SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, November 25, 2013

SUKA DUKA ORANG BERNIAGA (LESS PAIN LESS GAIN?)

Perniagaan, iaitu urus niaga jual beli barang dan perkhidmatan merupakan kegiatan yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Malah, Imam al-Ghazali menulis dalam kitab Ihya' Ulummudin bahawa terdapat sebuah hadith tentang 9/10 rezeki datang daripada perniagaan (klik di sini). Walaupun terdapat perbincangan tentang status hadith berkenaan (klik di sini), hakikatnya dalam lembaran al-Quran dan catatan sirah, perniagaan sangat diberi perhatian.

Kita serahkan sahaja urusan perbincangan ilmiah tentang isu sanad hadith, sama ada mursal atau daif dan lain-lain kepada sarjana ilmu hadith. Perbincangan ini hanya bersifat ringan, iaitu berkisar tentang rezeki dan juga risiko apabila seseorang itu menceburi bidang perniagaan secara serius. Pengalaman sebenar beberapa orang kenalan mungkin berguna sebagai dorongan, pedoman, atau iktibar.

Model Pareto (20:80) barangkali dapat menjelaskan tentang 20 peratus ahli perniagaan yang benar-benar berjaya, manakala 80 peratus lagi sama ada bertahan atau sama keadaannya dengan peribahasa seperti telur di hujung tanduk. Permintaan untuk pengajian sarjana pentadbiran perniagaan (MBA) di sekolah siswazah perniagaan (GSB) begitu tinggi dan universiti boleh 'buat duit' kerana yuran yang dikenakan jauh lebih tinggi daripada program sarjana yang lain. Buku-buku motivasi perniagaan juga memenuhi rak kedai buku utama seperti di MPH dan Popular.

Memang benar bahawa teori perniagaan di bilik kuliah dan input pengalaman dalam buku motivasi perniagaan tidak sama dengan dunia perniagaan sebenar. Namun, belajar sejumlah teori yang kuat adalah lebih baik daripada masuk dalam dunia perniagaan secara jahil. Pencapaian dalam bidang perniagaan dipengaruhi oleh pelbagai sebab yang boleh diringkaskan dalam satu patah perkataan, iaitu 'rezeki' atau dalam dua patah perkataan, iaitu 'nasib baik'.

Antara rezeki dan nasib baik yang dimaksudkan ialah masa yang tepat (timing, right time). Seorang kenalan mula menceburi bidang keusahawanan ladang kelapa sawit dengan membuat pinjaman bank bernilai jutaan RM. Ketika itu, harga kelapa sawit melonjak tinggi, bagaikan bullish run dalam urus niaga saham. 

Sayang sekali bahawa apabila ladang yang diusahakan mula mengeluarkan hasil, harga kelapa sawit jatuh merudum. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Hutang mesti dilunaskan mengikut jadual walaupun pihak bank menggunakan budi bicara supaya hutang dapat distrukturkan semula supaya tidak sampai ke peringkat permohonan perintah muflis di mahkamah.

Seorang lagi peniaga yang banyak kali berjaya memenangi tender sajian makanan sekolah berasrama mengatakan bahawa petua untuk membuat keuntungan ialah dengan melakukan sendiri segala urusan penting, terutama kewangan dan mutu perkhidmatan. Beliau (kini sudah kembali ke Rahmatullah) dalam usia yang relatif muda, mengelolakan sendiri hal pembelian bahan mentah di pasar justeru dapat melakukan tawar-menawar menerusi pembelian secara pukal, di samping memastikan kesegaran bahan. Pembantu atau pekerja tidak boleh diharapkan sangat kerana mereka lazimnya hanya membuat kerja asal siap sahaja.

Mutu makanan yang disajikan dan budi bahasa pekerja yang melayan penghuni asrama dan warden bertugas harian harus sentiasa dipantau supaya tidak terpacul perkataan dan tingkah laku yang tidak layak di sebuah institusi pendidikan. Apabila penghuni asrama dan warden berpuas hati, pengendali sajian makanan akan menerima maklum balas yang baik dan sokongan untuk menyambung perkhidmatan atau dilamar oleh sekolah lain. Kerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan juga dijalinkan suapaya isu kebersihan dan keracunan makanan tidak timbul.

Perniagaan barangan elektrik dan elektronik nampaknya menjadi monopoli satu kaum sahaja yang telah memiliki rangkaian bekalan dan pemasaran, di samping sentiasa sepakat dalam penetapan harga dan taktik jualan. Monopoli berkenaan hanya mampu dipecahkan menerusi kegiatan koperasi dan secara atas talian. Jika tidak, peniaga bumiputera hanya mampu berniaga di warung tepi jalan, kedai makan dan kedai runcit.

Peribahasa Melayu mengatakan bahawa besar periuk maka besarlah keraknya. Perniagaan yang berskala besar memerlukan suntikan modal yang tinggi menerusi pinjaman bersindiket oleh institusi kewangan. Maka, jatuh bangun sesuatu perniagaan sangat bergantung kepada permintaan pasaran, serta unjuran keberkesanan kos dan nilai pulangan menerusi pentadbiran kajian kemungkinan (feasible study) yang signifikan ...

No comments: