SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Tuesday, October 27, 2009

BAJET ATAU BELANJAWAN: YANG MANA SATU? (THE OTHER SIDE OF BUDGET)

"Bajet" dimasukkan dalam entri Kamus Dewan Edisi IV pada muka surat 110 dan dicatat sebagai bp, iaitu bahasa percakapan bagi "belanjawan". Memang sudah lama orang Malaysia menggunakan istilah bajet dalam perbualan, misalnya hotel bajet, tak cukup bajet, bajet ciput, dan banyak lagi. Beberapa tahun belakangan ini, perkataan bajet telah diangkat bagi menggantikan belanjawan untuk sesi pembentangan belanjawan negara di parlimen.

Sarjana bahasa berbelah bahagi dalam penggunaan istilah "bajet". Kalau ditanya sarjana yang cenderung kepada aliran sosiolinguistik, apa-apa sahaja istilah boleh digunakan asalkan diterima oleh masyarakat. Bagi mereka, keakuran terhadap hukum tatabahasa yang "rigid" akan menyusahkan pengguna bahasa dan memperlahankan dinamika dan kemajuan sesuatu bahasa.

Contoh lain yang menjadi perdebatan ialah penggunaan "di" untuk masa. Jika kita merujuk Tatabahasa Dewan sebagai pegangan, gandingan "di" dengan mana-mana istilah masa dianggap sebagai kesalahan umum bahasa. Contohnya, di hari, di kala,di masa, di saat, dan di zaman melanggar hukum tatabahasa untuk kegunaan rasmi.

Dalam buku teks ekonomi berbahasa Melayu pula, istilah bajet tidak digunakan. Sebaliknya, perkataan belanjawan masih dikekalkan. Begitu juga istilah defisit dan surplus tidak menjadi pilihan untuk menggantikan "kurangan" dan "lebihan". Tidak ada rangkai kata seperti "bajet defisit" atau "bajet surplus".


Belanjawan negara bererti satu rancangan kerajaan persekutuan tentang anggaran hasil dan perbelanjaan kerajaan bagi tahun tertentu. Jika pembentangan belanjawan mencadangkan hasil melebihi perbelanjaan, konsep yang tepat ialah belanjawan lebihan. Di Malaysia, belanjawan lebihan pernah dibentangkan semasa "zaman keemasan"  dalam sejarah pertumbuhan ekonomi Malaysia, iaitu antara tahun 1988 - 1997 (Lai Moo Chang, Hew Yoke Fong: Makroekonomi, 2009: 325).

Selain era berkenaan, semua belanjawan yang dibentangkan ialah belanjawan kurangan, iaitu anggaran perbelanjaan melebihi hasil. Belanjawan seimbang atau terimbang, iaitu anggaran hasil sama dengan perbelanjaan ialah suatu keadaan ideal yang sukar dicapai. Malah, kebanyakan negara di dunia, termasuk negara maju hanya mampu menyediakan belanjawan kurangan, kerana belanjawan lebihan sebenarnya ialah suatu keajaiban!

Belanjawan ialah suatu alat atau instrumen dasar fiskal untuk mencapai matlamat makroekononi yang utama, iaitu pertumbuhan ekonomi dengan agihan semula tanpa inflasi, tanpa pengangguran, dan dengan imbangan bayaran yang baik. Pertumbuhan ekonomi dapat digambarkan menerusi peningkatan dan kerancakan aktiviti ekonomi (salah satunya permintaan agregat, AE). Seterusnya, berlaku pertumbuhan kebajikan, iaitu apabila taraf hidup rakyat meningkat.


Berbalik kepada istilah bajet yang bertaraf bahasa percakapan sahaja. Bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan murid dan pelajar, sarjana bahasa harus membuat penegasan tentang penggunaannya. Selanjutnya jika sarjana bahasa berpendapat istilah belanjawan patut digunakan semula di parlimen, perkara itu boleh diajukan kepada jemaah menteri...





No comments: