Friday, May 24, 2013
PENGGUNAAN DI MASA DALAM PENULISAN, UCAPAN (SOCIOLECTS REFLECT THE LEVEL OF ACHIEVEMENT)
Berdasarkan tatabahasa Za'aba, kata sendi 'di' yang dieja secara terpisah merujuk kepada tempat atau jarak. Penggunaan 'di' yang dieja secara bercantum pula merujuk kepada kata kerja (konsep 'diterangkan' dalam hukum D-M). Kata sendi 'di' tidak boleh digandingkan dengan rujukan tentang masa, contohnya di masa, di saat, di jam, di hari, di minggu, di bulan, di tahun, di dekad, di abad, di alaf, di era, di kala, di zaman di waktu dan sebagainya (klik di sini).
Walaupun demikian, masih terdapat pengguna bahasa yang dipengaruhi oleh aliran sosiolinguistik (pengenalan sosiolinguistik di sini) beranggapan bahawa penggunaan 'di' untuk masa tidak membawa sebarang kesalahan. Mereka mendakwa bahawa perkara itu sudah diterima umum sejak sekian lama.
Aliran sosiolinguistik lebih dekat kepada manipulasi kata-kata dalam penulisan kreatif seperti cerpen, novel, skrip drama, lirik lagu, puisi dan lain-lain. Karya kreatif memang mengizinkan pelanggaran hukum tatabahasa bagi membezakannya dengan laras bahasa baku dan urusan rasmi. Namun, hal itu nampaknya sedikit sebanyak mengelirukan orang awam dan murid sekolah.
Paparan kain rentang di atas dirakamkan di kawasan rawat dan rehat (R & R) Temerloh . Secara sepintas lalu, paparan berkenaan lebih bersifat cogan kata atau tag line yang digunakan dalam sektor korporat dan pengiklanan yang mementingkan ciri ringkas, tetapi tepat dan padat dari segi hebahan awam. Orang ramai tiada masa untuk membaca maklumat yang berjela-jela.
Mungkin pihak yang diupah menyediakan cogan kata di atas tidak begitu peka tentang kepentingan nahu dan tatabahasa yang betul. Maka, muncullah perkataan 'di masa' yang sepatutnya ditulis sebagai 'pada masa'. Sebenarnya, pihak MTD tidak perlu merujuk kepada pakar runding bahasa, cukup sekadar bertanya budak sekolah kebangsaan tentang kesalahan penggunaan 'di masa' dalam cogan kata mereka.
Kesalahan umum tatabahasa bukan sahaja berlaku dalam kalangan orang awam, korporat, budak sekolah dan media, bahkan membabitkan pemimpin negara dan cendekiawan. Penulis teks ucapan mungkin terlepas pandang atau sememangnya jahil tentang hal itu, atau bersikap sambil lewa. Keadaan mungkin berbeza ketika sidang akhbar atau wawancara secara langsung kerana si penutur hanya bergantung kepada pencapaian tatabahasa atau kebiasaan semata-mata.
Sudah tiba waktunya pihak berkuasa bahasa, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengambil daya usaha yang lebih mantap bagi membetulkan kesalahan asas bahasa yang berlaku. Penegasan tentang kepentingan laras bahasa baku dalam urusan rasmi perlu diuar-uarkan menerusi kempen yang lebih berkesan. Pihak yang didapati melakukan pelanggaran tatabahasa dialam urusan rasmi mesti dikenakan celaan, siasatan dan seterusnya tindakan tertentu berdasarkan akta bahasa kebangsaan.
Penulis-penulis teks ucapan pemimpin negara pula perlu menjalani kursus khas asas tatabahasa atau pemukiman bahasa kendalian DBP. Satu slot khas pendek semasa mesyuarat mingguan jemaah menteri kabinet persekutuan dan mesyuarat exco negeri diberikan kepada DBP untuk memantapkan penggunaan bahasa baku dalam acara rasmi. Penggunaan bahasa yang persis bakal meningkatkan kewibawaan dan martabat seseorang pemimpin dalam kalangan rakyat jelata.
Kesedaran tentang penggunaan laras bahasa baku dalam urusan rasmi dan pendidikan telah disemai dalam kalangan murid sekolah. Generasi muda senang dilentur, tetapi dalam masa yang sama mudah pula dipengaruhi oleh media dan persekitaran. Maka, peranan pihak media, serta organisasi rasmi awam dan swasta wajib digembleng supaya kesalahan tatabahasa umum yang mencolok mata seperti paparan kain rentang MTD di Temerloh itu tidak berleluasa.
Bahasa jiwa bangsa, bahasa menunjukkan bangsa dan bahasa ialah pancaran akal budi insan. Bahasa Melayu pernah dihormati sebagai bahasa serantau (lingua franca) semasa era emas kegemilangan empayar Melaka dari segi pemerintahan, penyebaran dakwah dan perdagangan antarabangsa. Bahasa Melayu tidak boleh dibiarkan kelihatan lemah angkara kesalahan tatabahasa yang tidak sepatutnya berlaku...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment