjukkan jalan keluar baginya, dan mencukupkan rezeki baginya; dan barang sesiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya..."
Andai kata setelah melakukan segala usaha, kerumitan itu masih belum tercabut jua, maka pada ketika itu pelajar harus akur bahawa perkara yang dipelajari itu mungkin tidak cocok dengan keupayaan pelajar. Dalam kata lain, terdapat hikmah yang tersembunyi, iaitu bahawa pelajar mungkin belum bertemu dengan bidang pembelajaran yang tepat. Rezeki pelajar mungkin dalam bidang pengkhususan pembelajaran yang lain.
Pelajar yang hebat,
Ahli-ahli ekonomi pendidikan mendapati bahawa mutu modal insan bergantung kepada ilmu pengetahuan, kemahiran dan sikap. Pada akhirnya proses pembelajaran bertujuan membentuk sikap yang betul untuk menjalani kehidupan sebagai insan yang berguna, berdikari dan ikhlas. Tiada istilah keciciran dan penyingkiran dalam proses penjanaan modal insan justeru setiap individu memiliki potensi dan fakulti yang boleh dikembangkan ke tahap optimum selagi dia memiliki sikap yang dikehendaki.
Jika golongan kurang upaya dan kanak-kanak bermasalah pembelajaran disediakan dengan pelbagai program pendidikan khas, maka apakah masalahnya kepada pelajar normal seperti kalian? Teori kecerdasan pelbagai Horward Gardener (klik
di sini) misalnya telah membuka jalan kepada inovasi dalam bidang pembelajaran supaya semua kanak-kanak memiliki peluang belajar berdasarkan kecenderungan dan keupayaan masing-masing. Berilah kesempatan kepada diri sendiri untuk mencapai kejayaan yang diidamkan.
Kesimpulannya, pelajar hendaklah sentiasa memupuk sikap bersangka baik kepada diri sendiri agar proses pembelajaran berjalan dengan lancar. Terimalah diri pelajar seadanya dan tanpa sebarang syarat. Yakinlah bahawa terdapat banyak pihak yang sanggup menolong pelajar melepasi kesukaran dalam pembelajaran asal sahaja pelajar memiliki sikap yang tepat terhadap proses pembelajaran.
Wallahu a'lam. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alakikum warahmatullahi wabarakatuh...
No comments:
Post a Comment