Tuesday, November 17, 2009
KURSUS KOKURIKULUM AKADEMIK GILAP BAKAT BERPOTENSI (POLISHING THE POTENTIAL TALENTS AMONG YOUNGER PUPILS)
Kepimpinan bererti kebolehan mempengaruhi orang lain untuk mencapai sesuatu matlamat (organisasi) yang telah ditentukan. Sesetengah pakar motivasi berpendapat bahawa seseorang manusia memiliki sejumlah 120 bakat, tetapi kebiasaannya hanya tiga bakat sahaja yang ditonjolkan . Baki 117 bakat lagi perlu dicungkil dan dikenal pasti oleh orang lain. Keadaan itu sama seperti yang dibayangkan oleh model tingkap jauhari (Joe-Harry) dan "tip of the iceberg". Maknanya, lebih banyak bakat terpendam yang perlu dikesan.
Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara telah mengambil daya usaha mengetengahkan bakat kepimpinan dalam kalangan murid sekolah rendah dan menengah daerah berkenaan menerusi program yang dinamai Kursus Pemantapan Kokurikulum Akademik. Peserta dipilih daripada pelbagai latar belakang dan dihimpunkan di Chalet dan Sudut Memancing Amir, Ayer Tawar, Perak mulai 2 hingga 4 November 2009. Program dibuka dengan rasminya oleh Encik Ahmad Shakir, Timbalan PPD Kinta Utara.
Seperti biasa, kursus akan dipenuhi dengan slot taklimat, input ceramah, latihan dinamika kumpulan di bawah bimbingan pemudah cara berpengalaman dan persembahan kumpulan. Seperti biasa juga gelagat dan ragam peserta juga lebih kurang sama. Ada yang boleh bertahan duduk diam, tidak kurang yang mengelamun, dan ada juga yang gagal menahan mata yang berat!
Sebab itulah aktiviti kursus dipelbagaikan. Peserta dibawa meninjau kawasan persekitaran lokasi kursus. Mereka berpeluang menikmati tanda-tanda kebesaran Allah di muka bumi (ayatullah fi'l-kaun).
Peserta juga beroleh pengalaman interaksi dengan rakan baru dari sekolah lain. Bagi kanak-kanak, mereka mungkin berkongsi cerita tentang permainan komputer, PS2 dan laman facebook. Mereka akan bertukar-tukar nombor telefon bimbit dan alamat e-mel. Gamaknya...
Apakah agaknya tema perbualan murid-murid lelaki? Dapatkan generasi pelapis maskulin ini mengimbangi dominasi pencapaian akademik pelajar perempuan suatu hari kelak? Kita tidaklah bermaksud untuk melancarkan provokasi gender. Sekadar mengungkapkan kekhuatiran sesetengah pihak yang prihatin.
Murid-murid perempuan di negara kita memang berpencapaian cemerlang. Akses kepada pendidikan tertinggi sentiasa terbuka luas buat mereka. Maka, sasaran bahawa 40 peratus penduduk Malaysia sekurang-kurangnya memiliki ijazah pertama bakal menjadi kenyataan dalam tempoh terdekat. Di benua dan rantau mundur, keadaan seperti ini masih terlalu jauh daripada jangkauan.
Sudah menjadi lumrah bahawa ganjaran dan hadiah sangat mempengaruhi daya saing. Peserta kursus dibimbing bagi mengorganisasi sesuatu pembentangan atau persembahan. Nilai hadiah bukanlah keutamaan, melainkan keseronokan mendapat pengiktirafan membakar semangat berkobar-kobar untuk lebih maju pada masa hadapan.
Jika pada awal kursus para peserta seakan-akan kelu dan membisu, lama-kelamaan bibit kemesraan mula terjalin. Perasaan curiga dan segan silu dapat dipadamkan. Apabila tiba detik perpisahan, sebahagian peserta tidak betah menyembunyikan emosi. Cuma perseta lelaki kelihatan lebih bersahaja dan selamba...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment