SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, September 28, 2009

MENJELANG SPM: MENJAWAB RUMUSAN BM2 (SPM BAHASA MELAYU 2: PLAN YOUR WORK, WORK YOUR PLAN)

1.  Kertas 2 Bahasa Melayu SPM memperuntukkan 110 markah, berbanding dengan kertas 1 yang memperuntukkan 130 markah, dan ujian lisan 40 markah.


2.  Soalan 1 ialah soalan rumusan yang memperuntukkan 30 markah. Perkara yang paling penting ialah kefahaman calon tentang konsep dan prinsip rumusan untuk tujuan pembelajaran menengah atas. Calon juga harus akur akan segala dasar yang ditetapkan, serta mematuhi segala tugasan soalan.


3.  Empat komponen rumusan ialah pengenalan (P), isi tersurat (S), isi tersirat (T) dan kesimpulan (K). Bagi memudahkan penulisan, calon digalakkan menulis setiap satu komponen dalam perenggan yang berasingan. Sudah tentu komponen pengenalan dan kesimpulan hanya mengandungi satu ayat, manakala S dan T bergantung kepada keperluan.


4.  Bentuk soalan yang mantap bagi rumusan ialah berasaskan satu petikan rencana. Kebiasaannya rencana yang diuji ialah sepanjang 320 - 350 patah perkataan. Maka, seluruh kandungan rencana bolehlah dianggap sebagai tersurat. Namun, pemilihan S hendaklah berdasarkan keperluan tugasan soalan.


5.   Mari rujuk contoh kertas percubaan negeri Perak Darul Ridzuan. Tugasan soalan rumusan seperti di bawah:

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat satu rumusan tentang kepentingan pendermaan organ di negara kita dan halangan untuk menderma organ. Panjangnya rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.


6.  Tugasan soalan bermula daripada perkataan yang dicetak berhuruf tebal selepas tentang hingga noktah. Bahagian tugasan soalan sebelum dan ialah S, manakala selepas dan ialah T.


7.  Ayat pengenalan bertujuan memperkenalkan petikan yang diuji. Sesuai dengan konsep petikan sebagai tersurat, komponen pengenalan hanya mengambil kira bahagian tugasan soalan sebelum dan. Maka, paling minimum calon harus menukar kata tugas dalam tugasan S dengan perkataan yang setara.


8.  Kata tugas S, iaitu kepentingan bolehlah diubah kepada kebaikan, kelebihan, faedah dan manfaat sebagai contoh. Perkataan negara kita juga boleh diubah kepada Malaysia. Dengan demikian, ayat pengenalan boleh ditulis sebagai: Petikan membincangkan kebaikan pendermaan organ di Malaysia.


9.  Bagi mengawal jumlah perkataan, calon boleh terus mengiranya ayat demi ayat. Misalnya, ayat pengenalan di atas mengandungi sejumlah 6 patah perkataan. Calon boleh membuat catatan dengan pensel pada ruang luar garisan sebelah kiri.


10.  Seelok-eloknya pisahkan perenggan ayat pengenalan tadi dengan perenggan S selang sebaris. Bagi memulai ayat perenggan S bolehlah diambil semula kata tugas dalam tugasan soalan. Bunyinya akan lebih kurang: Antara kepentingan pendermaan organ di negara kita ialah ... (atau lebih ringkas: Antara kepentingannya ialah...) +  isi pertama S.


11.  Calon mesti selalu ingat bahawa S ialah seperti yang tercetak. Maka, tidak perlulah dibuat sebarang pengubahsuaian terhadap ayat atau sebahagian ayat daripada petikan. Calon cuma perlu mengambil isi pokok, dan menggugurkan huraian isi berkenaan.


12.  Isi pokok bermakna bahagian subjek dan predikat dalam sesuatu ayat sahaja. Segala kata dan frasa penerangan ialah huraian belaka. Bincangkan perkara ini dengan guru bahasa anda.


13.  Maksimum jumlah S ialah 6, namun calon boleh menulis lebih banyak asalkan kawalan jumlah perkataan terus dibuat. Katalah ayat pertama perenggan S ialah: Antara kepentingannya ialah dapat menghilangkan penderitaan yang ditanggung pesakit.  Jumlah perkataannya = 9. Maka, catatkan dengan pensel di margin kiri +9 = 15 (iaitu 6 + 9, sambung jumlah perkataan ayat pengenalan), dan buat catatan ini berterusan ayat demi ayat.


14. Jika calon berniat untuk menulis tambahan S kemudian, tinggalkan sebaris dua lagi sebelum memulakan perenggan T. Perenggan T boleh dimula dengan kata tugas selepas dan dalam ayat tugasan soalan. Contohnya: Halangan untuk menderma organ termasuklah...



15.  T ialah isi luar petikan. Namun, calon perlu mempunyai kemahiran generalisasi, atau kelompok idea. Biasanya calon boleh membahagikan kelompok idea T berdasarkan pihak yang mungkin menghalang.





16.  Sebagai contoh, pihaknya mungkin: calon penderma, keluarga calon penderma, masyarakat dan kerajaan. Calon penderma mungkin berasa takut dengan prosedur pembedahan, keluarga mungkin tidak memberi keizinan, dan masyarakat mungkin mempunyai kepercayaan negatif yang tertentu tentang derma organ. Jika calon berasa yakin dengan jumlah 6S, maka minimum calon mesti menulis 2T, lebih elok lebihkan satu.


17.  Ayat kesimpulan perlu ditulis dengan jelas dan mudah. Tidak payahlah calon hendak berbunga-bunga bahasa secara berlebihan. Cukuplah jika calon memulai ayat kesimpulan dengan: Kesimpulannya, ...


18.   Ayat kesimpulannya biasanya mengandungi dua elemen, iaitu cadangan dan kesan / harapan daripada cadangan itu. Sebaik-baiknya kesimpulan hendaklah dikaitkan semula dengan tugsan soalan. Contoh: Kesimpulannya, semua pihak mesti menyokong pendermaan organ supaya pesakit akan terus mempunyai harapan hidup.


19.  Perkataan supaya menandakan pemisah elemen cadangan dengan harapan. Barang diingat bahawa kesimpulan tidak boleh diambil daripada mana-mana bahgian petikan atau S. Begitu juga jika telah ditulis dalam T, carilah idea yang lain!




20.  Akhir sekali catatlah jumlah perkataan rumusan yang telah dikira secara kawalan ayat demi ayat seperti yang disyorkan sebelum ini. Selamat merancang jawapan rumusan dan selamat maju jaya!





No comments: