Terima kasih saudara pengacara majlis.
Assalamu alaikum warahamatullahi wabarakatuh.
Selamat sejahtera.
Penolong-penolong kanan, guru dan pelajar yang dikasihi sekalian.
Marilah kita melafazkan rasa syukur yang tidak terhingga justeru pada pagi yang indah ini kita masih diberi kesempatan untuk berhimpun bersama-sama dalam satu majlis yang sangat penting, iaitu pelancaran kempen sayangi sekolah. Sesungguhnya kita patut berasa bertuah kerana berada dalam sebuah kawasan sekolah yang lengkap dengan segala kemudahan yang canggih dan selesa. Pelajar menikmati persekitaran pembelajaran yang selesa, manakala guru dan kakitangan dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.
Tidak perlu untuk kita pergi jauh sampai ke benua Afrika atau Amerika Latin untuk membuat perbandingan betapa sekolah-sekolah di Malaysia jauh lebih ke hadapan dari segi fizikal dan kemudahan pembelajaran. Cubalah kita tinjau beberapa buah sekolah di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak yang masih serba kekurangan seperti ketiadaan bekalan elektrik dan bekalan air bersih. Kita belum lagi bercakap isu tentang jurang digital, iaitu kemudahan pembelajaran secara atas talian menerusi penembusan teknologi jalur lebar.
Walaupun kita masih perlu berbelanja secara berhemah seperti penjimatan tenaga elektrik, tetapi segala kemungkinan bahaya yang diakibatkan oleh perubahan cuaca yang ekstrem telah dapat dielakkan. Pelajar, guru dan kakitangan di sekolah berlindung di bawah kompleks sekolah yang menepati piawaian keselamatan tertinggi, di samping peluang pembelajaran yang terbuka luas tanpa gangguan pencerobohan anasir jahat yang berkeliaran di luar sana. Segala langkah yang perlu telah dilaksanakan supaya pada akhirnya proses pembelajaran berjalan dengan lancar demi menuju kemuncak kecemerlangan pendidikan.
Hadirin yang dihormati,
Sebelum ini kita telah melaksanakan program sekolah penyayang dan program guru penyayang. Mesej yang cuba disampaikan cukup jelas, iaitu pihak sekolah dan guru amat menghargai pelajar sebagai anak didik yang sentiasa diberi perhatian, atau dalam bahasa pengurusan sebagai pelanggan yang perlu menerima layanan terbaik. Saya yakin bahawa pelajar sendiri dapat merasakan betapa kesungguhan pihak sekolah dan guru telah berusaha merancang reka bentuk dan aktiviti pembelajaran yang paling bermutu.
Pelbagai mesyuarat yang dilaksanakan bagi menambah baik segala kemudahan pembelajaran, di samping program peningkatan profesionalisme guru-guru. Kini, terpulang kepada pelajar untuk menghargai dan menikmati segala kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di sekolah ini. Buktikan bahawa pelajar sekalian bersedia menjaga dan mempertahankan nikmat yang dikecapi selama ini dengan menjaga sahsiah diri, sentiasa mengejar kecemerlangan dan menahan tangan daripada menyebabkan kemudahan yang disediakan mengalami masalah kerosakan dan keusangan secara tidak munasabah.
Saya telah membuat hitungan konservatif tentang perbelanjaan purata bagi menanggung seorang pelajar sekolah, iaitu antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan. Maka, tidak hairanlah sekolah antarabangsa mengenakan caj yuran lebih kurang amaun berkenaan kepada setiap pelajar mereka bagi membiayai kemudahan fizikal dan perkhidmatan sekolah. Namun, pelajar sekolah ini menikmati segala kemudahan tanpa perlu membayar yuran persekolahan, kecuali bayaran untuk majalah sekolah yang hanya berjumlah RM12 sekali sahaja setahun.
Yuran peperiksaan awam juga dikecualikan, malah pelajar diberikan bantuan awal tahun persekolahan sebanyak RM100 secara tunai. Perbelanjaan untuk kegiatan kokurikulum juga datang daripada dana yang disalurkan oleh berkuasa pendidikan. Sumber kewangan berkenaan pula berpunca daripada kutipan cukai yang disumbangkan oleh sekalian rakyat jelata sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.
Biar saya tegaskan di sini bahawa setiap kali pelajar berbelanja, sedikit sebanyak pelajar telah membayar cukai tidak langsung dalam setiap pembelian barang dan perkhidmatan. Maka, segala harta benda awam, termasuk sekolah merupakan hasil sumbangan pembayar cukai termasuk ibu bapa dan diri kalian sendiri. Tidak mungkin para pelajar tidak berasa sayang dengan harta milik bersama ini dan sanggup membiarkan tangan-tangan nakal melakukan perbuatan laku musnah atau vandalisme.
Pelajar yang disayangi,
Kempen sayangi sekolah yang dilancarkan pada pagi ini sangat bertepatan dengan harapan untuk memastikan bahawa proses membina modal insan minda kelas pertama bagi menuju status negara maju menjelang tahun 2020 tercapai sepenuhnya. Kita tidak mahu lagi dilabel sebagai negara berkemudahan kelas pertama, tetapi minda rakyat kelas ketiga. Kemudahan awam segaja dirosakkan, manakala sampah sarap tidak terurus dengan baik.
Sekolah ialah organisasi yang memupuk pembelajaran. Sebagai generasi muda yang masih boleh dilentur, para pelajar sentiasa diterapkan dengan nilai-nilai murni supaya bertingkah laku secara budiman dan mulia. Marilah kita bersama-sama menyayangi sekolah kita dengan sepenuh jiwa dan raga, tanpa berbelah bahagi.
Memang banyak projek dan kegiatan yang akan mengisi kempen sayangi sekolah seperti pameran, pertandingan pidato, penulisan dan keceriaan. Sudah tentu bahawa perasaan sayang terhadap sekolah bukanlah bermusim, bahkan untuk sepanjang masa. Maka, besarlah harapan saya bahawa pelancaran kempen sayangi sekolah pada pagi ini bakal mencapai matlamat berkenaan.
Sekian sahaja ucapan saya. dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, sya melancarkan kempen sayangi sekolah.
Wabillahitaufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment