SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, September 4, 2009

PESAN LUQMAN KEPADA ANAKNYA: PRASYARAT KECEMERLANGAN HIDUP INSAN (THE WILL OF LUQMAN: A LIST OF THE EXCELLENCE-DRIVING FORCES IN OUR LIFE)

Kecemerlangan ialah ukuran kualiti yang unggul dan paling tinggi yang hendak dicapai. Kecemerlangan bukanlah piawaian biasa yang boleh diagak-agak atau dispekulasikan secara spontan. Kecemerlangan mestilah berteraskan ilmu yang sah.

Kecemerlangan menjadi tema penulisan, penyelidikan dan wacana yang amat digemari dalam kalangan masyarakat Barat. Contohnya, In Search of Excellence, Thriving on Chaos, The 8th Habit dan lain-lain lagi yang menjuruskan perincian kecemerlangan. Masyarakat Barat memang cenderung meneroka dan menulis hingga dikatakan bahawa tajuk seperti How to Draw a Straight Line pun dijadikan judul sebuah buku yang tebal!

Sebenarnya tradisi menulis juga telah lama berkembang di dunia Timur. Sejarah mencatatkan bahawa Sungai Furat dan Dajlah (kini dalam wilayah Iraq) menjadi hitam pekat apabila tentera Mogul melemparkan timbunan buku daripada perpustakaan Darul Hikmah untuk dijadikan jambatan menyeberang sungai. Pemindahan ilmu pengetahuan antara tamadun telah lama berlaku, khususnya dalam bidang falsafah, astronomi, kimia, matematik, kejuruteraan, sosiologi, psikologi dan perubatan.

Dunia Islam menjadikan al-Quran dan al-Hadith sebagai sumber inspirasi untuk menggarap piawaian kecemerlangan. Islam menjadikan kebijaksanaan (al-hikmah) dan konsep pembelajaran sepanjang hayat (life-long learning and relearning) sebagai antara ciri kecemerlangan. Terdapat hadith yang menyatakan bahawa "kebijaksanaan ialah barang yang hilang daripada orang-orang yang beriman" (al-hikmah dholatul-mukmin) dan "tuntutlah ilmu dari buaian sampai ke liang lahad" (Utlubul ilm minal-mahdi ilal-lahdi, seek ye learning from the cradle to the grave). Au kama qala.

Tulisan ini bertujuan memaparkan semula 10 wasiat Lukman al-Hakim sepertimana yang tersurat dalam al-Quran, surah Luqman, 31: ayat 12 - 18). Luqman telah berpesan kepada anaknya 10 perkara, iaitu:

1. Sentiasalah bersyukur;

2. Jangan sesekali syirik (menyekutukan Allah dengan apa-apa cara sekali pun);

3. Berbuat baik kepada ibu bapa;

4. (Menjaga setiap perbuatan) justeru segala sesuatu yang tersembunyi turut diadili-Nya kelak;

5. Menjaga solat;

6. Menyeru ke arah kebaikan (al-amru bi'l-ma'ruf):

7. Mencegah kemungkaran (an-nahyu an'il-munkar);

8. Bersabar (atas bencana / musibah);

9. Jangan sombong / takbur; dan

10. Sentiasa sederhana (dalam tingkah laku / percakapan).

Perbincangan tentang setiap satu pesan Luqman di atas sesungguhnya boleh ditumpukan kepada kaedah pelaksanaannya di peringkat individu, keluarga, masyarakat, negara dan ummah keseluruhannya. Generasi yang dibina daripada 10 kualiti yang diwasiatkan oleh Luqman itu layak diungkapkan sebagai "generasi al-Quran yang unik" (al-jil Qur'aniyyun farid), atau "generasi rabbani yang komited" (al-jil rabbaniyyul multazim). Generasi sedemikian bakal menjadikan kecemerlangan sebagai landas untuk memacu kejayaan dalam hubungan dengan al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), hubungan sesama insan, dan hubungan dengan alam sekitar.

Marilah kita menjadikan bulan puasa kali ini sebagai titik tolak untuk meningkatkan kecemerlangan diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah. Biarlah hari ini lebih baik daripada semalam, dan esok lebih baik daripada hari ini (sebagaimana saran Ali karamallah wajhah). Mudah-mudahan kita digolongkan dalam kalangan orang yang menuju kejayaan (al-falah) dan dijauhi daripada kerugian (al-khusran), insya-Allah...

No comments: