SELAMAT BERSEDIA: UPSR, PMR, SPM, STPM, DOA BUAT KALIAN MOGA CEMERLANG!!!

Mulakan dengan basmalah dan doa, bertenang dan fokus kepada tugasan soalan...

BERITA SMK ST MICHAEL, IPOH DAN ISU SEMASA

Sila klik pautan di bawah:
cikguazhar2.blogspot.com

Followers

Search This Blog

Saturday, October 17, 2009

RAMAH MESRA AIDIL FITRI TEMUKAN BEKAS GURU DAN MURID SERI PERAK (NOSTALGIC GATHERING ALONG MEMORY LANE)

Teluk Intan, 27 Syawal 1430 / 16 Oktober 2009


Sesekali mengimbau kenangan lalu begitu mendekatkan diri kita dengan  sekian banyak individu yang pernah berjasa dalam hidup kita. Suatu ketika dahulu, merekalah yang bertungkus-lumus dan tidak jemu-jemu mencari jalan agar hidup kita disuluhi cahaya ilmu yang terang-benderang. Dengan berkat kesabaran mereka, kita ditunjukkan jalan keluar daripada gelap gelita di sekeliling kita.

Penulis blog amat bersyukur kerana berkesempatan hadir dalam program anjuran Persatuan Bekas Murid SMK Seri Perak Teluk Intan. Di dewan berkenaan, penulis blog pernah berbaris dalam perhimpunan mingguan sekolah, dan tampil ke pentas menerima hadiah akademik. Penulis blog juga pernah berkhidmat di sana sebagai guru sandaran tidak terlatih (GSTT) buat beberapa ketika dan menyampaikan syarahan Pengajian Am kepada pelajar 6 Atas.


Seri Perak sebagai sebuah sekolah menengah aliran Melayu terulung (selain SMK Raja Chulan, Ipoh) yang menawarkan pengajian tingkatan enam menerima enrolmen pelajar dari seluruh negeri Perak, bahkan turut menjayakan program khas pengajian pelajar Sabah dan Sarawak. Seri Perak akan menyambut perayaan jubli emas (50 tahun) penubuhannya tidak berapa lama lagi. Seri Perak boleh dikategorikan sebagai sebuah sekolah berkesan justeru memiliki sejarah, pencapaian, dan legenda.


Bekas pelajar Seri Perak kini bertaburan di seluruh negara, sambil sebahagian lagi di luar negara berbakti kepada masyarakat tempatan dan antarabangsa. Sesenarai panjang profesor, pemimpin politik, usahawan hebat dan penjawat tinggi awam pernah menjalani persekolahan di Seri Perak. Malah, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Dato' Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom ialah pelajar Seri Perak era 1970-an.





Ketika sekolah aliran Inggeris masih dominan, calon SPM menduduki kertas Bahasa Inggeris yang berbeza dengan calon MCE (Malaysian Certificate of Education). Walau sehebat manapun seseorang calon (bercakap dan menulis bahasa orang putih hingga berhabuk!), gred paling tinggi yang ditetapkan ialah 7D! Penulis blog bernasib baik justeru kertas English Communication diperkenalkan, iaitu calon SPM dan MCE menduduki kertas yang sama. Maka, penulis blog berjaya mencatat keputusan yang agak baik dalam Bahasa Inggeris sehingga sempat mengikuti program Pengajian Inggeris - Matematik di Maktab Perguruan Temenggong Ibrahim, Johor Bahru dan bertahan selama sebulan kerana ditawarkan tempat di UKM.







Penulis blog berasa bertuah justeru berkesempatan bersua semula dengan dua orang guru yang pernah memberi inspirasi dalam pengajian Bahasa Melayu dan Ekonomi, iaitu mata pelajaran yang dipertanggungjawabkan di SMK St. Michael, Ipoh ketika ini. Walaupun sudah meniti usia, sebagai orang yang berilmu dan berjasa besar, keikhlasan dan seri masih terpancar di wajah mereka berdua. Sebagai bekas profesional, mereka masih mengekalkan ciri disiplin dan penampilan, serta masih bercakap tentang harapan dan impian dalam skala yang lebih luas. Allah telah mengurniakan mereka kesihatan yang baik dan keluarga yang berjaya dan sejahtera.

Dato' Haji Sulaiman Nawi ialah guru Bahasa Melayu semasa penulis blog di tingkatan dua, dan seterusnya guru Sivik di tingkatan empat. Beliau memang petah bercerita sehingga semua murid terlopong dan tidak pernah mengantuk. Cikgu Sulaiman pandai menyusun kata dan kelakar sehingga murid tidak kering gusi dibuatnya. Teori kecerdasan pelbagai (multiple intelligences) yang diperkenalkan pada awal 1990-an telah beliau laksanakan berbelas-belas tahun lebih awal.

Setelah memberi input, Cikgu Sulaiman biasanya memberikan tugasan individu atau kumpulan untuk diselesaikan dalam kelas. Sambil itu, beliau akan meninjau aktiviti murid dari meja ke meja sambil bertanyakan khabar. Maklumlah ketika itu masih banyak pelajar yang kurang berkemampuan dari segi kewangan dan dicengkam rasa rendah diri yang menebal.

Cikgu Sulaiman bolehlah dianggap sebagai internet dan sumber maklumat bagi murid ketika itu. Cerita Aurora Borlis beliau masih penulis blog ingati hingga sekarang. Beliau cuba menggambarkan tentang petaka dadah kepada remaja dan masa depan anak bangsa.

Ketika ditanya sama ada beliau masih aktif dalam politik parti, beliau menjawab bahawa kini kecenderungan beliau ialah terhadap pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Semasa masih berkhidmat sebagai guru, beliau pernah menolak untuk dicalonkan dalam pilihan raya. Sebagai veteran UMNO, beliau hanya berharap agar ahli-ahli politik muda mencontohi perjuangan generasi dahulu yang tidak mendambakan habuan harta kekayaan. Politik hanyalah jambatan untuk berbakti. Berbakti ialah ibadah asalkan memenuhi segala tuntutan aqidah, syariah dan akhlak.


Tuan Haji Azhari Arbi pula ialah guru ekonomi yang sempat membimbing penulis blog selama lebih kurang tiga bulan sebelum dinaikkan pangkat terus sebagai pengetua. Beliau diberi jolokan "Mr. Keluk" oleh pelajar kelas 6 Rendah Sastera 1 kerana setiap kali masuk, perkara pertama yang beliau lakukan ialah melukis keluk. Ketika itu, kapur dan papan hijau masih digunakan. Cikgu Azhari pernah menegur keseluruhan kelas kerana menulis nota sesuka hati, termasuk di kulit test-pad!

Nota ekonomi Cikgu Azhari masih ada dalam simpanan penulis blog. Data hipotetikal tentang fungsi pengeluaran jangka pendek dan hukum pulangan berkurangan (the law of diminishing return) masih relevan. Semasa penulis blog bertugas di SMK Sultan Abdullah, Chenderong Balai, Cikgu Azhari ialah pengetuanya. Beliau memberi kepercayaan kepada penulis blog untuk mengajar Bahasa Inggeris tingkatan tiga dan Geografi tingkatan lima. Banyak peristiwa lucu yang berlaku...


2 comments:

Unknown said...

Salam tuan

Baru2 ni sy dapt jumpa gambar rakan saya .. fauzi... dlm blog persatuan bekas pelajar smk seri perak. Saya sedang mencari rakan lama..
Boleh tak saya dapatkan no telefon cikgu fauzi yg berbaju hijau sedang berucap d pentas. Atau boleh emel ada saya asoiyan.mohamad@gmail.com

Unknown said...

aspiyan.mohamad@gmail.com