SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, July 8, 2013

SEMBANG DENGAN KONTRAKTOR DARI SEBERANG (TRANSRORMING HAVE-NOTS TO AFFLUENT)

Ketika memasuki gerai roti canai Pak Din di pasar Gunung Rapat, semua meja sudah penuh. Penulis blog (PB) harus berkongsi meja dengan pelanggan yang lain. Kebetulan ada seorang pelanggan yang masih menunggu pesanan memberi laluan. Beberapa minit kemudian, meja kami disertai seorang lagi pelanggan

Perkenalan ringkas kemudian berkembang kepada pelbagai tajuk yang produktif juga, bukan sekadar sembang kedai kopi yang bertaraf gosip atau mengata orang. Antara tajuk perbualan ialah tentang perbuatan membazir sewaktu bulan puasa dan kebijaksanaan dalam berbelanja. Perbincangan juga berkisar tentang kuasa beli masyarakat tempatan yang semakin tinggi sehingga mampu berbuka puasa di hotel mewah, termasuk untuk projek amal anjuran organisasi tertentu.

Pelanggan yang datang kemudian yang meminta diri dahulu kerana ada urusan penting katanya. PB terus berbual dengan pelanggan asal di meja itu. Dari awal PB perasan bahawa dia bukan warga tempatan justeru cakapnya agak perlahan dan seperti mengawal sebutan dan nada suara. 

Telahan PB memang tidak meleset. Pelanggan berkenaan (Bapak S), mungkin dalam usia awal 50-an mengaku berasal dari Medan, Sumatera. Malah, isterinya juga sekampung, tetapi semua anaknya lahir di Malaysia dan berdaftar sebagai warganegara.

PB sempat bertanya tentang Pulau Nias di Selat melaka yang mengambil masa empat jam perjalanan menggunakan bot atau feri ke Medan. Nama Pulau Nias timbul semasa PB bercakap dengan seorang pelatih kolej pelancongan di sebuah hotel di ibu negara yang berasal dari sana. wajah orang Pulau Nias persis keturunan Cina, tetapi kebanyakan mereka beragama Kristian.

Bapak S juga mengaku berasal dari daerah Minangkabau dan banyak persamaan dengan adat perpatih di Rembau, Negeri Sembilan. Jika masyarakat Minang mempunyai genre muzik sendiri, maka begitu juga orang Pulau Nias. Persamaannya ialah generasi muda di kedua-dua tempat sudah tidak begitu peduli terhadap genre muzik warisan tradisional, bahkan tidak mengenali jalur nyanyian Bob Tutupoli atau Broery Marantika.

PB seterusnya memancing maklumat tentang pekerjaan Bapak S yang nampak kemas berbanding dengan pekerja Indonesia yang biasa. Bapak S kontraktor berdaftar yang bergiat dalam pelbagai kegiatan pembinaan, perkhidmatan dan perladangan (kelapa sawit). Bapak S baru sahaja balik dari Sabah setelah menyiapkan projek dalam tempoh dua minggu di negeri bawah bayu itu.

Bapak S juga memaklumkan dia terbabit dengan banyak projek membina bilik kebal (untuk kegunaan peperiksaan awam berpusat) di sekolah-sekolah seluruh negara. Selain itu, Bapak S turut bergiat dalam pembinaan rumah kediaman dan ubah suai rumah. Bapak S juga melayan permintaan pelanggan yang meminta perkhidmatan kecil seperti sinki tersumbat atau pendawaian bagi mengembangkan asas pelanggan.

Bapak S mengatakan bahawa untuk bertahan dalam dunia perniagaan seperti kontraktor, hubungan dengan semua pihak seperti pelanggan berpotensi, pembekal bahan binaan dan pekerja mesti dijaga supaya projek dapat berjalan mengikut jadual. Modal pusingan tunai juga mesti kukuh kerana bayaran bagi sesetengah projek berasaskan perjanjian dan pesanan tempatan apabila projek telah siap dua tiga bulan dan memenuhi kehendak spesifikasi seperti yang ditandatangani. Bapak S membina jaringan pintar (menang-menang) dengan kontraktor lain kerana tidak semua kerja mampu dilaksanakan bersendirian.

Bapak S berpegang kepada prinsip kesederhanaan dalam penampilan dan gaya hidup. Ketika PB mengikutnya untuk mengambil kad nama perniagaan, PB mendapati Bapak S hanya memandu kereta Proton Iswara untuk urusan kerja. Bapak S masih menyewa rumah di Sungai Rokam, tetapi operasi perniagaannya berpangkalan di Bercham.

Bapak S tidak pernah melupakan kampung halaman sendiri. Bapak S memiliki ladang kelapa sawit di Medan yang kebetulan hanya dalam jarak perjalanan lori pengangkut sawit selama sepuluh minit ke kilang memproses buah kelapa sawit. Kilang berkenaan milik perkongsian pelabur Malaysia dan Australia.

Bapak S juga menerima nasib seperti ahli-ahli perniagaan yang lain apabila tiada seorang pun anak yang mahu bekerja dengan bapa mereka. Semua anak Bapak S merantau ke ibu kota dan salah seorangnya bekerja dengan konglomerat Tenaga Nasional Berhad. Bapak S tetap berharap bahawa pada suatu hari nanti mereka akan terbuka hati untuk meneruskan perniagaan yang diasaskan dengan susah payah itu...

No comments: