SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Friday, September 4, 2009

KEAMPUNAN PADA PERTENGAHAN RAMADAN: SUATU MUHASABAH DIRI (MID-RAMADAN FASTING MONTH: AN INTROSPECTIVE)

Ketika catatan ini ditulis, umat Islam di Malaysia telah menyempurnakan rukun Islam ketiga, iaitu berpuasa pada bulan Ramadan selama 14 hari. Maka, sedar tidak sedar sudah separuh Ramadan dilalui dengan jayanya. Syukur ke Hadrat Ilahi justeru kita dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki.

Ramadan ialah bulan pendidikan (tarbiyyah). Bulan Ramadan bagaikan madrasah yang mengasuh jiwa insan supaya menginsafi nikmat-Nya. Tempoh sebulan Ramadan sepatutnya menyedarkan kita betapa begitu ramai saudara se-Islam dan juga masyarakat lain yang berlapar dan kehausan sepanjang tahun. Siapakah yang ambil peduli?

Kita bersahur dengan hidangan yang sempurna. Kita juga berbuka dengan hidangan serba cukup. Namun, begitu besar jumlah manusia di bahagian bumi yang mundur tidak pernah terlintas pun kemewahan melimpah ruah yang kita miliki. Mereka hanya mengimpikan makanan asas, serta minuman yang bersih! Perut kembung yang berisi angin dan kelihatan membusung, selain tulang-temulang yang membentuk rangka tubuh yang lemah longlai bagaikan menunggu hukuman ke tali gantung!

Ironinya, bulan puasa semakin menambah selera makan kita. Sesenarai panjang menu hendak disediakan. Harga udang dan sotong di pasar malam melonjak tinggi akibat permintaan yang naik mendadak. Bagi yang sibuk dan kurang kesempatan (@ kurang rajin), bazar Ramadan akan diserbu saban petang tidak kira mendung atau hujan.

Fikiran kita dipenuhi dengan keinginan melayan selera makan minum daripada menyibukkan diri dengan amalan yang sepatutnya menghiasi Ramadan. Akhirnya Ramadan akan berlalu begitu sahaja tanpa mendatangkan apa-apa perubahan dalam diri. Sebagaimana sebelum Ramadan, begitulah sesudah Ramadan. Tahun berganti tahun, kita masih seperti dahulu, seadanya.

Pertengahan kedua Ramadan akan kita sibukkan pula dengan persediaan Aidil Fitri. Sekali lagi perkara yang berlegar-legar di benak kita ialah juadah hari raya. Seolah-olah ada perlumbaan untuk menunjuk-nunjuk kemegahan. Tasbih, tahmid dan takbir hanyalah perkara sampingan. Subhanallah.

Masjid dan surau kembali menyepi. Kembali ke garis asal. Secara tidak disedari Ramadan dan Syawal dilayan bagaikan pesta biasa-biasa. Pesta makan-makan dan membeli-belah. Amalan ziarah diganti dengan berkumpul di hadapan televisyen untuk melayan slot hiburan dan drama yang melekakan.

Sebenarnya kita masih mempunyai waktu untuk melakukan serba sedikit penambahbaikan. Kita masih ada dua minggu lagi untuk melakukan amalan yang bermakna buat Ramadan 1430 ini. Permulaan Ramadan ialah rahmat, pertengahannya keampunan, dan pengakhirannya dilepaskan daripada azab api neraka. Marilah kita bermuhasabah dengan hati yang bening, Insya-Allah...

No comments: