SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Monday, September 14, 2009

SAMBUTAN AIDIL FITRI: MENGAPA HARUS MELANKOLIK? (FESTIVE CELEBRATION: THE MODE OF JOY)

Cara umat Islam di Malaysia dan Asia Tenggara menyambut hari raya puasa dikatakan agak berbeza daripada yang sepatutnya. Hari yang sepatutnya diraikan sebagai kemenangan justeru lulus madrasah Ramadan digantikan dengan kesayuan dan runtunan perasaan. Kampung halaman dan pusara menjadi tumpuan para perantau dekat dan jauh.

Alunan seperti "Dendang Perantau" , "Nazam Lebaran", "Pulanglah", "Dari Jauh Kupohon Maaf" dan "Satu Hari Di Hari Raya"  kedengaran di sana sini. Kebanyakannya berirama mendayu-dayu. Percubaan mengetengahkan karya baharu tidak segak untuk menandingi lagu-lagu bertaraf malar hijau (evergreen) itu.

Seterusnya gema takbir hari raya di rantau Nusantara termasuk Malaysia disifatkan terlalu melankolik. Pak-pak Arab yang mendengar berasa hairan kerana takbir versi timur tengah tidak demikian nadanya. Takbir raya yang asalnya meraikan kemenangan di medan Badar dengan penuh semangat berkobar-kobar sudah bertukar kepada elemen hiba dan pilu!

Kegembiraan menyambut hari lebaran lebih dirasai oleh kanak-kanak dan remaja. Mereka berpakaian baharu berwarna-warni dan hari raya seolah-olah musim memperoleh duit dalam jumlah yang boleh tahan banyaknya. Makan-makan jadi bab yang kedua.

Fakir miskin, anak yatim, golongan kelainan upaya (OKU), ibu tunggal  dan warga tua yang sebatang kara tidak dilupakan. Agihan zakat fitrah, hadiah dan sedekah mengubat hati nan lara, walaupun berkemungkinan besar untuk tempoh yang singkat sahaja. Usai musim raya, mereka kembali ke garis asal:  sepi dan tidak diumpamakan lagi.

Keadaan masih belum banyak berubah. Ramadan dan Syawal sekadar rutin tahunan. Cuti dan penuh dengan jadual rumah terbuka. Tawaran pakej katering dan majlis di hotel serta restauran besar tidak terkecuali. Segala-galanya sudah diberi sentuhan perniagaan.

Biarlah... melankolik, mendayu, sayu atau berniaga. Perkara yang lebih utama ialah perubahan kualiti hidup kita. Adakah kita sudah menjadi insan yang lebih baik sesudah lulus ujian Ramadan dan Syawal? Insan yang bersyukur, berihsan dan istiqamah.

Adakah masyarakat kita juga mengalami transformasi yang hebat? Institusi keluarga, jalinan persaudaraan dan semangat kejiranan lebih kukuh. Nasib golongan yang kurang beruntung menerima pembelaan yang berterusan.

Sesekali ada baiknya kita merenung kembali falsafah sambutan hari raya puasa supaya termasuk dalam amal ibadah yang diredhai-Nya jua. Sesibuk mana pun kita, hendaknya hari raya kali ini menjadikan kita insan yang lebih baik dan berguna.  Hendaknya... Insya-Allah.

No comments: