SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Sunday, November 17, 2013

SEPETANG DI TERATAK MALAYA, JANDA BAIK (SUMMER CAMP HOLIDAY)

Terletak bersebelahan dengan stadium akademi bola sepak Frenz United, resort yang diberi nama Teratak Malaya menjadi tumpuan para penganjur program kem bina semangat dan motivasi. malah, pihak Telaga Biru, penerbit majalah Solusi yang diketuai oleh Ustaz Dr. Zahazan juga memilih Teratak Malaya sebagai tapak kem cuti sekolah Tahfiz Madani dan Super Aulad. Pengurus Teratak Malaya, Encik Kamarul memberitahu bahawa keluasan kawasan resort ialah 7 ekar dan jumlah pekerja pula ialah 15 orang.
Teratak Malaya ialah salah sebuah resort yang terdapat di kampung Janda baik dalam pentadbiran daerah Bentong. Jalan masuk ke sana ialah melalui susur keluar Genting Sempah sejauh kira-kira 15 kilometer. Walaupun laluan harus menempuh pendakian yang sedikit berliku di lereng gunung, namun kedaan tidaklah berbahaya kecuali beberapa runtuhan tanah kecil berhampiran gaung dan tanah tinggi yang diceroboh oleh pekebun sayur keturunan Cina.
Teratak Malaya lebih mirip sebuah kawasan rumah kampung yang mempunyai latar belakang tumbuhan menghijau dan anak sungai yang mendamaikan jiwa. Sejajar dengan sasaran perniagaan untuk menarik penyewa dalam kalangan penganjur acara kem dan percutian, reka bentuk resort dilengkapi dengan kemudahan dewan besar dan mini, padang dan laluan trek. Sebelum kem anjuran Telaga Biru, penganjur kem dari UiTM dan majlis Daerah Bentong baharu usai angkat kaki.

Tidak lama lagi, sekumpulan warga emas pula akan berhimpun di Teratak Malaya. Mereka memilih untuk menghuni kamar secara berkongsi (dorm) berbanding dengan chalet yang ditawarkan. Boleh dikatakan jadual tempahan program kem di Teratak Malaya agak padat, terutama pada musim cuti dan hujung minggu.
Di samping menerima tempahan program berkumpulan seperti kem dan kursus, pihak Teratak Malaya juga mengalu-alukan tempahan perseorangan dan keluarga untuk tujuan penginapan biasa. Chalet biasa yang tidak menyediakan televisyen dan peti ais dikenakan kadar sewa sebanyak RM150.00.

Dengan kedudukan pada aras ketinggian (altitud) 1,800 meter, keadaan di Janda Baik agak dingin. Kemudahan alat pendingin hawa dan kipas angin bukanlah peralatan kritikal, melainkan untuk menghalau nyamuk yang berbuat bising di kuping telinga. Kesunyian malam dihiasi dengan bunyi cengkerik dan unggas kampung yang lain.

Chalet yang dilengkapi dengan kemudahan televisyen saluran Astro dikenakan sewa penginapan antara RM180.00 hingga RM250.00. Penyewa masih boleh melakukan tawar-menawar harga dengan pengurusan resort dan melanjutkan tempoh penginapan tanpa bayaran tambahan. Bagi kaki pancing, mereka boleh membawa kelengkapan memancing dari rumah, justeru pelbagai jenis ikan darat terdapat di sekitar Teratak Malaya. 

Pihak Teratak Malaya tidak menyediakan kafe dan restoran, tetapi penghuni hanya perlu memandu kenderaan dalam tempoh tidak sampai lima minit untuk menikmati makanan di kedai makan berdekatan. Jika sanggup bersenam dan mendaki, terdapat jalan singkat untuk ke sana. Kedai runcit dan pasar mini juga dibuka hingga pukul 10 malam.
Resort persendirian milik bumiputera Islam seperti Teratak Malaya wajar mendapat sokongan padu daripada pihak berkuasa pelancongan dan pihak berkuasa tempatan. Pengusaha resort perlu meningkatkan kecekapan pengurusan dan melaksanakan idea-idea yang diperbaharui supaya tidak semata-mata kekal di takuk lama. Walaupun bersaing untuk merebut pelanggan, usahawan resort bumiputera Islam perlu bergabung dalam sebuah organisasi yang kuat supaya konsep tolong-menolong (taawun) bagi memperoleh barakah dalam bidang perniagaan.

Pengalaman sehari semalam di Teratak Malaya boleh dikatakan sebagai menariklah juga. Peserta program dan kursus yang sempat ditemui telah memberikan maklum balas yang memberangsangkan walaupun mereka mengharapkan akan ada usaha penambahbaikan secara berterusan. Syabas diucapkan kepada pemilik Teratak Malaya yang egitu peka terhadap cita rasa dan saranan pelanggan ...

3 comments:

Anonymous said...

salam cikgu...cikgu ada contact number teratak malaya tak.? boleh emel saif88_tpg@yahoo.com

cikgu azhar said...

Salam

013-2262030

013-2107703

019-6888240

xfieazlyx said...

RUMAH D' TEBING AMAT TIDAK MEMUASKAN.