SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, November 25, 2013

PENDIDIKAN YANG LESTARI (THE HIGHEST QUALITY OF HUMAN CAPITAL)

Visi, iaitu wawasan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berbunyi Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera. Misi KPM pula ialah Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu Bagi Memenuhi Aspirasi Negara (klik di sini). Perbincangan ini menjurus kepada konsep lestari dalam pendidikan, tetapi lebih bersifat ringan.

Lestari bermaksud tidak berubah-ubah, kekal, atau tetap, iaitu keadaan atau persekitaran yang terpelihara seperti asal dan asli (klik di sini). Kosa kata lestari ialah kata serapan daripada bahasa Indonesia yang setara dengan maksud everlasting dan sustainable (mampan) dalam bahasa Inggeris. Perkataan lestari sudah lama popular dalam bidang alam sekitar dan pembangunan, tetapi boleh dikatakan masih baharu untuk digandingkan dengan dunia pendidikan di sekolah. 

Pada asasnya lestari merujuk kepada status quo, iaitu bertentangan dengan proses kemajuan atau perubahan. Jika demikian, mengapakah KPM memilih istilah melestarikan dalam pernyataan misi yang terbaharu? Tidakkah pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang bernaung di bawah KPM tampil memberi penjelasan (pencerahan?)?

Usah terlalu cepat menjatuhkan hukuman sebelum selesai memastikan duduk perkara sebenar. Pernyataan misi KPM perlu dibaca secara keseluruhan dan tuntas, bukan sekerat-sekerat. KPM hendak melestarikan sistem pendidikan yang berkualiti. Ertinya, pendidikan yang bermutu sebagaimana konsep pendemokrasian pendidikanlah yang mahu dikekalkan, dipelihara, tetap dan tidak berubah. 

Kualiti atau mutu ialah pencapaian darjah kecemerlangan yang tertinggi. Begitulah penanda aras yang ditetapkan oleh KPM terhadap sistem pendidikan negara. Segala perancangan dasar dan pelaksanaan pendidikan menjurus terhadap pembangunan potensi individu murid, atau dalam kata lain proses penjanaan modal insan minda kelas pertama bertaraf dunia.   

Pelestarian sistem pendidikan yang berkualiti itu pada akhirnya bertujuan bagi memenuhi aspirasi negara, iaitu pencapaian status negara maju berpendapatan tinggi dengan acuan sendiri menjelang tahun 2020. Rakyat sesebuah negara maju bukan sahaja memiliki akses terhadap tahap pendidikan tertinggi, bahkan berdaya saing dan mesra pembaharuan. Rakyat yang produktif berhak memperoleh pendapatan yang tinggi dan kuasa beli yang tinggi, tetapi dalam masa yang sama sentiasa menyumbang terhadap kemakmuran dan kesejahteraan insan secara istiqamah.

Pendidikan yang bermutu ialah reka bentuk proses pembelajaran yang serasi dengan konsep penyampaian ilmu pengetahuan yang sah dan benar. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam naskhah The Concept of Education in Islam mentakrifkan ilmu sebagai ketibaan makna (klik di sini). Hakikat bahawa kerjaya keguruan termasuk dalam kategori perkhidmatan menolong bermaksud peranan guru lebih banyak menjurus terhadap proses membimbing murid untuk meneroka ilmu pengetahuan yang tertentu bagi mengembangkan potensi dan fakulti  mereka secara optimum.

Pelaksanaan konsep pentaksiran berasaskan sekolah (PBS) bertujuan melengkapkan amalan pengukuran pembelajaran menerusi sistem peperiksaan berpusat. Kemajuan dan pencapaian murid dilonjakkan menerusi kemahiran projek, tugasan dan aplikasi komputer supaya mereka muncul sebagai insan yang berdikari dan berkeyakinan diri apabila menceburi urusan mencari rezeki dan bermasyarakat kelak. Isu teknikal seperti kesesakan masukan data dalam sistem pelayan atas talian tidak sepatutnya menjadi alasan untuk kembali kepada sistem pengukuran pembelajaran secara tradisional sepenuhnya.

Sistem pendidikan yang bermutu tidak seyogia tersekat, terhenti atau berakhir pada satu-satu tahap keseimbangan yang tertentu, sebaliknya sentiasa terbuka kepada penambahbaikan, pembaharuan dan perubahan secara berterusan. Tamadun gemilang yang pernah muncul di timur dan barat merupakan rentetan keberhasilan sistem pendidikan terancang dan sudah tentu menuntut pengorbanan semua pihak yang berkepentingan. Proses perubahan bererti kehilangan status quo yang tertentu, misalnya kedudukan, keselesaan, peraturan lama dan kebiasaan.

Kesimpulannya, pendidikan yang lestari merujuk kepada usaha mengekalkan, menetapkan dan tidak mengubah tujuan utama tentang sistem pendidikan yang bermutu. Kebijaksanaan dari segi kaedah, pendekatan dan pelaksanaan sentiasa mengalu-alukan dapatan amalan yang terbaik. Sekolah dan guru perlu mencari jalan supaya murid hanya bakal menikmati pengalaman pembelajaran yang terbaik ...

No comments: