Tugasan KBKK lazimnya berlegar di sekitar 4 perkara: punca, kesan, cara, dan faedah. Pelajar Ma'ahad Imam Shafie telah berjaya menyebutkan perkataan setara dengan keempat-empat perkara yang sering menjadi tugasan KBKK berkenaan, antara lainnya ialah:
1 punca = sebab, faktor, penentu
2 kesan = akibat, impak, implikasi, natijah
3 cara = kaedah, langkah, pendekatan
4 faedah = kebaikan, kelebihan, manfaat
Empat perkara yang tersenarai di atas kebiasaannnya dikaitkan pula dengan pelbagai peringkat analisis iaitu individu, masyarakat dan kerajaan. PB telah menyarankan supaya pelajar mengadakan sesi sumbang saran dengan guru mata pelajaran Bahasa Melayu tentang 4 perkara darab 3 pihak = 12 isu. Pada akhirnya, pelajar dapat menyediakan satu jadual rujukan silang tentang komponen generalisasi (penyeluruhan idea) untuk tugasan KBKK.
Pelajar juga diingatkan supaya menggandingkan generalisasi umum berkenaan dengan tugasan yang lebih khusus. Sebagai contoh, "cara yang pertama ialah dengan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap hak pengguna". Kesedaran masyarakat ialah generalisasi umum, manakala hak pengguna ialah tugasan khusus.
Bagi tugasan prosa klasik, segala perkara yang hendak ditulis seharusnya berdasarkan perspektif zaman berkenaan, kecuali pelajar sendiri dianggap terbabit, iaitu disuruh mengambil peranan sebagai watak tertentu dalam petikan. Contoh: Jika saya ialah Sabor, sebaik sahaja mengetahui rancangan Jibor hendak mengupah orang untuk membunuh saya, maka saya akan meninggalkan rumah Jibor serta-merta, di samping membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Untuk tugasan puisi, terlebih dahulu pelajar hendaklah menentukan kedudukan atau peranan sang pemuisi sama ada sebagai "aku", sebagai pelapor, atau sebagai pengkritik. Penulisan KBKK untuk individu hendak dimulai dengan dirinya sendiri, insan terhampir, sebelum pergi kepada masyarakat lebih luas. Lebih baik tema puisi digunakan sebagai elemen penting sesuatu saranan KBKK.
Tugasan KBKK dalam kajian novel turut mengaplikasikan prinsip yang sama. Walaupun begitu, segala hujah dan isi seharusnya disokong dengan peristiwa tertentu. Dalam ayat peristiwa itu mesti dimasukkan watak, latar masa dan kisahnya secara umum.
Walaupun tugasan KBKK menghendaki pelajar berfikir di luar (kotak) petikan yang diuji, pelajar wajib menjadikan senarai generalisasi yang telah dibina sebagai kawalan. Jika pelajar mengemukakan beberapa saranan yang zahirnya mantap, tetapi jika hanya berlegar di sekitar satu perkara generalisasi akan menunjukkan pelajar berkenaan tidak begitu cekap. Pendek kata, dalam tugasan KBKK, pelajar perlu mengenal pasti perkara dalam KBKK terlebih dahulu sebelum digandingkan dengan contoh secara lebih khusus...
No comments:
Post a Comment