SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, November 29, 2014

KALENDAR 2015 PERCUMA UNTUK PERANCANGAN (NOT TO PREDICT, BUT TO STATE IN ADVANCE)

Petang tadi, ketika menukar bateri alat kawalan pagar automatik, kedai kunci di Jalan Iskandar telah menghadiahkan kalendar mini ala lumba kuda. Amalan hadiah kalendar kepada pelanggan tetap sudah menjadi kebiasaan kepada perniagaan yang sanggup membayar kos percetakannya. Secara tidak langsung, kalendar itu berfungsi sebagai iklan apabila digantung pada dinding rumah atau pejabat.

Kaum wanita lebih mengalu-alukan kalendar poket bersaiz kad nama yang memaparkan dua belas bulan penuh. Mereka akan sentiasa menanda dan merujuk kalendar mini yang berharga itu untuk mengira pusingan h.... bagi setiap bulan. Kalau pada istilah orang lelaki ialah tempoh menggantung telekung!
hadiah pasar raya UO, Greentown Mall, Ipoh

Kalendar memang penting bagi proses membuat perancangan kegiatan peribadi dan juga organisasi. Tarikh-tarikh cuti umum dan penggal persekolahan juga diberi perhatian oleh ibu bapa dan penganjur program yang membabitkan sasaran budak sekolah. Musim cuti sinonim dengan waktu puncak apabila segala perbelanjaan perjalanan dan penginapan harus mengikut kadar senarai, atau dikenakan caj tambahan yang tertentu.

Hari kelepasan am negeri juga dianggap istimewa kerana penduduk sesebuah negeri boleh melancong ke negeri lain yang tidak bercuti dengan kadar hari biasa yang lazimnya terdapat potongan harga istimewa. Namun, barang diingat bahawa pada musim tertentu, hotel ditempah oleh pelancong asing dari benua yang berbeza yang mengalami musim panas atau musim sejuk yang ekstrem. Nasib tidak baik, tempat tumpuan pelancong dipenuhi pula oleh pendatang asing dari Bangladesh, Myanmar atau Nepal.

Perjalanan ke luar negara pada musim cuti sekolah termasuk umrah juga dikalsifikasikan sebagai waktu puncak. Maka, tempahan lebih awal, sama ada perkhidmatan penuh (full board) atau separa (ground handling) boleh dilakukan. Perjalanan dalam kumpulan kecil antara lima hingga tujuh orang lebih menjimatkan jika kena caranya.

Bagi keluarga bandar yang merancang untuk balik kampung secara berjadual, rujukan terhadap kalendar juga sangat penting. Alasan untuk mengelat sebenarnya tidak ada jika perancangan dapat dilakukan lebih awal. Tinggal lagi, sering-sering mengangkat tangan berdoa semoga panjang umur, murah rezeki dan sihat walafiat supaya hasrat suci itu tertunai jua.

Bagi mereka yang tidak pernah berenggang dengan telefon mudah alih, sama ada yang berciri pintar atau model lama, kalendar mana-mana tahun sekalipun sudah tersedia. Kalendar elektronik seperti itu juga memiliki kelebihan yang tersendiri dengan nada dering peringatan untuk tarikh atau masa penting yang ditetapkan oleh pemiliknya. Pendek kata, kalendar bercetak tardisional atau kalendar di hujung jari tetap berfungsi sebagai rujukan penting untuk proses perancangan.

Akhir sekali, kalendar mengingatkan kita tentang perjalanan masa, iaitu selagi seseorang itu masih bernafas dan bernyawa. Angka usia seseorang meningkat setiap tahun, tetapi jika dikira secara terbalik, tempoh untuk menikmati kehidupan duniawi semakin susut. Maka, marilah kita bersama melihat kalendar sebagai suatu peringatan untuk menjalani hidup yang bermakna dengan aqidah, syariat dan akhlaq yang tulen ...

No comments: