SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, September 22, 2009

RUMAH TERBUKA MENGERATKAN SILATURRAHMI (OPEN HOUSE AND THE CARING SOCIETY)

Konsep rumah terbuka sempena sesuatu perayaan telah diterima baik di seluruh dunia. Walaupun disebut “terbuka”, hakikatnya hanya tetamu terpilih dijemput hadir atas sebab keselamatan, kewangan dan lojistik. Penulis blog berkesempatan memenuhi undangan majlis rumah terbuka Eidul Fitri keluarga seorang pemilik dan CEO Vivid Sdn. Bhd. yang terbabit dengan industri gas dan petroleum.





Tuan rumah berkenaan ialah seorang usahawan wanita yang berjaya dan disegani. Bermula sebagai seorang pekerja biasa, beliau berhasil mendaki tangga kejayaan setelah menempuh pelbagai onak duri dunia perniagaan yang menjadi dominasi kaum lelaki. Beliau telah menjelajah ke serata pelosok dunia menyertai rombongan pelaburan kerajaan dan swasta.




 





Tetamu jemputan terdiri daripada kaum keluarga, sahabat handai, rakan niaga, jiran dan kakitangan syarikat. Majlis rumah terbuka keluarga itu turut diserikan dengan persembahan sepasang penghibur OKU. Pelbagai genre lagu didendangkan termasuk irama asli, pop, dang dut, Hindustan, Arab dan nasyid. Muzik latarnya ialah iringan keyboard dan MP3.





Aneka juadah disediakan. Hadirin boleh memilih nasi dagang, nasi minyak, nasi beriyani, laksa, mi, mihun, cucur udang, ketupat, lemang dan kuih-muih. Maka, layanlah diri sendiri asal jangan tumbang!



Sepuluh minit menjelang azan Asar, persembahan nyanyian direhatkan. Rumah berkenaan bersebelahan masjid. Walaupun  dalam suasana gembira dan dengan pakaian berwarna-warni, kewajipan ibadat solat sama sekali tidak boleh diabaikan.





Rumah Terbuka Yang Tertutup?

Di kampung, pintu rumah memang sentiasa terbuka untuk menerima tetamu berkunjung sempena hari raya. Tiada hari dan tiada majlis khusus yang ditetapkan sebagai hari terbuka. Namun, di bandar keadaan sedemikian hampir bertaraf mustahil.

Faktor keselamatan anggota keluarga dan harta benda tuan rumah tidak boleh dipertaruhkan. Sedangkan rumah tertutup pun dimasuki! Maka, kawalan dan pengehadan jumlah tetamu rumah terbuka di bandar ialah langkah meminimumkan risiko pencerobohan dan rompakan. Penjenayah memang licik mengabui mata tuan rumah dan jemputan dengan taktik penyamaran yang sangat mengelirukan.

Satu senarai pendek jemputan rumah terbuka mesti disediakan supaya kawalan jumlah perbelanjaan dapat dilakukan. Hal itu bukanlah bermakna tuan rumah bandar terlalu berkira, bakhil dan kedekut tidak bertempat. Majlis rumah terbuka bukan bertujuan untuk bermegah-megah, membazir dan terbeban dengan hutang piutang. Juadah ala kadar sepatutnya sudah memadai.

Biasanya jemputan akan dibuat secara blok masa yang berasingan. Misalnya rakan si ayah dijemput untuk jam yang pertama, rakan si ibu jam yang kedua, rakan anak lelaki jam ketiga dan rakan anak perempuan jam keempat. Jadual itu boleh diubah suai bagi mengelakkan diskriminasi dan rasa tidak puas hati. Jika tetamu tiba secara serentak, masalah lojistik sukar dielakkan. Selain itu, dikhuatiri ada hadirin yang berkecil hati justeru tuan rumah yang tidak menang tangan gagal memberi perhatian.

Tetamu dan hadirin yang beretika memahami kesibukan dan kepenatan tuan rumah. Mereka patut berinteraksi dengan tetamu yang lain tanpa menyusahkan tuan rumah. Tetamu berdoa untuk keberkatan rezeki tuan rumah dan berazam untuk beredar tanpa gosip dan umpatan terhadap sebarang kekurangan majlis yang dihadiri.

Tuan rumah yang berkemampuan akan mengupah pengusaha katering melakukan segala persediaan majlis dan pengurusan tetamu. Tuan rumah bolehlah berpangku tangan sambil berbual-bual dengan sekalian yang hadir. Sambil-sambil itu, kemungkinan peluang perniagaan bolehlah diselitkan.

Budaya menjemput tetamu yang berada dan kaya, serta golongan selebriti bukan tidak boleh dilakukan. Tetapi, alangkah afdalnya jika sesuatu majlis rumah terbuka yang dianjurkan turut meraikan golongan kurang beruntung seperti fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal, OKU dan warga tua yang sebatang kara. Dengan demikian, baharulah majlis rumah terbuka benar-benar menjurus kepada konsep masyarakat penyayang…




No comments: